Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 19 Julai 2017

Hukum curi Solat Dhuha masa bekerja

Posted by epondok di Julai 19, 2017

Soalan: Saya seorang yang sangat menjaga amalan solat sunat Dhuha. Namun, akibat kekangan waktu kerja yang padat menyebabkan saya sukar menunaikan solat itu. Adakah boleh saya mencuri sedikit masa untuk menunaikan solat Dhuha ketika kerja.

JawapanTahniah kerana anda seorang yang sangat menjaga amalan sunat untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Namun, kita perlu faham bahawa Islam menitikberatkan perkara wajib terlebih dahulu berbanding perkara sunat.

Menjalankan tugas di tempat kerja adalah suatu yang dituntut dan wajib ditunaikan dalam apa juga keadaan sekalipun selagi ia tidak bercanggah dengan Islam. Manakala solat sunat pula adalah amalan digalakkan dan tidak berdosa jika ditinggalkan.

Oleh itu, bagi umat Islam yang memelihara amalan sunat perlu bijak membahagikan masa untuk menunaikannya supaya tidak mengganggu waktu bekerja. Bagi menyelesaikan masalah saudara ini, ada dua saranan, pertama, mengganti kembali waktu yang telah diperuntukkan untuk tujuan solat sunat Dhuha.

Contohnya, mengganti kembali waktu yang telah diambil untuk tujuan itu di akhir waktu pejabat. Jika waktu yang diperuntukkan untuk solat sunat Dhuha selama lima minit, maka anda wajib melewatkan lima minit waktu untuk pulang. Jika hal ini dapat dilakukan dengan betul, maka hukum berbuat demikian di waktu pejabat diharuskan dan tidak berdosa.

Kedua, pastikan peruntukan masa untuk tujuan menunaikan solat sunat Dhuha di pejabat dengan kadar yang sangat minimum. Cukup sekadar dua rakaat tanpa berlebih-lebih hingga menjejaskan tugasan hakiki. Jika waktu diperuntukkan terlalu panjang hingga menjejaskan tugas hakiki, maka hukum berbuat demikian adalah haram dan berdosa apatah lagi jika ia tidak diganti di akhir waktu pejabat.

Semua hukum yang dibincangkan adalah untuk peruntukan masa solat sunat. Manakala peruntukan masa solat fardu tidak ada kompromi. Umat Islam wajib menunaikannya dalam apa juga keadaan sekalipun. Ini kerana tidak ada perkara wajib yang lebih besar berbanding kewajipan menunaikan solat lima waktu.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya solat (lima waktu) adalah kewajipan yang telah ditentukan oleh Allah ke atas orang mukmin.” (Surah al-Nisa’, ayat 103)

Advertisements

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »