Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 19 Ogos 2012

Raikan Aidil Fitri ikut sunnah nabi

Posted by epondok di Ogos 19, 2012

Oleh AMINUDIN MANSOR

HARI Raya Puasa atau Hari Raya Aidilfitri adalah hari kebesaran yang disambut oleh seluruh umat Islam seluruh dunia. Ia besar bagi umat Islam yang dirayakan pada 1 Syawal setiap tahun setelah berakhir puasa di bulan Ramadan.

Aidilfitri adalah lambang kejayaan dalam menunaikan satu perintah Allah SWT. Ia merupakan kemenangan dalam bentuk maknawi. Aidilfitri juga adalah tanda tamatnya satu tempoh latihan kerohanian. Kegembiraan yang dirasai adalah atas dasar kesyukuran kerana mendapat sesuatu yang berharga iaitu iman dan takwa.

Pada hari itu juga segala dosa umat Islam yang telah menunaikan puasa Ramadan sebulan penuh dan membayar zakat fitrah akan dibersihkan sehingga seperti bayi yang baru dilahirkan ke dunia.

Hari Raya Aidilfitri seharusnya dirayakan mengikut sunah Nabi SAW. Antaranya disunatkan bangun pagi awal daripada biasa. Digalakkan memberus gigi dan membersihkan badan. Mandi sunat hari raya dan berpakaian indah mengikut syariat.

Umat Islam juga digalakkan memakai pakaian terbaik (yang tidak semestinya baru). Hal ini bagi mengelakkan supaya seseorang itu tidak berhutang atau melampaui batasan Islam dalam kesederhanaan berpakaian. Digalakkan memakai minyak wangi yang dibolehkan dibawa sembahyang.

Tunaikan solat hari raya, pada kebiasaannya bagi Mazhab Syafi’e dilakukan di masjid dan boleh juga dilakukan di kawasan terbuka jika masjid penuh iaitu di kawasan padang dan tanah lapang yang terbuka lagi bersih.

Digalakkan makan sedikit sesuatu yang manis pada Hari Raya Aidilfitri sebagai contoh kurma dengan bilangan ganjil, iaitu satu atau tiga biji kurma sudah memadai. Ini bagi mengelakkan perut terasa lapar sewaktu solat yang mengambil masa yang agak lama.

Disunatkan pergi ke tempat solat pada awal waktu bagi mengelakkan kesesakan di jalan dan terlambat dalam menunaikan solat Aidilfitri. Digalakkan berjalan kaki ke tempat solat hari raya, jika ia dalam lingkungan yang tidak jauh mengikut jarak perjalanan. Gunakan jalan yang berlainan pergi dan balik dari tempat solat Hari Raya Aidilfitri bagi mengenali jiran dan merapatkan silaturahim.

Mengikut mazhab Syafi’e digalakkan membaca takbir dengan kerap dan boleh dibaca dengan kuat. Apabila tiba di masjid lakukan solat sunat dua rakaat tanpa azan atau iqamah. Adalah dilarang untuk menunaikan solat sunat sebelum atau selepas solat hari raya di padang. Tetapi boleh dilakukan jika bersolat di dalam masjid , umpamanya solat Dhuha dan Tahiyatul Masjid.

Lakukan solat sunat dua rakaat apabila tiba di rumah iaitu setelah selesai solat sunat Aidilfitri. Selepas itu digalakkan menerima tetamu yang berkunjung ke rumah bagi mengeratkan hubungan silaturahim dan semangat kejiranan.

Semasa solat hari raya, dalam rakaat pertama , Rasulullah SAW akan membaca surah al-A’la dan surah al-Ghasiyaah dalam rakaat kedua. Boleh juga dibaca surah Qaaf pada rakaat pertama dan al-Qamar pada rakaat kedua.

Diriwayatkan pada zaman Rasulullah SAW, apabila selesai menunaikan solat hari raya baginda akan berdiri menghadap orang ramai yang sedang duduk dalam barisan mereka, memberi khutbah, mengeluarkan arahan dan memerintahkan umat Islam melakukan kebaikan.

Jika ingin menghantar tentera atau jemaah, baginda akan lakukan dan begitu juga mengeluarkan arahan yang khusus yang baginda inginkan.

Khutbah diberikan selepas solat hari raya. Khutbah hari raya adalah sunat tetapi mendengarnya adalah wajib. Adalah dilarang keras (haram) untuk berjalan sekeliling, berbual atau menunaikan solat semasa khutbah.

Hal ini penting bagi mendengar amanat yang ingin disampaikan oleh Imam kepada makmum. Jika para makmum tidak memberi perhatian yang khusus sudah tentu amanat yang ingin disampaikan tidak tercapai.

Bersalaman antara satu sama lain adalah dibenarkan tetapi janganlah dilakukan sebagai adat atau dengan keterlaluan.

Bertemu dengan orang yang datang dari jauh dengan berjabat tangan atau dengan berpelukan apabila bertemu mereka adalah dibolehkan.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Hayati maksud sebenar Aidilfitri

Posted by epondok di Ogos 19, 2012

Zamanuddin Jusoh

Hati dan jiwa yang bersih akan sedih dan merasai kehilangan besar apabila tibanya penghujung Ramadan. Disamping berdoa, persoalan terbayang di fikiran ialah apakah Ramadan kita kali ini mencapai matlamatnya?

Apakah kita akan diberikan peluang sekali lagi oleh Allah SWT untuk bertemu Ramadan akan datang? Hakikatnya, ilmu dan amal adalah jawapan kepada persoalan di atas.

Bulan dimakbul doa

Daripada Jabir, Baginda SAW bersabda: “Apabila tibanya malam terakhir Ramadan, langit, bumi dan para malaikat bersedih atas satu musibah besar bagi umat Muhammad SAW. Sahabat bertanya, apakah musibah itu wahai Rasulullah? Jawab Baginda SAW: Perginya Ramadan meninggalkan kita. Bulan yang dimakbulkan doa, amalan diangkat dan diterima, pahala kebajikan digandakan dan azab ditangguhkan. Apakah ada musibah yang lebih besar daripada berpisah dengan Ramadan? Apabila langit dan bumi serta malaikat bersedih untuk kita, sudah semestinya kita sebagai manusia akan lebih bersedih atas perpisahan ini.” (Hayatul Qulub)

Kita akan menempuh hari raya yang umpama satu kerehatan dalam kehidupan manusia. Oleh itu, setiap umat menjadikan hari raya sebagai hari kegembiraan meraikan kemenangan dan kejayaan dalam sesuatu ujian.

Menang hadapi ujian

Bagi umat Islam, Aidilfitri adalah kemenangan menghadapi ujian puasa selama sebulan. Hari raya ini dikaitkan dengan fitrah kerana manusia kembali kepada fitrah asal yang dihalalkan segala perkara terlarang semasa berpuasa.
Baginda SAW bersabda: “Dua kegembiraan bagi seorang yang berpuasa iaitu ketika berbuka dan ketika bertemu Tuhannya dengan amalan ibadah puasa itu.”

Maksud kegembiraan ketika berbuka adalah ketika berbuka pada hari Ramadan dengan taufik dan inayahNya. Keduanya, kegembiraan berbuka di akhir Ramadan sebagai pengumuman selesainya puasa dengan penuh ketaatan kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT bermaksud: “Katakanlah wahai Muhammad bahawa dengan kurniaan dan rahmat Allah SWT mereka bergembira dan itulah yang terbaik hasil daripada apa yang mereka usahakan.” (Surah Yunus, ayat 58).

Jelas kegembiraan ini dilihat pada wajah mereka yang berpuasa. Hari raya pada Muslimin membawa dua pengertian besar iaitu penghayatan rabbani (ketuhanan) dan penghayatan insani (kemanusiaan).

Penghayatan rabbani membawa maksud manusia tidak sekali-kali melupakan Allah SWT pada hari raya kerana mereka tidak dipengaruhi nafsu, bahkan lidah mereka sentiasa bertasbih dan bertakbir memuji kebesaran Allah SWT.

Naluri manusia

Mereka mestilah memahami bahawa hari raya bukan bermaksud bebas daripada melakukan ketaatan seperti disalahertikan sesetengah pihak.

Penghayatan insani pula bermaksud keinginan naluri manusia bersuka ria, gelak tawa, berketrampilan baru dengan pakaian dan wajah berseri, bertemu sahabat handai serta keluarga yang disayangi.

Ketika Baginda SAW menghadiri suatu perayaan, beliau mengizinkan satu kumpulan bersuka ria di rumah Baginda SAW yang selari dengan Masjid Nabawi. Baginda SAW juga mengizinkan Saidatina A’ishah bersuka ria bersama sahabatnya bagi meraikan naluri kemanusiaan di samping memelihara tatasusila agama Islam.

Begitu juga peristiwa berlaku kepada Saidina Abu Bakar, ketika A’ishah berhibur bersama seorang temannya. Lantas dilarang oleh Abu Bakar seraya berkata: “Seruling syaitan berkumandang di rumah Rasulullah? Beliau menyangka Rasulullah SAW sedang tidur dalam keadaan wajahnya tertutup. Apabila mendengar perkataan Abu Bakar, Baginda menyingkap wajahnya lalu bersabda:
“Biarkan mereka wahai Abu Bakar kerana setiap kaum ada perayaannya tersendiri dan ini adalah perayaan kita. Semoga kaum Yahudi menyedari agama kita juga memberi ruang kepada perkara sedemikian.”

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »