Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 5 Julai 2017

Mohon maaf elak sengketa musim raya

Posted by epondok di Julai 5, 2017

Oleh Nik Hasnah Ismail

 

AIDILFITRI hadir dengan falsafah kemaafan sesama umat manusia, perdamaian hati tanpa ada rasa dendam kesumat dan amarah terlerai pada saat Syawal tiba. Kemaafan dihulur sesama ahli keluarga, suami isteri, ibu, ayah, adik beradik, sanak saudara atau sesiapa juga adalah tuntutan agama yang wajib dilaksanakan.

Indahnya Islam dapat dilihat melalui didikan selama sebulan Ramadan iaitu bulan tarbiah untuk menghisab kekhilafan diri lalu terbit pada Syawal sebagai seorang insan yang bebas daripada noda dan dosa. Syawal lambang kemenangan mengekang hawa nafsu yang selama ini membelenggu diri setiap insan. Justeru, semangat dan roh saling memohon kemaafan melalui sambutan Aidilfitri melengkapkan jadual supaya terus istiqamah melaksanakan ibadat kepada Allah SWT. Ia juga sebahagian daripada ketaatan terhadap ajaran agama yang menganjurkan umatnya memelihara silaturahim.

Kesempatan di Aidilfitri wajar diambil dan digunakan untuk melupakan sebarang sengketa dengan memohon kemaafan. Malah, selain meraikan kemenangan dengan amalan sunah, Syawal yang mulia turut terisi nilai murni yang akan memberi makna kepada sambutan Aidilfitri pada bulan penuh kemuliaan ini. Amalan saling bermaafan menjadi ruang kerana budaya bermaafan akan memandu manusia untuk mengukuhkan hubungan sesama insan dan secara tidak langsung membina semangat persaudaraan. Orang yang selalu memohon maaf dan memberi maaf mendapat ganjaran pahala dunia dan syurga di akhirat kelak.

Memberi maaf akhlak terbaik

Hal ini bertepatan pesanan Baginda Rasulullah SAW kepada Uqbah bin Amir dengan sabdanya: “Wahai Uqbah! Mahukah aku nyatakan padamu sebaik-baik akhlak penduduk dunia dan akhirat? Iaitu kamu memaafkan orang yang menganiaya dirimu. Kamu memberi atau menolong orang yang memutuskan pemberiannya kepada kamu dan kamu menghubungkan silaturahim dengan orang yang memutuskan perhubungan denganmu.” (Riwayat al-Hakim)

Indahnya hidup ini kerana adanya nilai kemaafan, sama ada orang yang meminta maaf atau memberi maaf, menjadikan setiap kesilapan dan kesalahan dapat dilupakan. Persengketaan diluputkan dan dendam kesumat dapat dileraikan. Kecil atau besar kesalahan bukanlah ukurannya, tetapi sejauh mana setiap orang itu mampu menitipkan ucapan maaf dan menghulurkan salam perdamaian itu meletakkan harga diri yang tinggi bagi seorang manusia. Amat wajar apabila Aidilfitri digunakan untuk melupakan kekhilafan yang pernah dilakukan. Allah SWT sangat mengasihi orang yang mempunyai akhlak terpuji. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang bertakwa; iaitu orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah dan yang menahan kemarahannya dan orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah SWT mengasihi orang yang berbuat perkara yang baik.” (Surah Ali-Imran, ayat 133-134)

Manfaat keberkatan Syawal

Sungguhpun amalan bermaafan bukan hanya disyariatkan ketika Syawal semata-mata, pada bulan penuh kebaikan ini eloklah digunakan untuk membuang mana yang keruh dan mengambil mana yang jernih. Bermaafan ketika Syawal tidak kelihatan ganjil kerana menjadi budaya sejak dahulu. Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesungguhnya seorang Mukmin apabila berjumpa seorang Mukmin, lalu dia memberi salam kepadanya serta berjabat tangan dengannya maka gugurlah dosa mereka berdua seperti gugurnya dedaun yang kering.” (Riwayat Tabrani)

Advertisements

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »