Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Jun 2015

Penting jaga deria elak jejas pahala puasa

Posted by epondok di Jun 30, 2015

Oleh Mazlina Ismail

Mendengar tazkirah pada Ramadan diberi ganjaran 70,000 malaikat mendoakan keampunan.

Sepanjang Ramadan, umat Islam perlu memelihara deria daripada melakukan perkara yang boleh menjejaskan pahala puasa. Ustaz Muhammad Abdullah Al-Amin dalam rancangan Pesona D’Zahra menyarankan menggunakan deria untuk majlis ilmu, membaca al-Quran dan merenung ciptaan Ilahi. Allah SWT menciptakan manusia sempurna dengan deria mata, telinga, hidung, lidah, tangan dan anggota lain sebagai rahmat untuk hamba-Nya. Allah yang Maha Pengasih mencipta anggota badan untuk kemudahan dan kesenangan kita melaksanakan segala urusan di dunia ini.

Kita diberikan mata untuk melihat, telinga untuk mendengar, lidah untuk berbicara, tangan untuk memegang, kaki untuk melangkah dan banyak lagi. Mereka yang dikurniakan kesempurnaan tubuh badan dan anugerah deria ini sering terlupa untuk menghargainya. Apabila nikmat itu ditarik daripada mereka, barulah dapat kita menilai betapa besarnya nikmat deria yang diberikan Allah SWT. Merenung kehebatan segala deria yang dikurniakan itu sewajarnya membuatkan kita menjadi hamba yang bersyukur. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sehingga apabila mereka sampai ke neraka, (maka) pendengaran, penglihatan serta kulit badan mereka menjadi saksi terhadap mereka, mengenai apa yang mereka telah kerjakan.” (Surah Fussilat, ayat 20)

Allah SWT menegaskan bagaimana anggota badan manusia akan menjadi saksi atas perbuatan tuannya ketika hidup di dunia. Sepanjang menjalani ibadah puasa pada Ramadan ini, kita perlu sentiasa peka bahawa puasa tidak hanya menahan diri daripada makan, minum dan hubungan suami isteri, tetapi ibadah puasa sewajarnya menjadikan kita berhati-hati menggunakan deria yang dikurniakan Allah SWT. Mulut orang berpuasa bau kasturi Daripada Abu Hurairah, Rasululluh SAW bersabda: “Allah Azzawajjalla berfirman: Setiap amal anak adam adalah untuknya kecuali puasa, puasa itu adalah untuk-Ku dan aku akan memberinya pahala. Puasa itu adalah perisai. Apabila kamu puasa, janganlah kamu rosak puasamu dengan mencela, dan menghina orang. Apabila kamu dihina atau dipukul orang. Katakanlah: Aku puasa. Demi Allah yang jiwa Muhammad di tangannya, sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah pada Hari Kiamat kelak daripada bau kasturi. Dan bagi orang berpuasa ada dua kegembiraan. Apabila dia berbuka dia gembira dan apabila dia menemui Tuhannya (meninggal) dia gembira dengan puasanya.” (Sahih Muslim)
Ustaz Muhamad Abdullah Al-Amin membuka bicara rancangan Pesona D’ Zahra di IKIMfm minggu lalu dengan mengajak kita melihat satu persatu deria dikurniakan Allah SWT seterusnya memahami cara yang betul memeliharanya daripada mengurangkan atau membatalkan ganjaran ibadah puasa. Umat Islam disuruh untuk menjaga pandangan mata, dilarang memandang benda haram, makruh atau najis. Kita disuruh memandang langit, bintang, lautan, alam yang kehijauan dan wajah ibu serta pasangan dengan pandangan kasih sayang kerana Allah SWT akan memandang mereka dengan pandangan rahmat. Turut menjadi penyejuk mata adalah memandang perkara yang membawa ingatan kepada kekuasaan Allah SWT seperti Kaabah dan al-Quran. Selain menjaga pandangan, umat Islam juga perlu menjaga pendengaran untuk mendengar perkara yang baik seperti ilmu yang disampaikan dalam majlis ilmu atau tazkirah yang diberi ganjaran sebanyak 70,000 malaikat mendoakan keampunan untuk mereka yang mendatangi majlis ilmu.

Mendengar bacaan al-Quran adalah antara perkara terbaik kerana ia akan menyuburkan jiwa dan menjadikan jiwa tenang. Perkara yang perlu dielakkan dan dilarang mendengarnya ialah kisah tidak berfaedah, perkataan membabitkan umpatan, perkara mengaibkan orang lain, fitnah serta perkara melalaikan kerana ia boleh mengeraskan hati. Adalah tidak kurang pentingnya penjagaan hidung dan umat Islam disaran menghias diri, rumah, masjid dengan wangi-wangian. Ketika menjalani ibadah berpuasa, Muhamad mengingatkan kita makruh hukumnya memberus gigi selepas zuhur kerana bau mulut orang berpuasa wangi di sisi Allah SWT. Ketika berpuasa mahupun hari biasa, seorang Muslim hendaklah memelihara mulut daripada kebiasaan untuk menjamah makanan pada siang hari dan mengelak daripada berkata perkara tidak baik atau sia-sia yang akan menjejaskan kualiti puasa mereka.

Pastikan kita tidak mengambil atau membuat sesuatu yang dimurkai oleh Allah SWT yang jelas haram hukumnya mahupun makruh atau syubhah bagi mendidik diri sentiasa bersikap jujur pada setiap masa. Jana akhlak terpuji Memahami salah satu matlamat difardukan puasa Ramadan adalah untuk menjana akhlak yang terpuji dan seterusnya mencapai kemuncak darjat ketakwaan sebenar kepada Allah SWT. Pentingnya menjaga deria kerana ia membawa kita kepada matlamat puasa iaitu ketakwaan yang sebenar-benarnya. Terpelihara anggota badan menjadikan seseorang hamba itu tenang hatinya, rasional fikirannya serta berhikmah dalam perlakuannya. Ini adalah kata kunci untuk berjaya di dunia dan akhirat. Seandainya anggota ini disalah guna untuk melakukan maksiat kepada Allah SWT, kita sebenarnya telah gagal untuk bersyukur.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Berbuka dengan makanan seimbang

Posted by epondok di Jun 28, 2015

DR. AMINUDIN MANSOR
DALAM kehidupan seharian apa yang penting diberi perhatian adalah makanan yang berkhasiat dan senaman yang kerap. Semua ini akan membentuk badan yang sihat, ceria dan bahagia dalam kehidupan. Dalam melaksanakan ibadah berpuasa selama sebulan dalam bulan Ramadan mengawal nafsu makan sangat penting. Iaitu berbuka dengan makanan yang seimbang.

Amalan pemakanan yang sihat dan seimbang mestilah bermula daripada kesedaran diri sendiri dan diikuti dengan kefahaman tentang kesihatan diri. Makan dengan kadar yang sederhana serta seimbang dan lebihkan makan sayur-sayuran, ulam-ulaman, ikan dan sebagainya. Selain itu, kurangkan mengambil daging merah.

Oleh sebab itu, dalam bulan puasa kita digalakkan makan sahur untuk mengekalkan kesihatan pada masa berpuasa. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Makanlah waktu sahur. Sesungguhnya, makan waktu sahur menyebabkan barkah (keberkatan).” (Riwayat Mutafaq ‘alaih).

Sebagai manusia, kita mendapatkan bekalan tenaga daripada bahan makanan. Sumber makanan utama adalah daripada haiwan, sayur-sayuran dan buah-buahan. Setiap sumber makanan ini mengandungi nutrien yang diperlukan untuk membantu proses biokimia di dalam tubuh badan.

Jelaslah pengambilan makanan yang seimbang akan menjamin tahap kesihatan yang baik yang berterusan serta membantu pertumbuhan badan yang sempurna. Apabila kesihatan baik dan terjamin semua kerja dapat dilakukan de­ngan baik dan cemerlang. Kurangkan pengambilan gula dan lemak dalam makanan dan minuman terutama dalam bulan Ramadan.

Pengambilan makanan yang tidak terkawal akan menyebabkan kegemukan dan obesiti. Tabiat makan yang keterlaluan semasa berbuka akan menyebabkan pelbagai pe­nyakit seperti darah tinggi, serang­an jantung dan kencing manis. Tiga penyakit ini adalah penyakit yang sering menyerang mereka yang tidak mengawal tabiat makan. Kajian menunjukkan kebanyakan kuih-muih Melayu manis dan mempunyai gula yang tinggi.

Kajian menunjukkan kes kege­mukan atau obesiti di negara ini berada di tahap serius dengan anggaran setiap tiga daripada 10 penduduk Malaysia mengalami masalah tersebut. Masalah kegemukan adalah berpunca daripada sikap dan tabiat makan yang tidak terkawal.

Berdasarkan kajian Universiti Putra Malaysia (UPM) tidak lama dulu, sebanyak 27 peratus penduduk di negara ini gemuk atau obes. Masalah ini dikatakan berpunca daripada perubahan gaya hidup rakyat yang semakin senang ekoran pertumbuhan pesat ekonomi negara serta tabiat terlalu kerap makan.

Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin tentang amalan gaya hidup sihat mestilah mengubah tabiat makan dan sering melakukan senaman. Hal ini penting bagi kesejahteraan hidup dan mewujudkan masyarakat yang sihat. Apabila rakyat sihat akan menyumbang kepada pembangunan negara.

Untuk membentuk gaya hidup sihat pengambilan nutrien tambahan juga penting. Bahan makanan terdiri daripada pelbagai jenis nutrien seperti protein, karbohidrat, lemak, vitamin dan mineral untuk membentuk badan yang sihat.

Kajian menunjukkan, nutrien tambahan dapat membantu mengekalkan kesihatan optimum. Setiap nutrien ini pula mempunyai fungsinya yang tersendiri, sebagai contoh, vitamin dan mineral amat diperlukan oleh badan kita untuk membantu proses biokimia di dalam sel-sel badan. Walaupun kuantiti vitamin dan mineral diperlukan dalam jumlah yang sangat kecil, namun kekurangannya akan menyebabkan beberapa komplikasi kesihatan.

Pengambilan vitamin juga pen­ting. Vitamin juga dikenali sebagai mikro nutrien kerana badan kita memerlukan bahan ini dalam kuantiti yang kecil. Vitamin adalah bahan kimia yang diperlukan bagi mengawal metabolisme badan serta mencegah penyakit. Cara terbaik untuk mendapat sumber vitamin adalah melalui bahan makanan segar daripada sumber daging haiwan, sayuran dan buah-buahan.

Kekurangan vitamin dan mine­ral biasanya berlaku di kalangan penduduk di negara-negara miskin dan mundur. Penduduk di negara tersebut sering mengalami kekurang­an vitamin dan mineral kerana tidak mendapat sumber makanan yang mencukupi.

Kini, kekurangan vitamin dan mineral juga di katakan berlaku dalam kalangan penduduk negara maju dan membangun. Keadaan ini adalah disebabkan mereka mengamalkan diet yang tidak seimbang.

Kajian juga mendapati dengan amalan gaya hidup sihat jangka ha­yat penduduk di negara ini semakin meningkat. Sebelum merdeka, purata jangka hayat lelaki di negara ini ialah 52 tahun. Bagaimanapun, 51 tahun kemudian, jangka hayat lelaki meningkat kepada 72 tahun, dan perempuan 76 tahun.

Bagaimanapun, pada masa kini cabaran penyakit daripada gaya hidup yang telah berubah menyebabkan pelbagai jenis penyakit berbahaya. Amalan makan de­ngan makanan yang tidak seimbang mengundang penyakit pada tubuh badan seseorang. Oleh itu, memilih makanan yang seimbang dan berbuka dengan sederhana adalah langkah yang terbaik.

Rasulullah SAW bersabda: “ Hidangan makanan untuk dua orang seharusnya cukup untuk tiga orang dan makanan untuk tiga orang cukup untuk empat orang.” (Riwayat Al Bukhari).

Selain pengambilan makanan yang tidak seimbang, cara mengawal tekanan perasaan atau stres juga amat penting. Tekanan pe­rasaan atau stres berpunca daripada faktor luaran dan dalaman. Faktor luaran berlaku akibat tindak balas rangsangan persekitaran manakala faktor dalaman berlaku akibat tindak balas emosi yang tidak terkawal.

Dalam kehidupan yang sibuk dan mencabar kita digalakkan mengawal tekanan perasaan atau stres dengan fikiran terbuka, selalu bersenam, mempunyai hobi yang terbaik, mengamalkan teknik relaks, rehat dan tidur yang cukup. Menguruskan diri dengan baik, melaksa­nakan ibadah dengan berkesan serta mempunyai matlamat hidup akan dapat mengurangkan tekanan.

Langkah yang paling utama, mengawal nafsu makan dan cegah segala penyakit, lebih utama daripada mengubatinya. Dalam keadaan sekarang terutama ketika berbuka puasa seharusnya mengawal nafsu makan, iaitu makan dengan kadar yang sederhana begitu juga apabila hari raya digalakkan supaya mengawal nafsu makan dengan hanya memakan apabila terasa lapar dan berhentilah sebelum kenyang.

Nabi SAW berpesan dalam sabda baginda: “Orang yang paling kenyang makan di dunia akan menjadi paling lama lapar pada hari akhirat.” (Riwayat Al Hakim).

Kesimpulannya, mengamalkan gaya hidup sihat akan meningkatkan jangka hayat seseorang. Selain itu, elakkan kegemukan atau obesiti yang boleh mengundang pelbagai penyakit berbahaya seperti kencing manis, darah tinggi, dan penyakit jantung yang boleh membawa kepada kematian. Sebelum diserang oleh pelbagai penyakit tersebut mencegahnya dan mengawalnya adalah lebih baik. Mengawal nafsu makan itulah tujuan utama yang terkandung dalam fadilat dan falsafah berpuasa sebenarnya.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Jalin penyatuan di bulan berkat

Posted by epondok di Jun 27, 2015

ISMAWI ISHAK

Kita umat Muhammad SAW dimuliakan dengan diberi satu bulan yang tiada pada umat-umat yang lain iaitu bulan Ramadan, di mana dalam bu­lan tersebut terdapat satu malam (Lailatul Qadar) yang lebih baik dari seribu bulan. Permulaan Ramadan adalah rahmat, pertengahannya adalah pengampunan dosa dan penghujung Ramadan adalah kelepasan daripada neraka.

Satu bulan istimewa di mana ganjaran bagi me­nu­naikan amalan sunat adalah seumpama amalan fardu dan sesiapa yg menunaikan amalan fardu adalah se­um­pama menunaikan 70 fardhu pada bulan lain.

Bulan Ramadan adalah bulan kesabaran dan ganjaran kesabaran adalah syurga. Bulan itu adalah bulan sim­pati, bulan yang ditambahkan rezeki kepada orang-orang yang beriman. Dalam bulan Ramadan sesiapa yang mengingati Allah SWT akan diampunkan dosanya dan sesiapa yang meminta sesuatu daripada Allah SWT tidak akan dihampakan (dalam satu hadis yang lain, dengan syarat tidak berdoa untuk memutuskan silaturahim dan tidak berdoa untuk sebarang dosa).

Namun terdapat dalam satu hadis mengenai kisah dua orang Islam yang bergaduh dan penentuan Lailatul Qadar telah diangkat. Ulama memberitahu bahawa pergaduhan atau perbalahan adalah satu perkara yang sangat buruk sehinggakan penentuan Lailatul Qadar diangkat, bahkan pertelingkahan sentiasa menjadi se­bab kehilangan berkat.

Sabda Nabi, “Sukakah aku beritahu kamu satu perkara yang lebih afdal dari solat, puasa, sedekah dan ibadat-ibadat lain?” Para sahabat RA berkata “Bahkan Ya Rasulullah”. Rasulullah SAW bersabda, “HUBUNGAN baik sesama kamu adalah perkara yang paling afdal dan pergaduhan sesama sendiri adalah perkara yang mencukur agama”. Rasulullah SAW juga bersabda iaitu menjatuhkan maruah seseorang Islam adalah riba yang paling buruk dan keji.

Manakala dalam Surah Al Anfal ayat 46, Allah ber­firman: dan janganlah kamu berbantah-bantah, kalau tidak nescaya kamu akan menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu

Berdasarkan hadis dan ayat di atas, dapat kita sim­pulkan mengenai kemurkaan Allah Taala dalam perbalahan, tidak kira sama ada pemimpin ataupun yang dipimpin dan Allah Taala memberi jaminan ke­kuatan akan hilang dan semangat akan lemah apabila wujudnya perbalahan.

Demi Allah yang menurunkan bulan rahmat ini, sempena Ramadan yang diberkati, marilah kita meng­hulurkan tangan perpaduan lambang penyatuan umat Islam di negara ini, agar kesan daripada per­balahan ini dapat kita sama-sama jauhi.

Kita khuatir per­ba­la­han yang berpanjangan akan mengundang ke­mur­kaan Allah Taala dan Allah me­nu­runkan azab-nya yang amat pedih se­perti yang telah sedang kita rasai asbab dari rah­mat (kasih sayang) Allah yang berkurangan.

Marilah kita semua me­mainkan peranan ma­sing-masing agar yang keruh dapat dijernihkan, yang kabur dan samar da­pat dijelaskan dan yang ma­sam dapat dima­nis­kan.

Menyatukan

Para pemimpin dapat duduk semeja, sama-sa­ma berperasaan ingin sa­ling memperbaiki bukan me­­nuding jari, berbuka ber­sama sambil meneliti jaringan perpaduan umat Is­lam yang dapat di­­per­kemaskan dan ke­ku­su­tan dalam penyatuan dapat dileraikan.

Manakala rakan-rakan di sekeliling membantu me­nunaikan hak sesama Islam yang amat dituntut dalam agama, tanpa menuntut hak diri sendiri dan inilah amalan para sahabat RA yang sentiasa sedia mengorbankan diri masing-masing untuk kesenangan saudara seislam yang lain.

Masing-masing berperanan agar penyatuan pemimpin dan umat Islam terhasil dan bukannya menambah parah luka di pihak masing-masing dengan mencadang atau membuka aib pihak lain demi untuk mengangkat pemimpin atau pihak yang disukainya.

Atau sekurang-kurangnya kita diam sekiranya tidak dapat membantu menjernihkan keadaan dengan kata-kata dan pendapat kita kerana kita perlu menjaga lidah sendiri agar perkataan yang kita ucapkan tidak menjadi asbab kepada perbalahan pemimpin dan perpecahan umat. Rasulullah SAW dan para sahabat RA telah menyatukan umat yang terdiri dari ratusan malah ribuan kaum, bangsa dan negara menjadi satu sahaja iaitu sebagai umat Muhammad.

Mereka telah berkorban untuk menyatukan umat ini dengan darah dan air mata dan janganlah kita menjadi penyebab kepada perbalahan pemimpin yang akhirnya merugikan rakyat dan akhirnya menjadi asbab kepada perpecahan umat, yang amat dimurkai Allah SWT.

Demi Allah yang nyawa saya dan tuan-tuan dalam genggaman-Nya, sempena bulan Ramadan yang hanya datang setahun sekali ini, yang di dalamnya terdapat keberkatan dan rahmat Allah, marilah sama-sama kita berazam untuk melupakan pertelingkahan dan perbalahan demi untuk melihat penyatuan umat Islam dan generasi seterusnya merasai nikmat perpaduan yang terhasil.

Apabila pemimpin bersatu-padu, yang longgar di­pa­datkan, yang kusut dileraikan, yang rosak dipu­lih­kan, maka kekuatan akan terhasil, semangat akan bersemarak, dengan izin Allah, negara kita akan di­berkati dan rahmat Allah mencurah-curah ke atas bumi Malaysia dan terzahir ke seluruh alam.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Sempurnakan Ramadhan dengan amalan soleh

Posted by epondok di Jun 25, 2015

ABDULLAH MD. ZIN

RAMADAN kembali hadir. Bagaimanakah semangat umat Islam yang sepatutnya apabila tibanya bulan mulia ini? Sirah mencatatkan menjelang kedatangan bulan Ramadan, Rasulullah SAW membuat beberapa persediaan di akhir bulan Syaaban. Para sahabat r.a dikumpulkan oleh Rasulullah untuk diterangkan fadilat bulan mulia ini.

Rasulullah SAW menganjurkan umat Islam:

Bersiap sedia menanti kedatangan Ramadan iaitu de­ngan mengulangkaji kembali pelajaran berkaitan ibadah puasa supaya kita menyambutnya dengan penuh sempurna.

Memperlihatkan kesenangan hati dan kegembiraan menyambut Ramadan sebagaimana Rasulullah dan para sahabat mengucapkan Marhaban, Marhaban Ya Ramadan.

Memperbanyakkan doa kepada Allah SWT semoga diberikan kekuatan dan tenaga serta kelapangan untuk mengerjakan ibadah puasa.

Memperbanyakkan doa agar Allah mengurniakan kejujuran, keikhlasan, jauh daripada sifat riak, ujub dan takabbur yang boleh menghilangkan pahala puasa.

Menguatkan semangat untuk menjalankan latihan kerohanian dengan lengkap dan sempurna.

Menghindarkan diri daripada adat-adat salah seperti membazir untuk membeli juadah berbuka puasa dan sebagainya.

Mengucapkan tahniah kepada sesama saudara Islam dengan kedatangan bulan Ramadan ini.

Allah berfirman dalam Surah al-Baqarah, ayat 183: “Wahai orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu semoga kamu menjadi orang yang bertakwa.”

Hakikatnya Allah memberi isyarat dan menunjukkan dengan jelas betapa ibadah puasa menimbulkan ketakwaan dalam hati seseorang. Ibadah ini jika ditunaikan mengikut peraturan dan adab-adabnya yang sebenar mampu menguatkan hati supaya bertakwa dan melahirkan sifat yang menerbitkan tingkah laku terpuji.

Bulan Ramadan medan untuk umat Islam menyuburkan semangat jihad menentang bisikan jahat syaitan yang merupakan musuh umat manusia seluruhnya. Semangat jihad ini dipupuk melalui sifat sabar mengerjakan kebaikan dan kebajikan di sepanjang bulan ini.

Ibadah puasa ini juga turut melahirkan rasa keseronokan mengerjakan kebaikan. Sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Hajj, ayat 77: “Wahai orang yang beriman, rukuklah dan sujudlah (mengerjakan sembahyang) dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkan-Nya), serta kerjakanlah amal-amal kebajikan; supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).”

Bulan Ramadan juga bulan latihan dan pendidikan kerohanian yang mampu membentuk peribadi dan akhlak Muslim. Ibadah puasa melahirkan sifat amanah sekali gus menyuburkan sama rasa takwa yang merangkumi semua sifat yang terpuji dan luhur sama ada batin mahupun zahir seseorang insan yang bergelar Muslim. Rasulullah SAW bersabda: “Iman itu mempu­nyai tujuh puluh cabang, yang tertinggi adalah kalimah ‘Laa Ilaha Illa Allah’ (tiada Tuhan yang berhak disembah kecuali Allah) dan yang paling rendah adalah membuang gangguan yang ada di jalanan. (Riwayat Muttafaq A’Laih).

Sifat takwa akan mampu berfungsi sebagai pengawal kepada kebaikan dan menjernihkan jiwa dari dosa-dosa dan maksiat. Ia akan menjernihkan jiwa dan hati manusia daripada sifat syirik dan nifaq. Kita mengharapkan institusi Ramadan ini berjaya ditempuhi dengan penuh keikhlasan dan rendah diri serta ketakwaan sebagai hamba-Nya. Semoga proses transformasi diri ke arah lebih baik menjadi kenyataan apabila bera­khirnya bulan penuh keberkatan ini. Janganlah menjadi hamba yang berpuasa tetapi hanya mendapat pahala bertahan lapar dan dahaga sahaja. Itu perkara yang sangat merugikan. Modal insan adalah sumber terpenting kepada pembangunan negara.

Maju atau mundurnya sesebuah negara bergantung penuh kepada kekuatan dan kehebatan nilai, kompetensi dan kemahiran insaniah bangsa itu sendiri. Ringkasnya, pada hemah saya, kita perlu membangunkan sebuah masyarakat yang memiliki nilai-nilai tinggi, berakhlak mulia serta memiliki minda yang mencerminkan rakyat sebuah negara maju berpaksikan prinsip Islam. Inilah transformasi seorang muslim pasca Ramadan. Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadan Karim.

 

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Menghayati madrasah Ramadan

Posted by epondok di Jun 24, 2015

DR. BURHANUDDIN JALAL

RAMADAN adalah bulan latihan atau madrasah yang pada umumnya bertujuan melatih umat Islam agar bertakwa, bersyukur dan mendapat petunjuk Ilahi. Bulan Ramadan adalah madrasah atau sekolah yang bertujuan memberi latihan untuk menambah kekuatan kerohanian, bulan untuk melawan nafsu dan bulan persediaan untuk jihad.

Ibadah puasa adalah madrasah yang bertujuan melahirkan insan bertakwa yang berlandaskan ayat 183 surah al-Baqarah yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman! kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa”. Madrasah itu bertujuan membina takwa melalui pendekatan berikut:

Berpuasa mendidik jiwa untuk takut kepada Allah dalam keadaan sembunyi atau terbuka.

Mengekang nafsu syahwat daripada menguasai diri.

Membina cetusan naluri yang peka dan sensitif.

Memulihkan dan membina kekuatan struktur dalaman tubuh badan serta menguatkan kesihatan jasad dari unsur yang memudaratkan.

Bagi Dr. Mustaffa Siba’i pula menerusi bukunya, Ahkamu syiam wa falsafat fi dhu al-Quran wa al-sunnah menjelaskan ibadat puasa sebagai madrasah atau pusat latihan untuk membina kekuatan dari aspek al-madi (kebendaan) dan kekuatan al-ruhi (roh). Dalam aspek kebendaan, ini mencakupi aspek harta dan jasmani sementara aspek roh meliputi iman dan pemikiran.

Dalam konteks ini bagaimanakah sewajarnya setiap insan muslim dapat mengambil pengajaran atau iktibar dalam tempoh sebulan dalam melaksanakan ibadah puasa di bulan Ramadan dan dapat diterjemahkan pengajaran Ramadan atau madrasah yang sama-sama dilalui itu untuk dibawa dalam pelbagai profesion pekerjaan.

Selain itu, madrasah Ramadan juga mampu meningkatkan motivasi untuk melakukan pembaikan diri yang meningkatkan kualiti diri menerusi penghayatan nilai-nilai unggul khususnya nilai takwa.

Dari aspek psikologi, manusia terdiri daripada empat komponen utama iaitu fizikal, emosi, kognitif dan spiritual. Berdasarkan komponen ini, madrasah Ramadan diharapkan dapat melatih fizikal, emosi, kognitif dan spiritual untuk melakukan transformasi diri ke arah kebaikan yang dituntut berlandaskan kehendak Islam.

Pada umumnya melalui latihan atau sukatan pelajaran yang dilalui dalam bulan Ramadan, diharapkan dapat membina generasi yang mantap dan kukuh secara luaran dan dalaman individu. Dalam konteks kehidupan seluruhnya, diharap madrasah Ramadan dapat melahirkan generasi umat yang mantap iaitu yang bukan dimanjakan atau generasi yang berada di keadaan serba selesa, tetapi generasi yang dididik dengan sifat mujahadah, bersedia melawan hawa nafsu dan cabaran dan godaan sekeliling.

Falsafahnya mudah, jika mampu mendidik dan mengalahkan nafsu, sudah pasti ia mampu mengatasi masalah dan cabaran yang dihadapi dalam hidup dan sebaliknya. Jika gagal melawan nafsu, sudah pasti banyak cabaran dan dugaan yang mendatang gagal diharungi.

Perlu disedari bahawa sepanjang bulan Ramadan ini umat Islam pada umumnya telah melalui fasa-fasa latihan berdasarkan sukatan pelajaran atau silibus yang tertentu dan sekali gus umat Islam keseluruhannya telah menjalani dan mengalami latihan yang menjurus kepada perubahan tertentu dalam kehidupan seharian dan perubahan yang dilakukan bermatlamatkan untuk membina diri mukmin yang kuat serta amanah.

Bagi melihat dengan lebih dekat, bagaimana semangat daya juang yang tinggi dapat dibina dalam kalangan umat seluruhnya, sirah nabi telah membuktikan bahawa madrasah Ramadan mampu membina individu seperti Ali bin Abi Talib, yang mempamerkan semangat daya juang dan keberanian yang tinggi dalam peristiwa Hijrah Nabi Muhammad SAW.

Dalam konteks daya juang ini, sirah juga mencatatkan bahawa tentera Islam telah terlibat dalam Perang Badar (Badr al-Kubra) yang berlaku pada 17 Ramadan Tahun Kedua Hijrah. Sesungguhnya ‘Badr al-Kubra’ telah memberikan pengajaran dan iktibar yang boleh diteladani oleh seluruh umat iaitu:

Sifat cinta dan kasih kepada agama Islam mengatasi segalanya.

Semangat cintakan negara, bangsa dan tanah air dari diceroboh musuh.

Mempunyai sifat takwa dan sabar dalam menghadapi ujian dan kesukaran.

Sentiasa berserah diri kepada Allah dan bertawakal.

Selain itu madrasah Ramadan juga mendidik diri untuk menghayati konsep Hablun MinAllah (hubungan dengan Allah) dan konsep Hablun Minannas (hubungan sesama manusia).

Sesungguhnya madrasah Ramadan melatih seluruh umat Islam untuk melaksanakan amalan hubungan seorang hamba dengan Rabbnya iaitu hubungan dengan Allah dan sesama manusia. Hubungan tersebut terserlah dalam ibadah dan akhlak yang dilakukan sepanjang Ramadan dan sekali gus mampu untuk diterjemahkan selepas Ramadan.

Dalam konteks hubungan sesama manusia adalah menjadi harapan, agar hubungan sesama manusia itu dapat diterjemahkan dalam erti kata semangat setia kawan atau dalam Islam disebut sebagai itsar yang bermaksud bersedia mendahulukan kepentingan orang lain melebihi kepentingan diri sendiri. Sejauh manakah umat seluruhnya telah menghayati sifat itsar ini dalam kehidupan seharian khususnya semangat setiakawan yang telah dididik dalam masyarakat dan organisasi?

Bagi menggambarkan sifat itsar yang boleh dibina melalui madrasah Ramadan antaranya ialah tentang kisah para sahabat dan pejuang Islam yang mempunyai kesanggupan mendahulukan kepentingan orang lain berbanding dari kepentingan diri sendiri.

Bagi menjelaskan sifat itsar ini, terdapat kisah yang berlaku dalam kalangan tentera Islam yang berjuang dan tercedera dalam Perang Yarmouk. Kisah ini berlaku kepada Ikrimah bin Abu Jahal (anak Abu Jahal). Apabila Ikrimah tercedera parah dalam peperangan tersebut, sepupunya yang turut serta dalam peperangan telah berusaha untuk membantunya dengan ingin memberikan air kepadanya dan apabila Ikrimah hendak meminum air tersebut, dia terdengar ada tentera lain yang turut tercedera parah inginkan air.

Lantas, dia menyuruh sepupunya itu memberikan air tersebut kepada tentera yang merintih memerlukan air dan berkata, “demi Allah aku tidak akan minum sebelum saudaraku minum”. Sepupu Ikrimah pergi kepada orang tersebut dan keadaan sama berlaku kepada 10 orang yang lain dan orang yang kesepuluh menyatakan, “demi Allah aku tidak akan minum sebelum Ikrimah minum”. Maka sepupu Ikrimah pun kembali kepada Ikrimah dan didapati Ikrimah telah pun syahid.

Dalam usaha untuk menjadikan masyarakat atau organisasi terus cemerlang agar menjadi masyarakat atau organisasi yang kuat, sejahtera, dinamik, saling bekerjasama, aman sejahtera, dan saling membantu, adalah menjadi harapan bersama agar Ramadan kali ini benar-benar memberikan madrasah yang mampu memberikan pendidikan ideal yang berlandaskan tiga unsur penting iaitu kekuatan, kecintaan dan tawaduk.

Pembinaan individu yang mantap dari segi fizikal, mental dan kerohanian adalah proses awal untuk membentuk masyarakat yang dinamik.

Selanjutnya pendidikan ideal dari madrasah Ramadan ini yang membentuk perlakuan, spiritual, emosi dan kognitif jika dapat diterjemahkan dalam kehidupan seluruh organisasi dan masyarakat, sudah pasti negara mampu mencapai hala tuju yang telah ditetapkan serta mencapai kemakmuran dan kemajuan yang berterusan

 

 

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Menyambut pesta ibadat Ramadan

Posted by epondok di Jun 23, 2015

MOHD. RADZI MOHD. ZIN

 

lhamdulillah, kita dipanjangkan umur untuk bertemu lagi dengan bulan Ramadan, bulan yang penuh keberkatan dan bulan di mana al-Quran diturunkan di dalamnya. Bulan yang cukup istimewa kerana sesiapa yang berjaya melepasi ‘ujian’ berpuasa akan beroleh takwa.

Ia sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa. (al-Baqarah: 183)

Ayat ini menonjolkan matlamat agung ibadat puasa iaitu bagi mencapai takwa. Takwa itulah yang bersemarak dalam hati ketika mengerjakan fardu puasa kerana menjunjung perintah Allah dan mengutamakan keredaan-Nya. Takwa itu juga yang mengawal hati daripada merosakkan ibadat puasa dengan maksiat walaupun maksiat yang berbisik dalam hati.

Selain itu, banyak keberkatan yang boleh kita peroleh sepanjang Ramadan baik dari segi individu ataupun masyarakat. Antara yang paling ketara, masjid dan surau penuh berbanding sebelum bulan puasa. Jika dahulu hendak mengumpulkan 50 orang untuk jemaah solat Subuh amat payah, kedatangan Ramadan menyaksikan ramai ‘muka baharu’ turut hadir solat Subuh berjemaah.

Demikian juga dalam solat-solat fardu lain. Jangan kiralah bab solat Isyak dan tarawih. Kalau minggu pertama puasa, masjid dan surau seolah-olah ‘kecil’ kerana jemaahnya yang melimpah ruah. Inilah antara keberkatan Ramadan di mana hati-hati manusia lebih terdorong melakukan ibadat berbanding dilalaikan dengan lain-lain perkara duniawi.

Antara yang menjelaskan perkara ini adalah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Apabila datangnya Ramadan, dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dirantai syaitan-syaitan. (riwayat Bukhari dan Muslim) ‘Syaitan’ ini merujuk kepada sifat. Manusia atau jin yang mempunyai sifat-sifat buruk tertentu dikenali sebagai syaitan.

Dalam surah an-Naas ada disebut ayat Minal jinnati wan naas yang menyatakan bahawa para penghasut yang timbul tenggelam (yang ditafsirkan oleh para ulama sebagai ‘syaitan’) itu terdiri daripada bangsa jin dan bangsa manusia. Maka istilah ‘syaitan’ itu bukanlah merujuk kepada jin, tetapi kepada manusia dan jin yang mempunyai sifat-sifat tertentu.

Berbalik kepada hadis di atas, yang dirantai atau dibelenggu itu bagi setengah Ulama’ bukanlah bermaksud jin tetapi sifat-sifat kesyaitanan yang ada dalam diri manusia dan jin. Digunakan istilah ‘dirantai atau dibelenggu’ untuk menyatakan ‘ketidakbebasan’. Sifat-sifat kesyaitanan pada diri manusia dan jin sepanjang bulan Ramadan ini tidak bebas seperti dalam bulan-bulan lain.

Contohnya, sifat syaitan pada diri kita sendiri. Antara sifat kesyaitanan yang kita rai pada bulan-bulan selain Ramadan adalah seperti banyak makan, memandang kepada perkara yang haram, suka mengumpat, marah-marah, berfikiran jahat dan sebagainya.

Namun apabila masuk bulan Ramadan dan umat Islam berpuasa, sedikit-sebanyak kita berusaha mengekang sifat-sifat ini pada siang hari agar puasa kita menjadi puasa yang berkualiti.

Pada waktu malam pula kesempatan kita untuk keluar rumah juga terhad. Natijahnya, sifat-sifat kesyaitanan ini seolah-olah terbelenggu, terantai dan tidak bebas seperti dalam bulan-bulan yang lain. Inilah yang dimaksudkan dengan ‘syaitan-syaitan dirantai’.

Dengan demikian, marilah kita merebut peluang melipat-gandakan amal ibadat dalam kesempatan umur yang Allah berikan kali ini. Penuhilah diari kehidupan harian kita dengan membaca al-Quran, membanyakkan sedekah, melakukan solat malam dan sebagainya.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Rayuan Derma Bina Asrama Muslimat Pondok Beta Hilir

Posted by epondok di Jun 22, 2015

Derma Beta

Posted in Pondok Beta Hilir | Leave a Comment »

Ramadan masa didik diri, bukan hamba hawa nafsu

Posted by epondok di Jun 22, 2015

Oleh Nik Hasnah Ismail
Amal ibadah sepanjang Ramadan pastinya dibuat sebaik-baiknya dengan harapan setiap amal ibadah itu mendapat pandangan tertinggi di sisi Allah SWT. Dalam keghairahan melaksanakan amal ibadah, ada kala kita tergelincir daripada syariat yang dipandu oleh al-Quran dan hadis.
Menerusi rancangan Tarbiah di IKIMfm yang bersiaran setiap Jumaat, jam 10.15 pagi, Ustaz Syed Mohd Norhisyam Tuan Padang mengingatkan umat Islam supaya mengambil peluang keemasan pada bulan mulia ini untuk memperhebatkan amal ibadah kepada Allah SWT dengan ikhlas.
Katanya, tidak dinafikan ketika melaksanakan ibadah pada bulan mulia ini, ada segelintir umat Islam terlepas pandang perkara dituntut agama sehingga tanpa sedar melakukan amalan bercanggah dengan ajaran Islam sebenar. “Walaupun bulan puasa sering dikaitkan dengan lapar dan dahaga, seorang Mukmin tidak sewajarnya menjadikan Ramadan sebagai bulan untuk makan sebanyak-banyaknya ketika berbuka sehingga ia disalah faham sebagai bulan pesta makanan.
“Sungguhpun ada budaya pasar Ramadan yang memberi kesempatan untuk berniaga pelbagai juadah berbuka puasa, ia bukanlah alasan untuk kita berbelanja sehingga amalan berpuasa yang mulia itu dipenuhi aktiviti berbelanja yang menyebabkan pembaziran,” katanya.
Tingkat ketakwaan
Beliau berkata, umat Islam harus menggunakan kesempatan Ramadan ini sebagai bulan dipenuhi amalan baik yang akan meningkatkan ketakwaan di sisi Allah SWT. Ketika berpuasa kita menahan diri daripada lapar dan dahaga, apabila tiba waktu berbuka kita makan seolah-olah tidak mampu menahan nafsu. Ia adalah satu perbuatan yang dikeji di sisi agama dan pastinya falsafah serta erti berpuasa itu tidak memberi apa-apa makna buat kita.
Kata-kata hikmah menyebut, mencegah adalah lebih baik daripada mengubati, justeru sebaiknya kita mengelak perbuatan yang sia-sia. Jangan biarkan bulan puasa yang sepatutnya melatih dan mendidik nafsu akhirnya menjadi bulan menahan lapar serta dahaga semata-mata. Oleh itu, umat Islam hendaklah sentiasa mengenal pasti perkara yang dianjurkan oleh agama dan meninggalkan perkara dilarang. Begitu juga bagi sesetengah umat Islam yang ghairah merebut ganjaran pahala pada Ramadan dengan melaksanakan amalan bertadarus atau membaca al-Quran. Amalan itu amat dituntut dan membaca sebaris ayat sekali pun akan diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT.
Syed Mohd Norhisyam menyarankan kepada mereka yang bertadarus al-Quran pada bulan mulia ini supaya bukan sekadar membaca ayat al-Quran, malah turut bertadabur dengan ayat Allah SWT itu. Dalam erti kata, bukan hanya membaca, tetapi benar-benar menghayati inti pati al-Quran. Memahami kandungan ayat suci al-Quran sudah pasti akan meningkatkan pemahaman terhadap agama dan menambah ketakwaan kepada Allah SWT kerana kita bukan hanya mahu merebut pahala membaca al-Quran, malah pada masa sama turut mendapat ilmu daripada kalam Allah SWT. Beliau turut membangkitkan soal amalan bersahur sebelum tidur oleh mereka yang tidak bangun untuk makan pada waktu sepatutnya. Katanya, anjuran bersahur dan barakah amalan itu adalah pada awal pagi sebelum masuknya waktu imsak. Bersahur akan membawa keberkatan bagi mereka yang berpuasa seperti dijelaskan oleh Nabi Muhammad SAW dalam sabda Baginda: “Bersahurlah, kerana sesungguhnya pada sahur (makanan) itu ada keberkatan.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Bagi yang mungkin berasa sukar bangun pada awal pagi untuk bersahur dinasihatkan berlatih membiasakan diri melaksanakan amalan yang dituntut oleh ajaran agama. Latih anak berpuasa Menyentuh sikap sesetengah ibu dan bapa yang teruja melatih anak kecil untuk berpuasa sepanjang Ramadan ini, mereka menjanjikan pelbagai ganjaran sebagai dorongan atau sokongan moral kepada anak yang berpuasa. Malangnya, mereka terlupa melatih anak menunaikan solat sedangkan ia adalah amalan pertama yang dihitung pada hari akhirat nanti. “Ibu bapa yang melatih anak berpuasa adalah satu perbuatan amat baik, tetapi pada masa sama ibu bapa tidak harus lupa untuk melatih anak melaksanakan solat. Jika ibadah puasa dan solat ditekankan seiring, ia akan menjadi satu pendidikan lengkap yang memberi kesan besar kepada anak,” katanya.
Beliau turut mengingatkan golongan dewasa yang berpuasa, tetapi tidak solat kerana puasa tidak memberi ganjaran jika tidak dilengkapkan dengan solat. Apabila seseorang tidak solat, amalan lain tidak memberi erti kerana amalan lain dihitung selepas solat terlaksana. Jika begitu keadaannya, puasa dilihat sebagai adat bukan ibadah yang memerlukan seseorang itu memastikan kesempurnaan pelaksanaannya dengan memberi perhatian kepada setiap aspek yang perlu dipenuhi bagi mendapatkan puasa sempurna.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Ganjaran besar sedekah Ramadan

Posted by epondok di Jun 20, 2015

MOHD. RADZI MOHD. ZIN

 

RAMADAN menjanjikan banyak kelebihan dan ganjaran. Antaranya amalan sunat diberi ganjaran pahala ibadat fardu, yang fardu diberi ganjaran 70 kali ganda. Demikian juga dalam bab sedekah. Bagi umat Islam yang suka bersedekah, pastinya Ramadan sentiasa ditunggu-tunggu untuk mendapat kelebihan yang dijanjikan oleh Allah SWT.

Rasulullah SAW juga adalah insan yang paling dermawan. Sifat pemurah Baginda adalah berlipat kali ganda dalam bulan mulia ini berbanding bulan-bulan lain.

Ketahuilah bahawa Allah SWT melipatgandakan pahala orang yang bersedekah.

Ini dijelaskan menerusi firman-Nya yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang bersedekah baik lelaki mahupun perempuan dan meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, nescaya akan dilipat-gandakan (ganjarannya) kepada mereka dan bagi mereka pahala yang banyak. (al-Hadid: 18)

Seharusnya ini menjadi pemangkin kepada umat Islam untuk bersedekah terutama kepada golongan yang kurang bernasib baik. Sedekah itu pula bukan mesti banyak, sedikit pun mencukupi kerana yang penting adalah ikhlas.

Ingatlah ganjaran yang disebutkan oleh Nabi SAW yang bermaksud: “Barang siapa memberi makan kepada orang yang berpuasa maka baginya seperti pahala orang yang berpuasa itu tanpa mengurangi sedikitpun dari pahalanya”. (Riwayat Ahmad dan At-Tirmidzi).

Oleh itu, marilah kita mengambil kesempatan Ramadan kali ini menyediakan juadah berbuka puasa kepada jiran atau pun saudara seagama. Ini boleh dilakukan secara bersendirian atau dengan mengambil giliran menyumbang wang kepada masjid atau surau menyediakan juadah berbuka puasa.

Bagi yang berkebolehan membuat kuih apa salahnya hadiahkan sepiring kepada jiran tetangga. Bagi yang tidak sempat memasak, apa kata mulai tahun ini beli lebih sedikit kuih muih atau makanan untuk disedekahkan kepada orang berbuka puasa. Bayangkan kegembiraan orang yang berbuka puasa itu lebih-lebih lagi bagi mereka yang bermusafir dan singgah di masjid atau surau kariah kita.

Alangkah baik jika kempen derma minimum RM1 turut dipromosi kepada setiap jemaah masjid dan surau. Ini bertujuan menyuburkan budaya bersedekah dalam kalangan umat Islam terutamanya kanak-kanak.

Ingatlah setiap kebajikan yang kita lakukan walau sebesar zarah akan diperlihatkan ganjarannya di akhirat kelak. Lebih penting lagi, kita menghayati sabda Nabi SAW yang bermaksud: Tangan yang di atas lebih baik dari tangan yang di bawah. Tangan di atas adalah orang yang memberi dan tangan yang di bawah adalah orang yang meminta. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Selain itu, keutamaan bersedekah yang lain adalah:

– Sedekah dapat menghapus dosa. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sedekah dapat menghapus dosa sebagaimana air memadamkan api”. (Riwayat Tirmidzi)

– Orang yang bersedekah mendapat naungan di hari akhirat. Nabi SAW dalam sabdanya menyebut antara tujuh golongan yang mendapat naungan Allah di akhirat kelak ialah: “Seorang yang bersedekah dengan tangan kanannya, ia menyembunyikan amalnya itu sampai-sampai tangan kirinya tidak mengetahui apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya”. (Riwayat Bukhari)

– Sedekah memberi keberkatan pada harta. Ia berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Harta tidak akan berkurang dengan sedekah…” (Riwayat Muslim)

Jika tidak mampu menyumbang harta, setidak-tidaknya berusahalah menyumbang tenaga dan fikiran dengan mengajak orang sekeliling melakukan kebaikan.

 

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Kelebihan puasa dalam keindahan takwa

Posted by epondok di Jun 19, 2015

Oleh Norhayati Paradi
Allah SWT itu Maha Indah dan suka kepada keindahan. Sifat Maha Indah itu menzahirkan syariat yang indah untuk ditunaikan oleh hamba-Nya yang bernama manusia. Acap kali keindahan syariat-Nya dicemari, bukan kerana syariat itu kurang indah, tetapi kerana hati manusia sirna indahnya. Melihat keindahan puasa perlu pada sisi yang tepat dari kaca mata diperintahkan Allah SWT, bukan mengikut rasa hati.
Ustaz Pahrol Muhamad Juoi menegaskan menerusi Islam Itu Indah minggu lalu, jika melihat dengan pandangan yang tersasar, tujuan sebenar berpuasa tidak mampu untuk dilestarikan dalam bentuk amalan yang sempurna. Ustaz Pahrol berkongsi tamsilan cara melihat dengan memandang kepada laut. Tatkala dilihat oleh pencinta alam akan terdampar pemandangan indah yang menenangkan, ada ombak dan juga sampah di permukaannya. Bagi nelayan, hasil tangkapan di laut sumber pencarian mereka. Berbeza bagi pemburu mutiara, melihat laut dengan bayangan kemilau butiran berharga di dasar lautan. Lebih hebat apabila jurutera petroleum memandang lautan, menerobos jauh di bawah lapisan bumi menilai harga galian yang tersembunyi. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183)
Kesinambungan iman, puasa, takwa Terkandung dalam ayat itu, tiga kata kunci yang saling berkaitan dan berkesinambungan antara satu sama lain iaitu iman, puasa serta takwa. Iman itu adalah ‘input’, manakala puasa adalah proses dan akhir sekali takwa iaitu ‘output’ atau buah yang diharapkan daripada benih iman serta pohon ibadah puasa. Maka inilah tujuan berpuasa menepati ajaran Islam yang merangkumi Rukun Iman, Rukun Islam dan ihsan. Rukun Iman adalah keyakinan yang menjadi benih, manakala rukun Islam proses iaitu tindakan (puasa) dan ihsan wujud atas rasa yang hadir umpama melihat Allah SWT atau paling kurang hadir perasaan dilihat oleh Allah SWT tatkala melaksanakan ibadah.
Keindahan puasa terletak pada proses dan jalan untuk mencapai takwa. Kelebihan puasa sinonim dengan kehebatan dan keindahan takwa. Menurut Ibn Manzur, takwa berasal daripada perkataan Arab dengan kata akar waqa iaitu menjaga. Imam Al-Munawi menjelaskan, takwa ialah menjadikan diri dalam keadaan berjaga-jaga daripada apa yang ditakuti. Justeru, takwa adalah menjaga ketaatan kepada Allah SWT daripada seksaan-Nya dan memelihara diri daripada melakukan maksiat yang mengakibatkan pembalasan azab. Orang bertakwa akan sentiasa berhati-hati dan berjaga-jaga ketika bertindak. Implikasi kepada ketakwaan adalah tertanam teguh kepercayaan bahawa jika menjaga Allah SWT, maka Allah SWT akan menjaga diri individu itu. Menjaga Allah SWT di sini bermakna menjaga hukum-hakam, perintah dan larangan daripada Allah SWT. Sebagai timbal balik, Allah SWT akan menjaga dirinya bermaksud tidak ada yang boleh memudaratkan, memusnahkan apatah lagi menakutkan orang itu kerana ketika ada Allah SWT dalam diri manusia, bermakna dia ada segala-galanya.
Kitab Minhajul Abidin karangan Imam Ghazali menyenaraikan kelebihan orang yang bertakwa menurut al-Quran. Pertama, Allah akan menjadi pembela kepada orang yang bertakwa. Sesungguhnya, menjadi seorang Islam belum menjamin pembelaan daripada Allah SWT. Sebab itu dapat dilihat umat Islam seluruh dunia hari ini kerana Allah SWT tidak menjanjikan pembelaan sekadar kepada orang beriman, tetapi Allah SWT menjanjikan pembelaan kepada hamba yang bertakwa. Kedua, akan diberi rezeki yang tidak disangka-sangka dan penuh keberkatan seperti firman-Nya yang bermaksud: “Barang siapa yang bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberikannya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka. Dan barang siapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan) nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki-Nya). Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.” (Surah at-Thalaq, ayat 2-3)
Peluang menuju takwa Jika berlaku kekusutan dalam apa juga bidang dan lapangan maka audit kembali tingkat takwa diri berada di paras mana? Moga ibadah puasa yang bakal tiba menjadi peluang menuju takwa, pelepas daripada sebarang kekusutan dan kerumitan. Selain itu, orang bertakwa akan diberi keberkatan dalam hidup sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Jika penduduk satu kampung beriman dan bertakwa, Tuhan akan bukakan berkat dari langit dan bumi.” (Surah al-A’raf, ayat 96) Orang yang bertakwa juga dijanjikan syurga oleh Allah SWT dan diselamatkan daripada bakaran api neraka seperti yang termaktub dalam al-Quran yang bermaksud: “Akan tetapi orang yang bertakwa kepada Tuhannya bagi mereka syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya, sedang mereka kekal di dalamnya sebagai tempat tinggal dari sisi Allah.” (Surah Ali-Imran, ayat 198)
Orang bertakwa akan diselamatkan oleh tipu daya musuh iaitu Yahudi dan Nasrani yang terkenal dengan strategi serta perancangan licik untuk menghancurkan umat Islam. Mereka begitu sistematik, fokus dan komited untuk melemahkan perjuangan umat Islam. Namun, orang bertakwa sentiasa berjaya mengenal dan mengatasi tipu daya mereka itu. Justeru, persiapkan diri dengan doa supaya Allah SWT sampaikan usia kepada Ramadan untuk merebut kesempatan pengampunan daripada Allah SWT dan nikmat takwa.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »