Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Disember 2018

Indahkan dengan senyuman

Posted by epondok di Disember 29, 2018

Dr. Muhaya Muhamad

 

ORANG yang bersih dan tenang hatinya ialah orang yang beraura positif serta disenangi orang. Justeru, sifat-sifat positif yang memenuhi kerohanian seseorang itu akan terpancar gambaran kesucian di wajahnya. Senyuman sentiasa menjadi penghias buat dirinya. Orang yang beraura positif senang didekati, kerana aura positif yang terpancar pada wajahnya itu menjadi magnet menarik perhatian orang.

Segala imej dan reaksi yang terpancar pada wajah yang dihantar kepada seseorang, itulah aura yang ada dalam diri ini yang dinamakan sebagai `undang-undang getaran atau gelombang jiwa’.

Senyuman ialah imej dan reaksi yang pertama dan paling berkesan dalam memberikan aura positif kepada diri kita. Senyuman dari hati yang bersih dan ikhlas akan menyediakan corak kehidupan yang mengagungkan Allah SWT dengan patuh kepada perintah-Nya dan memuliakan manusia dengan menjaga silaturahim.

“Indahkan dirimu dengan senyuman, jagalah senyum, indahlah hidupmu.”

Konsep membina kehidupan positif melalui senyuman itu diperjelaskan seperti berikut. Pertama, untuk ‘S’ merujuk kepada ‘solat’. Perkara yang utama perlu difokuskan dalam hidup seorang Muslim ialah solat. Kualiti solat akan menentukan kualiti hidup seseorang Muslim.Solat mendisiplinkan kita menjaga masa. Maknanya orang menjaga solat ialah orang yang hidupnya terbiasa dengan menjaga masa. Mengambil wuduk sebelum solat, mendisiplinkan kita menjaga kebersihan fizikal dan hati. Membaca niat akan mendidik hati kita supaya lurus dan betul termasuk hal-hal keduniaan. Percayalah, segala apa yang diniatkan, kita akan bertanggungjawab ke atas segala yang dilakukan.

Ketika bersolat masing-masing fokus ke tempat sujud dan ini akan mendisiplinkan kita agar sentiasa fokus dalam melaksanakan sesuatu terutama untuk menjadi orang berjaya. Rukun dalam solat seperti rukuk dan iktidal mendisiplinkan kita mengikut peraturan selain mendidik seseorang itu menjadi orang yang tenang, penuh tawaduk dan penuh kehambaan. Ketika mengakhiri solat dengan memberi salam ke kanan dan kiri, mendidik kita agar menjaga hubungan silaturahim sesama manusia.

Selesai solat kita beristighfar. Ini akan menjadi diri kita menjadi orang yang sentiasa bermuhasabah, mengakui banyak membuat kesilapan dalam hidup dan sentiasa memohon ampun kepada Yang Maha Berkuasa. Secara tersiratnya orang yang bersolat akan sentiasa merendah diri dan menghormati orang yang berjasa kepadanya. Maknanya, jika seorang pekerja, kita adalah pekerja yang menghormati ketua. Kalau seorang anak, kita adalah anak yang mengenang jasa. Jika seorang isteri kita akan menyanjung suami sebagai seorang imam.

Akronim `E’ merujuk ‘empati’. Empati maknanya kita memahami tentang orang lain dan ini akan membuatkan hubungan sesama manusia sentiasa terbaik. Dengan adanya sifat empati kita memahami perasaan orang lain dan boleh merasai apa yang mereka rasa. Sekiranya mereka sedih, kecewa dan susah, kita faham akan kesedihan, kekecewaan dan kesusahannya. Seperkara lagi melihat dengan ‘mata hati’, yakni dengan jiwa dan roh yang bersih akan memberikan impak positif. Sebab itu kita mesti menjaga roh supaya ia kuat. Jika roh kuat ertinya jiwa kita kuat. Jiwa yang kuat hanya datang daripada jiwa yang bahagia, sihat dan tenang. Ingatlah, bahawa roh boleh mengawal tenaga kita, sebab itulah jiwa serta roh perlu dijaga dengan baik dan dibangunkan dengan santapan kerohanian. Tiga cara utama menjaga jiwa dan roh supaya sentiasa ‘celik mata hati’ sekali gus dapat membezakan perkara yang baik dan buruk selain dapat melaksanakan suruhan Allah serta meninggalkan larangan-Nya. Pertama, sentiasa menggunakan lidah untuk berzikir, akal untuk berfikir tentang kebesaran Allah. Badan untuk beramal dan hati untuk yakin mengingati Allah. Kedua, buang semua penyakit hati dan sifat negatif yang lebih dahulukan cinta dunia. Gantikan rasa cinta hanya kepada Allah dan Rasul-Nya. Ketiga, kekalkan ‘mata hati’ positif dengan sentiasa bersyukur dan niat sentiasa hendak memberikan kebaikan.

Akronim `N’ merujuk nutrisi, iaitu sihat. Sihat untuk Allah. Oleh itu penting untuk tingkatkan kesedaran dengan memakan makanan yang sihat sahaja. Akronim `Y’ merujuk kepada yakin. Orang yang paling berani ialah orang yang paling yakin. Tingkatkan keyakinan diri kita dan jangan sesekali menjatuhkannya. Selain itu antara perkara paling kejam yang kita buat kepada seseorang ialah menghilangkan keyakinan dirinya dengan mengutuk atau membuatkan dirinya menjadi tidak berguna.

Akronim `U’ ialah ubudiyah merujuk kepada kehambaan. Apa-apa yang kita buat hanyalah untuk Allah dan menerima dengan reda segala ketentuan-Nya tanpa menyalahkan sesiapa. Akronim `M’ merujuk kepada muhasabah diri. Setelah kita menjaga nilai dan kualiti solat, fahami orang dengan empati, menjaga kesihatan, membina keyakinan diri, ubudiyah kepada Allah dan akhirnya bermuhasabah diri serta perbanyakkan bertaubat. Pastinya kita akan menjadi seorang insan yang beraura positif.

Lima peringkat kehidupan yang perlu dijaga bagi membina aura positif. Pertama, menjaga ketrampilan diri dari segi fizikal dengan menjaga kesihatan. Kedua, menjaga kecerdasan minda, dengan banyak memanfaatkan masa untuk mencari ilmu. Ketiga, menjaga hubungan dengan Allah dengan melakukan segala suruhan-Nya dan tinggalkan larangan-Nya. Keempat, menjaga hubungan dan hormat dengan semua makhluk. Sentiasa fikirkan apakah manfaat yang boleh diberikan kepada orang, bukannya manfaat yang boleh kita terima daripada sesiapa. Kelima, menjaga kewangan. Kukuhkan kedudukan kewangan kita. Apabila kewangan mantap, kita boleh membuat lebih banyak kebaikan kepada orang lain serta membahagiakan orang lain, contohnya bersedekah. Untuk disenangi, buatlah dua perkara ini, baik hati dan murah hati. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak.”

 

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Islam tangani isu Transgender

Posted by epondok di Disember 27, 2018

PONDAN, mak nyah atau transgender bukanlah golongan yang wujud kesan daripada persekitaran moden, demokrasi dan kebebasan hak asasi sebaliknya sudah lahir sejak zaman Nabi Lut AS.

Transgender boleh dipecahkan kepada tiga kategori dengan setiap satu daripadanya harus didekati dengan pendekatan yang berbeza. Di dalam Islam, transgender diasingkan mengikut beberapa istilah seperti yang disebut dalam beberapa hadis Rasulullah SAW. Istilah pertama yang digunakan ialah ‘al-Mutashabbih’. Dari Ibnu Abbas, dia berkata; Rasulullah SAW melaknat lelaki yang menyerupai perempuan dan perempuan yang menyerupai lelaki. (HR Bukhari)

Perkataan al-Mutashabbih berasal daripada perkataan tashabbuh yang bermaksud menyerupai sesuatu. Justeru istilah al-Mutashabbih digunakan bagi kedua-dua jantina lelaki dan perempuan yang menyerupai jantina yang berlawanan dengannya.

Menurut Imam al-Nawawi, hadis ini ditujukan kepada lelaki yang sengaja menyerupai perempuan dan dia memilih dengan sifatnya itu (al-Mutashabbihin), dan juga perempuan yang sengaja menyerupai lelaki (al-Mutashabbihat).

Istilah kedua adalah al-Mukhannath, dari Ibnu Abbas; Rasulullah SAW melaknat lelaki yang menyerupai perempuan daripada kalangan lelaki dan melaknat orang yang menyerupai lelaki daripada kalangan perempuan, lalu Nabi SAW mengatakan; keluarkanlah (usir) mereka dari rumah kamu, maka Rasulullah SAW mengeluarkan Fulan, dan Umar mengeluarkan Fulan. (HR Bukhari)

Imam al-Nawawi menyatakan, “mukhannath adalah lelaki yang dalam pergerakan, penampilan dan bahasanya membawa perwatakan wanita. Mereka ini terbahagi kepada dua kelompok iaitu pertama, seseorang yang mempunyai ciri kewanitaan secara semula jadi, iaitu tidak mengada-adakan sifat itu dengan sendirinya.

Bagi kelompok ini, tiada ada kesalahan, dosa dan jangan malu dengan apa yang dijadikan ke atasnya selagi tidak melakukan perbuatan haram misalnya terbabit dengan pelacuran.

Kelompok kedua adalah berperwatakan seperti wanita dengan tujuan tidak bermoral, dan dia dikira melakukan dosa dan patut dipersalahkan. Menurut Ibn Hajar al-Asqalani, mukhannath yang dimaksudkan dalam hadis itu adalah golongan lelaki yang meniru perwatakan, pakaian, perbuatan dan gaya percakapan wanita dengan sengaja dan berkecenderungan pada perlakuan erotik juga seksual. Golongan inilah yang dikutuk oleh Rasulullah SAW dan termasuk dalam golongan yang dilaknat.

Istilah ketiga disebut sebagai al-Mutarajjilat yang merujuk kepada kaum wanita yang menyerupai lelaki dari segi pakaian, percakapan dan perbuatan, berlawanan dengan sikap al-Mukhannath (lelaki menyerupai wanita).

Menyantuni dengan pendekatan berbeza

Rasulullah SAW menggunakan dua pendekatan berbeza dalam menghadapi golongan transgender ini. Daripada Aisyah RA, beliau menceritakan bahawa; “seorang mukhannath masuk menemui isteri-isteri Rasulullah SAW dan mereka menganggapnya sebagai Ghairu Ulil Irbah (orang yang tidak punya nafsu kepada wanita). Suatu ketika Rasulullah SAW masuk menemui isteri-isteri Baginda dan mukhannath itu ada bersama mereka.

Mukhannath itu sedang menceritakan mengenai sifat wanita (Taif) dengan berkata; ‘Wanita (Taif, anak-anak perempuan Ghaylan) itu jika menghadap ke depan maka ia menghadap dengan empat (lipatan), dan jika menghadap ke belakang maka ia menghadap dengan lapan (lipatan)’.

Mendengar perbualan itu Rasulullah SAW bersabda; ‘ketahuilah, aku melihat orang ini mengetahui apa yang ada pada wanita, maka jangan benarkan dia masuk bersama kalian.’ Mereka pun (isteri-isteri Nabi) akhirnya memakai hijab.” (HR Muslim dan Ahmad)

Menurut riwayat Abu Daud, mukhannath ini datang kepada isteri Rasulullah SAW untuk meminta makanan dan permintaan mereka itu dipenuhi. Malah mereka dilayan secara baik kerana ada hak untuk ditunaikan dalam membantu sesama manusia.

Ini diriwayatkan oleh al-Auza’i yang menyebutkan: “Wahai Rasululah SAW, sekiranya engkau usir dia sesungguhnya dia akan mati kelaparan. Maka Rasulullah SAW membenarkan mukhannath ini datang setiap jumaat dua kali, dia hanya datang meminta (makanan) dan kemudian pulang.” (HR Riwayat Abu Daud)

Kisah ini menunjukkan pendekatan pertama yang digunakan Rasulullah SAW terhadap golongan ini adalah dengan penuh hikmah dan rasional. Makanan adalah hak asas dalam kehidupan. Golongan mukhannath berhak mendapatkan hak itu justeru Rasulullah SAW memberi kebenaran untuk mereka datang pada hari yang ditetapkan.

Bagaimanapun di dalam hadis yang sama juga, Rasulullah SAW mengusir mukhannath. Cara ini boleh difahami sebagai bentuk kekerasan namun ada sebab dan alasan yang munasabah atas tindakan yang diambil. Menurut al-Imam al-Syawkani, Rasulullah SAW mengambil tindakan yang keras untuk mengusir mukhannath daripada rumah isteri baginda kerana tiga sebab utama.

Ada nafsu terhadap wanita

Pertama, sangkaan bahawa mukhannath tidak mempunyai nafsu terhadap wanita adalah salah. Ini boleh dilihat melalui perbualan mereka yang menceritakan mengenai anak Ghaylan (wanita Taif) seperti dinyatakan dalam hadis di atas.

Kedua, penceritaan mukhannath yang mengandungi sifat dan deskripsi mengenai wanita mendedahkan perkara yang tidak wajar kepada golongan berlawanan jantina. Walaupun mukhannath berperwatakan wanita, tetapi mereka adalah lelaki yang masih perlu menjaga batasan pergaulan. Oleh itu, Rasulullah SAW mengusir mereka daripada rumah isteri-isteri baginda.

Ketiga, mukhannath mempunyai ruang yang terbuka untuk melihat tubuh dan aurat wanita sekiranya mereka diberi peluang untuk duduk bersama-sama wanita. Bagi mengelakkan perkara yang meragui, tindakan yang diambil oleh Rasulullah SAW adalah dengan mengusir mereka.

Ini menunjukkan bahawa mukhannath juga mempunyai nafsu dan syahwat yang sama seperti lelaki biarpun mereka menyerupai wanita dalam pelbagai cara. Arahan dan tindakan mengusir mukhannath bukan atas dasar kebencian, tetapi untuk memelihara kehormatan wanita terutama isteri-isteri baginda yang berhadapan dengan golongan mukhannath.

Hadis itu tidak wajar digunakan sebagai alasan untuk mukhannath bergaul bebas dengan kaum wanita, kerana masih ada batas yang perlu dijaga di antara mukhannath dan wanita. Walaupun tindakan yang diambil oleh Rasulullah SAW untuk mengusir mereka dianggap keras, baginda dalam masa yang sama melarang untuk berlaku kejam terhadap mereka ataupun membunuh golongan ini.

Tiada hukuman khusus yang dilaksanakan buat golongan ini pada zaman Rasulullah SAW, tetapi pendekatan baginda wajar dijadikan contoh dan panduan terutama kepada mereka yang mempunyai ruang dan peluang untuk berubah ke arah kebaikan.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Pengajian pondok bentuk identiti Muslim, budaya Melayu

Posted by epondok di Disember 25, 2018

PENGARUH sistem pengajian tradisional pondok yang dipercayai bertapak di Tanah Melayu sekitar abad ke-18 dan ke-19 antara penyumbang kepada pembentukan identiti Muslim di negara ini.

Sifat berpegang kuat kepada prinsip agama, menghormati institusi Raja Melayu dan budaya khidmat kepada komuniti antara perkara yang ditekankan dalam pengajian warisan Islam ini, selari dengan penekanan adab dalam kehidupan orang Melayu.

Ketua Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM), Dr Luqman Abdullah, berkata budaya pengajian pondok yang antaranya memuliakan guru, memberi kesan langsung kepada identiti masyarakat Melayu Islam hari ini.

“Seorang tuan guru sangat penting dalam pengajian pondok kerana ketokohannya dalam bidang ilmu Islam dan juga daya kepemimpinannya.

“Peranan tuan guru dalam komuniti pondok sangat dihormati, bahkan kelangsungan sesebuah pusat pengajian pondok bergantung kepada sejauh mana kemampuan menyediakan generasi pelapis kepada tuan guru yang ada.

Bentuk sikap orang Melayu

Dr Luqman Abdullah membentangkan Perkembangan Pendidikan Islam Tradisional di Malaysia Dalam Membentuk Identiti Melayu-Islam. – Foto Supian Ahmad

“Komuniti pondok ini juga membentuk sifat orang Melayu yang menekankan muafakat dalam kehidupan bermasyarakat dan ia dapat dilihat daripada amalan suka mengadakan jamuan, mengadakan aktiviti agama secara kolektif mengikut peristiwa kebesaran agama, memuliakan ulama dan semangat juang mempertahankan agama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama bersempena Seminar Hukum Islam Semasa Ke-9 Peringkat Kebangsaan 2019 di Akademi Pengajian Islam, UM dengan pembentangan bertajuk ‘Perkembangan Pendidikan Islam Tradisional di Malaysia Dalam Membentuk Identiti Melayu-Islam’.

Luqman berkata, sistem pendidikan ini juga amat penting bagi menentukan survival ilmu agama dalam dunia moden yang serba mencabar kini.

“Sama ada belajar di universiti, sekolah atau pondok, ilmu pengajian Islam bersandarkan kepada kitab turath (hasil tradisi ilmu) tidak boleh ditinggalkan.

“Ia yang menentukan sama ada ilmu agama boleh terus bertahan dan bahagian ini ditangani dengan baik oleh sistem pendidikan pondok,” katanya.

Beliau berkata, pengajian tradisional turath penting dalam membentuk jati diri khususnya dalam kalangan pelajar agama bagi mempertahankan legasi kesusasteraan Islam yang lahir dalam sejarah perkembangan ilmunya.

Antara peserta Seminar Hukum Islam Semasa IX di Balai Ilmu Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur. – Foto Supian Ahmad

“Orang yang berminat mendalami ilmu Islam akan mencari pengajian pondok kerana ia mengajar kitab turath bagi mengekalkan identiti pengajian Islam asal.

“Termasuklah di universiti, bagi yang membuat tesis masih menjadikan kitab turath sebagai sumber rujuk,” katanya.

Luqman berkata, kurikulum pengajian di pondok bersifat menadah kitab dari kulit ke kulit.

“Kitab yang digunakan kombinasi dari kitab jawi dan Arab. Sebagai contoh dalam ilmu tauhid, kitab dalam bahasa Arab yang digunakan seperti Hasyiah al-Syarqawi, Hasyiah al-Bajuri dan syarah kepada Matan Jauharah.

Ilmu tasawuf antara bidang yang diberikan penekanan dalam pengajian pondok. Gambar hiasan. – Foto Khairul Azhar Ahmad

“Satu perkara yang ditekankan dalam pengajian pondok ialah ilmu tasawuf dan biasanya kitab yang digunakan seperti Minhaj al-Abidin dan Syarah al-Hikam diulang baca beberapa kali,” katanya.

Katanya, pendidikan tasawuf ini dapat dilihat apabila pengajar menekankan aspek kerohanian, termasuk melazimi solat jemaah dan bacaan wirid selepas solat.

Luqman berkata, walaupun pendidikan tradisi Islam ini tidak lagi berkembang sebagaimana satu masa dahulu, namun ia dilihat masih berupaya untuk bertahan.

“Secara realitinya, pondok bukan lagi sistem pendidikan aliran perdana walaupun ada pondok yang masih kekal dan wujud institusi baharu ditubuhkan di merata tempat.

“Bahkan, pondok baharu ini kebanyakannya bersifat tambahan kepada pengajian tahfiz dan bukan produk tradisional.

Jumlah pondok di Kelantan semakin menurun hingga kini tinggal sekitar 40 hingga 50 pondok sahaja. Gambar hiasan. – Foto Nik Abdullah Nik Omar

“Jika dilihat situasi di Kelantan, sebelum merdeka terdapat lebih 150 pondok yang tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan, kini angkanya semakin menurun kerana yang tinggal cuma dalam 40 hingga 50 pondok,” katanya.

Bagaimanapun, Luqman berkata, kelangsungan pengajian ini perlu juga dilihat dari segi pengajian bersifat turath dan tradisi.

“Ia mungkin bukan lagi dalam bentuk pondok sebagaimana yang ada tetapi boleh dibuat dalam bentuk pengajian menggunakan sistem moden.

“Dalam bentuk begini, tuan guru bukan lagi menerajui pondok sebagai sebuah institusi tetapi memberikan sumbangan keilmuan turath yang dimiliki kepada sistem persekolahan atau universiti yang moden,” katanya.

Katanya, trend ini semakin berkembang apabila institusi pondok menjadi tumpuan pelajar sekolah dan universiti yang ingin menimba ilmu agama ketika cuti sekolah atau menjadikannya pengajian asas sambilan.

Ia bererti, pengajian pondok masih mampu menyumbang dan dapat melengkapi sistem pendidikan moden sedia ada.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Sedekah Simpanan Akhirat

Posted by epondok di Disember 23, 2018

USTAZ ABDUL RAZAK ABDUL TALIB

 

WAHAI orang-orang yang beriman! Sesungguhnya banyak di antara pendita-pendita (Yahudi) dan ahli-ahli agama (Nasrani) memakan harta orang ramai dengan cara yang salah, dan mereka menghalangi (manusia) dari jalan ALLAH (agama Islam). Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan ALLAH, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Surah At-Taubah : 34)

Di dalam ayat ini terkandung peringatan buat orang-orang beriman, agar tidak menyerupai perbuatan golongan ahli kitab dan tidak hanya semata-mata mengumpul dan menyimpan kekayaan, namun enggan mengeluarkan zakat. ALLAH SWT telah menyediakan azab yang berat bagi mereka yang melakukannya.

Sabda Nabi yang bermaksud, “Apabila kamu memiliki 200 dirham dan telah cukup haul, diwajibkan zakatnya sebanyak 5 dirham. Dan tidak diwajibkan mengeluarkan zakat kecuali mempunyai 20 dinar.Apabila kamu mempunyai 20 dinar dan telah cukup haulnya diwajibkan zakat sebanyak setengah dinar. Demikian juga kadarnya jika nilainya bertambah. Dan tidak diwajibkan zakat bagi sesuatu harta kecuali genap setahun. (Riwayat Abu Daud)

Nabi SAW telah memberi ketetapan kepada kita jumlah simpanan yang perlu dikeluarkan zakat dan berapa kadar yang diwajibkan. Berdasarkan hadis ini, maka ulama menentukan nisab bagi zakat simpanan dan adalah mengikut nilai 85 gram emas. Baginda SAW menetapkan setiap 20 dinar, zakatnya sebanyak setengah dinar. 1 dinar beratnya bersamaan 4.25 gram. Dan setengah dinar daripada 20 dinar kadarnya adalah menyamai 2.5%.

Justeru sekiranya seseorang yang mempunyai simpanan yang telah cukup ataupun melebihi nisab, maka wajib ditunaikan zakatnya setelah cukup setahun haulnya.

Andai kita masih mahu berkira-kira untuk memberi apa yg diperintahkan ALLAH dan RasulNya, renunglah firman ALLAH SWT;

(Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): “Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu. (Surah At-Taubah : 35).

Dalam ayat lain ada disebut;

Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan ALLAH kepada mereka dari kemurahanNya – menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalongkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak. Dan bagi ALLAH jualah hak milik segala warisan (isi) langit dan bumi. Dan (ingatlah), ALLAH Maha Mengetahui dengan mendalam akan segala yang kamu kerjakan. (Surah Ali-Imran:180).

Zakat Wang Simpanan

Seorang sahabat bertanya berkenaan zakat wang simpanan. Jika selama 10 tahun menyimpan wang di dalam saham amanah, namun belum pernah dikeluarkan zakat ke atasnya. Adakah wajib dikeluarkan zakat? Bagaimana pula zakat wang simpanannya yang telah lepas. Persoalan seperti ini sebenarnya banyak berlegar di dalam masyarakat.

Mereka mempunyai simpanan wang namun setelah berlalu tempoh yang lama, baru disemak baki akaun yang ada dan melihat jumlah yang terkumpul sudah melebihi nisab. Kadang kala jumlahnya telah mencecah puluhan dan ratusan ribu. Kemudian barulah terfikir tentang zakat dan yang menjadi persoalan mereka biasanya adalah bagaimana cara untuk mereka tunaikan zakat.

Bagi simpanan yang telah berlalu haulnya beberapa tahun, maka pemilik harta perlu menyemak semula baki simpanannya pada setiap tahun haul. Baki tersebut boleh disemak pada penyata bank atau buku bank. Sekiranya jumlah simpanan pada setiap tahun haul ketika itu melebihi nisab, maka wajib keluarkan zakat untuk tahun tersebut. Pemilik harta juga perlu menyemak nisab zakat pada tahun-tahun yang telah lepas kerana kadar nisab setiap tahun berubah mengikut nilai purata 85 gram emas.

Sebagai panduan, zakat dikenakan sebanyak 2.5% daripada simpanan yang telah mencukupi nisab. Pemilik harta perlu membuat taksiran satu persatu wang simpanan yang dimiliki mengikut tahun-tahun haul yang telah lepas. Kemudian dijumlahkan dan dikeluarkan sebagai qadha’ zakat bagi haul-haul yang telah lepas. Untuk pengiraan yang lebih jelas, para pembaca boleh merujuk kepada Pusat Zakat Negeri-Negeri berkenaan pengiraan zakat wang simpanan.

Pulangan dan Keuntungan

Di antara kelebihan bersedekah dan membelanjakan harta pada jalan ALLAH SWT adalah diberikan pahala yang berganda. Sehinggakan orang yang bersedekah itu pada hari kiamat kelak akan mendapati pahalanya menjadi sebesar gunung.

Berdasarkan hadis Nabi SAW;

Barangsiapa yang bersedekah dengan nilai sebiji tamar daripada hasil usahanya yang halal dan ALLAH tidak menerima melainkan daripada sumber halal, sesungguhnya ALLAH SWT akan menerimanya, kemudian ALLAH SWT akan menjaganya dan membiakkannya, sepertimana seseorang daripada kamu menjaga anak kuda, sehinggalah (pahala) menjadi sebesar gunung. (Riwayat Bukhari).

Dan apa yang kita berikan ketika kita hidup, ganjarannya akan berterusan sekalipun kita telah meninggal dunia.

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Apabila seorang anak Adam mati, putuslah amalnya kecuali tiga perkara : sedekah jariah,atau ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya.” (Riwayat Muslim dan lain-lainnya).

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Doa Senjata Mukmin

Posted by epondok di Disember 21, 2018

USTAZ ABDUL RAZAK ABDUL TALIB

 

DAN SESUNGGUHNYA Nabi Yunus adalah dari Rasul-rasul (Kami) yang diutus. (Ingatkanlah peristiwa) ketika ia melarikan diri ke kapal yang penuh sarat. (Dengan satu keadaan yang memaksa) maka dia pun turut mengundi, lalu menjadilah ia dari orang-orang yang kalah yang digelunsurkan (ke laut). Setelah itu ia ditelan oleh ikan besar, sedang ia berhak ditempelak. Maka kalaulah ia bukan dari orang-orang yang sentiasa mengingati ALLAH (dengan zikir dan tasbih), tentulah ia akan tinggal di dalam perut ikan itu hingga ke hari manusia dibangkitkan keluar dari kubur. Oleh itu, Kami campakkan dia keluar (dari perut ikan) ke tanah yang tandus (di tepi pantai), sedang ia berkeadaan sakit (Surah As-Saffaat: 139-145).

Di dalam Al-Quran ALLAH SWT merakamkan kisah Nabi Yunus AS yang diuji oleh ALLAH SWT terpenjara di dalam perut seekor ikan yang besar. Nabi Yunus AS ketika itu berada di dalam tempat yang sempit dan terlalu gelap. Di dalam kegelapan tersebut Nabi Yunus AS sentiasa bertasbih dan berdoa kepada ALLAH SWT. Firman ALLAH SWT;

Dan (sebutkanlah peristiwa) Zun-Nun, ketika ia pergi (meninggalkan kaumnya) dalam keadaan marah, yang menyebabkan ia menyangka bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan atau cubaan; (setelah berlaku kepadanya apa yang berlaku) maka ia pun menyeru dalam keadaan yang gelap-gelita dengan berkata: “Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya ALLAH)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri”. Maka Kami kabulkan permohonan doanya, dan Kami selamatkan dia daripada kesusahan yang menyelubunginya; dan sebagaimana Kami menyelamatkannya Kami akan selamatkan orang-orang yang beriman (ketika mereka merayu kepada Kami). (Surah Al-Anbiya’: 87-88).

Setiap manusia akan melalui pelbagai dugaan dan ujian daripada ALLAH. ALLAH SWT juga mengajar manusia agar mengambil iktibar daripada kisah-kisah yang disebut di dalam Al-Quran. Ketika mana kita diuji, maka bertasbihlah dan pohonlah doa kepada ALLAH SWT agar dilepaskan daripada kesusahan tersebut.

Doa Itu Ibadah

Berbicara berkenaan doa, terdapat banyak ayat-ayat yang menyebut berkaitan doa dan memerintahkan agar orang beriman banyak berdoa kepada ALLAH SWT. Antaranya firman ALLAH SWT;

Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendahkan diri dan suara yang perlahan. Sesungguhnya ALLAH SWT tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas. Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah ALLAH menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepadaNya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan penuh harapan (supaya diterima). Sesungguhnya rahmat ALLAH itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya ( Surah Al-A’raf:55-56).

Berdoa kepada ALLAH SWT merupakan suatu ibadah. Rasulullah SAW telah mengajar kita doa-doa yang perlu dibaca dalam setiap pekerjaan yang dilakukan. Bermula daripada bangun tidur sehinggalah sebelum tidur. Hikmahnya adalah supaya kita sentiasa bergantung harap dan mengingati ALLAH dalam setiap pekerjaan dan perbuatan kita. Sesungguhnya doa itu adalah ibadah.

Sepertimana firman ALLAH yang bermaksud, “Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina” ( Surah Al-Ghafir: 60).

Rasulullah SAW juga bersabda, yang bermaksud,  “Bahawasanya tiada seorang yang memohon kepada ALLAH SWT melainkan dikabulkanNya. Sama ada Dia menyegerakan pemberian atas apa yang dipohon, ataupun Dia menolak daripadanya sesuatu bencana yang lebih besar daripada apa yang dipohonnya itu, ataupun Dia menyimpan untuknya sehingga Hari Akhirat kelak sesuatu yang lebih utama dan lebih sempurna daripada apa yang dipohonnya di dunia dahulu. (Riwayat Ahmad).

Maka hendaklah kita sentiasa berdoa kepada ALLAH tidak kira ketika senang ataupun susah, kaya ataupun miskin. Dan janganlah kita merasakan bahawa doa kita lambat dikabulkan Tuhan sehingga kita berputus-asa daripada terus memohon kepadaNya. Kerana setiap yang ALLAH tentukan buat hamba-hambaNya pasti tersembunyi hikmah atau kebaikan yang barangkali belum kita ketahui.

Mintalah apa sahaja yang dihajati daripada ALLAH SWT sama ada berkaitan dengan urusan akhirat mahupun dunia. Asalkan yang dipohon itu termasuk di dalam perkara yang diredai ALLAH SWT. Berkata Ibnu ‘Atho’illah Assakandari di dalam kitab Hikamnya, “Perkara terbaik yang kamu (sepatutnya) minta daripada ALLAH ialah apa yang Dia tuntut daripada kamu”.

Doa Yang Terhalang

Kemudian Rasulullah SAW menyebutkan pula tentang seorang lelaki yang bermusafir jauh, rambutnya kusut berdebu, mengangkat kedua tangannya ke arah langit bermohon, “Ya Tuhanku! Ya Tuhanku! Sedangkan makanannya daripada yang haram, minumannya juga daripada yang haram, serta pakaiannya daripada yang haram, perutnya pula diisi dengan makanan yang haram. Bagaimana doanya akan dikabulkan ALLAH Taala?” (Riwayat Muslim).

Oleh itu, peliharalah diri kita daripada perkara yang diharamkan oleh ALLAH SWT. Kerana perkara yang haram itu menjadi penghalang doa kita daripada diterima ALLAH SWT. Pohonlah keampunan daripada ALLAH SWT serta keselamatan daripadaNya di dunia dan akhirat.

Menyebut mengenai doa, kita semua selalu berdoa. Pelbagai hajat yang diminta dari ALLAH. Manusia punya keinginan yang pelbagai dan mereka akan berusaha serta berdoa supaya apa yang diingini diperolehi. Namun, apakah kita memahami apa sebenarnya konsep doa dan apa sepatutnya yang perlu kita minta?

Manusia selalu meminta apabila berada dalam keadaan terdesak iaitu ketika dalam kesusahan dia akan minta senang. Ketika sakit dia minta untuk sihat. Kebiasaannya kita akan meminta ketika kita sememangnya berada dalam keadaan yang memerlukan. Namun adakala setelah kita telah memperolehi  apa yang kita inginkan kita sering terlupa saat kita merayu agar kita diberikan apa yang kita mahukan.

Doa adalah senjata bagi orang beriman

ALLAH berfirman, mintalah padaKu, aku akan perkenankan. Namun sesetengah manusia malas untuk berdoa. Mereka hanya mengharapkan sepenuhnya kepada usahanya semata. Dia meletakkan kejayaan bergantung sepenuhnya kepada usahanya sahaja.

Ini merupakan satu bentuk pemikiran bermazhabkan fahaman qadariah iaitu meletakkan segala manfaat atau suatu mudarat itu adalah di tangan makhluk sendiri. Di mana makhluk yang menentukan sesuatu hasil sama ada ianya berjaya atau sebaliknya.

Kita diajarkan oleh Baginda Nabi SAW agar sentiasa berdoa kepada ALLAH SWT. Dalam setiap perbuatan kita, kita diajarkan doa-doa khusus. Jika kita menghayati dan memahami doa-doa yang diajarkan, semuanya adalah meminta kepada kesejahteraan di dunia dan akhirat.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Memanah sebagai sukan dan simbol kekuatan tentera Islam

Posted by epondok di Disember 20, 2018

Islam menggalakkan umatnya bersukan secara kerap bagi mengekalkan tahap kecergasan diri yang seterusnya membantu untuk menunaikan ibadah dengan sempurna dan khusyuk. Umumnya, apa saja aktiviti bersukan atau riadah yang menyihatkan dan memberi manfaat kepada tubuh badan manusia boleh dianggap sebagai sunnah.

Bagaimanapun sukan seperti memanah, berkuda dan berenang antara yang ditekankan apatah lagi terdapat dalil dan sirah Rasulullah SAW terhadap sukan ini. Antaranya hadis daripada Ibn Umar RA bahawa Nabi SAW bersabda maksudnya “Ajarlah anak kamu berenang dan memanah,”.

Pendakwah, Yusri Musa, berkata ulama berpendapat hadis ini adalah daif, ia sebenarnya adalah kata-kata daripada Umar al-Khattab RA dan bukannya hadis Nabi SAW.

Namun terdapat hadis yang lebih jelas menunjukkan kepentingan sukan memanah, berkuda dan berenang misalnya daripada Uqbah bin Amir, aku mendengar Nabi SAW bersabda ketika di atas mimbar: Maksudnya: “Dan sedialah untuk menentang mereka (musuh yang mensceroboh) dengan segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan, ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah melempar (memanah), ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah melempar (memanah), ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah melempar (memanah),” (Riwayat Muslim).

Tegas Yusri menerusi hadis ini, Rasulullah SAW menyuruh umatnya mencari kekuatan yang mana ia terdapat dalam sukan memanah.

“Sukan memanah ini boleh dikaitkan secara langsung dengan kekuatan hati, akal dan jasad. Seseorang yang memanah menggunakan mata hatinya menjadikannya lebih yakin dan tenang manakala akal yang fokus melahir-kan pemikiran yang tajam.

“Malah dari segi jasad pula, sekiranya busur panah itu ditarik dengan kaedah yang betul, ia mampu memberi kelegaan kepada badan.

“Ia menunjukkan setiap sunnah itu ada hikmah dan setiap hikmah itu ada karamah atau keistimewaannya yang kita tidak tahu,” katanya.

Yusri berkata sukan memanah juga boleh dikaitkan dengan ibadah solat yang mana pergerakan solat itu sendiri mempamerkan ilmu seni mempertahankan diri.

Digalak laung takbir

“Pergerakan dalam solat itu sendiri, jika diamati adalah ilmu seni mempertahankan diri. Apabila mengangkat takbir, ia tanda mengagungkan kekuasaan manakala sujud pula sebagai tanda menghambakan diri kepada Allah SWT.

“Jadi apabila ingin melakukan panahan, digalakkan untuk melaungkan takbir seperti mana yang diamalkan oleh Sahabat RA ketika memanah dalam perang.

“Begitu juga apabila memanah, ia mengajar kita menjadi lebih fokus. Apabila dipraktikkan dalam solat, ia membantu untuk khusyuk,” katanya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Maka bukanlah kamu yang membunuh mereka, akan tetapi Allah jugalah yang menyebabkan pembunuhan mereka. Dan bukanlah engkau (wahai Muhammad) yang melempar ketika engkau melempar, akan tetapi Allah juga yang melempar (untuk membinasakan orang-orang kafir), dan untuk mengurniakan orang-orang yang beriman dengan pengurniaan yang baik (kemenangan) daripada-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Al-Anfaal :17)

Yusri menjelaskan, ulama berpendapat ayat ini diturunkan dalam peristiwa Perang Khaibar apabila Rasulullah SAW meminta anak panah lalu menghalakan kepada tentera Khaibar langsung menewaskan Ibnu Abi Huqair.

Kuasai kemahiran memanah

“Ayat ini menjelaskan bahawa bukan Rasulullah SAW yang melepaskan anak panah tapi berlaku atas izin dan kehendak Allah SWT.

“Malah dalam perang yang disertai oleh Rasulullah SAW dan Sahabat RA, atas ketakwaan dan kebergantungan yang tinggi kepada Allah SWT, mereka percaya bahawa panahan yang dilakukan hingga menewaskan tentera musuh itu bukan atas daya mereka sebaliknya dengan pertolongan Allah SWT,” katanya.

Tambah Yusri, Rasulullah SAW menyuruh umatnya menguasai kemahiran memanah bukan untuk bersukan saja tapi juga sebagai persediaan untuk masa depan. Dalam peperangan di zaman Rasulullah SAW, memanah adalah simbol yang menjadi kekuatan dan tunjang utama kepada tentera Islam.

Mengambil kisah daripada Perang Uhud, Yusri berkata Rasulullah SAW mengarahkan briged memanah yang diketuai oleh Abdullah bin Jubair supaya terus bertahan di Bukit Uhud.

Namun disebabkan mengingkari arahan Rasulullah SAW, tentera Islam mengalami kekalahan walaupun ketika itu sudah di ambang kemenangan.

“Apabila melihat ghanimah (harta rampasan perang) yang banyak, tentera Islam turun daripada Bukit Uhud dan mengingkari arahan Rasulullah SAW. Tentera musuh yang diketuai oleh Khalid al-Walid menyedari pertahanan tentera Islam sudah longgar dan menyerang kembali.

“Ia menyebabkan tentera Islam mengalami kekalahan dan 70 pejuang Islam syahid,” katanya.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Sikap terbuka perlukan pedoman

Posted by epondok di Disember 17, 2018

SELALU kita mendengar orang berkata bahawa sikap terbuka amat dituntut dalam kehidupan. Sikap tertutup akan membawa jiwa taksub yang tinggi, sukar menerima pandangan orang lain dan menyebabkan perbezaan pendapat yang terjadi sukar dileraikan.

Tetapi terbuka kepada pengaruh yang bercanggah dengan syarak tidak dianjurkan. Pengaruh negatif bakal memberi kesan tidak sihat kerana menerima pengaruh asing memerlukan daya saring yang tinggi supaya ia tidak mendatangkan mudarat yang bercanggah dengan agama.

Ilmu mengenai akidah, ibadah, syariah dan akhlak menjadi asas penting mengukuhkan sikap dan pendirian seseorang supaya apa saja pengaruh yang mendatangi dapat disantuni dengan bijaksana.

Sebagai seorang dai’ atau pendakwah umpa­ma­nya yang berdepan de­ngan pelbagai macam situasi yang menuntut dialog dan pertukaran pendapat terjadi, keterbukaan sikap membimbing mad’u atau sasaran ke jalan yang benar. Ia kena disantuni de­ngan sabar dan bijaksana supaya maklumat yang berpindah dan keinsafan terhadap kebenaran berlaku.

Umpamanya kita menerima pluraliti atau kepelbagaian sebagai suatu realiti di negara ini. Ia perlu disantuni dengan bijaksana supaya rasa kesali­ngan membawa seseorang memahami perbezaan dan persamaan. Tetapi Islam tidak boleh menerima pluralisme dalam beragama yang mana diunjurkan semua agama itu sama benarnya. Perbezaan dari sudut akidah adalah perkara pokok tetapi etika interaktif yang terdapat pada agama-agama dalam hubungan sosial dan budaya diharuskan selagi tidak bercanggah dengan syarak.

Begitu juga pendekatan liberal dalam memberi tafsiran terhadap agama. Al-Quran dan sunnah berpandukan wibawa ulama yang muktabar bukannya sebarang orang yang tidak mempunyai ilmu dan kepakaran dalam memberi tafsir ke­rana Sabda Rasullullah SAW: “Memutuskan sesuatu perkara dalam kalangan orang yang bukan ahli dalam bidangnya, tunggulah kehancuran”.

Dr. Zakir Naik adalah contoh yang baik dalam mengemukakan hujah-hujah keagamaan dengan merujuk kepada al-Quran dan juga kitab agama lain sebagai bandingan supaya apa yang disoal dijawab dengan jelas dan dalam banyak situasi orang yang bertanya diberi hidayah kerana hujah-hujah yang diberi bukan sifatnya emosional dan mengambil pendekatan menang-kalah tetapi risalah kebenaran mesti disampaikan sebaik mungkin.

Sering keterbukaan dalam debat terhadap sesuatu isu didorong dengan maksud mengalahkan pihak lawan supaya kemenangan dan populariti berada di pihaknya. Perdebatan dalam tradisi Islam ialah suatu proses mengemukakan hujah-hujah terbaik dan fakta serta analisis yang benar dan santun supaya kemenangan itu berada pada hujah yang benar.

Justeru keterbukaan sikap, pemikiran mestilah kena pada tempatnya. Jika keterbukaan tanpa pedoman ia boleh menyebabkan kecelaruan dan kekeliruan. Bersikap terbuka dengan maksud meningkatkan kualiti ilmu dan kefahaman terhadap sesuatu isu yang berfaedah memang digalakkan. Rasa perkongsian yang meningkatkan lagi martabat keinsanan amat dituntut kerana kualiti manusiawi mendorong keterbukaan terpedoman menjadi tunjang kepada keterbukaan sebenar berlaku.

DATUK DR. SIDEK BABA

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Tertipu ibadat sendiri, abaikan fakir dan gelandangan

Posted by epondok di Disember 15, 2018

MANUSIA sering terlupa, hebatnya orang kaya kerana adanya orang miskin; majikan kerana pekerja bawahan dan pemimpin kerana rakyat jelata. Hakikatnya tanpa orang lain, kita sebenarnya tiada apa-apa.

Oleh itu, mulianya seseorang selagi mana dia merasakan pentingnya menjaga hubungan dengan sentiasa prihatin dan menghulurkan bantuan.

Manusia ibarat satu jasad, satu anggota sakit semuanya akan berasa sakit dan sama-sama berjaga malam. Inilah ciri Muslim sebenar yang sentiasa mengambil berat kesusahan orang lain.

Rasulullah SAW bersabda: Bukanlah seorang Muslim sekiranya dia dalam kekenyangan sedangkan jiran di sebelahnya kelaparan. (HR Baihaqi)

Kisah ulama tasawuf terkenal, Bishr ibnu Haris al-Hafi boleh dijadikan renungan. Pada suatu hari, seorang lelaki bertemu dengannya untuk mengucapkan selamat tinggal kerana mengerjakan haji kali kedua.

Lelaki itu berkata: “Aku berniat menunaikan haji. Apakah nasihatmu kepadaku?” Bish bertanya: “Berapa banyak wang yang engkau bawa sebagai bekalan?”

Lelaki itu menjawab: “2,000 dirham.” Bishr bertanya lagi: “Apa tujuanmu melaksanakan haji ini? Apakah kerana zuhud terhadap dunia ataupun melepaskan kerinduan kepada Baitullah? Atau ingin mencari keredaan Allah?”

Dengan tegas lelaki itu menjawab: “Aku mencari keredaan Allah.” Lalu Bishr pun membalas: “Kalau redha Allah, duduk sahaja di rumahmu dan sedekahkan 2,000 dirham itu. Insya-Allah engkau akan meraih keredhaan-Nya. Engkau bersedia ingin melakukannya?”

Lelaki itu mengiyakan, sebelum Bishr berkata: “Kalau begitu, sedekahkan 2,000 dirham itu dengan menolong manusia lain. Di luar sana, ada dibebankan hutang, miskin atau yatim. Bantulah dengan menyelesaikan hutang, memperbaiki tahap kehidupan dan menggembirakan mereka.”

Bishr menyambung lagi: “Sesungguhnya perbuatanmu memberi kegembiraan di hati orang lain dengan membantunya keluar daripada kesusahan dan menolongnya menghadapi penderitaan jauh lebih utama daripada haji berkali-kali! Sekarang, sedekahkan hartamu atau jika tidak, luahkan isi hatimu sekarang.”

Lelaki itu termenung sebentar lalu berkata, “Wahai Bishr, niatku mengerjakan haji lebih kuat daripada melakukan amalan engkau ucapkan tadi.”

Mendengar jawapan itu, Bishr tersenyum dan berkata, “Memanglah apabila harta diperoleh melalui perniagaan yang syubhah (meragukan) dan kotor, hati akan tertarik memenuhi keinginan nafsu dengan menampakkan amal soleh agar diketahui orang. Padahal Allah hanya menerima ibadat yang ikhlas dan suci hartanya!”

Pengajaran kisah ini sangat relevan sehingga hari ini kerana betapa ramai ahli ibadat tertipu dengan amalan dan kepentingan diri atas nama agama. Mereka meminggirkan amalan menyuburkan kasih sayang sesama manusia kerana menyangka kononnya melakukan ketaatan kepada Allah.

Mengasihi manusia sebenarnya kesan cinta dan kasih kepada Allah seperti firman-Nya: “Sesungguhnya orang beriman dan beramal soleh kelak Allah Yang Maha Pemurah akan menanamkan dalam hati mereka kasih sayang.” (Maryam: 96)

Dalam isu kemasyarakatan terutamanya anak yatim, gelandangan mahupun miskin, Muslim sepatutnya sentiasa ke depan dan bersungguh-sungguh memperjuangkan serta melindungi hak mereka, sekali gus sentiasa prihatin dan turun padang membantu golongan itu.

Selain soal kemanusiaan yang menjentik hati untuk membantu, apakah tidak cukup dengan peringatan dan ancaman Allah SWT kepada kita terhadap tanggungjawab ini?

Muslim bukan sekadar wajib solat, iaitu menjaga hubungan dengan Allah tetapi wajib menghulurkan bantuan kepada golongan tidak bernasib baik, yakni menjaga hubungan sesama manusia. Jika tidak, takut-takut terlekat penyakit munafik pada kita.

Rasulullah SAW bersabda: Kiamat kelak, Allah SWT berfirman: “Wahai anak Adam! Aku sakit, mengapa tidak engkau kunjungi Aku?” Anak Adam menjawab: “Wahai Tuhanku, bagaimana mungkin aku mengunjungi Engkau padahal Engkau Tuhan semesta alam?”

Allah SWT berfirman: “Apakah kamu tidak tahu bahawa hamba-Ku si fulan sakit, mengapa kamu tidak mengunjunginya? Apakah kamu tidak tahu, seandainya kamu menziarahinya, kamu akan mendapati-Ku di sisinya?”

“Wahai anak Adam! Aku minta makan kepadamu, mengapa kamu tidak memberi-Ku makan?” Anak Adam menjawab: “Wahai Tuhan, bagaimana mungkin aku memberi Engkau makan, padahal Engkau Tuhan semesta alam?”

Allah SWT berfirman: “Apakah kamu tidak tahu bahawa hamba-Ku si fulan meminta makan kepadamu tetapi kamu tidak memberinya makan. Apakah kamu tidak tahu, seandainya kamu memberinya makan nescaya engkau mendapat balasannya di sisi-Ku?” (HR Muslim)

Walaupun kita tiada kemampuan dari sudut kewangan, kewajipan ini mesti ditunaikan, iaitu dengan ikhtiar dan kudrat.

Aktifkan diri berpersatuan. Pilihlah persatuan kebajikan yang menjadikan projek membantu gelandangan sebagai aktiviti utama. Selain membina kemahiran kepimpinan, bersosial dan berkumpulan, kewajipan membantu mereka tidak bernasib baik dapat ditunaikan.

Apa kata lancarkan kempen mengumpul dana RM1 seorang. Bayangkan kalau seribu orang, sudah RM1,000 berjaya dikumpulkan.

Daripada dana itu, bolehlah kita menyediakan makanan, pakaian, wang saku, barangan dapur dan mainan kanak-kanak kepada mereka.

Kalau tidak mampu kempen mengumpul dana, mengumpul barangan terpakai yang masih elok sudah memadai sebagai permulaannya. Selain menyediakan keperluan fizikal, aspek kerohanian jangan dilupakan. Buatlah tuisyen jalanan misalnya unutk membantu anak gelandangan.

Ada antara mereka tidak bersekolah yang perlu diberikan ilmu asas seperti membaca, menulis dan mengira yang boleh menjadi bekalan untuk meneruskan kehidupan.

Kita boleh membantu mereka melalui profesional kita. Doktor, psikiatri, kaunselor dan doktor gigi boleh melakukan pemeriksaan dan rawatan di ‘klinik jalanan’ secara percuma. Begitu peguam boleh melindungi dan memperkasakan hak mereka.

Banyak lagi cara boleh diketengahkan untuk membantu. Kita tidak mencari cinta manusia, tetapi kita mencari cinta Allah, iaitu cinta tertinggi. Kesan cinta kepada Allah adalah dengan mengasihi golongan itu yang juga sebahagian masyarakat kita.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Kem Kitab Lepasan SPM/STAM/STPM/IPT & Dewasa 2019

Posted by epondok di Disember 11, 2018

Istimewa untuk lepasan SPM/STAM/STPM/IPT & DEWASA

Tarikh : 19-31 Januari 2019

Tarikh tutup pendaftaran bila peserta telah mencukupi had iaitu 50 orang.

Tempah dan sahkan pendaftaran melalui telefon wtsap/ sms

 

 

Syarat & Yuran Penyertaan

  • Peserta lelaki & perempuan berumur 15 – 40 tahun (terhad 50 orang sahaja)
  • RM 250 sahaja (meliputi bahan kursus, penginapan dan makan minum)

Tarikh & Masa Daftar Diri

19 Januari 2019 (Sabtu) jam 3.00 – 4.30 petang

Tempat Program

Madrasah Fununiah Tunjuniah, Pondok Tunjung,

KM7, Jln Kuala Krai,

16210 Mulong, Kota Bharu, Kelantan

Pengisian

  • Pengajian kitab pilihan (Sullam Mubtadi)
  • Kitab Adab Belajar
  • Masbuq Muafiq dalam solat (Lelaki)
  • Bab Haidh dan Nifas (Perempuan)
  • Tazkirah dan ceramah motivasi
  • Kursus jenazah lengkap
  • Wirid dan zikir pilihan serta qiamullail
  • Hafalan surah-surah pilihan
  • Tadarrus al-Quran
  • Latihan khutbah dan azan

Keperluan Yang perlu dibawa

Pakaian harian (wajib jubah dan tudung labuh bagi perempuan) & pakaian solat (wajib jubah dan serban bagi lelaki), bantal , selimut, cadar tilam , alat tulis

Hubungi :

Tel: Ust Shairazi 0199388902

Facebook : Pusat Pembangunan Pondok

Blog : epondok.wordpress.com

Posted in Pondok Tunjung, Program Terbaru | 2 Comments »

Selawat, sunnah manifestasi cinta Nabi

Posted by epondok di Disember 9, 2018

SELAWAT barangkali dianggap ucapan yang mudah untuk disebut meskipun ia sebenarnya manifestasi kerinduan umat Islam kepada Rasulullah SAW.

Menjadi kewajipan kepada setiap orang beriman untuk sentiasa mengucapkannya sebagai tanda kasih kepada Nabi Muhammad SAW.

Malah, kekuatan selawat hanya dapat diketahui dan dirasai oleh Muslim yang mengamalkannya secara konsisten hingga pelajar sentiasa digalakkan untuk mengucapkan selawat kerana amalan itu menjadi sebab kepada kefahaman dan keupayaan mengingati sesuatu ilmu.

Kaum ibu pula digalakkan untuk sentiasa berselawat, termasuk ketika menyediakan juadah makanan untuk keluarga.

Pendakwah bebas, Syed Mohd Norhisyam Tuan Padang, berkata masih ramai dalam masyarakat yang tidak merasai nikmat mengucapkan selawat, sekali gus menjadi isyarat kita belum mengenali Baginda dengan lebih mendalam.

“Selawat sebenarnya ganti kepada ungkapan ‘Saya sayang awak’ seperti yang dipesan oleh Nabi Muhammad SAW kepada umatnya supaya memberitahu perasaan itu kepada saudara sekiranya mengasihi mereka dengan niat semata-mata kerana Allah SWT.

“Itu antara cara memupuk cinta dan silaturahim yang berpanjangan hingga ada antara kita yang meletakkan pelekat kereta tertera I Love You Rasulullah.

“Ini cara amat baik supaya dapat mengingatkan diri dan orang lain, sekali gus mendorong mereka untuk memandu dengan cara berhemah sejajar dengan penampilan dan akhlak Baginda,” katanya pada Ceramah Maulidur Rasul di Balai Berita The News Straits Times Press (NSTP), Kuala Lumpur.

Syed Mohd Norhisyam berkata, tidak ada cara lain yang lebih baik untuk mengetahui, mengenal dan mencintai Rasulullah SAW selain memperbanyakkan selawat.

“Bayangkan dalam pelbagai ibadat yang diwajibkan, selawat ialah satu-satunya dilakukan Allah SWT, manakala malaikat turut berselawat ke atas Baginda.

“Apabila kita banyak berselawat, hubungan perkenalan kita akan bertambah kepada Baginda, manakala kualiti kasih sayang turut meningkat,” katanya.

Amal sunnah Nabi

Beliau berkata, umat Islam juga dianjurkan supaya sentiasa berusaha meningkatkan kasih sayang kepada Nabi Muhammad SAW dengan mengamalkan sunnah Baginda.

“Antaranya solat berjemaah di masjid atau surau bagi lelaki dan melazimkan bacaan doa yang diamalkan Rasulullah SAW dalam perjalanan ke rumah ibadat itu,” katanya.

Ibnu Abbas RA melihat Rasulullah SAW membaca doa bermaksud: “Ya Allah ciptakanlah cahaya di hatiku, lisanku, pendengaranku dan penglihatanku, dari belakangku, depanku, atasku serta bawahku. Ya Allah, berilah aku cahaya.” (HR Muslim)

Syed Mohd Norhisyam berkata, kasih sayang terhadap Rasulullah SAW banyak tingkatannya dan menjadi kewajipan untuk memperbaharui, memperbaiki serta mempertingkatkan amalan sama ada perbuatan atau lisan.

Bukti kecintaan Rasulullah

Mengungkap, mengamal dan melakukan sunnah Rasulullah SAW secara berterusan menjadi bukti paling kukuh bagi setiap umat Islam untuk mengakui kecintaan terhadap Baginda.

“Ada yang mengatakan, Nabi SAW itu sifatnya maksum dan bagaimana mencintai Baginda sedangkan tidak pernah berkesempatan berjumpa dengannya.

“Terpisah dengan Rasulullah yang hidup 1,400 tahun lampau bukan halangan mengenal Baginda. Apa lebih penting, lakukanlah yang kita mampu untuk laksanakan daripada tidak berbuat apa-apa.

“Sebagai contoh, kita tahu Rasulullah SAW suka umatnya solat pada awal waktu, maka janganlah pula sengaja melengahkan ibadat hanya kerana terlalu memfokuskan urusan dunia,” katanya.

Justeru, Syed Mohd Norhisyam turut menasihatkan masyarakat supaya sentiasa menghadirkan diri dalam pelbagai majlis ilmu yang bermanfaat.

Ia antara kunci untuk menambahkan pengetahuan dan kecintaan kepada Rasulullah SAW, sekali gus menjadi jalan mendapat kebahagiaan di dunia serta akhirat kelak.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »