Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Mac 2012

Amalan rohani bantu lonjak prestasi akademik

Posted by epondok di Mac 31, 2012

Oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar

Solat sunat hajat pendekatan terbaik tenangkan jiwa tertekan hadapi peperiksaan

KITA baru saja mengetahui keputusan Peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2011 yang menunjukkan prestasi terbaik dalam tempoh lima tahun. Seperti lazimnya dalam sehari dua selepas keputusan diumumkan, pelbagai media memaparkan berita dan laporan mengenai calon yang berjaya dengan cemerlang.

Dalam banyak laporan, tentu sekali hati kita terpanggil menghayati satu kisah kejayaan pelajar terbaik Terengganu, Fatin Hamimi Abdullah dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Nurul Ittifaq yang dikira wajar kita renungi bersama dan lanjutkan kupasannya. Pelajar ini memperoleh semua 11 A+ dalam peperiksaan.

Melalui amalan solat termasuklah solat sunat, kita mendidik nafsu anak supaya taat kepada Tuhan dan menyedarkan mereka bahawa hanya kepada Allah saja tempat mereka memohon pertolongan.Menurut pelajar cemerlang itu, resipi kejayaannya dihasilkan melalui usaha gigih, menunaikan solat hajat selama 40 hari berturut-turut sebelum peperiksaan bermula dan berdoa kepada Allah agar dipermudahkan pemahaman terhadap pelajaran. Inilah resipi kejayaan beliau yang boleh dicontohi.

Apa yang menariknya di sini ialah kekuatan dalaman beliau terhasil menerusi amalan solat hajat. Inilah yang dikatakan amalan kerohanian akan membuahkan natijah positif ke atas diri seseorang.

Allah SWT sendiri meminta kita selalu bermunajat kepada-Nya untuk memohon sesuatu hajat. Jadi, kaedah solat hajat dan berdoa menjadi dua pendekatan terbaik mententeramkan hati anak kita ketika belajar.

Solat hajat adalah salah satu kaedah terbaik diamalkan dalam usaha memohon pertolongan Allah dan sebagai ibu bapa, kita seharusnya mendidik dan membimbing anak cara yang betul menunaikannya.
Kita sedia mengetahui, menerusi amalan solat, jiwa anak lebih tenteram, malah membangkitkan semangat dalaman yang kuat untuk belajar.

Allah SWT sendiri meminta kita sebagai hamba-Nya menjadikan solat hajat sebagai penolong dalam menghadapi kehidupan dunia ini. Firman Allah bermaksud: “Wahai orang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu.” (Surah al-Baqarah ayat 153)

Melalui solat hajat, bermakna kita didik anak mengikut sunnah Rasulullah SAW kerana ketika menghadapi sesuatu masalah atau kerumitan, Baginda akan mendirikan solat.

Melalui amalan solat termasuklah solat sunat, kita mendidik nafsu anak supaya taat kepada Tuhan dan menyedarkan mereka bahawa hanya kepada Allah saja tempat mereka memohon pertolongan.

Selain solat sunat hajat, amalan menunaikan solat tahajud juga sangat sesuai kita galakkan kepada anak lakukannya. Khususnya terhadap anak yang berada pada usia remaja. Rasulullah SAW memberitahu bahawa solat terbaik selepas solat fardu ialah solat tahajud kerana di dalamnya terkandung banyak fadilat.

Kata Rasulullah SAW bermaksud: “Solat tahajud dapat menghapuskan dosa, mendatangkan ketenangan dan menghindarkan penyakit.” (Riwayat at-Tirmidzi)
Dalam mengkaji manfaat solat tahajud kepada manusia, seorang pengkaji Dr Mohammad Salleh ada mencatatkan dalam bukunya bertajuk Terapi Solat Tahajud bahawa solat tahajud boleh digunakan sebagai alternatif bagi memperbaiki gerak balas emosional positif, mampu meningkatkan dan membaiki daya ketahanan imunologi tubuh badan seseorang pengamalnya.

Justeru, untuk anak remaja kita yang sedang belajar dan bakal menghadapi peperiksaan, sangat sesuailah kita asuh mereka mendirikan solat sunat tahajud. Ini kerana ia satu pendekatan kerohanian yang akan memberikan kedamaian jiwa dan sekali gus menyemarakkan semangat positif kepada mereka untuk tekun dalam pembelajaran.

Resipi kedua dalam menguatkan potensi diri anak ketika menghadapi pelajaran ialah melalui amalan berdoa. Imam Bukhari berpesan, “Berdoalah apa saja kepada Allah, kerana ia kekuatan orang mukmin. Selain itu, doa adalah hadiah istimewa daripada Allah kepada umat Muhammad.”

Amalan berdoa akan meninggalkan kesan psikologi yang kuat dalam diri seseorang anak kerana mereka menjadi bertambah yakin dan bersemangat tinggi untuk berhadapan dengan apa saja kesulitan ketika aktiviti pembelajaran dijalankan.

Banyak testimoni berkaitan manfaat doa yang dijalankan, namun kebanyakannya tertumpu kepada kaitan doa dengan penyembuhan sesuatu penyakit.

Menghadapi pelajaran sama juga halnya menghadapi sesuatu penyakit kerana jiwa tertekan dan dalaman menjadi kurang stabil dengan pelbagai fikiran yang negatif. Maka, melalui berdoa boleh memadamkan emosi negatif itu sehingga menimbulkan kekuatan dalam jiwa yang positif.

Jiwa yang disirami bacaan doa kepada Allah sebenarnya tertanam sikap tawakal yang luhur. Inilah sebenarnya faktor menjadi tunjang ke arah emosi positif ketika melakukan apa saja pekerjaan.

Umat Islam dan hamba Allah seharusnya lebih yakin bahawa melalui amalan doa akan memberikan keberhasilan dalam mencapai tujuan hidup. Ingatlah kita akan peringatan Allah ini: “Dan apabila hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku, maka (jawablah) bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka memenuhi (segala perintah) Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, supaya mereka selalu berada dalam kebenaran.” (Surah al-Baqarah ayat 186)

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Yahudi bangsa paling angkuh

Posted by epondok di Mac 31, 2012

Oleh Amran Zakaria

ABDULLAH bin Salam atau nama sebenarnya Hushain bin Salam bin Harits, pemimpin Yahudi di Madinah membuat pendedahan kepada Rasulullah SAW siapakah sebenarnya kaum Yahudi itu. Katanya: “Wahai Rasulullah! Kaum Yahudi adalah puak paling kuat berdusta. Mereka jika tahu aku menganut Islam, mereka akan menuduhku bukan-bukan. Sembunyikanlah aku di sisi engkau dan hantarlah orang bertanya pendapat mereka mengenai aku.”

 

Maka Rasulullah SAW menyembunyikan Abdullah Salam lantas menghantar orang untuk memanggil golongan Yahudi yang kemudiannya menemui Baginda. Rasulullah bertanya mereka: “Apakah kedudukan Abdullah bin Salam pada pandangan kalian?” Jawab mereka: “Dia terbaik daripada kalangan kami, anak orang terbaik. Pemimpin, anak pemimpin kami. Ulama, anak ulama kami”.

Rasulullah SAW bertanya mereka lagi: “Jika dia menganut Islam kalian akan turut menyertainya (menganut Islam)?” Jawab mereka: “Tuhan lindunginya daripada perkara berkenaan.”

Rasulullah kemudian meminta Abdullah bin Salam keluar memberitahu kumpulan Yahudi itu. Abdullah keluar dan menyatakan dengan penuh yakin: “Aku menyaksikan tiada Ilah melainkan Allah dan Muhammad itu Rasulullah”.

 

Lantas golongan Yahudi berkata: “Dialah orang paling jahat dalam kalangan kami, anak orang paling jahat. Orang paling jahil dalam kalangan kami dan anak orang paling jahil”. Kata Abdullah bin Salam kepada Rasulullah: “Aku sudah beritahu wahai Rasulullah, Yahudi adalah kaum yang kuat berdusta (Riwayat Ahmad dan Al-Bukhari).

 

Pendedahan itu memudahkan kita untuk mengenal siapa Yahudi yang begitu kontroversi kepada sebilangan kita hari ini. Memang tidak dinafikan bangsa Yahudi asalnya daripada keturunan mulia apabila dikaitkan dengan Nabi dan Rasul yang dibangkitkan dalam kalangan mereka, namun kemuliaan itu hancur disebabkan tindakan mereka sendiri.

 

Allah berfirman bermaksud: “Dan Kami tetapkan terhadap Bani Israel dalam kitab itu: Sesungguhnya kamu akan membuat kerosakan di muka bumi dua kali dan pasti kamu akan menyombong diri dengan kesombongan yang besar.” (Surah Al- Isra’, ayat 4)

Bangsa Yahudi ini terkenal dengan keangkuhan dan kebiadapannya. Mereka menganggap bangsa lain setaraf haiwan, malah ada di kalangan mereka yang menganggap lebih teruk daripada itu. Bangsa Yahudi sangat menyanjungi kitab suci mereka, hanya mereka satu-satunya bangsa dipilih untuk menguasai dunia. Dalam catatan kitabnya menyebut: “Hanya bangsa Yahudi adalah manusia, sedangkan bangsa lain bukan manusia, melainkan binatang.” (Kerithuth 6b hal.78, Jebhammoth 61a)

 

Mereka percaya Tuhan memilih mereka sebagai satu-satunya bangsa yang berhak memerintah dunia ini. Manifestasi itu membawa mereka kepada kesombongan yang tinggi sehingga sanggup bersumpah memerangi agama dan bangsa lain. Pegangan mereka adalah kitab Talmud, manakala kitab lain dianggap pembohong.

 

Halal bagi mereka membunuh bangsa lain khususnya Muslim. Malah dituntut, tidak menjadi kesalahan jika pembunuhan itu dilakukan mereka. Lebih jahat daripada itu mereka sanggup membunuh nabi dan rasul. Nabi Zakaria dan Nabi Yahya dibunuh kejam.

 

Hakikat sebenarnya menunjukkan jumlah mereka di atas muka bumi ini tidak ramai, hanya seorang bagi setiap 100 Muslim. Keseluruhan mereka berjumlah 14 juta saja, iaitu tujuh juta di Amerika, lima juta di Asia, dua juta di Eropah dan 100,000 di Afrika. Sebahagian besarnya berada di Asia Barat dan Eropah termasuk di Israel, Amerika Syarikat, Rusisa (negara Kesatuan Soviet), Poland, Kanada, Jerman, Perancis, England, Sepanyol, Amerika Latin dan Iraq.

 

Ethnik mereka terdiri daripada Ashkenaz, Sephard, Mizrah dan orang Samaria. Bahasa pertuturan mereka ialah Ibrani, Yiddish, Ladino, Dzhidi Judeo-Aram, Judeo-Arab Juhuri, Krymchak, Karaim, Knaanik, Judeo-Parsi, Yevanik dan Zarphatik, manakala gerakan politik mereka ialah Zionisme Buruh, Zionisme Am, Zionisme Keagamaan, Zionisme Revisionis, Bund dan Kibbutzim. Zionisme ialah ideologi dirumuskan Dr Theodore Hertzl pada akhir abad ke-19. Tujuannya menghimpun seluruh etnik Yahudi yang berselerak.

 

Bermula penghijrahan beramai-ramai Yahudi ke Palestin pada 1882 dan sehingga 1903, sekitar 20,000 sudah berada di Palestin. Selepas mencapai kemerdekaan dari British pada Oktober 1917, Balfour berjanji kepada orang Yahudi pada 2 November 1917 untuk membina negara Yahudi di Palestin.

Ketika peperangan pada 1948, jumlah penduduk Palestin dua juta berbanding Yahudi 650,000, nisbah 69 peratus penduduk asal dengan 31 peratus pendatang haram Yahudi. Pertambahan berlaku disebabkan kemasukan tentera keamanan di bawah kawalan British ketika perang ini

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

4 perkara halang mukmin laksana ibadat

Posted by epondok di Mac 30, 2012

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli


KEIKHLASAN hati dan jiwa ketika melakukan apa juga ibadat kepada Allah SWT adalah kemuncak kepada kemurnian nurani seseorang menghambakan diri kepada Allah.

Sifat ikhlas sajalah yang mampu menghalang dan mencegah diri seseorang mukmin daripada beberapa perkara yang boleh menghalang dirinya untuk beristiqamah melakukan ibadat kepada-Nya.

Dalam hal ini, Imam Ghazali menggaris empat perkara besar yang selalu menjadi penghalang kepada seseorang mukmin untuk melakukan ibadat kepada Allah SWT iaitu dunia, makhluk, nafsu dan syaitan.

Sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu semua, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi). Sebenarnya dia hanyalah mengajak manusia supaya menjadi penghuni neraka. Surah al-Fathir, Ayat 6Jika diteliti maksud dunia ia merujuk kepada semua perkara yang akan ditinggalkan apabila manusia mati seperti wang ringgit, harta, pakaian, makanan dan minuman.

Perlu diingat, skop pengertian itu boleh berubah apabila seseorang itu menganggap keperluan duniawi itu tidak lebih sebagai alat dan perantara untuk membolehkan dirinya mengurus dan membelanjakannya ke jalan yang diredai Allah SWT.

Keduanya, ialah gangguan dan halangan daripada makhluk. Apa yang dimaksudkan dengan makhluk di sini ialah apa saja yang dikurniakan Allah kepada kita termasuk anak, binatang ternakan dan harta benda yang boleh melalaikan manusia daripada mengingati Allah.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Anfal ayat 28 yang bermaksud: “Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak pinak kamu itu adalah ujian kepada kamu.”
Ketiganya, ialah keinginan atau lebih dikenali sebagai nafsu yang sentiasa cuba menguasai diri. Nafsu adalah penghalang utama dalam diri manusia mengerjakan ibadat. Apa yang berlaku sebaliknya adalah lebih ramai daripada kita yang gemar tunduk dan tewas kepada kehendak nafsu sendiri dengan menyingkirkan niat dan azam untuk melakukan kebaikan.

Kejahatan dan kemungkaran yang timbul dari nafsu inilah sukar untuk dikekang jika kita tidak bersungguh melawannya.

Keempat, adalah desakan dan bisikan iblis dan syaitan durjana yang sentiasa menggoda serta menipu daya manusia ke jalan yang sesat sehinggalah hari Kiamat. Perlu diingat iblis dan syaitan boleh merubah bentuk asal mereka untuk menyerupai seorang manusia yang cantik, berpangkat atau warak dan soleh.

Tujuannya adalah tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk membawa manusia ke jalan yang sesat mengikut keadaan serta situasi kehidupan seseorang hamba Allah yang akan menjadi mangsanya.

Kalau manusia itu berada dalam kejahilan yang berterusan maka tugas iblis dan syaitan akan terus melalaikan manusia itu agar terus menjadi sahabat baiknya dengan melupakan mengerjakan amalan fardu seperti solat.

Dalam hal gangguan ketika solat ini, ramai dalam kalangan kita tidak menyedari peranan besar dimainkan iblis dan syaitan untuk menjadikan manusia alpa atau lalai dan dengan sebab itu ibadat solat kita ditolak Allah SWT.

Rasulullah SAW mengajar manusia untuk berdoa supaya dilindungi daripada iblis dan syaitan. Doa berkenaan bermaksud: “Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan dan aku berlindung dengan Allah dari kehadiran syaitan itu kepadaku.”

Allah SWT berfirman dalam surah al-Fatir ayat enam yang bermaksud: “Sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu semua, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi). Sebenarnya dia hanyalah mengajak manusia supaya menjadi penghuni neraka.”

Justeru, apabila kita dengan kekuatan dan iltizam serta istiqamah dalam diri berjaya menyingkirkan empat halangan itu, maka insya-Allah kita tidak akan mudah pula untuk mudah merasa hampa dan kecewa bila ditimpa musibah oleh Allah

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Kaedah pendidikan lahir generasi berakhlak mulia

Posted by epondok di Mac 30, 2012

Oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar

 

Beri anak kasih sayang sama rata, buat teguran dalam bentuk nasihat

 

SESEORANG ibu bapa harus berusaha keras untuk memberikan didikan terbaik kepada anak. Kejayaan dan kelangsungan hidup anak banyak bergantung kepada apa yang kita lakukan ketika mereka masih kecil. Jika mereka membesar dalam ruang pendidikan yang baik dan sempurna maka pastinya kesan baik jugalah yang akan mereka peroleh dan seterusnya membesar dengan amalan hidup yang murni.

Pendidikan sempurna dalam agama dan budaya hidup adalah sangat mustahak sekali memandang arus semasa yang menggambarkan suasana gejala sosial yang begitu gawat seperti gejala merempit, melepak, kes ragut, membuli rakan sebaya, gengsterisme dan pelbagai lagi ragam tidak berakhlak dalam kalangan generasi muda tentu menakutkan kita dan sudah tentu juga kita tidak mahu anak-anak kita terbabit sama dalam gejala negatif berkenaan.

Anda mungkin miskin harta sehingga tidak mempunyai sesuatu yang mampu diberikan seperti makanan dan minuman kepada anak. Tetapi, anda tidak boleh miskin dalam pendidikan, maka hormatilah anakmu itu dengan memberikan pendidikan yang baik. – Syeikh Muhammad Said Mursi, ulama terkenal.

Dalam usaha kita mendidik anak, ada koleksi nasihat yang pernah disampaikan oleh seorang ulama terkenal, Syeikh Muhammad Said Mursi dan nasihat beliau itu tersimpan baik dalam kitab karangannya, ‘Fan Tharbiyah al-Aulad fi al-Islam’. Cukup baik kita amalkan nasihat yang beliau berikan itu kerana gabungan pendekatan yang disarankan mampu memberikan kesan positif dan efektif.

 

Sebelum merangkaikan untaian nasihat bermanfaat beliau ada mengatakan:, “Anda mungkin miskin harta sehingga tidak mempunyai sesuatu yang mampu diberikan seperti makanan dan minuman kepada anak. Tetapi, anda tidak boleh miskin dalam pendidikan, maka hormatilah anakmu itu dengan memberikan pendidikan yang baik.”

 

Memang tepat seperti yang dikatakannya kerana miskin harta masih berkemungkinan untuk diperoleh kebahagiaan tetapi andai miskin pendidikan pasti menjerumuskan anak-anak kita ke lembah yang bertentangan dengan aturan hidup beragama yang benar.

 

Di sini dipetik beberapa nasihat beliau yang boleh kita kongsi bersama dalam agenda memantapkan pendidikan kepada anak-anak. Kata Syeikh Muhammad Said Mursi: “Ketika anak anda melakukan kesalahan, perbaikilah kesalahannya dengan penuh kasih sayang dan bukannya dengan perasaan kecewa.”

Ini sebenarnya hampir menyamai teori pendidikan moden masa kini yang banyak menyarankan kaedah berhemah, lemah-lembut dan menyerap unsur kasih sayang ketika membuat pembetulan ke atas kesilapan yang dilakukan oleh anak-anak. Hal ini penting kaedah tanpa kekasaran dan dengan perasaan kecewa dan marah akan banyak memudaratkan emosi anak.

 

Kaedah inilah juga yang pernah digunakan oleh sahabat Rasulullah SAW dalam memperagakan kaedah mendidik yang positif. Misalnya Saidina Umar al-Khattab dikatakan sangat menitikberatkan aspek pendidikan terhadap anak dengan menggunakan kaedah yang tepat. Kaedah yang Umar gunakan dikatakan berpegang kepada prinsip, ‘tegas tanpa menampakkan kekerasan dan lembut tanpa menunjukkan kelemahan.’

 

Kata beliau seterusnya: “Berhati-hatilah apabila anda mendapat cahaya mata yang baru, kerana anda tidak boleh mengurangkan perhatian terhadap anak pertama hanya disebabkan ada adiknya yang baru.”

 

Nasihat ini sangat sesuai kita ingat sentiasa kerana bukan sekali dua kita seakan-akan melonggarkan sedikit tumpuan kasih sayang apabila saja mendapat anak yang baru. Di sini beliau menjelaskan kepada kita bahawa unsur memberikan kasih sayang dan perhatian mesti atas dasar keadilan dalam kalangan anak. Inilah juga sebenarnya yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW kepada kita supaya semua anak memperoleh kesamarataan dalam kasih sayang dan pendidikan.

 

Rasulullah SAW sendiri ada berpesan kepada kita dalam hal memberikan keadilan dalam urusan terhadap anak seperti kata baginda: “Sama ratakan anak-anak kamu dalam pemberian. Sekiranya saya suka melebihkan seseorang nescaya saya lebihkan perempuan.” (Hadis riwayat at-Tabrani)

 

Sikap segelintir ibu bapa yang suka pilih kasih terhadap anak akan mengakibatkan timbulnya rasa cemburu dan kurang senang antara anak. Syeikh Muhammad juga menasihati kita: “Dekatkanlah anak anda kepada Allah dan Rasul-Nya serta balasan pada hari akhirat. Ketika mereka melakukan perbuatan baik, katakanlah padanya bahawa perbuatan itu adalah perbuatan yang diredai Allah. Dan jika dia melakukan kejahatan, katakanlah padanya bahawa perbuatan itu sangat dibenci oleh-Nya. Janganlah hanya mengatakan kepadanya bahawa perbuatan itu adalah salah tanpa memberikan alasan.”

 

Ini nasihat terbaik buat kita sebagai ibu bapa sebenarnya kerana menegur kesalahan anak tanpa memberitahu sebab kesalahan kurang meninggalkan kesan positif, sebaliknya apabila alasan atas larangan atau teguran yang kita lakukan akan memberi pemahaman kepada anak-anak mana yang betul dan yang mana salah. Inilah pedadogi pengajaran berkesan yang perlu kita terapkan dalam mendidik anak-anak. Kaedah begini sebenarnya telahpun Rasulullah SAW amalkan terlebih awal dulu dan ini menunjukkan kepada kita bahawa membuat teguran dan memberikan nasihat yang diikuti dengan penerangan akan lebih meyakinkan dan menyedarkan anak-anak kita.

 

Seterusnya Syeikh Muhammad mengatakan: “Didiklah mereka untuk bersikap lemah-lembut dan tidak kasar, kerana pada dasarnya anak-anak mempunyai sifat penyayang.” Memang betul apa yang dikatakannya itu sebab penerapan nilai mahmudah seperti bersopan santun, berpekerti mulia, suka menghormati orang lain, akan menimbulkan jiwa yang hebat pada diri anak-anak apabila mereka meningkat dewasa nanti. Anak-anak mengikut acuan yang kita sediakan, baik kaedah asuhan dan didikannya, maka akan baik dan mulialah akhlak dan sahsiah mereka.

 

Dalam kitabnya itu masih banyak nasihat dan tip berguna yang disarankan oleh Syekh Muhammad kepada kita semua dalam mendidik anak ke arah jalan yang benar dan berkesan. Cubalah cari kitab itu dan telitilah secara mendalam kerana ia sangat bermanfaat buat kita sebagai ibu bapa.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Hikmah berdakwah secara lemah-lembut

Posted by epondok di Mac 29, 2012

Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi


Budaya dialog penuh santun boleh lebur jiwa keras terima kebenaran

ADA seorang pemuda yang datang menghadap Rasulullah SAW untuk bertaubat dan bersedia untuk meninggalkan segala bentuk perbuatan dosa kecuali berzina. Pengakuan pemuda itu mendapat maklum balas penuh sinis dalam kalangan sahabat Rasulullah SAW, namun Rasulullah SAW tetap mengajak pemuda tadi untuk berdialog dengan penuh santun dan senyuman seorang pembawa khabar gembira untuk umatnya.

Rasulullah SAW bertanya: Adakah kamu suka kalau hal ini berlaku kepada ibu kamu? Jawab pemuda: Tidak, demi Allah! Aku sebagai jaminanmu. “Demikianlah pula halnya setiap manusia pasti tidak menyukai hal itu terjadi kepada ibu mereka,” jelas Rasulullah SAW kepada pemuda itu. Kemudian, Rasulullah SAW bertanyakan lagi: “Adakah kamu suka jika hal ini terjadi kepada anak perempuan kamu?” Dia menjawab: Tidak, demi Allah! Allah menjadikan diriku sebagai jaminanmu.

Firman Allah SWT maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan memberi peringatan yang baik dan berhujahlah dengan mereka melalui kata-kata yang baik.” (surah al-Nahl, ayat 125). Rasulullah SAW menjelaskan: “Demikianlah juga manusia lain pun tidak menyukai hal ini berlaku kepada anak-anak perempuan mereka”. Ujar Rasulullah SAW lagi: “Adakah kamu suka jika hal ini berlaku kepada saudara perempuanmu?” Pemuda itu menjawab: “Tidak, demi Allah! Allah menjadikan diriku sebagai jaminanmu. Lalu Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Begitu juga manusia lain pun tidak menyukai hal ini berlaku kepada saudara perempuan mereka.”

Rasulullah SAW bertanya lagi kepada pemuda: “Adakah kamu suka jika hal ini berlaku kepada ibu saudaramu?” Pemuda itu kembali menjawab: “Tidak, demi Allah! Allah menjadikan diriku sebagai jaminanmu. Lantas Rasulullah SAW pun berkata: “Demikianlah juga manusia lain pun tidak menyukai perkara ini terjadi kepada ibu saudara mereka.”

Akhirnya Rasulullah SAW meletakkan tangan Baginda kepada pemuda itu seraya berdoa: “Ya Allah! Ampunilah dosanya, bersihkanlah hatinya dan peliharakanlah kemaluannya.” Selepas itu, barulah pemuda itu menyatakan taubatnya kepada Allah dengan taubat nasuha.

Jelas daripada kisah ini, betapa Rasulullah SAW sebagai pembawa misi dakwah dan rahmat kepada sekalian alam, dari awal lagi Baginda menyampaikan dakwah dengan penuh kesantunan melalui budaya dialog, bukannya dengan kekerasan dan kekasaran. Jika kita menelaah dalam sirah Rasulullah SAW dan betul-betul menghayatinya, didapati bahawa Rasulullah SAW tetap bersifat santun pada setiap masa dan ketika, terutama sewaktu menyampaikan dakwah kepada kaum Quraisy, dan natijahnya amat luar biasa dan mengagumkan. Orang yang dahulunya amat membenci dan memusuhi Rasulullah SAW, akhirnya menjadi pendukung dan pembela dakwah Rasulullah SAW.
Firman Allah SWT maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan memberi peringatan yang baik dan berhujahlah dengan mereka melalui kata-kata yang baik.” (surah al-Nahl, ayat 125).

Budaya berdakwah secara santun dan berdialog dengan penuh hikmah adalah budaya semua utusan Allah yang kemudiannya diwariskan kepada umat manusia pada hari ini. Jika ditelusuri dalam al-Quran, kita akan menemui kisah dialog antara Nabi Ibrahim AS dengan Raja Namrud, dialog Nabi Musa AS dengan Firaun, dialog Nabi Yusuf as dengan penguasa Mesir dan lain-lain lagi.

Pengajaran yang penting daripada kisah dialog ini ialah kebenaran wajib disampaikan dan dibela, tetapi bukannya dengan kekasaran, kekerasan dan kebencian. Sebaliknya kebenaran hendaklah disampaikan dengan santun dan lemah lembut melalui pendekatan dialog yang penuh hikmah. Bukankah Allah SWT telah berpesan kepada Nabi Musa AS dan juga Nabi Harun AS supaya berdialog dengan Firaun dengan menggunakan tutur kata dan bahasa yang lemah lembut. Firman Allah SWT yang bermaksud: Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya. “Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut”. (Surah Taha, ayat 43-44)

Di samping itu juga, Islam melarang umatnya mencerca dan memaki apa-apa yang disembah oleh umat agama lain. Hal ini ditegaskan Allah SWT lewat firman-Nya yang bermaksud: “Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain daripada Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan. (Surah al-An’am, ayat 108)

Pengertian ayat ini menyingkap etika berdakwah yang baik, iaitu bersifat santun dan tidak kasar atau kesat sewaktu berdakwah. Ini kerana dengan bersifat kasar dan kesat, akan menyebabkan bukan Muslim bukan hanya tidak tertarik dengan Islam, bahkan mereka juga akan membenci dan mencerca Islam, malah akan menghina Allah SWT.

Jika mencerca dan menghina sembahan orang bukan Islam dilarang Islam, apalagi mencerca dan memaki sesama Muslim yang hanya berlainan mazhab, fikrah atau politik. Oleh sebab itu, berdakwah ke arah kebaikan dengan tidak bersifat santun dan hikmah hanya akan menyebabkan kekeliruan, perpecahan, pertikaian dan permusuhan di kalangan umat Islam.

Dalam setiap kesempatan mengetuai peperangan, Rasulullah SAW tidak pernah lupa untuk sentiasa memperingatkan kepada sahabatnya, iaitu tentera Islam dilarang merobohkan rumah, merosakkan sebarang pokok dan pohon serta mencemarkan alam sekitar. Justeru, tidak hairanlah jika Rasulullah SAW amat dihormati dan disegani dalam kalangan bukan Muslim kerana sifat santunnya yang luhur, meskipun berada di medan peperangan

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Hormati sesama ulama

Posted by epondok di Mac 29, 2012

Oleh KHAIRUL ANUAR MOHAMAD

PENULIS terpanggil menulis berkaitan isu yang timbul di mana terdapat suara-suara yang keluar secara siaran langsung memperkecil golongan al-Quran.

Perkara itu mendapat perhatian Imam Besar Masjid Negara yang memberi ulasan melalui unit penyiaran masjid itu.

Suka saya membuat sorotan kepada penghormatan antara ulama pada zaman terdahulu. Umum mengetahui hadis-hadis yang berkaitan kelebihan membaca al-Quran seperti hadis riwayat Othman Ibnu Affan ra., Sebaik-baik di kalangan kamu ialah yang belajar al-Quran dan mengajarnya.

Begitu juga hadis yang menerangkan tentang kelebihan ulama yang faham atau faqeh dalam urusan agama seperti hadis riwayat Muawiyah ra., Sesiapa yang Allah SWT hendakkan kepadanya kebaikan difahamkannya urusan agama.

Rasulullah SAW juga pernah bersabda: “Orang yang paling baik bacaan Quran di kalangan kamu ialah Ubai Ibnu Kaab, yang paling alim faraid ialah Zaid ibnu Thabit, yang paling alim berkaitan halal dan haram ialah Muaz Ibnu Jabal dan yang paling arif tentang Qada’ ialah Ali Ibnu Abi Talib.”

Para sahabat ra. hidup dalam suasana harmoni dengan sikap menghormati keilmuan setiap orang yang mereka peroleh daripada Rasulullah SAW. Sikap yang baik ini berterusan pada generasi selepasnya.

Contoh ketinggian akhlak sesama mereka pernah berlaku Zaid Ibnu Thabit ra. yang terkenal dengan kealimannya dan penulis al-Quran menunggang unta dan Abdullah Ibnu Abbas memegang tali tunggangannya itu.

Zaid mengarahkan agar Abdullah melepaskan tali tunggangannya tetapi Abdullah menjawab beginilah ajaran Rasulullah untuk menghormati ulama.

Lalu Zaid mendapatkan Abdullah dan mencium tangannya sambil berkata, beginilah kami diajar menghormati keluarga Rasulullah SAW.

Sejarah membuktikan bagaimana Imam Malik ra. pengasas Mazhab Maliki mempelajari al-Quran dengan gurunya yang terkenal iaitu Imam Nafie’ yang merupakan salah seorang Tujuh Qurra.

Apabila diajukan kepada Imam Malik soalan berkaitan al-Quran dan wajah bacaannya, beliau dengan rendah diri mengarahkan soalan tersebut perlu dirujuk kepada Imam Nafie’ yang arif permasalahan tersebut. Indahnya sifat hormat Imam Malik kepada golongan al-Quran.

Pengasas mazhab feqh pertama Imam Abu Hanifah yang meninggal 150 hijrah, hidup di Kufah sezaman dengan seorang tokoh Qurra yang terkenal iaitu Imam Hamzah.

Imam Hamzah pernah menyatakan tidak aku baca satu huruf al-Quran melainkan berdalilkan kepada athar.

Kealiman Imam Hamzah dalam ilmu Quran dan faraid menarik perhatian Imam Abu Hanifah sehingga beliau menyatakan kepada Imam Hamzah, “Kami tidak sekali-kali mempertikai kamu tentang dua perkara; al-Quran dan faraid.” Satu penghormatan yang tinggi daripada seorang tokoh feqh kepada tokoh Quran.

Pernah berlaku satu peristiwa kepada Syeikh Rif’at legenda Quran di Mesir yang mempunyai daya tarikan bacaan Quran dan boleh mempengaruhi orang ramai dengan seni tarannumnya, di mana pembesar suara diperkenal pada zamannya iaitu zaman 20-an.

Oleh kerana pertama kali melihat alat pembesar suara, beliau tidak mahu membaca al-Quran di hadapan alat tersebut kecuali dengan fatwa daripada Syeikh al-Azhar.

Lalu Syeikh Azhar memberi penerangan tentang fungsi alat tersebut yang tiada kena mengena dengan agama, barulah Syeikh Rif’at membaca al-Quran.

Indahnya penghormatan ulama feqh dan ulama Quran yang telah ditunjukkan oleh golongan salaf.

Justeru, tidak perlu mencari kekurangan seseorang kerana manusia dicipta dengan banyak kekurangan. Begitu juga, jangan mencari kesalahan atau memperlekeh seseorang.

Imam Besar Masjid Negara mengulas isu ini dengan menyebut hadis Rasulullah SAW: “Barangsiapa dikurniakan al-Quran kemudian melihat yang lain lebih utama, sesungguhnya dia telah memperkecilkan apa yang diagungkan Allah.”

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Menghayati surah al-Kauthar

Posted by epondok di Mac 28, 2012

SALAH satu surah yang diturunkan oleh Allah SWT untuk ‘menghibur dan menenangkan jiwa’ Nabi Muhammad SAW daripada hinaan ejekan kaum musyrik adalah surah al-Kauthar.

Kaum musyrik mengejek bahawa ajaran Nabi Muhammad SAW akan terputus kerana menganggap baginda tidak mempunyai keturunan.

Oleh itu, Allah SWT menurunkan surah al-Kauthar untuk membantah pemikiran salah kaum musyrik.

Surah al-Kauthar termasuk surah al-Makkiyyah (surah yang ayatnya diturunkan di Mekah). Dilihat daripada urutannya di dalam al-Quran, maka surah al-Kauthar adalah surah ke-108, sesudah surah al-Maa’un.

Ditinjau daripada urutan wahyu yang diturunkan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW, maka surah al-Kauthar merupakan wahyu ke-14 setelah surah al-‘Aadiyat.

Penamaan surah al-Kauthar berasal daripada bunyi akhir ayat pertama surah itu, al-kauthar. Ada beberapa pendapat yang mengemukakan tentang makna kata itu.

Makna yang pertama yang sangat popular adalah sungai di syurga. Makna itu menggambarkan kenikmatan yang akan diperoleh kelak oleh orang-orang yang beriman.

Makna kedua adalah keturunan Nabi Muhammad SAW. Adapun makna yang ketiga adalah nikmat atau kurnia yang banyak.

Banyak ulama yang berpegang pada makna yang terakhir itu kerana pengertian yang ketiga dianggap sudah mencakupi kedua-dua pengertian sebelumnya.

Surah al-Kauthar mengandungi ajaran tentang kewajipan bersyukur atas nikmat yang telah dilimpahkan Allah SWT. Mensyukuri nikmat Allah SWT biasa dilakukan dengan cara beribadat seperti solat daripada berkorban.

Di samping itu, surah ini juga berisi peringatan kepada orang-orang yang suka membenci. Allah SWT akan memutuskan rahmat-Nya, baik di dunia mahupun di akhirat.

Dalam surah ini terkandung isyarat bahawa Nabi Muhammad SAW akan memiliki pengikut yang banyak sampai hari kiamat.

Pada masa Nabi Muhammad SAW, para pengubah syair sangat banyak. Mereka sering kali mencuba untuk menyaingi wahyu Allah SWT yang diturunkan kepada Nabi Muhammad. Salah seorang di antara mereka adalah Musailamah.

Dia pernah mengubah syair yang mirip dengan surah al-Kauthar. Isi syair gubahannya ialah: Sesungguhnya kami menganugerahkan kepadamu permata-permata. Maka solatlah kepada tuhanmu dan nyatakanlah.

Namun, apa yang telah dilakukan itu telah mendapat cemuhan. Masyarakat Islam pada masa itu menganggap syair gubahan itu sangat buruk. Keinginan untuk menyaingi al-Quran gagal.

Bahkan tidak dapat menandingi surah yang terpendek sekalipun, seperti al-Kauthar. Ini merupakan salah satu bukti bahawa kebenaran al-Quran tidak mungkin disaingi oleh sesiapa pun, meskipun satu surah sekalipun (rujuk surah al-Baqarah: 23)

Surah ini juga merupakan surah terpendek dalam al-Quran, iaitu terdiri di atas tiga ayat. Para ulama berpendapat bahawa surah itu merupakan tentangan terhadap orang-orang yang ragu terhadap kebenaran al-Quran dan mencabar mereka untuk menyusun surah seperti itu.

Dalam ayat pertama surah al-Kauthar, kata kauthar yang ditafsirkan oleh para sufi sebagai sumber mata air samawi yang suci.

Dalam air ini terdapat kurnia dan hikmah yang tidak terbatas, rahmat dan segala kebaikan, kebenaran, kearifan, kekuatan rohani, dan wawasan yang mendalam yang telah diberikan kepada Nabi Muhammad SWT dan semua hamba Allah SWT, baik lelaki mahupun perempuan yang ikhlas.

Menurut para sufi, sumber mata air merupakan perumpamaan hikmah menghilangkan rasa dahaga rohani manusia yang haus akan hal itu.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Hanya taubat mampu bersih dosa maksiat

Posted by epondok di Mac 28, 2012

Oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar

 

Al-Quran bukan saja memperihalkan mengenai hukum dalam aspek ibadah, tetapi juga memaparkan kisah kaum yang dibinasakan Allah. Allah menceritakan dalam al-Quran bukan setakat untuk dibaca semata-mata, sebaliknya buat pengajaran kepada manusia sepanjang zaman.

 

Baca dan ikutilah kisah kaum yang menderhaka perintah Allah dan juga bergelumang dalam kancah maksiat pastinya akan memberi keinsafan kepada sesiapa saja.

Antara kaum dihancurkan Allah ialah kaum Nabi Lut. Mereka ini dikisahkan mengamalkan gaya hidup yang bertentangan dengan fitrah kejadian manusia, iaitu homoseksual.

Segala nasihat Nabi Lut langsung tidak diambil berat, sebaliknya keadaan semakin kronik dan menjadi budaya hidup yang menjijikkan. Kaum Nabi Lut ditenggelamkan Allah ke dasar bumi akibat kedegilan mengubah sikap mereka.

 

Dalam Surah Hud ayat 82 Allah berfirman bermaksud: “Maka tatkala datang azab Kami. Kami jadikan negeri kaum Lut itu yang di atas ke bawah (Kami balikkan) dan Kami hujani mereka dengan batu dari tanah yang terbakar dengan bertalu-talu.” Inilah azab seksa di dunia lagi Allah timpakan ke atas golongan yang menyalahi perintah-Nya.

 

Allah berfirman melalui Surah Sad ayat 29 bermaksud: “Ini adalah kitab yang Kami turunkan kepadamu penuh berkat supaya mereka memerhatikan ayatnya dan supaya mendapat pelajaran orang yang mempunyai fikiran.” Beginilah Allah mengingatkan manusia agar sentiasa memperhatikan apa saja yang terkandung dalam al-Quran dan ini termasuk paparan ayat yang menyentuh kisah kaum dibinasakan-Nya kerana dosa dan maksiat yang dilakukan.

 

Kini, kita hidup dalam zaman moden, tetapi gaya hidup seperti kaum Nabi Lut kembali menyinggah ke dalam jiwa sesetengah manusia. Ini termasuklah dalam kalangan orang Islam sendiri. Gaya hidup dengan mengamalkan seks sejenis, homoseksual dan lesbian menular seolah-olah mengembalikan era Nabi Lut. Keadaan sebegini seharusnya cepat dibanteras demi mengelakkan azab Allah kerana jika kemungkaran dan maksiat merebak , tetapi tiada tindakan mencegahnya, bermakna mengundang bencana.

Sebenarnya bencana sudah Allah timpakan ke atas penderhaka terhadap hukum perintah-Nya. Ini termasuklah terhadap golongan homoseksual atau gay itu. Dengan muncul penyakit HIV dan Aids yang dikatakan disebabkan perbuatan salah laku seksual sejenis, selain terdapat juga pelbagai penyakit kelamin lain lagi. Semua penyakit amat berbahaya dan masih tiada ubat penawar ditemui pakar perubatan menggambarkan azab Allah dikenakan ke atas golongan itu.

Inilah akibat apabila peringatan Allah melalui Al-Quran dilupakan manusia.

 

Golongan yang mengamalkan gaya hidup bebas mesti bertaubat untuk mengelakkan azab Allah berterusan. Pintu taubat sentiasa terbuka kepada sesiapa saja selagi mereka sedar dan insaf atas kesalahan dan dosa yang lalu.

Kembalilah ke pangkal jalan dengan taubat nasuha kerana ini saja yang mampu membersihkan dosa kemaksiatan. Allah memberi jaminan akan menerima taubat selagi nyawa belum sampai di halkum.

 

Firman Allah: “Barang siapa bertaubat selepas kezalimannya dan memperbaiki dirinya, maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya. Dan sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Al-Maidah, ayat 39). Semua manusia ada melakukan dosa dalam hidupnya, apatah lagi yang sentiasa bergelumang dalam kancah maksiat selama ini.

 

Dalam pada itu, pihak berkuasa seharusnya mengambil pendekatan lebih proaktif untuk menangani isu seks bebas dan sejenis supaya tidak menjadi budaya hidup.

Tindakan pembanterasan yang lebih tersusun hendaklah diambil dengan membabitkan seluruh agensi secara bersepadu. Juga, ibu bapa mesti memainkan peranan memberi pendidikan agama dan akhlak sebaik yang boleh. Didiklah anak agar mereka jijik dan benci pada budaya songsang itu.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Masyarakat perlu kesedaran rohani hargai kejadian Tuhan

Posted by epondok di Mac 27, 2012

Oleh Nik Salida Shuhaila

SETIAP kejadian yang Allah SWT cipta dan aturkan mempunyai sebab dan alasan. Walaupun sifat manusia yang amat terbatas sering kali menyebabkan hikmah kejadian sesuatu tidak difahami, yang pasti, tiada siapa yang berhak mempersoalkan setiap kejadian kerana manusia itu sendiri juga adalah salah satu makhluk yang Allah SWT jadikan.

Sudah tentulah pemilik setiap kejadian di dunia ini tahu apa yang direncanakan, walaupun ia seburuk-buruk atau selemah-lemah kejadian pada mata manusia, tidak bermakna bahawa ia tidak cantik pada mata Yang Maha Mencipta.

Wanita ialah kejadian Allah SWT yang pernah menjadi konflik penerimaan masyarakat zaman Arab jahiliah suatu ketika dulu, sehingga bayi perempuan yang dilahirkan tidak akan diterima oleh ibu bapa dan orang sekeliling.

Apa yang berlaku, bayi perempuan ditanam hidup-hidup kerana kepercayaan bahawa hadirnya ‘perempuan’ dalam sebuah keluarga akan membawa aib dan malapetaka, tanpa mengambil kira sebab dan musabab yang menjadikan perempuan bencana kepada keluarga.

Dengan kehadiran Rasulullah SAW yang menyampaikan wahyu Allah SWT, konflik adat itu sedikit demi sedikit berkurangan kerana pengikut Baginda mula memahami hakikat kejadian Allah SWT yang harus dihormati dan dihargai.

Bayi perempuan yang dilahirkan mula diterima tanpa rasa malu dan keluh kesah, bahkan mereka dibesarkan dengan penuh kasih sayang kerana ingin patuh kepada risalah dibawa Rasulullah SAW, sekalipun mereka melanggar adat diamalkan berkurun lama.

Sudah tentu perintah Allah SWT untuk tidak menzalimi bayi perempuan adalah termasuk dengan larangan menganiaya kanak-kanak perempuan dan wanita. Sebagai makhluk yang Allah SWT jadikan dengan kesempurnaan sifat sebagai manusia, wanita tiada bezanya dengan lelaki, melainkan keperluan biologi yang berbeza menjadikan lelaki dan wanita saling melengkapi antara satu sama lain.

Struktur sosial yang membina jantina, iaitu kecenderungan maskulin atau feminin dalam sesuatu tindakan tidak semestinya terbatas kepada seksual tertentu kerana sifat maskulin atau feminin adalah sangat subjektif dan ia diterjemahkan oleh masyarakat mengikut konteks setempat.

Contohnya, di Malaysia, lelaki tidak dilarang daripada mempunyai kerjaya feminin seperti tukang masak atau jururawat dan wanita pula tidak dihalang jika ingin menjadi juruterbang atau pemandu bas.

Bahkan, Allah SWT membezakan manusia di atas amal salih dilakukan di dunia, bukan melebihkan golongan tertentu kerana dilahirkan dengan jantina tertentu. Dilahirkan sebagai lelaki atau wanita tidak menjanjikan keistimewaan sekiranya kurang amalan baik di dunia.

Allah SWT berfirman dalam surah an-Nahl, ayat 97 bermaksud: “Sesiapa yang beramal salih antara lelaki atau perempuan sedang ia beriman, maka sungguh Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka sudah kerjakan.”

Kepincangan sosial dalam masyarakat hari ini iaitu jenayah pembunuhan, rogol, sumbang mahram, penderaan fizikal dan seksual isteri, pemerdagangan manusia, keldai dadah dan sebagainya yang mangsanya adalah wanita tidak jauh bezanya dengan akhlak jahiliah menzalimi bayi perempuan.

Tetapi situasi hari ini lebih menakutkan kerana kezaliman dilakukan bukan kerana adat dan kepercayaan tetapi kerana pelakunya memang zalim. Jika pada zaman jahiliah perbuatan menanam bayi hidup-hidup tidak dirasakan zalim tetapi demi ‘kebaikan’ sesebuah keluarga, hari ini, perbuatan zalim ke atas wanita dilakukan yang pemangsa tahu perbuatannya zalim tetapi tetap dilakukan juga.

Hari ini, usaha agresif yang bersifat holistik dengan kesedaran dan kerjasama segenap lapisan masyarakat adalah keperluan yang semakin terdesak untuk mengembalikan inti pati perintah Allah SWT agar setiap makhluk yang dicipta oleh-Nya dihargai dan dihormati. Apa pun alasan, tiada siapa berhak ke atas tubuh badan dan nyawa makhluk Allah yang lain melainkan yang hak.

Undang-undang sivil dan syariah sedia ada adalah mekanisme paling kuat untuk melindungi wanita dan sekian lama menjadi pemangkin menjaga hak dan keselamatan mereka, sama ada dalam atmosfera awam mahupun domestik, tetapi ia tidak mencukupi sekiranya persekitaran dan budaya serta cara hidup tidak menjadi faktor penggalak yang menyokong usaha ini.

Rohani masyarakat perlu disedarkan supaya menghormati dan menghargai setiap kejadian Allah SWT. Usaha membina sosial yang sentiasa melindungi wanita perlu dipergiatkan, dilakukan dalam pelbagai bentuk dan dalam segenap peringkat.

Usaha memperkasa wanita dibantu dengan sistem sokongan yang kuat bukannya dengan usaha tunggal wanita semata-mata. Ancaman jenayah dan landskap sosial yang membantutkan usaha menjadikan wanita kabilah yang kuat seterusnya memperkasakan warga yang lainnya di negara ini harus dikenal pasti dan dijadikan tembok penghadang supaya wanita semakin selamat di dunia.

Apabila golongan Hawa dimomokkan sebagai punca kejahatan, ia tidak membantu menambah baik situasi sedia ada sebaliknya menjadi alasan untuk mengizinkan kezaliman ke atas mereka.

Momokan itu juga hampir menolak hakikat bahawa lelaki sebagai wali (penjaga) sama ada datuk, bapa, suami serta abang dan adik lelaki mempunyai tanggungjawab besar untuk memastikan golongan Hawa dalam sesebuah keluarga wajib dibimbing dan dilindungi keselamatan mereka sekiranya mereka tidak mampu menjaga diri sendiri. Justeru, sekiranya wanita merosakkan masyarakat, siapa pula yang merosakkan wanita?

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Berguru fahami hadis, bukan bersandarkan laman sesawang

Posted by epondok di Mac 27, 2012

Oleh Lokman Ismail

 

HADIS Rasulullah SAW ialah sumber hukum dan panduan bagi umat Islam, selain daripada al-Quran. Sesungguhnya Rasulullah SAW telah dipertanggungjawab oleh Allah sebagai penjelas atau pentafsir kepada al-Quran.

 

Firman Allah SWT dalam surah an-Nahal, ayat 44 yang bermaksud: “Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) al-Quran supaya kamu menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka.”

Setiap Muslim diperintahkan supaya menerima segala diputuskan oleh Rasulullah SAW dan melaksanakannya.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Jauhilah daripada perkara yang direka-reka dan diada-adakan, setiap yang direka-reka itu adalah bidaah dan setiap yang bidaah adalah sesat.” – (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi).

Dr Muhammad Ajaj al-Khatib dalam ‘Usul al-Hadis Ulumuh wa Mustalahuh’ mentakrifkan hadis sebagai: “segala sesuatu yang disandarkan kepada Nabi Muhammad SAW daripada perkataan, perbuatan, pengakuan atau sifat sama ada tindak tanduk fizikal atau akhlak, sirah sama ada sebelum atau sesudah menjadi Rasul.”

 

Kepentingan al-Quran dan hadis digabungkan bersama sebagai panduan umat Islam sehingga ke hari kiamat tidak dapat disangkal lagi. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Aku tinggalkan kepadamu dua perkara tidak akan sesat selama mana kamu berpegang dengan keduanya, Kitab Allah dan Sunnah Nabi-Nya.” – (Hadis riwayat Malik).

 

Kaedah tradisi mencari hadis ialah menggunakan kitab hadis atau buku agama. Namun, keadaan sekarang sudah banyak berubah selari dengan perubahan teknologi moden. Kaedah melayari internet kini dimanfaatkan oleh mereka yang ingin mencari sesuatu hadis.

 

Kelebihan memperoleh hadis melalui internet ialah mudah. Dengan hanya menaipkan beberapa perkataan yang berkaitan di ruang ‘carian’, pencari akan dibentangkan atau diberikan keputusan ‘carian’ yang ‘mungkin’ dicari oleh pencari.

Kelemahan memperoleh hadis melalui internet ialah masukan atau entri yang tidak bertanggungjawab. Gerbang internet boleh dimasuki atau ditembusi oleh sesiapa saja. Kelonggaran ini membolehkan sesiapa saja membuat entri tanpa ada tapisan. Akibatnya wujud hadis yang tidak tepat. Ia ditulis mengikut kefahaman atau ilmu yang tidak sempurna.

 

Sebenarnya kefahaman mengenai hadis perlu mengambil kira latar belakang dan tujuannya. Contoh hadis riwayat Muslim dari Aisyah dan Anas yang bermaksud: “Kamu lebih mengetahui urusan dunia kamu.”

 

Ada pihak menjadikan hadis itu sebagai alasan untuk meletakkan hukum berkaitan perkara tertentu berlainan apa ditetapkan oleh ajaran Islam atas alasan Allah SWT telah membenarkannya kerana ia adalah urusan dunia yang mana manusia mengetahui keperluannya.

 

Sebenarnya hadis itu jawapan Rasulullah SAW terhadap aduan seorang petani Ansar mengenai hasil kurmanya kurang disebabkan tidak dibuat cantuman debunga jantan dan betina berdasarkan ‘pendapat’ Rasulullah SAW bahawa tidak perlu dilakukan perkara itu.

 

Petani Ansar tidak melakukan debunga kerana menyangka ‘pendapat’ itu satu ‘perintah’, sedangkan apa yang dinyatakan Rasulullah SAW itu hanya satu pendapat yang tidak semestinya betul.

 

Lebih serius lagi apabila banyak ditemui hadis palsu dan daif yang digunakan pihak tertentu untuk kepentingan diri dan kelompok. Mereka menggunakan hadis secara bebas dan tidak konsisten dalam menjelaskan maksudnya.

 

Sebenarnya Rasulullah SAW telah memberi amaran mengenai sifat pihak yang mengada-adakan perkara yang bukan daripada Baginda.

 

Jika hadis sahih kerap disalahertikan oleh mereka yang tidak mahir ilmu hadis, inikan pula penyelewengan menggunakan hadis palsu dan daif. Mereka yang jahil ilmu hadis terus menjadikan hadis palsu dan daif untuk menyokong tindakan salah yang dilakukan. Bahkan, hadis itu dijadikan bukti bahawa mereka bertindak atas arahan atau kepeluan agama.

 

Mereka yang berniat buruk terhadap Islam sengaja memasukkan hadis palsu dalam laman sesawang. Hadis palsu itu bukan saja hadis palsu yang sudah dikenal pasti oleh pakar hadis sebelum ini, tetapi mungkin juga hadis palsu yang baru dicipta.

 

Ingatlah sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Jauhilah daripada perkara yang direka-reka dan diada-adakan, setiap yang direka-reka itu adalah bidaah dan setiap yang bidaah adalah sesat.” – (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi).

Sebab itu, setiap Muslim perlu berhati-hati agar tidak terperangkap dengan hadis palsu

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »