Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Januari 2022

Hati gelap punca maksiat

Posted by epondok di Januari 31, 2022

Al-Maraghi berkata: Setelah Allah SWT menyebut tentang ucapan mereka: “Al-Quran itu adalah dongengan orang terdahulu dan bukan wahyu daripada Allah SWT.”

Lalu disusuli keterangan tentang sikap biadab mereka yang disebabkan kebiasaan mereka berbuat keji, lalu hati mereka tertutup untuk menerima pandangan yang baik sehingga tidak dapat membezakan antara dongengan dan hujah yang benar.

Kemudian Allah SWT menolak tuduhan dusta yang mereka dakwa dan sering diulang dalam bentuk ucapan: “Jika apa yang dikatakan Muhammad itu benar, pasti kami mendapat kedudukan yang mulia di sisi Tuhan”.

Namun, Allah SWT telah menjelaskan kepada mereka, bahawa mereka itu berdusta. Mereka akan dijauhkan daripada rahmat Allah SWT dan tidak akan memperoleh keredaan-Nya.

Kemudian mereka diperintahkan memasuki neraka dan akan dikatakan kepada mereka bahawa azab ini sebagai balasan terhadap perbuatan kamu dahulu dan juga kerana mereka mendustakan apa yang telah dijanjikan oleh Rasulullah SAW kepada kamu sekelian.

Firman Allah SWT: Sebenarnya! (ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan sebab (perbuatan kufur dan maksiat) yang mereka kerjakan.

Syed Qutub berkata: Maksudnya hati mereka telah ditutupi kekotoran dosa dan maksiat yang dilakukan mereka.

Sebenarnya, apabila hati itu lumrah dengan kerja-kerja maksiat, maka cahayanya amat muram, gelap dan kemudian diliputi karat yang tebal yang tidak dapat lagi ditembusi nur hidayah.

Sifat kepekaannya perlahan-lahan hilang dan akhirnya menjadi lemah dan terus mati.

Riwayat Ibn Jarir r.a, al-Tirmizi, al-Nasaie dan Ibn Majah dari Muhammad Ibn al-‘Ijlan dari al-Qa’qa’ Ibn Hakim dari Abu Soleh dari Abu Hurairah r.a dari Nabi SAW sabdanya yang bermaksud: “Apabila seseorang hamba itu mengerjakan satu dosa, maka timbullah di dalam hatinya satu tompok karat yang hitam.

“Andainya ia bertaubat daripada dosa itu, maka hatinya kembali bersih dari karat tersebut dan jika dosanya bertambah, maka tompok karat hitam itu bertambah besar”.

Firman Allah SWT: Jangan lagi mereka berlaku demikian! (kalau tidak), mereka pada hari itu, tetap terdinding dari (rahmat) Tuhannya.

Ibn Kathir berkata: “Maksudnya pada hari kiamat nanti, mereka mempunyai satu kedudukan dan menempati Sijjin. Kemudian pada hari kiamat kelak mereka akan terhalang daripada melihat Allah SWT iaitu Pencipta mereka.

Imam Abu Abdillah al-Syafie berkata: “Dalam ayat ini terdapat dalil yang menunjukkan bahawa orang-orang mukmin dapat melihat Allah SWT pada hari tersebut”.

Firman Allah SWT: Kemudian, sesungguhnya mereka akan menderita bakaran neraka. Akhirnya dikatakan (kepada mereka): Inilah dia (azab seksa) yang kamu dustakan dahulu.

Al-Maraghi berkata: “Setelah mereka dihalang mendekatkan diri kepada Allah SWT pada hari kiamat dan memperolehi idaman yang dahulu mereka harap-harapkan, lalu mereka dicampakkan ke neraka bagi merasakan berkobar-kobar apinya dan kepanasannya.

Seksaan yang ditimpa itu adalah sebagai balasan terhadap perbuatan kamu yang mendustakan berita-berita yang disampaikan oleh rasul yang benar itu.

Sebagaimana kamu juga beranggapan sama sekali tidak akan dibangkitkan, dan al-Quran itu hanya dongengan orang terdahulu serta Nabi Muhammad SAW itu ahli sihir dan pendusta dan lain-lain dakwaan.

Surah ini jelas membincangkan golongan yang tidak baik seterusnya membawa kepada balasan neraka.

Lebih malang lagi mereka yang kufur tidak dikurniakan melihat Allah SWT pada hari kiamat sedangkan majoriti ulama menafsirkan bahawa mafhum muafakah menunjukkan orang yang beriman boleh melihat Allah SWT sebagai tambahan kurniaan Allah kepada mereka pada hari akhirat kelak.

Hal ini dibenarkan oleh jumhur ulama seperti Imam al-Syafie, Imam Malik, al-Baghawi dan lain-lain. Melihat Allah SWT merupakan kemuncak kenikmatan dan penghormatan yang dapat diraih oleh hamba-hamba Allah yang soleh

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Posted in Artikel Pilihan | 1 Comment »

Pendidikan akhlak penting bagi melahir generasi berkualiti

Posted by epondok di Januari 30, 2022

Oleh Prof Madya Dr Engku Zaki Engku Alwi

PEMBABITAN remaja dengan masalah yang merunsingkan kebelakangan ini tidak boleh dipandang ringan dan usaha keras perlu dilakukan bagi mengelak golongan itu terus melakukan kesilapan demi kesilapan.

Remaja adalah generasi yang serius, kritikal, lambang kepada kekuatan, kecergasan, kecerdasan akal dan kemantapan fizikal serta spiritual. Semua sifat dan kriteria remaja itu dijelaskan Allah dalam al-Quran.

Firman-Nya yang bermaksud: “Allah yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah (bayi dan kanak-kanak), selepas berkeadaan lemah itu Dia menjadikan kamu kuat (remaja dan belia). Selepas itu Dia menjadikan kamu lemah pula (tua) serta tua beruban. Dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya dan Dialah juga yang Maha Mengetahui lagi Maha Berkuasa.” (Surah al-Rum, ayat 54)

Zaman remaja juga penuh dengan pelbagai godaan dan cabaran yang menguji kewarasan berfikir serta kematangan bertindak. Paling penting sekali, zaman remaja saat mula belajar mengenal erti dan matlamat hidup yang sebenarnya.

Pada saat inilah mereka mula menerima tanggungjawab melaksanakan kewajipan diperintahkan Allah kepada mereka. Mereka bertanggungjawab sepenuhnya terhadap segala perbuatan sama ada dosa atau pahala sesuai dengan amalan yang dilakukan.

Dari perspektif Islam, zaman remaja adalah zaman menuntut pengisian terbaik supaya mereka lahir sebagai generasi berkualiti dan bermanfaat kepada agama, bangsa serta negara, bukan menjadi generasi yang rosak binasa serta menimbulkan masalah.

Oleh itu, Islam menitikberatkan pendidikan muda-mudi supaya mereka muncul sebagai generasi terbaik yang taatkan Allah dan Rasul-Nya serta berkhidmat untuk Islam.

Pengisian yang baik sewaktu zaman remaja juga melayakkan seseorang Mukmin mendapat perlindungan Allah semasa perhimpunan di Padang Mahsyar pada hari akhirat nanti. Pendek kata, zaman remaja adalah kesempatan keemasan yang hanya datang sekali sepanjang hayat manusia.

Kajian menunjukkan pengisian yang salah ketika remaja, kecetekan ilmu agama, kekurangan perhatian ibu bapa dan pengaruh budaya luar yang mendominasi kehidupan masa kini antara punca masalah muda-mudi dalam masyarakat Malaysia.

Faktor itu menyebabkan muda- mudi kekosongan jiwa yang akhirnya mendorong mereka mencari keseronokan di luar seperti melepak, berpeleseran di stesen bas dan kompleks membeli-belah, bergaul bebas dengan pasangan, melakukan perbuatan bertentangan budaya dan nilai Islam.

Islam dari awal sudah menggariskan corak pendidikan yang sesuai kepada muda mudi supaya lahir sebagai generasi berkualiti. Islam mengajar remaja supaya memiliki pendirian hidup yang jelas, menghiaskan diri dengan identiti dan sahsiah Islam.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Janganlah kamu suka menjadi pak turut yang bersikap, “Aku bersama-sama orang ramai, kalau mereka baik maka baiklah aku dan kalau mereka tak baik, aku pun tak baik.” Sebaliknya hendaklah kamu cekalkan diri kamu dengan bersikap, “Jika orang ramai baik, aku akan menurut jejak langkah mereka dan jika mereka berlaku tak baik, aku akan menjauhi kejahatan mereka.” (Hadis riwayat Tirmizi)

Pendidikan akhlak penting membentuk peribadi dan sahsiah muda-mudi supaya dapat membezakan akhlak terpuji dan akhlak yang keji. Pada masa sama, remaja juga perlu dibimbing menguruskan masa dengan baik.

Rasulullah SAW memberi panduan menguruskan masa dalam sabda yang bermaksud: “Seorang Muslim mestilah membahagikan masanya selama hayatnya untuk empat perkara, iaitu masa bermunajat kepada Allah, masa melakukan muhasabah dirinya sendiri, masa berfikir kejadian Allah, masa untuk tujuan kehidupan seharian seperti makan minum, bekerja mencari rezeki halal,” (Hadis riwayat Ibnu Hibban)

Selain itu, kekuatan dan ketrampilan adalah lambang generasi remaja berkualiti. Islam inginkan umatnya terutama remaja memiliki kekuatan dan ketrampilan yang menjadi prasyarat ke arah kejayaan cemerlang.

Kekuatan dikehendaki Islam bukan hanya kekuatan fizikal, termasuk kekuatan akal dan rohani yang menjadi benteng kukuh mendepani cabaran mendatang. Ibu bapa, kerajaan serta masyarakat berperanan membangunkan remaja sebagai generasi yang berkualiti.

Posted in Artikel Pilihan, Fokus Isu | Leave a Comment »

Anak amanah Allah kepada kita

Posted by epondok di Januari 28, 2022

Oleh Hashim Ahmad

Anak adalah amanah Allah kepada ibu bapa yang perlu dididik supaya menjadi insan yang berguna. – Gambar hiasan

Sesungguhnya anak yang dikurniakan Allah kepada suami isteri adalah suatu amanah dari Allah SWT. Anak bukanlah hak kita. Ia adalah hak Tuhan. Tuhan yang memberikannya kepada kita.

Sekiranya anak itu hak kita, tentulah apabila kita berkahwin kita akan terus mendapat anak seperti mana yang kita kehendaki.

Ada pasangan yang 10 tahun kahwin tetapi tidak juga mendapat anak. Ini kerana ia tidak mendapat keizinan dari-pada Allah. Sebaliknya, ada orang yang baru enam bulan saja kahwin tetapi sudah mendapat anak.

Sedar akan hakikat bahawa anak yang dianugerahkan kepada ibu dan bapa itu adalah satu amanah daripada Allah. Maka menjadi tanggungjawab setiap ibu bapa menjaga amanah Allah itu dengan sebaik-baiknya.

Sebagaimana anak wajib berbakti kepada ibu bapanya, ibu bapa juga bertanggungjawab memenuhi segala yang menjadi hak anaknya.

Anak yang tidak melaksanakan tanggungjawab terhadap ibu bapa dianggap sebagai anak derhaka. Ibu bapa yang tidak melaksanakan tanggungjawab terhadap anaknya juga boleh dianggap sebagai derhaka. Tetapi orang tidak biasa menyebutnya derhaka. Mungkin istilah yang lebih tepat adalah berlaku zalim.

Meneliti kisah yang berlaku pada zaman Umar al-Khattab menjadi khalifah boleh membuktikan adanya penderhakaan ibu bapa terhadap anaknya.

Suatu hari seorang lelaki datang berjumpa Saidina Umar mengadu perihal anaknya yang didakwanya derhaka kepadanya. Umar memanggil anak yang di-katakan derhaka itu. Khalifah mengadili anak itu secara berhadapan dengan ayahnya.

Dalam majlis pengadilan itu, si anak meminta khalifah menyatakan hak anak terhadap ayahnya. Khalifah Umar menyatakan bahawa: “Antara hak-hak anak terhadap ayahnya adalah ayah hendaklah mencari isteri yang baik untuk menjadi ibu kepada anak-anaknya yang bakal lahir ke dunia.

“Setelah anak itu lahir, hendaklah si ayah memberikan nama kepadanya dengan nama yang baik. Dan setelah anak itu besar, hendaklah diajar membaca al-Quran”.

Mendengar yang demikian, si anak lantas berkata: “Wahai Amirul Mukminin! Itu semua tidak ada yang dia laksanakan. Ibuku dicarinya dari orang Majusi. Namaku dibuatkan Jaklan dan aku tidak diajarnya membaca al-Quran”.

Khalifah Omar melihat ke arah lelaki yang membuat aduan sambil berkata kepadanya: “Apakah engkau datang ke sini untuk mengadu kelakuan anakmu? Ternyata engkau telah derhaka kepadanya sebelum dia derhaka kepada-mu. Engkau telah berbuat jahat kepadanya sebelum dia berbuat jahat kepadamu”.

Begitulah besarnya tanggungjawab ibu bapa terhadap anaknya. Sebelum anak itu lahir lagi, kita sudah mempunyai tanggungjawab terhadapnya.

Kita mesti mencari ibu yang baik baginya. Kita mesti mencari wanita yang sihat, sempurna dan cantik. Lebih penting lagi, kita mesti mencari wanita yang solehah dan keturunan yang baik.

Ketika anak berada dalam kandungan, kita wajib menjaganya dengan baik. Si ibu mesti memakan makanan yang baik lagi halal.

Jika ibunya memakan benda-benda haram, ia akan menjadi darah daging bagi si anak dan akan mempengaruhi jiwanya setelah dewasa nanti.

Apabila anak lahir, dia berhak untuk diazan, ditahnik, diberi nama yang baik, dicukur rambutnya dan dibuat akikah.

Setelah anak itu nampak sudah faham akan sesuatu, dia mesti diajar mengaji, ditanam kepadanya masalah akidah, diajar masalah halal haram, mengerjakan solat dan sebagainya.

Dengan kata lain, ibu bapa bukan saja diwajibkan memberi makan, minum, pakaian dan tempat tinggal kepada anak-anaknya. Malah lebih dari itu ibu bapa wajib mendidik dan memberi pelajaran agar mereka membesar dan menjadi orang yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Sabda Rasulullah bermaksud: Setiap anak yang di-lahirkan adalah dalam keadaan bersih melainkan dua orang tua-nyalah yang bertanggungjawab mencorakkannya menjadikan Yahudi atau Nasrani atau Majusi. (riwayat Muslim dan Baihaqi)

Daripada hadis di atas kita dapati peranan ayah dan ibu adalah amat besar untuk melahirkan anak-anak berperibadi dan berakhlak mulia. Anak-anak berada di sekolah kira-kira tujuh jam sahaja sehari.

Dalam masa tersebut anak-anak berada di bawah pengawasan guru. Baki 17 jam lagi dalam hari tersebut, anak-anak berada di bawah penjagaan ibu bapa masing-masing.

Sesungguhnya, anak yang masih kecil mudah dibentuk sesuka hati seperti halnya dengan tepung. Seorang tukang kuih yang sedang memegang tepung, sanggup membentuk tepung itu sesuai dengan kehendaknya.

Begitu jugalah keadaan anak yang masih kecil. Dia masih mudah dibentuk, sama ada untuk dijadikan orang baik atau orang jahat.

Dalam memperkatakan tentang pemberian pelajaran kepada anak-anak, satu perkara yang amat mendukacitakan kita ialah sikap dan tanggungjawab ibu bapa serta bentuk pendidikan yang diberikan kepada anak-anak.

Tidak dapat dinafikan bahawa pada masa ini kesedaran ibu bapa terhadap kemajuan persekolahan anak-anak memang amat ketara sekali.

Mereka rela membayar yuran persekolahan anak-anak hingga berpuluh-puluh ringgit untuk menjamin kejayaan masa depannya.

Bagaimana pula halnya kalau kita bertanya tentang kemajuan pendidikan rohani khususnya kemampuan anak-anak untuk membaca al-Quran dan menulis tulisan jawi.

Jawapannya adalah amat mengecewakan. Boleh dikatakan majoriti belia kini tidak tahu membaca jawi. Jika boleh pun bacaan mereka merangkak-rangkak.

Para ibu bapa tidak sedikit pun merasa runsing dan bimbang dengan anak-anak mereka yang tidak boleh membaca jawi dan tidak tahu membaca al-Quran. Sumbangan ibu bapa terhadap perkembangan rohani anak-anak mereka adalah begitu rendah sekali.

Hati mereka merasa begitu berat untuk memberi sumbangan atau hadiah kepada tok-tok guru yang mengajar al-Quran anak-anak mereka.

Namun, mereka tidak memprotes atau bersungut tentang kadar yuran tuisyen anak-anak yang begitu tinggi.

Melihat kepada keadaan ini, satu persoalan boleh diketengahkan. Apakah sikap ibu bapa sebegini boleh dianggap sebagai ibu bapa yang amanah dan bertanggungjawab terhadap anak-anak yang dianugerahkan Allah itu?

Sedarkah para ibu bapa bahawa pendidikan sekular sedikit sekali dapat membantu dan menjamin hidup yang bahagia kepada anak-anak mereka di akhirat kelak.

Sesungguhnya anak yang baik akan membawa manfaat kepada ibu bapanya. Dia akan meneruskan perjuangan ibu bapanya dan menolong mereka sesudah tua.

Setelah ibu bapa meninggal dunia, anak itu akan mendoakannya dan meminta ampunkan dosanya.

Menyedari hakikat bahawa sifat amanah adalah semulia-mulia sifat di sisi Allah SWT, maka menganggap barang amanah dengan sambil lewa dan cuai dikira sebagai satu perbuatan mencuri. Hukumannya adalah berdosa besar.

Oleh itu awasilah anak dengan sebaik mungkin kerana anak adalah amanah Allah.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Disiplin solat kukuh sistem pendidikan Islam

Posted by epondok di Januari 27, 2022

Oleh Abdurrahman Haqqi

Ummah perlu semai semangat sabar dalam ibadat untuk capai kejayaan

ISBIR dan istabir adalah dua perkataan dalam bahasa Arab untuk menunjukkan perintah bersabar. Kedua-duanya berasal dari kata ‘sa-ba-ra’ dan digunakan al-Quran dalam memerintahkan beberapa perkara seperti sabar berjihad, sabar menerima dugaan, sabar beribadah dan sabar melakukan solat.

Menariknya dalam al-Quran, dua perkataan ini digunakan jika perintah itu berkaitan dengan perkara selain solat, maka al-Quran menggunakan kata ‘isbir’ sedangkan ketika ia berkaitan dengan solat, maka al-Quran menggunakan kata ‘istabir.’ Apa rahsianya?

Dalam kitab suci al-Quran kita dapati 25 kali penggunaan kata perintah ‘isbir’ dan ‘isbiru’, tapi hanya satu kali penggunaan ‘istabir’. Ada juga penggunaan kata lain yakni ‘sabiru’.

Semua perkataan ‘isbir,’ ‘isbiru’ dan ‘sabiru’ diterjemahkan sebagai ‘bersabarlah’ seperti dalam ayat bermaksud: “Oleh itu, bersabarlah engkau (wahai Muhammad) akan apa yang mereka katakan.” (Surah Taha: 130). Tapi, kata ‘’istabir’ diterjemahkan menjadi ‘tekun bersabar’ seperti dalam ayat bermaksud: “Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan solat dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang yang bertakwa.” (Surah Taha: 133) Ada dua kata kunci yang boleh diterapkan dalam sistem pendidikan Islam inspirasi ayat ini yakni peraturan dan teknik atau seni melakukan peraturan.

Perbincangan menarik perhatian jemaah Masjid Muara, Brunei Darussalam ini timbul dalam sesi muzakarah antara Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Brunei dan jemaah masjid berkenaan sempena aktiviti kokurikulum pelajar UNISSA dalam program ‘Minal Jami’ah ilal Masjid’ (Dari Universiti ke Masjid). Muzakarah atau dialog berkenaan dipimpin Rektor UNISSA, Dr Hj Serbini Metahir.

Kalangan sahabat sudah dididik secara langsung menerusi kepemimpinan mulia Nabi Muhammad SAW dari sejak bermulanya dakwah Islam. Ayat Taha di atas diturunkan di Makkah sebelum berhijrah ke Madinah yang mana komuniti Islam yang berdaulat sudah diwujudkan. Bagaimanapun, solat dalam komuniti Islam yang belum berdaulat di Makkah sudah menjadi tumpuan utama pelaksanaan jati diri individu Muslim bimbingan Rasulullah.

Baginda diperintah oleh Allah SWT agar memerintahkan kepada keluarga dan umatnya untuk melakukan solat dan bukan hanya itu, tetapi mereka semua diperintah untuk tekun bersabar dalam menunaikannya. Mengapa demikian?

Solat sebagai tiang agama adalah syarat berdirinya satu-satu bangunan. Tidak ada tiang, bangunan tidak wujud. Agar bangunan agama diri kita tetap berdiri dan kukuh maka kita memerlukan untuk sentiasa melakukan solat. Malah solat adalah punca ketenangan jiwa dan ia juga yang mententeramkan hati dan menyejukkan minda yang kemudian akan memberi sinar pada wajah dan menyihatkan badan.

Dalam pelbagai urusan sangat penting, seperti dalam buku La Tahzan, Rasulullah selalu melapangkan hatinya dengan melakukan solat, misalnya, pada ketika Perang Badar, Ahzab dan kesempatan lain.

Ibnu ‘Asakir dan Ibnu al-Qayyim menceritakan bahawa seorang hamba salih dihadang oleh seorang perompak di sebuah jalanan di Syam. Perompak itu berusaha untuk membunuhnya. Hamba salih itu meminta diberi kesempatan untuk mengerjakan solat dua rakaat. Maka bangkitlah dia mengerjakan solat. Pada saat itu, dia teringat firman Allah SWT bermaksud: “Atau siapakah yang memperkenankan (doa) orang yang sedang dalam kesulitan apabila dia berdoa kepada-Nya.” (Surah al-Naml: 62)

Dia membacanya tiga kali. Maka turunlah malaikat dari langit membawa pedang dan dengan pedang itu dia membunuh perompak itu. Malaikat itu berkata: “Aku adalah utusan Zat Yang Memperkenankan doa orang yang dalam kesulitan.”

Ketika Ibnu Kathir mentafsir ayat Taha di atas, dia berkata: “Yakni carikan jalan keselamatan untuk keluargamu daripada seksaan Allah SWT dengan melakukan solat dan sentiasa tekun bersabarlah engkau dalam menunaikannya.” Dan mengapa perintah melakukan solat dan bersabar menunaikannya ini dikaitkan dengan rezeki?

Rezeki bukan saja dalam bentuk wang ringgit seperti yang kita bayangkan selama ini. Kesihatan juga rezeki, kebahagiaan juga rezeki, kedudukan juga rezeki, dan ilmu juga rezeki. Jadi, solat akan menjadi penyebab utama kita mendapatkan rezeki kerana dengan jelas ayatnya mengingatkan kepada kita jangan risau dengan masalah rezeki dalam hidup kita kerana ini adalah urusan Allah SWT. Mustahak adalah dirikanlah solat dan bersabar dalam menunaikannya.

Ibn Abi Hatim meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad dan juga kalangan nabi yang lain apabila mereka ditimpa kesusahan mereka akan bersegera untuk melakukan solat. Al-Tirmizi meriwayatkan satu hadis maksudnya: “Berfirman Allah Ta’ala: “Wahai anak Adam! Tumpukan seluruh ibadatmu kepada-Ku nescaya Aku penuhi hatimu dengan kekayaan dan Aku jauhkan kemiskinan darimu. Dan jika seandainya kamu tidak melakukan yang demikian itu maka nescaya akan Aku penuhi hatimu dengan pelbagai kesibukan duniawi dan Aku akan membiarkan kemiskinan menghampirimu.”

Dalam situasi penuh pancaroba ini yang mana kita risaukan generasi kita maka panduan al-Quran ini sesuai untuk dipertimbangkan. Apabila kita menghidupkan semua sistem pendidikan Islam dengan semangat solat sudah tentu janji SWT Allah akan kita dapati dengan mudah dan kita akan hidup selesa dan berbahagia.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Ingat Allah hiburan golongan beriman

Posted by epondok di Januari 25, 2022

Oleh Zawawi Yusoh

MANUSIA sukakan hiburan. Malah, ada ketikanya hiburan menjadi suatu keperluan bagi sesetengah orang seperti makanan dan minuman.

Alasannya, hiburan boleh mendatangkan ketenangan, mengurangkan tekanan dan menyegarkan emosi.
Benar, ketegangan dan kegersangan emosi boleh menyebabkan seseorang itu jadi pemarah, perengus, tertekan dan resah.

Menyuburkan emosi memang penting kerana dari situ akan timbul sikap kasih sayang, prihatin dan peka pada persekitaran sekeliling.
Tetapi apabila disebut hiburan bukanlah semata-mata yang mungkin difahami anak remaja kini iaitu nyanyian, konsert, pesta, karaoke, kelab malam atau berpeleseran saja. Malah, melihat keindahan alam, melancong, ekspedisi dan berkelah juga hiburan.
Ada tiga kategori hiburan:

i- Bagi seorang mukmin ialah iman, amal ibadat, wirid dan zikir atau apa saja perbuatan yang membawa pahala daripada Allah adalah hiburan.

Ini kerana hasil daripada itu adalah ketenangan dan ketenteraman. Jiwa yang sentiasa hidup dan segar. Emosi pula terkawal.

Perkara inilah yang dimaksudkan Allah dalam al-Quran iaitu firman-Nya bermaksud: “Ingatlah hanya dengan mengingati Allah hati jadi tenang.”

ii- Hiburan kategori kedua iaitu apa saja cara yang dapat menghilangkan keresahan dan kerunsingan yang tidak bertentangan dengan syariat serta akidah.

Malah, jika dihayati hiburan jenis ini dapat dijadikan cara untuk mendekatkan diri pada Allah. Umpamanya, jika berkelah atau berekspedisi di samping dapat menghilangkan bosan dapat juga merasai kehebatan ciptaan Allah, meresap di jiwa lalu timbul rasa gerun kepada-Nya.
Tetapi hakikatnya, ramai yang tidak menyedari hikmah di sebalik berhibur. Jadi, hiburan hanya sekadar hiburan, terhenti setakat itu saja.
Namun, hiburan kategori ini selagi tidak bercanggah dan tidak memberi kesan negatif, ia ibarat ubat mengurangkan kesakitan yang dapat menghilangkan keresahan buat seketika, tetapi tidak dapat menghapuskan punca keresahan itu.
iii- Hiburan kategori ketiga paling popular terutama muda-mudi. Konsert artis, nyanyian yang lalai, pesta, kelab malam dan berpasangan adalah menjadi hambatan hidup remaja kini.
Hiburan ini bukan saja tidak bersifat menyembuhkan, malah umpama penagihan dadah. Memang seronok, ibarat gula-gula, manis dan sedap tetapi tidak mengenyangkan.
Keseronokan itu bukan bererti kebahagiaan atau ketenangan. Malah, beransur-ansur membawa akibat buruk dan negatif pada jangka masa panjang.
Hiburan kategori ini mendatangkan kesan buruk pada hati yang tidak dapat dikesan. Hati menjadi keras, gelap, lalu terdinding daripada mendapat kelazatan mengingati Allah, malah sukar untuk menerima kebenaran.

Justeru, orang yang mendapat hiburan hakiki (sebenar) umpama mendapat hidangan dan makanan lazat lagi enak, tidak perlu lagi pada gula-gula yang tidak berkhasiat.

Selalunya hanya kanak-kanak yang amat gemar pada gula-gula, manakala golongan dewasa tidak kerana mereka lebih mengutamakan makanan mengenyangkan.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Kesan negatif TV jika tidak dikawal

Posted by epondok di Januari 23, 2022

Oleh Masmawi Abdullah

TELEVISYEN (TV) adalah media elektronik yang paling berpengaruh dalam kehidupan kita. TV ketika ini amat mudah diperoleh di mana-mana saja. Bahkan setiap rumah memiliki sekurang-kurangnya satu set TV. Kewujudan TV satelit pula menjadikannya sesuatu yang sukar dilepaskan oleh peminatnya.

Dalam negara kita, TV menghidangkan pelbagai pilihan siaran untuk penggemarnya. Kita juga mempunyai siaran televisyen yang dipancarkan daripada satelit. Ini meluaskan lagi fungsi TV itu sendiri. Ia amat berbeza ketika mula-mula TV itu diperkenalkan di negara kita.

Ketika itu TV adalah satu-satunya media elektronik yang paling canggih dan paling dihargai dalam menyampaikan maklumat. Islam amat menyokong unsur kebaikan yang dibawa oleh TV. Apa saja yang membawa kebaikan dan manfaat kepada manusia adalah sesuatu yang sememangnya digalakkan oleh Islam itu sendiri.

Selagi ia tidak bertentangan dengan kaedah dasar Islam, ia tetap dibolehkan menggunakannya. Dalam keadaan tertentu pula, alat komunikasi seperti TV ini boleh dianggap wajib penggunaannya kerana ada ‘masalah’ dengan penggunaannya seperti dalam suasana peperangan dan darurat. Umat Islam akan berada dalam keadaan bahaya dan membimbangkan jika mereka tidak memanfaatkan sumber maklumat ini.

Namun begitu, suatu hakikat yang tidak dapat dinafikan di zaman ini ialah TV lebih daripada satu sumber hiburan yang amat ketara. Barangkali tidak keterlaluan jika TV diistilahkan sebagai ‘wayang dalam rumah’. Seseorang itu tidak perlu menghabiskan waktu ke sana ke mari semata-mata untuk mendapat sumber hiburan. Memadai dengan hanya memiliki set TV di rumah.

Setiap program TV yang berbentuk maklumat, tidak lagi menjadi tumpuan. Sebaliknya rancangan berbentuk hiburan, jenaka, drama, aksi, cinta muzik, kartun, dan seumpamanya itulah yang menjadi kegemaran pelbagai peringkat. Akibatnya TV disalahgunakan. Tidak kira lelaki atau perempuan, tua atau muda mahupun kanak-kanak, sanggup duduk berjam-jam di depan TV.

Masa diibaratkan lebih mahal daripada emas itu, dihabiskan begitu saja di depan TV. Apatah lagi dengan ada siaran TV 24 jam. Masa yang Allah susun untuk manusia beribadah, bekerja, mencari ilmu, makan dan berehat, kesemuanya dikorbankan untuk TV.

Alat TV itu sendiri tidak salah untuk digunakan. Persoalannya ialah apa yang dipaparkan oleh TV itu sendiri. Rancangan TV yang pelbagai kategori itulah yang harus dipersoalkan. Jika sesuatu rancangan itu lebih membawa keburukan sama ada bagi jangan pendek atau jangka panjang, maka mengambil manfaat daripadanya adalah ditegah, terutama yang mempunyai pengaruh barat.

Keruntuhan moral di kalangan masyarakat Melayu kini semakin dahsyat dan cukup kronik hari demi hari. Tidak syak lagi TV adalah salah satu punca penyumbang kepada gejala itu. Bangsa Melayu yang terkenal dengan adab sopan, berakhlak mulia dan berpegang teguh kepada agama sudah berubah akibat pengaruh TV. Ia mencorak kehidupan dan pemikiran mereka.

Pada masa sama, pakar kemasyarakatan atau psikologi bertungkus-lumus berusaha untuk memulihkan akhlak remaja.

Posted in Fokus Isu | 1 Comment »

Pondok Kg Neting

Posted by epondok di Januari 17, 2022

Maklumat Pondok Kg Neting

 

 

 

Nama Rasmi

 

Madrasah Ar-Rahmaniah

Pondok Kg Neting, Tumpat, Kelantan

 

 

SEJARAH

 

Pondok Neting telah ditubuhkan pada tahun 2004 di Kampung Neting, Jajahan Tumpat. Mudir Pondok Kg Neting iaitu al-Fadhil Ustaz Muslim bin Zakaria atas permintaan dan cadangan daripada bapa mertuanya Ustaz Hj Abdul Rahman telah bertungkus lumus dengan beberapa orang tenaga penting yang lain dalam mengimarahkan pondok ini. Dengan terdirinya pondok ini maka bertambahnya bilangan pondok bagi jajahan Tumpat untuk dijadikan pusat pengajian bagi umat Islam yang bukan sahaja sekitar jajahan ini malah seluruh negara termasuk dari Thailand. Pondok ini adalah di antara pondok yang baru  bernaung di bawah Pusat Pembangunan Pondok Berhad iaitu Persatuan Pondok Kelantan

 

KEMUDAHAN ASAS

 

1. Sebuah masjid yang dapat menampung seramai 300 jemaah. Ia juga merupakan tempat pengajian di pondok ini

 

2. Sebuah asrama pelajar lelaki iaitu bangunan asrama batu dua tingkat yang dapat menampung 50 orang pelajar.

 

3. Sebuah asrama pelajar perempuan iaitu bangunan asrama batu dua tingkat

 

4. Beberapa buah pondok bagi pelajar dan warga emas

 

SUKATAN PENGAJIAN

 

Ilmu yang diajar adalah merangkumi semua ilmu agama termasuk ilmu Usuluddin, Feqah, Ilmu Alat, Al-Qur’an, Al-Hadis dan lain-lain.

 

Semua kitab adalah kitab pondok (tradisional) samada di dalam bahasa melayu jawi dan Arab

 

Pondok ini juga menyediakan pengajian tahfiz bagi pelajar yang berkelayakan

 

MATLAMAT

 

  1. Menjadikan Pondok sebagai pusat pengajian Islam secara teori dan praktikal
  2. Mencari keredhaan Allah serta menghapuskan kerosakan akhlak
  3. Melahirkan generasi berilmu, beramal, berani dan bertaqwa.
  4. Melahirkan pelajar mahir serta memahami secara mendalam ilmu agama dengan menjadikan islam sebagai cara hidup

Posted in Pondok Ahli PPPB, Pondok Kg Neting, Pondok Malaysia | Leave a Comment »

Maklumat Pondok Tunjung

Posted by epondok di Januari 15, 2022

Madrasah Al-Fununiah Al-Tunjuniah

Pondok Tunjung

 

 

MUQADIMAH

Madrasah Al-Fununiah Al-Tunjuniah juga dikenali sebagai Pondok Tunjung  adalah sebuah Yayasan pengajian dan pusat pendidikan Islam. Ia telah diasaskan atas dasar iman dan takwa dan diberi penekanan bagi melahirkan individu-individu muslim yang berilmu pengetahuan .

Pondok Tunjung ini telah diasaskan oleh Al-Marhum Tuan Guru Haji Ghazali bin Abdullah. Ia dibina pada tahun  1974 dan terletak di Kampung Tunjung.  Jaraknya adalah lebih kurang 7 kilometer dari Bandar Kota Bharu dan merupakan sebuah pondok yang paling hampir dengan Bandar.

PENTADBIRAN SEKARANG

Setelah Al-Marhum Tuan Guru Haji Ghazali bin Abdullah meninggal dunia, pentadbiran Madrasah (Pondok Tunjung) ini diambil alih oleh Ahli Jawatankuasa Madrasah yang diketuai oleh Ustaz Mohd Abdul Ghani bin Ismail (menantu Tuan Guru) dengan dibantu oleh lain-lain Ustaz dan Ustazah .

TUJUAN

  • Memelihara syi’ar dan kedaulatan Islam, kemurnian aqidah, akhlak

dan mempertahankan nilai-nilai agama dengan cara-cara yang

dibenarkan oleh syara’ dengan menjalankan usaha-usaha nasihat yang baik dan hikmah yang mendalam .

·       Menyedarkan umat Islam daripada kelalaian menunaikan kewajipan mereka yang telah diperjuangkan oleh para ulama’ pondok silam .

  • Memelihara serta mengembangkan sistem pendidikan dan pengajian pondok bagi menghadapi cabaran semasa .
  • Membuktikan keunggulan pondok sebagai sebuah institusi pendidikan alternatif kepada masyarakat yang sedang dilanda krisis keruntuhan moral
  • Menanamkan semangat kepimpinan Islam dikalangan pemuda-pemudi dan menyedarkan mereka terhadap peranannya di dalam menyibarkan risalah Islam untuk mengembalikan kedaulatan Islam yang gemilang di permukaan bumi dewasa ini .

 

 OBJEKTIF

Melahirkan generasi ulama yang ikhlas, zahid, wara’ beramal serta berkemampuan menyelesaikan permasalahan semasa dengan uslub Syar’iyyah .

 SISTEM PENGAJIAN

Madrasah ini mengabungkan antara dua sistem pendidikan Islam di Negara ini, iaitu pengajian halqah (kumpulan) dan pengajian moden (sekolah) .

         Bagi pengajian halqah (kumpulan), para pelajar didedahkan dengan kitab-kitab Ulama’ silam yang mu’tabar dalam bahasa Arab dan Melayu (Jawi) lama . Para pelajar mempelajarinya dengan cara menadah kitab-kitab tersebut di hadapan guru di masjid dan bilik kuliah masing-masing . Kitab-kitab tersebut diajar serta diulas secara terperinci dari kulit ke kulit dan diadakan setiap kali selepas sembahyang lima waktu .

         Pengajian moden (sekolah) peringkat I’btidaie juga diajar perkara-perkara asas sesuai dengan kemajuan zaman dewasa ini .

 

KURIKULUM

 Maddah-maddah yang diajar bagi setiap pengajian merangkumi ; Fiqah,Tafsir, Nahu       ( tata bahasa arab ), saraff ( ilmu kunci bahasa arab ), Tauhid, Al-Quran,  Hadith, Tasawuf, Usul Fiqah, Balaghah (Sastera Arab ), Masthalah Hadith, dan Sejarah Islam .

 KEMUDAHAN INFRASTRUKTUR

·       Bilik kuliah ( kelas ) .

·       Bilik komputer .

·       Bilik tenaga pengajar ( guru ) .

·       Bilik Perpustakaan.

·       Masjid .

·       Asrama  ( pondok-pondok ) .

 

 PAKAIAN SERAGAM / RASMI

 Pakaian seragam / rasmi bagi setiap pelajar ketika mengikuti pengajian dan waktu sembahyang ialah jubah serta serban berwarna putih .

KEISTEMEWAAN

·       Sijil daripada pihak madrasah .

·       Peruntukan biasiswa bagi yang berkelayakan .

·       Peluang melanjutkan pelajaran ke luar negara .

SUMBANGAN DAN BANTUAN

Memandangkan MADRASAH FUNUNIAH TUNJUNIAH ( MFT ) atau pondok tunjung salah sebuah Intitusi pengajian yang ditadbir oleh rakyat, dan sebahagian sumber kewangan adalah bergantung kepada orang ramai. Oleh yang demikian mana-mana syarikat, badan berkanun, swasta, pertubuhan atau individu tertentu yang ingin meyumbang sumbangan ikhlas kepada kemajuan Madrasah Al-Fununiah Al-Tunjuniah,  bolehlah dibuat atas nama MADRASAH AL-FUNUNIAH                AL-TUNJUNIAH No. Akaun 03010002479711          ( BMMB KOTA BHARU ) .

Posted in Pondok Ahli PPPB, Pondok Malaysia, Pondok Tunjung | 2 Comments »

Pondok Lubok Setol

Posted by epondok di Januari 12, 2022

Maklumat Pondok Gual Dalam Lubok Setol

 

 

 

Nama Rasmi

 

Madrasah Dhiauddin,

Pondok Gual Dalam Lubok Setol, 17200 Rantau Panjang,, Kelantan

 

 

SEJARAH

 

Madrasah Diauddin ialah salah sebuah pondok yang ditubuhkan atas kesedaran sebilangan ahli jemaah Masjid Lubok Setol. Pondok ini telah ditubuhkan sekitar tahun 2000 di Kampung Gual Dalam Lubok Stol, Rantau Panjang Jajahan Pasir Mas.Pengasas yang berjaya merealisasikan impian ini ialah al-Fadhil Ustaz Hj Abdullah Zawawi bin Muhammad selepas lama belajar di Pondok Pasir Tumboh.
Kisahnya bermula apabila AJK Masjid Lubok Stol bermuafakat untuk mewujudkan sebuah Pondok pada tahun 1996. Mereka kemudiannya membeli sebidang tanah seluas 3.75 ekar dengan harga RM27,500.00 sahaja. Pada tahun berikutnya, usaha mengumpulkan dana digiatkan setelah mendapat kelulusan daripada pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).
Dua tahun kemudiannya, iaitu pada bulan Mac 1998 batu asas diletakkan dan kerja secara gotong-royong dimulakan.Sehinggalah pada 2 April 2000, pondok ini mula beroperasi dengan kehadiran pengasasnya sendiri sebagai Tuan Guru dengan 5 orang murid sahaja.
Dengan terdirinya pondok ini maka bertambahlah bilangan pondok bagi jajahan Pasir Mas sebagai pusat pengajian bagi umat islam yang bukan sahaja sekitar jajahan ini malah seluruh negara termasuk Thailand.Pondok ini adalah diantara pondok yang baru bernaung di bawah Pusat Pembangunan Pondok Berhad iaitu Persatuan Pondok Kelantan.

 

MATLAMAT

 

  1. Menjadikan Pondok sebagai pusat pengajian Islam secara teori dan praktikal
  2. Mencari keredhaan Allah serta menghapuskan kerosakan akhlak
  3. Melahirkan generasi berilmu, beramal, berani dan bertaqwa.
  4. Melahirkan pelajar mahir serta memahami secara mendalam ilmu agama dengan menjadikan islam sebagai cara hidup

KEMUDAHAN ASAS

 

1. Sebuah masjid yang dapat menampung seramai 300 jemaah. Ia juga merupakan tempat pengajian di pondok ini

 

2. Sebuah asrama pelajar lelaki iaitu bangunan asrama batu dua tingkat yang dapat menampung 100 orang pelajar.

 

3. Beberapa buah pondok bagi pelajar dan warga emas

 

SUKATAN PENGAJIAN

 

Ilmu yang diajar adalah merangkumi semua ilmu agama termasuk ilmu Usuluddin, Feqah, Ilmu Alat, Al-Qur’an, Al-Hadis dan lain-lain.

 

Semua kitab adalah kitab pondok (tradisional) samada di dalam bahasa melayu jawi dan Arab

 

Posted in Pondok Ahli PPPB, Pondok Lubok Setol, Pondok Malaysia | 2 Comments »

Kufur nikmat kerugian manusia

Posted by epondok di Januari 11, 2022

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

BERSUA kembali dalam ruangan Relung Cahaya pada tahun baru 1443 Hijrah. Semoga cahaya kebenaran sentiasa mengiringi perjalanan kita sekalipun berbagai onak dan duri terpaksa kita tempuhi.

Rasanya baru sahaja kita melangkah masuk ke tahun 1442 Hijrah, hari ini ia telah pun berlalu meninggalkan kita dan tidak akan kembali lagi. Bagaimana kita telah memanfaatkan waktu-waktu yang telah berlalu, hanya kita yang dapat menjawabnya. Sheikh Ibnu ‘Atoillah telah mengingatkan kita tentang nilai waktu menerusi kalam hikmahnya: “Apa yang telah terluput daripada umurmu tidak ada gantiannya, dan apa yang telah terhasil daripada umurmu, tiada ukuran nilai harganya.”

Memanfaatkan masa

Mensia-siakan hak waktu bererti mensia-siakan umur yang begitu berharga kerana umur yang telah berlalu tidak akan kembali lagi. Apabila kita membiarkan ia berlalu tanpa melakukan sebarang amal soleh, maka kita telah terlepas daripada kebaikan yang amat banyak.

Allah berfirman yang bermaksud: Dan sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya; dan sesungguhnya usahanya itu akan diperlihatkan (kepadanya, pada Hari Kiamat kelak); kemudian usahanya itu akan dibalas dengan balasan yang amat sempurna. (al Najm: 39-41)

Sabda Rasulullah SAW ini wajar dijadikan renungan: “Tidak datang kepada seseorang hamba satu waktu yang tidak disebut nama Allah di dalamnya melainkan akan mendatangkan penyesalan kepadanya pada Hari Kiamat kelak.”

Apabila waktu telah pergi, ia tidak akan dikecapi kembali, dan tiada suatu pun yang lebih mulia daripada waktu. Al Hasan al Basri RA berkata: Saya pernah menemui beberapa kaum yang begitu menjaga dan mengasihi diri dan waktu mereka melebihi daripada penjagaan mereka terhadap dinar dan dirham. Sebagaimana seseorang itu tidak mengeluarkan dirham dan dinar melainkan pada perkara yang mendatangkan manfaat dan faedah kepada dirinya, dia juga tidak akan mensia-siakan diri mereka pada perkara-perkara yang tidak menjurus kepada ketaatan kepada Allah.

Para salafussoleh begitu berhati-hati dan tamak menjaga masa mereka sehinggakan Sayyiduna Ali RA pernah berpesan kepada isterinya Sayyidah Fatimah RA supaya melembutkan dan mencairkan masakan bagi mengurangkan masa mengunyah makanan yang mencuri masanya untuk bertasbih.

Menunda amal

Hari ini, kita melihat ramai manusia yang mengambil sikap menangguhkan waktu beramal atas alasan pekerjaan dan urusan dunia yang lain. Sheikh Ibnu ‘Atoillah, seorang yang sangat tinggi pengalamannya dalam menghidupkan amalan salafussoleh dan dunia tarbiah menegaskan bahawa sikap gemar menunda amal kebaikan pada waktu ada kelapangan dengan kesibukan dunia, adalah suatu kebodohan.

Ketahuilah! Menangguhkan suatu amalan disebabkan urusan duniawi kerana menantikan masa lapang adalah suatu kebodohan kerana kamu lebih mengutamakan dunia daripada akhirat sedangkan kesibukan dunia tidak akan pernah habis. Kesibukan dengan pekerjaan dan kesibukan dunia akan menghalang seseorang itu daripada melakukan amal kebaikan yang akan menyambungkan hubungannya dengan hadrat Tuhannya.

Menangguhkan amalan kebaikan kerana urusan duniawi dianggap sebagai suatu kebodohan kerana tiga perkara:

1. Mendahulukan dunia dari akhirat. Ini bukanlah sifat orang Mukmin yang berakal dan ia bercanggah dengan tuntutan Allah. Firman Allah SWT: Bahkan kamu utamakan kehidupan dunia, padahal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal. (Al A’la: 16-17)

2. Menunda amal kerana menanti akan ada masa lapang kadang kala tidak diperoleh. Bahkan, kadang kala maut lebih dahulu menjemput ajalnya ataupun pekerjaannya menjadi semakin banyak dan sibuk kerana kesibukan duniawi adalah satu perkara yang saling tarik menarik dan bertali arus. Sebagaimana yang disebut oleh penyair: “Maka tidak akan habis-habis kehendak seseorang dari dunia ini, dan tidak akan berkesudahan suatu keperluan melainkan berkehendak kepada keinginan yang lain pula.”

3. Berkemungkinan kesempatan waktu untuk beramal itu diperoleh ketika dia tidak lagi bersemangat untuk beramal, ataupun ketika dia telah menukar niatnya. Oleh sebab itu, wajiblah seseorang itu bersegera melakukan amal dalam apa jua keadaan sekalipun, dan dia perlu merebut segala peluang sebelum tibanya maut dan terluputnya masa atau kesempatan, di samping bertawakal kepada Allah bagi mendapat kemudahan dalam urusannya dan menjauhkan segala rintangan yang menghalangnya membina dan merapatkan hubungan dengan Allah.

Allah berfirman: Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas seluruh langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa. (Ali Imran: 133)

Di antara tanda orang yang mengenal Allah ialah sempurna akalnya dan tajam pemikirannya. Tanda orang yang berakal ialah bersegera melakukan suatu amal. Mengejar umur, tidak boleh ada padanya sebarang penangguhan kerana apa yang terluput daripadanya tidak akan berganti dan apa yang terhasil daripadanya tidak ternilai harganya. Di dalam hadis Rasulullah SAW bersabda: “Ingatlah! Di antara tanda orang yang berakal ialah menjauhi dari dunia yang menipu, kembali ke negara yang kekal abadi, menyiapkan bekalan untuk mendiami kubur dan bersiap sedia untuk Hari Kebangkitan.”

Sabda Rasulullah SAW lagi: “Orang yang berakal ialah orang yang menahan nafsunya dan beramal untuk selepas mati. Manakala orang yang bodoh ialah orang yang mengikut kehendak nafsu dan suka berangan-angan ke atas Allah.”

Di dalam Suhuf Nabi Ibrahim AS menyebut: “Hendaklah orang yang berakal yang tidak ditewaskan oleh akalnya mempunyai beberapa waktu; waktu bermunajat dengan Tuhannya, waktu muhasabah dirinya, waktu bertafakur tentang kejadian Allah dan waktu dikosongkan untuk menunaikan hajatnya daripada makan dan minum.”

Orang yang menangguhkan amalnya ialah orang yang bukan sahaja bodoh tetapi tertipu. Dari manakah jaminan yang kamu peroleh untuk sampai kepada waktu tersebut, sedangkan maut sentiasa menanti masa untuk menerkam kamu, ketika kamu tidak menyedarinya?

Rasulullah SAW bersabda: “Dua nikmat yang sering menjadi kerugian kebanyakan manusia ialah nikmat kesihatan dan waktu lapang.” Kebanyakan manusia tidak dapat menggunakan kesempatan ini melainkan sibuk dengan dunianya, terfitnah dengan nafsunya atau ditimpa sakit.

Kesimpulan daripada hadis ini, hanya segelintir manusia yang dikurniakan nikmat kesihatan dan kelapangan waktu. Sekiranya mereka dapat memakmurkannya dengan amalan ketaatan kepada Tuhan, maka mereka mensyukurinya dan mendapat keuntungan yang besar. Sekiranya mereka mensia-siakannya, mereka akan mendapat kerugian yang nyata dan kufur dengan kedua-dua nikmat ini. Bahkan, ia juga merupakan tanda kesedihan.

Syeikh Ibnu ‘Atoillah RA berkata: “Perkara yang paling menyedihkan, setelah dikurangkan halangan kamu, kamu pula tidak mengadap-Nya.” Semoga kita dapat mengambil iktibar. Orang yang hidup akan terasa sekiranya ditusuk dengan jarum. Tetapi orang yang mati tidak akan terasa sekalipun dipotong dengan pedang-pedang yang tajam. Renungilah!!

Posted in Artikel Pilihan | 1 Comment »