Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Julai 2012

Motivasi daripada amalan bersahur

Posted by epondok di Julai 31, 2012

Oleh Dr Sharifah Haayati Syed Ismail

Usaha mengadakan amalan kebajikan mampu mengeratkan silaturahim

Alhamdulillah, sudah seminggu kita menjalani ibadat puasa Ramadan yang di awalnya dicucuri rahmat Allah SWT sebagai balasan kerana bersabar dengan ujian menahan lapar, dahaga serta meneruskan rutin kerja seharian.
Mengekalkan semangat, momentum dan kecerdasan bekerja tidaklah semudah dikata jika tiada usaha. Justeru, melaksanakan amalan sunat dalam bulan ini yang Allah gandakan pahalanya seperti mengerjakan amalan wajib untuk memberi pelbagai rahmat selain ganjaran pahala di akhirat.

“Sesiapa yang meringankan beban kerja bagi pekerjanya pada Ramadan akan diampunkan Allah dosanya dan dibebaskan daripada neraka.” – Riwayat Ibn Khuzaimah dalam Sahihnya

Termasuklah untuk menguatkan fizikal dan semangat bagi menjaga momentum kerja yang berkualiti dan antara amalan sunat itu ialah bersahur.

Sabda Rasulullah SAW: “Bersahurlah kamu kerana makanan sahur itu mengandungi barakah.” (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Barakah bersahur

Perkataan ‘barakah’ ertinya mengandungi kebaikan yang banyak sama ada manfaatnya semasa kita bangun bersahur mahupun kebaikan untuk keesokan hari ketika berpuasa. Antara kebaikan bangun masa sahur, seseorang itu boleh beramal seperti mendirikan solat dan berdoa.
Diceritakan dalam satu riwayat, Rasulullah SAW mendirikan solat antara sahur dan Subuh dengan kadar bacaan 50 ayat yang sederhana panjangnya.

Rasulullah SAW bersabda, sebaik-baik doa adalah pada waktu sahur.

Apatah lagi dalam Ramadan penuh keberkatan, pahala amalan digandakan dan doa orang berpuasa dimakbulkan. Ruang dan peluang bersahur ini boleh dijadikan penggalak meningkatkan motivasi kerja kerana kesempatan beramal di awal Subuh juga dapat menjamin kesegaran dan kecerdasan fizikal.

Hal ini dapat membendung sifat malas serta mengerjakan solat di awal waktu dan menjaga disiplin dengan mengelakkan pekerja lewat ke tempat kerja.

Sumber tenaga

Makanan diambil ketika bersahur dapat memberi sumber tenaga untuk bekerja dan beribadat. Kerana itu jugalah disunatkan untuk melewatkan bersahur. Beginilah banyaknya rahmat dan barakah terkandung dalam amalan bersahur.

Selain itu, semangat dan momentum kerja juga dapat dibantu oleh pegawai atasan atau majikan melalui pelbagai kaedah seperti penghargaan, galakan di atas khidmat serta pencapaian staf khasnya kerana mengambil kira ia dilakukan dalam keadaan mereka berpuasa.

Apatah lagi kerana Allah SWT melimpahkan pelbagai bentuk penghargaan sehinggakan kepada bau mulut mereka yang berpuasa itu menurut sabda Rasulullah lebih baik di sisi Allah SWT daripada bau kasturi.

Justeru, usaha mengadakan majlis ilmu, berbuka puasa, bersedekah kurma dan bantuan kepada keluarga fakir miskin, anak yatim yang memerlukan dalam kalangan pekerja organisasi mampu mengeratkan silaturahim serta melambangkan keprihatinan majikan.

Budi bicara

Sifat timbang rasa dan budi bicara majikan mengagihkan kerja supaya tidak terlalu membebankan atau menyusahkan juga antara kaedah merangsang semangat momentum bekerja sepanjang Ramadan.

Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang meringankan beban kerja bagi pekerjanya pada Ramadan akan diampunkan Allah dosanya dan dibebaskan daripada neraka.” (Riwayat Ibn Khuzaimah dalam Sahihnya)

Usaha ini juga menjadi serampang dua mata iaitu melatih disiplin diri pekerja dan hemah majikan dalam menjaga kebajikan serta hubungan silaturahim dengan pekerjanya. Kedua-dua aspek ini adalah faktor penentu kejayaan individu dan organisasi yang mampu dijana.

Malah, ia adalah usaha ke arah membangunkan warga organisasi yang bertakwa seperti matlamat berpuasa yang difardukan Allah kepada hamba-Nya.

Maksud takwa menurut Saidina Ali ialah takut kepada Allah al-Jalil iaitu dalam konteks ini, merasa bimbang atau takut kita tidak memelihara dan menyempurnakan amanah kerja terhadap pekerja dengan baik.

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya Allah berserta orang yang bertakwa dan berusaha memperbaiki amalannya.” (Surah al-Nahl, ayat 128)

Justeru, apabila bersandarkan matlamat ini, sesuatu yang mustahil akan menjadi realiti dan kerja disempurnakan dalam kegembiraan, dipermudah serta diperelokkan oleh Allah SWT

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Rebut kelebihan Ramadan dengan amalan soleh

Posted by epondok di Julai 31, 2012

Mohd Ali Muhamad Don
Pada Ramadan, masyarakat Islam digalakkan memperbanyak bersedekah, menyediakan juadah berbuka puasa dan menghulurkan apa juga bantuan yang terdaya bagi mencontohi perbuatan Baginda Nabi SAW yang sangat pemurah.

Begitu juga kewajipan bersegera menunaikan fardu zakat fitrah bagi yang berkemampuan tidak harus dilengah-lengahkan.
Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesiapa daripada kalangan mukmin memberi makanan kepada mukmin yang kelaparan maka Allah SWT akan memberinya makanan buah-buahan syurga pada hari kiamat. Sesiapa daripada kalangan mukmin memberi minuman kepada mukmin yang kehausan maka Allah SWT akan memberinya khamar syurga yang termeterai bekasnya pada hari kiamat. Sesiapa daripada kalangan mukmin memberi pakaian kepada mukmin yang tidak berpakaian maka Allah SWT akan memberinya pakaian syurga yang berwarna hijau.” (Riwayat al-Tirmiziy dan Abu Daud)

“Tidaklah berkumpul suatu kaum di rumah Allah, mereka membaca al-Quran dan saling mempelajarinya kecuali akan turun kepada mereka ketenangan, diliputi rahmat Allah SWT, malaikat akan menyertai mereka dan Allah SWT membanggakan mereka di kalangan malaikat yang ada di sisinya.” (Riwayat Abu Daud)

Baginda SAW pernah ditanya sedekah yang paling afdal dan Baginda menjawab, sedekah pada Ramadan.

Selain itu kelebihan, Ramadan juga dibahagi-bahagikan kepada nikmat beroleh rahmat Allah SWT pada 10 hari pertama, ganjaran pengampunan dosa pada 10 hari berikut dan akhirnya pembebasan daripada api neraka di 10 terakhir.

Kelebihan Ramadan jadi motivasi muslimin beramal

Semua kelebihan ini motivasi untuk muslimin beramal memenuhi Ramadan dengan aktiviti bermanfaat. Diriwayatkan juga apabila tiba Ramadan, pintu langit, pintu syurga, pintu rahmat dibuka, pintu neraka ditutup dan syaitan dibelenggu.
Masyarakat Islam diseru berusaha bersungguh-sungguh memenuhi seluruh Ramadan dengan pelbagai kegiatan ibadah yang memiliki ganjaran hebat. Ganjaran bertadarus al-Quran contohnya mampu memberi ketenangan dan menarik rahmat Allah SWT.

Ini dinyatakan dalam riwayat: “Tidaklah berkumpul suatu kaum di rumah Allah, mereka membaca al-Quran dan saling mempelajarinya kecuali akan turun kepada mereka ketenangan, diliputi rahmat Allah SWT, malaikat akan menyertai mereka dan Allah SWT membanggakan mereka di kalangan malaikat yang ada di sisinya.” (Riwayat Abu Daud)

Ramadan juga bulan pengampunan dosa yang memberi peluang individu Muslim melipatgandakan usaha memohon keampunan seterusnya bertaubat dan tidak lagi mengulangi dosa itu.

Kelebihan yang tiada tolok bandingnya terdapat pula pada malam lailatulqadar. Berjihad mencari lailatulqadar adalah kemuncak daripada segala amal kebajikan dilakukan sejak hari pertama Ramadan.

Pada malam itu dosa sesiapa beristighfar diampunkan, doa dan permohonan kepada sesiapa yang ikhlas menadah tangan kehambaan diperkenankan.

Malah pahala beribadah menyamai 1, 000 bulan iaitu seolah-olah 83 tahun umur manusia bakal diraih insan terpilih beroleh nikmat beribadah pada malamnya. Ini juga peluang keemasan yang perlu diraih setiap Muslim.

Ia tiba setahun sekali dan tiada sesiapa yang boleh menjangka akan memperoleh lagi kenikmatan seperti ini pada tahun mendatang

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Ijtima’ Pondok Nusantara Sempena Ihya’ Ramadhan 1433H

Posted by epondok di Julai 30, 2012

Ijtima’ besar-besaran yang bakal dihadiri oleh Ulama’ seluruh Malaysia, Indonesia dan Thailand akan diadakan pada 15 dan 16 Ramadhan 1433H bersamaan 4 dan 5 Ogos 2012M bertempat di Qaryah Ramadhan, Perkarangan Stadium Sultan Muhammad ke IV, Kota Bharu, Kelantan. Semua pencinta Islam dijemput hadir beramai-ramai dalam memeriahkan majlis ini

15 dan 16 Ramadhan 1433H bersamaan 4 dan 5 Ogos 2012M

Hari Sabtu dan Ahad

TARIKH

MASA

PROGRAM

 

Sabtu

4.39– 5.00 pm Solat Asar berjemaah di Qaryah Ramadhan

15 Ramadhan

5.10 – 6.00 pm Halaqah al-Quran

1433H

7.30 – 8.00 pm Iftar Jamai’e dan Solat Maghrib berjemaah

8.39 pm Solat Isyak’ dan Terawih berjemaah

4 Ogos 2012M

  Tazkirah oleh wakil Persatuan Ulama’ Fathoni

11.35 pm Minum malam
  11.45 pm Khidmat diri dan tidur

 

4.00 –  4.55 am Khidmat diri & Qiamullail*

5.00 am Bersahur

Ahad

5.51 –  7.40 am Solat Subuh berjemaah dan Kuliah Subuh oleh wakil Ulama’ Nusantara

16 Ramadhan

7.45 am Solat Dhuha

1433H

9.00-9.20 am – Dhif kehormat dan tetamu jemputan mengambil tempat

5 Ogos 2012M

9.30 am Halaqah Ilmu 1 : “ Peranan Ulama’ Dalam Amar Makruf Nahi Mungkar”

Moderator : Ustaz Hj Tuan Syarifudin b Tuan Ismail (KIAS)

Pembentang : Dr Hj Abdul Basit bin Hj Abdul Rahman (Pondok Sungai Durian)

Pengulas        : Syeikh Muhd Zainul Asri b Hj Mohd Romli (Kedah)

 

10.45 am Halaqah Ilmu 2 : “ Peranan Pusat Pengajian Pondok Dalam Melahirkan Kepimpinan Ummah”

Moderator : Ustaz Hj Mokhtar b Senik (Pahang)

Pembentang : al-Fadhil Tuan Guru Hj Salleh b Musa (Kedah)

Pengulas        : Ustaz Hj Zulkifli b Ismail (Melaka)

12.00 pm – Ketibaan YAB Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Menteri Besar Kelantan

12.10 pm Majlis Perasmian Ijtima’ Pondok Nusantara 1433H

– Ucapan aluan Pengerusi Majlis

– Bacaan al-Quran al-Karim oleh Ustaz Hj Nazri b Hj Muhamed (Pondok Beta Hilir)

– Ucapan wakil Pusat Pembangunan Pondok Berhad (Dr Hj Lukman bin Hj Abdullah – Timbalan Pengerusi PPPB)

– Ucapan Perasmian oleh YAB Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Menteri Besar Kelantan

1.20 pm Solat Zohor berjemaah

2.00 pm Liqa’ Ulama’ Nusantara dan Resolusi

4.39 pm Solat Asar berjemaah

5.00 pm Qasidah dan Majlis zikir Ratib Haddad

7.30 – 8.00 pm Iftar Jamai’e dan Solat Maghrib berjemaah

8.39 pm Solat Isyak’ dan Terawih berjemaah

  Tazkirah oleh Ulama’ Indonesia

10.35 pm Minum malam

Posted in Program Terbaru | Leave a Comment »

Gembira melayani puasa diharam api neraka

Posted by epondok di Julai 30, 2012

Oleh Zawawi Yusoh

KITA sepatutnya perlu memanjatkan kesyukuran dengan nikmat Islam yang mewajibkan puasa. Walaupun lapar dan letih, terlalu banyak pengajaran dan hikmah yang kita pelajari daripada ibadat puasa ini.

Mungkin realiti semasa kita malas, tidak kuat untuk berubah, apa lagi sifat negatif yang kadang kala sudah sebati di jiwa. Rupanya puasa menghantar satu isyarat bahawa kita ada potensi cukup kuat untuk menguasai diri.

Ramadan memang sarat dengan tawaran istimewa yang tiada pada bulan
lain. Di dalamnya ada keampunan, kasih sayang, kesihatan dan seribu rahmat lain bagi mereka yang memburunya.

Dalam satu hadis, Rasulul lah pernah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang bergembira dengan kedatangan Ramadan, Allah akan mengharamkan tubuhnya daripada disentuh api neraka.”

Gembira bukannya boleh dibuat-buat. Ia datang daripada hati yang selama ini memang suka dan cintakan ibadat, cintakan solat, cintakan al-Quran.

Sekiranya hendak lihat gembira yang sebenar dalam menyambut Ramadan, lihatlah cara kita melayani Ramadan serta pakej yang datang bersamanya.

Ini termasuk cara kita melayani puasa, cara kita membaca al-Quran, cara kita bertarawih. Itu yang menjadi kayu ukur jika kita menyatakan perasaan gembira menyambut Ramadan.

Jangan hanya menjaga perkara yang membatalkan puasa, tetapi perkara yang membatalkan pahala puasa juga perlu dijaga. Itu puasa adat namanya bukannya ibadat.

Berdoa kepada Allah supaya Ramadan kali ini kita berkesempatan melakukannya dengan terbaik. Kita memang mempunyai kekuatan. Cuba fikirkan, setiap hari kita berpuasa kita tak makan selama berbelas jam.

Makanan adalah keperluan asasi dalam kehidupan.

Orang sanggup berperang, menggadai maruah dan melakukan apa saja demi untuk makan.

Bayangkan dalam masa berbelas jam kita boleh menahan diri daripada me ngambil makanan. Kita boleh sabar hingga masa berbuka. Ketika berlapar makanan depan mata, kalau kita nak makan kita boleh makan secara senyap-senyap.

Ketika berkumur, kita juga boleh teguk air jika mahu, bukan ada orang tahu pun. Begitu juga jika ada orang lain meneguk air pun tak tahu. Tetapi kita tidak lakukan semua itu kerana ia membatalkan puasa kita.

Makanan sangat perlu dalam kehidupan boleh ditinggalkan apa lagi merokok yang membahayakan sudah tentu kita boleh tinggalkan. Semoga Ramadan kali ini kita bina tekad baru untuk tidak lagi merokok.

Pendek kata, segala sifat kotor dan keji boleh dihindari dengan belajar daripada kekuatan puasa. Kenapa kita tidak berani minum air ketika berpuasa?

Sebabnya kita rasa Allah Maha Melihat serta sentiasa memerhatikan kita. Manusia tidak mampu memerhatikan kita pada setiap tempat.

Perasaan serupa sepatut nya membuatkan kita berasa sentiasa ‘diintip’ kamera la ngit, menyebabkan kita takut diketahui dan dicatatkan, apa lagi nanti dibentangkan di Padang Mahsyar.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Jangan sia-siakan kehadiran Ramadhan

Posted by epondok di Julai 29, 2012

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN

ALHAMDULILLAH, syukur tidak terhingga kepada Allah SWT kerana kita telah dianugerahkan sekali lagi kesempatan untuk menjadi tetamu Ramadan. Ia seumpama tempat persinggahan sementara yang mempunyai timbunan rahmat dan kasih-sayang daripada Allah SWT, sebelum kita meneruskan perjalanan ke negeri yang abadi.

Seorang cendekiawan Islam pernah berkata bahawa hidup ini umpama perjalanan sebuah kereta api. Setiap tempat yang menjadi persinggahan tidak akan dijumpai lagi selepas itu. Perjalanannya akan berakhir apabila sampai ke destinasi yang sepatutnya.

Itulah perumpamaan yang boleh dibuat untuk menggambarkan kehidupan kita di dunia yang fana ini. Setiap masa yang dilalui tidak akan kembali lagi. Semalam semestinya tidak sama dengan hari ini dan hari ini tidak mungkin sama dengan esok.

Ramadan yang telah berlalu juga tidak akan sama dengan Ramadan kali ini. Kita tidak akan dapat melalui semula perhentian Ramadan yang telah berlalu. Apa yang boleh dibawa adalah nilai dan hasilnya bersama.

Berapa ramai di kalangan orang yang rapat dengan kita tidak sempat bersama-sama dengan kita pada Ramadan hari ini. Mereka mungkin berbuka puasa dan menunaikan solat terawih bersama kita pada Ramadan yang lalu, namun malangnya mereka sudah tidak berkesempatan untuk bersama-sama dengan kita pada kali ini.

Mereka yang sedang membaca tulisan ini perlu merasa bertuah dan beruntung kerana dipilih oleh Allah SWT sekali lagi untuk menggarap sebanyak mungkin pahala yang disediakan oleh Allah SWT.

Pepatah Melayu ada menyebut; “Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.” Pepatah ini cukup bermakna kerana ia menganjurkan kita supaya sentiasa membuat muhasabah terhadap kehidupan kita sebelum ini. Allah SWT sengaja menyebutkan beberapa ayat yang menjelaskan penyesalan mereka yang mensia-siakan kehidupan di dunia ini.

Antaranya ialah firman Allah SWT: Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin. (al-Sajadah: 12)

Dan firman Allah SWT: Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang daripada kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka dia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi daripada orang-orang yang soleh. (al-Munafiqun: 10)

Demikian juga hari-hari yang berlalu dalam hidup kita. Setiap masa yang dilalui sepatutnya digunakan semaksima mungkin kerana ia pastinya tidak berulang lagi. Umur yang dimiliki oleh kita mempunyai “tarikh luput”nya yang tersendiri.

Bahkan Allah SWT akan membangkitkan persoalan umur dan bagaimana kita memanfaatkannya di akhirat kelak. Sabda Nabi SAW: “Tidak akan terlepas dua kaki anak Adam di akhirat di hadapan Allah SWT, kecuali setelah ditanya dengan LIMA perkara; tentang umurnya bagaimana dia habiskan, tentang masa mudanya bagaimana digunakan, tentang hartanya dari mana datangnya, ke mana dibelanjakan harta tersebut dan apakah yang dilakukan dengan ilmunya. (riwayat Tirmidzi)

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Sambunglah silaturahim di bulan Ramadan

Posted by epondok di Julai 29, 2012

Oleh Zawawi Yusoh

SEMOGA kita juga merindukan kehadiran Ramadan sebagaimana rindunya Rasulul lah s.a.w dengan bulan ini.

Diharap doa yang kita baca selama ini “Ya Allah berkahilah hidup kami di bulan Rejab dan Sya’ban dan sampaikanlah usia kami hingga bulan Ramadan” dimakbulkan.

Alangkah beruntung jika dapat bertemu bulan yang mulia itu. Apabila tibanya Ramadan nanti, sama-samalah kita berdoa sebagaimana Rasulullah lakukan.

“Ya Allah, terbitkanlah (dan tampakkanlah) hilal kepada kami (diiringi) dengan keberkahan dan keimanan serta keselamatan dan keislaman, (jadikanlah dia) sebagai hilal kebaikan dan petunjuk, Tuhanku dan Tuhanmu adalah Alloh.”

(At-Tarmidzi (9/142), imam Ahmad (1/162), Ad-Darimi (2/7) dan lain-lain, )

Untuk menjadikan Ramadan kali ini lebih bererti, marilah sama-sama kita menghayati beberapa tip penting ketika menyambut Ramadan daripada hadis nabi antaranya, bermohonlah kepada Allah Rabbmu dengan niat yang tulus dan hati yang suci agar Allah membimbingmu melakukan puasa dan membaca kitab-Nya.

Celakalah orang yang tidak mendapat ampunan Allah di bulan yang agung ini.
Kenanglah dengan rasa lapar dan hausmu, kelaparan dan kehausan di hari kiamat.
Bersedekahlah kepada kaum fuqara dan orang miskin.

Muliakanlah orang-orang tuamu, sayangilah yang muda, sambunglah tali persudaraanmu, jaga lidahmu, tahan pandanganmu dari apa yang tidak halal kamu memandangnya, dan pendengaranmu dari apa yang tidak halal kamu mendengarkannya.

Kasihanilah anak-anak yatim, nescaya dikasihi manusia anak-anak yatimmu.
Bertaubatlah kepada Allah dari dosa-dosamu. Angkatlah tangan-tanganmu untuk berdoa pada waktu solatmu kerana itulah saat-saat yang paling utama ketika Allah Azza wa Jalla memandang hamba-hambanya dengan penuh kasih; Dia menjawab mereka ketika mereka menyeru-Nya, menyambut mereka ketika mereka memanggil-Nya, dan mengabulkan mereka ketika mereka berdoa kepada-Nya.

Wahai manusia! Sesungguhnya diri-dirimu tergadai kerana amal-amalmu, maka bebaskanlah dengan istighfar. Punggung-punggungmu berat kerana beban (dosamu), maka ringankanlah dengan memanjangkan sujudmu.

Ketahuilah! Allah bersumpah dengan segala kebesaran-Nya bahawa Dia tidak akan mengazab orang-orang yang solat dan sujud, dan tidak akan mengancam mereka dengan neraka pada hari manusia berdiri dihadapan Rabb Al-’Alamin.

Wahai manusia! Barang siapa di antaramu memberi makan berbuka puasa kepada orang-orang Mukmin yang berpuasa di bulan ini, maka di sisi Allah nilainya sama dengan membebaskan seorang hamba dan ia diberi ampunan atas dosa-dosanya yang lalu. (Sahabat-sahabat bertanya:” Ya Rasulullah! Tidaklah kami semua mampu berbuat demikian.” Rasulullah meneruskan: “Jagalah dirimu dari api neraka walaupun hanya dengan sebiji kurma. Jagalah dirimu dari api neraka walaupun hanya dengan seteguk air.

Wahai manusia! Siapa yang memperbaiki ahlaknya di bulan ini dia akan berhasil melewati sirath pada hari ketika kaki-kaki tergelincir.

Barang siapa yang meri ngankan pekerjaan orang-orang yang dimiliki tangan kanannya (pegawai atau pembantu) di bulan ini, Allah akan meri ngankan pemeriksaan-Nya di hari Kiamat. Barang siapa menahan kejelekannya di bulan ini, Allah akan menahan murka-Nya pada hari ia berjumpa dengan-Nya.

Barang siapa memuliakan anak yatim di bulan ini, Allah akan memuliakannya pada hari ia berjumpa dengannya. Barang siapa menyambung tali persudaraan (silaturahim) di bulan ini, Allah akan menghubungkan dia dengan rahmat-Nya pada hari ia berjumpa dengan-Nya. Barang siapa memutuskan kekeluargaan di bulan ini, Allah akan memutuskan rahmat-Nya pada hari ia berjumpa dengan-Nya.

Barang siapa melakukan solat sunat di bulan ini, Allah akan menuliskan, Allah akan menuliskan baginya kebebasan dari api neraka. Barang siapa melakukan solat fardu baginya adalah ganjaran seperti melakukan 70 solat fardu di bulan lain.

Barang siapa memperba nyakkan selawat kepadaku di bulan ini, Allah akan memberatkan timbangannya pada hari ketika timbangan meringan. Barang siapa pada bulan ini membaca satu ayat Al-Quran, ganjarannya sama seperti mengkhatam Al-Quran pada bulan-bulan lain.

Wahai manusia! sesungguhnya pintu-pintu syurga dibukakan bagimu, maka mintalah kepada Tuhanmu agar tidak akan pernah menutupnya bagimu.

Pintu-pintu neraka tertutup, maka mohonlah kepada Rabbmu untuk tidak akan pernah dibukakan bagimu. Syaitan-syaitan terbelenggu, maka mintalah agar ia tidak lagi pernah menguasaimu.

Amirul Mukminin berkata, Aku berdiri dan berkata, “Ya Rasulullah! Apa amal yang paling utama di bulan ini?” Jawab Nabi: Ya abal Hasan! Amal yang paling utama di bulan ini adalah menjaga diri dari apa yang diharamkan Allah”.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Rahsia Ibadat Puasa

Posted by epondok di Julai 28, 2012

Puasa Ramadhan merupakan antara ibadat khusus yang termasuk dalam rukun Islam yang wajib ditunaikan. Antara tujuan kewajipan berpuasa adalah bagi melahirkan umat Islam yang bertaqwa kepada Allah sebagaimana Firman Allah dalam ayat 183 surah al-Baqarah :

183  سورة البقرة :

يأيهاالذين امنوا كتب عليكم الصيام كما كتب على الذين من قبلكم لعلكم تتقون

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa

Taqwa merupakan suatu kalimah yang mudah disebut dimulut tetapi susah untuk dilaksanakan dalam diri. Maksud taqwa   sebagaimana yang diberitahu oleh Abu Hurairah iaitu seumpama seseorang yang terpaksa melalui sebatang jalan yang dipenuhi duri maka semestinya dia akan berusaha menjauhi, berundur atau cermat semasa melangkah agar tidak terpijak duri itu

Antara ciri orang bertaqwa ialah sentiasa melakukan apa yang diperintah oleh Allah dan dalam masa yang sama sentiasa menjauhi segala tegahanNya. Ingatlah kita bagaimana orang Mukmin sentiasa melihat dosa seumpama gunung yang mahu menghempap diri sehingga dia bimbang untuk mendekatinya sedangkan orang munafik sentiasa melihat dosa sebagai suatu yang kecil tidak lebih seperti lalat yang hinggap di atas hidungnya di mana ia boleh dihalau dengan mudah.

Bagi melahirkan umat yang bertaqwa maka antara usaha yang terbaik ialah melalui ibadat puasa di mana ia boleh melemahkan nafsu sehingga diri lebih mudah untuk mengerjakan ibadat. Walau pun iblis dan syaitan dibelenggu sepanjang bulan Ramadhan namun sahabat karibnya terus wujud dalam diri kita iaitu nafsu. Kita sentiasa ingat bahawa dalam diri manusia adanya dua perkara yang tidak pernah tua walau pun seseorang itu telah lanjut usianya iaitu nafsu dan angan-angan.

عن صفية : قال النبي  : إِنَّ الشَّيْطَانَ لَيَجْرِيْ مِنِ ابْنِ آدَمَ مَجْرَى الدَّمِ فَضَيِّقُوْا مَجَارِيَهُ بِالجُوْعِ  –  رواه البخاري ومسلم

Maksudnya : Sesungguhnya syaitan itu berjalan dari anak Adam pada tempat jalan darahnya maka sempitkanlah tempat jalannya dengan lapar

            Umat Islam yang benar-benar bertaqwa kepada Allah sentiasa menunaikan ibadat puasa dengan penuh keikhlasan kepada Allah tanpa ada rasa keinginan untuk menunjuk-nunjuk bahawa dia berpuasa apatah lagi ibadat puasa susah untuk dizahirkan dan ibadat puasa juga ada keistimewaannya tersendiri dari sudut ganjarannya daripada Allah.

عن أبي هريرة : قال النبي  : كُلُّ حَسَنَةٍ بِعَشْرِ أَمْثَاِلهَا إِلىَ سَبْعِمِائَةٍ ضِعْفٍ إَلا الصِّيَامُ فَإِنَّهُ لِىْ وَأَناَ أَجْزِي بِهِ     – رواه البخاري ومسلم

Maksudnya : Setiap amalan baik pahalanya 10 kali sampai kepada 700 kali selain daripada puasa. Maka puasa itu adalah bagiku dan aku sendiri akan membalasnya

Islam sentiasa menganjurkan umatnya agar menjaga kesihatan bagi memastikan setiap gerak kerja dapat dilaksanakan dengan baik terutama ibadat khusus. Oleh itu kewajipan puasa antaranya bagi mememastikan kesihatan umat Islam dapat dijaga dengan baik.

قال النبي  : صُوْمُوْا تَصِحُّوْا

Maksudnya : Berpuasalah nescaya kamu sihat.

            Antara ciri orang bertaqwa ialah mempunyai tahap kesabaran yang tinggi dalam menghadapi sebarang cubaan dan ujian daripada Allah sehingga imannya semakin kuat. Oleh itu ibadat puasa merupakan antara proses dalam menanam kukuh sifat sabar dalam diri umat Islam.

عن أبي هريرة: قال النبي  : الصَّوْمُ نِصْفُ الصَّبْرِ-  رواه  ابن ماجه

Maksudnya : Puasa itu sebahagian daripada sabar

عن ابن مسعود: قال النبي  : الصَّبْرُ  نِصْفُ  الإْيمَانِ-  رواه  أبو نعيم

Maksudnya : Sabar itu sebahagian daripada iman

Umat Islam yang bertaqwa turut menjaga kualiti ibadat puasanya agar ia diterima oleh Allah. Kita tidak mahu menunaikan ibadat semata-mata menahan diri daripada makan minum serta perkara yang membatalkan puasa sahaja sedangkan anggota lain seperti hati, mata, lidah, telinga terus bergelumang dengan maksiat yang menggugat kesempurnaan ibadat puasa itu sendiri. Ingatlah kita kepada peringatan Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadis yang berbunyi

عن أبي هريرة: قال النبي  : كَمْ مِنْ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صَوْمِهِ إِلا الْجُوْعُ وَالْعَطَشُ-  رواه النسائي وابن ماجه

Maksudnya : Betapa ramai orang yang berpuasa yang tiada baginya daripada hasil puasanya itu selain lapar dan dahaga

Posted in Amalan Pilihan | 1 Comment »

Jaga adab berpuasa

Posted by epondok di Julai 28, 2012

Oleh IBRAHIM ABDULLAH

HABIB Abdullah bin Alwi al-Haddad, dalam kitabnya Nashaihud Diniyyah wal Washaayal Imaniyyah berkata: “Orang yang berpuasa mempunyai adab-adab yang puasanya tidak menjadi sempurna, kecuali dengan adanya adab-adab itu. Yang terpenting daripadanya ialah menjaga lidahnya daripada dusta dan ghibah serta membicarakan sesuatu yang tidak perlu baginya. Ia menjaga kedua mata dan telinganya daripada mendengarkan dan memandang sesuatu yang tidak halal baginya serta sesuatu yang dianggap berlebihan.”

Seterusnya, ia menjaga pula dirinya daripada memakan makanan haram dan subahat, khususnya ketika berbuka puasa. Ia berusaha dengan sangat berhati-hati untuk tidak berbuka puasa, kecuali dengan memakan makanan halal lagi tayyibah.

Ulama Salaf berkata: “Apabila engkau berpuasa, lihatlah makanan apa yang engkau makan ketika berbuka dan di tempat mana engkau berbuka. Hal itu merupakan dorongan agar berhati-hati mengenai makanan berbuka puasa.”

Begitu pula orang yang berpuasa harus menjaga semua anggota tubuhnya daripada perbuatan yang tidak perlu. Dengan itu puasanya menjadi sempurna dan bersih.

Banyak orang yang berpuasa memayahkan dirinya dengan lapar dan dahaga. Namun membiarkan anggota tubuhnya berbuat maksiat sehingga merosakkan puasanya dan mensia-siakan kepayahannya.

Nabi SAW bersabda bermaksud: Banyak orang yang berpuasa tetapi puasanya hanya menghasilkan lapar dan dahaga. (riwayat Muslim).

Meninggalkan maksiat adalah wajib bagi orang yang berpuasa mahupun yang tidak berpuasa. Tetapi orang yang berpuasa lebih utama untuk berhati-hati dan lebih wajib.

Nabi SAW bersabda bermaksud: Puasa itu perisai. Maka pada hari kamu berpuasa, janganlah ia berkata-kata dan jangan berbuat kefasikan serta jangan menganggu orang lain. Jika ada orang memakinya atau memusuhinya, maka katakanlah, sesungguhnya aku berpuasa. (riwayat Bukhari dan Muslim).

Termasuk adab orang berpuasa ialah tidak banyak tidur di siang hari dan tidak banyak makan di waktu malam. Hendaklah ia makan sekadarnya sehingga ia merasakan sentuhan lapar dan dahaga supaya jiwanya menjadi baik dan nafsunya menjadi lemah serta hatinya menjadi terang. Itu rahsia puasa dan tujuannya.

Hendaknya orang yang berpuasa menjauhi kesenangan hawa nafsunya serta kenikmatan melampau. Latihan dan menjauhi keinginan nafsu menimbulkan pengaruh besar dalam menerangi hati dan secara khusus dituntut di bulan Ramadan.

Adapun orang -orang yang menjadikan bersenang-senang dan hidup mewah di bulan Ramadan, hal itu merupakan tipu daya syaitan agar mereka tidak merasakan keberkatan puasa mereka

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Ramadan bukan beban

Posted by epondok di Julai 27, 2012

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

ALHAMDULILLAH Ramadan telah melabuhkan tirainya kepada kita semua untuk sama-sama cuba meramadankan diri, sama ada ibadat yang wajib atau sunat.

Tetapi malangnya sebahagian orang merasakan Ramadan sebagai bebanan dan kesukaran dengan gambaran sikap puasa sebagai bebanan kepada mereka.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Allah SWT naungkan kepada kamu dengan berlabuhnya bulan Ramadan ini dengan Rasulullah SAW bersumpah: Tiadalah berlalu ke atas orang Islam bulan yang lebih baik bagi mereka daripada bulan Ramadan dan tidak kepada munafik lebih teruk daripada bulan Ramadan. Sesungguhnya Allah SWT menulis pahala ganjarannya sebelum menjelmanya bulan dan juga menulis dosa serta kehinaan sebelum masuknya bulan Ramadan.” (riwayat Imam Ahmad dan al-Baihaqi).

Sebenarnya orang yang beriman melihat kepada laba dan keuntungan pahala yang dianugerahkan Allah kepada yang beriman dan beramal bersungguh-sungguh pada bulan Ramadan seperti berpuasa dengan sepenuh hati, melakukan qiamullail, terawih, witir dan lain-lain.

Sedangkan orang munafik melihat kepada habuan nafsu dan syahwat. Justeru, perasaan pertama terlintas kepada mereka bila Ramadan mengunjunginya dengan perasaan lapar, dahaga, letih, penat, mengantuk, malas, susah, banyak terganggu dan tergendala program kehidupan mereka selama 11 bulan.

Atas asas inilah mereka merasa sukar dengan munculnya Ramadan yang membawa 1001 rahmat dan kelebihan.

Daripada Abi Mas’ud al-Ghifari, katanya Rasulullah SAW bersabda: “Kalaulah hamba-hamba Allah mengetahui kelebihan yang terdapat pada bulan Ramadan, nescaya mereka bercita-cita supaya bulan Ramadan berlaku sepanjang tahun.” (riwayat al-Tabarani, Ibnu Khuzaimah dalam sahihnya dan al-Baihaqi.

Inilah yang terjadi kerana tanpa kefahaman yang jelas menyebabkan mereka begitu hanyut dalam kehidupan sehingga lalai untuk beribadat.

Akhirnya mereka hanya melihat puasa sebagai amalan ritual atau semata-mata kewajipan tanpa memahami kelebihan yang begitu banyak dalam bulan tersebut.

Oleh kerana itu hendaklah kita cuba menghayati kelebihan Ramadan dan keistimewaannya untuk kita lakukan acara ibadat dengan sebanyak mungkin. Jadikanlah Ramadan kali ini lebih baik daripada Ramadan lalu dari sudut laba dan keuntungan akhirat. Penuhilah masjid dengan beriktikaf dan solat serta menghadiri majlis pengajaran ilmu.

Semoga kita menjadi hamba Allah yang benar-benar melaksanakan ibadat yang wajib dan sunat agar kita meraih takwa di sisi Allah SWT. Amin

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Petunjuk Allah

Posted by epondok di Julai 26, 2012

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

ALLAH SWT menyebut perihal hari akhirat dan menjelaskan azab kepada orang kafir secara singkat serta pahala orang yang taat secara terperinci. Ini adalah untuk menunjukkan kepada kita bahawa di sisi rahmat itu didahulukan daripada azab.

Kemudian Allah SWT menambah dengan menyebut keadaan dunia, iaitu Dia mendahulukan keadaan orang yang taat (Rasulullah SAW dan umatnya) berbanding keadaan orang yang derhaka dan musyrik.

Sebelum perintah dan larangan yang berhubung dengan Rasulullah SAW dikeluarkan, Allah SWT telah memerintahkan kepadanya agar bersabar terhadap gangguan kaumnya yang baginda alami. Ini adalah untuk menghilangkan kedukaannya dan menguatkan hati baginda, sehingga lapang hati baginda. Justeru baginda sibuk mentaati Allah dengan berada dalam kegembiraan dan keaktifan.

Firman Allah SWT: Sesungguhnya kami Telah menurunkan al-Quran kepadamu (hai Muhammad) dengan beransur-ansur. (al-Insaan: 23)

Al-Maraghi berkata: ” Penurunan secara berperingkat dan beransur-ansur selama 23 tahun, agar mudah dihafal, memahami dan mempelajarinya. Manakala hukum-hukumnya itu diturunkan sesuai dengan peristiwa yang benar-benar berlaku di dunia sehingga akan memperkuatkan lagi keimanan orang Mukmin dan menambah ketakwaan orang yang bertakwa.”

Ibnu Kathir berkata: “Allah SWT memberikan kurniaan kepada Nabi Muhammad SAW iaitu diturunkannya al-Quran secara beransur-ansur.”

Sayid Qutub berkata: “Ayat ini menekankan peringatan pertama kepada sumber perintah memperjuangkan dakwah Islam dan sumber hakikatnya, iaitu dakwah Islam ini adalah daripada Allah SWT.”

Dialah sumber dakwah Islam yang tunggal. Dialah yang menurunkan al-Quran membawa dakwah ini. Kerana itu tiada sumber dan tiada punca lain bagi dakwah melainkan al-Quran. Allah SWT yang telah menurunkan al-Quran dan mentaklifkan dakwah ini tidak akan membiarkannya dan tidak akan meninggalkan pendakwahnya begitu sahaja.

Firman Allah SWT: Maka bersabarlah kamu untuk (melaksanakan) ketetapan Tuhanmu, dan janganlah kamu ikuti orang yang berdosa dan orang yang kafir di antara mereka. (al-Insaan: 24)

Al-Maraghi berkata: “Bersabarlah kamu terhadap cubaan dan ujian Tuhanmu kerana ditunda memberi pertolongan kepadamu daripada gangguan orang musyrik. Bersabarlah kamu menghadapi gangguan-gangguan ketika menyampaikan risalah dan wahyu yang diturunkan kepadamu. Jangan kamu menurut seorangpun daripada orang berdosa yang mengajakmu kepada dosa dan jangan pula kamu menurut seorangpun daripada orang kafir yang mengajakmu kepada kekafiran.”

Ibnu Kathir berkata: “Yakni sebagaimana Aku telah memuliakan dirimu dengan apa yang telah Aku turunkan kepadamu, maka bersabarlah atas ketetapan dan ketentuan-Nya. Dan ketahuilah bahawa Dia akan mengurusmu dengan sebaik-baiknya. Dan janganlah kamu menuruti orang-orang kafir dan orang-orang munafik jika mereka hendak menghalangi dirimu untuk menyampaikan apa yang telah Allah turunkan kepadamu dan hendaklah kamu tetap menyampaikannya serta bertawakal kepada Allah SWT.”

Sayid Qutub berkata: “Sabarlah hingga tiba saatnya yang ditentukan. Sabarlah menanggung penindasan dan fitnah, sabarlah melihat kebatilan terus mendapat kemenangan dan kejahatan masih terus merebak dan berleluasa. Sabarlah mempertahankan kebenaran yang diturunkan kepadamu, sabarlah dan jangan kamu hiraukan tawaran-tawaran perdamaian dan penyelesaian jalan tengah daripada mereka yang membahayakan akidah Islam, kerana mereka bukan menyeru kamu kepada ketaatan dan tidak pula kepada kebaikan dan kebajikan melainkan menyerumu kepada sesuatu dosa dan kekufuran. Mereka adalah orang-orang yang berdosa dan tidak beriman kepada Allah SWT.”

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »