Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Jun 2017

Pondok Sik terus berbakti kepada masyarakat

Posted by epondok di Jun 30, 2017

Posted in Pondok Kedah, Pondok Malaysia | Leave a Comment »

Syuhada, insan bertakwa dirindui syurga

Posted by epondok di Jun 28, 2017

Fairuz Noordin

Tiada nilai kehidupan di dunia walaupun dilimpahi kemewahan, dipuja dan dipandang mulia jika apabila tiba saat kematian, mereka terhumban ke dalam neraka. Kehidupan manusia lebih bernilai apabila diberi kemuliaan di sisi Allah SWT sebagai penghuni syurga pada Hari Akhirat kelak. Tetapi, sayangnya ramai manusia dalam keadaan hanyut dan terperangkap dengan tipu daya ketika hidup di dunia seperti mana dijelaskan dalam al-Quran.

Allah SWT berfirman bermaksud: “Telah hampir datangnya kepada manusia hari perhitungan amalnya sedang mereka dalam kelalaian, tidak hiraukan persediaan baginya. Tidak datang kepada mereka itu sebarang peringatan yang diturunkan dari Tuhan mereka lepas satu, satu, melainkan mereka memasang telinga mendengarnya sambil mereka mempermain-mainkan.” (Surah al-Anbiya’, ayat 1-2)

Menyambung kembali perkongsian mengenai golongan manusia yang dirindui syurga, menerusi slot Mau’izati, Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani, berkata mereka adalah golongan yang mati syahid dan berusaha melayakkan diri berada dalam kalangan yang syahid.

Tetapkan niat mati syahid

Menurut Rasulullah SAW, jika manusia mempunyai niat untuk mati syahid tetapi menemui ajal di atas katil, maka dia akan beroleh ganjaran sama seperti mereka yang syahid. Namun, realitinya manusia sangat takut untuk mengimpikan syahid malah begitu gerun menghadapi kematian.

Selain itu, manusia yang membaca, menghafal, bertadabbur dan beramal dengan al-Quran akan tergolong dalam kalangan manusia yang akan beroleh ganjaran sangat istimewa ini. Orang Mukmin akan merasai nikmat apabila membaca dan beramal dengan al-Quran kerana ia adalah petunjuk kepada jalan kehidupan. Tanpa panduan dan petunjuk daripada al-Quran, manusia berada dalam kesesatan.

Diriwayatkan oleh Abdullah bin Buraidah daripada bapanya, dia menyebut: “Aku duduk dengan Nabi SAW dan mendengar Baginda bersabda: Belajarlah surah al-Baqarah kerana sesungguhnya dengan mempelajarinya akan beroleh keberkatan dalam hidup kalian, manakala apabila kamu meninggalkannya akan rugilah hidup kalian, orang yang malas tidak akan melaksanakannya. Kemudian Baginda terdiam seketika dan berkata: Belajarlah surah al-Baqarah dan surah al-Imran kerana kedua-duanya adalah bunga yang menjadikan kecantikan kepada diri kamu. Kedua-duanya akan mendatangkan ketenangan kepada kamu, teduhan kepada pembacanya. Pada Hari Kiamat ia akan menjadi seakan-akan awan yang menutupi atau bagaikan sayap burung. Pembaca surah al-Baqarah dan surah al-Imran apabila berjalan pada hari akhirat nanti akan dinaungi dengan awan dan bagaikan sayap burung kerana al-Quran akan mendatangi pembacanya seperti seorang lelaki yang tampan, sambil bertanya: Adakah kamu mengetahui siapakah diriku? Pembaca al-Quran akan menjawab bahawa mereka tidak mengenali siapakah lelaki yang tampan itu. Kemudian lelaki itu berkata: Aku adalah al-Quran yang dahulunya kamu selalu bangun dan menyendiri membacaku. Setiap pedagang akan mendapat keuntungan, al-Quran memberi kerajaan di tangan kanannya dan berkekalan di tangan kirinya. Lalu diletakkan di atas kepala si pembaca al-Quran itu dengan mahkota yang indah di Padang Mahsyar. Kedua orang tuanya akan diberi perhiasan hasil daripada anak-anak mereka yang sering membaca al-Quran. Kemudian semua ahli dunia akan menghormatinya lalu dikatakan kepadanya: Kamu mendapat semua ini kerana anakmu membaca al-Quran dan dikatakan kepada anaknya, bacalah dan naiklah ke syurga dan tempatkanlah mereka di kamar-kamarnya, ia akan sentiasa naik selagi mana dia membaca al-Quran.”

Sentiasa perbaiki akhlak

Golongan ketiga yang sering dirindui syurga ialah mereka yang sentiasa memperbaiki akhlaknya. Akhlak ditunjukkan seharusnya ialah akhlak al-Quran dan mengikut cara Rasulullah SAW berakhlak dengan jasadnya, pasangan, anak, keluarga, sahabat dan cara Baginda bernegara. Akhlak yang perlu dijaga adalah akhlak dalaman dan luaran meliputi pandangan mata daripada melihat perkara haram, tangan tidak menyentuh benda dilarang Allah SWT. Akhlak dalaman dipelihara dengan menjaga hati.

Akhlak juga perlu ada dalam penulisan yang tidak dilakukan sembarangan kerana penulisan tidak berlandaskan maklumat yang betul atau bertujuan menganiaya pihak lain, kesudahannya ialah di dalam neraka dan tiada kerinduan syurga untuk dirinya. Selain itu, orang yang meletakkan cintanya hanya kepada Allah SWT akan dirindui syurga pada Hari Akhirat kelak.

Cinta bukan untuk makhluk tetapi hanya untuk al-Khaliq dan Dialah yang selayaknya untuk dicintai. Semakin meningkat usia orang Mukmin, semakin kuat cintanya kepada Allah SWT dan berkira-kira dengan setiap apa dilakukannya diredai Allah SWT atau tidak. Malah, mereka juga tidak pernah berputus asa dengan dunia dan berusaha mendapatkan cinta Allah SWT. Orang yang meninggalkan pertelingkahan dan perdebatan juga dirindui syurga. Rasulullah SAW menjamin sebuah rumah dalam syurga bagi orang yang meninggalkan pertengkaran. Lebih baik mendiamkan diri ketika dicabar daripada menimbulkan pertengkaran walau berada pada pihak benar.

Ciri manusia yang dirindui syurga, mereka yang mempunyai sifat tawakal tinggi kepada Allah SWT. Elakkan memakan rasuah, menuntut elaun palsu dan menipu kerana sesungguhnya ia akan menghilangkan tawakal kepada Allah SWT. Orang yang suka memberi makan dan berlemah-lembut dengan orang lain serta sanggup bangun sewaktu manusia lain sedang tidur lena juga adalah golongan istimewa yang bakal dirindui syurga di Hari Akhirat kelak.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Al-Quran mukjizat agung tiada tandingan

Posted by epondok di Jun 27, 2017

Oleh Muhammad Hafiz Badarulzaman

AL-QURAN adalah mukjizat agung yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW. Kitab suci keempat yang wajib diimani oleh umat Islam seluruh dunia mengandungi 114 surah dan 30 juzuk.

Uniknya, di Malaysia kita menyambut saban tahun hari penurunan al-Quran (Nuzul Al Quran) sebagai satu mukjizat agung Nabi Muhammad SAW sehingga hari itu dijadikan sebagai cuti umum bagi negeri tertentu.

Kalangan ulama berbeza pendapat berkaitan tanggal turunnya al-Quran, namun ulama juga bersepakat bahawa kitab suci itu diturunkan ketika Ramadan. Sungguhpun begitu, pasti akan timbul satu persoalan iaitu kenapakah al-Quran yang dipilih untuk dijadikan sebagai mukjizat dan bukan keistimewaan yang lain? Jawapan bagi persoalan ini perlu diteroka bersandarkan kepada sirah nabawiyyah dan mukjizat nabi dan rasul.

Sekiranya kita merenung kembali kepada era kenabian Nabi Musa AS, kita akan mendapati bahawa amalan sihir dan ilmu hitam menjadi fenomena masyarakat pada zaman itu. Malahan, Firaun yang mengaku dirinya tuhan turut memiliki ahli sihir ‘kelas pertama’ yang mampu mengabui mata rakyat mengenai apa jua kedustaannya. Maka, Allah SWT menurunkan mukjizat kepada Nabi Musa AS apabila tongkatnya mampu berubah menjadi ular. Perubahan ini bagi tujuan untuk menandingi penyihir diraja Firaun dan akhirnya semua yang terpana dengan mukjizat Nabi Musa AS beriman kepada Allah SWT.

Begitu juga halnya dengan era Nabi Sulaiman AS, masyarakat pada waktu itu menggeruni kekuasaan dan kehebatan kerajaan Saba’ di bawah pemerintahan Ratu Balqis yang menyembah matahari. Allah memberikan kehebatan mukjizat Nabi Sulaiman AS dengan kerajaan manusia, jin dan haiwan bagi menandingi kerajaan Ratu Balqis. Baginda mampu bertutur dalam bahasa jin dan haiwan sehingga kisah ini diungkapkan dalam Al-Quran. Akhirnya, Ratu Balqis memilih untuk berserah diri dan menyembah Allah SWT. Secara sepintas lalu, dapatlah kita simpulkan bahawa penurunan mukjizat kepada nabi AS adalah berdasarkan kepada kehendak, fenomena dan ‘trending’ lokaliti pada sesuatu era.

Tidak hairan al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW kerana pada era itu masyarakat jahiliah sangat mengagungkan hasil sastera dan puisi Arab. Keadaan geografi tanah Arab yang kering kontang menjadikannya bukan sasaran taklukan empayar Rom dan Parsi. Ini termasuk aktiviti ekonomi yang bersifat sederhana dengan bumi yang tandus serta jalan perdagangan kerap menjadi laluan rompakan termasuk peperangan antara kabilah dalam kalangan mereka.

Sungguhpun begitu, ilmu kesusasteraan mempunyai nilai estetika yang tinggi sehinggakan kalangan pujangga yang mendeklamasi puisi dan pengucapan awam ditakuti oleh raja dan pemerintah kabilah. Antara pujangga terkenal ketika era jahiliah, termasuk Imri Al Qays, Zuhair, Labid, Antarah dan sebagainya. Mereka akan mendeklamasikan puisi di pasar yang terkenal antaranya, Pasar Ukkaz dan puisi yang terbaik akan dipilih untuk ditulis dengan tinta emas dan digantung di kiswah (dinding Kaabah).

Tandingi kepakaran pujangga

Begitulah hebatnya puisi dan pengucapan awam dalam ilmu kesusasteraan Arab sehingga diagung-agungkan oleh masyarakat jahiliah. Berikutan itulah, al-Quran dipilih bagi menandingi kepakaran pujangga dan seterusnya menandingi semua makalah puisi agung yang digantung di dinding Kaabah. Susunan ayat, laras bahasa dan gaya seni yang digunakan di dalam al-Quran begitu unik. Ia kaya dengan unsur metafora, ritma, aliterasi, asonansi dan sebagainya menyebabkan pujangga dan masyarakat jahiliah menjadi hairan dan takjub. Mereka tidak dapat menerima kebenaran tentang kehebatan al-Quran sehingga ada yang mendakwa bahawa al-Quran adalah rekaan Nabi Muhammad SAW (Ath-Thur : 34) dan ia adalah sihir yang dipelajari dari orang-orang terdahulu (Al-Muddatsir : 24-25).

Malah, lebih teruk lagi muncul Musailamah al-Kadzab yang mencipta sendiri ayat yang hampir sama bunyi dan laras bahasa untuk menandingi al- Quran namun ternyata semuanya gagal. Keindahan dan kesenian bahasa al-Quran turut menyebabkan dua pembesar Makkah masuk Islam iaitu Umar Al Khattab dan Al Walid Ibn Al Mughirah. Ini tidak termasuk lagi kehebatan al Quran yang kaya dengan ilmu sejarah, psikologi, matematik, sains, kesihatan dan sebagainya. Bahkan hebatnya al-Quran kerana ia masih lagi kekal dalam bahasa Arab dan susunan ayat masih lagi tidak berubah sejak penurunannya berbanding kitab ajaran lain seperti Bible yang asalnya bahasa ibrani sudah bertukar menjadi bahasa yunani.

Oleh yang demikian, dapatlah disimpulkan bahawa al-Quran adalah mukjizat agung yang diturunkan kepada umat Islam yang perlu dibaca dan dihayati setiap masa. Laras bahasa dan susunan ayatnya yang unik mampu dijadikan sebagai garis panduan kepada rakyat Malaysia untuk berbicara secara terus mahupun mengketik papan kekunci di telefon bimbit mahupun komputer dalam menyelusuri media sosial dengan sopan dan berbudi. Jangan pula jadikan media sosial sebagai wasilah untuk kita memfitnah, menabur berita palsu dan membudayakan bahasa yang tiada adab dan jati diri kerana perkara tersebut bukan sekadar tidak menepati gaya penulisan bahasa al-Quran malahan turut bertentangan dengan inti pati dan isi kandungan al Quran. Marilah sama-sama kita menginsafi dan mentadabbur segala intipati yang terdapat di dalam al-Quran dan semoga kita dapat memanfaatkan sebaiknya sambutan Nuzul Al-Quran baru-baru ini agar kita dapat untuk menelaah dan memurajaah al-Quran bersama ahli keluarga.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Sederhana sambut Aidilfitri

Posted by epondok di Jun 25, 2017

Nasarudin Isa

 

Satu Syawal, terserlah keceriaan dan semangat muhibbah dalam kalangan rakyat Malaysia yang majoritinya pulang ke kampung halaman.

Walau bagaimanapun, dalam kita menunaikan ibadat Aidilfitri dengan riang gembira, memupuk amalan kesederhanaan dalam ibadat berhari raya amat dituntut dalam Islam.

Syawal disambut sebagai satu titik kejayaan dan kesyukuran meraikan kemenangan bulan Ramadan dalam usaha mengangkat ketakwaaan di sisi Allah SWT.

Maka kedatangan Syawal, perlu disambut dengan penuh hikmah dan bijaksana sambil kemeriahan​ ​Aidilfitri​ ​dapat​ ​diterapkan​ ​konsep​ ​kesederhanaan​ ​yang​ ​memberi​ ​manfaat.

Kesederhanaan​ ​dalam​ 
 ​kemeriahan​ ​Aidilfitri

Jika di sepanjang Ramadan, umat Islam yang menghayati hikmah berpuasa akan berjaya merasai nikmat indahnya Ramadan dalam kesederhanaan, maka begitulah juga ia dituntut menjelang Syawal – agar keimanan yang berteraskan kesyukuran dan kesederhanaan itu menjadi​ ​amalan​ ​istiqamah.

Dalam membicarakan aspek memupuk kesederhanaan yang lestari, baik di bulan Ramadan mahupun Syawal, apa yang dikhuatiri adalah umat Islam terleka dan melampaui batas dalam menyambut ibadah Aidilfitri hatta mengabaikan konsep kesederhanaan yang telah terbenih sewaktu​ ​bulan​ ​puasa.

Bukanlah budaya kesederhanaan itu sekadar menjadi amalan di bulan Ramadan semata, sebaliknya merupakan tunjang istiqamah dalam kehidupan seorang insan.

Sambutan Syawal yang begitu meriah sehingga melanggar batas Islam, baik menerusi pemakaian, perayaan, pemakanan mahupun pembelian adalah antara contoh amalan yang membuktikan konsep syukur​ ​diabaikan.

Justeru, memupuk amalan kesederhanaan dalam akal fikiran dan tindakan merupakan satu titik asas yang menjadi mercu tanda kewarasan setiap dari kita.

Memahami konsep kesederhanaan akan membawa kita menjadi umat Islam yang bijaksana tanpa membazirkan nikmat​ ​Allah​ ​yang​ ​telah​ ​diberikan​ ​kepada​ ​kita.

Maka perlunya umat Islam membuat saringan pada setiap keperluan dan kehendak dengan berteraskan konsep kesederhanaan, agar kemeriahan Aidilfitri disambut secara berhikmah – dalam​ ​kemeriahan​ ​yang​ ​bermanfaat​ ​kepada​ ​diri​ ​dan​ ​semua.

Kesederhanaan​ ​penghubung​ 
​ silaturrahim

Ziarah-menziarahi adalah aktiviti utama umat Islam menyambut Aidilfitri. Dalam menyemai tradisi ini, adab kesopanan perlu dititikberatkan memandangkan setiap insan mempunyai cara hidup tersendiri yang meliputi kelebihan dan kekurangan tertentu.

Di sini kita perlu menimba penghayatan amalan kesederhanaan dalam fikiran dan tindakan, supaya kesederhanaan itu menjadi teras pengukuh silaturrahim. Apa yang perlu dipastikan, bicara kata yang akan dikeluarkan adalah ungkapan yang menarik magnet ukhwah perhubungan, bukannya meleraikan​ ​ikatan.

Konsep kesederhanaan mengikut kesesuaian keadaan dan persekitaran akan mencerminkan hikmah kebijaksanaan yang akhirnya membuahkan kemanisan kasih sayang antara keluarga, saudara-mara, dan komuniti seluruhnya.

Semoga sambutan Aidilfitri kali ini, merapatkan ukhwah perhubungan dan terbinanya rantaian silaturrahim yang akhirnya membentuk kekuatan ummah.

Di sinilah peri pentingnya kesederhanaan yang lestari sifatnya, bertabayyun dalam bicara dan hikmah dalam menangani perbezaan pandangan agar adab kesopanan, perpaduan, dan keamanan diutamakan untuk kebaikan dan kebaikan komuniti yang​ ​sejahtera.

Wasatiyyah ​dalam ​
 ​pemanduan

Menjelang musim perayaan juga, seperti biasa kita akan dimaklumkan dengan kesibukan lalu lintas dan hal ini akan menjadikan perjalanan lebih panjang berikutan kesesakan yang berlaku.

Dalam konteks ​wasatiyyah,​ kita perlu bersedia merancang perjalanan dengan baik di samping mengamalkan etika pemanduan yang sihat.

Persiapan diri dari sudut fizikal dan mental menjadi sandaran utama bagi memastikan perjalanan kita tenang dan selamat.

Semua keperluan dan kelengkapan anak-anak perlu dirancang sebaiknya agar tidak menimbulkan kekacauan dalam perjalanan.

Antara langkah yang boleh diambil adalah pemandu mendapatkan rehat yang cukup, periksa kenderaan sebelum memulakan perjalanan, mempersiapkan bantuan asas kelengkapan kenderaan, rancang perjalanan jarak dan masa, serta mematuhi peraturan dengan penuh kesabaran.

Perancangan terbaik, tindakan terbaik, hasilnya juga adalah terbaik. Inilah yang diagungkan dengan ​ummatan wasath.

Islam mengajar umatnya melakukan perkara yang baik dan menjauhi perkara yang buruk dan membinasakan. Maka, kesederhanaan dalam mempamerkan emosi adalah satu pendekatan terbaik yang memerlukan daya tahan yang tinggi dan akhirnya menjadikan kita umat cemerlang.

Memupuk rasa kesederhanaan, ia berkait dengan ketakwaan kita sebagai hamba Allah ya Malik ya Haq. Sambutan ibadat hari raya dilahirkan bukan kerana riak tetapi atas rasa syukur.

Semaikan ketakwaan dengan mendokong amalan kesederhanaan melalui rasa tawakkal tatkala ingin mendapatkan, reda pada sesuatu yang diperoleh, dan sabar terhadap sesuatu yang tiada.

Tiga konsep penerimaan asas ini, berkait dengan takwa yang mana mampu menghambat kita ke arah memupuk kesederhanaan dalam fikiran dan imaginasi seterusnya menghasilkan​ ​satu​ ​intipati​ ​beraura​ ​positif.

Semoga amalan kesederhanaan dalam konteks ibadat Hari Raya Aidilfitri menjadikan Malaysia negara aman, di samping kesedaran rakyat terdidik terhadap pentingnya wasatiyyah sebagai asas pemikiran dan tindakan.

Secara langsung, pemupukan kesederhanaan ini menjadi perintis ke arah persefahaman yang tinggi serta keterbukaan pada sikap dan pandangan, sehingga rakyat Malaysia mampu mempromosikan rukun kesopanan dan kesusilaan.

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan) baik hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).” (Surah Al-Ahzab, 21).

Selamat Hari Raya Eidul Fitr Al Mubarak kepada semua

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Pecutan ibadah penghujung Ramadan

Posted by epondok di Jun 24, 2017

Oleh Nik Hasnah Ismail

TIDAK ada jalan lain untuk menggapai keharmonian dalam kehidupan selain mentaati perintah Allah SWT. Orang yang taat perintah Allah SWT dan menjauhkan diri daripada segala perbuatan mungkar akan dapat mencapai kebahagiaan hakiki dan mendapat kecintaan Nabi Muhammad SAW.

Memulakan rancangan Islam Itu Indah di IKIMfm, Ustaz Pahrol Muhamad Juoi menceritakan mengenai sahabat bernama Rabiah yang bersendirian dengan Rasulullah SAW dan Baginda berkata kepadanya, pohonlah apa yang kamu mahukan. Lalu Rabiah berkata, “Aku hanya minta untuk menjadi temanmu di syurga Allah SWT. Lalu Baginda menjawab: Bantulah aku untuk mencapai keinginanmu dengan cara perbanyakkan sujud kepada Allah SWT.”

Mesej yang ingin disampaikan kepada kita ialah memperbanyakkan solat kepada Allah SWT khususnya pada penghujung Ramadan seperti ditunjukkan Rasulullah SWT yang menghabiskan sebahagian waktu di masjid. Sesungguhnya pada 10 hari terakhir Ramadan ini, kita hendaklah lebih serius melakukan amal ibadah kepada Allah SWT kerana dikatakan waktu terbaik menyemak sejauh mana amalan dan kedudukan nafsu kita dalam melaksanakan amal ibadah.

Bagi mereka yang telah melakukan pecutan amal pada fasa terakhir Ramadan ini, teruskan dengan semangat ibadat kerana pastinya Allah SWT akan menghadiahkan lailatulqadar kepada mereka yang ikhlas beribadah. Mereka yang masih lagi ketinggalan menjana hubungan dengan Allah SWT, masjid, al-Quran, masih belum terlambat untuk membuat pecutan ibadah pada penghujung Ramadan ini.

Nafsu terdidik, hati bersih

Menurut alim ulama, mereka yang bersungguh-sungguh melaksanakan ibadah, pada penghujung Ramadan ini nafsunya telah menjadi kendur. Tanda nafsu telah jinak dapat dilihat melalui kebersihan hati. Nafsu yang terdidik dapat melahirkan hati yang lembut dan bersinar. Hati yang baik, cantik dan bersih apabila dapat berasa manisnya beribadah kepada Allah SWT. Hati yang baik terpancar melalui akhlak dan perbuatan indah seperti bersabar, tidak suka mengumpat, sentiasa bersangka baik dan memiliki sifat mahmudah. Hati baik kerana nafsu telah dapat dikawal menyebabkan mudahnya seseorang itu melakukan amal ibadah kepada Allah SWT.

Sebenarnya, hikmah besar ibadah puasa antara lain adalah mendidik hawa nafsu. Pakej dalam mendidik nafsu adalah melalui empat perkara iaitu ‘siam’ (menahan), qiam (mendirikan), al-Quran (membaca) dan sedekah (memberi).

Empat unsur itu saling berkaitan dalam mendidik hawa nafsu. Menurut Rasulullah SAW, orang yang terbaik adalah orang yang belajar atau mengajar al-Quran. Kedua-dua golongan itu mendapat kebaikan daripada Allah SWT. Jarak antara kita dengan ketenangan ditentukan oleh jarak hati dengan al-Quran.

Kehebatan al-Quran

Semakin dekat kita dengan al-Quran semakin harmoni dan tenang hati. Semakin jauh kita dengan al-Quran semakin gusar dan gelisahlah hati. Jika kita sibuk membaca, mentadabur al-Quran hingga tidak punya waktu untuk berdoa, nescaya Allah SWT tidak akan lupa memakbulkan permintaan atau doa kita.

Hebatnya al-Quran kerana memiliki kekuatan memakbulkan hajat yang sekian banyak. Membaca ayat al-Quran seperti senjata yang akan melaksanakan hajat kita. Al-Quran bukan seperti buku teks pelajaran, sungguhpun kita membaca tanpa memahami isi kandungannya, tetapi keberkatan dan kemukjizatan al-Quran akan memberi barakah kepada sesiapa sahaja yang membacanya. Apatah lagi jika membaca dengan kefahaman terhadap inti pati isi al-Quran memberi nilai kepada kehidupan.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Khutbah Aidilfitri 1438H

Posted by epondok di Jun 24, 2017

Khutbah Aidilfitri 1438H

عيدالفطري1438

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Istiqamah pada penghujung Ramadan

Posted by epondok di Jun 23, 2017

Mohamad A’sim Ismail

 

ALHAMDULILLAH kita ma­sih dipanjangkan umur oleh Allah SWT untuk berjumpa bulan Ramadan pada tahun ini, 1438 Hijrah. Syukur kepada-Nya juga bahawa kita telah pun melalui lebih separuh daripada Ramadan dan kini berada di penghujung bulan yang mulia. Ini bermakna kita telah melakukan sebahagian besar ibadat puasa Ramadan yang wajib termasuk ibadat lain seperti solat fardu berjemaah, solat tarawih, solat sunat, bangun bermunajat kepada Allah SWT pada malam hari, tadarus al-Quran dan berzikir sepanjang hari.

Bulan Ramadan adalah satu tempoh masa kita merebut peluang keemasan untuk mencari ganjaran pahala berlipat-ganda melalui amal ibadah. Ini kerana bulan ini penuh dengan keberkatan. Ulama tafsir al-Quran, Imam Ibnu Kathir menyatakan bahawa Allah SWT memuliakan bulan Ramadan dengan penurunan al-Quran. Dalam bulan Ramadan manusia diberikan berita gembira. Hadis Nabi SAW menceritakan: “Apabila Ramadan tiba, pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup dan syaitan dibelenggu.”

Ulama mentafsirkan bahawa pintu-pintu syur­ga dibuka sebagai satu rangsangan untuk umat Nabi Muhammad SAW berlumba-lumba melakukan ibadat. Pintu-pintu neraka ditutup dikiaskan kepada berkurangannya pelanggaran hukum Allah SWT oleh umat Islam pada bulan ini, manakala syaitan yang berkeliaran menghasut manusia seperti di bulan-bulan lain kini diikat dan dibelenggu sepanjang Ramadan.

Dalam bulan Ramadan dikurniakan malam Lailatulqadar. Maksud firman Allah SWT dalam ayat 3, Surah al-Qadr: “Malam kemuliaan itu (Lailatulqadar) lebih baik daripada seribu bulan.” Seribu bulan jika dinisbahkan sama dengan 83 tahun dan empat bulan. Nisbah ini membawa erti satu malam Lailatulqadar lebih baik daripada seluruh umur kita. Malam ini dirahsiakan kehadirannya secara tepat sebagai hikmah kepada umat Islam khasnya untuk berlumba-lumba beribadat.

Nabi SAW menasihatkan umat­nya untuk mencari Lailatulqadar pada penghujung 10 malam Ra­madan termasuk malam tujuh terakhir seperti sabdanya: “Carilah Lailatulqadar di 10 malam terakhir, namun jika di­timpa keletihan, maka janganlah dikalahkan pada tujuh malam yang berbaki.” (Hadis riwayat Imam Muslim).

Nabi SAW sendiri menyibukkan diri dengan ibadat pada 10 malam terakhir. Baginda turut mengejutkan isterinya untuk bersama-sama beribadat. Ini menun­jukkan bahawa ibadat dalam bulan Ramadan perlu dilipatgandakan oleh umat Islam apatah lagi pada penghujung Ramadan. Nabi Muhammad SAW memberi garis panduan sempurna kepada umatnya untuk mencari rahmat dan keampunan Allah SWT.

Jika kita melihat senario umat Islam di tanah air, ramai yang memenuhi masjid dan surau pada awal Ramadan. Pada pertengah­an dan penghujung Ramadan, jemaah akan berkurangan. Jika berkurangan disebabkan jemaah mula meninggalkan bandar untuk pulang ke kampung, maka itu adalah satu perkara yang tidak dapat dielakkan. Namun jika berkurangan kerana menonton televisyen atau teruja untuk me­nyambut 1 Syawal dengan me­lakukan perkara lain yang boleh dikesampingkan sementara dahulu, maka ini akan memberi kerugian kepada diri masing-masing.

Masyarakat Muslim mampu melakukan ibadat seperti solat fardu berjemaah, solat tarawih, witir, iktikaf dan berdoa di mana sahaja mereka berada. Bagi yang pulang ke kampung pada penghujung Ramadan ini, maka mereka boleh memenuhi ruang solat di masjid dan surau bersama orang kampung dan saudara-mara. Bagi yang kekal di bandar, maka boleh teruskan solat tarawih bahkan menyertai program qiam di masjid dan surau.

Walaupun bilangan jemaah semakin susut, sebagai bersangka baik kita anggaplah yang tidak hadir itu telah pulang ke kampung. Masyarakat di kampung pula, kita anggaplah mereka yang tidak hadir solat berjemaah kera­na ada urusan penting atau ada yang terus beribadat di rumah bersama-sama keluarga, menjadi imam kepada isteri dan anak-anak.

Kita teruskan amal ibadat ke­rana pulangannya nanti akan kembali kepada kita dalam bentuk ganjaran pahala, mentarbiah diri untuk menghadapi bulan-bulan berikutnya sehingga datang lagi Ramadan pada tahun hadapan. Kita perlu istiqamah me­rebut peluang yang dihamparkan Allah SWT dalam bulan ini.

Masyarakat perlu muhasabah diri tentang kehebatan dan keberkatan bulan Ramadan untuk mereka terus istiqamah beribadat. Sebagai contoh ganjaran untuk mereka yang solat Isyak dan Subuh berjemaah mendapat ganjaran amal seluruh malam ber­kenaan.

Sabda Nabi SAW: “Sesiapa yang mengerjakan solat Isyak dan Subuh berjemaah pada waktu malam, maka dia juga telah menghidupkan seluruh malam itu”. (Hadis riwayat Imam Abu Daud).

Amalan beriktikaf dengan duduk di masjid melakukan ibadat kepada Allah SWT adalah sunah Nabi SAW dan berpotensi berjumpa dengan malam Lailatulqadar. Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan Tirmizi, Abu Hurairah; “Nabi SAW selalu beriktikaf pada setiap 10 hari terakhir Ramadan, manakala pada tahun baginda wafat, baginda beriktikaf selama 20 hari.”

Berdoa mencari maghfirah dan rahmat Allah SWT apatah lagi pada malam Lailatulqadar mempunyai kelebihan dan ganjarannya tersendiri. Untuk istiqamah melakukan ibadat khasnya dalam bulan Ramadan memerlukan niat yang betul iaitu ibadat dilakukan ikhlas kerana Allah SWT semata-mata, kesungguhan diri melawan hawa nafsu sehingga amal ibadat dapat dilakukan atas manhaj yang betul dan amal ibadat tidak dipandang remeh serta tidak me­lampau-lampau sehingga mengganggu kesihatan diri.

Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun! Wahai yang suka mengampun maka ampunilah kami. Amin.

 

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Menyingkap rahsia Lailatulqadar

Posted by epondok di Jun 22, 2017

Mohd. Shauki Abd. Majid

 

Salah satu masa dan ketika yang ditunggu-tunggu oleh orang-orang beriman dalam  bulan Ramadan adalah  Laylat Al-Qadr (secara popular dilafazkan “lailatulqadar”). Malam itu disebut dengan lailatulqadar, suatu malam yang dinilai oleh al-Quran sebagai malam yang penuh barakah dan malam yang lebih baik daripada seribu bulan.

Secara harfiah Laylat Al-Qadr bermaksud “Malam Penentuan” atau “Malam Kepastian” – jika kata-kata  qadr difahami sebagai suatu asal dengan kata-kata taqdir. Tetapi ada juga yang menberi makna Laylat Al-Qadr dengan “Malam Kemahakuasaan”, iaitu jika kata-kata qadr difahami  sebagai suatu asal dengan kata-kata al-Qadir yang bermaksud “Yang Maha Kuasa” iaitu salah satu sifat Tuhan.

Lailatulqadar sangat dimuliakan oleh umat Islam kerana pada malam tersebut turun rahmat dan kebaikan daripada Allah SWT kepada umat-Nya. Pengalaman mendapatkan lailatulqadar merupakan pengalaman spiritual dan individual. Tidak semua orang mampu mendapatkan malam seribu malam ini. Ia tidak boleh dicapai begitu sahaja dengan hanya kehadiran kita pada malam-malam ganjil di sepuluh malam terakhir bulan Ramadan, kerana perjumpaan dengan lailatulqadar merupakan puncak prestasi kerohanian setelah melakukan banyak kegiatan rohani pada bulan Ramadan.

Dikatakan bahawa malam tersebut para malaikat turun, begitu juga ruh (yang dalam hal ini ialah ruh kudus atau malaikat Jibril pembawa wahyu Tuhan).Mereka turun dengan membawa ketentuan tentang segala perkara bagi seluruh alam khususnya umat manusia. Malam itu adalah malam kedamaian hingga terbit fajar.

Kalau kita berbicara tentang Nuzul Quran, sangat wajarlah bagi kita sebagai hamba Allah SWT secara khusyuk dan rendah hati menghayati suasana malam diturunkannya al-Quran sebagaimana yang tersebut dalam surah al-Qadr ayat 1 hingga 5 yang bermaksud;

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran ini pada malam Lailatulqadar, dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatulqadar? Malam Lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut; Sejahteralah malam yang berkat itu hingga terbit fajar!”
Meskipun kata-kata ‘malam’ disebut dalam al-Quran sebanyak 92 kali, namun khusus untuk malam Qadr ini diberikan kehormatan yang amat tinggi sekali. Ia dinamakan ‘malam’ yang diberi berkat kerana turunnya al-Quran pada malam itu bersama seluruh malaikat di bawah pimpinan malaikat Jibril.

Penghormatan ini berlangsung satu malam suntuk dengan tenang dan aman damai sehingga terbitnya fajar pagi. Sengaja digambarkan oleh Allah SWT dengan kata ‘salam’ akan ketenangan malam yang semalaman itu sebagai kiasan daripada mesej dan isi yang dibawa oleh kitab suci iaitu perdamaian.

Inilah satu penghormatan yang begitu besar pernah terjadi dalam coretan seluruh sejarah kemanusiaan. Justeru Lailatulqadar sentiasa segar dan hidup setiap tahun sepanjang perjalanan sejarah manusia untuk memperingati peristiwa turunnya wahyu Allah SWT.

Di dalam Surah al-Qadr juga disebut malam Lailatulqadar melebihi seribu bulan. Ini bermakna amal yang dilakukan pada semalaman Lailatulqadar melebihi pahalanya daripada amal seribu bulan. Banyak ulama menjelaskan seribu bulan itu bukanlah memperhitungkan angka yang tepat, tetapi dimaksudkan kemuliaan Lailatulqadar berbanding dengan segala hari dan malam yang lainnya, iaitu suatu saat yang tidak terhingga ketinggian nilainya.

Apakah hikmat Allah tidak menyebut mana satu hari akan berlakunya Lailatulqadar. Berdasarkan pada hadis Nabi, Lailatulqadar akan jatuh pada tarikh ganjil di akhir bulan Ramadan iaitu 21, 23, 25, 27, dan 29. Ia terjadi pada salah satu malam itu dan hanya Allah sahaja yang mengetahui waktunya yang tepat.

Panduan inilah yang sering digunakan oleh umat Islam untuk mengisi hari-hari itu dengan meningkatkan amal-amal yang soleh. Mereka optimis dan mempunyai harapan yang tinggi dan mengharapkan amal yang dilakukan bertepatan dengan Lailatulqadar yang nilai pahalanya ribuan bulan.


Metafora 

Sebenarnya Rasulullah SAW sendiri tidak pernah menjelaskan apa yang dimaksudkan Lailatulqadar dan bila ia berlaku. Suatu ketika Rasulullah SAW bersabda kepada orang ramai yang berkumpul di masjid menunggu Lailatulqadar, katanya: apa yang kamu tunggu-tunggu malam ini akan datang kerana aku telah melihat dalam visi (rukyah) bahawa akan berlaku hujan lebat kemudian aku berlumuran dan basah kuyup oleh air. Pada malam itu memang terjadi hujan lebat.

Justeru bangunan masjid di zaman Nabi SAW diperbuat dari daun kurma maka air hujan mudah menitis masuk ke dalam lantai masjid yang bertanah. Umat Islam yang ada pada saat kejadian tersebut melihat apa yang dikatakan Nabi SAW. Rasullullah SAW dengan mukanya yang basah kuyup dan badannya yang berlumuran tanah liat lalu mengatakan itulah yang kau tunggu-tunggu. Justeru Lailatulqadar adalah persoalan rohani, maka tidak ada kata-kata yang mapan untuk menjelaskan. Ia hanya boleh diungkap melalui simbol atau metafora.

Di sinilah timbul masalah tafsir dan takwil di mana Nabi SAW dengan lumpur dan basah dengan air sebenarnya adalah suatu peringatan kepada kita bahawa tingkat paling tinggi daripada pengalaman rohani itu adalah kalau kita sudah kembali ke asal. Dari mana kita berasal kalau tidak dari tanah dan air. Jadi yang diambil Nabi SAW satu perlambangan bahawa kita pun akan kembali ke tanah dan menjadi air. Kita harus menyedari siapa kita di sisi Allah dan harus menjadi manusia berhati rendah dan janganlah menjadi manusia takbur yang membuat pintu syurga tertutup rapat dan tidak dapat masuk ke dalamnya.

Tidak ada kebahagiaan yang ingin dicapai melainkan kebahagiaan hakiki di sisi Allah SWT. Inilah yang kita cari dalam tahap rohani puasa – yang kita alami melalui satu simbolisasi dari Lailatulqadar. Tetapi semuanya memang harus dimulai dengan tanah dan air atau perkataan lainnya, kesedaran tentang diri kita yang sebenarnya. Jika orang yang ikhlas ada tandanya, maka demikian juga orang yang mendapat Lailatulqadar pasti ada tandanya jua. Pertama, apakah kita sudah semakin memahami maksud-maksud suci Allah ketika membaca al-Quran?

Kedua, apakah ibadat kita sudah lebih banyak, lebih baik, dan nikmatnya? Ketiga, apakah kita melihat manusia sebagai satu kesatuan tanpa dipilih oleh mana- mana mahzab? Keempat, apakah kita sudah berasa jijik melakukan dosa dan maksiat? Kelima, apakah kita bersedia berlapang dada memaafkan musuh kita? Keenam, jika kita berada dalam kesibukan tetapi banyak melakukan amal ibadah dan zikir dengan tidak mempunyai apa-apa yang harus dibanggakan di hadapan Allah?

Ini semua bererti kemungkinan besar kita berhasil mendapat curahan berkat-Nya melalui Lailatulqadar.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Cara kawal emosi marah

Posted by epondok di Jun 21, 2017

JIKA marah, apa yang anda lakukan? Mengamuk? Menjerit? Menangis? Marah semua orang? Asingkan diri? Bermasam muka? Apakah itu kemarahan?

Marah adalah sejenis emosi semula jadi yang biasanya bersifat negatif yang boleh menjadikan seseorang ganas dan tidak terkawal.

Adakah Rasulullah SAW juga marah sedangkan baginda sendiri melarang umatnya marah?

Dalam riwayat Abu Hurairah misalnya, Nabi SAW mengatakan; “Orang yang kuat tidaklah yang kuat dalam bergaduh, namun mereka yang bisa mengendalikan dirinya ketika marah.” (hadis riwayat Malik).

Apabila berasa marah kepada seseorang, Rasulullah tidak langsung menegurnya di depan umum kerana baginda tidak ingin menjatuhkan harga diri orang yang bersalah itu.

Satu ketika apabila baginda melihat seseorang mengarahkan pandangannya ke atas dalam solat sedangkan hal itu dilarang.

Baginda menegur perbuatan itu dengan bahasa yang umum tetapi tidak menyebutkan nama orang yang melakukannya bagi menjaga perasaannya.

Namun, Rasulullah menyebut di depan para sahabat; “Apa yang menyebabkan segolongan orang mengangkat pandangannya ke langit dalam solatnya?” (hadis riwayat Bukhari)

Saat marah, Nabi SAW juga tidak ‘bermain tangan’ atau menyakiti secara fizikal.

Dalam kesaksian daripada isteri tercinta baginda, Saidatina Siti Aisyah, Nabi tidak pernah sekalipun memukul wanita atau pembantu.

Bahkan, baginda tidak pernah memukul apapun, kecuali jika sedang berjihad.

Islam mengajar umatnya menangani amarah. Antara caranya ialah mengubah posisi kedudukan kita.

Rasulullah SAW bersabda; “Apabila salah seorang antara kamu marah dan ketika itu dia dalam kedudukan berdiri, maka hendaklah dia duduk kerana hal itu akan menghilangkan marahnya dan kalau tidak, maka hendaklah dia berbaring.” (hadis riwayat Muslim).

Kedua ialah berwuduk, Rasulullah SAW bersabda; “Marah itu datangnya daripada syaitan, dan syaitan itu diciptakan daripada api, sedangkan api itu hanya dipadamkan dengan air. Oleh itu, apabila salah seorang antara kamu marah, maka hendaklah ia berwuduk.” (hadis riwayat Abi Daud).

Ketiga, meminum air. Meminum air juga boleh meredakan rasa marah. Apabila minum air, kita akan berasa lega.

Seterusnya ialah dengan berdiam diri. Bak kata orang tua, diam itu lebih baik. Apabila kita diam, bukan sahaja dapat mengawal marah malah dapat mengawal diri daripada mengeluarkan kata-kata yang tidak elok mengenai orang lain.

Islam tidak menyatakan bahawa rasa marah adalah dilarang. Islam lebih menekankan tentang cara marah dan mengawal kemarahan dengan betul.

SITI AMALINA HALIM

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Amalan melebihi pahala mati syahid

Posted by epondok di Jun 20, 2017

Susunan Mohd. Shah Che Ahmad

 

PASTINYA setiap umat Islam mendambakan untuk memperoleh darjat tertinggi di sisi Allah SWT dalam syurga iaitu bergelar syuhada (orang yang mati syahid).

Tanpa perlu mengangkat senjata atau berperang untuk memperoleh syahid, terdapat satu amalan yang dinyatakan Rasulullah SAW ganjarannya melebihi darjat tersebut.

“Saya ingin berkongsi satu kisah pada zaman Rasulullah yang sangat baik untuk peringatan kita bersama. Diceritakan, terdapat dua lelaki berjumpa Rasulullah pada hari yang sama untuk memeluk Islam.

“Setelah memeluk Islam, individu pertama sangat rajin beribadah dan melakukan amal kebajikan termasuk berdakwah dan berjihad di jalan Allah sehinggakan dia meninggal dunia dalam keadaan syahid. Manakala individu kedua pula meninggal dunia setahun selepas individu pertama itu dalam keadaan biasa, bukan di medan perang tetapi hanya di tempat tidurnya sahaja.

“Lalu seorang sahabat, Talha bin Ubaidalha bermimpi menyaksikan sendiri dirinya bersama dua individu itu di hadapan pintu syurga. Kemudian muncul satu malaikat dari syurga dan memasukkan individu kedua itu tadi ke dalam syurga terlebih dahulu berbanding individu pertama,” katanya.

Menceritakan lanjut, beliau berkata, apabila terjaga daripada tidur, Talha sangat terkejut lalu menceritakan mimpi tersebut kepada Rasulullah.

“Selepas menceritakan kepada Rasulullah, baginda memberitahu beliau, “Ya Talha, kenapa kamu terkejut?” Talha menjawab: “Ya Rasulullah bagaimana seorang syahid memiliki darjat tinggi di sisi Allah dimasukkan ke dalam syurga kemudian selepas seorang biasa yang meninggal dunia setahun selepasnya?”

“Lalu Rasulullah menjelaskan: “Ya Talha, bukankah orang yang meninggal dunia kemudian itu hidup setahun lebih lama berbanding individu yang syahid tadi?” Talha menjawab, “Ya, benar.” Rasulullah bersabda: “Bukankah dia berpeluang bertemu dengan bulan Ramadan dan beribadah dengan lebih banyak pada bulan tersebut?”

“Talha menjawab: “Benar Rasulullah”. Lalu Rasulullah bersabda lagi: “Oleh kerana dia sempat menemui Ramadan seterusnya maka dia dapat beribadah dengan lebih banyak membuatkan Allah mengangkat darjatnya lebih tinggi seumpama langit dan bumi berbanding orang yang mati syahid,” jelasnya.

Majed berkata, begitulah ganjaran Allah kurniakan kepada hamba-Nya pada Ramadan yang perlu diambil peluang oleh seluruh umat Islam bagi mengutip sebanyak mungkin pahala.

“Dalam kisah ini dinyatakan Talha sangat terkejut, mengapa? Ini kerana terdapat dalam hadis Rasulullah bersabda bahawa: “Bagi orang yang mati syahid ada enam keistimewaan iaitu:

1. Diampunkan dosanya bagi setiap titisan darah yang keluar.

2. Memperlihatkan tempatnya di syurga.

3. Dilindungi daripada azab kubur dan terjamin daripada malapetaka besar.

4. Merasakan kemanisan iman.

5. Dikurniakan bidadari syurga.

6. Diperkenankan untuk memberi syafaat bagi 70 orang kerabatnya.” – Riwayat Tirmizi

“Namun, kerana amalan yang dilakukan pada Ramadan, umat Islam dikurniakan dengan keistimewaan lebih besar sehingga mengatasi keistimewaan orang syahid dalam syurga kelak,” ujarnya.

Sehubungan itu, pendakwah antarabangsa itu menasihatkan, umat Islam supaya meningkatkan amal ibadah pada Ramadan dengan memperbanyakkan memohon keampunan Allah dan melakukan solat malam dengan penuh keikhlasan.

“Rasulullah bersabda maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa pada Ramadan dengan penuh keimanan dan iktisab, maka akan diampunkan dosa-dosanya terdahulu.” – Riwayat Bukhari

“Oleh itu, marilah kita sama-sama memperbanyakkan amalan pada Ramadan dengan melakukan pelbagai amal ibadah seperti membaca al-Quran, memohon ampun dan melakukan qiyamullail. Mudah-mudahan kita bertemu lailatulqadar dan ditempatkan di syurga,” katanya.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »