Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Sedekah bukan sekadar memberi

Posted by epondok di Julai 4, 2015


Oleh NORKUMALA AWANG

Ikhlas kerana-Nya adalah perkara utama dalam bersedekah

TERLALU banyak nikmat yang dianugerahkan oleh Allah kepada umat-Nya. Setiap orang dianugerahkan nikmat dan rezeki yang berbeza-beza. Cara dan jalan untuk memanfaatkan nikmat tersebut juga berlainan di antara setiap individu. Pemberian rezeki oleh Allah adalah berbalik kepada bagaimana cara untuk kita mensyukuri nikmat kepada Tuan Pemberi Rezeki.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Tangan yang menghulur lebih baik daripada tangan yang menerima, mulakanlah dengan mereka yang di bawah tanggunganmu. Sebaik-baik sedekah itu adalah yang tidak mengorbankan keperluannya atau keluarganya, sesiapa yang menahan daripada meminta sedekah dia akan dijaga oleh Allah SWT, sesiapa yang merasa berpada-pada maka diberikan Allah SWT kelegaan kepadanya. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Sedekah bermaksud memberi sesuatu atau barang kepada orang yang memerlukan dengan tidak mempunyai apa-apa tujuan khas. Ia dilakukan dengan hati yang ikhlas kerana Allah SWT. Amalan bersedekah amat digalakkan dalam Islam. Ia merupakan amalan mulia, di samping diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT, amalan tersebut membuka jalan keredhaan dan kesenangan.

Sedekah akan menerbitkan rasa kesyukuran di atas segala nikmat yang dikurniakan. Kita jarang meletakkan diri dalam rasa kesyukuran. Ini membuatkan seseorang akan merasakan selalu dalam kekurangan dan ketidakcukupan. Bahkan nikmat yang dilimpahkan tersebut merupakan ujian Allah untuk melihat tahap kesyukuran hambaNya dan bagaimana untuk menaikkan tingkatan sedekah.

Pemberian sedekah yang melahirkan rasa bersyukur dan tidak mengundang perasaan riak dan takbur akan membuatkan seseorang merasa lebih rendah hati dan tidak sombong. Tetapi, bagi yang kurang rasa bersyukur akan mewujudkan kesombongan dalam hati.

Golongan ini memikirkan rezeki yang mereka kecapi adalah semata-mata kerana hasil usaha gigih mereka dan lupa kepada Allah yang memberikan rezeki tersebut. Perasaan ini akan memacu manusia terus berada dalam kebongkakan dan sukar untuk membantu mereka yang memerlukan. Mereka lupa bahawa kewajipan untuk memanfaatkan nikmat yang diperoleh dengan sebaiknya.

Ujian banjir besar yang menimpa rakyat Malaysia sebelum berakhirnya tahun 2014 dapat memanifestasikan semangat sedekah yang ada pada setiap individu. Secara zahirnya, bencana ini merupakan dugaan yang cukup hebat bagi mangsa-mangsa banjir tetapi ramai yang lupa bahawa ia juga adalah ujian bagi mereka yang tidak mengalaminya.

Apakah kita dapat membantu mereka yang mengalami musibah tersebut? Atau hanya sekadar meluahkan rasa kasihan yang tidak henti-henti? Disinilah juga kehidupan manusia teruji dengan ujian orang lain.

Keprihatinan

Sedekah tidak hanya berbentuk material semata-mata. Bantuan tenaga, sokongan moral dan psikologi juga adalah bentuk sedekah yang penting bagi mereka yang trauma dengan musibah tersebut untuk memulihkan semangat. Ramai yang berkorban harta, tenaga dan wang ringgit untuk membantu mereka yang amat memerlukan. Bukan sedikit bantuan yang mereka perlukan, malah keprihatinan sesama insan juga akan membuatkan hati sedikit terubat dengan hamparan ujian kehilangan akibat bencana tersebut.

Bantuan atau sedekah yang dihulurkan menunjukkan bahawa masyarakat Malaysia mempunyai sifat pemurah dan pengasih. Namun, masih ada segelintir masyarakat kita yang tidak tahu untuk membezakan sedekah yang terbaik atau sebaliknya.

Ada yang mengambil kesempatan menderma barangan dalam bentuk pakaian yang merupakan keperluan asas, tetapi menjadikan mereka sebagai tempat untuk melupuskan pakaian terpakai yang sudah lusuh, koyak dan tidak boleh dipakai.

Bersedekah hanya untuk mengurangkan barang-barang lama dan buruk yang dimiliki. Malah sifat ini akan menyusahkan lagi mangsa-mangsa untuk menyaring dan memilih pakaian yang mereka perlukan. Apakah sedekah seperti ini dapat memanisfestasikan sifat kehambaan dan kesyukuran?

Sikap ini seolah-olah mengulangi kembali sejarah yang berlaku kepada dua adik-beradik Habil dan Qabil yang akhirnya membawa kepada kisah pembunuhan pertama di dunia. Kisah ini dirakamkan dalam surah al-Maidah ayat 27 sehingga 30.

Sedekah bukan sekadar memberi tetapi disertakan dengan keikhlasan yang akan terzahir melalui perbuatan. Keikhlasan kerana Allah SWT adalah perkara utama dalam bersedekah. Ia melatih diri kita agar tidak terikat dengan rasa cinta dan rasa memiliki kepada harta benda tersebut.

Keredaan-Nya sebagai matlamat yang paling utama dan tidak berniat untuk menunjuk-nunjuk adalah sedekah yang dianjurkan dalam Islam. Ia dilakukan tanpa mengharapkan balasan dan tidak memerlukan kepada pujian. Malah pemberian sedekah tersebut tidak perlu dihebahkan kecuali untuk menggalakkan orang lain turut sama bersedekah.

Sifat suka bersedekah merupakan kunci utama untuk ketenangan dan kebahagiaan hidup. Walau dalam keadaan susah mahupun senang, rasa kesyukuran sentiasa subur, terbit daripada sifat suka bersedekah. Ini kerana bersyukur kepada Pemberi Nikmat merupakan manifestasi sedekah yang disertakan dengan keikhlasan.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: