Cukup jelas bahawa individu yang membazir itu mempunyai sikap yang ditamsilkan dengan amalan syaitan yang sejak azali menjadi musuh nyata bagi manusia. Lantas, apakah kita tidak pernah mengambil iktibar agar tidak digolongkan menjadi ‘saudara’ kepada syaitan lebih-lebih lagi di bulan Ramadan.

Sungguh ironi sekali, apabila dikatakan Ramadan sebagai bulan kita mengekang hawa nafsu dan runtunan selera, tetapi di bulan inilah pembaziran dan sikap berlebih-lebih­an seperti menjadi kebiasaan.

Sepatutnya Ramadan mendidik manusia bersikap sederhana, jimat cermat dan tidak melampaui batas sebaliknya yang berlaku apabila tiba bulan penuh keberkatan ini, ramai berbelanja besar untuk aneka juadah berbuka puasa dan menyambut raya yang menuntut perbelanjaan berganda daripada bulan-bulan lain.

Tidak hanya makanan atau perbe­lanjaan, pembaziran juga meliputi banyak perkara dalam kehidupan Muslim. Ulama’ menyenaraikan 9 jenis pembaziran yang sering dilakukan manusia antaranya ialah pembaziran masa, amalan, kekayaan, hati dan tubuh badan.

Amat rugi sekiranya keberkatan di bulan Ramadan tidak direbut untuk menggandakan amalan kebaikan, sebaliknya masa berlalu pergi tanpa diisi dengan amalan yang membawa kepada taqarrub (dekatkan diri) kepada Allah.

Alangkah ruginya jika masa tidak dapat diurus dengan baik. Sekiranya siang hari berpuasa hanyalah beroleh lapar dan dahaga, pada malam hari pula dilanda kekenyangan yang melampaui batas. Apakah makna ibadah dalam ruang masa tersebut, tanpa sedikit pun keinginan dan niat untuk beribadah kepada Allah?

Kadangkala ramai yang menghabiskan masa dengan berehat dan tidur dengan alasan penat berpuasa sehingga tidak produktif di tempat kerja mahupun di rumah. Puasa tidak sepatutnya menjadikan seseorang pasif dan tidak berdaya maju. Namun, masyarakat hari ini mempunyai persepsi bahawa puasa akan menyebabkan seseorang tiada tenaga untuk aktif sepanjang hari.

Mentaliti sedemikian akan mempengaruhi aktiviti seharian seseorang. Umat Islam perlu memanfaatkan masa lapang di bulan Ramadan dengan perkara-perkara berfaedah seperti membuat amal kebajikan, membaca al-Quran, menggandakan amalan sunat dan bermotivasi dalam melaksanakan kerja seharian.

Justeru, masa tidak akan terbazir begitu sahaja dengan perkara yang sia-sia. Malah kita perlu mengelak daripada menjerumuskan diri dengan perkara-perkara mazmumah dan mendatangkan dosa. Tabiat paling mudah untuk mendapat dosa percuma apabila kita sibuk melayani media sosial atau melayari Internet yang tidak membawa manfaat.

Barangkali ada umpatan dan kejian berlaku tanpa disedari serta kerugian masa dengan perkara sia-sia. Ini akan mencacatkan pahala berpuasa.

Amalan baik juga akan dibazirkan jika tiada niat yang ikhlas. Rama­dan mendidik jiwa Muslim supaya bersabar dan ikhlas dalam melak­sanakan amar makruf. Sekiranya, seseorang berpeluang melakukan amalan kebajikan tetapi tidak disertakan keikhlasan, hanya sia-sia.

Tubuh badan juga satu bentuk pembaziran yang perlu dielakkan. Bentuk pembaziran ini seringkali tidak disedari kerana merasakan ketaatan kepada Allah sudah dilaksanakan dengan cara berpuasa di siang hari pada bulan Ramadan.

Bentuk pembaziran tubuh badan menurut Ulama’ ialah sekiranya tidak memanfaatkan untuk beribadah kepada Allah. Tubuh badan tidak dijaga dengan baik untuk melaksanakan ibadah khusus atau ibadah umum bagi meraih pahala. Malah ada yang tidak menjaga kesihatan tubuh badan dengan makan secara berlebihan dan merokok.

Tabiat merokok yang mendatang­kan mudarat pada tubuh badan hanya berjaya dikekang pada waktu siang semasa berpuasa tetapi kembali kepada tabiat asal selepas waktu berbuka. Ini bukan sekadar pembaziran dengan merosakkan kesihatan tubuh badan tetapi juga melibatkan pembaziran wang ringgit untuk perkara yang tidak berfaedah.

Seharusnya, Ramadan mampu membentuk jiwa kental seseorang melawan nafsu untuk mengurangkan tabiat merokok dan seterusnya berhenti terus daripada tabiat membazir tersebut.

Fenomena pembaziran yang pa­ling biasa dilihat berlaku di bulan Ramadan adalah makanan. Umat Islam tidak ambil peduli sekiranya memperuntukkan perbelanjaan yang tinggi untuk membeli atau menyedia makanan. Perasaan lapar pada saat berpuasa bukan lagi di perut tetapi juga di mata.

Semua hidangan makanan dirasakan mampu untuk dimakan. Tiada lagi istilah jimat cermat apabila berhadapan dengan makanan ketika berpuasa. Sikap membazir ini seperti sudah menjadi budaya masyarakat kita apabila statistik menunjukkan setiap tahun seba­nyak 270,000 tan makanan dibuang pada bulan Ramadan.

Pembaziran makanan juga tidak hanya berlaku di hotel atau restoran yang menyediakan bufet tetapi boleh juga berlaku di rumah atau di bazar-bazar Ramadan.

Makanan tersebut dikatakan mampu dihidangkan kepada 180 juta orang iaitu berganda-ganda jumlahnya berbanding populasi masyarakat di negara kita.

Jika dilihat pada angka ini, seolah-olah umat Islam hilang kasih sayang yang sebenar sesama insan. Di saat terdapat insan lain yang masih tidak mampu untuk bermewah dengan makanan atau tiada makanan untuk dimakan kerana kesempitan hidup, di satu pihak lain sanggup membuangnya tanpa di­sentuh sedikit pun.

Ini memberi tanda isyarat yang salah kepada kita semua kerana golongan yang tidak berkemam­puan itu masih wujud di negara kita. Tetapi ada di antara kita berte­rusan dengan sikap membazir tanpa sedikit pun rasa bersalah.

Justeru, Ramadan ini harus direbut untuk mendidik jiwa agar dijauhkan daripada segala bentuk pembaziran yang merugikan.