Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Disember 2021

Fenomena biasa atau peringatan Allah?

Posted by epondok di Disember 26, 2021

BERLARI tanpa arah, menangis dan menjerit. Itulah gambaran jika berlaku bencana yang melanda bumi seperti gempa, tsunami, banjir besar dan taufan.

MENYAYAT HATI...bencana alam mengakibatkan ramai nyawa terkorban.
MENYAYAT HATI…bencana alam mengakibatkan ramai nyawa terkorban.

RANAP....gempa bumi meranapkan segala harta benda dalam sekelip mata.
RANAP….gempa bumi meranapkan segala harta benda dalam sekelip mata.

BERLARI tanpa arah, menangis dan menjerit. Itulah gambaran jika berlaku bencana yang melanda bumi seperti gempa, tsunami, banjir besar dan taufan.
Suasana turut diselubungi perasaan pilu kerana masing-masing tinggal sehelai sepinggang selain meratapi ahli keluarga serta sanak-saudara yang terkorban.

Renung kejadian 12 Januari lalu apabila gempa bumi berkekuatan 7 skala ritcher menghentam kota Haiti. Akibatnya, ribuan nyawa terkorban dan banyak bangunan ranap menyembah bumi.
Keadaan seperti padang jarak padang tekukur. Mayat bergelimpangan tanpa sesiapa mempedulikannya kerana masing-masing mahu menyelamatkan diri sendiri.
Allah berfirman yang bermaksud: “Dan engkau melihat gunung-ganang, engkau menyangkanya tetap membeku, padahal ia bergerak cepat seperti bergeraknya awan (demikianlah) perbuatan Allah yang membuat tiap-tiap sesuatu dengan serapi-rapi dan sebaik-baiknya, sesungguhnya Ia amat mendalam pengetahuan-Nya akan apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Naml ayat 88).
Begitulah betapa hebat kejadian ciptaan Allah yang mampu merubah apa saja bentuk musibah sebagai peringatan kepada manusia. Mungkin juga ada benarnya sesetengah pihak beranggapan bumi ini sudah tua dan semakin hampir ke penghujungnya.

Berdasarkan pengalaman lalu, beberapa siri bencana seperti tsunami, mereka yang terselamat mengatakan kejadian yang dialami seolah-olah dunia mahu kiamat.

Allah Taala berfirman bermaksud: “Mereka hanya mengetahui yang lahir (saja) dan daripada kehidupan dunia, sedang mereka lalai mengenai (kehidupan) akhirat.” (Ar-Rum: 7).

Apa yang berlaku adalah sebahagian kecil peringatan yang Allah tunjukkan kepada manusia supaya mereka mengambil iktibar dan tidak menyimpang daripada Islam.
Umat dan nabi sebelum Rasulullah s.a.w Allah timpakan azab pada masa itu juga. Ini yang berlaku kepada kaum Nabi Lut yang melakukan perbuatan homoseksual dan bertentangan dengan ajaran Islam.
Kaum Nabi Nuh, Allah tenggelamkan bumi ini kerana mereka ingkar perintah Allah. Begitu juga pada zaman Nabi Musa, Allah menenggelamkan Firaun dan pengikutnya di laut kerana kedegilan menerima ajaran Islam.
Kita pasti tidak lupa dengan kejadian tsunami yang melanda Acheh pada Disember 2004 yang mengorbankan lebih 126,000 nyawa.

Gegaran itu melepasi 9 skala ritcher disenaraikan sebagai gempa bumi paling dahsyat pernah berlaku di Indonesia dalam tempoh 40 tahun.
Maha Suci Allah! Begitulah perancangan Allah yang di dalamnya terkandung pelbagai pengajaran yang sering dilupakan manusia.

Allah berfirman bermaksud: “Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat) dan memanglah Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”. (Surah al-Mulk ayat 1).
Apabila mengaitkan dengan kejadian bencana alam akhir-akhir ini, apakah ia sekadar fenomena biasa seperti yang saintis perkatakan atau Allah mahu manusia mengambil iktibar daripadanya?

Allah berfirman yang bermaksud: “Timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang dilakukan tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah mahu rasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang mereka lakukan, supaya mereka kembali insaf dan bertaubat.” (Ar-Rum: 41).
Rasulullah s.a.w bersabda: “Jika timbul maksiat pada umatku, Allah akan menyebarkan azab seksa kepada mereka. Ummu Salamah lantas bertanya : Wahai Rasulullah, apakah pada waktu itu tidak ada orang yang soleh? Baginda menjawab : Ada! Ummu Salamah bertanya lagi : Apa yang akan Allah perbuat kepada mereka? Baginda menjawab : Allah akan menimpakan kepada mereka azab sebagaimana yang ditimpakan kepada orang yang berbuat maksiat, kemudian mereka akan mendapatkan keampunan dan keredaan daripada Rabbnya” (riwayat Imam Ahmad).

Penolong Pengarah Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Badli Shah Alauddin, berkata Al-Quran tegas menjelaskan sebab utama terjadinya peristiwa buruk di atas muka bumi adalah disebabkan perbuatan manusia itu sendiri.
“Pelanggaran sistem Allah yang ada di laut dan darat menjadi penyebab terjadinya musibah.
“Ada mengatakan musibah sekadar peristiwa bersifat alami (natural), tidak kaitan dengan persoalan agama, yang lainnya mengatakan musibah adalah ketentuan dan takdir Allah tiada kaitan dengan dosa. Sebahagian lagi mengatakan musibah terjadi disebabkan dosa manusia,” katanya.
Beliau berkata pendapat yang terakhir itu tidak dapat dinafikan kerana memang ada peringatan Rasulullah s.a.w.
“Terdapat lima penyebab datangnya azab dan seksa Allah (hadis riwayat Ahmad dan Ibnu Majah) serta 15 perkara yang mendatangkan musibah dan bala bencana (Riwayat Tirmizi).

“Rasulullah s.a.w bersabda: “Apabila berlaku 15 perkara itu, tunggulah datangnya malapetaka berupa taufan merah (kebakaran), tenggelamnya bumi dan apa yang di atasnya ke dalam bumi (gempa bumi dan tanah runtuh) dan perubahan atau penjelmaan daripada satu bentuk kepada bentuk yang lain” (Riwayat Tirmizi, 2136).
Badli Shah berkata, perbuatan manusia juga menyebabkan ekosistem alam sekitar rosak, maka Allah memberikan teguran serta peringatan kepada manusia.

“Allah menurunkan musibah dan bencana bagi menunjukkan Dia masih sayang kepada hamba-Nya dan mahu manusia kembali semula ke pangkal jalan.
“Tidak kira sama ada gempa bumi, banjir, kemarau, tsunami dan penyakit, semua pelanggaran syariat Allah di alam semesta ini akan mengakibatkan kemurkaan Allah. Semakin besar pelanggaran manusia ke atas sistem dan syariat Allah, semakin besar peristiwa alam yang Allah timpakan ke atas mereka,” katanya.
Allah berfirman bermaksud: “Maka masing-masing (mereka itu) Kami seksa disebabkan dosanya, maka di antara mereka ada yang Kami timpakan kepadanya hujan batu kerikil dan antara mereka ada yang ditimpa suara keras yang menggegar dan di antara mereka ada yang Kami benamkan ke dalam bumi dan di antara mereka ada yang Kami tenggelamkan, Allah sekali-kali tidak hendak menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri” (Al-Ankabut : 40).
Katanya, jalan terbaik bagi mengelak kemurkaan Allah ialah segera bertaubat dan memohon keampunan.
Sayyidina Ali bin Abu Talib pernah berwasiat : “Tidaklah turun musibah kecuali dengan sebab dosa dan tidaklah musibah diangkat Allah kecuali dengan bertaubat.”

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Musibah uji kesabaran, ketakwaan ummah

Posted by epondok di Disember 25, 2021

Oleh Dr Mohd Shukri Hanapi

Ganjaran pahala, kehidupan lebih baik jika berjaya tempuhi dugaan

Ketika ini, penduduk di beberapa daerah di negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia seperti Pahang, Kelantan dan Terengganu diuji oleh Allah SWT dengan musibah banjir besar sejak beberapa hari lalu.
Ada dalam kalangan mereka yang terpaksa dipindahkan ke pusat penempatan banjir demi keselamatan. Di pusat penempatan banjir itu, sudah tentu mereka merasai kurang selesa jika dibandingkan keselesaan di kediaman masing-masing sebelum ini.

Orang yang berjaya menempuhi ujian Allah SWT dengan penuh kesabaran, akan dianugerahkan balasan pahala. Malah Allah SWT akan menggantikan sesuatu yang hilang itu dengan sesuatu perkara yang lebih baik

Sebenarnya inilah yang dikatakan musibah yang ditentukan oleh Allah SWT semata-mata untuk menguji hamba-Nya.

Dimaksudkan dengan perkataan musibah ialah bencana, kecelakaan atau malapetaka. Dalam erti kata lain sesuatu yang tidak baik dan mendatangkan penderitaan kepada seseorang.

Musibah ujian Tuhan

Meskipun begitu, Allah SWT menjadikan musibah ini sebagai ujian ke atas hamba-Nya. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan sesungguhnya akan Kami berikan ujian kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah ayat 155)
Kemudian Allah SWT jelaskan lagi tentang orang yang sabar itu di dalam firman-Nya yang bermaksud, “(Iaitu) mereka yang apabila ditimpa musibah lalu berkata sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada-Nya (Allah) jualah (tempat) kami kembali.” (Surah al-Baqarah ayat 156)

Dalam ayat di atas, Allah SWT menyatakan bahawa setiap hamba-Nya akan diuji. Ujian Allah SWT itu berlaku dalam pelbagai bentuk, seperti bencana alam, kematian, kekayaan, kemiskinan, kesihatan dan kesakitan.

Bukti penyabar

Ini adalah untuk membuktikan siapakah yang penyabar serta tetap bertuhankan Allah SWT dalam apa jua keadaan yang ditempuhinya.

Jadi jelaslah bahawa orang yang sabar itu adalah yang tetap beriktikad bahawa diri mereka hamba dan milik Allah SWT walaupun ditimpa musibah yang amat berat. Malah mereka sentiasa mengharapkan balasan pahala daripada Allah SWT dan sentiasa takut azab-Nya.

Ibn Kathir di dalam tafsirnya ketika mentafsirkan ayat tersebut (ayat 156 daripada Surah al-Baqarah) beliau menjelaskan, “Dengan melafazkan ayat ini menunjukkan seseorang itu menerima segala musibah yang menimpanya dan mengakui bahawa dirinya adalah hamba dan milik Allah SWT. Allah SWT berkuasa melakukan apa saja ke atas hamba-Nya.”

Dalam hadis yang diriwayatkan Imam Ahmad bin Hanbal ra yang bermaksud, Abu Sinan berkata: “Setelah aku mengebumikan anakku, aku masih berada di kubur. Tiba-tiba datang Abu Talhah al-Khaulaniy lantas memegang tanganku dan membawa aku keluar sambil berkata: Adakah engkau suka sekiranya aku menceritakan sesuatu yang menggembirakan?”

Jawab Abu Sinan: “Baiklah”. Lalu Abu Talhah berkata bahawa al-Dahhak bin Abd al-Rahman bin ‘Azib telah menceritakan kepadaku daripada Abu Musa katanya: Sabda Rasulullah SAW bahawa Allah SWT telah berfirman (yang bermaksud): “Wahai Malaikat Maut, engkau telah mencabut nyawa seorang anak daripada hamba-Ku, engkau telah mengambil buah hatinya dan anak kesayangannya.”

Jawab Malaikat Maut: “Ya! Lalu Allah SWT berfirman, apa yang ia kata (ketika kematian anaknya itu)?” Jawabnya: “Ia memuji Engkau dengan berkata kami ini adalah hamba dan milik Allah dan kepada-Nya kami akan dikembalikan.” Maka Allah SWT berfirman: “Binalah untuknya sebuah rumah di dalam syurga dan berilah namanya dengan Bait al-Hamd.” (Ibn Kathir)

Hadis ini menjelaskan sikap Abu Sinan yang tetap memuji Allah SWT walaupun anak kesayangannya meninggal dunia. Sebagai balasan dibina sebuah rumah untuknya di dalam syurga.

Oleh itu, dapatlah disimpulkan bahawa Allah SWT menguji keimanan hamba-Nya dengan pelbagai musibah. Musibah Allah SWT itu bukanlah sekadar kematian saja, malah ia didatangkan dalam berbagai bentuk dan keadaan.

Orang yang berjaya menempuhi ujian Allah SWT dengan penuh kesabaran, akan dianugerahkan balasan pahala. Malah Allah SWT akan menggantikan sesuatu yang hilang itu dengan sesuatu perkara yang lebih baik, seperti yang dijelaskan di dalam hadis di atas.

Mereka yang tabah sentiasa diberikan perlindungan dan rahmat oleh Allah SWT. Jiwa yang sering melalui proses ujian ini semakin lama semakin teguh, kerana sentiasa disaring oleh zaman.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Bah musibah tersirat hikmah

Posted by epondok di Disember 24, 2021

Ia mengajak manusia untuk berfikir dan merenung

HIKMAH atau kebaikan di sebalik bencana atau musibah hanya Allah SWT yang mengetahuinya. Turun atau datangnya musibah seperti bah atau banjir pada baru-baru ini tentunya mengundang hikmah kepada mereka yang bersabar atas dugaan dan ujian yang Allah SWT berikan itu.
Sebagai seorang Muslim, itulah pegangan kita iaitu percaya bahawa qada dan qadar itu datangnya daripada Allah SWT. Berkaitan dengan ujian dan cubaan ini Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Besarnya pahala sesuai dengan besarnya ujian dan cubaan. Sesungguhnya Allah SWT apabila menyenangi sesuatu kaum Allah menguji mereka. Barang siapa bersabar maka baginya manfaat kesabarannya dan barang siapa marah atau murka maka baginya murka Allah.” (riwayat at-Tirmizi)
Tiga negeri yang teruk dilanda banjir antaranya Kelantan, Pahang, Terengganu, manakala Perak dan Johor juga terbabit dengan banjir. Hikmahnya dalam menghadapi musibah ini kita bersatu menghadapi bencana besar ini terutama dalam usaha membantu dan memberi sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir. Apa yang dapat dilakukan oleh mereka hanyalah bersabar dengan ujian yang menimpa.
Daripada segi musibah kepada mangsa banjir tentulah banyak kerugian dan kerosakan yang dialami. Rumah dan jalan raya musnah, sekolah juga turut mengalami kerosakan, manakala bagi ibu bapa yang ada anak-anak masih bersekolah, persiapan persekolahan seperti pakaian dan peralatan sekolah habis musnah dilanda banjir. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Barang siapa dikehendaki Allah kebaikan baginya, maka dia diuji (dicuba dengan suatu musibah). (riwayat al-Bukhari)
Cintai alam
Jika dikaji daripada segi geografi Malaysia sudah berkurangan kawasan tanah tinggi. Kebanyakan kawasan tanah tinggi telah diratakan untuk projek perumahan dan pembangunan. Justeru, manusia sebagai khalifah Allah SWT sewajarnya merenung akan punca dan kesan banjir besar, baru-baru ini. Gunung-ganang dan bukit-bukau adalah menjadi pasak bumi begitu juga kepada pohon-pohon. Menunaikan amanah dengan menjaga dan mengurus alam dengan baik adalah sebaik-baik amanah.
Kepentingan bentuk muka bumi tanah tinggi, bukit-bukau, gunung-ganang sepatutnya diurus dengan baik dan terancang dan tidak ditarah sewenang-wenangnya. Selain itu, banjir yang selalu menimpa kawasan rendah di pantai timur sewajar dijadikan pengajaran diuruskan dengan cekap, betul serta seimbang.
Mendidik manusia mencintai alam adalah melalui pendidikan sepanjang hayat. Usaha dan pendidikan ini seharusnya dilakukan di peringkat sekolah dan juga dalam kalangan masyarakat.
Pohon-pohon besar seperti balak tidak ditebang dengan sewenang-wenangnya yang akan menyebabkan apabila hujan lebat turun tiada penampan dan mudah berlakunya banjir akan terus mengalir dengan deras ke kawasan rendah iaitu kawasan perumahan di pekan dan bandar. Jadikan banjir kali ini sebagai iktibar untuk kita semua memelihara dan memulihara alam dengan menanam lebih banyak pokok di kawasan yang mudah dilanda banjir.
JIKA tsunami 2004, yang sudah sedekad berlalu itu telah menjadi iktibar kepada penduduk dunia. Maka banjir yang melanda setiap tahun bagi negeri-negeri yang terlibat di Malaysia juga sewajarnya menjadi iktibar kepada penduduk negara ini.
Inilah iktibar untuk kita yang sukar untuk berpatah balik ke zaman lampau atau ke belakang. Kita tidak dapat menolak takdir. Tetapi bagaimanakah kita hendak mewariskan tanah air kita kepada generasi akan datang jika tidak selamat lagi untuk didiami? Inilah jawapan yang harus kita cari. Setiap negeri yang terlibat mestilah menyediakan Pelan Tindakan Banjir dan memperkemaskan prosedur standard operasi (SOP) bagi mengatasinya.
Justeru, kepentingan bentuk muka bumi terhadap apa juga kegiatan manusia mestilah diuruskan dengan penuh amanah. Kawasan hutan yang masih ada lagi perlu dikekalkan, terutamanya menghentikan kegiatan pembalakan bagi menyelamatkan bumi ini untuk generasi akan datang.
Sementara itu, bagi mereka yang tidak dilanda banjir berusahalah membantu mangsa banjir melalui doa, solat hajat, derma dan apa juga bantuan yang dapat meringankan beban kepada mereka yang mengalami kerugian dan malapetaka ini. Lantaran itu, hulurkan bantuan bagi meringankan beban mangsa-mangsa banjir.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Bagi Allah, ada hamba-hamba-Nya yang dikhususkan melayani keperluan orang ramai. Mereka berlindung kepadanya untuk memenuhi keperluan mereka. Orang-orang itulah yang aman daripada azab Allah.” (riwayat Ath Thabrani).
Lantaran itu, jauhi dan hindari segala kemurkaan Allah SWT kepada kita. Inilah iktibar dan pengajaran yang seharusnya kita lakukan. Hikmah di sebalik musibah kita perlu merenung dan berfikir untuk mencari kebaikan dan pengajaran di sebalik musibah dan usaha yang baik dan berkesan bagi mengatasinya kerana manusia diberikan akal fikiran. Laksanakan perintah amar makruf nahi mungkar.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Hujan boleh sebabkan manusia beriman, kufur

Posted by epondok di Disember 23, 2021

Oleh Zamanuddin Jusoh
BANJIR antara malapetaka yang diturunkan sebagai peringatan kepada Mukmin.
ALLAH SWT sentiasa melimpahkan segala nikmatnya sehingga dapat dikecapi sekalian manusia dan semua makhluk-Nya. Berbagai nikmat dikurniakan kepada manusia. Nikmat tidak terhitung itu adalah anugerah kepada manusia dengan sifat Rahman dan Rahim yang terkandung dalam nama suci Allah SWT.
Antara nikmat yang banyak itu, kita dapati antaranya ada nikmat yang keluar dari perut bumi berupa tumbuhan dan galian dan ada yang turun dari langit berupa hujan yang menyuburkan tanaman serta memberi manfaat kepada manusia dan seluruh makhluk yang lain. Hujan adalah antara nikmat terbesar daripada Allah SWT sebagaimana penjelasan daripada Allah SWT bermaksud: “Dan Kami turunkan air daripada langit berupa hujan yang penuh dengan keberkatan dan manfaatnya sekali gus menyuburkan tanaman serta kebun dengan hasil yang lumayan yang dituai.” (Surah Qaf ayat 9).
Inilah contoh hujan yang terbaik daripada Allah SWT yang diturunkan dengan kapasiti yang sesuai untuk manfaat manusia. Dengan kadar yang cukup inilah menjadikan hujan sebagai rahmat sebagaimana maksud firman Allah SWT. Ulama Tafsir menyebut bahawa setiap titisan air yang diturunkan diwakilkan seorang malaikat memikulnya dan menurunkan ia ke tempat yang diperintahkan. (Al-Hafiz Hakami).
Mengikut riwayat yang sahih, seorang lelaki daripada ulama sufi melihat kepulan awan yang membawa hujan lalu mengikuti pergerakan hujan tersebut sehingga sampai pada suatu kebun dan menurunkan hujan. Lalu, lelaki tersebut bertanyakan sebab mengapa hujan hanya turun di kebunnya saja. Lalu petani itu menjawab, sesungguhnya setiap kali aku memungut hasil tanaman, aku berjanji untuk membahagikan hasil tanamanku kepada tiga bahagian dan aku laksanakan semua janji tersebut. Sebahagian untuk upah pekerja, sebahagian untuk keluargaku dan sebahagian lagi aku sedekahkan kepada fakir miskin yang tiada apa-apa hasil tanaman. Cerita ini mengajar kita bahawa bahawa hujan yang didatangkan kepada orang yang beriman dan beramal salih adalah rahmat dan diturunkan dengan cara terbaik dengan kadar keperluan mereka.
Jelas bahawa segala keberkatan di langit dan di bumi hanya disediakan Allah SWT disebabkan kebajikan yang dilakukan seseorang. Justeru, Baginda SAW menganjurkan kita melakukan solat istisqa (minta hujan) sekiranya berlaku kemarau panjang. Daripada Anas r.a, pernah seorang lelaki masuk ketika Baginda SAW sedang berkhutbah dan memohon agar Baginda SAW mendoakan supaya diturunkan hujan kerana kemarau panjang. Lalu Baginda SAW menadah tangan memohon doa agar diturunkan hujan. Anas menyebut, ketika itu kami melihat kepulan awan hitam berkumpul umpama bukit yang besar sebagai tanda Allah memperkenankan doa Baginda SAW.
Turun bala sebagai amaran
Namun demikian, perlu diingat bahawa tidak semua hujan adalah rahmat bagi manusia. Terkadang ia adalah malapetaka yang diturunkan Allah SWT sebagai peringatan buat mereka yang ingkar. Kaum Nabi Nuh diutuskan hujan yang lebat sehingga tenggelam bumi seluruhnya sebagai tanda azab lantaran keingkaran mereka terhadap seruan Nabi Nuh. Firman Allah SWT bermaksud: “Maka Kami bukakan pintu langit dengan hujan yang sangat dahsyat.” (Surah al-Qamar ayat 11)
Bukan saja dari langit, bahkan bumi juga melimpahkan airnya sehingga Allah SWT menyifatkan kekuatan ombak ganas umpama gunung yang memusnahkan segalanya sebagaimana firman-Nya dalam surah Hud ayat 42 bermaksud: “Bahtera Nuh merentas gelombang ombak laksana gunung yang tinggi.” Perkataan ‘buka’ pada surah Al-Qamar tersebut ditafsirkan ulama sebagai lafaz yang menunjukkan luasnya pintu langit dibuka berserta azab ke atas mereka. Demikian juga kaum Nabi Hud yang menolak seruan tauhid serta mempermainkan utusan Allah SWT malah mencabar Allah SWT untuk disegerakan azab. Maka Allah SWT mengutuskan hujan azab ke atas mereka. Firman Allah SWT bermaksud: “Tatkala mana mereka melihat azab itu berupa awan yang melintasi kawasan mereka, mereka menyangka ia adalah hujan biasa. Bahkan ia adalah azab sebagai menyahut cabaran mereka agar disegerakan balasan. Maka angin dan awan yang datang adalah azab yang pedih. Menghancurkan segalanya sehingga tinggal kesan rumah-rumah mereka saja. Demikianlah Kami membalas kepada kaum yang berdosa”. (Surah Al-Ahqaf ayat 24)
Hujan yang turun ke atas kaum A’ad ini juga disifatkan oleh Allah SWT sebagai hujan yang buruk melalui firman-Nya bermaksud: “Dan sesungguhnya mereka datang kepada sebuah kampung yang dihujani dengan hujan buruk. Tidakkah mereka melihat?” (Surah Al-Furqan ayat 40)
Ada juga ulama tafsir menyifatkan ia sebagai hujan kemerah-merahan umpama darah yang tidak memberi manfaat apa-apa. Menunjukkan bahawa bumi yang dikurniakan rahmat hujan, akan mendapat manfaat daripadanya. Sabda Baginda SAW bermaksud: “Tidaklah dianggap baik jika sekiranya bumi yang menerima hujan itu tidak dapat manfaat darinya.” (Hadis Riwayat Muslim).
Oleh kerana itu, Baginda SAW apabila melihat angin dan awan gelap, jelas kelihatan kebimbangan terhadap wajah beliau sehingga Aisyah bertanya tentang perubahan wajah Baginda SAW sedangkan orang lain bergembira dengan kedatangan hujan. Jawab Baginda SAW: “Wahai Aisyah, sesungguhnya kita tidak mengetahui adakah ianya rahmat ataupun azab yang akan turun.” (Hadis Riwayat Bukhari)
Justeru, Baginda SAW menganjurkan kita berdoa apabila melihat awan dan angin kencang agar kita menyebut: “Ya, Allah jadikanlah ia sebagai Riyah (angin rahmat) dan janganlah jadikan ia sebagai Rih (angin azab).
Dua perkataan ini berasal dari lafaz yang sama namun membawa maksud yang berbeza sama sekali.
Angin rahmat yang dimaksudkan Allah SWT terdapat pada ayat Al-A’raf ayat 57 bermaksud: “Dialah yang mengutuskan angin sebagai rahmat daripada-Nya.” Bagi angin yang membawa azab dapat dilihat pada peristiwa ahzab melalui firman Allah SWT bermaksud: “Tatkala datang pihak musuh kepada kamu, maka Kami utuskan angin azab dan tentera malaikat yang tidak kelihatan.” (Surah Ahzab ayat 9)
Demikian juga tindakan sahabat mengikut riwayat yang kuat di mana mereka turut berdoa apabila melihat guruh di langit dengan menyebut: “Maha suci Tuhan yang bertasbih padanya guruh di langit serta para malaikat yang sentiasa tunduk pada-Nya.”
Syirik percaya makhluk lain
Perlu juga diingat bahawa fenomena hujan juga boleh mendatangkan syirik kepada akidah umat Islam kerana mereka menyandarkan fenomena dan musim ini kepada makhluk selain daripada Allah SWT. Riwayat sahih menyebut bahawa, pada peristiwa Hudaibiyah umat Islam disapa hujan yang sudah sekian lama dinantikan mereka. Lalu Baginda SAW bersabda maksudnya: “Tahukah kamu apa yang diwasiatkan oleh Allah SWT kepadaku. Jawab sahabat, tidak. Lalu Baginda SAW bersabda maksudnya: Sesungguhnya dengan turunnya hujan, manusia boleh menjadi beriman dan mereka boleh menjadi kufur.
Bagi yang beriman, mereka akan berkata, kami menerima hujan dengan rahmat dan kelebihan daripada-Nya. Manakala orang yang kufur akan menyandarkan kepada bulan dan bintang serta perkara lain terhadap fenomena ini.” Demikian juga disebut tentang tanda kiamat di mana ramainya manusia yang mati akibat panahan petir. Sabda Baginda SAW bermaksud: “Sesungguhnya ketika dunia berada di penghujungnya, ramai manusia mati disebabkan panahan petir sehingga setiap hari ada yang bertanya, hari ini siapa yang mati dengan petir?” (Hadis Riwayat Ahmad dan lain-lain)
Perubahan dunia Arab dan fenomena banjir di akhir zaman juga pernah disebut oleh Baginda SAW. Sabda Baginda SAW bermaksud: “Tidak akan berlaku kiamat sehingga bumi Arab yang kontang menjadi padang rumput dan sungai-sungai”. (Hadis Riwayat Muslim)
Jelas ianya berkaitan dengan fenomena hujan yang menghijaukan bumi Arab yang tandus. Imam Muslim juga meriwayatkan ketika peristiwa perang Tabuk, ketika Jabir Bin Abdillah berwuduk bersama Baginda SAW lalu Baginda menoleh kepada Jabir dan bersabda: “Wahai Jabir, jika sekiranya engkau dipanjangkan umur oleh Allah SWT, kamu akan melihat bumi Tabuk yang tandus ini akan dipenuhi dengan taman-taman hijau.”
Jelas kelihatan bumi Tabuk pada hari ini sudah menjadi hijau dengan tanaman dan kebun hijau. Begitu juga dunia Arab yang dilanda hujan menunjukkan betapa benarnya perkhabaran Baginda SAW tentang menjelangnya akhir zaman. Kesimpulannya, fenomena hujan yang melanda adalah ketentuan Allah SWT yang perlu dilihat sebagai nikmat ataupun bencana berdasarkan kapasiti dan kadar turunnya hujan tersebut. Baginda SAW diutuskan untuk menyelamatkan akidah umat Islam serta menyeru kepada tauhid yang jitu dengan menyandarkan semua kejadian kepada kuasa, kudrat dan ketentuan Allah SWT.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

7 Keadaan hadapi musibah

Posted by epondok di Disember 22, 2021

Mazlina Ismail

Persepsi ujian adalah bala sebagai hukuman semata-mata perlu diperbetulkan. Ustaz Muhamad Abdullah Al Amin dalam Rancangan Pesona D’zahra di Ikimfm berkongsi tujuh perkara dalam melihat ujian atau bencana alam seperti banjir luar biasa yang berlaku di beberapa negeri di pantai timur, baru-baru ini.

Pertama, walaupun ada banyak tanda-tanda hari kiamat yang semakin menghampiri tetapi ada dua yang banyak disebutkan iaitu air laut membuak-buak dan air laut terbakar. Justeru ketika didatangi musibah alam yang hebat, ambil iktibar dan muhasabah diri daripada ujian yang datang dalam hidup kita mahupun yang menimpa orang lain.
Perbetulkan persepsi memandang sesuatu ujian itu kerana sesungguhnya musibah dan bala yang melanda juga adalah tanda menghampiri kiamat. Lalu, tanyalah diri kita apakah persediaan untuk menghadapi hari kiamat. Elakkan menghakimi orang lain atas ujian dihadapi mereka, sebaliknya hulurkan bantuan dan tunjukkan rasa simpati kepada mangsa bencana.

Bala bukti kekuasaan Ilahi

Kedua, renungi setiap bala, bencana dan musibah yang melanda itu adalah sebagai bukti kekuasaan dan kebesaran Allah SWT. Penghayatan ini hanya akan dapat dilakukan dengan pembacaan dan memahami makna ayat yang terkandung dalam al-Quran.

Allah SWT menceritakan kekuasannya di dalam al-Quran, tetapi manusia tidak memahami dan tidak merenunginya. Maka, Allah SWT menghantar ujian untuk membuktikan kekuasaan-Nya supaya manusia faham dan sedar. Lihat tsunami di Aceh yang tidak menjejaskan masjid.

Walaupun diuji, Allah SWT tidak akan membiarkan kita bersendirian dalam menghadapi sesuatu musibah. Bagi hamba-Nya yang bertakwa dan bertaubat, setiap musibah yang melanda akan diberikan jalan keluar. Allah SWT menghantarkan bantuan dalam menghadapi kesusahan dan memberi kemudahan dalam pelbagai cara.

Ketiga, bencana dan musibah itu didatangkan kerana Allah ingin menggantikan sesuatu dengan yang lebih baik. Bukalah hati dan fikiran untuk melihat bencana itu dari sudut positif. Contohnya, ada yang mungkin kehilangan rumah, insya-Allah akan mendapat rumah baru, kelengkapan baru dan sebagainya.

Sesungguhnya janji Allah pasti benar. Percayalah selagi kita bersangka baik dengan ujian-Nya dan sifat Maha Pengasih Allah SWT, semua usaha untuk bangkit kembali akan dipermudahkan.

Keempat, apabila didatangi ujian, ketahuilah Allah SWT hendak meninggikan darjat mereka yang diuji. Rasul dan Nabi adalah antara yang paling berat diuji. Rasulullah SAW juga bersabda, seberat-berat ujian adalah kepada Nabi. Dan setiap ujian itu berdasarkan kepada tahap keimanan seseorang. Manusia itu lahir dengan nama ‘Abdullah’ di sisi Allah dan nama-nama lain yang dinamakan kepada kita, tetapi apabila mati kita akan digelar dengan nama-nama yang baik seperti Saifullah, namun tidak kurang juga yang dinamakan nama yang tidak baik di sisi Allah bergantung kepada amalan kita di dunia dan cara kita menghadapi ujian yang menimpa.

Ujian penghapus dosa

Kelima, ujian itu datang kepada kita sebagai penghapusan dosa. Dalam mengharungi kehidupan ini adakalanya kita berbuat sesuatu kesalahan dan dosa, baik yang tidak kita sedari mahupun yang disengajakan dan kadangkala kita tidak memohon ampun kepada Allah SWT.

Mungkin dalam mencari rezeki, ada terambil harta yang tidak jelas sumbernya dan jalan perbelanjaannya. Maka ujian diturunkan bagi menyucikan seseorang itu daripada dosa dan kesalahannya dengan kesabaran dan kepayahan yang datang daripada ujian itu.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tiada seorang Mukmin yang rasa sakit, kelelahan (kepayahan), diserang penyakit atau kesedihan (kesusahan) sampai duri yang menusuk (tubuhnya) kecuali dengan itu Allah menghapus dosa-dosanya” (Hadis riwayat Bukhari).

Sesungguhnya pengampunan Allah itu sangat besar dan ketika dilanda ujianlah kita akan banyak mengingati Allah dan mengharapkan pengampunan dengan sebenar-benarnya. Ini adalah keutamaan yang besar daripada Allah SWT kerana dengan ujian yang dideritai seorang Muslim, dosa yang pernah dilakukannya terhapus kerana penderitaannya menjadi kifarah (penebus) dosanya. Jadi dengan bersabar dan reda akan membawa kepada ketenangan.

Keenam adalah mengenai bagaimana seharusnya melihat ujian yang melanda, iaitu dengan mengetahui Allah hendak memberi pahala percuma kepada mereka yang ditimpa ujian.

Di dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa dikehendaki oleh Allah kebaikan baginya, maka dia (diuji) dengan suatu musibah. “(Hadis riwayat Bukhari). Hal ini kerana di dalam syurga ada darjat tertentu yang harus dicapai, apabila seorang Muslim tidak mampu mencapainya dengan suatu amal, maka dia pasti dapat memperoleh darjat itu dengan musibah atau penyakit yang dideritai.

Selain itu adakalanya ibadah yang kita laksanakan mungkin kurang sempurna justeru pahala sabar ujian itu akan membantu menyelamatkan kita di akhirat nanti.

Pahala percuma

Pahala percuma juga bukan sahaja diperoleh mereka yang menghadapi ujian, malah akan turut dikurniakan kepada kepada mereka yang memberikan bantuan kepada mangsa bencana. Mereka yang membantu hamba Allah yang sedang dalam ujian itu perlu menyedari bahawa Allah SWT yang memberikan kesempatan dan menggerakkan hati untuk melakukan kebaikan. Maka sebutlah Alhamdulillah selepas memberi bantuan kerana semua kudrat dan bantuan itu adalah rezeki dengan izin-Nya.

Perkara terakhir dalam perkongsian kali ini adalah; ada kalanya walaupun ujian itu memang dilihat seperti bala, tetapi itu bukan perkara utama. Renungilah ujian itu sebagai tanda masa untuk kita bermuhasabah diri dan memperbetulkan diri. Tidak semua ujian itu bala. Berhati-hatilah agar tidak menjatuhkan hukuman kerana kita tidak layak untuk mengukur bahawa setiap ujian itu bala.

Sebaliknya, berbanyak syukur atas setiap ujian, kerana Allah itu Maha Mengetahui lagi Maha Pengasih terhadap hamba-Nya dan pasti akan memberikan hanya yang terbaik untuk setiap makhluk ciptaan-Nya di dunia dan akhirat.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Benarkah musyrikin boleh bertauhid rububiyyah?

Posted by epondok di Disember 21, 2021

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

BERTEMU kembali di ruangan Relung Cahaya pada tahun baru 1443 Hijrah. Semoga penghijrahan kita kali ini lebih bermakna dan turut melonjakkan kita dalam perjalanan kita menuju kepada Allah SWT dan Rasul-Nya.

Kembali kepada tajuk tauhid yang sedang kita bicarakan. Setelah kita meneliti beberapa dalil dan jawapan yang menunjukkan kepincangan dan kebatilan tauhid tiga serangkai, ada baiknya kita juga memerhatikan sebahagian dalil yang digunapakai oleh pengikut tauhid ini bagi menegakkan pendapat mereka yang kabur.

Kami telah menerima maklum balas daripada mereka yang berpegang dengan tauhid ini dan mereka telah menyatakan dalil-dalil mereka. Namun, di sini kami hanya akan mengutarakan sebahagiannya sahaja dan jawapan bagi hujah mereka tersebut. Manakala sebahagiannya lagi, kami akan susuli pada ruangan dan kesempatan yang lain, insya-Allah.

Sebelum memanjangkan kalam, kami ingin menyuarakan biarlah perbicaraan kita ini difokuskan kepada tajuk yang dibincangkan, bukannya mencemuh pihak yang tidak sependapat dengan kita. Andai kita merasa kita lebih bijak dan lebih mengetahui, sepatutnya kitalah juga yang lebih bijak dan mengetahui tentang adab-adab berbicara dan berdebat. Bukanlah tujuan kami mengetengahkan tajuk ini untuk menyentuh sensitiviti sesiapa, mencari ruang permusuhan atau mengkafir dan menyesatkan sesiapa. Tetapi tujuan kami hanya untuk melihat kebenaran itu tertegak dan kebatilan itu terpadam.

Berbalik kepada tajuk yang kita bicarakan, kami ingin menegaskan bahawa antara perkara utama yang menyebabkan kami menolak pembahagian tauhid ini ialah pembahagian tauhid ini telah mengkategorikan orang musyrik termasuk di dalam golongan ahli tauhid dengan tauhid rububiyyah, bukannya sifat rububiyyah atau uluhiyyah bagi Allah.

Mereka yang berpegang dengan tauhid ini berpegang dengan firman Allah SWT dalam surah al Zumar ayat 38: Dan demi sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu, “Siapakah yang mencipta langit dan bumi?” Sudah tentu mereka akan menjawab, “Allah.”

Mereka juga berpegang dengan firman Allah SWT: Tanyakanlah lagi, “Siapakah tuhan yang memiliki dan mentadbirkan langit yang tujuh dan tuhan yang mempunyai Arasy yang besar?” Mereka akan menjawab, “(Semuanya) kepunyaan Allah.” Katakanlah, “Mengapakah kamu tidak mahu bertaqwa? (al-Mukminun: 86 dan 87)

Ayat-ayat lain yang serupa dengan ayat ini banyak terdapat di dalam al-Quran.

Kami menyatakan bahawa hujah ini terlalu lemah. Ini kerana orang-orang musyrik hanya mengaku dengan lidah mereka kewujudan Allah ketika mana mereka berada dalam keadaan terdesak setelah dikemukakan hujah-hujah kepada mereka. Sedangkan hati-hati mereka menolak dengan apa yang mereka ungkapkan dan mengingkarinya. Allah SWT telah menjelaskan hakikat mereka melalui firman-Nya: Mereka menjadikan kamu senang hati dengan mulut mereka, sedangkan hati mereka menolaknya. (al-Taubah: 8)

Berikrar

Berikrar dengan lidah semata-mata tanpa ditasdiqkan (dibenarkan) dengan hati, tidak ada nilainya dan tidak dikira pengakuannya itu di sisi syariat Allah.

Untuk lebih jelas lagi, perhatikanlah sambungan ayat daripada surah al-Zumar di atas yang bermaksud: Katakanlah (kepada mereka wahai Muhammad): “Kalau demikian, bagaimana fikiran kamu tentang yang kamu sembah selain dari Allah itu? Jika Allah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, dapatkah mereka mengelakkan atau menghapuskan bahayanya itu; atau jika Allah hendak memberi rahmat kepadaku, dapatkah mereka menahan rahmatNya itu?” Katakanlah lagi: “Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku); kepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri. (al-Zumar: 38)

Ayat ini jelas menunjukkan pembohongan dan kepura-puraan perkataan mereka. Mereka ini tetap juga menyandarkan kemudharatan dan manfaat kepada selain Allah. Mereka sebenarnya jahil tentang Allah dan mendahulukan tuhan-tuhan mereka daripada Allah, hatta dalam sekecil-kecil perkara.

Sekiranya jawapan ini belum cukup untuk memuaskan hati pengikut tauhid tiga ini, marilah kita perhatikanlah semula perkataan orang musyrik kepada Nabi Hud AS: Kami hanya boleh berkata bahawa setengah dari tuhan-tuhan kami telah mengenakanmu sesuatu penyakit gila (disebabkan engkau selalu mencaci penyembahan kami itu). (Hud: 54)

Bagaimanakah pengikut tauhid tiga boleh mengatakan orang musyrik mempercayai bahawa hanya Allah yang berkuasa dalam urusan mentadbir, memberikan manfaat dan mudharat sehingga mereka layak dikatakan mempunyai tauhid rububiyyah? Padahal mereka mempercayai bahawa berhala-berhala mereka mampu mendatangkan mudharat dan manfaat?

Seterusnya, perhatikanlah pula ayat 136 dari surah al-An’aam ini: Dan mereka (orang-orang musyrik) memperuntukkan dari hasil tanaman dan binatang-binatang ternak yang diciptakan oleh Allah itu, sebahagian bagi Allah (dan sebahagian lagi untuk berhala-berhala mereka), lalu mereka berkata: “Ini untuk Allah – menurut anggapan mereka – dan ini untuk berhala-berhala kami.” Kemudian apa yang telah ditentukan untuk berhala-berhala mereka, maka ia tidak sampai kepada Allah (kerana mereka tidak membelanjakannya pada jalan Allah), dan apa yang telah ditentukan untuk Allah, sampai pula kepada berhala-berhala mereka (kerana mereka membelanjakannya pada jalan itu). Amatlah jahatnya apa yang mereka hukumkan itu.

Jika orang musyrikin mentauhidkan Allah dari sudut rububiyyah kenapakah mereka telah mendahulukan berhala-berhala mereka daripada Allah daripada sekecil-kecil dan serendah-rendah perkara.

Allah telah berfirman dalam menjelaskan kepercayaaan mereka terhadap berhala-berhala mereka: Dan Kami tidak melihat berserta kamu penolong-penolong yang kamu anggap dan sifatkan bahawa mereka ialah sekutu-sekutu Allah dalam kalangan kamu. Demi sesungguhnya, telah putuslah perhubungan antara kamu (dengan mereka), dan hilang lenyaplah daripada kamu apa yang dahulu kamu anggap dan sifatkan (memberi faedah dan manfaat itu). (al-An’aam : 94)

Perhatikanlah betul-betul ayat-ayat ini, kemudian apakah pendapat kalian terhadap kebenaran tauhid uluhiyyah dan rububiyyah ini yang mengatakan bahawa orang musyrikin dan Muslimin adalah sama dan hanya berbeza pada tauhid uluhiyyah?

Dalil yang lebih menjelaskan lagi perkara ini ialah firman Allah: Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. (al-An’aam: 108)

Adakah selepas memerhatikan ayat-ayat Allah ini, kita masih melihat bahawa pengakuan orang musyrikin sebagaimana dalam surah al Zumar ayat 38 di atas dan ayat yang seumpama dengannya diungkapkan dengan jujur dan ikhlas? Adakah kita masih mahu mengatakan bahawa mereka bertauhid dengan tauhid rububiyyah?

Sesungguhnya kami dan ulama Ahli Sunnah sememangnya tidak pernah menolak penyusunan dan pembahagian ilmu yang banyak dilakukan dalam ilmu-ilmu Islam kerana kebaikannya kepada umat Islam. Tetapi kami tidak boleh menerima pembahagian tauhid ini yang implikasinya sangat memudharatkan umat Islam iaitu membuka pintu kepada mengkafirkan ahli Kiblat. Terlajak sampan boleh berundur, terlajak kata binasa.

Posted in Fokus Isu, Klinik Agama | Leave a Comment »

Tauhid uluhiah dan rububiah

Posted by epondok di Disember 19, 2021

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN.

Syarat sah syahadat kita adalah mengucap dengan lisan, membenarkan dengan hati dan beramal dengan anggota.

Menyorot ruangan Relung Cahaya minggu lepas, kita telah pun mempersoalkan dan membincangkan secara ringkas tentang sumber tauhid tiga serangkai ini.

Setelah kita mengetahui dengan jelas bahawa pembahagian tauhid kepada tiga ini tidak mempunyai sumber yang sahih di sisi syarak, maka pada minggu ini kami ingin mengajak pembaca menghalusi lagi penelitian tentang permasalahan ini agar kebenaran akan terserlah dan kebatilan akan terpadam.

Memandangkan pereka tauhid bidaah ini mengklasifikasikan tauhid kepada tiga, maka kami ingin mengemukakan persoalan, apakah terdapat perbezaan di antara tauhid uluhiah dan rububiah?

Sebelum persoalan ini dijawab, kami ingin berkongsi dengan pembaca tentang jawapan ringkas melalui e-mel yang kami terima daripada seorang pembaca yang pro-tauhid tiga serangkai ini.

Namun, jawapan yang mewakili penghantar tidak menjawab persoalan yang diutarakan pada minggu lepas.

Beliau hanya mengemukakan hujah hasil dari pemikiran Ibnu Taimiyyah seperti yang dapat dilihat di dalam kitab-kitabnya, sedangkan hujah Ibnu Taimiyyah ini telah lama disangkal oleh ulama ahli sunnah.

Perlu kita fahami, tidak semua ilmu yang diformulasikan atau semua hasil istiqra’ (telaah) atau pemikiran seseorang itu boleh diterima jika tidak sejajar dengan al-Quran dan sunnah.

Apatah lagi, ilmu yang berkaitan dengan akidah yang mesti dirujuk dengan rapi dan betul kepada sumber yang sahih lagi mutawatir. Jika wujud kepincangan, maka ia tertolak sama sekali.

Kepincangan itu telah pun dibincangkan oleh ulama dan telah pun kami paparkan dan akan kami sebutkan, insya-Allah.

Menurut penghantar e-mel itu lagi, mengingkari tauhid tiga ini bererti tidak bertafaqquh terhadap kitab Allah, tidak mengetahui kedudukan Allah, mengetahui sebahagian dan tidak mengetahui sebahagian yang lainnya.

Dengan spontan benak hati kami bertanya, inikah jawapan yang sepatutnya kami peroleh daripada seseorang yang merasa telah bertafaqquh dengan kitab Allah?

Kami juga agak terkejut dengan kenyataan ini. Jika mereka yang mengingkari tauhid tiga ini dianggap tidak bertafaqquh dengan kitab Allah, bagaimanakah kedudukan ulama dan para sarjana yang telah saya sebutkan pada siri pertama yang mengingkari pembahagian tauhid ini?

Apakah al-Azhar, sebuah universiti yang diiktiraf oleh dunia Islam, mempunyai ulama dan tokoh-tokoh yang lemah kefahamannya tentang kitab Allah? Bagaimana pula dengan Mufti Mesir yang telah menafikan dengan lantang perkara ini di dalam fatwanya?

Apa pun jawapan yang dikemukakan oleh pro tauhid tiga serangkai ini, ia telah kami rujuk di dalam kitab asalnya yang sememangnya tersimpan kemas di perpustakaan kami.

Ramai ulama yang telah menjawabnya, cuma pada keluaran kali ini kami tidak berkesempatan untuk menyertakannya.

Sebaiknya kita tinggalkan dahulu tajuk ini dan kembali kepada persoalan hari ini.

Kenapa soalan ini dikemukakan dan sebelum persoalan ini dijawab, kami ingin nyatakan di sini bahawa melalui tauhid tiga serangkai ini didapati perekanya, Ibnu Taimiyyah dan pengikut-pengikutnya telah menyatakan bahawa:

1. Orang musyrik atau orang yang menyekutukan Allah adalah ahli tauhid (orang yang mengesakan Allah) dengan tauhid rububiah.

2. Tauhid orang musyrik ini samalah dengan tauhid sebahagian orang Islam yang bertawassul, beristighathah dan bertabarruk dengan para nabi dan orang-orang soleh.

Ini bermaksud orang Islam yang bertawassul (memohon kepada Allah melalui perantaraan), beristighathah (menyeru minta tolong) dan bertabarruk (ambil berkat) samalah dengan orang musyrik kerana tidak memiliki tauhid uluhiah kerana dianggap menyembah apa yang ditawassulkan.

Kenyataannya berbunyi: “Tauhid rububiah sahaja tidak menafikan kekufuran seseorang dan tidak mencukupi bagi keimanan/keislaman seseorang”. (Risalah Ahli al Suffah H: 34.)

“Sesungguhnya orang-orang musyrik adalah ahli tauhid dengan tauhid rububiah. Mereka tidak termasuk dari kalangan ahli tauhid uluhiah kerana telah mengambil sembahan-sembahan yang lain untuk mendekatkan diri mereka kepada Allah SWT”.

Mereka juga menyatakan: “Sesungguhnya orang-orang Islam yang bertawassul dan beristighathah dengan para Nabi dan orang-orang soleh serta bertabarruk dengan mereka (para nabi dan orang-orang soleh), adalah kufur. Bahkan, kekufuran mereka lebih dahsyat daripada kekufuran Abu Lahab, Firaun, Haman dan lain-lain”. (Fatawa Ibni Taimiyyah 14/380).

Ini adalah antara kenyataan yang tidak ditulis dan tidak ditemui di dalam kebanyakan kitab-kitab berkaitan pembahagian tauhid ini di Malaysia.

Di negara kita, tauhid ini masih berada dalam peringkat pengenalan. Tetapi jika kita merujuk kepada kitab Ibnu Taimiyyah, Muhammad ibn Abdul Wahhab dan pemuka-pemukanya, kenyataan ini banyak ditulis di dalam kitab-kitab mereka. Inilah natijah sebenar yang akan kita dapati dari pembahagian tauhid ini.

Oleh kerana itu, kita dapati di kebanyakan negara timur tengah yang telah lama memakai tauhid ini berlaku pergolakan, perpecahan dan pembunuhan akibat gejala sembarangan mengkafirkan dan menghalalkan darah umat Islam yang dianggap menyanggahi tauhid ini.

Malah, dengan tauhid inilah menyebabkan berlakunya keruntuhan kepada Empayar Uthmaniyyah yang merupakan empayar terbesar Islam suatu ketika dahulu. Insya-Allah, perinciannya akan kami susuli pada keluaran akan datang.

Apa yang pasti, kenyataan Ibnu Taimiyyah ini jelas bertentangan dengan dalil-dalil syarak dan telah diketahui secara dharuri di sisi ulama.

Bagi menjelaskan tentang kesalahan dan kebatilan pendapat mereka ini, maka soalan ini dijawab: Sesungguhnya tidak ada perbezaan di antara tauhid uluhiah dan tauhid rububiah.

Kedua-duanya adalah perkara yang sama dan tidak boleh dipisahkan serta tidak menerima sebarang pembahagian. Allah tidak menerima daripada hamba-hamba-Nya, melainkan akidah tauhid yang tulus dan suci kepada-Nya, Tuhan sekelian alam, yang dilafazkan dengan lidah, diiktikad dengan hati, diamalkan dengan anggota jasad dan dimanifestasikan dengan kalimah (Laa Ilaaha Illallah).

Dengan perkara inilah, semua Nabi dan Rasul diutuskan.

Adakah orang kafir ahli tauhid?

Terhadap pendapat yang menyatakan bahawa orang kafir dan musyrik sejak zaman berzaman adalah ahli tauhid dengan tauhid rububiah dan para Rasul a.s tidak diutuskan melainkan dengan tauhid uluhiah.

Jawabnya: Hakikatnya, pendapat ini merupakan suatu perkara yang telah menutup pintu kebenaran dan hakikat, menyalahi akal dan syarak dan mendustai penjelasan daripada nas-nas al-Quran dan sunnah.

Perkara ini juga merupakan perkara bidaah yang sesat dan tidak terdapat pada umat salaf yang terawal. Tauhid seperti ini meruntuhkan akidah dan bersifat saling bercanggah.

Dalam satu masa, mereka telah menjadikan sekelompok orang Islam sebagai ahli tauhid dan bukan ahli tauhid. Ini suatu perkara yang pelik.

Sedangkan, realitinya ialah seseorang itu mesti berada di salah satu kedudukan, iaitu sama ada berada dalam kedudukan ahli tauhid atau pun musyrik. Tidak boleh seseorang itu berada di antara dua keadaan (tauhid dan kufur).

Kepercayaan mereka juga tentang ketauhidan orang musyrik dengan tauhid rububiah tidaklah benar. Bahkan dakwaan ini adalah suatu penipuan yang ditolak sama sekali oleh akal dan naqal.

Insya-Allah, kami akan mengemukakan dalil-dalil dari akal dan naqal pada minggu hadapan.

Sesungguhnya perkara yang paling pelik ialah menganggap orang kafir sebagai ahli tauhid dan menganggap orang Islam yang telah mengucapkan kalimah tauhid sebagai bukan ahli tauhid.

Renungilah! Berfikir sesaat lebih baik daripada beribadat 70 tahun. Ibadah Abu Darda’ r.a yang paling utama selepas melaksanakan kefarduan ialah bertafakur kerana dengannya dia sampai kepada hakikat suatu perkara dan membezakan di antara yang hak dan batil.

Bahkan, dengannya juga dia dapat menilik kerosakan dan helah nafsu yang halus, tipu daya dunia, dan mengenali helah-helah untuk lebih berwaspada dengannya.

Posted in Artikel Pilihan, Fokus Isu | Leave a Comment »

Dalil sanggah beza tauhid uluhiah dan rububiah

Posted by epondok di Disember 18, 2021

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

MENYAMBUNG persoalan minggu lepas tentang tauhid uluhiah dan rububiah yang dibezakan oleh pereka tauhid ini, adakah terdapat perbezaan di antara kedua-duanya? Maka minggu ini kami memaparkan pula dalil aqal dan naqal yang menafikan sama sekali perbezaan ini.

Kami tegaskan sekali lagi, bahawa dengan membezakan di antara kedua-dua tauhid ini, mereka menganggap orang musyrik sebagai ahli tauhid dengan tauhid rububiah.

Dalam erti kata lain, melalui konsep tauhid rekaan Ibnu Taimiyyah ini, orang musyrik atau orang yang tidak mengucapkan kalimah syahadah dianggap sebagai ahli tauhid atau orang yang mengesakan Allah.

Ini kerana, kononnya mereka percaya dan mengakui bahawa Allah yang mencipta segala sesuatu dan mentadbir segala urusan alam ini, tetapi mereka tidak bertauhid dengan tauhiduluhiah kerana menyekutukan Allah dalam sembahannya.

Maknanya juga, dalam satu masa seseorang itu boleh dikira sebagai ahli tauhid dan musyrik. Inilah salah satu kepincangan tauhid ini yang mendapat sanggahan yang hebat daripada ulama Ahli Sunnah.

Sebagai menjelaskan lagi kepincangan dan kebatilan tauhid ini, marilah sama-sama kita merujuk kepada dalil-dalil ulama dari sudut akal dan naqal.

Dari sudut aqal

Sekiranya orang-orang musyrik termasuk di dalam golongan ahli tauhid rububiah (sebagaimana yang mereka percayai), bermakna mereka ini beriktikad dengan iktikad yang jazam (teguh dan tidak berbelah bahagi).

Dengan iktikad ini, sudah pasti mereka tidak akan meragui bahawa Allah itu Esa pada ciptaan, kekuasaan, pentadbiran, takdir dan perbuatan-Nya serta dalam mendatangkan suatu kesan sama ada manfaat atau pun mudarat, yang kesemuanya ini adalah komponen bagi tauhidrububiah.

Jika inilah keadaannya, bolehkah diterima akal, dengan iktikad sedemikian mereka boleh pula mengambil tuhan selain Allah untuk disembah, sedangkan tuhan yang lain itu tidak berkuasa mendatangkan sebarang manfaat atau mudarat kepada mereka?

Orang-orang musyrik pada setiap zaman dan tempat menyembah pelbagai sembahan selain Allah. Mereka mempercayai bahawa sembahan-sembahan mereka itu boleh melakukan sesuatu perbuatan, mendatangkan kesan, manfaat dan mudarat.

Boleh mendekatkan mereka kepada Allah, boleh mendatangkan sesuatu kebaikan bagi setiap orang yang datang meminta pertolongan kepada tuhan-tuhan mereka dan boleh mendatangkan mudarat kepada setiap orang yang berpaling daripadanya.

Semua kepercayaan ini menafikan tauhid rububiah.

Dari sudut naqal

Nas-nas syariat telah menetapkan secara jelas, terang dan qatie (pasti) bahawa orang-orang musyrik pada setiap masa dan tempat tidak akan mampu bertauhid dengan tauhid rububiahsemata-mata dan menafikan uluhiah, tetapi mereka semua adalah orang-orang musyrik padauluhiah dan rububiah sekali gus kerana kedua-duanya adalah perkara yang satu.

Sebagai contoh, kami sebutkan di sini dalil-dalilnya:

1. Firman Allah SWT dalam menceritakan tentang orang-orang musyrik ketika ditanya tentang rahsia sebenar mereka menyembah berhala selain Allah: Tidaklah kami (orang musyrik) menyembah atau memuja mereka (sembahan-sembahan mereka), melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah dengan sedamping-dampingnya. (al-Zumar: 3)

Ayat ini jelas menunjukkan, orang-orang kafir beriktikad bahawa patung-patung mereka mempunyai kekuasaan untuk memberikan hidayah kepada mereka dan mendekatkan diri mereka kepada Allah. Maksudnya sembahan mereka itu mampu memberi kesan dengan sendirinya.

Maka di manakah letaknya tauhid mereka bagi tauhid rububiah?!.

2. Nabi Hud a.s ketika berdialog dengan orang musyrikin tentang patung-patung sembahan mereka dan ketika diterangkan kepada mereka bahawa sembahan mereka itu tidak berkuasa untuk mendatangkan sesuatu kepada mereka melainkan Allah, mereka berkata: Kami hanya boleh berkata bahawa setengah daripada tuhan-tuhan kami telah mengenakanmu sesuatu penyakit gila (disebabkan engkau selalu mencaci penyembahan kami itu). (Hud: 54)

Kepercayaan bahawa sembahan-sembahan mereka boleh mendatangkan kesan yang buruk, jelas menunjukkan bahawa orang musyrik mempercayai pada sembahan-sembahan mereka ada kekuasaan yang boleh melakukan sesuatu perbuatan dan mendatangkan kesan mudarat atau manfaat.

Ini menunjukkan bahawa orang musyrikin tidakpun mengesakan Allah pada rububiah tetapi menyekutukan Allah dengan tuhan-tuhan yang lain pada tauhid uluhiah. Iktikad mereka ini ternyata berbeza dengan apa yang dipercayai oleh pendokong bidaah pembahagian tauhid.

3. Allah SWT berfirman: Tidakkah engkau pelik memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai tuhannya (Rabb) kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan? Ketika Nabi Ibrahim berkata: Tuhanku (Rabbi) ialah Yang Menghidupkan dan Yang Mematikan. Ia (Namrud) menjawab: Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan. (al-Baqarah: 258)

Berdasarkan ayat di atas jelas dapat dilihat, Namrud telah mendakwa dirinya dengan perkara yang berkaitan tentang rububiah seperti mempunyai kerajaan, kekuasaan dan pemerintahan.

Dia juga mempercayai mempunyai keistimewaan rububiah yang boleh menghidupkan dan mematikan. Kemudian selepas itu, dia berdebat dengan Nabi Ibrahim a.s tentang Rabbnya (tuhan yang menjadikan) dan bukan tentang Ilahnya (tuhan yang disembah) sebagaimana penggunaan istilah dalam ayat tersebut.

Adakah selepas penjelasan ini, masih ada yang mendakwa: Sesungguhnya Namrud adalah ahli tauhid dengan tauhid rububiah dan Nabi Ibrahim a.s telah datang kepadanya untuk mengajak kepada tauhid uluhiah sahaja?

4. Allah SWT telah berfirman dalam menceritakan tentang Nabi Yusuf a.s yang mengajak sahabat-sahabat sepenjaranya kepada akidah tauhid yang suci:

Wahai sahabat sepenjaraku berdua! Memuja dan menyembah berbilang-bilang tuhan (Arbaab – jama’ kepada Rabb) yang bercerai-berai itukah yang lebih baik atau menyembah Allah Tuhan yang Maha Esa lagi Maha Berkuasa? (Yusuf: 39)

Marilah bersama saya memerhatikan perkataan Nabi Yusof a.s ketika mempersoalkan tentang Tuhan yang lebih baik disembah: “Adakah Tuhan-tuhan (Arbab) yang bercerai-berai. Beliau tidak berkata: “Tuhan-tuhan (Aalihah – jamak kepada Ilah).”

Adalah jelas bahawa penghuni penjara menyembah lebih daripada satu Rabb dan lebih daripada satu Ilah.

Adakah masih boleh diterima oleh akal yang sejahtera, jika dikatakan: Orang-orang musyrikin bertauhid dengan tauhid rububiah dan Nabi Yusuf datang kepada mereka dengan membawa tauhid uluhiah sahaja? Maha Suci Allah, ini adalah suatu pembohongan yang besar!.

5. Allah SWT berfirman menceritakan tentang Firaun yang berkata ketika menakut-nakutkan kaumnya agar mereka mentaatinya. Firaun berkata: Akulah tuhan kamu (Rabbukum) yang tertinggi. (al-Naazi’aat: 24)

Demikianlah dakwaan rububiah Firaun bagi dirinya dan dia cuba mengagamakan kaumnya dengan rububiah ini. Maka dari sini, tidakkah ada langsung sebesar zarah perasaan salah bagi mereka yang mendakwa bahawa Firaun dan kaumnya bertauhid dengan tauhid rububiah dan telah datang kepada mereka Musa Kalimullah a.s dengan tauhid uluhiah sahaja?

Di ketika yang lain, Firaun juga mendakwa uluhiah bagi dirinya ketika dia berkata: Wahai orang-orangku, aku tidak mengetahui adanya bagi kamu sebarang tuhan (ilah) selain daripadaku. (al-Qasas: 38)

Ini menunjukkan bahawa tidak ada perbezaan di antara rububiah dan uluhiah. Oleh kerana itu, sesiapa yang mendakwa dirinya dengan rububiah, maka dia telah menjadikan dirinya Ilah(sebagai tuhan yang patut disembah).

Sesiapa yang mendakwa dirinya dengan uluhiah pula, maka dia telah menjadikan dirinya sebagai Rabb (tuhan yang menciptakan, mentadbir dan sebagainya) bagi orang lain.

6. Mayat-mayat yang berada di dalam kubur, masing-masing tidak ditanya tentang uluhiah dan tauhidnya, tetapi malaikat akan bertanya kepadanya: Man Rabbuka? (Siapakah rab (tuhan) kamu?”

Sekiranya tauhid itu seperti yang dipercayai oleh Ibnu Taimiyyah, yang mana semua manusia di sisinya beriktikad dengan tauhid rububiah, kenapakah soalan malaikat ini masih diperlukan dan bermanfaat?

Ini menunjukkan bahawa dakwaan Ibnu Taimiyyah adalah tidak benar dan palsu semata-mata.

Kesimpulannya, orang yang syirik pada uluhiahnya dikira sebagai syirik pada rububiahnya juga. Sesiapa yang syirik pada rububiah maka dia juga adalah syirik pada uluhiah.

Minggu hadapan kami akan mengemukakan dalil-dalil mereka dan jawapan ulama tentang kesamaran dakwaan mereka. Benarlah perumpamaan Quraniy bahawa, sesungguhnya rumah yang paling rapuh ialah rumah labah-labah. (al-Ankabut: 41). Wallahu a’lam

Posted in Fokus Isu, Klinik Agama | Leave a Comment »

Caruman KWSP tidak dikira harta sepencarian

Posted by epondok di Disember 17, 2021

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip

TIMBUL persoalan sama ada wang simpanan yang ada di dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah harta milik peribadi pencarum atau sebagai harta sepencarian yang boleh dituntut oleh satu pihak lagi, bekas isteri mahupun bekas suami.

Harta berupa caruman wang KWSP si mati tidak boleh dianggap sebagai harta sepencarian melalui sumbangan secara tidak langsung jika dirujuk kepada konsep asalnya. Sebaliknya, ia menjadi harta pusaka yang mesti dibahagikan mengikut hukum faraid. Dengan itu, KWSP adalah harta milik peribadi pencarum dan hanya pencarum yang mempunyai hak mutlak ke atas wang itu.

Melihat kepada konsep dan kepentingan ini, maka fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-49 pada 10 September 2000, menjelaskan seperti berikut:

# Wang KWSP dan wang simpan adalah pusaka yang mesti dibahagikan mengikut hukum faraid;

# Penama KWSP adalah wasi atau pentadbir harta. Penama hendaklah membahagikan wang KWSP (peninggalan simati) mengikut hukum faraid;

# Bahagian Undang-Undang Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hendaklah menasihatkan KWSP menyemak semula peraturan dan undang-undang sedia ada berhubung penamaan supaya selaras dengan hukum syarak.

Selangor turut mewartakan Hukum Simpanan Wang KWSP pada 9 Mei 2002 bagi ahli beragama Islam yang meninggal dunia. Fatwa itu menjelaskan perkara berikut:

# Wang KWSP yang disimpan ahli dianggap harta pusaka.

# Kaedah pembahagian harta pusaka adalah tertakluk kepada hukum faraid.

Berdasarkan fatwa-fatwa yang dinyatakan di atas, jelaslah bahawa wang simpanan KWSP adalah hak milik mutlak pencarum yang perlu dibahagikan mengikut hukum faraid apabila pencarum meninggal dunia dan bukan harta sepencarian.

Oleh yang demikian, tuntutan yang berkaitan dengan wang simpanan KWSP supaya diisytiharkan sebagai harta sepencarian adalah bercanggah dengan fatwa yang diputuskan di atas. Penolakan ini juga wajar kerana selari dengan Seksyen 2 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 yang mentafsirkan seperti berikut:

‘Harta sepencarian’ ertinya harta yang diperoleh bersama oleh suami isteri ketika perkahwinan berkuat kuasa mengikut syarat ditentukan oleh hukum syarak. Di bawah seksyen sama, hukum syarak diertikan sebagai ‘hukum syarak mengikut Mazhab Shafie iaitu mengikut mana-mana satu Mazhab Maliki, Hanafi atau Hambali.’

Keputusan fatwa juga menetapkan Bahagian Undang-Undang JAKIM hendaklah menasihatkan KWSP supaya menyemak semula peraturan dan undang-undang sedia ada berhubung dengan penamaan supaya selaras dengan hukum syarak.

Pelantikan penama hanyalah sebagai amalan biasa dalam KWSP mahupun institusi kewangan seperti Tabung Haji dan bank.

Majlis Raja-Raja kali ke-96 pada September 1973 memberi pendapat dikeluarkan sebagai fatwa seperti berikut: “Penama KWSP, wang simpanan pejabat Pos, bank, insurans dan syarikat kerjasama adalah sebagai orang yang melaksanakan wasiat si mati atau wasi. Mereka boleh menerima wang si mati daripada sumber itu untuk dibahagikan kepada orang yang berhak menurut pembahagian faraid.”

Jelasnya, konsep dan pembahagian harta sepencarian di Malaysia dikanunkan di dalam Enakmen Keluarga Islam negeri-negeri. Mahkamah Syariah negeri-negeri diberi bidang kuasa eksklusif untuk mendengar dan membicarakan tuntutan harta sepencarian bagi mana-mana pasangan orang Islam yang bercerai.

Posted in Klinik Agama | Leave a Comment »