Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 21 April 2012

Sekularisme tolak kehidupan selepas mati

Posted by epondok di April 21, 2012

FAHAMAN yang berorientasikan keduniaan disebut sebagai sekularisme. Ia muncul hasil daripada Zaman Kesedaran di Eropah yang bersemangat antiagama.

Orang yang menganut fahaman sekularisme berpendapat dunia ini mutlak dan menjadi tujuan akhir. Mereka menolak adanya kehidupan lain (syurga seperti yang diberitahu oleh agama, selepas kehidupan dunia ini).

Oleh itu, hampir seluruh agama di dunia menolak sekularisme, kerana fahaman ini hampir sama dengan atheisme.

Ajaran Islam berorientasikan kehidupan akhirat. Maka, dengan sendirinya Islam menolak fahaman sekularisme yang dalam bahasa Arab disebut sebagai Almaniyah yang berbeza daripada almanah (menempatkan urusan duniawi pada konteks dunia).

Almanah sesuai dengan asas Islam, khususnya tauhid. Almaniyah pula akan menyeret manusia kepada sikap atheisme yang jelas ditolak dalam Islam.

Fahaman sekularisme lahir akibat pengaruh Zaman Kesedaran di benua Eropah yang berkembang seiring dengan munculnya pengakuan atas autonomi manusia.

Hal ini bererti manusia dianggap mampu menggunakan pertimbangannya untuk menguruskan kehidupan. Pemikiran manusia dipercayai mampu mencari peraturan tentang alam dan kehidupan.

Sekularisasi Politik

Penerapan fahaman sekularyang paling nyata dalam kehidupan dapat dilihat pada amalan pemisahan agama daripada negara.

Namun sekularisasi dalam bidang politik ini tidak sepenuhnya menerapkan fahaman sekularisme.

Negara-negara Barat yang menerapkan sekularisasi politik sebenarnya hanya menetapkan batasan yang menjadi hak agama dan hak negara.

Negara disusun berdasarkan prinsip kecekapan dan birokrasi rasional, yang tidak mungkin dilakukan dalam agama. Agama menjadi urusan peribadi dan jauh sekali, masyarakat. Dalam hal ini, sekularisasi diamalkan dalam erti sosiologi, bukan dalam erti falsafah yang anti agama.

Sekularisasi

Sekularisasi berasal daripada kata Latin saeculum yang bererti waktu, umur manusia, abad atau dunia. Secara umum, sekularisasi bererti mengembalikan sesuatu yang bersifat duniawi ke lingkungan dunia.

Dari sudut sosiologi, sekularisasi merupakan perkembangan masyarakat, yakni pembebasan pandangan manusia tentang dunia daripada pengaruh tasawuf – keagamaan, sehingga agama, atau apa-apa sahaja yang bersifat sakral (suci), tidak lagi menguasai masyarakat dan pandangan manusia.

Oleh yang demikian, istilah sekularisasi kerap kali dipadankan dengan penghapusan kesucian atau demitologisasi, iaitu menghapuskan sesuatu bersifat suci.

Sekularisasi Turki

Negara Islam yang mula-mula mencuba menerapkan prinsip sekularisasi politik ialah Turki.

Usaha ini dilakukan oleh Mustafa Kamal Ataturk, presiden pertama Turki, ketika negara yang sebilangan besar penduduknya beragama Islam itu diisytiharkan sebagai sebuah negara republik pada 29 Oktober 1923.

Ataturk mensekularkan Turki sebagai salah satu usaha membawa bangsa Turki ke peringkat yang sama dengan bangsa Barat yang lebih maju dan merupakan negara sekular.

Dalam projek sekularisasi Turki, Ataturk memisahkan Islam daripada negara, dan membubarkan kekhalifahan Islam.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Mensyukuri nikmat menambah lagi rezeki

Posted by epondok di April 21, 2012

Oleh Zawawi Yusoh

ALLAH berfirman yang bermaksud: “Sekiranya kamu mensyukuri nikmat yang ada, nescaya Aku (Allah) menambah nikmat bagimu.”

 

Ini kerana Allah menciptakan nikmat dan memberikannya kepada sesiapa saja yang dikehendaki-Nya. Walaupun seluruh kata pujian dan kesyukuran kita lafazkan untuk memuji-Nya, pasti tidak setanding apa yang Allah kurniakan kepada kita.

 

Dalam soal rezeki manusia selalunya berasa bimbang nikmat yang belum mereka miliki, namun sepatutnya perlu risaukan nikmat sedia ada dan belum disyukuri.

Memikirkan bagaimana untuk mensyukuri itu sebenarnya menambahkan lagi rezeki. Lumrah hidup ini sebenarnya tidak boleh bersendirian.

 

Kita memerlukan bantuan orang lain. Contohnya, pelajar memerlukan guru untuk mendapatkan ilmu. Begitu juga untuk mendapatkan pakaian kita perlu penjahit, penenun dan penanam kapas. Bagi mendapatkan khidmat nasihat kesihatan, kita memerlukan doktor atau pegawai kesihatan.

 

Oleh itu, cuba kita renungkan kebaikan orang di sekeliling yang banyak berjasa kepada kita. Jika hendak jadi orang yang bersyukur maka perlu membalas kebaikan orang lain.

 

Anak yang sering mengingati jasa ibu bapa pasti timbul keinginan untuk berbudi kembali serta menghormati kedua-dua insan yang mereka sayangi itu.

 

Kebaikan itulah pembuka dan kunci kepada nikmat lain daripada yang Maha Kuasa. Maka orang paling beruntung adalah orang yang hatinya dipenuhi rasa syukur.

 

Lihat saja nikmat pancaindera yang ada pada kita. Bayangkan, jika kita kehilangan nikmat melihat (mata), ketika itu barulah kita menghargai apa yang dikurniakan selama ini.

 

Jika jatuh ditimpa penyakit, ketika itu baru teringat alangkah besarnya nikmat ketika sihat. Cuma kita kurang menyedarinya dan tidak mensyukurinya.

 

Nikmat yang besar sebenarnya bermula daripada nikmat yang kecil. Oleh itu, jangan risau dengan nikmat yang belum kita miliki, sebaliknya risaukan nikmat yang kita sudah ada tetapi belum disyukuri.

 

Fikirkan bagaimana kita mensyukuri apa yang kita nikmati. Rasa kesyukuran mengundang nikmat berikutnya. Kadangkala ada manusia apabila mendapat kenikmatan berbentuk kedudukan atau harta, mereka berasa bangga dan mempamerkannya di sana sini.

 

Mungkin kerana terlupa semua itu pemberian Allah. Bagaimana kita mahu menjadi orang yang bersyukur?

 

Orang yang bersyukur adalah apabila dapat kesenangan, kejayaan atau kenikmatan, pertamanya dia berfikir semua itu kurniaan Allah, lalu menggunakan segala kenikmatan itu pada jalan benar supaya mendapat keberkatannya.

 

Dijaganya nikmat mata untuk melihat yang baik-baik saja, nikmat telinga untuk mendengar yang bermanfaat, nikmat tangan untuk mengambil haknya saja, nikmat kaki pula untuk melangkah ke jalan kebaikan.

 

Jauhilah daripada menyalah guna nikmat yang ada dan gunakan semuanya untuk mendapat keberkatan serta menambah pahala.

 

Selain bersyukur pada Allah, kita perlu mengucapkan syukur kepada manusia yang menjadi jalan kita mendapat nikmat.

 

Contohnya, anak perlu berterima kasih kepada kedua-dua ibu bapanya kerana anak yang tahu bersyukur pasti membalas budi, membuatkan hidup mendapat keberkatan.

 

Begitu juga kehidupan suami isteri, mereka perlulah sama-sama memikirkan kebaikan suami atau isteri, jangan hanya melihat kekurangan masing-masing.

 

Sebenarnya, dengan mengenang kebaikan seseorang itulah satu cara kita mensyukuri nikmat Allah. Cara mensyukuri nikmat Allah juga adalah memperlihatkan nikmat yang sudah dikurniakan kepada kita, tetapi perlu berhati-hati supaya terhindar daripada niat untuk mendapat pujian.

 

Betulkan niat kerana kita yakin semua nikmat yang kita terima datang daripada Allah dan hanya Allah yang patut mendapat pujian.

Jika kita yakin semua yang kita miliki adalah milik Allah nescaya hati kita berasa tenang, tidak sombong, sentiasa bersyukur selalu serta tidak berdengki dengan nikmat yang dikurniakan kepada orang lain

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »