Abai al-Quran berlaku dalam berbagai bentuk. Ada yang buang terus, ada yang pilih ayat bersesuaian dengan nafsu selera mereka sahaja. Ada yang memandai cipta tafsiran jauh menyimpang daripada makna sebenar yang mahu disampaikan Allah. Ada yang cuma kenal al-Quran dalam Ramadan. Apabila bulan mulia itu berakhir, Mushaf al-Quran kembali ke almari buku tanpa teman.
Rahmat al-Quran dengan Ramadan seumpama kenduri besar yang banyak hidangan istimewa. Ada menu tadarus, tazkirah, tadabbur, tarawih dan sebagainya. Semua menu itu berasaskan ‘resipi’ al-Quran. Selepas Ramadan, hubungan dengan al-Quran tetap perlu diteruskan kerana ia adalah makanan rohani terbaik bagi jiwa manusia.
Kenal al-Quran dalam Ramadan sahaja seumpama orang yang hanya makan sebulan sahaja dalam setahun. Mana mungkin makan hanya sebulan dalam setahun? Begitulah juga halnya dengan makanan rohani dengan menu al-Quran.
Tanpa makanan, badan kasar jadi lesu tak bermaya, lalu banyak aktiviti fizikal terbantut. Rohani yang kosong tanpa makanan al-Quran akan turut lesu iman dan takwa. Apabila iman lesu, berbagai penyakit bawaan jiwa yang kotor akan membiak dan menjadi barah akhlak dalam diri dan masyarakat.
Rindu mahu terus beribadah seperti puasa sunat dan berdamping dengan al-Quran selepas Ramadan menjadi tanda ibadah Ramadan sebulan diterima Allah. Ini yang dijelaskan Imam Ibn Rajab al-Hanbali dalam kitabnya Lata’if al-Ma’arif:
“Kebiasaan puasa selepas puasa Ramadan menjadi tanda penerimaan puasa Ramadan kerana apabila Allah menerima amalan hamba-Nya, akan digerakkannya untuk beramal soleh.”
Ia dikukuhkan Firman Allah: “Dan (sebaliknya) orang yang menerima petunjuk (ke jalan yang benar), Allah menambah mereka dengan hidayah petunjuk, serta memberi kepada mereka (dorongan) untuk mereka bertakwa,” (Muhammad [47:17]).
Rasulullah SAW pernah menyebut usaha berterusan berinteraksi dengan al-Quran adalah antara amalan yang dicintai Allah:
Ibn Abbas r.a.menceritakan seorang lelaki bertanya: “Wahai Rasulullah SAW, apa amalan yang paling Allah cintai?” Baginda menjawab: “Orang yang singgah dan pergi (berterusan perjalanannya).” Lelaki itu bertanya: “Apa maksud orang yang singgah dan pergi?” Baginda menjawab: “Orang yang membaca al-Quran dari awal al-Quran (al-Fatihah) sehingga akhirnya. Setiap kali selesai (khatam) dia meneruskan bacaan (dari awal al-Quran),” – Sunan Tirmizi (Dinilai lemah oleh Imam Tirmizi).
Walaupun hadis ini dinilai lemah, ada juga sabda Rasulullah SAW yang sahih membawa makna yang sama: “Aisyah r.a. menceritakan Rasulullah SAW pernah ditanya apakah amalan yang paling dicintai Allah? Baginda menjawab: Amalan yang berterusan dilakukan walaupun sedikit jumlahnya,” – Sahih Bukhari & Sahih Muslim.
Jangan kita biarkan hati yang digilap sinar bacaan al-Quran pada Ramadan kembali berkarat selepas bulan itu. Kekalkan sinaran jiwa dengan gilapan al-Quran sebagaimana sabda Rasulullah SAW ini:
Ibn Umar RA berkata Rasulullah bersabda “Hati jantung ini akan berkarat sebagaimana besi pun berkarat.” Lalu ditanya kepada Baginda: “Apa cara (jalan) menggilapnya?” Baginda menjawab: “Bacaan al-Quran.” (Sya’b al-Iman oleh Imam al-Baihaqi) (Hadis ini dinilai dhaif oleh sesetengah ulama hadis).
Kekalkan semangat cinta kepada al-Quran walaupun Ramadan sudah berlalu kerana belum tentu Ramadan akan datang menjadi milik kita. Rebut peluang dalam semua masa dan situasi sebagaimana galakan Rasulullah ini:
“Anas bin Malik r.a. berkata Rasulullah SAW pernah bersabda: “Kerjakan kebaikan sepanjang usiamu (terutama sekali pada waktu istimewa yang disebut agama) dan carilah hembusan rahmat Allah kerana ia menyentuh siapa sahaja yang Dia mahu dalam kalangan hamba-Nya. Pohonlah kepada Allah agar Dia tutup aibmu dan selamatkan kamu daripada ketakutanmu,” (Mu’jam al-Kabir Imam al-Tabrani).
Cubalah sedaya mampu menjadi golongan ketiga daripada kalam Allah ini. Mereka adalah manusia pilihan:
“Kemudian Kami jadikan al-Quran itu diwarisi orang yang Kami pilih dalam kalangan hamba Kami; maka antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengendahkan ajaran al-Quran), ada juga dalam kalangan mereka yang bersikap sederhana dan ada juga dalam kalangan mereka yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (daripada Allah semata-mata),” (Fatir[35:32]).
Jangan jadikan keghairahan menyambut Syawal sebagai ‘kubur’ kepada al-Quran, sebaliknya jadikan ia sebagai langkah pertama meneruskan semangat berdamping dengan al-Quran selepas kita kenyang sebulan menikmati hidangan al-Quran dalam Ramadan.
Percayalah! Rohani kita akan terus kenyang selagi mana kita bersama al-Quran sepanjang tahun. Kenyang dengan al-Quran menjadikan rohani sihat segar bugar di dunia dan akhirat.
Samsuddin muhamad said
Assallammuallaikum
Mohon untuk saya berhubung dengan pihak yang berkaitan pendaftaran bagi pelajar dewasa lelaki.