Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 1 Julai 2017

Pondok Sik terus dekat dihati masyarakat

Posted by epondok di Julai 1, 2017

Mohd Nasif Badruddin

Pondok Tuan Guru Haji Salleh Musa di Sik, Kedah yang juga dikenali sebagai Madrasah ar-Rahmaniah begitu dekat di hati masyarakat sehinggakan pasar pagi di situ dikenali sebagai Pasar Pagi Tok Guru.

Menurut cerita, pasar pagi di situ muncul dengan adanya kuliah agama setiap pagi Jumaat dan kehadiran ribuan orang ke pondok menjadi daya tarikan buat penduduk membuka khemah untuk berniaga sambil menuntut ilmu.

Menyorot latarnya, Madrasah ar-Rahmaniah diasaskan Tuan Guru Haji Musa sebelum penjajahan Jepun di penghujung 1930-an sebelum berkembang pesat di bawah pimpinan anaknya Tuan Guru Haji Salleh Musa dari 1964 hingga 2016 dan kini diterajui pula cucunya, Tuan Guru Muslim Salleh, 42, sebagai mudir.

Menurut Muslim, meskipun melalui beberapa zaman peralihan, ia masih mengekalkan sistem pengajian tradisi secara halaqah menggunakan kitab turath dari kulit ke kulit dan hanya berubah dari segi binaan bangunan serta pengurusan yang lebih baik.

Katanya, Madrasah ar-Rahmaniah kini mempunyai 300 pelajar berusia 16 hingga 90 tahun terdiri daripada remaja lelaki, remaja perempuan dan warga emas.

“Pondok ini hanya mempunyai dua guru tetap iaitu saya dan adik, Ustaz Yazid yang tidak bergaji dibantu enam pembimbing pelajar dewasa,” katanya.

Katanya, tiada yuran pengajian bulanan dikenakan kecuali yuran pendaftaran RM50 seumur hidup dan elektrik RM10 sebulan manakala makan minum terserah kepada pelajar sendiri menentukannya.

Menurutnya, walaupun dihimpit arus kemodenan dengan perkembangan sekolah agama berasrama penuh dan pelbagai lagi, institusi agama tradisional masih mendapat perhatian masyarakat.

“Masyarakat mahukan kelainan dengan pengajian mendalam dari kulit ke kulit kitab dan kupasan terperinci daripada orang yang alim di bidang agama.

“Pondok kini bukan saja dihadiri pelajar tercicir, malah menjadi tumpuan lepasan universiti dari dalam dan luar negara,” katanya.

Muslim berkata, pihaknya mementingkan tapisan pelajar di pondok itu iaitu kehadiran secara sukarela.

Katanya, hanya syarat minimum dikenakan iaitu baligh dan dapat membaca jawi serta mengaji al-Quran.

Menurutnya, Madrasah ar-Rahmaniah sering menerima kunjungan tetamu dari dalam dan luar negara, malah menjadi lokasi pilihan pelbagai majlis keraian terutama hari kebesaran Islam.

“Biasanya ketika Maulidur Rasul kami bergotong-royong dengan penduduk kampung menyediakan makanan untuk 7,000 orang dan pernah mencatat rekod kehadiran 10,000 orang beberapa tahun lalu apabila diadakan perarakan sambutan.

“Sambutan menggalakkan penduduk sekitar membuktikan pondok masih relevan dan dekat dengan masyarakat,” katanya.

Posted in Pondok Kedah, Pondok Malaysia | Leave a Comment »