Al-Quran adalah manual kehidupan dan kitab petunjuk ke jalan yang sebaik-baiknya sebagaimana Allah SWT berfirman dalam Surah al-Isra’: 9: “Sesungguhnya al-Quran ini memberikan petunjuk kepada (jalan) yang lebih lurus (jalan yang sebaik-baiknya).”

Mempelajari al-Quran satu kewajipan. Mempelajarinya bukan setakat cara membaca dan hukum tajwid sahaja malah menerangkan isi al-Quran kepada orang ramai juga adalah suatu kewajipan ke atas umat Islam.

Secara ringkasnya, penurunan al-Quran atau nuzul al-Quran berlaku dalam beberapa peringkat masa beransur-ansur selama 23 tahun lamanya. Al-Quran mengandungi 114 surah dan susunannya ditentukan oleh Allah SWT secara tauqifi. Al-Quran tidak disusun mengikut penyusunan kitab-kitab ilmiah biasa kerana pada kebiasaannya kitab-kitab tersebut membicarakan satu masalah dengan membahagi-bahagikan kepada bab-bab dan fasal-fasal dan sebagainya. Cara atau kaedah ini tidak terdapat di dalam al-Quran. Persoalan-persoalan induk diterangkan secara silih berganti iaitu:

– Persoalan akidah terkadang digandingkan dengan persoalan hukum.

– Sejarah umat terdahulu disatukan bersama nasihat, dorongan atau tanda-tanda kebesaran Allah yang ada di alam semesta.

– Penerangan masalah-masalah falsafah dan metafizika, al-Quran tidak menggunakan istilah-istilah falsafah dan logik.

– Begitu juga dalam bidang politik, ekonomi, sosial dan kebudayaan.

Ini membuktikan bahawa al-Quran tidak dapat disamakan dengan kitab-kitab yang dikenali oleh manusia. Tujuannya diturunkan juga berbeza dengan tujuan kitab-kitab ilmiah ditulis. Untuk memahaminya, terlebih dahulu mesti diketahui masa turunnya ayat-ayat al-Quran berkenaan dengan mengetahui peringkat-peringkat masa tersebut. Ulama Ulum al-Quran membahagikan sejarah penurunan al-Quran kepada dua peringkat iaitu:

– Ayat-ayat Makkiyyah iaitu ayat-ayat al-Quran yang diturunkan sebelum penghijrahan ke Madinah.

– Ayat-ayat Madaniyyah iaitu ayat-ayat al-Quran yang diturunkan selepas penghijrahan ke Kota Madinah.

Ayat-ayat Makkiyyah yang diturunkan pada peringkat ini secara umumnya membentangkan mengenai manhaj pendidikan yang dijalani oleh Rasulullah SAW sebagaimana yang terkandung dalam Surah al-’Alaq, ayat 1-5 dan Surah al-Muzzammil ayat 1-8.

– Ia juga berkaitan perintah berdakwah dan seruan kepada kaum keluarga terdekat, sebagaimana yang terkandung dalam Surah al-Mudaththir, ayat 1-7 dan surah al-Syu’ara’, ayat 214-216.

– Dasar-dasar penting mengenai sifat-sifat Allah seperti ayat dalam Surah al-A’la dan Surah al-Ikhlas.

– Dasar-dasar akhlak Islamiyyah dan bantahan secara umum mengenai penyelewengan amalan-amalan jahiliyyah seperti dalam Surah al-Takathur yang mengecam golongan terlalu rakus dengan harta dan Surah al-Maa’un yang menerangkan kewajipan terhadap fakir miskin dan anak yatim serta pandangan agama mengenai amalan hidup bermasyarakat.

Peringkat manhaj pendidikan dan seruan dakwah ini berlangsung dalam lingkungan masa antara empat dan lima tahun telah menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat Arab. Dakwah mula melebar melampaui perbatasan Mekah menuju ke daerah-daerah sekitarnya.

Pada peringkat ini juga dipenuhi dengan suasana fitnah, penganiayaan dan kekejaman yang menyebabkan orang Islam berhijrah ke Habsyah. Era ini berlangsung selama lapan dan sembilan tahun, di mana berlaku pertarungan hebat antara gerakan Islam dan jahiliyah. Kemuncaknya mereka semua berhijrah ke Madinah.

Mengenai ayat-ayat Madaniyyah, pada peringkat ini umat Islam berada dalam keadaan selesa, hidup bebas di Madinah dan melaksanakan ajaran agama tanpa rasa takut tidak seperti semasa berada di Mekah. Peringkat ini berlangsung selama 10 tahun. Di sini mula timbulnya pelbagai persoalan antaranya, apakah prinsip yang perlu dilaksanakan dalam masyarakat yang baharu ini bagi mencapai kejayaan? Bagaimana menghadapi golongan munafik, ahli al-Kitab, orang kafir dan sebagainya sebagaimana yang diterangkan oleh al-Quran.

Justeru, penurunan ayat al-Quran pada peringkat ini berkisar tentang:

– Urusan pemerintahan dilaksanakan di atas prinsip syura seperti dalam Surah al-Shura ayat 38.

– Akhlak dan tingkah laku dalam kehidupan seharian diterangkan seperti dalam Surah al-Nur ayat 27.

– Dialog dengan golongan munafik, ahli al-kitab dan musyrik.

– Syariat dan hukum yang menerangkan dasar-dasar yang mesti diikuti oleh manusia dalam hubungan dengan Tuhan dan sesama manusia.

Ringkasnya sejarah penurunan al-Quran seiring bersama perkembangan dakwah Islam. Turunnya al-Quran secara beransur-ansur mengikut asbab al-nuzul dan penyelesaian masalah yang berlaku. Apabila dakwah berjalan secara menyeluruh, masyarakat Arab Quraisy mula berduyun-duyun memeluk agama Islam. Ketika inilah berakhirnya penurunan ayat-ayat al-Quran dan datangnya penegasan dari Allah SWT dalam Surah al-Maidah, ayat 3: “Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agama kamu dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmatKu dan Aku reda Islam itu agamamu.”

Al-Quran adalah petunjuk yang tersimpul dalam keimanan kepada keesaan Allah dan kepercayaan kepada adanya hari pembalasan. Ia juga petunjuk mengenai akhlak yang murni dengan menerangkan norma-norma keagamaan dan tata susila kehidupan yang mesti diikuti dalam kehidupan individu dan bermasyarakat demi kebahagiaan hidup di dunia mahupun di akhirat. Inilah mesej Rasulullah SAW, Islam merupakan nizam al-hayat ataupun way of life yang menjamin kebahagiaan hidup di dunia mahupun di akhirat.