Pengenalan Madrasah al-Diniah al-Falahiah
Posted by epondok di Januari 5, 2022
Pondok Kg Dalam Huma, Bukit Awang, Pasir Puteh, Kelantan
No Telefon : 019-9481330 (Ustaz Rosli b Wan Ibrahim)
Sejarah Penubuhan
Menyedari bahawa pendidikan dan tarbiah adalah gabungan antara ilmu, amal, iman dan penghayatan yang ikhlas, suatu daya usaha yang berterusan digerak dan digarapkan dengan dokongan mereka yang prihatin, bertanggungjawab dan menghayati roh jihad serta komited yang jitu dari segenap lapisan masyarakat maka Pondok Dalam Huma, Bukit Awang telah ditubuhkan pada tahun 2000 oleh Ustaz Rosli b Wan Ibrahim dengan didokong oleh beberapa orang pembantu yang kebanyakannya merupakan kawan-kawan yang sama menuntut di Pondok Pasir Tumboh sebelum ini bagi mencurahkan seluruh daya, usaha, keringat idea dan pengorbanan yang mana bukan sedikit mehnah dan tribulasi yang terpaksa dilalui bukan sekali dua cabaran yang terpaksa diatasi dan bukan mudah denai beranjau yang terpaksa direntas. Usia yang muda tidak menjadi halangan kepada pengasas dan mudir pondok ini dalam memikul amanah yang diberikan oleh tuan tanah yang mewakafkan tanahnya bagi melihat tertubuhnya sebuah pusat pengajian agama bagi memberi peluang bukan sahaja masyarakat Pasir Puteh malah pelajar dari negeri jiran iaitu Terengganu disamping dari negeri yang lain untuk datang menuntut ilmu di sini. Pusat pengajian ini merupakan antara pondok baru yang cepat berkembang maju dari segi bilangan pelajar dan pembangunan hasil kerjasama semua pihak
Dengan tertubuhnya Pondok Dalam Huma maka suatu medan yang subur sebagai pusat penyebaran ilmu dan penghayatan amal yang ikhlas dapat dilihat tersergam gagah dan menambahkan lagi kemeriahan pusat pengajian agama di daerah ini
Objektif Penubuhan
- Melahirkan pelajar yang cemerlang dalam akademik dan syakhsiyyah
- Melahirkan pelajar yang mampu menjadi pemimpin
- Melahirkan pelajar yang mampu menguasai kitab turath
- Melahirkan pelajar muslim yang berwibawa dari segi akhlak, syakhsiyyah, keterampilan
- Melahirkan masyarakat yang prihatin dalam memahami Islam sebagai ad-Din yang syumul
- Melahirkan intelektual yang mempunyai ilmu yang boleh menangani permasalahan semasa masyarakat dalam segenap bidang kehidupan
- Membentuk dan melahirkan golongan mukmin yang patuh kepada system hidup Islam dan peraturan masyarakat yang tidak bercanggah dengan al-Quran dan as-Sunnah
- Melahirkan muslim yang celik al-Quran dan dapat menghayatinya dalam segenap bidang kehidupan
Lokasi
Pondok Dalam Huma, Bukit Awang terletak di Kg Dalam Huma, Bukit Awang, Pasir Puteh, Kelantan kira-kira 15 km dari Pusat Bandar Pasir Puteh di atas tanah yang diwakafkan oleh seorang hamba Allah disamping tanah dibeli oleh pihak pentadbiran pondok hasil sumbangan pelbagai pihak yang cintakan ilmu Islam
Zanimohd said
Alhamdulillah,ustaz saya berminat nak tempat kan anak belajar di madrasah Diniah Falahiah ,macam mana cara nya .