Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 10 Julai 2017

Akhlak mulia serlah kesucian hati

Posted by epondok di Julai 10, 2017

Oleh Nik Hasnah Ismail

TARBIAH Ramadan bertujuan melahirkan manusia bertakwa di sisi Allah SWT.

Sungguhpun telah selesai sebulan berpuasa pada Ramadan, semangat dan roh amalan ibadah pada Ramadan tetap teguh dilaksanakan. Begitu juga Aidilfitri yang diraikan adalah simbol kepada kemenangan yang telah dilalui sepanjang berada pada Ramadan.

Menerusi rancangan Islam Itu Indah, Ustaz Pahrol Muhamad Juoi, berkata sesungguhnya setiap hari adalah hari raya apabila kita dapat mengelak daripada dosa, justeru pelihara kemuliaan dan kemurnian hari raya dengan mengamalkan amalan dianjurkan oleh agama Islam.

Apabila berbicara mengenai nilai ketakwaan, ia amat rapat dengan akhlak. Seseorang yang berakhlak mulia dengan Allah SWT nescaya tingkah dan perbuatannya juga akan baik sesama manusia. Seorang berakhlak mulia akan lebih akrab dengan nilai ketakwaan di sisi Allah SWT. Bahkan, akhlak mulia inilah yang akan membina keperibadian seseorang sehingga menjadi insan yang tinggi darjatnya di sisi Maha Pencipta dan sesama manusia.

Seseorang yang tinggi akhlaknya terserlah dengan nilai kemaafan tinggi. Pertelingkahan warisi perbuatan sifat jahiliah Sungguhpun ramai manusia bersifat baik, tetapi pada masa sama agak liat untuk memaafkan, masih tidak dapat melupakan kesilapan orang lain atau belum dapat melupakan peristiwa hitam yang pernah berlaku dalam hidupnya. Ini bererti masih belum terserlah akhlak mulia yang sebenar kerana seorang yang benar-benar berakhlak mulia terserlah kesucian hati sehingga terbit melalui perbuatannya nilai kemaafan, tidak berdendam, sentiasa bersangka baik dan memandang hidup dengan pandangan kebaikan.

Diriwayatkan mengenai dua sahabat Rasulullah SAW iaitu Abu Dzar al-Ghifari dan Bilal bin Rabah yang dinukilkan berlaku satu pertelingkahan antara mereka berdua. Dalam pertelingkahan itu Saidina Abu Dzar telah memanggil sahabatnya dengan panggilan, “Wahai kamu anak Si Hitam.”

Mendengar itu Bilal bin Rabah merasa sedih dan mengadu kepada Rasulullah SAW. Perbuatan Abu Dzar tidak disukai Rasulullah SAW lalu sebagai jalan tarbiah kepada Abu Dzar, Baginda menasihatkan perbuatan Abu Dzar itu seolah-olah mewarisi perbuatan sifat jahiliah.

Mendengar itu lalu Abu Dzar terus mendapatkan Bilal bin Rabah dan memohon kemaafan yang sesungguhnya sehingga perbuatan itu menarik mata memandangnya. Begitulah nilai akhlak seorang insan yang tinggi nilai mauizah dalam dirinya. Apabila tersedar kekhilafan dilakukan, tanpa ada rasa segan silu memohon diri dimaafkan oleh orang yang disakiti. Bahkan, kemaafan itu dipinta dengan perasaan penuh penyesalan dalam diri.

Kawal diri daripada sifat tercela

Begitulah tingginya nilai akhlak seorang yang tinggi ketakwaannya, hidupnya sentiasa memeriksa kekurangan diri dan menambah amalan untuk terus mendekatkan diri dengan Allah SWT. Orang berakhlak mulia sentiasa mengawal diri daripada sifat tercela marah dan berdendam. Orang yang berakhlak tinggi meletakkan Allah SWT di hadapannya sehingga perbuatan buruk dapat dikawal kerana perkara yang diharapkan adalah keampunan Allah SWT. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu makan atau mengambil riba dengan berlipat-lipat ganda, dan hendaklah kamu bertakwa kepada Allah supaya kamu berjaya.” (Surah Ali-Imran, ayat 130)

Sesungguhnya orang yang meninggalkan larangan Allah SWT lalu menjadi manusia yang tinggi takwanya akan berjaya di dunia dan akhirat. Keikhlasan beribadah hanya untuk Allah SWT menjadi petunjuk prestasi utama (KPI) dalam mencapai ketakwaan yang tinggi di sisi-Nya. Begitu juga nilai kasih sayang yang tinggi dalam diri akan mengikat perhubungan sesama manusia. Orang yang dalam hatinya penuh kasih sayang tidak ada perasaan benci dan dendam.

Kasih sayang menghubungkan hati-hati manusia untuk saling mengasihi sesama insan. Sebagaimana disebut dalam hadis: “Sesiapa yang mengasihi sesama manusia, Allah akan mengasihi dirinya.”

Justeru kasih dan sayang itu umpama jambatan yang membina kerukunan sesama manusia.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »