Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 8 Julai 2017

Budaya ziarah perkukuh silaturahim

Posted by epondok di Julai 8, 2017

Ahmad Nazri Mohd Yusof

AKTIVITI ziarah sudah sinonim dalam budaya rakyat Malaysia menjelang Aidilfitri. Dalam Islam juga sangat menggalakkan umat-Nya ziarah-menziarahi kerana dapat mengeratkan silaturahim. Bagaimanapun kita dianjurkan supaya sentiasa menjaga adab ketika berkunjung ke rumah orang lain supaya tuan rumah tidak rasa terbeban, sekali gus menggembirakan hati orang yang dikunjungi.

Sudah menjadi budaya masyarakat Islam di negara ini menyambut hari raya selama sebulan Syawal. Walaupun ia bukanlah anjuran dalam Islam tetapi meraikan Aidilfitri selama sebulan disebabkan kebanyakan kita pulang ke kampung untuk meraikan 1 Syawal. Oleh itu, kesempatan kembali ke selepas bercuti di kampung halaman dimanfaatkan bagi menziarahi sahabat handai serta jiran tetangga pula melalui penganjuran rumah terbuka atau memenuhi undangan pihak yang menjemput.

Rumah terbuka sama ada diadakan secara besar-besaran mahupun sederhana, amat baik untuk mengeratkan hubungan silaturahim dan saling memberi hadiah antara satu sama lain. Ini sejajar sabda Baginda SAW: “Saling memberi hadiahlah, nescaya kamu akan saling kasih mengasihi.” (Riwayat Bukhari)

Amalan saling bermaafan juga begitu sinonim dengan hari raya kerana kita lebih mudah untuk memaafkan serta melupakan persengketaan yang berlaku. Itulah peluang terbaik merapatkan kembali persaudaraan dan menyambung hubungan yang terputus disebabkan perbalahan atau berbeza pandangan. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sebenarnya orang beriman itu bersaudara maka damaikanlah di antara dua saudara kamu itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah al-Hujurat, ayat 10)

Islam sangat menggalakkan umatnya menghubungkan silaturahim. Perpaduan umat juga boleh ditingkatkan pada hari raya tanpa memikirkan perbezaan politik, kedudukan dan pangkat. Kemeriahan hari raya disemarakkan lagi dengan budaya ziarah-menziarahi yang akan membentuk satu ikatan kasih sayang yang mengeratkan sesama insan kerana asal kejadian manusia daripada keturunan yang sama iaitu Nabi Adam. Islam mengajak manusia saling kenal-mengenali antara satu sama lain, hormat-menghormati, bekerjasama dan faham-memahami.

Bagaimanapun, dalam keghairahan dan kegembiraan meraikan lebaran, perlu diingatkan supaya menjaga tingkah laku dan adab. Antara perkara yang yang perlu diberi perhatian oleh umat Islam sebagai seorang tetamu ialah berniat baik atas kunjungannya, tidak memilih tempat seperti rumah orang berharta, berpangkat dan berkedudukan tinggi sahaja. Waktu berkunjung pula hendaklah memilih masa yang sesuai. Janganlah berkunjung pada awal pagi, tengah hari dan larut malam kerana kebiasaan pada waktu itu tuan rumah sedang beristirahat.

Sebagai tetamu juga, tidak sepatutnya bebas melakukan apa sahaja di rumah orang kerana perbuatan sedemikian akan mengganggu dan tidak disenangi tuan rumah. Jagalah mata, elakkanlah meninggikan suara dan bersegera pulang. Melalui tarbiah Ramadan, umat Islam mempunyai kelebihan untuk meneruskan amal ibadat sebagai bukti keberhasilan amalan kerana momentum dan semangat Ramadan masih ada.

Anugerah takwa yang diraih menerusi tarbiah Ramadan sewajarnya menjadi pembimbing kepada umat Islam mengekalkan semangat Ramadan bagi menempuhi kehidupan sepanjang hayat. Sama-samalah kita sebagai umat Islam mewarnai Syawal dengan menambah pahala selagi peluang masih ada untuk menjadi orang yang bertakwa.

Tanamkan rasa takut kepada perintah Allah SWT, berterusan melakukan apa yang diperintahkan, bersegera menjauhi dan meninggalkan perkara dilarang serta meningkatkan amalan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »