Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Februari 2022

Doa malaikat, pahala besar buat saf depan

Posted by epondok di Februari 28, 2022

KITA biasa melihat jemaah yang memenuhi saf depan ketika bersolat jemaah di masjid atau di surau, kebanyakannya terdiri daripada golongan warga emas. Kalau ada anak muda sekali pun, maka ia boleh dihitung dengan jari.

Yang muda, yang gagah bertenaga dan belia remaja santai lebih selesa bersolat di barisan saf belakang. Tahukah kita bahawa beruntungnya jika kita bersolat di saf paling hadapan kerana kita akan didoakan oleh malaikat dan mendapat ganjaran pahala besar di sisi Allah SWT.

//

Rasulullah SAW ada berpesan kepada kita semua: “Sesungguhnya Allah SWT dan malaikat berselawat kepada orang yang berada di saf yang pertama.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban). Inilah bukti anjuran Islam dalam menggalakkan umat agar berebut untuk menunaikan solat di barisan pertama.

Kemudian Rasulullah SAW juga mengatakan bahawa jika manusia mengetahui fadilat bersolat di saf hadapan, nescaya mereka berebut-rebut untuk mendapatkan tempat. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Seandainya manusia mengetahui keutamaan yang ada dalam azan dan saf pertama, kemudian untuk mendapatkan itu mereka harus mengundi, nescaya mereka akan mengundi untuk mendapatkannya.” (Hadis riwayat Bukhari).

Jadi, seharusnyalah kita sebagai umat Islam bermotivasi untuk berada di saf depan ketika melaksanakan solat berjemaah. Sekarang marilah kita secara jujur meninjau keadaan di masjid dan surau ketika ini yang menunjukkan betapa ramai di kalangan kita sudah tidak menghiraukan akan pesanan Nabi kita agar mengambil peluang untuk berada di saf depan.

Dalam keadaan dewasa ini, kita terpaksa akui bahawa kebanyakan daripada kita sudah tidak mementingkan kelebihan berada di saf depan ketika menunaikan solat. Apa yang penting, asalkan solat berjemaah saja?

Marilah kita ghairah untuk merebut tempat di saf pertama setiap kali mendirikan solat berjemaah. Tanamkan azam yang mantap supaya kita tidak ketinggalan saf itu. Untuk menjayakan visi itu maka hendaklah kita segera ke masjid untuk solat berjemaah.
Marilah kita hayati peringatan Nabi SAW ini: “Sebaik-baik saf orang lelaki ialah yang pertamanya dan yang paling buruk ialah yang terakhir, dan saf wanita yang terbaik ialah yang terakhirnya dan yang paling buruk ialah yang paling hadapan.” (Hadis riwayaat Abu Daud, At-Tirmidzi).

Ini ada satu kisah bagaimana Nabi SAW mendidik sahabat dalam mengerjakan solat berjemaah. Daripada Sa’ed Al-Khudry R.A. bahawa Rasulullah SAW mendapati ada di kalangan sahabatnya melambat-lambatkan diri mereka untuk menyertai saf pertama, lantas Baginda SAW mengingatkan mereka:

“Ke hadapanlah kamu dan sempurnakanlah (saf) bersama denganku, akan datang selepas kamu satu kaum yang berterusan ke belakang (meninggalkan saf yang pertama) sehingga Allah akhirnya memasukkannya ke dalam neraka.” (hadis riwayat Muslim). Perhatikan baik-baik akan sabda Nabi SAW itu. “….akan datang selepas kamu satu kaum yang berterusan meninggalkan saf yang pertama…”. Mungkin kitalah kaum yang dikatakan Nabi SAW itu? Fikir dan renungkanlah.

Dalam sebuah hadis lain Nabi SAW ada mengatakan: “Hadirilah solat Jumaat, dan hampirilah imam kerana sesungguhnya seorang lelaki itu akan berterusan menjauhkan sehingga ia akan dilambatkan daripada memasuki syurga walaupun ia memasukinya.” (Hadis riwayat Imam Ahmad).

Sewajarnya pesanan Nabi SAW itu menjadi pedoman buat kita supaya tidak membiarkan diri memilih saf belakang untuk bersolat jemaah di masjid. Jangan biarkan diri kita berasa selesa dan seronok bersolat di saf belakang, sebaliknya mulalah memilih dan segera mara ke saf paling depan dan hampir dengan imam.

Oleh itu, dapatlah dikatakan bahawa solat berjemaah yang berkualiti ialah solat seseorang yang di saf paling hadapan. Inilah golongan yang didoakan malaikat dan mendapat jaminan ganjaran pahala yang besar di sisi Allah

Posted in Amalan Pilihan | 1 Comment »

Pengasas Pondok Sungai Durian

Posted by epondok di Februari 27, 2022

Pondok  ini di diasaskan oleh al-Marhum Tuan Guru Haji Abdul Rahman bin Sulaiman. Beliau merupakan anak tempatan Kuala Krai yang dilahirkan di Kampung Guchil Lama pada tahun 1923.

 

Tuan Guru Haji Abdul Rahman adalah seorang tokoh ulama’. Beliau mendapat pendidikan asas dengan mempelajari al-Quran dari ayahnya sendiri iaitu Lebai Haji Sulaiman atau Pak Da Sulaiman. Di samping itu anak ketiga dari sembilan beradik ini memulakan persekolahan peringkat rendah di Sekolah Melayu Sultan Yahya Petra Kuala Krai, beliau terpilih untuk melanjutkan pelajaran di Sultan Idris Training Colleg (SITC), Tanjung Malim. Malangnya pemilihan ini tidak dipersetujui oleh ayahnya kerana mahukan beliau mendalami  ilmu agama di pondok-pondok.

 

 Lantaran itu beliau dihantar ke pondok Paloh Rawa, Machang dan berguru dengan Tuan Guru Haji Abdul Jalal  pada 05 Mac 1938. Di sana beliau mempelajari asas Bahasa Arab  dengan Tuan Guru Haji Husain Abdul Samad (Melaka). Selepas itu beliau berpindah ke Pondok Kerawang, Pulai Chondong di bawah Tuan Guru Haji Ahmad Haji Abdul Kadir. Kemudian menyambung pengajian ke Pondok Kemuning, Machang dengan Tuan Guru Haji Yusuf  Che Tengah. Seterusnya beliau berguru dengan Tuan Guru Haji Muhammad Nor Abdullah di Pondok Buk, Ketereh dan sesudah itu beliau merantau  ke Bukit Mertajam menyambung pengajian dengan Tuan Guru Haji Uthman Jalaluddin di Pondok Manabi’ al-Ulum, Penanti.

 

Pada tahun 1951 al- Marhum telah berangkat ke Tanah Suci Mekah untuk mendalami ilmu-ilmu agama. Di sana beliau belajar di Madrasah Dar al-Ulum al-Diniyyah dan di Masjid al-Haram selama tujuh tahun, di antara guru-guru beliau di Mekah ialah:

 

  1. Syeikh  Muhammad Daud Sulaiman al-Kelantani
  2. Syeikh  Muhammad Mukhtar Abdul Malik Kediri al-Anfunani al –Indunisi.
  3. Syeikh Abdul Qadir Abdul Muttalib al- Mandili al-Indunisi
  4. Syeikh  Mohammad Yasin Isa al-Fadani Makki
  5. Syeikh  Pak Da  Ail Fattani
  6. Syeikh  al-Saiyyid al-Amin al-Kutubi
  7. Syeikh  Hassan Mohamamd al-Masshat

8.   Syeikh  Hassan al-Yamani

9.   Syeikh  Alwi Maliki

10. Syeikh  al-‘Arabi

11. Syeikh   Mohammad Amin

12. Syeikh   Nur Saif

13. Syeikh   Zakaria Bilal.

 

 

Pada tahun 1958 al-Marhum telah kembali ke tanah air. Kemudian mendirikan Madrasah Muhammadiah Pondok Sungai Durian, sebagai satu usaha memberi pendidikan agama kepada masyarakat.

 

Semasa hayatnya beliau pernah dilantik menjadi anggota Ulama’ Majlis Agama Islam Kelantan.Beliau juga merupakan salah seorang ahli jawatankuasa pengasas penubuhan Yayasan pengajian Tinggi Islam Kelantan (YPTIK) Nilam Puri pada tahun 1965.

 

Di samping bertungkus lumus memberi pendidikan kepada anak bangsa, beliau juga aktif dalam berbagai bidang, misalnya dalam bidang politik  dan penulisan.Ini kerana beliau menyedari bahawa tenaga dan ilmu yang ada perlu dicurahkan sebanyak mungkin demi untuk kepentingan agama selaras dengan ilmu yang diperolehi.

 

Di antara hasil tulisan beliau ialah : “ Lawatan ke Timur Tengah” (1966), “ Jadual Dua Kalimah Syahadah” (1968) dan “ Jadual al-Kalam” (1975).

 

Tuan Haji Abdul Rahman berkebolehan mengajar beberapa bidang ilmu, antaranya ilmu fiqh, Tafsir, Hadith, Ilmu Usul (akidah),  ilmu Tasawwuf, Sirah Nabawiyyah, Nahu / Saraf, ilmu Balaghah, Usul Fiqh, Ulum al-Quran, Mustalah al-Hadith, Mantiq, ilmu Fara’id dan ilmu Falak, beliau juga seorang pemidato yang sangat petah berhujjah.

 

Al-Marhum Haji Abdul Rahman meninggal dunia pada malam ahad 20 februari 1988. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau.

Posted in Pondok Sungai Durian, Tokoh Ulama' | Leave a Comment »

Tahajud menguji ketaatan insan

Posted by epondok di Februari 26, 2022

Oleh Hashim Ahmad

TIDUR adalah amalan yang wajib kerana fitrah manusia tidak boleh berjaga sepanjang masa seperti malaikat. Tidur bertujuan memberi kerehatan kepada tubuh.

Tanpa rehat, tenaga manusia akan terus berkurangan dan cara berehat yang sebaiknya bukanlah berhenti bekerja, tetapi rehat bagi manusia adalah tidur dengan sempurna.

Dengan tidur tenaga yang digunakan ketika bekerja dapat dipulihkan kembali kerana pada waktu tidurlah segala anggota yang digunakan berhenti daripada tugasnya.

Pentingnya tidur dan rehat itu difirmankan Allah yang bermaksud: “Allahlah yang membelah Subuh dan yang menjadikan malam untuk rehat dan menjadikan matahari dan bulan untuk menjadi sumber segala perhitungan. Inilah ketentuan yang Maha Kuasa dan Yang Maha Mengetahui.” (Surah al-An’am ayat 96).

Walaupun dalam ayat di atas Allah menyatakan bahawa Ia menjadikan malam untuk berehat, sebagai hamba Allah tidak seharusnya menggunakan waktu malam itu untuk tidur semata-mata.

Kita seharusnya ingat tujuan Allah menjadikan manusia untuk beribadat kepada-Nya. Firman Allah yang bermaksud: “Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadat menyembah Ku.” (Surah Az-Dzaariyaat ayat 56)
Daripada ayat di atas dapatlah kita mengambil pengajaran bagaimana kita seharusnya menggunakan waktu malam. Jika siang kita menggunakan hampir seratus peratus masa untuk kerja dunia, maka pada waktu malam biarlah diperuntukkan sebahagiannya untuk berhubung dengan Allah.

Dan, cara yang sebaiknya untuk berhubungan dengan Allah adalah bangun mengerjakan tahajud di tengah malam.

Sesungguhnya, bangun di tengah malam untuk bertahajud memang banyak kelebihan dan besar pula pahalanya.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan dari malam itu hendaklah engkau bangun tahajud sebagai nafilah (ibadat tambahan) bagimu. Moga-moga Allah akan mengangkatmu ke tingkat yang terpuji.” (Surah al-Israk ayat 79)

Amalan mengerjakan tahajud adalah satu perkara yang amat berat untuk dilakukan. Keadaan tubuh yang letih dan lesu menyebabkan sesetengah orang itu tidur seperti mati.

Matanya akan menjadi bertambah mengantuk dan tubuhnya menjadi bertambah penat apabila mereka tidur

lewat kerana asyik menonton tayangan gambar larut malam di kaca televisyen.
Mengapakah Allah meletakkan waktu sembahyang tahajud itu di tengah malam ketika suasana sunyi sepi dan penuh kesejukan?

Jawapannya adalah kerana untuk menguji sejauh mana taatnya seseorang makhluk yang mengaku dirinya bertuhankan Allah s.w.t.

Manusia yang yakin dan patuh kepada Allah pastinya tidak akan merasa keberatan untuk bangun di tengah malam untuk bertahajud.

Sembahyang tahajud adalah perkara sunat saja, tetapi ia mempunyai nilai dan kedudukan tinggi sekali berbanding dengan sembahyang sunat lain.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Hendaklah kamu melazimkan (qiamulail) sembahyang malam. Sebab itu adalah amalan orang-orang soleh sebelum kamu. Ia menghampirkan kamu dengan Tuhan, menebus keburukan (kamu) dan mencegah dari melakukan dosa.” (Hadis Riwayat At-Tarmizi).

Tetapi sedikit sekali umat manusia yang mengaku dirinya beragama Islam yang sanggup dan bersedia melakukan sembahyang tahajud walaupun mereka sedar tingginya kedudukan dan nilai sembahyang itu.

Kenyataan membuktikan bahawa peminat bola sepak akan bangun jam 2 pagi untuk menonton siaran langsung Piala Dunia walaupun menontonnya berseorangan.

Itu adalah perasaan serta dorongan minat yang sentiasa berkobar-kobar. Pada hal ulangan tayangan perlawanan itu boleh ditonton semula pada hari kemudiannya.

Tidak bolehkah perbuatan sama kita lakukan untuk bersembahyang tahajud? Kita merasa keberatan untuk bangun melakukan sembahyang berkenaan kerana kita tidak dapat merasai betapa hebat kelazatannya.

Keheningan malam memberi kesempatan untuk kita merapatkan jurang perhubungan antara makhluk dengan Pencipta.

Apa yang dibaca seseorang ketika bersembahyang itu seolah-olah boleh didengar dan mendapat layanan daripada Allah.

Maka berhubunglah dengan Allah ketika peluang masih ada, umur masih muda dan pintu taubat masih terbuka

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Setiap perkataan dibicarakan lambang keperibadian

Posted by epondok di Februari 25, 2022

Oleh Nik Suhaila

ALLAH SWT menjadikan manusia amat istimewa dan berbeza dengan makhluk-Nya yang lain, maka manusialah yang menjadi hala suruhan bersopan santun sewaktu bermuamalah dengan sesiapa saja, termasuk kepada binatang dan alam.

Keistimewaannya paling utama ialah Allah menciptakan akal supaya manusia berfikir, maka fikirlah setiap satu matlamat dan akibat setiap perbuatan kita dan Dia juga hadiahkan buat sementara lidah untuk berbicara, maka sampaikanlah apa yang terasa dalam hati dan terlintas dalam fikiran manusia jika tidak menyakitkan hati sesiapa.

Keupayaan berbicara adalah nikmat Allah yang begitu besar kepada seseorang manusia meskipun hanya menggunakan dua tangan sebagai isyarat. Firman Allah SWT dalam Surah Ar-Rahman, ayat 1-4 bermaksud: “Allah Yang Maha Pemurah serta melimpah-limpah rahmat-Nya, Dialah yang mengajarkan Al-Quran, Dialah yang menciptakan manusia, Dialah yang membolehkan manusia memberi dan menerima pernyataan.”

Justeru, nikmat kebolehan berbicara ini wajib dihargai, disyukuri dan digunakan dengan sebaik-baiknya mengikut landasan syarak. Islam menggariskan tatacara terbaik untuk menggunakan lidah yang sentiasa merungkaikan kalimah agar setiap bicara mendapat keredaan Allah.

Berbicara sama ada secara langsung atau melalui tulisan, media cetak mahupun elektronik mempunyai tatacara dan adab tertentu. Setiap perbicaraan yang keluar daripada seseorang menunjukkan apa yang ada dalam fikirannya serta perangainya.
Berbicara sesuatu yang perlu dan menghindari perbicaraan yang tidak berfaedah adalah ibadah yang besar pahalanya. Sabda Rasulullah SAW mafhumnya: “Daripada kebaikan iman seseorang ialah meninggalkan apa yang tidak bermakna baginya.” (Hadith Riwayat at-Tirmidzi)

Perkara yang paling utama apabila kita berbicara ialah jangan sekali-kali kita berbicara sesuatu yang tidak berkaitan dengan diri kita kerana ia adalah bicara yang tidak perlu dan tidak akan menyelamatkan kita daripada dosa.
Malah mungkin kita dipertanggungjawabkan dengan dosa dan sumpah palsu yang dibuat kerana keseronokan mengata sesuatu yang tidak pasti tanpa bukti yang menyokong. Abu Darda menceritakan bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya orang pengutuk tidak boleh menjadi saksi dan memberi pertolongan (bagi saudara-saudaranya) pada Hari Kiamat.” (Riwayat Muslim)

Selain itu, ada juga bicara yang disampaikan kepada orang lain mengenai sesuatu sedangkan masanya belum tiba untuk menyentuh hal berkaitan. Ini perlu dielakkan kerana jika membabitkan bahan bukti mahkamah, ia boleh mengganggu perbicaraan sekiranya perbicaraan belum selesai atau menimbulkan hal yang memalukan.

Apabila seseorang yang tidak berilmu perlu berdebat dalam berbicara, jangan pula berdebat dengan orang yang sabar atau bijaksana, kerana orang yang sedemikian tidak akan menghiraukan orang yang tidak tahu bersopan santun dan mengaplikasikan pengetahuan dalam berbicara. Jangan pula berdebat dengan orang yang berperangai buruk kerana mereka akan menyakitkan hati saja.

Sewajarnya berdebatlah jika perlu dengan orang yang bijak dan santun, manakala kita juga perlu penuhkan dada dengan ilmu dan beradab sopan. Tutur kata seseorang dapat mengukur sejauh mana kemahiran, pengetahuan, buah fikiran, sopan santun, budi pekerti, pemarah, kasar, sombong atau kerendahan hatinya.

Oleh itu, setiap insan harus berbicara menurut pertimbangan akal waras. Sebagai manusia, kita mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat mengenai apa saja sama ada dalam percakapan, penulisan atau perdebatan.

Bagaimanapun, ia mestilah tidak menyakitkan hati kerana ia boleh merenggangkan hubungan silaturahim, menimbulkan rasa marah, rasa benci, permusuhan dan jika keterlaluan mungkin menimbulkan kekacauan dan perbalahan.

Oleh itu, bagi mengelak berlakunya sebarang perselisihan dan suasana tidak menyenangkan, kita perlu berwaspada dan berhati-hati sebelum berkata. Banyak ayat Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW memberi peringatan dan panduan mengenai adab dalam percakapan.

Justeru, jangan kita biarkan lidah yang diam di dalam mulut kita menjadi sebab untuk kita fasik dan kufur sedangkan dengan lidah jugalah kita boleh menghuni syurga-Nya yang mengalir sungai yang luhur dan tanah subur. Biar kita diuji dengan tohmahan jika bercakap benar tetapi jangan sekali-kali kita memfitnah diri sendiri dan orang lain hanya kerana cintakan dunia dan isinya yang fana.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Ciri Ulama’ Pewaris Nabi

Posted by epondok di Februari 24, 2022

 

Ibnu Abbas berkata : Ulama’ ialah orang-orang yang mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas setiap sesuatu. Dan tambahnya lagi : Orang alim tentang Allah Maha Penyayang ialah orang yang tidak melakukan syirik dengan Allah sesuatu pun serta dia menghalalkan apa yang dihalalkan dan mengharamkan apa yang diharamkan. Dia turut memelihara wasiatNya disamping yakin bahawa dia tetap akan menemuiNya dan Dia bakal menghitungkan amalannya.

 

Manakala Hasan al-Basri pula berkata : Orang alim ialah orang yang takutkan Allah yang Maha Pemurah semasa dia tidak dilihat orang lain atau semasa dia tidak melihat Allah atau tidak melihat azab Allah serta dia gemarkan perkara yang disukai Allah dan dia menolak perkara yang dimurkai Allah.

 

Ciri-ciri ulama’ pewaris nabi ialah yang pertama bersifat takutkan Allah sebagaimana Firman Allah dalam ayat 28 surah Fathir :

إنما يخشى الله من عباده العلمــؤا إن الله عزيز غفور

Maksudnya : ….. Sesungguhnya golongan yang paling takut kepada Allah di antara hamba-hambaNya ialah para ulama’. Sesungguhya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun

Ibnu Abbas berkata : Sesiapa yang takutkan Allah maka dia adalah orang alim

 

Ciri kedua ialah beramal dengan segala ilmunya sebagaimana sebuah hadis dalam Sunan Ad-Darimi : فَإِنَّمَا العَالِم مَنْ عَمِلَ بِمَا عَلِمَ

Maksudnya : Sesungguhnya orang alim itu adalah orang yang beramal dengan apa yang dia ketahui

Sayyidina Ali berkata : Wahai orang yang mempunyai ilmu! beramallah kamu dengannya kerana sesungguhnya orang yang alim itu adalah orang yang beramal dengan ilmu yang dia ketahui serta selaras antara ilmunya dengan amalannya

 

Ciri ketiga  ialah hatinya bersih daripada syirik dan maksiat serta tidak tamak kepada habuan dunia. Ibnu Umar berkata : Tiadalah seseorang lelaki itu dianggap alim sehinggalah dia tidak hasad dengki kepada orang yang lebih alim daripadanya dan tidak menghina orang yang kurang daripadanya serta tidak mencari dengan ilmunya upahan kebendaan

 

Ciri keempat ialah ulama’ ini meneruskan tugas nabi iaitu mengajar, mendidik, membersihkan hati umat daripada syirik dan maksiat serta berdakwah dan memerintah mengikut perundangan Allah sebagaimana kita fahami daripada ayat 2 surah al-Jumaah :

هو الذي بعث فى الأميئن  رسولا منهم يتلوا عليهم ءايــته ويزكيهم ويعلمهم الكتب والحكمة وإن كانوا من قبل لفى ضلــل مبين

Maksudnya : Dialah (Allah) yang telah mengutuskan kepada kalangan orang-orang arab yang buta huruf seorang rasul dari bangsa mereka sendiri yang membacakan ayat-ayat Allah yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya. Dan membersihkan mereka daripada aqidah yang sesat serta mengajarkan mereka kitab Allah dan hikmat pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syariat. Dan sesungguhnya mereka sebelum kedatangan nabi Muhammad s.a.w adalah dalam kesesatan yang nyata

 

Hadis diriwayatkan oleh imam Bukhari dan Muslim dalam sohih daripada Abdullah bin Umar telah berkata : Aku mendengar Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud : Sesungguhnya Allah tidak menarik ilmu dengan menariknya secara mengejut sebaliknya Allah akan menarik ilmu itu dengan mematikan para ulama’ sehingga tiba suatu masa yang tiada lagi ada ulama’ maka manusia akan memilih ketua-ketua mereka dari kalangan orang jahil lalu apabila mereka ditanya maka dikeluarkan fatwa yang sesat maka sesatlah mereka serta menyesatkan pula orang lain.

Firman Allah dalam ayat 79 surah Ali ‘Imran :

ما كان لبشر أن يؤتيه الله الكتــب والحكم والنبوة ثم يقول للناس كونوا عبادا لي من دون الله  ولكن كونوا ربــنيين بما كنتم تعلمون الكتــب وبما كنتم تدرسون

Maksudnya : Tidak sepatutnya seseorang yang Allah anugerahkan kepadanya Kitab, hikmah dan sifat kenabian lalu dia  menyeru kepada manusia : “ Kamu hendaklah menjadi penyembahku bukan penyembah Allah”. Sebaliknya dia mesti menyeru : “ Kamu hendaklah menjadi ulama’ rabbani yang benar-benar faham agama serta mengamalkan apa yang kamu sentiasa ajarkan tentang isi Kitab dan dengan apa yang kamu sentiasa mempelajarinya”.

 

Posted in Artikel Pilihan | 1 Comment »

Jauhi Sikap Suka Mencaci

Posted by epondok di Februari 23, 2022

Oleh Zulkiflee Bakar
zulkifli.bakar@utusan.com.my

Umat Islam harus menjaga tutur kata mereka dan sentiasa menjaga silaturrahim sesama Islam.

SATU hari, ketika Rasulullah SAW sedang berkumpul dengan para sahabatnya berhampiran Kaabah, seorang lelaki asing melintas di hadapan mereka. Setelah lelaki itu berlalu, Rasullullah berkata kepada para sahabatnya, “Dialah ahli syurga.” Rasullullah mengulanginya sebanyak tiga kali.

Berikutan kenyataan Rasulullah itu, timbul perasaan ingin tahu di kalangan para sahabat terutamanya Abdullah bin Umar yang memang dikenali sebagai seorang yang sangat kritikal.

Dia lalu bertanya kepada Rasulullah “Ya, Rasulullah, mengapa engkau katakan itu kepada kami, padahal selama ini kami tidak pernah mengenalinya sebagai sahabatmu? Sedangkan terhadap kami sendiri yang selalu mendampingimu engkau tidak pernah mengatakan hal itu?”

Rasulullah menjawab soalan Abdullah dengan penuh diplomasi dan bijak. Rasulullah berkata, ‘‘Jika engkau ingin tahu tentang apa yang aku katakan, silakan engkau tanyakan sendiri kepadanya.”

Abdullah yang mendengar jawapan Rasulullah itu semakin teruja untuk mengetahui apa istimewanya lelaki tersebut sehingga dia dikatakan sebagai ahli syurga.

Berikutan itu Abdullah berkunjung ke rumah lelaki berkenaan bagi mendapatkan jawapannya.

‘‘Semalam sewaktu engkau melintas di hadapan kami, Rasulullah mengatakan bahawa engkau seorang ahli syurga. Apa yang menjadi rahsiamu sehingga Rasulullah begitu memuliakanmu?” Lelaki itu tersenyum, kemudian menjawab, “Sesungguhnya aku tidak pernah melakukan apa-apa. Aku bahkan tidak memiliki kekayaan apa-apa. Baik ilmu mahupun harta yang mampu aku sedekahkan, apa yang aku miliki hanyalah kecintaan.

‘‘Kecintaan kepada Allah, kepada Rasulullah dan kepada sesama manusia. Dan setiap malam menjelang tidur, aku selalu berusaha menguatkan rasa cinta itu, sekali gus berusaha menghilangkan perasaan benci yang ada kepada sesiapa saja. Bahkan terhadap orang-orang kafir sekalipun.”

Memelihara perasaan benci dan marah, bererti menyimpan perasaan ego. Wujudnya perasaan benci, bererti adanya sikap untuk menyalahkan orang yang dibenci itu dan menyalahkan orang lain bererti menganggap diri kita sahaja yang betul.

Kita tidak harus lupa bahawa sikap itulah yang ditunjukkan oleh syaitan ketika penciptaan Nabi Adam a.s.

Kisah tersebut memberikan gambaran kepada kita, bahawa perasaan benci, bukan hanya mengakibatkan fitnah dan permusuhan, tetapi juga dapat menimbulkan penyakit batin yang sangat buruk, sekali gus menjauhkan diri dari syurga yang menjadi idaman setiap mukmin.

Oleh itu sikap yang paling bijak ialah berusaha untuk memperbaiki diri, sekali gus menjadi orang yang pemaaf. Sebab itulah yang selalu dilakukan Rasulullah SAW sepanjang perjalanan hidup baginda. Sedangkan hidup Nabi adalah contoh bagi setiap mukmin.

Tetapi malangnya di kalangan umat Islam termasuklah mereka yang bergelar pemimpin mengaku kelemahan sendiri seolah-olah adalah satu dosa. Oleh itu mereka lebih suka menuding jari kepada orang lain termasuklah mencerca sesama Islam apatah lagi kalau sesuatu kumpulan itu dilihat sebagai musuh politik mereka.

Rasulullah SAW dalam sebuah hadis bersabda, ‘‘Orang Islam yang suka mencerca itu ibarat memakan daging saudaranya sendiri.’’

Dalam riwayat lain, Nabi bersabda bahawa seorang muslim adalah yang menyelamatkan sesama muslim dari lidah dan tangannya.

perbuatan

Di zaman Nabi, pernah ada sekelompok orang yang digerakkan kaum munafik telah mencerca sahabat Rasul. Baginda Rasulullah lalu bersabda, ‘‘Jangan kalian mencerca para sahabatku. Seandainya kalian membelanjakan harta sebesar Gunung Uhud, nescaya amal kalian tidak akan dapat mengalahkan para sahabatku.”

Sebenarnya pokok pangkal perbuatan itu ialah bergantung kepada lidah. Biarpun dia seorang pemimpin, dia seharusnya menjaga lidah apabila bercakap dan bukannya mengikut hati serta perasaannya sahaja.

Diriwayatkan bahawa Lukman al-Hakim, pernah disuruh majikannya membeli daging yang baik untuk menjamu para tamunya. Lukman membeli hati dan lidah. Majikannya berasa marah dengan tindakan Lukman dan bertanya kepadanya kenapa dia membeli hati dan lidah.

‘‘Tidakkah ini daging yang baik seperti tuan pesan. Hati merupakan sumber amal perbuatan yang baik, sedang lidah dapat menjalin persaudaraan. Dari keduanya orang dapat membangun kebaikan,” jawab Lukman.

Pada satu hari majikannya menyuruh Lukman membeli daging yang busuk. Tujuan majikannya ialah untuk mengetahui apa pula jenis daging yang akan dibeli oleh Lukman.

Apabila pulang Lukman sekali lagi membeli hati dan lidah. Tindakan Lukman mengejutkan majikannya dan bertanya kenapa dia berbuat demikian sedangkan yang disuruh dibeli ialah daging yang busuk.

‘‘Benar tuan, ini daging terbusuk. Hati adalah daging yang paling baik dan sekali gus juga paling busuk. Ia sumber kedengkian dan rasa bongkak. Lidah merupakan ‘alat’ untuk melaknat, mencerca dan mencaci orang lain.”

Justeru adalah jelas lidah merupakan cermin hati seseorang. Bila hati bersih, lidah nescaya tidak akan bertutur kecuali yang baik. Sebaliknya bila hati ‘tercemar’, maka lidah akan mudah berkata-kata yang buruk.

Oleh itu dalam kita memelihara persaudaraan Islam maka kita perlulah menjaga lidah daripada mencaci dan memaki hamun sesama Islam. Tidak kisahlah apapun perbezaan antara kita namun persaudaraan Islam tetap harus menjadi teras utama.

Untuk menggambarkan dalamnya persaudaraan Islam (ukhuwah Islamiah), Allah SWT menggunakan kata ikhwah, yang bererti “saudara kandung’’ .

Ini berbeza dengan ikhwan, yang ertinya “berteman’’, sebagaimana digunakan Allah dalam surat Ali ‘Imran ayat 103, untuk menggambarkan bagaimana suku-suku Arab pada zaman jahiliah yang bermusuh-musuhan, kemudian bersatu setelah memeluk Islam. Jadi, setelah berada dalam satu agama, setiap Muslim adalah teman bagi yang lain. Dan setelah keIslaman itu meningkat, setiap Muslim seharusnya dapat memandang Muslim lain sebagai saudara kandungnya.

Ukhuwah Islamiah dapat diwujudkan seperti disabdakan Rasulullah SAW yang antara lain dalam bentuk bahawa seorang Muslim harus dapat mencintai Muslim lain sebagaimana ia mencintai diri sendiri; bahawa seorang Muslim harus dapat merasakan kesusahan yang dialami Muslim lain.

memaafkan

Di dalam al Quran, Allah SWT meminta agar seorang Muslim tidak memusuhi, mencaci, buruk sangka kepada Muslim lain. Apa yang perlu dipertingkatkan ialah saling memaafkan, mendoakan dan melindungi.

Oleh itu, sebagai umat Islam kita seharusnya memegang teguh kepada persaudaraan Islam seperti mana yang difirmankan oleh Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 103 yang bermaksud;

‘‘Berpegang teguh kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dulu), lalu Allah menyatukan antara hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (semasa kekufuran kamu semasa jahilian), lalu Allah selamatkan dari itu nerakat itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangannya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah.’’

Semoga di sepanjang jalan hidup di alam fana ini, kita akan sentiasa memelihara ukhuwah Islamiah biar siapapun kita.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Kepetingan ilmu bahagi pusaka

Posted by epondok di Februari 22, 2022

Oleh WAN JEMIZAN WAN DERAMAN

“RM471 juta harta pusaka masih gagal diagih.”  mungkin memeranjatkan kita semua. Tetapi itulah hakikatnya apabila kita gagal membuat perancangan pengurusan harta. Barangkali apa yang disebut di kalangan ahli-ahli pengurusan ada benarnya, “Apabila kita gagal merancang sebenarnya kita merancang untuk gagal.”

Situasi ini berlaku mungkin berpunca daripada kejahilan masyarakat tentang ilmu faraid kerana ada yang beranggapan bahawa hukum faraid dapat menyelesaikan pengurusan harta. Pembahagian harta pusaka tidak dapat diselesaikan semuanya menerusi sistem faraid.

Sistem faraid dapat menyelesaikan permasalahan pembahagian harta apabila harta berkenaan berada dalam keadaan nyata, tidak tersembunyi, tidak bertindih penama dan jelas pemilikannya atau dalam erti kata lain ia secara jelas termaktub dalam wasiat. Maka untuk memastikan senario di atas tidak berlaku, pemilik harta semasa hayatnya perlu membuat perancangan dengan mewariskan harta kekayaan mereka itu melalui wasiat atau amanah.

Sangat mulia

Usaha perlu digembleng untuk meningkatkan kesedaran umat Islam terhadap pentingnya menulis wasiat, pentingnya pengetahuan berkaitan faraid dan hibah supaya harta dapat diagihkan dengan sempurna dan tidak berlaku sebarang pertelingkahan sesama ahli keluarga akibat merebut harta pusaka.

Dalam Islam mengurus dan membelanjakan harta adalah antara amanah Allah. Ia adalah satu keperluan yang bertujuan mencapai kehidupan yang diberkati. Perspektif yang tepat terhadap harta akan memastikan seseorang itu mencapai bahagia di dunia dan di akhirat menerusi hartanya.

Harta mempunyai kedudukan yang sangat mulia di sisi Islam. Islam menggalakkan umatnya memiliki, menghasil dan menggunakan harta dengan baik dan bijaksana. Dari kaca mata Islam, harta merupakan alat untuk menjamin keselesaan hidup manusia di dunia dan di akhirat. Ia juga merupakan wasilah untuk mencapai takwa. Allah juga menganugerahkan harta kepada manusia untuk menguji manusia, sama ada bersyukur atau sebaliknya sebagaimana yang ditegaskan dalam surah al-Munafiqun ayat sembilan.

Oleh yang demikian, Islam memerintahkan supaya harta dan kehidupan diuruskan dengan baik dan bijaksana. Jika sebaliknya ia akan menjadi faktor keruntuhan manusia dan kemurkaan Allah. Sebagaimana dalam surah Saba’ ayat 15 hingga 16 dan surah an-Nisaa’ ayat 10.

Bagi mencapai matlamat di atas, harta yang dimiliki seharusnya menjadi wasilah mencapai takwa di sisi Allah dan bukannya membawa bencana khususnya selepas kematian. Di antara langkah persedian yang boleh diambil ialah meningkatkan pemahaman tentang Ilmu Faraid. Ilmu faraid itu ialah “Ilmu berkenaan kaedah-kaedah yang telah ditetapkan oleh hukum Syarak tentang pembahagian harta pusaka selepas kematian seseorang Islam dan habuan yang bakal diterima oleh waris-waris yang sah dan layak seperti anak, isteri, suami, ibu, bapa dan lain-lain. Hal ini dijelaskan secara terperinci di dalam al-Quran surah an-Nisaa’ ayat 11 hingga 13.

Di dalam Islam, terdapat dalil-dalil yang sangat jelas menggalakkan umatnya mempelajari, memahami dan menguasai ilmu faraid. Sabda Rasulullah SAW; “Belajarlah ilmu faraid dan ajarkanlah kepada orang lain kerana ia adalah separuh ilmu. Dia akan dilupakan dan dia akan menjadi perkara pertama dicabut dari umatku”. (Riwayat Ibnu Majah dari Abu Hurairah r.a.). Dan berkata Saidina Umar r.a.: “Pelajarilah ilmu as-Sunnah, ilmu Faraid dan ilmu Bahasa (Arab) sebagaimana kamu mempelajari al-Quran.”

Ibnu Majah meriwayatkan bahawa Abdullah bin Amr bin al-Ash ra. berkata bahwa Nabi saw. bersabda: “Ilmu itu ada tiga, selain yang tiga hanya bersifat tambahan iaitu ayat-ayat muhakkamah (yang jelas ketentuannya), sunnah Nabi SAW yang dilaksanakan dan ilmu faraid.”

Ibnu Mas’ud r.a. berkata bahawa Nabi SAW bersabda: “Pelajarilah ilmu faraid serta ajarkanlah kepada orang-orang, kerana aku adalah orang yang akan wafat, sedang ilmu itu akan diangkat dan fitnah akan tampak, sehingga dua orang yang bertengkar tentang pembahagian warisan, mereka berdua tidak menemukan seorang pun yang sanggup meleraikan (menyelesaikan perselisihan pembahagian hak waris) mereka.” (riwayat Imam Ahmad, at-Tirmidzi, dan al-Hakim)

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata bahwa Nabi SAW bersabda: “Pelajarilah ilmu faraid serta ajarkanlah kepada orang lain, kerana sesungguhnya, ilmu faraid setengahnya ilmu; ia akan dilupakan, dan ia ilmu pertama yang akan diangkat dari umatku.” (riwayat Ibnu Majah dan ad-Darquthni).

Dalam riwayat lain disebutkan, “Pelajarilah ilmu faraid, kerana ia termasuk bahagian dari agamamu dan setengah dari ilmu. Ilmu ini adalah yang pertama kali akan dicabut dari umatku.” (riwayat Ibnu Majah, al-Hakim dan Baihaqi)

Objektif kenapa Islam sangat menggalakkan umatnya mempelajari dan memahami ilmu faraid ialah agar dapat mengetahui cabang-cabang nasab, siapa ahli waris dan siapa bukan ahli waris, kadar atau bahagian yang akan diwarisi oleh setiap ahli waris dan kaedah atau cara mengira.

Ikatan keturunan

Dengan itu setiap waris yang layak dapat ditentukan haknya di samping dapat mengelakkan pertelingkahan atau perebutan harta di kalangan waris-waris. Dalam ilmu faraid Tarikah adalah subjek utama yang menjadi aspek perbahasan. Tarikah atau harta peninggalan bermaksud segala harta yang ditinggalkan si mati selepas kematiannya, sama ada aset tetap (seperti tanah, rumah, bangunan dan sebagainya) atau aset berubah (seperti mata wang, emas, perak dan sebagainya).

Apabila meninggalnya seseorang itu, harta yang ditinggalkan hendaklah ditunaikan segala kewajipan ke atasnya iaitu, pertama; diambil darinya untuk kos pengurusan jenazahnya. Kedua; untuk membayar hutang-hutangnya; (pertama) hutangnya dengan hamba-hamba Allah dan (kedua) hutangnya dengan Allah. Ketiga; dilaksanakan wasiatnya dengan syarat tidak melebihi 1/3 dari harta yang tinggal setelah ditolak hutang. Keempat; diagihkan kepada ahli-ahli warisnya.

Harta yang dibahagikan kepada ahli waris adalah baki harta yang ditinggalkan setelah ditolak segala pembiayaan pengurusan jenazah, hutang-hutang si mati, sama ada berbentuk agama (seperti zakat, nazar, dan lain-lain) atau hutang kepada manusia dan menunaikan wasiat yang dibenarkan oleh syarak.

Sebagaimana dalam bab ibadat seperti solat, puasa dan zakat yang mempunyai rukun-rukun tertentu, begitu juga dalam perwarisan, ia juga mempunyai rukun yang perlu dipenuhi, iaitu Muwarrith iaitu orang yang mewariskan harta (yakni si mati), Warith iaitu orang yang bakal mewarisi harta si mati dan Mauruth iaitu harta yang diwariskan oleh si mati.

Dalam perwarisan, untuk membolehkan seseorang itu layak mewarisi harta peninggalan si mati ia mestilah mempunyai ikatan keturunan atau kekeluargaan dengan si mati seperti ibu bapa, datuk, nenek, anak, cucu, cicit dan seterusnya. Syarat seterusnya seseorang itu hendaklah mempunyai ikatan perkahwinan iaitu ikatan suami dan isteri. Dan syarat yang lebih penting ialah perlu ada ikatan akidah. Jika seorang Muslim yang mati tidak mempunyai sebarang ahli waris melalui sebab-sebab di atas, maka harta peninggalannya akan menjadi hak kaum muslimin yakni dimasukkan ke dalam Baitulmal.

Seseorang itu boleh mewarisi harta daripada seseorang apabila Muwarrith iaitu orang yang mewariskan harta telah pasti matinya dan ketika itu Warith iaitu orang yang mewarisi masih hidup ketika kematian si mati. Seseorang waris itu layak mewarisi harta juga apabila tidak terdapat sebarang tegahan yang menghalang dari mewarisi harta si mati.

Di antara sebab yang menghalang seseorang daripada mewarisi harta si mati ialah perhambaan, di mana seorang hamba tidak akan mewarisi kerana hartanya akan berpindah kepada tuannya. Seseorang itu terhalang juga daripada mewarisi harta jika waris berkenaan membunuh orang yang mewariskan harta sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Orang yang membunuh tidak mewarisi (harta dari orang yang dibunuhnya)”. (riwayat Ibnu Majah dari Abu Hurairah r.a.).

Di samping itu, berbeza agama (yakni antara Islam dan kafir) juga adalah sebab yang menghalang dalam perwarisan, sabda Rasulullah SAW: Tidak mewarisi seorang Muslim dari seorang kafir dan tidak mewarisi seorang kafir dari seorang Muslim. (Riwayat Muslim dari Usamah bin Zaid r.a.)

Demikianlah, Allah telah menjadikan harta suatu yang penting dalam hidup manusia maka dengan sebab itulah Allah juga telah menetapkan peraturan mutlak yang mesti diikuti dalam menguruskan harta yang telah dikurniakan-Nya agar digunakan secara betul sesuai dengan ketentuan dan perintah-Nya.

Menerusi sistem faraid ini, Islam menetapkan pembahagian harta dilakukan secara adil. Sekiranya pembahagian faraid diabaikan, dikhuatiri akan berlaku memakan harta anak yatim, memakan harta saudara-mara atau memakan harta Baitulmal.

Perkara yang perlu difikirkan, walaupun telah disediakan mekanisme yang sangat baik dalam perwarisan ini namun masih banyak kes berlakunya pertelingkahan dan perselisihan di kalangan umat Islam kerana merebut harta pusaka dan lebih malang dan amat menyedihkan ada yang menyebut bahawa ALLAH tidak adil dalam menentukan bahagian faraid.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

CARA PULIH AKHLAK

Posted by epondok di Februari 21, 2022

CARA MEMPERBAIKI BUDI PEKERTI MANUSIA

      Imam Ghazali telah memberi beberapa pedoman dalam memperbaiki budi pekerti manusia iaitu sebagaimana berikut :

Pertama     : Dia mesti sentiasa berdekatan dengan seorang guru yang mengetahui sunguh-sungguh tentang kekurangan, kecelakaan dan keburukan yang ada pada dirinya dan yang dapat melihat kecacatan yang tersembunyi dalam jiwanya. Guru ini dengan kebijaksanaannya akan menerangkan kekurangan itu kepadamya di mana selepas itu guru tersebut akan memberi petunjuk yang mesti diikuti secarabersungguh. Begitu juga dengan latihan yang berkaitan dengan pembaikian itu dikerjakan benar-benar maka barulah hasilnya akan berkesan.

Kedua   : Dia mesti mencari seorang teman yang setia, jujur, mengetahui keadaan dirinya dan beragama untuk dijadikan pengawas yang sentiasa mengamti segala gerak- gerinya. Pengawas ini akan menegur apabila adanya sesuatu yang kurang baik berlaku. Apabila setiap teguran dipatuhi maka usahanya ke arah memperbaiki budi pekerti akan bertambah maju.

Ketiga        :  Seseorang dapat mempelajari kekurangan, kecelaan dan keburukan dirinya daripada musuhnya iaitu dengan mendengar kekurangan yang keluar daripada musuhnya yang membencinya kerana mata orang yang benci cepat melihat kecelaan yang ada. Manusia dapat banyak faedah daripada lidah musuhnya yang sedang marah dan sedang menghamburkan keburukan dirinya. Ia lebih baik daripada pujian seorang teman yang penipu dan suka menyembunyikan keburukan yang sebenarnya.

Keempat   : Melalui pergaulan juga mampu memperbaiki budi pekerti seseorang. Bergaul dengan ramai orang banyak faedahnya di mana seseorang dapat melihat apa yang baik dan kurang baik melaluinya. Dia mengambil sifat yang baik untuk diguna dan yang tidak baik untuk dijauhkan atau menggantikannya dengan yang baik. Sebaiknya seseorang yang mahu memperbaiki budi pekertinya mestilah menghitung dirinya sendiri dengan membersihkannya daripada segala kecacatan .

  MATLAMAT AHKLAK MULIA

     Imam Ghazali dalam ajarannya menjadikan Al-Quran sebagai ukuran dalam mengenali tanda budi pekerti yang baik dan ukuran yang digunakan untuk mengetahuinya. Al-Quran cukup lusa membentangkan dua jenis mausia yang baik dan jahat. Hampir keseluruhan firman Allah secara terus terang atau menyindir menyebutkan sifat orang mukmin yang soleh dan sifat orag kafir serta munafik yang merosakkan. Menurut Imam Ghazali kebahagiaan akhirat merupakan matlamat utama akhlak mulia.

     Melalui kitabnya Al-Mizan beliau menerangkan tujuan tersebut : ” Kebahagiaan yang sebenar ialah kebahagiaan akhirat. Kebahagiaan yag lain daripada itu adalah kebahagiann majazi yang terdiri daripada majizi yang keliru iaiatu kebahagiaan dunia yang tidak dapat membantu untuk sampai kebahagiaannya ke akhirat. Majizi yang sebenar ialah yang dapat membantu tujuan akhirat. Sekalipun ada sesuatu yang dapat menyampaikan manusia kepada kebajikan dan kebahagiaan tetapi kebahagiaan akhiratlah yang benar daripada segala tujuan itu”.

    Secara rambang Imam Ghazali seperti tidak mahu mengakui tujuan sosial dan tidak mahu menamakan tujuan itu suatu kebahagiaan. Sebenarnya beliau ingin lebih jauh daripada tujuan itu dalam meletakkan dasar-dasar utama untuk sesuatu amal kebajikan itu bukan hanya sehingga tercapainya masyarakat sosial tetapi beliau ingin mengembalikan segala tujuan itu kepada Allah dan kebahagiaan akhirat. Dengan ini maka segala kebajikan yang dilakukan bukan kerana ingin nama, pangkat dan sebagainya tetapi ditimbulkan atas rasa keikhlasan dan tanggungjawab terhadap Allah. Kepuasan hati yang disebutkan kebahagiaan daripada orang yang berbuat baik akan lebih dirasai daripada kepuasan yang dapat daripada pujian sesama manusia.

    Imam Ghazali turut menyatakan dalam kitabnya Al-Mizan bahawa orang yang menjauhi segala kejahatan dan maksiat kerana hanya memelihara kemuliaan diri tidak dinamakan afif iaitu sopan santun atau suci batinnya disebabkan dia tidak bermaksud berbuat demikian kerana Allah.

    Inilah ia fahaman Imam Ghazali tentang akhlak di mana kitab-kitabnya terus menjadi bahan rujukan utama sehingga hari ini untuk dijadikan pedoman dalam menghayatinya dan menangani permasalahan akhlak yang timbul . 

Rujukan

  1.  Abu Hamid Al-Ghazali ,Al-Munqiz min Al-Dholal, semakan Abdul Mun’im al-‘Ani, Al-Hikmah, 1994
  2.  Imam Al-Ghazali, Ihya’ Ulumuddin, Dar  al-Khari,cetakan kedua 1993

  3 .  Prof. Dr. Hj. Aboebakar Atjeh, Akhlak Dalam Islam, Pusataka Aman Press, cetakan kedua 1982

 

Posted in Klinik Agama | Leave a Comment »

Pengasas Pondok Lubuk Tapah

Posted by epondok di Februari 19, 2022

BIODATA TUAN GURU HAJI  ABDUL RAHMAN

 

Nama                  :        Haji Abdul Rahman B. Che Wan

                                       ( 1905M – 1989M )

                                       Allahyarham merupakan pengasas Pondok Lubuk  

                                       Tapah pada tahun 1931.

 

Tempat Lahir  :        Kampung Lubuk Tapah , Pasir

                                       Mas , Kelantan .

 

Pendidikan       :

 

Pada peringkat awal beliau menerima pendidikan daripada beberapa orang tuan guru di sekitar negeri Kelantan.Diantara guru-guru beliau ialah:

1-     Haji Muhammad Yusuf  Ahmad ( Tok Kenali )

2-     Haji Wan Ahmad (Tuk Padang Jelapang)

3-     Tuk Ajong Sumatera (anak murid Tok Kenali)

4-     Abang Kub Legor

5-     Haji As’ad Kangkong

 

Beliau menyambung pengajian di Mekah selama 4 tahun bermula dari tahun 1927.Diantara guru-guru beliau disana pula ialah :

1-     Syeikh Othman Jalaluddin Al-Kalantani

2-     Tuan Mukhtar Bogor

3-     Tuk Ahyad Bogor

4-     Tuk Shafie Kedah

5-     Pak Da Ail Fatani

6-     Syeikh Said Al-Yamani

7-     Syeikh Ali Al-Maliki

8-     Syeikh Abbas Al-Maliki

9-     Syeikh Muhammad Al-Fatani     

Keluarga :

Hasil perkahwinan dengan isterinya yang pertama, Hajjah Nik Zainab Bt. Haji Nik Mud, beliau telah dikurniakan tujuh orang anak iaitu :   

 
Anak-anak      :  1 – Hajjah Halimah

                          2 – Haji Abdullah

                          3 – Haji Ahmad

                          4 – Hajjah Aminah

                          5 – Hajjah Aisyah

                          6 – Hajjah Aidah

                          7 – Hajjah Aliyah

 

Manakala dengan isterinya yang kedua, Hajjah Zainab Bt. Mamat beliau dikurniakan tiga orang anak pula iaitu :

 

Anak-anak     :   1 – Haji Abdul Rahim

                          2   Haji Adnan

                          3 – Asyirah

 

Anak Murid :

Hasil bimbingan dan didikan dari beliau telah melahirkan pula ramai ulama pelapis yang kemudiannya mengajarkan ilmu agama dan memberi khidmat kepada masyarakat.Selain dari anaknya sendiri,Tuan Guru Haji Abdullah yang akhirnya menjadi pengganti kepada beliau, antara lain bekas anak-anak murid beliau ialah :

 

1- Haji Daud B. Haji Jambul,Bunut Susu – Bekas Ahli Jemaah Ulama Majlis

    Agama Islam Kelantan.

2- Haji Ibrahim B. Haji Mamat – Guru Pondok Kampung Perah,Slow Machang

3- Haji Yusuf B. Ibrahim – Guru Pondok Kampung Jabo

4- Haji Hussin B. Ibrahim – Bekas Wakil Rakyat DUN Bukit Tuku

5- Haji Hasan B. Haji Che Musa – Bekas Imam masjid Pengkalan Chepa

6- Haji Mohd Baki B. Osman – Bekas Pesuruhjaya PAS Pahang. 

 

Karangan :

Beliau sempat mengarang kitab dan risalah kecil yang telah beberapa kali diulang cetak dan dibaca serta dikuliahkan di merata tempat terutama oleh bekas-bekas anak murid beliau sendiri iaitulah :

 

1. Pedoman Sembahyang Berjemaah – kitab kecil yang membicarakan

    tentang kelebihan,kaifiat dan beberapa masalah yang berkaitan  

    dengan sembahyang berjemaah.

 

2. Kemanisan Sembahyang – terjemahan bacaan didalam sembahyang

 

3. Kelabaan Masa – himpunan wirid lepas sembahyang dan beberapa  

    doa- doa harian.

Posted in Pondok Lubuk Tapah, Tokoh Ulama' | Leave a Comment »

Sembunyi hikmat ibadat untuk lahirkan ketaatan

Posted by epondok di Februari 16, 2022

Oleh Yussamir Yusof

ALLAH tidak mensyariatkan sesuatu tanpa kebaikan dan manfaat kepada hamba-Nya, sebagaimana Dia tidak menciptakan sesuatu dengan main-main dan dengan cara yang batil. Firman Allah, “… (Iaitu) orang yang mengingati Allah sambil berdiri dan duduk dan dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): “Ya Tuhan kami, tiadalah engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari seksaan api neraka.” – (Ali-Imran: 191)

Namun di setiap kejadian dan ciptaannya tersembunyi pelbagai rahsia dan hikmah yang sukar untuk dilihat secara mata kasar dan akal logik. Hikmah di atas ciptaannya hanya dapat dilihat secara umum tanpa penjelasan secara terperinci.

Misalnya solat, manusia tidak akan mengetahui hikmah dan kebaikannya secara terperinci. Bermula dengan hukum solat, rukunnya dan sudah pasti setiap pergerakannya juga kita tidak akan dapat mengetahuinya dengan lebih lanjut. Malahan pelbagai persoalan dan pertanyaan yang akan timbul untuk memuaskan akal.

“Mengapa solat perlu lima kali sehari?” “Mengapa ada perbezaan rakaat untuk setiap jenis solat?” “Mengapa solat Subuh di awal pagi?”

Mengapa dan terus mengapa. Akal sentiasa mencari jawapan di atas perintah ibadat yang disyariatkan Allah. Namun semua jawapan yang diberi berdasarkan kefahaman akal, ia tidak akan memuaskan sampai bila-bila. Hikmah adalah rahsia Allah yang Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui.

Bagaimanapun, Allah menjelaskan hikmah itu secara umum di dalam al-Quran. Misalnya hikmah disyariatkan solat. Firman Allah “Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingat Allah (solat) adalah lebih besar (keutamaannya daripada ibadat yang lain).” – (Al-Ankabut: 45)

Hikmah disyariatkan membayar zakat. Firman Allah: “Ambillah zakat dari sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan menyucikan mereka.” (At-Taubah: 103)

Timbul persoalan, mengapa Allah menyembunyikan hikmah di atas ibadah yang disyariatkan-Nya. Ulama menjelaskan bahawa hikmah ini disembunyikan sebagai satu cubaan kepada hamba-Nya. Allah mencuba hamba-Nya dengan ibadah yang manusia tidak mengetahui sedikitpun mengenai hikmah pensyariatannya. Dengan cubaan ini, terlihatlah siapa yang benar-benar mengikuti perintah Allah dan ajaran Rasulullah, dan siapa pula yang derhaka dan menolaknya.

Andai kata hikmah ibadah tidak dirahsiakan dan akal dapat memahaminya dengan mudah, sudah pasti, manusia hanya akan beribadah kepada Allah jika sesuatu ibadah itu sesuai dengan rasional akalnya yang terbatas, dan akan mengingkari jika sesuatu ibadah itu tidak sesuai dengan akalnya. Dan ini akan membuatkan manusia menyembah akal bukannya Allah yang mencipta mereka.

Yusuf al-Qardhawi dalam bukunya al-Ibadah fi al-Islam menyatakan: “Bukanlah menjadi keharusan bahawa ibadah yang disyariatkan itu perlu ada manfaat dalam kehidupan manusia dari segi material. Malahan bukan juga sesuatu yang mesti sesuatu ibadah itu boleh difahami akal yang terbatas. Ibadah adalah ujian bagi ketaatan manusia kepada Tuhannya. Jadi, jika akal dapat mengetahui rahsia ibadah secara terperinci, maka ia tidaklah dapat memberi manfaat dan makna kepada manusia terhadap konsep ibadah dan taat kepada Tuhan.”

Cukuplah seseorang mukmin mengetahui hikmah ibadah itu secara umum, dan meyakini bahawa setiap ibadah itu adanya manfaat dan hikmah yang tersendiri. Allah tidak pernah memerlukan ibadah para hamba-Nya, tetapi Allah mencipta ibadah adalah semata-mata untuk kebaikan dan manfaat hamba-Nya.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Wahai hamba-Ku! Sekiranya orang yang terdahulu dan terkemudian dari kamu, manusia dan jin di kalangan kamu, sekiranya mereka semua mempunyai hati bertakwa umpama hati orang yang paling bertakwa di kalangan kamu, nescaya hal itu tidak menambahkan apa-apapun dalam kerajaan-Ku. Wahai hamba-Ku! Sekiranya orang yang terdahulu dan terkemudian dari kamu, manusia dan jin di kalangan kamu, sekiranya mereka semua mempunyai hati jahat umpama hati orang yang paling jahat di kalangan kamu, nescaya hal itu tidak mengurang cacatkan apa-apapun dalam kerajaan-Ku.” – (Hadis Imam Muslim)

Banyaknya rahsia alam semesta yang tidak mampu manusia khususnya saintis menemuinya, begitu banyak juga rahsia ibadah yang tidak terjangkau oleh akal. Hal ini sebenarnya membuatkan tumbuhnya rahsia rindu manusia kepada rahsia yang tersembunyi, dalam masa sama membuatkan manusia insaf dan sedar mengenai kelemahan dirinya sendiri.

Sudah ramai manusia tersesat kerana sengaja mencari rahsia hikmah dalam setiap perkara yang disyariatkan dalam ibadah. Apabila mereka tidak menemui rahsia itu kerana akal yang terbatas, mereka mula berasa ragu-ragu di atas kepercayaan yang ada dan kemudian menjadi sesat.

Al-Imam Ghazali dalam kitabnya Al-Munqidz min adh-Dhalal berkata, “Maka sesungguhnya suatu kebodohan sesiapa saja yang mencari hikmah yang ada di sana, atau orang yang mengatakan bahawa ibadah itu dilakukan secara kebetulan dan tidak ada rahsia Allah di dalamnya.”

Oleh sebab itu, perbuatan mencari hikmah dalam ibadah dengan secara terperinci sehingga dapat memuaskan akal adalah perbuatan yang salah dan keliru. Berpuas hatilah dengan keterangan umum yang dinyatakan oleh Allah dalam al-Quran, kemudian sama-sama kita katakan, “Kami dengar dan kami taat.”

Posted in Amalan Pilihan, Klinik Agama | Leave a Comment »