Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for September 2012

Bersungguh pelajari ilmu tajwid

Posted by epondok di September 30, 2012

Oleh IBRAHIM ABDULLAH

HUKUM membaca al-Quran secara bertajwid adalah wajib atau fardu kifayah kepada pembacanya. Maksudnya mempelajari ilmu tajwid itu sebagai fardu kifayah, bererti mestilah ada dalam sesuatu tempat atau lokasi itu seorang atau beberapa orang yang mengetahui ilmu tajwid sebagai rujukan bagi masyarakat setempatnya.

Jika tidak ada seorang pun di kawasan tersebut yang mahir dalam ilmu tajwid maka kesemua penduduk kawasan itu menanggung dosa. Walaupun membaca al-Quran itu dikira sebagai sunat, al-Quran itu wajib dibaca dengan bertajwid sebagaimana ia diturunkan tanpa membuat perubahan.

Sesiapa yang membaca al-Quran tanpa tajwid serta bacaannya boleh mengubah tafsiran al-Quran maka ia adalah berdosa. Golongan ini dilaknati Allah sebagaimana sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Ramai orang membaca al-Quran, sedangkan al-Quran sendiri melaknatinya.” Juga rujuk al-Baqarah ayat 121.

Zaid bin Thabit menyebutkan sabda Nabi SAW bermaksud: Sesungguhnya Allah Taala menyukai seseorang hamba-Nya membaca al-Quran secara tepat sebagaimana ia diturunkan.

Sabda Rasulullah lagi bermaksud: “Sesungguhnya akan datang beberapa golongan sesudahku, orang-orang yang membaca al-Quran seperti cara orang bernyanyi, cara orang ahli kitab dan cara seperti orang meratap, yakni keluarnya huruf-huruf yang melalui kerongkong mereka tidak sesuai dengan mahraj al-huruf, semata-mata tujuannya mempersona dan menakjubkan orang sahaja.”

Lagu fasik ialah lagu yang bukan berasal daripada lagu Arab yang diatur not kaedah muzik yang boleh merosakkan bunyi makhraj dan sifat huruf. Manakala lagu nyanyian ahli kitab iaitu lagu yang dilakukan seperti orang yang putus asa atau merintih ditimpa bencana dapat melalaikan sebutan huruf.

Telah sepakat para ulama sepanjang zaman dari zaman Rasulullah SAW sehingga sekarang dalam menyatakan bahawa membaca al-Quran secara bertajwid adalah suatu yang fardu dan wajib.

Menurut mazhab Syafi’i, bahawa memelihara pembacaan Kitab Allah Taala iaitu membaca secara bertajwid yang muktabar di sisi ahli Qiraat adalah suatu yang wajib, tiada keraguan lagi, sedangkan bacaan selain itu adalah berdosa dan karut.

Perlu disampaikan bahawa ada beberapa hal yang sangat penting dalam membaca seni al-Quran terutama dalam sesuatu majlis bacaan atau tilawah menurut pendapat ulama yang antara lainnya sebagai berikut.

Pertama; setiap orang mesti membaca al-Quran dengan fasih dan bertajwid. Sebab hal ini merupakan masalah pokok. Kalau kita hanya mengejar lagu tanpa memerhatikan tajwid, ini merupakan satu kesalahan yang sangat besar. Kedua-duanya harus berjalan secara harmonis. Membaca dengan bertajwid, membaca dengan fasih, kemudian dilagukan secara harmonis.

Kedua; kita harus mempunyai bakat dan juga minat. Kalau kita mempunyai minat untuk membaca al-Quran, itu dapat memberikan satu jaminan bahawa kita dapat berlatih secara istiqamah. Sedangkan dengan bakat yang dimiliki bererti kita memiliki suara yang diperlukan dalam membaca al-Quran dan juga kita memiliki pernafasan yang cukup baik.

Ketiga; sabar dan ikhlas. Setiap orang harus bersabar dan ikhlas dalam membacakan al-Quran. Kerana dalam seni membaca al-Quran banyak hal-hal yang berkaitan di dalamnya, dari segi tajwid, ataupun qiraatnya. Kita perlu mempelajari bagaimana pernafsan yang baik, seluk beluk lagu, dari lagu a, b, c, dan sebagainya. Semua ini betul-betul memerlukan kesabaran dan keikhlasan kerana Allah semata-mata.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Berdakwah ikut keperluan manusia

Posted by epondok di September 29, 2012

Burhanuddin Abdul Jalal

Dakwah adalah usaha perpindahan paradigma umat manusia kepada satu tahap yang sesuai dengan tabiat semula jadi manusia ciptaan Allah SWT. Ini bermaksud, perpindahan berasaskan kesedaran daripada kekufuran kepada keislaman, kesesatan kepada kebenaran, kemungkaran kepada hidayah, negatif pada positif dan perkara buruk kepada kebaikan.

Selain itu, dakwah juga bermaksud sebagai usaha mengubah satu situasi kepada yang lebih baik dan sempurna, baik terhadap peribadi, organisasi atau masyarakat. Dakwah bukan saja sekadar usaha peningkatan pemahaman keagamaan, tingkah laku dan pandangan hidup saja, tetapi juga menuju sasaran yang lebih luas.
Apatah lagi pada masa kini dakwah harus lebih berperanan menuju kepada pelaksanaan ajaran Islam secara lebih holistik dalam pelbagai aspek kehidupan. A Hasjmy dalam bukunya Dustur Dakwah Menurut al-Quran (1994), menegaskan dakwah ialah satu kurikulum dan penerangan yang lengkap, juga satu kegiatan ajakan, baik dalam bentuk lisan, tulisan, mahupun tingkah laku, yang dilakukan secara sedar dan terencana dalam usaha untuk mempengaruhi orang lain.

Oleh itu jelas bahawa dakwah adalah satu usaha serius dijalankan dalam usaha mengajak manusia kepada agama Islam dan hidayah-Nya demi kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat, serta melaksanakan tuntutan-Nya dan menjauhi perkara dilarang.

Usaha dakwah perlu digandakan

Menyedari hakikat itu, usaha dakwah perlu digandakan bagi menyekat gejala sosial daripada terus berkembang dan meningkat dalam kalangan masyarakat. Masalah gejala sosial yang melanda negara khususnya golongan muda berada pada tahap yang membimbangkan.

Dalam masalah dadah, orang Melayu dikatakan paling ramai (71.4 peratus) terlibat dengan kes penagihan dadah (Laporan AADK 2010). Sehubungan itu, apakah usaha dakwah atau pengajaran serta pendidikan Islam yang sudah dilakukan pada semua peringkat sejak tadika, sekolah rendah, sekolah menengah, institusi masjid, masyarakat dan seluruhnya tidak berkesan? Apakah pendekatan atau aspek pengurusan dakwah yang merangkumi aspek modul, pendekatan atau kaedah dakwah yang dilakukan oleh organisasi dakwah pada masa kini, perlu dilihat semula serta perlu dilaksanakan mengikut kesesuaian masa, golongan sasar dan tempat.
Pendekatan ini termasuk apa yang disebut oleh Franklin Covey The 7 habits effective people (2001) yang sudah menyenaraikan aspek Seek first to understand, then to be understood. Aspek itu merupakan prinsip penting yang perlu dihayati oleh pendakwah dan juga organisasi dakwah. Kegagalan memperkayakan pendekatan dakwah dan cara Islam dipersembahkan, bukan saja menjadikan manusia itu bosan dan menjauhkan diri apabila didekati, malah pendekatan yang tidak relevan itu bakal menjadi fitnah kepada agama.

Selain itu pada masa kini khususnya pada era kecenderungan masyarakat untuk kembali merujuk kepada aspek Emotional Spiritual Quotient (ESQ) di samping emosi dan intelek. Pada umumnya syarahan agama terbahagi kepada dua iaitu:

Kategori pertama dinamakan sebagai ceramah agama.
Kategori kedua, dimasukkan ke dalam latihan profesional.

Ubah pendekatan dakwah

Sehubungan itu semua organisasi dakwah perlu berubah pendekatan dakwah ke arah yang lebih profesional dan mempunyai ciri-ciri tertentu seperti modul latihan yang mempunyai konsep yang tertentu, merealisasikan prinsip seek first to understand, then to be understood, iaitu dengan maksud melakukan penilaian kepada golongan sasaran yang mempunyai pelbagai kategori, pangkat, karakter atau pun pelbagai ragam manusia.

Oleh yang demikian dakwah yang hendak disampaikan, perlu bersifat ergonomik, iaitu disiplin sains yang berkaitan dengan reka bentuk mengikut keperluan manusia, merangkumi teori, prinsip, data dan metod ke arah memanfaatkan secara maksimum kemanusiaan manusia dan sistem secara keseluruhannya.

Selain itu, pemantapan pengurusan dakwah ini juga merangkumi aspek pendakwah sama ada yang berkhidmat dengan organisasi kerajaan, agensi swasta atau secara persendirian atau apa yang dipanggil sebagai pendakwah atau penceramah bebas

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Tuntutan seimbang amalan dunia, akhirat

Posted by epondok di September 28, 2012

Mohd Shukri Hanapi

Dalam al-Quran ada beberapa ayat yang mengingatkan manusia supaya menyeimbangkan antara amalan bagi kebahagiaan dunia dan akhirat.

Antaranya firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan.” (Surah al-Qasas ayat 77).
Menurut al-Tabariy dalam tafsirnya Jami‘ al-Bayan fi Ta’wil al-Qur’an, ayat ini menggesa umat manusia supaya menggunakan harta dan nikmat dikurniakan Allah SWT di dunia untuk kebahagiaan di akhirat.

Dengan kata lain, menggunakan harta kekayaan untuk mentaati dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Sebenarnya cara ini dapat menghasilkan pahala di dunia untuk dihisab dan diadili di akhirat.

Meskipun begitu, segala habuan dan keperluan kehidupan dunia seperti makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal, perkahwinan tidak boleh ditinggalkan.

Seseorang manusia perlu menunaikan hak Allah SWT, hak diri sendiri, hak ahli keluarga dan hak sesama manusia ketika hidup di dunia.

Selagi semua perkara yang dilakukan di dunia ini masih menepati syariat Islam, ia termasuk dalam melakukan amalan untuk mentaati dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Tafsiran al-Tabariy sebelum ini diperkuatkan lagi tafsiran al-Qurtubiy di dalam tafsirnya al-Jami‘ li Ahkam al-Qur’an yang mengatakan manusia hendaklah menggunakan segala harta kekayaan di dunia untuk mendapatkan habuan syurga di akhirat kelak.

Menjadi hak seseorang Mukmin itu memanfaatkan harta kekayaan dunia untuk kebahagiaan akhirat. Penggunaan harta dunia bagi tujuan membesar-besarkan diri dan menindas orang lain adalah sesuatu yang menyimpang daripada perintah Allah SWT.

Untuk menguatkan tafsirannya ini, al-Qurtubiy memetik pandangan Ibn Abbas ra (pandangan jumhur ulama) yang melarang seseorang itu menghabiskan usia dengan tidak mengerjakan sebarang amal soleh di dunia kerana ia sangat diperlukan di akhirat kelak.

Nasib manusia ketika itu bergantung pada amalan kebajikan yang dilakukan ketika hidup di dunia ini.

Sebenarnya tafsiran al-Qurtubiy ini terungkap dalam kata Ibn Umar ra yang bermaksud: “Berusahalah untuk kebahagiaan dunia seakan-akan kamu akan hidup selama-lamanya, dan beramallah untuk kebahagiaan akhirat seakan-akan kamu akan mati keesokan hari.”

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Lalai mendidik punca anak derhaka

Posted by epondok di September 27, 2012

Hilmi Isa

Ada sesetengah pihak mengatakan untuk mendisiplinkan remaja, ibu bapa perlu bersifat garang terhadap anak. Itulah cara yang digunakan oleh ibu bapa mereka ketika mereka kecil dulu dan dengan cara berkenaanlah semua anak berjaya dalam hidup.

Pendekatan lembut dan garang adalah pendekatan yang ekstrem di mana lembut adalah keterlaluan positif manakala garang adalah keterlaluan negatif. Lembut menyebabkan perasaan kita merana kerana ingin menjaga perasaan anak remaja.
Sebaliknya garang menyebabkan perasaan kita terjaga, manakala si anak mungkin memendam dendam dalam hati. Keseimbangan di antara kedua-dua garis hujung berkenaan adalah pendekatan tegas. Ketegasan membuatkan perasaan kedua-dua belah pihak terjaga.

Kajian pakar menunjukkan bahawa apabila ibu bapa selalu melakukan kekasaran terhadap remaja biasanya mereka akan memberontak. Perbuatan seperti mencubit, merotan, memukul dengan objek, boleh dikategorikan sebagai pendidikan dengan cara yang keras. Hampir tiada unsur pendidikan langsung dengan cara kekerasan berkenaan jika tidak dilakukan dengan cara yang berhikmah.

Firman Allah SWT bermaksud: “Maafkan mereka, minta keampunan bagi mereka dan bermusyawarahlah dalam urusan…” (Surah Ali-Imran, ayat 159).

Ada dua kemungkinan yang akan berlaku apabila remaja diperlakukan dengan keras iaitu melantun atau menyerap. Kemungkinan pertama dia akan melawan kembali kekerasan, akibatnya beliau akan membesar menjadi seorang yang suka memberontak dan keras jiwa.

Kemungkinan kedua pula, beliau akan bersabar dengan kekerasan dan memendam dalam jiwa. Akibatnya beliau membesar menjadi seorang yang pemurung dan lemah jiwa. Kedua-duanya akan memberi hasil yang buruk.
Tunjuk cara efektif

Islam mengajar dan menunjukkan cara yang efektif dengan menyuruh setiap yang menjadi tonggak utama seperti ibu bapa supaya berlemah-lembut, belas kasihan sehingga anak mereka membesar di jalan yang lurus, terdidik dengan semangat berani berterus-terang dan bebas diri.

Banyak petunjuk diberikan Islam mengenai berlemah-lembut, berkata baik dan berbudi bahasa antara satu sama lain dalam al-Quran dan sunnah.

Firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh menjalankan keadilan, berbuat baik dan memberi kepada kaum kerabat.” (Surah An-nahl, ayat 90)

FirmanNya lagi bermaksud: “Dan orang yang menahan marahnya, dan orang yang suka memaafkan orang lain, dan Allah sangat suka kepada orang yang berbuat baik.” (Surah Ali-Imran, ayat 134)

Kesihatan jiwa

Ibu bapa perlu mengambil contoh daripada pengajaran berkenaan dan mengamalkannya andai kata mereka benar-benar mahukan kesihatan jiwa anak terpelihara. Kesihatan jiwa adalah salah satu penentu kebahagiaan anak.

Jika ibu bapa sendiri selalu berkeras, maka ibu bapalah yang melakukan kezaliman ke atas anak. Mereka akan mendapati bahawa mereka sudah menanam benih-benih kerosakan ke dalam jiwa anak.

Dalam sebuah kisah, datang seseorang kepada Umar bin Al-Khattab mengadu penderhakaan anaknya. Maka Umar pun memanggil anak orang itu, lalu memarahinya. Maka berkata si anak: “Wahai Amirul Mukminin! Tidakkah ada hak anak ke atas ayahnya? Umar menjawab: Bahkan ada.

Berkata anak itu: “Apa dia, wahai Amirul Mukminin? Umar menjawab: Hendaklah ia memilih ibunya (daripada keturunan yang baik), dan memberi nama yang baik, dan mengajar membaca al-Quran.

Lalu si anak itu berkata: “Wahai Amirul Mukminin, sesungguhnya ayah saya tidak melakukan suatu pun daripada perkara itu. Ibu saya adalah seorang zanjuyah (bekas hamba hitam), dulu isteri kepada seorang Majusi dan dia juga menamakan saya Jo’ul (lipas), dan dia belum mengajar saya satu huruf pun daripada al-Quran.”

Mendengar kata-kata si anak itu, maka Umar pun berkata kepada si ayah: “Engkau datang mengadu penderhakaan anakmu. Sebenarnya engkau telah menderhakainya sebelum dia menderhakaimu, dan engkau telah merosakkannya sebelum dia merosakkanmu.”

Demikianlah Umar Al-Khattab meletakkan sebab penderhakaan si anak tadi ke atas bahu ayahnya, kerana dia melalaikan pendidikannya. Marilah kita cermin diri kita dan meneliti sama ada penderhakaan atau masalah ditimbulkan anak sebenarnya mungkin berpunca daripada kita.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

6 Tips capai keredaan Allah

Posted by epondok di September 27, 2012

Rizal Azman Rifin

Apapun yang kita laksanakan dalam kehidupan di dunia ini, seharusnya menuju kepada matlamat memperoleh keredaan Allah. Tidak kira usaha kita sekecil manapun, ia seharusnya menepati jalan dibenarkan agama dan tidak mudah hanyut dan tersasar daripada landasan ditetapkan.

Untuk lebih jelas bagaimana cara kita mampu mencapai keredaan Allah, beberapa panduan dikemukakan Imam at-Tirmizi yang mungkin dapat memberi ruang kepada kita bermuhasabah diri.
Pertama, kita mesti bertaubat kepada Allah. Menurut beliau, tiada jalan sebaik taubat dalam usaha meraih keredaan Allah. Panduan beliau ini memang tepat seperti diperintahkan Allah kepada kita.

Banyak sekali ayat Allah memperkatakan suruhan bertaubat. Antaranya ialah dalam surah al-Baqarah, ayat 222 yang membawa maksud: “Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan membersihkan diri.”

Allah SWT juga berfirman bahawa orang bertaubat adalah insan yang akan mendapat kebahagiaan. “Orang yang bertaubat, yang memuji Allah, yang mengembara, yang rukuk, yang sujud yang menyuruh berbuat kebaikan dan mencegah mungkar dan memelihara hukum-hukum Allah. Dan bergembiralah orang mukmin itu.” (At-Taubah: 112)

Kedua ialah hidup dalam keadaan zuhud. Menanamkan sifat zuhud menjadi agenda sangat penting kerana tanpanya akan mengakibatkan terbit nilai peribadi keji seperti bersikap tamak terhadap hal keduniaan.

Rasulullah SAW berpesan kepada kita yang zuhud terhadap dunia tidaklah bermakna kita mengharamkan yang halal dan tidak mahu berusaha mencari harta kekayaan, tetapi zuhud yang sebenarnya dan menepati erti makna ialah adanya keyakinan dan berqanaah terhadap apa yang dikurniakan Allah.
Pesanan ketiga at-Tirmizi ialah sentiasa berusaha melawan hawa nafsu. Sesungguhnya orang yang ditenggelami hawa nafsu menjadi ‘lubuk kegemaran’ syaitan kerana orang sedemikian mudah dilalaikan dari menjalani kehidupan berasaskan kepatuhan terhadap perintah Allah.

Petua keempat ialah kita mencintai Allah SWT melebihi dari segala-galanya. Hal ini bertepatan apa dinyatakan Allah SWT yang bermaksud: “Katakanlah. Kalian benar-benar mencintai Allah, ikutilah aku nescaya kamu akan dicintai Allah.” (Ali-Imran: 31).

Seterusnya kata Imam at-Tirmizi lagi, “Kita hendaklah juga menyerapkan ke dalam jiwa rasa takut kepada Allah SWT. Ini kerana apabila rasa takut itu sebati dalam hati dan jiwa, seseorang akan berusaha melakukan yang terbaik dalam amal ibadah dan memperbanyakkan amalan soleh.”

Pesanan terakhir Imam at-Tirmizi ialah manusia perlu berusaha mendekatkan diri kepada Allah iaitu dengan cara mendirikan solat khasnya yang wajib termasuk sunat.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Kukuhkan aqidah elak sifat Anti-Tuhan

Posted by epondok di September 26, 2012

Anwar Patho Rohman

Pascamodenisme bawa pengaruh anti-Tuhan patut ditangani elak ummah sesat

Umat Islam sedang melalui fasa agak kritikal iaitu mengalami perpecahan berterusan dan berdepan serangan terancang tamadun Barat untuk meruntuhkan terus perpaduan ummah.
Dalam cabaran globalisasi yang semakin hebat, umat Islam kini umpama sekumpulan biri-biri yang dikerumuni, diacah dan dikejar sekawan serigala yang menunggu masa untuk membaham.

Cukup wadah ahli Sunnah Waljamaah untuk umat Islam pegang dan ia akan dapat meningkatkan perpaduan serta menyatukan kita”. – Zakaria Stapa, Pensyarah di Jabatan Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia

Lihatlah berapa banyak negara Islam khasnya di Asia Barat yang musnah akibat agenda Barat menerusi tindakan serangan fizikal dan pemikiran?

Strategi Barat pecah-belah umat Islam

Strategi dan pendekatan diguna pakai Barat ialah dengan mewujudkan dan menyebarluaskan perselisihan dalaman dunia Islam serta menjadikan umat Islam berpuak-puak hanya kerana perbezaan idea dan pemikiran.

Segala perancangan ini adalah muslihat Barat bagi menyekat Islam berkembang selain melumpuhkan potensi ummah untuk maju bagi memastikan dominasi mereka dalam bidang ekonomi, politik dan sosial berkekalan.
Justeru, bagi menangani indoktrinasi Barat terhadap saki-baki dunia Islam yang masih mampu berdiri dengan kekuatan sedikit seperti negara di rantau Asia Tenggara, umat Islam perlu mengelak daripada terperangkap.

Pensyarah di Jabatan Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Zakaria Stapa, berkata umat Islam perlu bersatu di bawah satu kesatuan sebenar iaitu ahli Sunnah Waljamaah, menilai fahaman pascamodenisme yang mencabar kelangsungan mazhab ahli Sunnah dan menganalisis ciri pascamodenisme yang berpotensi meruntuhkan benteng serta sendi ahli Sunnah Waljamaah.

Beliau mengingatkan, kefahaman dan kepatuhan ummah terhadap mazhab ini boleh menjadi senjata ampuh bagi memerangi pelbagai anasir yang cuba menghancurkan kelangsungan serta jati diri ummah.

Zakaria menjelaskan, umat Islam perlu sedar pascamodenisme sedang bergerak aktif menyelinap masuk ke dalam segenap bidang kehidupan dan menguasai denyut nadi perjalanan kehidupan manusia kontemporari yang mana media, politik, budaya dan agama adalah saluran utama penyebarannya.

Ia bermakna, semua set nilai dan gaya hidup yang mendefinisikan pascamodenisme menjadi pegangan dan penghayatan manusia semasa, khasnya di Barat.

Sebar fahaman sekularisme

Namun, dalam konteks pascamodenisme, Barat menggunakan fahaman sekularisme yang membuat serangan hebat ke atas semua bentuk keyakinan yang mengatakan terdapat suatu kebenaran mutlak, sama ada kebenaran itu diasaskan wahyu Ilahi atau akal manusia.

“Perlu dijelaskan, oleh kerana fahaman dan pemikiran pascamodenisme ini adalah lanjutan atau fasa baru fahaman sekularisme Barat, maka ia akan bersifat anti-agama dan anti-Tuhan.

Fahaman sekularisme tajaan Barat moden sudah berjaya mensekularisasikan seluruh dunia termasuk dunia Islam. Proses sekularisasi ini tidak lain hanya proses pembebasan manusia daripada kongkongan agama dan kawalan metafizik,” katanya.

Pelbagai bentuk salah laku akhlak yang membimbangkan di Malaysia pada hari ini seperti penagihan dan pengedaran dadah, pelacuran, perzinaan, pembuangan dan pembunuhan bayi, gejala lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT), rogol, pecah amanah, rasuah, bunuh dan pelbagai jenayah adalah gambaran proses sekularisasi yang melanda umat Islam.

Zakaria berkata, kumpulan Muslim yang sudah tersasar dan kehilangan ‘antibodi’ keislaman ini akan mudah menjadi mangsa atau alat kepada fahaman pascamodenisme dalam proses penyebarannya yang bertujuan melumpuhkan sendi akidah dan ajaran Islam.

“Fahaman sekularisme ini turut merangkumi fahaman Islam liberal yang mendukung pluralisme agama yang berpendirian semua agama adalah sama dan benar yang juga semakin berkembang di tengah kehidupan masyarakat Islam di Malaysia,” katanya.

Pegangan Sunnah Waljamaah diperkukuh

Justeru, bagi memastikan umat Islam berupaya menghadapi cabaran pascamodenisme, sekularisme dan globalisasi, pegangan terhadap ahli Sunnah Waljamaah yang sedia wujud sejak berzaman di rantau ini perlu diperkukuhkan.

“Tidak perlu kepada akidah lain untuk dipegang, cukup wadah ahli Sunnah Waljamaah untuk umat Islam pegang dan ia akan dapat meningkatkan perpaduan serta menyatukan kita, sekali gus menjadi benteng untuk mengharungi segala cabaran masa kini,” katanya.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Ingkar nikmat

Posted by epondok di September 26, 2012

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMED AL BAKRI

ALLAH SWT telah menyebut tentang keadaan orang yang mendustakan-Nya, para nabi dan hari kemudian itu akan dikenakan azab pada hari keputusan dan pembalasan.

Di sini Allah SWT menjelaskan pelbagai seksaan itu dengan segala kengeriaannya yang membingungkan orang yang berfikiran dan menundukkan setiap orang yang takut dan kembali kepada-Nya.

Kemudian Allah SWT memberitahu bahawa mereka diperintahkan untuk pergi ke bawah naungan asap Jahanam yang bercabang-cabang kerana banyaknya dan bermacam-macam bentuk hingga menjadi tiga cabang besar yang pernah mereka dustakan dahulu di dunia.

Padahal naungan yang sedemikian tidak sedikitpun melindungi dan menghalang mereka daripada panas nyalaan yang berdiri di atas api yang memercikkan bunga-bunga api yang tinggi dan besar bagaikan istana.

Begitu juga bagaikan sekumpulan unta kuning yang bertebaran dan bercerai-berai tanpa batasan hitungan dan bergerak tidak menentu.

Tidak diragukan lagi perkara yang demikian ini adalah persamaan yang diketahui oleh orang Arab ketika menyifatkan sesuatu dengan kebesaran. Tidakkah kamu melihat bahawa mereka menyamakan unta yang besar dengan istana sebagaimana yang dikatakan: “Maka untaku pun berdiri di situ, seakan ia itu istana, untuk memenuhi keperluan orang yang menunggu.”

Firman Allah SWT: Dan kami jadikan padanya gunung-gunung yang tinggi dan kami beri minum kamu dengan air tawar? (al-Mursalat: 27)

Al-Maraghi berkata: “Gunung-ganang ini berhubungan dengan lapisan batu api yang merupakan lapisan bumi yang paling jauh daripada permukaannya. Lapisan di dalamnya meliputi bola api yang bernyala-nyala yang ada di dalamnya, sedangkan di bahagian luarnya merupakan kulit bumi yang kita berada padanya.”

Air tawar itu pula berasal dari awan yang dijaga oleh gunung-ganang yang tinggi atau datang daripada mata air-mata air yang turun dari gunung-ganang dan diselaputi oleh salji yang mengalir perlahan-perlahan di atas permukaan bumi lalu menyerap masuk ke dalam perut bumi menuju ke puncak mata air yang mengalir.

Ibnu Kathir berkata: “Yakni gunung-ganang yang ditanamkan di bumi agar bumi tidak goyah dan bergoncang. Dan air tawar yang diturunkan dari langit, mahupun yang bersumberkan daripada mata air bumi.”

Sayid Qutub berkata: “Dan di bumi Kami ciptakan bukit-bakau dan gunung-ganang yang tinggi dan di kemuncak yang tinggi itulah berkumpulnya awan mega dan dari sanalah mengalir saluran-saluran air tawar yang nyaman.”

Firman Allah SWT: Kecelakaan yang besarlah pada hari itu bagi orang-orang yang mendustakan. (al-Mursalat: 28)

Al-Maraghi berkata: “Azab yang besar di akhirat diberikan untuk mereka yang mengingkari semua nikmat ini.’

Ibnu Kathir berkata: “Celaka bagi orang yang merenungi berbagai macam makhluk yang menunjukkan keagungan Penciptanya tetapi setelah itu dia terus-menerus dalam kedustaan dan kekufuran.”

Firman Allah SWT: (Dikatakan kepada mereka pada hari kiamat): Pergilah kamu mendapatkan azab yang dahulunya kamu mendustakannya. (al-Mursalat: 29)

Al-Maraghi berkata: Penjaga neraka Jahanam berkata kepada mereka: “Terimalah seksaan yang ketika di dunia dahulu kamu telah dustakan.”

Firman Allah SWT: Pergilah kamu mendapatkan naungan yang mempunyai tiga cabang. (al-Mursalat: 30)

Al-Maraghi berkata: “Allah SWT menjelaskan dan menyifatkan azab ini dengan beberapa sifat:

l Berjalanlah kamu di bawah naungan asap Jahanam yang terbahagi kepada tiga cabang besar, satu cabang dari sebelah kanan mereka, satu cabang dari sebelah kiri dan satu cabang lagi dari atas mereka. Ia bermaksud asap itu meliputi mereka daripada segenap arah.

l Asap Jahanam itu bukan sejenis naungan kerana ia tidak akan menaung kepanasan hari itu.

Ibnu Kathir berkata: Yakni nyalaan api semakin tinggi dan naik bersama dengan asap maka kerana kedahsyatan dan kekuatannya ia mempunyai tiga cabang.

Sayid Qutub berkata: “Iaitu bayangan asap api neraka yang pucuknya menjulang-julang bercabang tiga. Ini adalah bayangan teduh yang mencekik pernafasan dan yang panas menyelar. Ia dinamakan bayangan teduh sebagai lanjutan daripada penghinaan dan sendaan. Ia memberi angan-angan mendapat bayangan teduh tetapi sebaliknya mereka mendapat api neraka Jahanam.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Tangan zionis dalam kempen hina Rasulullah s.a.w

Posted by epondok di September 25, 2012

Mohd Azmi Abdul Hamid,

Analisis yang belum diketahui ramai dalam isu penerbitan video menghina Rasulullah s.a.w. ialah ia ada kaitan dengan rancangan zionis dan kuasa imperialis Amerika dan kuasa Eropah Barat.

Sebenarnya orang bernama Sam Bacille (nama sebenar Nakaola Basseley Nakaola) yang dikata menjadi pengarah kepada pembikinan filem itu hanya alat.

Beliau sebenarnya hanya seorang yang terlibat dalam kes menipu bank. Dengan latar belakang yang sama sekali sifar dalam pengetahuan mahupun kemahiran pembikinan filem, zionis telah mengguna beliau sebagai alat untuk melindungi pihak sebenar yang terlibat dalam menghasilkan filem tersebut. Beliau sendiri menafikan menjadi pengarah malah hanya menguruskan aspek “logistik” semata.

Jadi siapa pendalang filem tersebut?

Rekod awam mendapati satu permit filem telah diberi kepada Media for Christ sebuah agensi yang dikendali oleh seorang bernama Joseph Nasrallah Abdelmasih. Kumpulan beliau menaja program Kristian dalam Bahasa Arab termasuk The Way sebuah filem yang menampilkan dua orang penggerak kempen Islamofobia iaitu Pamela Geller dan Robert Spencer. Kedua mereka ini adalah penentang cadangan membina masjid di New York di tapak “Ground Zero” . Idea filem Innocence dicatat dalam blog Geller pada Februari 2012 dalam tajuk A Movie About Muhammad: An Idea Whose Time Has Come.

Sesungguhnya filem dokumentari penghinaan ke atas Nabi bukan satu insiden yang terpisah dan tersendiri, malah ia adalah suatu konspirasi melakar perang ke atas Islam dan umat Islam oleh Amerika, Israel dan kuasa imperialis Eropah Barat.

Tindakan dan rancangan provokasi dalam tempoh dua tahun sempena mengingati peristiwa September 11 bermula dengan kempen membakar Quran oleh Terry Jones dan kali ini video.

Fakta bahawa filem ini adalah kerja dari operasi ekstremis fanatik Zionis yang berpusat di Amerika dan Israel serta Eropah tidak dapat dinafikan, khususnya oleh CIA Dan Mossad.

Apabila reaksi yang sepatutnya berlaku tidak berhasil, mereka cuba menghubungkan kemarahan umat Islam terhadap filem itu kepada pembunuhan duta Amerika di Benghazi, Libya.

Pada hal pihak perisikan Amerika sudah menerima maklumat awal bahawa serangan ke atas kedutaan akan berlaku tetapi pihak Amerika tidak berbuat apa-apa. Pembunuhan itu tidak ada mengena dengan filem dokumentari tersebut. Ia adalah serangan yang disebabkan oleh pembunuhan seorang ketua militan Libya yang pernah disokong oleh CIA sendiri ketika revolusi menjatuhkan Muammar Gadafi.

Analisa ini didedahkan sendiri oleh seorang pakar operasi CIA-Mossad , Thierry Mayssan bahawa pembunuhan duta mungkin diarah oleh Mossad sendiri.

Sebab itu kami percaya kebangkitan ini bukan hanya kerana marah kepada penghinaan terhadap Nabi tetapi adalah kebangkitan menentang kuasa imperialis Barat yang cuba mendominasi kehidupan umat Islam.

Protes yang tercetus mesti dianalisa secara lebih menyeluruh untuk melanjutkan Revolusi Tahrir yang berlaku di dunia Arab.

Kebangkitan ini adalah seruan kepada pembebasan, kemerdekaan dan kedaulatan serta harga diri yang menuntut kepada seluruh rantau dan dunia dibebaskan dari hegemoni kuasa Barat. Dengan itu tanda berakhirnya dominasi Amerika dan Barat ke atas dunia ini telah tiba.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Makanan pengaruhi akhlak

Posted by epondok di September 25, 2012

Norkumala Awang
Sumber rezeki haram boleh sebabkan hati ‘kotor’, hidup tidak tenteram

Imam Ghazali berkata, “Jika kita ingin anak menjadi soleh, bijaksana dan berguna, berilah mereka makan daripada rezeki yang halal sejak dilahirkan. Makanan yang halal selain menjadikan anak kita berguna, boleh menjadikan fikiran mereka cerdas dan pintar. Sebaliknya, anak akan menjadi derhaka kepada kita jika diberikan makanan yang kotor.”

Betapa ramai umat Islam terperangkap dalam dilema pemilihan makanan. Bukan sekadar makanan daripada unsur haram tetapi cara untuk mendapatkan makanan juga haram tanpa disedari secara sengaja atau tidak.
Tidak ada orang Islam yang sanggup memakan babi, justeru ia dielakkan tetapi masih ramai yang makan makanan dibeli dengan wang hasil daripada menipu, memeras ugut, curi tulang, rasuah dan menzalimi hak orang lain.

Kadang-kadang, perkara seumpama ini masih tidak memberi apa-apa kesan buat si pencari nafkah dalam sesebuah keluarga. Mereka merasakan sumber sebegitu langsung tidak akan menjejaskan kesihatan yang nampak secara zahirnya.

Walhal aspek itu yang patut didahulukan kerana ia bakal membentuk peribadi dan akhlak seseorang. Keberkatan itu tidak akan nampak secara zahir, tidak dapat dirasakan oleh hati yang telah dikotori sifat mazmumah dan dosa pahala tidak dapat dimengertikan kerana tiada sebarang kesan kelihatan.

Hati yang lalai akan berterusan dikotori dengan sumber rezeki haram tanpa sedikit pun penyesalan.
Hati akan rosak jika memakan makanan haram sedangkan ia umpama raja dalam kerajaan diri kita. Jika baik hati, maka kebaikannya akan menyerlahkan seluruh jasad namun, jika hati jahat maka jahatlah seluruh diri manusia.
Justeru, berhati-hatilah dengan apa yang kita makan dan berwaspadalah dengan cara bagaimana kita mendapatkan makanan. Apa yang kita makan dan cara kita mendapatkannya akan menentukan secara dasarnya persoalan hidup serta nasib di akhirat kelak.

Makanan yang haram akan memberi kesan langsung kepada kehidupan. Tidak dapat dinafikan pembangunan akhlak seseorang turut dipengaruhi makanan yang diambil. Jika diambil daripada sumber haram, maka akan terbentuklah individu Muslim yang tidak mengikut acuan Islam sebenar.

Akhirnya, akan lahir masyarakat yang sarat dengan masalah sosial akibat hidup tiada keberkatan berpunca daripada susur galur pemakanan yang menjadi darah daging.

Diriwayatkan oleh Ibnu Mardawaihi daripada Ibnu Abbas, seorang sahabat terkenal iaitu Saad bin Abu Waqash meminta Rasulullah SAW memohon kepada Allah supaya apa saja doa permohonannya dikabulkan.

Rasulullah SAW bersabda: “Wahai Saad! Perbaikilah makanan engkau, nescaya engkau akan dijadikan Allah seorang yang makbul doanya. Demi Tuhan, yang jiwa Muhammad ada dalam tangan-Nya, sesungguhnya seorang lelaki yang melemparkan suatu suapan yang haram ke dalam perutnya, maka tidaklah akan diterima amalnya selama empat puluh hari. Dan barang siapa di antara hamba Allah yang tumbuh dagingnya daripada harta yang haram dan riba, maka api neraka lebih baik baginya.”

Kesedaran yang timbul mampu membantu kita memperbaiki usaha mencari nafkah supaya diri dan keluarga tidak berterusan menjadi mangsa sikap tidak peka kita membezakan halal dan haram sumber rezeki.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang berusaha mencari rezeki atau nafkah untuk keluarganya daripada cara mendapatkan hasil yang halal, maka ia seperti berperang di jalan Allah. Dan sesiapa yang mencari sesuatu yang halal dan menjaga diri daripada sesuatu yang haram, maka dia akan mendapat darjat orang yang syahid.”

Makanan bukan sekadar perlu dinilai berdasarkan khasiat dan kelazatannya, yang lebih penting adalah keberkatannya. Di samping berpegang kepada konsep halal dan toyyib, perlu juga dihiasi dengan adab makan yang digalakkan dalam Islam.

Dengan itu, keberkatan dapat diraih, ia melambangkan kesyumulan dan keindahan Islam itu sendiri dalam melahirkan generasi yang berkeperibadian mulia serta beradab tinggi.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Rahmat berdepan cabaran kerja

Posted by epondok di September 24, 2012

Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail

Ujian beri kita peluang meraih kemuliaan, kecemerlangan

Cabaran adalah hakikat dan lumrah kehidupan. Bagi kehidupan umat Islam destinasi terakhirnya adalah hari akhirat dan keredaan Allah SWT. Begitulah juga dengan hakikat ‘pelayaran kerja’ yang membawa kepada ‘destinasi matlamat’ ditetapkan oleh organisasi atau diri sendiri.
Firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia berada dalam susah payah.” (Surah al-Balad, ayat 4)

“Dan sesungguhnya akan Kami berikan cubaan kepada kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar (iaitu) orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jugalah kami kembali. Mereka itu ialah orang yang dilimpahi pelbagai kebaikan daripada Tuhan mereka serta rahmat-Nya dan mereka itulah orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya.” (Surah al-Baqarah, ayat 155-157)

Maksudnya, kesusahan dunia dan akhirat. Secara mudahnya, kehidupan adalah ibarat pelayaran yang menuju ke suatu destinasi. Justeru, dalam pelayaran ini sudah tentu ada kalanya ditiup malah dilanda oleh badai, ombak, angin, ribut dan taufan.

Cabaran dalam kerja

Begitulah juga cabaran dalam bekerja. Seseorang pekerja itu pasti berdepan masalah dan kesukaran sama ada daripada manusia seperti pihak atasan, rakan sejawat, masyarakat sebagai pelanggan, pengguna atau kerana kelemahan dirinya sendiri.

Ataupun masalah yang disebabkan faktor peralatan, kemudahan teknikal dan kewangan sehingga ada yang menghadapi cabaran diberhentikan kerja atau diberi tawaran penamatan perkhidmatan.
Walaupun cabaran dalam ‘pelayaran kerja’ adalah lumrah, namun, dalam Islam ia mengandungi sejuta rahmat yang boleh memuliakan dan memperkasakan manusia.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan sesungguhnya akan Kami berikan cubaan kepada kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar (iaitu) orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jugalah kami kembali. Mereka itu ialah orang yang dilimpahi pelbagai kebaikan daripada Tuhan mereka serta rahmat-Nya dan mereka itulah orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya.” (Surah al-Baqarah, ayat 155-157)

Banyak pengajaran dan pelajaran yang boleh diperoleh sepanjang ‘pelayaran kerja’. Cabarannya mengundang lima bentuk rahmat. Pertama, kejayaan melatih dan mengasah kesabaran serta kecekalan.

Tugas ikut kemampuan

Menurut al-Maraghi dalam tafsirnya, kesabaran ada pendidikan watak iaitu watak menanggung kepayahan tanpa putus asa dan berkeluh-kesah sehingga hati menjadi teguh, jiwa menjadi kuat. Allah memberi cabaran, dugaan dan tanggungjawab sesuai dengan laras kemampuan manusia.

Firman-Nya bemaksud: “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Dia mendapat pahala (daripada kebajikan) yang diusahakannya dan dia mendapat seksa (daripada kejahatan) yang dikerjakannya.” (Surah al-Baqarah, ayat 286)

Kedua, mendekatkan diri dengan Allah SWT. Menurut al-Maraghi, kerana sedikit cabaran atau ujian, manusia akan mengingati, mensyukuri nikmat yang ada padanya dan memohon keampunan atas kelalaian diri.

Raih balasan lebih baik

Ketiga, meraih pahala dan balasan kejayaan yang lebih baik, hasil daripada kekuatan jiwa, pengalaman dan kemahiran dalam mengharungi kesukaran.

Daripada Ummu Salamah, katanya: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Tidak seorangpun hamba yang ditimpa bencana, lalu dia berkata: Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun (sesungguhnya kami adalah milik Allah SWT dan sesungguhnya kepada-Nyalah kami kembali) Wahai Tuhan kami, berilah pahala kepadaku dengan musibah padaku ini dan berilah ganti yang lebih baik daripada ini kepadaku. Melainkan Allah memberi pahala dalam musibah itu dan memberi ganti kepadanya dengan sesuatu yang lebih baik daripada itu.” (Riwayat Muslim)

Keempat, meningkatkan ketakwaan kepada Allah dan kelima, memperoleh pahala, pujian, keampunan Allah serta mencapai kejayaan dunia dan akhirat.

Justeru, marilah kita membina kekuatan untuk menghadapi cabaran kerja termasuklah menggunakan ‘strategi kerja’ seperti meletakkan standard prestasi dengan sasaran betul dan pelan yang realistik untuk dicapai.

Allah mendatangkan cabaran sebagai ujian untuk memberi kita peluang meraih kemuliaan dan kecemerlangan, bukan berserah pada kelemahan atau kegagalan.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT mencela kelemahan. Sebaliknya kamu harus terus berusaha. Apabila kamu ditimpa dengan sesuatu yang tidak kamu sukai, maka ucapkanlah “Cukuplah Allah bagiku dan Dia adalah sebaik-baik penolong.” (Riwayat Abu Daud)

Apabila kekuatan menghadapi cabaran dalam ‘pelayaran kerja’ ini dapat kita depani dengan watak, perspektif dan strategi yang betul, jika diizinkan Allah, rezeki dan organisasi kita akan terjaga.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »