Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Imam al-Ashari perkukuh akidah ASWJ

Posted by epondok di November 3, 2018


Oleh Siti Haliza Yusop

SEBAGAI tokoh terkemuka Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ), Imam Abu Hasan al-Ashari atau nama sebenarnya Ali ibnu Isma’il ibnu Ishaq yang dilahirkan di Basrah pada 873, meninggalkan banyak sumbangan dalam konteks pengukuhan akidah umat Islam.

Meskipun begitu, masih ramai dalam kalangan umat Islam di seluruh dunia yang sebahagian besarnya ialah memegang ASWJ daripada aliran Asyairah yang diasaskannya, tidak memperoleh gambaran tepat mengenai kerangka pemikiran Imam al-Ashari.

Antara yang paling banyak diperkatakan ialah mengenai kaedah pendalilan digunakan ulama besar itu yang kononnya dikatakan menolak dalil aqli (bersumberkan akal) terutamanya ketika beliau mengarang kitab al-Ibanah ‘an Usul al-Diyanah.

Pensyarah Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Muhammad Rashidi Wahab, berkata terdapat pandangan Imam al-Ashari menolak dalil aqli pada penghujung usianya, iaitu pada peringkat ketiga kematangan pemikiran beliau.

Kematangan pemikiran

Muhammad Rashidi berkata, peringkat ketiga kematangan pemikiran al-Ashari itu dikatakan berlangsung ketika beliau meninggalkan pegangan Ibn Kullab untuk kembali kepada ASWJ seperti dakwaan ditimbulkan Ibnu Taimiyah.

“Mengikut dakwaan Ibnu Taimiyah itu, keadaan ini menyebabkan pengikut Asyairah sekarang ialah pengikut Ibn Kullab, iaitu guru kepada ulama berkenaan dan bukan al-Ashari, sekali gus ASWJ.

“Bagi Ibnu Taimiyah, pegangan Imam al-Ashari pada peringkat ketiga adalah sama dengan pegangan kumpulan mereka terutamanya apabila beliau menolak dalil aqli dan tidak melakukan takwilan terhadap nas sifat mutashabihat,” katanya dalam Seminar Kebangsaan Asyairah Ahli Sunnah Wal Jamaah 2.0, di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini.

Acara anjuran Pusat Akidah dan Keamanan Global (PAKeG), Fakulti Pengajian Islam (FPI), UKM itu sebahagian usaha menjernihkan pemikiran masyarakat, selain wadah bagi membina jaringan akademik dan hubungan strategik.

Dengan tema Mengukuhkan Pemikiran Masyarakat Melalui Khazanah Ilmuan Umat, seminar itu memberi fokus kepada perbincangan berkaitan tokoh dan khazanah yang ditinggalkannya sebagai panduan dalam menghadapi pelbagai isu melingkari umat Islam hari ini.

Menolak dakwaan Ibnu Taimiyah itu, Muhammad Rashidi berkata, tidak terdapat fakta ilmiah yang menunjukkan Imam al-Ashari melalui tiga peringkat pemikiran, sebaliknya menurut sejarawan dan tokoh Asyairah, tokoh penting berkenaan melalui dua peringkat pemikiran sahaja.

Peringkat pertama pemikiran al-Ashari katanya, berlangsung ketika beliau berada dalam Muktazilah sehingga usianya 40 tahun, manakala peringkat kedua pula berlaku apabila Imam al-Ashari kembali kepada ASWJ sehingga penghujung usianya

Bahas persoalan akidah

“Malah mengikut kajian, al-Ibanah ‘an Usul al-Diyanah ialah karya terawal Imam al-Ashari selepas beliau meninggalkan Muktazilah, manakala al-Luma’ fi al-Rad ‘ala Ahl al-Zaygh wa al-Bid’a pula menjadi karya terakhirnya.

“Semua fakta ini membuktikan Ibnu Taimiyah tidak mempunyai asas kukuh untuk menolak kaedah ulama Asyairah yang menerima dalil aqli sebagai antara pendalilan dalam akidah.

“Tambahan lagi, sama ada al-Ibanah ‘an Usul al-Diyanah atau al-Luma’ fi alRad ‘ala Ahl al-Zaygh wa al-Bid’a, kedua-duanya turut menggunakan hujah mantik dalam membahaskan persoalan akidah, sekali gus menunjukkan dakwaan Ibnu Taimiyah tidak sepatutnya timbul,” katanya.

Menurut Muhammad Rashidi, ketokohan Imam al-Ashari sebagai tokoh terkemuka sudah diakui umat Islam terutamanya dalam mempertahankan ASWJ daripada serangan aliran dan ideologi menyeleweng terutamanya Muktazilah

Hasil 300 karya

“Imam Al-Ashari membentuk kaedah pendalilan tersendiri dalam perbahasan akidah berdasarkan dalil naqli (bersumberkan al-Quran, sunnah dan ijmak) dengan mengemukakan dalil dan tafsiran tepat terhadap persoalan akidah serta menggunakan hujah mantik yang benar dari aspek al-surah dan al-maddah sebagai hujah balas dalam dalil aqli,” katanya.

Menurut Muhammad Rashidi, Imam al-Ashari sepanjang hayatnya menghasilkan sekitar 300 karya tetapi hanya lima daripadanya termasuk al-Ibanah ‘an Usul al-Diyanah yang terkenal dan sampai kepada umat Islam hari ini.

“Empat lagi kitab ialah Maqalat al-Islamiyyin wa Ikhtilaf al-Musallin, Risalah ila Ahl alThaghr, Risalah fi al-Istihsan al-Khawd fi ‘Ilm al-Kalam dan al-Luma’ fi al-Rad ‘ala Ahl al-Zaygh wa al-Bid’a.

“Imam al-Ashari meninggalkan murid yang ramai untuk meneruskan usaha dan legasi keilmuannya dalam menyebarkan ASWJ aliran Asyairah ke seluruh dunia.

“Usaha berterusan beliau ini menyebabkan pengaruh Muktazilah dan aliran bidaah lain-lain menjadi

Asyairah semakin lemah serta ASWJ kembali menguasai pemikiran umat Islam,” katanya.

INFO: Imam Abu Hasan al-Ashari

 

  • Dilahirkan pada tahun 260 Hijrah dan meninggal dunia di Baghdad pada 330 Hijrah (ada sesetengah pendapat menyebut beliau meninggal pada 320 Hijrah atau 324 Hijrah)
  • Ketika kecil, mempelajari ilmu agama daripada bapanya sendiri serta beberapa tokoh ulama ASWJ seperti Imam Zakariya ibnu Yahya al-Saji tetapi selepas bapa Imam al-Ashari meninggal dunia pada usia 10 tahun, ibunya berkahwin dengan seorang tokoh Muktazilah, al-Jubba’i.
  • Al-Jubba’i bertanggungjawab mengajar dan mempengaruhi pemikirannya untuk berpegang dengan aliran Muktazilah sebelum meninggalkannya sekitar usia 40 tahun untuk kembali kepada ASWJ.
  • Selepas meninggalkan Muktazilah, Imam al-Ashari mempergiatkan aktiviti dakwah akidah ASWJ dengan mengajar di masjid dan menghadiri majlis perdebatan Muktazilah.
  • Imam Al-Ashari diangkat dan diiktiraf sebagai mujaddid kurun ketiga Hijrah, malah diiktiraf sebagai tokoh dalam bidang hadis dan diberi pelbagai gelaran seperti Imam Ahl al-Sunnah, Imam Mutakallimin, penolong sunnah dan penegak agama.

 

Tinggalkan komen