Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Ogos 2017

Hati terhijab halang dapat kebaikan

Posted by epondok di Ogos 30, 2017

Oleh Nik Hasnah Ismail

 

Hati adalah anggota yang akan menentukan keperibadian seseorang. Oleh itu, penting untuk menjaga hati supaya tidak dipengaruhi elemen yang akan merosakkannya sehingga hati menjadi keras dan menyebabkan ia terhijab daripada perkara membawa kebaikan diri. Banyak amalan untuk melembutkan hati. Ikuti penerangan Ustaz Pahrol Mohamad Juoi mengenai perkara yang boleh membuka hijab hati.

Anugerah paling bernilai bagi manusia adalah hati kerana hati tempat jatuh pandangan Allah SWT, manakala jasad tempat jatuhnya pandangan manusia. Jika kita mengutamakan pandangan Allah SWT, kita mampu menjaga hati mengikut apa yang Allah SWT mahukan.

Menerusi rancangan Islam Itu Indah, Ustaz Pahrol Muhamad Juoi, memetik hadis Rasulullah SAW, “Allah tidak melihat rupa paras seseorang manusia, tetapi Allah melihat sejauh mana kesucian hati yang dimiliki.”

Sesungguhnya jika hati itu baik, maka seluruh anggota badan akan menjadi baik, tetapi jika hati kotor dan busuk maka seluruh anggota badan serta perbuatan menjadi jahat.

Prinsip ini selalu ditekankan oleh orang tua-tua dalam mendidik anak, tetapi adakalanya kejahatan dan kebaikan sukar untuk dibezakan, pendidikan hati tidak berbekas dalam diri.

Seperti pantun orang dahulu, puas sudah menanam ubi, nanas datang dari seberang, puas sudah menanam budi, emas juga dipandang orang. Ini boleh dirujuk kepada segumpal hati yang menjadi wadah atau tempat datangnya segala kebaikan, kasih sayang, belas ehsan dan kecintaan.

Dari hati juga datangnya benci, kecewa dendam dan cemburu. Jika hati itu ditatang dengan kebaikan nescaya walau apapun kejahatan mendatang, hati yang jernih dapat menangkis segala kebencian dan kekurangan.

Apabila hati terhijab, kita akan berasa resah, gelisah, hidup penuh kekosongan. Hati yang terhijab akan terkesan kepada tiga alam iaitu alam dunia, kubur atau barzakh dan akhirat. Justeru, hijab hati penting diberi perhatian supaya kita tidak terhalang daripada terus melakukan amalan baik untuk mendapat kebaikan di dunia ini seterusnya di akhirat juga.

Jaga kesucian rezeki

Penghalang atau hijab hati boleh datang daripada banyak faktor antaranya, pemakanan, pandangan, pendengaran, panjang angan-angan dan maksiat atau dosa yang dilakukan. Makanan yang haram boleh menjadi hijab kepada hati untuk kita mendapat rahmat Allah SWT.

Saidina Abu Bakar as-Sidik menjolok kerongkongnya untuk mengeluarkan susu yang tidak jelas sumbernya. Makanan daripada sumber wang haram seperti riba, mencuri masa di tempat kerja, gaji yang ada syubhah atau rasuah boleh menghitamkan hati.

Oleh itu, kita perlu menjaga kesucian rezeki yang masuk dalam mulut kerana ia akan menjadi roh yang akan membina kerohanian dan kesucian hati. Begitu juga jika mahukan kemanisan dalam ibadah, jaga pandangan mata dan hati, kerana pandangan liar membuat hati menjadi liar.

Dalam dunia teknologi yang segala-galanya mudah diakses, ada sahaja yang menjejaskan pandangan mata. Oleh itu, perlu ada banteng hati untuk melawan keinginan mata yang akan memberi kesan pada rohani.

Bagaimana kita perlu menjaga perut dan pandangan mata, begitu jugalah kita perlu menjaga pendengaran supaya tidak terjebak dalam budaya hedonisme yang boleh membuat hati menjadi keras.

Mencegah diri daripada perbuatan membawa kepada kejahatan dengan memperbanyakkan amalan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Sentiasa amalkan sikap amal makruf nahi mungkar untuk mendorong diri melakukan perbuatan yang dipandu oleh ajaran al-Quran dan al-hadis.

Antara amalan yang disarankan adalah menziarahi orang soleh, orang sakit dan kubur yang akan mengingatkan kematian serta dapat melembutkan hati. Mengingati mereka yang telah meninggal dunia akan melembutkan hati untuk bermuhasabah diri.

Terlalu cinta dunia

Pilih suasana persekitaran dan sahabat yang mengajak membuat kebaikan. Persekitaran penting kerana ia boleh mendorong untuk bertindak, berfikir dan berbuat perkara yang hanya mendatangkan manfaat sahaja. Suasana yang baik boleh membudayakan fikiran yang baik.

Begitu juga sahabat atau teman yang berkelakuan, berkata dan berfikiran buruk hanya akan mendorong kita bertindak dengan perbuatan negatif menyebabkan kita tidak mampu membina akhlak baik dalam diri.

Tidak dapat beza baik, buruk

Panjang angan-angan boleh membuatkan hati terhijab. Seperti kata muqarabin bernama Safian as-Sauri, “Jika ditanyakan kepada ahli kubur mengenai mereka, jawab ahli kubur: Kami ini mati pada hari yang kami rasa esok masih ada.”

Apabila panjang angan-angan dengan dunia, kita menjadi pencinta dunia hingga tidak mampu membuat perbandingan antara dunia dan akhirat. Segala kebaikan dan kejahatan tidak dapat dibeza kerana hati hanya berpusat kepada keseronokan dunia tanpa melihat kepentingan akhirat.

Tidak ada apa yang paling tinggi darjatnya di dunia ini melainkan memiliki hati yang bersih suci dan murni. Oleh itu, sentiasalah bermuhasabah diri, membersihkan hati supaya apabila bertemu Allah SWT kita dapat persembahkan seketul hati yang benar-benar mendapat keredaan-Nya.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Khutbah Aidil Adha 1438H

Posted by epondok di Ogos 29, 2017

Khutbah Aidil Adha 1438

خطبة عيدالأضحى 1438 

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Nikmat syurga bagi jiwa tidak dijajah syaitan

Posted by epondok di Ogos 27, 2017

Oleh Syafiq Zulakifli

 

Larangan daripada Allah SWT dalam al-Quran mengingatkan manusia bahawa setiap perbuatan yang melanggar batas syariat Allah SWT perlu dijauhkan. Malangnya, manusia sebagai hamba sering kali mengingkari perintah Allah SWT.

Perbincangan program Ibrah minggu lalu, Ustaz Muhamad Syaari Ab Rahman, membawakan perkongsian penting peristiwa Nabi Adam dan isterinya, Hawa, yang dikeluarkan dari syurga Allah SWT setelah memakan buah larangan di dalam syurga.

Allah SWT telah merakamkan dalam kitab suci al-Quran mengenai godaan syaitan yang paling awal bermula pada zaman Nabi Adam.

Allah SWT berfirman bermaksud: “Dan wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu di dalam syurga serta makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini, (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu daripada orang yang zalim.” (Surah al-A’raf, ayat 19)

Kemudian, Allah SWT berfirman lagi bermaksud: “Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepada mereka berdua supaya (dapatlah) ia menampakkan kepada mereka akan aurat mereka yang (sekian lama) tertutup daripada (pandangan) mereka, sambil ia berkata: Tidaklah Tuhan kamu melarang kamu daripada (menghampiri) pokok ini, melainkan (kerana Ia tidak suka) kamu berdua menjadi malaikat atau menjadi daripada orang yang kekal (selama-lamanya di dalam syurga).” (Surah al-A’raf, ayat 20)

Bersungguh perdaya manusia

Penjajahan syaitan ke atas jiwa manusia yang selalu lalai bukanlah sesuatu yang sukar. Godaan syaitan dengan hasutan itu bermula sedikit demi sedikit. Malah perangkap melalui bisikan itu memberi isyarat bahawa syaitan bersungguh-sungguh untuk memperdaya manusia melakukan kesilapan.

Perumpamaan itu dapat difahami melalui kisah Nabi Adam dan Hawa yang digoda oleh syaitan. Nabi Adam dibisik untuk menghampiri pokok terlebih dahulu, kemudian berlanjutan bisikan itu untuk duduk lama di kawasan pokok sehingga akhirnya mengambil peluang memakan buah larangan itu.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan ia bersumpah kepada kedua-duanya (dengan berkata): Sesungguhnya aku adalah daripada mereka yang memberi nasihat kepada kamu berdua.” (Surah al-A’raf, ayat 21)

Kemudian, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dengan sebab itu dapatlah ia menjatuhkan mereka berdua (ke dalam larangan) dengan tipu dayanya. Setelah mereka memakan (buah) pohon itu, terdedahlah kepada mereka berdua aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun (dari) syurga. Serta Tuhan mereka menyeru mereka: Bukankah Aku telah melarang kamu berdua dari pokok itu, dan Aku katakan kepada kamu, bahawa syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata?” (Surah al-A’raf, ayat 22)

Helah melalui bisikan syaitan perlu diperhatikan. Contohnya, kita sering kali terpedaya melengahkan solat pada awal waktu. Kemudian, ia membisikan supaya bersolat pada akhir waktu. Tipu daya dan muslihat syaitan itu berlanjutan sehingga kita meninggalkan terus solat yang diperintahkan Allah SWT.

Bisikan melalaikan jiwa

Syaitan ditugaskan melemahkan manusia dengan bisikan akan terus melalaikan jiwa. Sumpahan iblis dan syaitan untuk menggoda anak Adam sehingga hari kiamat itu dirakamkan melalui ayat al-Quran. Iblis telah bersumpah menyesatkan zuriat keturunan Nabi Adam kepada kemaksiatan.

Dijelaskan dalam firman Allah SWT bermaksud: “Ia berkata lagi: Khabarkanlah kepadaku, inikah orangnya yang Engkau muliakan mengatasiku? Jika Engkau beri tempoh kepadaku hingga hari kiamat, tentulah aku akan memancing menyesatkan zuriat keturunannya, kecuali sedikit (di antaranya).” (Surah al-Isra’, ayat 62)

Zuriat keturunan adalah amanah yang paling berharga. Oleh itu, kita sebagai hamba dinasihatkan untuk menjaga isteri, keluarga dan zuriat keturunan daripada terbelenggu dengan godaan syaitan.

Melalui kisah Nabi Adam dan Hawa ini dapatlah difahami Allah SWT tidak meletakkan Nabi Adam secara bersendirian dalam syurga tetapi menjadikan pasangan hidup iaitu Hawa. Oleh itu, keluarnya Nabi Adam daripada syurga bukanlah sendiri tetapi bersama dengan Hawa.

Allah SWT berfirman bermaksud: “Maka, Kami berfirman: Wahai Adam sesungguhnya Iblis ini musuh bagimu dan bagi isterimu; oleh itu, janganlah ia menyebabkan kamu berdua keluar dari syurga, kerana dengan yang demikian engkau (dan isterimu) akan menderita.” (Surah Taha, ayat 117)

Kesenangan sementara

Nikmat syurga yang dikecapi Nabi Adam dan isterinya telah memberikan kesenangan sementara sebelum datangnya syaitan memperdaya. Malah Allah SWT menjelaskan beberapa nikmat yang akan diperoleh Nabi Adam ketika berada dalam syurga itu.

Firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya telah dikurniakan berbagai nikmat bagimu, bahawa engkau tidak akan lapar dalam syurga itu dan tidak akan bertelanjang. Dan sesungguhnya engkau juga tidak akan dahaga dalam syurga itu, dan tidak akan merasa panas matahari.” (Surah Taha, ayat 118-119)

Memperoleh nikmat syurga itu akan hadir melalui jiwa yang tidak terjajah dengan godaan dan bisikan syaitan di dunia ini.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Kelebihan Nabi Yahya kuasai ilmu

Posted by epondok di Ogos 26, 2017

Oleh Syafiq Zulakifli

 

Perjuangan nabi dan rasul yang diberikan sebuah kitab untuk difahami bersungguh-sungguh adalah satu cerita penting yang harus diteladani. Kisah Nabi Yahya menjadikan Kitab Taurat sebagai pegangan menunjukkan Rasulullah SAW dididik meneladani perjuangan nabi yang berpegang kuat kepada kitabnya itu.

Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Keba ngsaan yang baharu sahaja berakhir membuka kefahaman kepada kita mengenai sikap seorang nabi iaitu Nabi Yahya, sepupu kepada Nabi Muhammad SAW.

Perbincangan rancangan Ibrah yang dikupas oleh Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman minggu lalu, memberi satu suntikan kepada kita mengenai kelebihan yang ada pada Nabi Yahya.

Ini diperincikan oleh Allah SWT dalam firman yang bermaksud: “Wahai Yahya, terimalah Kitab itu (serta amalkanlah) dengan bersungguh-sungguh! Dan Kami berikan kepadanya hikmat kebijaksanaan ketika dia masih kanak-kanak.” (Surah Maryam, ayat 12)

Nabi Yahya yang lahir di bumi Syria dan dimakamkan di Masjid Dimasy, Syria, adalah Nabi yang diberikan sebuah kitab, lalu diamalkan secara bersungguh-sungguh sejak kecil (kanak-kanak).

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan (Kami mengurniakannya) rahmat dari sisi Kami, serta kelebihan yang kembang manfaatnya; dan dia seorang yang bertakwa. Dan dia taat serta berbuat baik kepada ibu bapanya dan dia pula tidak sombong angkuh atau derhaka.” (Surah Maryam, ayat 13-14)

Allah SWT menceritakan kelebihan Nabi Yahya yang amat taat kepada kedua-dua ibu bapanya. Sikapnya yang tidak sombong dan derhaka antara perkara penting yang diceritakan oleh Allah SWT untuk menunjukkan kepada Nabi Muhammad SAW kelebihan yang ada pada Nabi Yahya.

Seperti yang kita sedia maklum, Nabi Yahya adalah kurniaan zuriat kepada Nabi Zakaria oleh Allah SWT dalam keadaan usia Nabi Zakaria pada waktu itu terlalu tua (sekitar 90 tahun). Namun, atas kuasa Allah SWT, zuriat itu dikurniakan sebagai meneruskan perjuangan Nabi Zakaria walaupun isterinya mandul.

Selain itu, kelahiran Nabi Yahya cukup istimewa kerana nama Baginda diberikan oleh Allah SWT. Ini dirakamkan melalui firman Allah SWT yang bermaksud: “(Nabi Zakaria diseru setelah dikabulkan doanya): Wahai Zakaria! Sesungguhnya Kami memberikan khabar yang mengembirakanmu dengan mengurniakan seorang anak lelaki bernama Yahya, yang kami tidak pernah jadikan sebelum itu, seorangpun yang senama dengannya.” (Surah Maryam, ayat 7)

Kuasai kitab sejak kanak-kanak

Seterusnya, keilmuan Nabi Yahya terbukti apabila diberikan penguasaan untuk memahami Kitab Taurat sejak kanak-kanak lagi. Sesetengah ulama berkata, Nabi Yahya mengambil masa hanya tujuh tahun menguasai Kitab Taurat yang diwarisi daripada ayahandanya.

Dr Sheikh Yusof al-Qaradhawi menyatakan, apabila kita membaca al-Quran, hendaklah dilaksanakan seperti Nabi Yahya, iaitu dengan bersungguh-sungguh. Teladan inilah yang ditunjukkan oleh al-Quran kepada Baginda Nabi Muhammad, sebagai proses mendidik umat supaya kefahaman yang mendalam menjadi asas memahami kitab suci.

Selain itu, sifat ‘hananah’ iaitu mendapat kasih sayang daripada langit (Allah SWT) dan Nabi Yahya menerima ucapan sejahtera daripada Allah SWT sendiri.

Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan (Kami limpahkan) kepadanya selamat sejahtera pada hari dia diperanakkan dan pada hari dia mati, serta pada hari dia dibangkitkan hidup semula (pada hari kiamat).” (Surah Maryam, ayat 15)

Terhindar daripada dosa

Nabi Yahya juga dikepung daripada dosa dan noda serta nabi yang salih, selain menjadi ketua yang setia dengan kebenaran seperti dijelaskan dalam al-Quran.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Lalu ia diseru oleh malaikat sedang ia berdiri sembahyang di Mihrab, (katanya): Bahawasanya Allah SWT memberi khabar yang mengembirakanmu, dengan (mengurniakanmu seorang anak lelaki bernama) Yahya, yang akan beriman kepada kalimah dari Allah SWT dan akan menjadi ketua dan juga akan menahan diri daripada berkahwin dan akan menjadi seorang nabi dari orang yang salih.” (Surah Ali-Imran, ayat 39)

Kelebihan dan keistimewaan yang diberikan kepada Nabi Yahya adalah kelebihan yang dikhabarkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW di dalam al-Quran.

Kesungguhan Nabi Yahya dalam menguasai secara mendalam Kitab Taurat adalah petunjuk kepada Baginda Nabi untuk terus berpegang teguh kepada ajaran al-Quran lalu disampaikan kepada umatnya. Begitulah kisah Nabi Yahya yang diceritakan.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Doakan kebahagiaan anak sejak dalam kandungan

Posted by epondok di Ogos 25, 2017

Oleh Syafiq Zulakifli

 

Islam menganjurkan ibu bapa supaya memberi didikan sempurna kepada anak mereka dan didikan itu sebenarnya perlu bermula sejak dari dalam rahim lagi. Ikuti kupasan lanjut Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman yang dikongsikan dalam program Ibrah minggu lalu.

Melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Itulah ungkapan dan pepatah Melayu yang biasa didengar. Al-Quran memperjelaskan, pendidikan anak perlu bermula sejak dalam rahim ibu dan ini boleh difahami melalui teladan sejarah seorang insan bernama Maryam.

Mengikuti rancangan Ibrah minggu lalu, Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman membincangkan kisah keluarga Imran iaitu cerita Maryam. Ulama menjelaskan, empat wanita yang mempunyai kelebihan dalam agama Islam ialah Aishah, Khadijah, Fatimah dan Maryam.

Sebelum ini, dibicarakan kisah Nabi Zakaria yang memohon kepada Allah SWT dikurniakan zuriat keturunan. Doa penuh harapan itu, Allah SWT gantikan dengan anak diberi nama Yahya.

Peristiwa itu juga menjadi asas kepada Hannah, isteri Imran untuk berdoa kepada Allah SWT supaya dikurniakan zuriat. Hannah meluahkan isi hatinya kepada Allah SWT dan hasil daripada doa yang tidak putus-putus, Allah SWT mengurniakan kepadanya seorang anak.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “(Ingatlah) ketika isteri Imran berkata: Tuhanku! Sesungguhnya aku nazarkan kepada-Mu anak yang ada dalam kandunganku sebagai seorang yang bebas (daripada segala urusan dunia untuk berkhidmat kepada-Mu semata-mata), maka terimalah nazarku; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah Ali-Imran, ayat 35)

Prinsip asas dalam permintaan doa (isteri Imran) adalah supaya anak itu nanti akan berkhidmat untuk Masjidil Aqsa. Permintaan Hannah itu bertujuan untuk ‘memerdekakan’ (anaknya) daripada sebarang kehidupan dunia.

Lahirkan anak untuk berkhidmat ke jalan Allah SWT

Perwatakan dan jiwa besar yang ditunjukkan oleh Hannah adalah satu prinsip penting untuk difahami semua ibu bahawa tujuan mendapatkan zuriat bukanlah semata-mata kerana inginkan anak tetapi lebih daripada itu, mengharapkan zuriat dilahirkan akan berkhidmat untuk Allah SWT.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Maka apabila dia melahirkannya, berkatalah dia: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan (sedang yang aku harap-harapkan ialah anak lelaki), dan Allah memang mengetahui akan apa yang dilahirkannya itu dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan; dan bahawasanya aku telah menamakannya Maryam, dan aku melindungi dia dengan peliharaan-Mu, demikian juga zuriat keturunannya daripada godaan syaitan yang kena rejam (yang dikutuk dan disingkirkan).” (Surah Ali-Imran, ayat 36)

Hannah tidak menyangka anak yang dilahirkan adalah perempuan, namun beliau tetap reda terhadap kurniaan Allah SWT. Ulama mentafsirkan, anak perempuan yang dilahirkan itu bukanlah sebarang wanita yang wujud di atas muka bumi ini.

Prinsip kedua yang perlu difahami semua ibu ialah bersyukur dengan anak dikurniakan Allah SWT, manakala prinsip ketiga, memberikan nama yang baik kepada anak yang dilahirkan. Nama Maryam membawa maksud seorang yang rajin beribadah (‘abidah).

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka ia (Maryam yang dinazarkan oleh ibunya) diterima oleh Tuhannya dengan penerimaan yang baik, dan dibesarkannya dengan didikan yang baik, serta diserahkannya untuk dipelihara oleh Nabi Zakaria. Tiap-tiap kali Nabi Zakaria masuk untuk menemui Maryam di Mihrab, ia dapati rezeki (buah-buahan yang luar biasa) di sisinya. Nabi Zakaria bertanya: Wahai Maryam dari mana engkau dapati (buah-buahan) ini? Maryam menjawab: “Ia daripada Allah, sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak dikira.” (Surah Ali-Imran, ayat 37)

Prinsip keempat pula dijelaskan melalui permohonan Hannah supaya diberi perlindungan kepada Maryam dan anak yang dikandungnya. Ini menunjukkan bahawa Hannah telah mendoakan anaknya Maryam dan anak yang bakal dikandung Maryam (zuriat mendatang nanti).

Beri pendidikan terbaik kepada anak

Prinsip kelima yang ditekankan supaya anak diberikan pendidikan yang terbaik. Allah SWT telah mendidik Maryam dengan sebaik-baik pendidikan untuk membesar dalam peliharaan-Nya.

Maryam dibesarkan dalam jagaan penuh kasih dan sayang. Nabi Zakaria yang menjaganya juga terpaksa bersaing ketika menjaga Maryam kerana beliau sentiasa mengabdikan diri kepada Allah SWT.

Selain itu, Nabi Zakaria berasa pelik dan janggal bagaimana Maryam menerima makanan dalam mihrabnya itu kerana setiap kali Nabi Zakaria masuk ke dalam mihrab pada waktu pagi dan petang, didapatinya ada rezeki untuk Maryam.

Rezeki anak, makan minum, kehidupan dan kesenangan itu ditentukan Allah SWT. Justeru, sebagai hamba kita memahami bahawa setiap ketentuan sama ada baik atau buruk mempunyai hikmah yang tidak terfikir oleh akal fikiran yang dangkal ini.

Perjalanan kisah Maryam akan diperincikan lagi selepas ini bagi memahami cerita mengenai wanita istimewa (Maryam) yang melahirkan zuriat tanpa bapa, iaitu Nabi Isa

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Warisan ilmu Imam Abu Hanifah

Posted by epondok di Ogos 24, 2017

Imam Abu Hanifah miliki keperibadian mulia dan personaliti yang menawan. Beliau seorang yang warak dan memiliki kekuatan dalam berhujah. Malah beliau juga seorang dermawan yang melunaskan hutang Ibrahim bin Uyainah. Ikuti kisah imam yang agung dan mulia ini bersama Ustaz Muhadir Joll dalam segmen Ibrah di IKIMFM.

Pernah disebutkan oleh anak muridnya yang terkemuka, Imam Al-Qadhi Abu Yusuf, “Imam Abu Hanifah adalah seorang yang sederhana dan tidak tinggi, tidak rendah, termasuk orang paling kacak wajahnya, paling fasih perbicaraannya, paling merdu suaranya dan paling terbuka terhadap apa yang ada dalam dirinya.”

Menerusi segmen Ibrah (Salafus Soleh) IKIMfm, Ustaz Muhadir Joll menyambung kisah Imam Abu Hanifah yang bukan sekadar memiliki ilmu tinggi, bahkan personalitinya sangat baik, menarik serta budi pekerti mulia.

Anak Imam Abu Hanifah, Hammad menyebut: “Ayahku seorang yang kacak, kulit hitam manis, perwatakan menarik, selalu berwangi-wangian, digeruni dan berwibawa. Beliau tidak bercakap melainkan menjawab pertanyaan atau persoalan dan beliau tidak membuang masa membicarakan perkara yang tidak perlu.”

Imam Abu Hanifah sangat menjaga keterampilan. Ada satu riwayat menyebutkan, pakaiannya ada sehingga 30 dinar. Imam Abu Yusuf menceritakan, Imam Abu Hanifah sangat menjaga kebersihan pakaiannya.

Menurut Syaikh Ahmad al-‘Ajuli, Imam Abu Hanifah seorang penjual kain bulu bertenun sutera. Beliau bekerja sendiri dan tidak mengharapkan simpati orang lain. Kewarakan Imam Abu Hanifah menjadikan beliau individu Muslim yang tidak menuntut jawatan.

Beliau pernah diminta oleh khalifah untuk menjadi hakim, tetapi menolak kerana berasakan dirinya tidak layak.

Khalifah berkata, “Kamu berbohong. Lalu Imam Abu Hanifah menjawab: Sesungguhnya Amirul Mukminin telah menghukumkan ke atas saya yang saya tidak layak. Maka, sekiranya saya berbohong, maka jelaslah saya tidak layak untuk menjadi hakim. Sekiranya saya seorang yang benar, maka saya telah katakan kepada kamu bahawa saya tidak layak.”

Tawaduk, dipercayai

Imam Az-Zahabi berkata, ramai yang meriwayatkan bahawa Imam Abu Hanifah telah banyak kali dipukul sebagai paksaan untuk beliau menerima jawatan hakim, tetapi tetap tidak menerimanya.

Imam Abu Hanifah seorang yang sangat tawaduk kerana memiliki guru jauh lebih muda daripada beliau, iaitu Imam Malik. Pernah pada satu ketika, Imam Abu Hanifah berjumpa Imam Malik yang sedang duduk bersama beberapa sahabatnya.

Setelah Imam Abu Hanifah keluar, Imam Malik bertanya kepada sahabatnya: “Tahukah kamu siapa dia? Mereka mengatakan tidak. Lalu kata Imam Malik: Dialah Nu’man bin Thabit. Sekiranya dia berkata bahawa tiang masjid itu emas, nescaya perkataannya akan digunakan oleh orang ramai sebagai hujah.”

Imam Malik mengatakan: “Sekiranya dia mengatakan tanah di tanganmu itu emas, pasti engkau akan mempercayainya.” Ini membuktikan beliau seorang yang boleh dipercayai kerana memiliki kekuatan dalam berhujah, cepat daya fikiran dan cerdas serta tajam pemikirannya.

Pernah suatu ketika, seorang perempuan datang bertanya soalan peribadi kepada Imam Abu Hanifah. Setibanya di rumah beliau, perempuan itu tidak masuk ke rumah, tetapi hanya mewakilkan seorang lelaki sambil membawa dua biji epal, satu merah dan satu kuning.

Imam Abu Hanifah kemudian bertanya: “Siapa yang menghantarmu untuk membawa dua biji epal ini? Lelaki itu menjawab: Perempuan itu (sambil menunjukkan jarinya ke arah seorang perempuan di depan pintu). Dia sedang menunggu jawapan.”

Imam Abu Hanifah lalu membelah sebiji epal dan menyuruhnya memberikan kembali epal itu kepada perempuan tadi. Perempuan berkenaan faham dengan isyarat diberikan oleh Imam Abu Hanifah mengenai epal itu dan itulah jawapan pertanyaannya.

Ilmu subur hingga kini

Sebenarnya perempuan itu bertanyakan penjelasan mengenai darah haid, tetapi kerana segan beliau mewakilkan dua lelaki dan memberikan epal berkenaan. Persoalannya apakah perempuan dikira suci jika darah merah bertukar kepada warna kuning seperti epal merah dan epal kuning.

Belahan Imam Abu Hanifah itu seolah-olah menjawab persoalan, dia akan dikira suci jika darah sudah menjadi bersih putih seperti putih isi epal yang dibelah tadi.

Imam Abu Hanifah seorang yang berharta, namun beliau tidak kedekut, malah sangat dermawan. Ibrahim bin Uyainah pernah dipenjarakan kerana berhutang sebanyak 4,000 dirham. Semua hutang itu telah dilunaskan oleh Imam Abu Hanifah.

Ketika dalam majlis ilmunya, Imam Abu Hanifah terlihat seorang yang hadir dengan pakaian agak lusuh dan tidak terurus. Beliau kemudian menyuruhnya duduk dan berpesan supaya orang itu jangan pulang dahulu.

Apabila semua orang sudah pulang, beliau berkata kepada orang itu: “Angkatkan apa yang ada di bawah tikar tempat dudukmu dan ambillah. Ketika orang itu menyelak tempat duduknya, dia mendapati seribu dirham di situ. Orang itu lalu berkata: Aku adalah seorang kaya dan aku tidak perlu kepada pemberian ini. Imam Abu Hanifah menjawab: Apakah kamu tidak pernah mendengar hadis Rasulullah SAW: Sesungguhnya Allah SWT suka melihat kesan, nikmat yang diberikan kepada hamba-Nya.”

Begitulah kisah hebat Imam Abu Hanifah yang ilmunya sentiasa mengalir sehingga kini dan diamalkan oleh umat Islam seluruh dunia. Semoga Allah SWT meredai imam yang sangat agung dan mulia ini.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Senyum serlah keperibadian diri

Posted by epondok di Ogos 22, 2017

Oleh Nik Hasnah Ismail

 

Nabi Muhammad SAW ketika hayat Baginda kaya dengan senyuman. Bahkan Rasulullah turut bersabda senyum itu adalah sedekah. Senyuman adalah kebajikan dan kebaikan yang paling mudah untuk dilakukan. Ia menggambarkan kebersihan dan keperibadian insan yang memberi senyuman. Ikuti penerangan Ustaz Pahrol Mohamad Juoi mengenai ‘kuasa’ senyuman.

Michael Hart dalam bukunya bertajuk The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History menempatkan Nabi Muhammad SAW sebagai tokoh paling berpengaruh sepanjang sejarah kerana menurutnya, Baginda satu-satunya manusia berjaya meraih kejayaan luar biasa baik yang dinilai dari ukuran agama mahupun ruang lingkup duniawi.

Menerusi rancangan Islam Itu Indah, Ustaz Pahrol Mohamad Juoi berkata, Nabi Muhammad SAW yang diiktiraf oleh penulis buku bukan Islam itu adalah seorang insan yang dalam hidupnya amat kaya dengan senyuman.

Sahabat bernama Jabir berkata: “Setiap kali aku bertemu dengan Nabi Muhammad SAW, aku sentiasa melihat senyuman pada bibirnya.”

Begitulah sosok seorang insan yang paling berpengaruh sepanjang sejarah, selain keistimewaan luar biasa yang Allah SWT kurniakan, Rasulullah SAW memiliki keperibadian yang tidak lokek dengan senyuman.

Berbicara mengenai kuasa senyuman, pakar psikologi mendedahkan bahawa untuk senyum seseorang perlukan sebanyak 17 gerakan otot wajah, manakala muka masam memerlukan 43 gerakan otot wajah. Ini bererti senyum lebih mudah berbanding memasamkan muka. Namun, ada yang lebih sukar untuk senyum.

Rasulullah SAW bersabda, senyum itu adalah satu sedekah. Selalunya, sedekah dikaitkan dengan material, tetapi sebenarnya boleh sahaja digantikan oleh gerakan jiwa murni datang daripada sekeping hati yang tulus.

Ganjaran pahala

Tiada kebajikan dan kebaikan yang amat mudah dilakukan dengan tawaran ganjaran pahala sedekah, iaitu senyuman. Cukup indah Islam mengajar umatnya membina kebaikan yang akan menghidupkan hati ke arah perbuatan yang membawa kebaikan.

Senyuman bukan sekadar pekerjaan bagi otot, senyum adalah kerja hati. Jika dalam hati penuh dengan kekacauan, kesulitan atau perasaan tidak tenang, maka sukarlah untuk bibir mengukir senyuman. Tetapi jika hati penuh tawaduk, ikhlas dan perasaan kasih sayang maka mudahlah bibir memberi senyuman.

Seorang yang bangkit pagi untuk menunaikan solat Subuh bukan disebabkan badan besar atau otot kuat, tetapi hati yang menggerakkan diri untuk patuh kepada perintah Allah SWT.

Sebab itu, dalam bidang pekerjaan, orang yang sentiasa gembira dan ceria dengan pekerjaannya akan mudah tersenyum, manakala orang yang tidak bahagia dengan pekerjaannya tidak akan mampu mengukir senyuman.

Ahli motivasi berpendapat, orang yang bahagia di tempat kerja akan bahagia dalam kehidupannya, manakala orang yang tidak bahagia di tempat kerja, tidak akan bahagia hidupnya

Begitulah keadaan orang yang sukar senyum kepada orang lain kerana hatinya tidak gembira. Orang hatinya muram, sedih dan kecewa tidak akan mampu untuk tersenyum. Justeru, orang yang tidak gembira dengan pekerjaannya, sebenarnya bukan hanya menyeksa orang di sekelilingnya, tetapi lebih parah lagi menyeksa diri sendiri.

Orang tidak ceria juga cenderung untuk menyebarkan perkara negatif yang boleh ‘membunuh’ idea kreatif. Mereka juga tidak akan membina hubungan yang jernih sesama rakan setugas, selalu kecewa dan bersangka buruk.

Tidak gembira dengan kerja

Oleh itu, bagi mereka yang terperangkap dengan pekerjaan tidak membahagiakan ini, ada dua pendekatan yang boleh diambil. Pertama, disarankan untuk meninggalkan pekerjaan itu, tetapi jika tidak berhenti atau bertukar kerja, perlulah mengubah cara memandang pekerjaan itu.

Semuanya bergantung bagaimana kita melihat sesuatu dalam hidup ini. Adakala kita berdepan dengan isu sama, tetapi dengan pandangan yang berbeza merubah perspektif kita terhadap hal berkenaan. Begitu juga masalah hidup atau pekerjaan, sukar atau senang bergantung bagaimana kita melihatnya.

Sentiasa positif

Oleh itu, lebarkan senyuman, sentiasa berfikiran matang dan sebarkan tenaga positif di tempat kerja untuk mendapat hasil cemerlang dalam pekerjaan. Hadapi cabaran dengan tindakan bijak dalam mencari solusi terhadap setiap permasalahan.

Saling menyalahkan, meletak beban di bahu orang lain tidak akan mendatangkan kejayaan melainkan hanya membina jarak dan konflik semata-mata. Justeru, dalam hidup ini jika tidak dapat apa yang kita suka, sukalah apa yang kita dapat.

Sebagai seorang hamba yang tidak sempurna, jangan kita terlalu leka dan sedih kerana kesempurnaan itu hanya milik Allah Yang Maha Esa. Oleh itu, walaupun sering mendapat sesuatu yang tidak disukai, belajarlah berdamai dengan takdir Allah SWT kerana setiap yang kita suka belum tentu baik untuk diri.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Besi belit tubuh penghuni neraka

Posted by epondok di Ogos 20, 2017

Oleh Fairuz Noordin

 

MANUSIA sentiasa berharap supaya tidak tergolong dalam kalangan mereka yang dihumban ke neraka pada Hari Kiamat dan berdoa penuh harapan supaya dilindungi daripada kemurkaan Allah SWT.

Dahsyatnya neraka digambarkan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Ketika belenggu dan rantai dipasung di leher mereka sambil diseret ke dalam air panas yang menggelegak; kemudian mereka dibakar dalam api neraka.” (Surah Ghafir, ayat 71-72)

Tirmizi meriwayatkan daripada Abdullah bin Amr bin al-Asr, Rasulullah SAW bersabda: “Jika benda seperti ini (sambil menunjukkan di bahagian belakang kepala Baginda) dilepas dari langit ke bumi, maka tempoh jarak masa perjalanannya adalah 500 tahun lamanya, akan sampai ke bumi sebelum malam. Sedangkan jika dilepaskan daripada atas rantai maka memakan masa selama 40 tahun siang dan malam untuk sampai ke dasar atau jurang-jurang neraka Allah.”

Menerusi slot Mau’izati di IKIMfm, Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani berkongsi gambaran mengenai neraka serta manusia yang sedang diazab di dalamnya yang teringat akan awan ketika mereka hidup di dunia dahulu.

Awan itu menyebut kepada ahli neraka: “Wahai penduduk neraka, apa yang kamu inginkan ketika ini? Lalu mereka menjawab: Kami inginkan air yang sejuk.” Kemudian diturunkan hujan yang mengikat mereka dengan rantai yang menambahkan beban.

Muhammad bin al-Munkadir menyebut, jika semua besi di dunia ini dikumpulkan, maka tidak dapat menyamai satu lingkaran yang mengikat tubuh badan ahli neraka.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Selain daripada itu, masukkanlah dia dalam (lingkaran) rantai besi yang ukuran panjangnya tujuh puluh hasta, (dengan membelitkannya ke badannya)!” (Surah al-Haaqqah, ayat 39)

Percikan api neraka

Ibnu Wahab meriwayatkan daripada Abdul Rahman bin Zaid, katanya, pada Hari Kiamat neraka Jahanam diperlihatkan percikan bunga api seperti bintang. Lalu mereka berpaling dan melarikan diri.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “(Iaitu) hari kamu berpaling undur melarikan diri; pada hal semasa itu tidak ada sesiapapun yang dapat menyelamatkan kamu daripada azab Allah dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan Allah (disebabkan pilihannya yang salah), maka tiada sesiapapun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya.” (Surah al-Ghaafir, ayat 33)

Menurut ulama, sebelum memasuki neraka berlakunya gegaran yang menakutkan ahli neraka menyebabkan mereka lari. Lalu mata mereka dicungkil dan masuk ke neraka dalam keadaan buta. Tangan dibelenggu, kaki dan leher juga diikat, lalu diheret untuk dihumban ke neraka.

Rasulullah SAW menyebut, jarak antara kedua-dua bahu penjaga neraka itu seperti jarak di antara Timur dan Barat. Ibnu Zaid pula menyebut, mereka mempunyai pemukul besi untuk memukul penghuni neraka.

Jika diperintahkan kepada penjaga neraka untuk memukul, maka dia akan memukul, demikianlah ribuan malaikat yang tidak meletakkan tangan mereka pada sesuatu apapun kecuali tulang mereka remuk dan hancur lebur.

Sambil ditarik ke neraka, mereka merayu supaya diselamatkan, hanya wajah mereka yang terselamat dan dalam keadaan buta.

Ibnu Zaid membaca: “Maka apakah lagi yang boleh melindungi wajah kamu daripada menghindari azab pada Hari Kiamat nanti? Sama dengan orang Mukmin yang tidak diazab. Sebutlah kepada orang yang hidup dan melakukan kezaliman. Rasalah apa yang telah kamu lakukan di atas dunia dahulu.”

Ketika dihumban ke dalam neraka, sewaktu hampir ke dasarnya, mereka dikejar dengan nyalaan api menjadikan mereka berasa ingin segera sampai ke bawah. Hampir-hampir keluar sahaja, mereka disambut malaikat dengan pemukul besi sehingga hancur lebur dan ia berlaku berulang-kali.

Neraka kediaman orang fasik

Ibnu Zaid membaca lagi: “Dan ada orang yang fasik atau kafir tempat kediaman mereka ialah di dalam neraka. Setiap kali mereka merangkak untuk keluar dari neraka, malaikat menolak kembali ke dalamnya sambil menyebut: Rasailah kamu sekarang, yang di atas dunia dahulu, bukan main lagi kamu mendustai dan tidak percaya kepada ayat Allah SWT!”

Kuatnya bakaran api neraka melonjakkan manusia ke atas sehingga terlihat mereka ahli syurga, sedangkan wujudnya hijab di antara mereka.

Ahli syurga itu memanggil ahli neraka: “Lihatlah kami ini. Kami ini sudah mendapat apa yang telah dijanjikan Allah SWT kepada kami. Bagaimana dengan kamu? Adakah kamu yakin sekarang apa yang dijanjikan oleh Allah dahulu?

Ahli neraka menjawab, “Ya, kami sudah mendapatnya.” Lalu malaikat mengumumkan di antara kedua golongan itu: “Laknat Allah yang disediakan bagi mereka yang melakukan kezaliman di atas dunia dahulu.”

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Al-a’raaf paling miskin di syurga

Posted by epondok di Ogos 19, 2017

PERJALANAN hidup manusia tidak dinilai dengan ukuran dunia, tetapi kejayaan bagi Mukmin ialah apabila dipesongkan dari neraka serta melalui perjalanan lancar untuk menuju syurga seperti dijelaskan dalam al-Quran dan sunah Rasulullah SAW.

Kehidupan manusia juga akan melalui fasa di alam barzakh, seterusnya dibangkitkan semula di Padang Mahsyar di dalam keadaan kosong serta tidak mengetahui bagaimana berakhirnya nasib setiap manusia.

Manusia akan dihisab oleh Allah SWT segala amalan ketika di dunia dan kemudian dimizankan, amalan baik diletakkan di sebelah kanan, manakala amalan buruk berada di sebelah kiri. Timbangan berat di sebelah kanan membawa manusia ke syurga, jika sebaliknya maka ke nerakalah dia.

Timbangan amal seimbang

Apabila ditimbang di antara kanan dan kiri, kedua-duanya seimbang maka keadaan ini dikenali sebagai al-a’raaf.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan di antara keduanya (syurga dan neraka) ada tembok ‘al-A’raaf’ (yang menjadi) pendinding, dan di atas tembok al-A’raaf itu ada sebilangan orang lelaki yang mengenal tiap-tiap seorang (dari ahli syurga dan neraka) itu, dengan tanda masing-masing. Dan mereka pun menyeru ahli syurga (dengan memberi salam, katanya): Salaamun Alaikum (salam sejahtera kepada kamu). Sedang mereka, sendiri belum lagi masuk syurga, pada hal mereka ingin sangat memasukinya. Dan apabila dialihkan pandangan mereka ke arah ahli neraka, mereka (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan kami bersama orang yang zalim.” (Surah al-A’raf, ayat 46-47)

Menurut Imam al-Qurtubi, al-a’raaf dari segi bahasa ialah tempat mulia atau ditinggikan dan dapat melihat orang melalui titian sirat untuk memasuki syurga atau neraka.

Perkongsian melalui slot Mau’izati di IKIMfm, Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menceritakan Rasulullah SAW menyebut, “Pada suatu hari akan dikumpulkan manusia pada Hari Kiamat dan akan diperintah penghuni syurga untuk masuk ke dalam syurga, manakala penghuni neraka masuk ke dalam neraka. Kemudian penghuni al-a’raaf akan dipanggil Allah lalu ditanya kepada mereka: Apakah yang kamu lihat? Dijawab: Kami melihat apa yang Kamu sebut, benar-benar terjadi ya Allah. Lalu dikatakan kepada mereka: Sesungguhnya kebaikan kalian melampaui batas untuk dimasukkan ke dalam neraka. Tetapi untuk memasuki syurga, ada kesalahan yang kalian lakukan. Oleh itu, masuklah kalian ke dalam syurga dengan pengampunan dan kasih sayang Allah SWT.”

Di dalam kitab K’ab al-Ahbar, diceritakan ada dua lelaki yang bersahabat ketika di dunia. Salah seorangnya berjalan menemui sahabatnya yang sedang menuju ke neraka. Lalu dia berkata kepada sahabatnya itu, “Demi Allah, tidak ada yang tinggal padaku kecuali satu kebaikan yang boleh menyelamatkanku. Ambillah wahai saudaraku, mungkin kamu akan selamat dan kita menjadi penduduk al-a’raaf. Kemudian Allah memerintahkan kedua-duanya dimasukkan ke dalam syurga.

Pendapat ulama menyatakan, ini adalah di antara orang yang digambarkan dengan ahli syurga yang paling miskin sekali di akhirat nanti ialah al-a’raaf.

Abu Hamid menceritakan dalam kitabnya Kasyhful Ulum al-Akhirah, seorang lelaki dibawa pada Hari Kiamat, namun tiada satu pun kebaikan memberatkan timbangannya yang sama berat di antara amal baik dan amal buruknya.

Allah SWT memerintahkannya mencari satu lagi kebaikan supaya melayakkannya memasuki syurga. Lalu lelaki ini mula mencari ke seluruh alam mereka yang akan memberikan amalan baik mereka kepadanya.

Setiap orang yang ditemui menyatakan kebimbangan mereka amalan kebaikan akan berkurangan, sedang mereka lebih memerlukannya berbanding lelaki itu. Lama-kelamaan lelaki itu mula berputus asa, lalu datang seorang lelaki lain bertanya apakah yang dicarinya.

Amal kebaikan bawa ke syurga

Dijawab bahawa dia sedang mencari satu sahaja lagi amal kebaikan bagi membolehkannya memasuki syurga Allah SWT. Lelaki itu pula berkata kepadanya bahawa dia telah bertemu dengan Allah SWT dan mempunyai hanya satu amalan baik dan tidak membawa manfaat kepadanya kerana dia akan dihumban ke dalam neraka.

Lalu dia memberikan amal baiknya kepada lelaki yang memerlukan satu lagi amal kebaikan untuk memasuki syurga itu. Kemudian dia dipanggil dan disoal Allah SWT kenapa amal baiknya diberikan kepada lelaki itu dan Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Demi kemuliaan-Ku, lebih luas daripada kemuliaan kamu, ambillah tangan saudaramu yang telah kamu berikan amal baikmu kepadanya tadi, dan masuklah kamu berdua ke dalam syurga.”

Demikian juga orang yang timbangan amalnya sama berat. Allah SWT berfirman kepadanya yang bermaksud: “Kamu bukan penghuni syurga dan bukan penghuni neraka. Lalu pemilik lembaran itu meletakkan kitab mizannya, dan keluar kalimah derhaka (Cis!) yang pernah disebutkan kepada ibu bapanya, yang dosanya seberat gunung. Kerana dosanya itu maka dia dihumbankan ke neraka. Setelah dibawa ke neraka, lelaki itu meminta dibawa semula untuk menemui Allah SWT.

Dia menyatakan ketika berada di sana, dilihat ayahnya juga menjadi ahli neraka dan meminta Allah SWT menambah seksaan kepadanya dan menyelamatkan bapanya dengan pahalanya sebelum ini.

Abu Hamid menyebut di dalam kitabnya, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Di dunia kamu menderhakainya, tetapi di akhirat kamu berbuat baik kepadanya. Ambillah tangan bapamu dan masuklah kamu berdua ke dalam syurga.”

Riwayat Huzaifah mengisahkan, penjaga al-mizan pada Hari Kiamat adalah Malaikat Jibril dan penduduk al-a’raaf adalah mereka yang paling rendah darjatnya di sisi Allah SWT.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Orang terakhir merangkak masuk syurga

Posted by epondok di Ogos 18, 2017

Oleh Fairuz Noordin

 

DIKATAKAN jika manusia memohon dan berdoa kepada Allah SWT supaya dimasukkan ke dalam syurga sebanyak tiga kali setiap hari, nescaya syurga akan menyebut kepada Allah SWT supaya hamba-Nya dimasukkan ke dalam syurga.

Jika manusia sentiasa berdoa supaya Allah SWT melindungi mereka daripada azab neraka sebanyak tiga kali sehari, nescaya neraka pula akan memohon kepada Allah SWT supaya menjauhkan hamba-Nya itu daripada dihumban ke dalam neraka.

Diriwayatkan oleh Ibnu al-Mubarak daripada Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda: “Manusia diingatkan supaya berusaha menangis mengenangkan dosa yang dilakukan ketika hidup di dunia walaupun terpaksa menitiskan air mata, kerana sesungguhnya penghuni neraka akan menangis sehingga air mata mereka bergenang seperti sungai dan setelah kering air mata itu akan mengalir pula darah dari mata mereka seperti mata air sehinggakan kapal juga dapat berlayar di dalamnya.”

Sesungguhnya azab paling ringan dalam neraka ialah mereka yang dipakaikan selipar tetapi menyebabkan mendidih otaknya. Baginda SAW juga bersabda: “Demi Allah, sekiranya kamu mengetahui apa yang aku ketahui, nescaya kamu akan sedikit sahaja

ketawa di atas dunia dan menyimpannya pada akhirat nanti.”

Menurut Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani dalam slot Mau’izati di IKIMfm, setelah Allah SWT menolak permintaan dan rayuan ahli neraka untuk dihentikan azab, mereka akan didatangi maut berbentuk seekor kibas yang diletakkan tempatnya di antara syurga dan neraka.

Lalu disebut: “Tahukah kamu semua apakah ini? Sambil diperhatikan oleh seluruh penghuni syurga dan neraka. Ahli syurga menjawab mereka mengetahui bahawa itu adalah maut dan kemudian binatang itu disembelih, menandakan bermula pada saat itu sudah tidak ada lagi maut dalam kalangan manusia.”

Ahli syurga bersorak kegembiraan kerana mereka tidak lagi akan merasai kematian dan kekal di dalam syurga, namun ahli neraka berteriakan dan hampa kerana mereka akan terus kekal diazab di dalamnya.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan berilah amaran (wahai Muhammad) kepada umat manusia seluruhnya mengenai hari penyesalan, iaitu hari diselesaikan perbicaraan perkara masing-masing pada masa mereka (yang ingkar) di dunia ini berada dalam kelalaian serta mereka pula tidak mahu beriman.” (Surah Maryam, ayat 39)

Ejek penghuni neraka

Pada hari akhir alam akhirat kelak, Allah SWT menciptakan sejenis permainan bagi penghuni neraka dalam bentuk ejekan sebagai balasan ketika hayat di dunia mereka sering mengejek ayat Allah SWT iaitu orang munafik.

Apabila mereka bertemu orang beriman, mereka mengakui berada dalam kumpulan yang sama. Namun, apabila mereka berpaling kepada puak yang melakukan kejahatan dan syaitan, mereka mengakui hanya mempermain-mainkan golongan beriman.

Akhirnya Allah SWT membiarkan mereka berada dalam kesesatan, seperti disebut oleh Abu Salih, pada Hari Kiamat nanti dikatakan kepada penghuni neraka: “Kamu semua boleh keluar dari neraka ini,” sambil diperintahkan Allah SWT supaya malaikat membawa penghuni neraka keluar.

Pintu neraka dibuka dan penghuninya berlari kegembiraan ke arah pintu itu untuk keluar dari neraka. Ketika mereka sampai di hadapan pintu neraka, ia ditutup kembali dan pada waktu itu penghuni neraka ditertawakan ahli syurga yang sedang melihat perbuatan mereka itu.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Maka pada hari ini, orang yang beriman pula tertawakan orang yang kafir itu. Sambil mereka berehat di atas pelamin (yang berhias), serta melihat (hal yang berlaku kepada musuhnya). (Untuk menambahkan kegembiraan mereka, mereka ditanya): Bukankah orang yang kafir itu telah dibalas akan apa yang mereka telah kerjakan dahulu?” (Surah al-Mutaffifin, ayat 34-36)

Qatadah berkata: “Ka’ab menyatakan kepada kami bahawa sesungguhnya di antara syurga dan neraka ada beberapa lubang di dinding yang boleh dipandang, dan jika seorang Mukmin ingin melihat keadaan musuhnya ketika hidup di dunia dahulu, maka dia boleh melihat melalui satu

daripada lubang itu.”

Selain itu pada hari terakhir ahli tauhid, iaitu manusia yang di dalam dadanya terdapat kalimah tauhid akan mula dikeluarkan daripada neraka.

Sabda Rasulullah SAW: “Sekumpulan orang daripada umatku akan dimasukkan ke dalam neraka kerana dosa mereka. Mereka berada di dalam neraka selama yang dikehendaki oleh Allah, namun mereka akan dikeluarkan daripadanya dan tempat mereka akan digantikan oleh orang musyrik. Kemudian orang musyrik itu berkata kepada mereka: Tidak ada perbezaan di antara kamu semua dengan kami melainkan kamu semua beriman dan mengesakan Allah. Sehingga iman dan tauhid kamu semua memberi manfaat kepada kamu.”

Kelebihan ahli tauhid

Oleh yang demikian, semua yang mempunyai tauhid dikeluarkan oleh Allah SWT namun di atas dahi mereka tertulis ‘ahli neraka.’ Orang kafir pada hari akhirat kelak sentiasa menginginkan sekiranya ketika di dunia dahulu mereka pernah menjadi Muslim.

Rasulullah SAW juga menyatakan, seorang hamba akan menyeru Allah SWT di neraka jahanam selama seribu tahun dengan kata-kata: “Wahai Tuhan yang Maha Pengasih dan Maha Dermawan. Lalu Allah memerintahkan Jibril ke neraka untuk membawa hambanya itu di hadapan-Nya. Namun penghuni neraka itu menjauhkan diri daripada Jibril kerana takut kepadanya sehinggakan Jibril juga tidak menemui hamba yang menyeru nama Allah itu, lalu dia kembali kepada Allah. Kemudian Allah SWT memberi petunjuk kepada Jibril mengenai kedudukan hamba itu di dalam neraka, lalu Jibril pergi ke tempat yang dimaksudkan dan menemui hamba Allah itu sambil berkata kepadanya: Wahai hamba Allah, bagaimanakah pandangan kamu akan tempatmu sekarang? Lalu dijawab: Ini adalah tempat paling buruk. Jibril meminta hamba itu keluar daripada tempat itu kerana diberi kebenaran oleh Allah. Maka keluarlah hamba itu dengan gembira dan berkata: Wahai Tuhanku, aku berharap supaya Kamu tidak akan mengembalikan aku ke tempat ini selepas aku keluar darinya.”

Orang terakhir keluar daripada neraka dan terakhir masuk

ke dalam syurga seperti diriwayatkan oleh Ibnu Mas’ud, Rasulullah SAW bersabda: “Aku mengetahui orang yang terakhir daripada neraka dan terakhir masuk ke syurga. Orang yang terakhir keluar daripada neraka dalam keadaan merangkak, Allah berfirman kepadanya: Pergilah kamu ke syurga dan masuklah ke dalamnya. Apabila dia pergi ke sana, Allah menunjukkan kepadanya bayangan bahawa syurga itu sudah penuh dan terus mengadu kepada Allah, lalu diperintahkan pergi semula ke syurga. Namun diberi gambaran lagi akan tiadanya kekosongan

di sana dan kembali mengadu

kepada Allah. Kemudian selepas diperintahkan oleh Allah untuk pergi ke syurga untuk kali ketiga dan berkata kepadanya bahawa dia akan mendapati keluasan di dalam syurga ialah seperti sepuluh kali keluasan dunia. Hamba itu berkata: Adakah kamu mempermainkan aku, ya Allah? Tatkala pada saat itu sambil bersabda, Rasulullah ketawa sehingga menampakkan gigi gerahamnya kerana sesungguhnya orang itu adalah yang paling rendah darjatnya tetapi dimasukkan juga ke dalam syurga.”

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »