Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Bulu kucing: Najis ke tidak?

Posted by epondok di Mei 11, 2024

Oleh MUHAMAD TARMIZE MOHD NOR

PERSOALAN mengenai bulu kucing bersifat najis atau tidak hangat diperdebatkan warganet dalam media sosial beberapa hari kebelakangan ini.

Ada yang menyatakan bulu kucing itu najis dan ada yang menafikannya. Jadi, siapa yang betul dalam hal ini?

Jawapan najis atau tidak bulu kucing tersebut dijawab oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam rencananya yang bertajuk Al-Kafi #1969: Adakah sah solat jika ada bulu kucing melekat pada pakaian?

Sebelum menjawab persoalan yang diajukan dalam artikel tersebut, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan terlebih dahulu menjelaskan, ALLAH SWT memberikan keringanan hukum berkaitan kucing dengan menyifatkannya sebagai haiwan yang suci.

ALLAH SWT memberikan keringanan hukum berkaitan kucing dengan menyifatkannya sebagai haiwan yang suci. Foto Canva

ALLAH SWT memberikan keringanan hukum berkaitan kucing dengan menyifatkannya sebagai haiwan yang suci. Foto Canva

“Ia (kucing) haiwan yang suci kerana sifatnya suka berkeliaran di sekitar manusia.

“Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya ia (kucing) bukanlah najis kerana ia adalah haiwan yang berkeliaran di sekitar kamu.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)

“Menurut Ar-Ruyani, hadis di atas menjelaskan kepada perbezaan kesucian antara kucing dan anjing. Kucing dianggap haiwan yang suci kerana sering berkeliaran di sekitar manusia manakala anjing dianggap najis kerana bukan tergolong dengan sifat demikian,” hurainya.

Menurutnya lagi, Imam An-Nawawi turut menyebutkan bekas air (baki air yang diminum) oleh kucing adalah suci dan harus untuk digunakan.

“Seterusnya perbahasan tentang status kesucian bulu binatang adalah bersandarkan kepada jenis binatang tersebut sama ada ia daripada golongan yang halal dimakan atau tidak.

“Sekiranya bulu tersebut gugur atau tercabut daripada haiwan yang boleh dimakan seperti bulu ayam, bulu kambing dan bulu lembu, maka hukumnya adalah suci.

“Jika bulu yang gugur atau tercabut daripada haiwan yang tidak boleh dimakan seperti kucing dan keldai, atau daripada haiwan yang boleh dimakan selepas ia mati, maka hukumnya adalah najis seperti dijelaskan Imam Al-Ghamrawi,” jelasnya.

Oleh yang demikian katanya, dapat disimpulkan bahawa bulu kucing yang terpisah sama ada ketika hidup atau mati adalah najis kerana ia merupakan haiwan yang tidak boleh dimakan.

“Justeru, perlu dibersihkan pakaian yang terkena bulu-bulu kucing apabila seseorang ingin mendirikan solat.

“Bagaimanapun, di sisi Mazhab Syafie, bulu-bulu kucing yang sedikit, melekat pada pakaian adalah termasuk dalam najis yang dimaafkan (al-ma’fuwat) seperti dinyatakan Imam Al-Khatib Asy-Syirbini:

“Dimaafkan bilangan yang sedikit secara adat (uruf) bulu-bulu yang najis haiwan selain daripada anjing,” katanya.

KUCING dianggap haiwan yang suci kerana sering berkeliaran di sekitar manusia. Foto Canva

KUCING dianggap haiwan yang suci kerana sering berkeliaran di sekitar manusia. Foto Canva

Berdasarkan kepada soalan yang dilontarkan, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan memberitahu, jika hanya beberapa helaian yang melekat pada pakaian ketika sedang solat, maka solatnya sah dan tidak perlu diulang kembali kerana ia merupakan najis yang dimaafkan.

“Namun begitu, jika solat belum ditunaikan, maka digalakkan untuk membersihkan pakaian atau menggantinya dengan pakaian yang suci sebagai langkah keluar daripada khilaf,” jelasnya.

Sementara itu dalam isu yang sama, pendakwah, Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, para ulama menyatakan bilangan bulu kucing yang dikira sedikit dan dimaafkan adalah dua helai.

USTAZ AZHAR

USTAZ AZHAR

“Pendapat muktamad bilangan yang sedikit adalah dua helai. Lebih daripada dua helai dikira banyak.

“Ada pendapat lain iaitu qaul daif (pendapat lemah dalam Mazhab Syafie) yang menyatakan lebih daripada dua atau banyak pun dimaafkan asalkan bukan sengaja.

“Jadi, kita sebagai orang awam dibolehkan mengikut qaul daif,” katanya

Posted in Artikel Pilihan, Klinik Agama | Leave a Comment »

Mengapa nama Nabi Ibrahim disebut dalam tahiyat akhir

Posted by epondok di Mei 9, 2024

OlehFATIN FATIHAH HUSSIN

RUKUN solat terbahagi kepada 13 rukun.

Antara 13 rukun itu, bacaan tahiyat akhir yang mengandungi lafaz syahadah dan juga nama Nabi Ibrahim AS disertakan dalam bacaan tersebut.

Kebanyakan daripada kita hanya melafazkan tahiyat tersebut tanpa mengetahui makna tersirat di sebalik sebutan tersebut.

Pendakwah Ustaz Khairol Akmar berkata, nama Nabi Ibrahim disebut kerana Baginda merupakan bapa bagi kebanyakan para Nabi dan Rasul.

“Kita sedia maklum Nabi Ibrahim memiliki dua cahaya mata, Nabi Ismail dan Nabi Ishak.

“Daripada dua individu ini lahirnya Nabi Musa, Nabi Yaacob, Nabi Yusuf, Nabi Isa, Nabi Harun dan Nabi Zulkifli.

“Dan yang paling terkemuka sekali adalah kerana Nabi Muhammad SAW. Salasilah Baginda berasal daripada keturunan Nabi Ibrahim yang datang daripada Nabi Ismail AS. Jadi kerana itulah nama Nabi Ibrahim disebut dan dibacakan dalam ayat,” katanya.

Pendakwah Ustaz Khairol Akmar berkata, nama Nabi Ibrahim disebut kerana Baginda merupakan bapa bagi kebanyakan para Nabi dan Rasul.

Beliau juga menjelaskan bahawa sebutan itu juga kerana doa Nabi Ibrahim AS kepada ALLAH.

“Yang kedua adalah kerana ALLAH memakbulkan doa Nabi Ibrahim tu sendiri seperti dalam surah Asy-Syu’ara’ ayat ke 84 yang bermaksud Nabi Ibrahim memohon kepada ALLAH “Ya ALLAH, jadikanlah padaku ini sebutan yang baik-baik pada mulut orang yang akan datang di kemudian hari.

Jelasnya lagi, ketika peristiwa Israk Mikraj berlaku Nabi Ibrahim telah menyampaikan pesanan kepada Nabi Muhammad SAW.

“Ketiga, dalam peristiwa Israk Mikraj, Nabi Ibrahim menyampaikan pesanan kepada Nabi Muhammad ‘tolong sampaikan salam ku kepada umat mu.

“Kerana itulah kita menyebut nama Nabi Ibrahim di dalam bacaan tahiyat kita,” ungkapnya menerusi satu hantaran video di laman media sosial TikTok.

Mustajabnya doa sebelum memberi salam

Salah satu waktu mustajabnya doa adalah ketika selesai membaca doa tahiyat akhir.

Salah satu waktu mustajabnya doa adalah ketika selesai membaca doa tahiyat akhir.

Salah satu waktu mustajabnya doa adalah ketika selesai membaca doa tahiyat akhir.

Menurut Kalam Insani, duduk pada tahiyat akhir merupakan rukun fi’li iaitu pergerakan seluruh anggota badan. Ia mesti dilakukan pada rakaat yang terakhir dalam solat.

Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, beliau telah mendengar Rasulullah SAW bersabda;

إِذَا فَرَغَ أَحَدُكُمْ مِنَ التَّشَهُّدِ الْآخِرِ، فَلْيَتَعَوَّذْ بِاللهِ مِنْ أَرْبَعٍ: مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ، وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ شَرِّ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Apabila kamu selesai membaca tasyahud akhir, maka mohonlah berlindung dengan ALLAH daripada empat perkara: daripada seksaan kubur, seksaan neraka Jahanam, fitnah kehidupan dan kematian, serta daripada kejahatan al-Masih ad-Dajjal.” (Hadis Riwayat Muslim)

Antara doa yang dianjurkan sebelum memberi salam ialah doa memohon keampunan, bebas dari cengkaman hutang dan doa perlindungan seperti di atas.

Posted in Klinik Agama | Leave a Comment »

Renjis kereta dengan ‘air tawar’ khurafat? Ini penjelasannya

Posted by epondok di Mei 7, 2024

Oleh MUHAMAD TARMIZE MOHD NOR

PERBUATAN merenjis atau memandikan kereta yang baru dibeli bukanlah perkara baru dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini.

Bahkan sehari dua ini seorang tokoh ulama terkenal di selatan Thailand turut memuat naik video rakaman beliau melakukan perbuatan tersebut dan mendapat perhatian ramai terutamanya umat Islam di negara ini.

Timbul persoalan di benak fikiran, apakah perbuatan tersebut ada dalil yang membolehkan ia dilakukan? Apakah ia termasuk dalam amalan khurafat?

Pendakwah, Dr Nasaie Hanaffie menjelaskan, ‘air tawar’ adalah istilah yang masyhur di negeri Kelantan.

“Ia juga dikenali dengan nama air rukyah yang merujuk kepada air yang dijampi dengan bacaan ayat al-Quran, selawat dan doa.

“Amalan ini adalah amalan yang bermanfaat dan salah satu daripada cara rawatan Islam,” katanya seperti dikongsikan dalam Facebook miliknya.

Menurutnya, Ibnu Al-Qayyim berkata dalam Madarij as-Salikin: “Aku telah ditimpa sakit yang sangat mengganggu sehinggakan sakit tersebut hampir mematikan pergerakanku dan perkara ini berlaku semasa tawaf dan selain tawaf.

“Lalu aku bersegera membaca (Surah) al-Fatihah dan aku (meniup ke tapak tanganku selepas bacaan tersebut lalu) mengusapnya di tempat yang sakit, maka sakit tersebut hilang sebagaimana anak batu yang jatuh.

“Aku telah mengalami perkara ini berkali-kali. Aku juga pernah mengambil bekas yang berisi air zamzam lalu aku membacakan ke atas air tersebut Surah al-Fatihah berkali-kali, lalu aku meminumnya. Aku dapati manfaat dan kekuatan daripadanya apa yang aku tidak pernah perolehi sepertinya daripada ubat-ubatan,” katanya.

Dalam kitab Al-Adab asy-Syar’iyyah oleh Ibnu Muflih pula ada menyebutkan bahawa Soleh (anak Imam Ahmad) berkata: “Ada ketikanya aku sakit lalu ayahku telah mengambil satu bekas air dan membaca (al-Quran) ke atasnya. Beliau berkata kepadaku: Minumlah air ini dan basuhlah muka dan tanganmu dengannya.

“Abdullah (anak Imam Ahmad) menukilkan bahawa dia pernah melihat ayahnya menta’wiz (membaca jampi) ke dalam air dan membaca al-Quran ke dalamnya.

Beliau kemudian meminumnya dan menjiruskan ke atas badannya.

Menurut Nasaie, dari nukilan tersebut dapat difahami bahawa adalah menjadi amalan para ulama untuk berubat dengan cara di atas sama ada dilakukan sendiri ataupun oleh orang lain.

Bagaimanapun menurutnya, tidak dinafikan ada pihak yang ‘skeptik’ dengan ‘air tawar’ untuk berubat manusia walaupun amalan tersebut dilakukan oleh sebahagian ulama seperti Imam Ahmad dan Ibnu Al-Qayyim, apatah lagi jika ia dijadikan rukyah untuk kenderaan seperti kereta.

Merujuk kepada amalan rukyah kenderaan, beliau membahagikan kepada dua situasi.

1 – Kenderaan tersebut meragam dan sangkaan kuat bahawa ia terkena (penyakit) ain.

“Terdapat beberapa fatwa daripada masyaikh (Arab) Saudi sendiri yang menganjurkan untuk merukyah kenderaan yang terkena aain dengan cara biasa iaitu dengan memandikan kenderaan tersebut dengan bekas air mandi atau bekas air wuduk orang yang menjadi punca ain tersebut.

“Jika tidak diketahui puncanya, mereka menyatakan boleh untuk menggunakan ‘air tawar’ untuk membasuh atau merenjis kenderaan tersebut, bahkan boleh dimasukkan ke dalam radiator. Perkara ini adalah mujarab,” katanya.

2 – Kenderaan baru atau lama yang masih belum terkena ain.

“Boleh dikatakan bahawa para ulama sepakat akan pensyariatan rukyah kenderaan dengan cara membaca ayat al-Quran, doa dan mengucapkan Masya-Allah (tanpa dibacakan ke dalam air).

“Adapun merukyah kenderaan yang masih belum terkena ain dengan cara menggunakan ‘air tawar’, ulama berselisih kepada dua pendapat iaitu tidak menganjurkannya atas alasan tidak dibuat oleh Rasulullah SAW,” katanya.

Jelasnya, apa yang ada ialah rukyah melalui bacaan sahaja tanpa dibaca ke dalam air dan digunakan untuk merenjis atau membasuh kenderaan tersebut.

“(Pendapat kedua) tidak mengapa untuk direnjiskan atau dibasuh kenderaan tersebut dengan ‘air tawar’ kerana jika ia boleh untuk kenderaan yang terkena ain, maka lebih awla (utama) untuk dibolehkan sebagai langkah pencegahan.

“Apapun untuk kes ini, ia masih memerlukan kajian lanjut lagi,” katanya.

Sementara itu, Pejabat Mufti Negeri Selangor yang pernah menjawab persoalan sama dalam laman web rasminya menjelaskan, perbuatan merenjis atau membilas kenderaan bagi mengelakkan musibah adalah sesuatu yang tidak disyariatkan.

“Hukumnya tidak harus kerana menimbulkan fitnah dan tohmah terhadap masyarakat Islam.

“Jika berlaku sesuatu musibah ucaplah sebagaimana firman ALLAH SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 156: (Iaitu) orang yang apabila mereka ditimpa musibah, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan ALLAH dan kepada ALLAH jualah kami kembali,” katanya.

Jabatan itu turut menjelaskan, cara menghindari daripada penyakit ain bukanlah dengan menyiram atau merenjis air ke kereta namun perlu mengikuti panduan yang dinyatakan oleh hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abi Said RA:

“Adalah Rasulullah SAW berlindung diri kepada ALLAH daripada penyakit pandangan jahat jin dan juga manusia. Maka ketika turun surah al-Muawwizatan (iaitu Surah al-Falaq dan Surah an-Nas) Baginda mengamalkannya dan meninggalkan yang lain.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

“Justeru, amalkan bacaan Surah al-Falaq dan Surah an-Nas sebagai pelindung diri daripada kejahatan jin, manusia dan makhluk lainnya.

“Selepas semua usaha dilakukan seperti memastikan kenderaan diservis, memandu secara berhemah, mematuhi isyarat di jalanraya dan sebagainya, maka bertawakkallah kepada ALLAH SWT,” katanya.

Posted in Artikel Pilihan, Klinik Agama | Leave a Comment »

Renjis air ke kereta Bukan khurafat & diharuskan syarak

Posted by epondok di Mei 6, 2024

Datuk Dr Luqman Abdullah

Baru-baru ini, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) ada menerima soalan daripada awam berhubung video seorang ulama melakukan perbuatan merenjis kereta yang baru dibeli oleh seseorang. Menerusi soalan itu juga menyatakan bahawa terdapat segelintir golongan yang mengatakan bahawa perkara ini adalah perkara khurafat dan tidak pernah dilakukan oleh Nabi SAW dan sahabat.

Menjawab persoalan ini, secara ringkasnya terlebih dulu, perbuatan merenjis atau membilas kenderaan dengan air yang dibaca ruqyah adalah sesuatu yang dibenarkan dan diharuskan dalam syarak. 

Ia adalah satu cara untuk melakukan ruqyah seperti yang disebutkan oleh para ulama. Selain itu, hujah Nabi SAW dan para sahabat tidak pernah melakukannya tidak boleh diterima kerana tidak semestinya perkara yang ditinggalkan oleh mereka itu terus menjadi haram. 

Bahkan, terdapat banyak perbuatan yang tidak dilakukan oleh Rasulullah SAW dan sahabat, namun masih dalam hukumnya yang asal iaitu sunat dan harus. Oleh yang demikian, perbuatan tersebut bukanlah satu amalan yang khurafat dan ia tidak bertentangan dengan syariat.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke Hari Kiamat.

Setiap umat Islam dituntut untuk berikhtiar bagi menjaga diri, keluarga dan hartanya daripada sebarang perkara yang tidak diinginkan seperti kecurian, kemalangan dan daripada penyakit seperti penyakit ‘ain dan seumpamanya. 

Berkaitan penyakit al-‘ain secara khusus, Nabi SAW pernah menyebut bahawa penyakit ‘ain ini merupakan sesuatu yang benar dan apabila seseorang diminta untuk mandi bagi menyembuhkan penyakit itu, maka hendaklah dia mandi. Sabda Baginda SAW bermaksud: “Penyakit al-‘Ain itu benar. Jika ada sesuatu yang menjangkaui qadar maka ‘ain lah (yang dapat menjaungkauinya). Jika diminta kepada kamu untuk mandi (untuk penyembuhan), maka hendaklah kamu mandi.” (Hadis Riwayat Muslim, No 5831)

Sebahagian ulama juga menyebutkan bahawa penyakit ‘ain ini menimpa haiwan dan benda-benda yang tidak bernyawa (al-jamadat) seperti pokok, batu, kereta dan seumpamanya. 

Terdapat pelbagai cara untuk melindungi diri daripada penyakit ‘ain ini seperti membaca ruqyah dan doa. Ibn Kathir dalam tafsir menyebut bahawa sebahagian daripada salaf, apabila mereka melihat sesuatu yang menakjubkan mereka. Untuk panduan cara dan doa yang lebih lanjut, rujuk artikel kami Al-Afkar #43: Penyakit ‘Ain Dan Rawatannya.

Salah satu bentuk usaha dan ikhtiar juga adalah dengan memandikan atau membilas dengan air berdasarkan sabda Nabi SAW: “Jika diminta kepada kamu untuk mandi (bagi penyembuhan, maka hendaklah kamu mandi.” Hal ini juga diharuskan dengan cara merenjis-renjis air kepada perkara yang tidak bernyawa seperti rumah dan sebagainya.

“Begitu juga, diharuskan membaca beberapa zikir, wirid dan ta’awwudz pada air kemudian direnjiskan pada rumah yang terdapat jin dan syaitan. Cara ini akan menjauhkan mereka daripada tempat tersebut dengan izin Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT Maha Memberi Kesembuhan.” (Rujuk Mausu’ah Syar’iyyah fi Ilm al-Ruqa)

Oleh yang demikian, cara membacakan ayat al-Quran, zikir dan ta’awwudz kemudian merenjisnya pada sesuatu tempat atau barang, maka ia dibenarkan oleh syarak dan bukanlah sesuatu yang dilarang atau khurafat.

Selain itu juga, sesuatu perkara yang tidak dilakukan Rasulullah SAW dan sahabat tidak semestinya perkara itu diharamkan oleh syarak. 

Terdapat banyak perkara yang harus dilakukan sekalipun Nabi SAW dan sahabat tidak melakukannya. Perbahasan ini disebutkan sebagai al-tark iaitu sesuatu yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW sama ada dengan tujuan tertentu atau tanpa tujuan. 

Sesetengah golongan sengaja menimbulkan kekeliruan dengan menjadikannya sebagai hujah bahawa jika sesuatu itu baik sudah tentu Nabi SAW dan para sahabat terlebih dahulu akan melakukannya, sedangkan perkara itu tidak benar. Berkaitan hal ini, Syeikh Abdullah Siddiq al-Ghumari menyebutkan dalam kitabnya Husn al-Tafahhum wa al-Dark li Mas’alat al-Tark bahawa: “Perbuatan Rasulullah SAW tidak melakukan sesuatu perbuatan semata-mata, tanpa disertai dengan nas (al-Quran atau Hadis) yang menunjukkan perkara yang ditinggalkan itu haram, tidak boleh dijadikan sebagai hujah bagi mengharamkannya. Bahkan sebaliknya, ini menunjukkan bahawa perbuatan itu harus untuk dilakukan. Ini kerana sesuatu yang haram itu bukan hanya dilihat dari sudut Rasulullah SAW tidak melakukannya semata-mata, bahkan disabitkan dengan dalil (al-Quran dan Sunnah) yang menunjukkan kepada pengharaman tersebut.” (Rujuk Husn al-Tafahhum wa al-Dark, 11)

Terdapat banyak perkara yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW dan perkara itu tidak menjadi haram atas pelbagai sebab. Hal ini contohnya Nabi SAW pernah meninggalkan perbuatan memakan haiwan dhab walaupun dipelawa oleh para sahabat kerana ia bukan adat Baginda SAW. Walau bagaimanapun, Baginda SAW tidak mengharamkan para sahabat daripada memakannya.

Justeru itu, tidak semestinya sesuatu yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW merupakan satu perkara yang haram. Ini tidak boleh dijadikan hujah untuk mengharamkan sesuatu perbuatan yang tiada dalil daripada syarak yang menunjukkan kepada pengharaman tersebut.

Kesimpulannya, perbuatan merenjis atau membilas kenderaan yang dibacakan dengan zikir dan doa ruqyah bukanlah suatu perkara yang khurafat. Bahkan ia adalah salah satu cara yang dibenarkan oleh syarak kerana tiada dalil yang melarangnya. Oleh yang demikian, tindakan tersebut harus untuk dilakukan dengan tujuan menjaga sesuatu barang atau kenderaan daripada penyakit al-‘ain dan musibah seumpamanya. Wallahu a’lam.

Posted in Artikel Pilihan, Fokus Isu, Klinik Agama | Leave a Comment »

Haram hadiri rumah terbuka tanpa dijemput walau jiran sebelah rumah

Posted by epondok di Mei 5, 2024

Oleh MUHAMAD TARMIZE MOHD NOR

SEMINGGU sebelum bulan Syawal melabuhkan tirai, masih banyak rumah terbuka diadakan sempena Hari Raya Aidilfitri.

Baik di pejabat mahupun di kawasan kejiranan, masjid atau surau, masing-masing mahu ‘berkenduri’ menjamu makan kepada tetamu yang hadir.

Namun, kadangkala ada situasi di mana penganjur mahu mengadakan rumah terbuka atau kenduri namun dengan bajet yang rendah dan jemputan tertentu sahaja dibenarkan hadir, dengan tujuan tidak mahu timbul isu kekurangan makanan kepada tetamu.

Timbul persoalan, jika jiran sebelah rumah sendiri yang melakukan rumah terbuka tapi tidak menjemput kita, apakah kita boleh hadir dan makan makanan yang dihidangkan?

Wajib hadir jika dijemput

Menjawab soalan ini, pendakwah, Ustazah Asma’ Harun menjelaskan, hukum asal menghadiri jemputan perkahwinan sekiranya dijemput secara khusus adalah wajib menurut majoriti ulama dalam Mazhab Maliki, Syafie dan Hanbali.

“Ia berdasarkan hadis yang diriwayatkan Ibnu Umar RA, Rasulullah SAW bersabda: “Apabila salah seorang kamu dijemput ke majlis perkahwinan (walimah), maka hadirlah ia.” (Hadis Riwayat Muslim)

“Menurut Imam An-Nawawi hadis di atas menunjukkan perintah untuk menghadiri satu majlis apabila ianya dijemput.

“Menurut pandangan yang paling sahih dalam mazhab Syafie adalah fardu ain (wajib) bagi sesiapa yang dijemput secara khusus dan gugur kewajiban tersebut jika ada keuzuran dan kemaslahatan,” katanya dalam Facebook miliknya pada Khamis.

Ulama sepakat hukum haram hadir, makan tanpa dijemput

Adapun menghadiri rumah terbuka atau kenduri tanpa dijemput, atau hadir yang tidak diketahui tuan rumah, hukumnya adalah haram seperti disebut dalam kitab Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah yang disepakati oleh para ulama empat mazhab, menurutnya.

“Dia dihukum fasik dari sudut penyaksian dan menjatuhkan maruah jika terus-menerus melakukan perbuatan tersebut.

“Ini kerana ia termasuk dalam kategori memakan makanan yang haram,” jelasnya.

Ustazah Asma’ kemudian membawakan satu hadis yang diriwayatkan Abdullah bin Umar RA, Rasulullah SAW bersabda:

“Sesiapa yang pergi ke suatu majlis tanpa jemputan, dia hadir sebagai seorang pencuri dan keluar sebagai seorang perompak.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

WAJIB hadir ke rumah terbuka atau kenduri jika dijemput khusus oleh tuan rumah dan kewajipan tersebut gugur sekiranya ada keuzuran. Foto Canva

WAJIB hadir ke rumah terbuka atau kenduri jika dijemput khusus oleh tuan rumah dan kewajipan tersebut gugur sekiranya ada keuzuran. Foto Canva

“Disebutkan dalam kitab Mishkat Masabih, tetamu yang tidak dijemput tidak dibenarkan untuk hadir melainkan dengan izin tuan rumah dan tidak dibenarkan bagi tetamu untuk mengundang seseorang tanpa izin tuan rumah.

“Tetamu wajar meminta izin terlebih dahulu dan tidak digalakkan bagi tuan rumah untuk tidak menolaknya kecuali jika kehadirannya akan menimbulkan gangguan kepada orang yang hadir. Jika tuan rumah menolak, ia harus dilakukan dengan lemah lembut,” hurainya panjang.

Beliau turut menjelaskan, menurut Al-‘Aini, orang yang hadir ke majlis kenduri perkahwinan tanpa dijemput dianggap sebagai At-Tufaili iaitu mereka yang datang ke majlis atau perkumpulan tanpa mereka menjemputnya.

Murah rezeki, panjang umur sambung silaturahim

Bagaimanapun, pendakwah itu turut mengingatkan umat Islam kelebihan menyambung silaturahim dapat melimpahkan rezeki dan memanjangkan umur seperti hadis Rasulullah SAW:

MENGHUBUNGKAN silaturahim dan memberi makan antara amalan yang mampu membawa kita ke syurga. Foto Canva

MENGHUBUNGKAN silaturahim dan memberi makan antara amalan yang mampu membawa kita ke syurga. Foto Canva

“Sesiapa yang suka untuk dilimpah-ruahkan rezekinya atau dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung silaturrahim.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

“Hakikatnya dengan menjemput orang makan dan hadiri majlis rumah terbuka atau perkahwinan amat digalakkan serta dapat menambahkan keberkatan dan rezeki di samping dapat menghubungkan silaturahim sesama rakan dan saudara-mara,” katanya.

Beliau turut mengingatkan antara sifat orang beriman adalah memuliakan tetamu dan antara amalan yang mampu membawa kita masuk ke syurga adalah memberi makan dan menyambung silaturahim.

Posted in Artikel Pilihan, Klinik Agama | Leave a Comment »

Santuni, taati mentua

Posted by epondok di April 30, 2024

Mohd Shahrizal Nasir

Setiap insan mengimpikan sebuah rumah tangga yang bahagia. Kebahagian tersebut bukan sahaja melibatkan kehidupan di dunia, tetapi juga untuk kehidupan yang lebih utama di akhirat nanti. Allah SWT berfirman dalam al-Quran perihal kehidupan rumah tangga yang maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang yang berfikir.” (Surah ar-Rum, ayat 21)

Sesungguhnya ikatan perkahwinan yang dikurniakan oleh syarak kepada setiap umat Islam membawa banyak manfaat terutama dalam mengharmonikan hubungan sesama manusia. Dengan ikatan perkahwinan, maka terjalin hubungan kemanusiaan yang lebih kuat dan melibatkan berkembangnya keturunan manusia. Kehidupan manusia tidak boleh disempitkan dengan kelompok tertentu sahaja, sebaliknya hubungan manusiawi perlu diluaskan kerana manusia tidak boleh hidup bersendirian.

Manusia memerlukan orang lain untuk menjadikan kehidupannya lebih bahagia serta dipermudah urusan kehidupan. Seseorang lelaki akan hidup lebih sempurna sekiranya ada wanita yang berada di sisinya sebagai seorang isteri.

Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: “Wahai para pemuda, barang siapa yang sudah sanggup menikah, maka menikahlah. Ini kerana pernikahan itu lebih menundukkan pandangan dan lebih menjaga kehormatan. Barang siapa yang belum mampu, maka berpuasalah kerana puasa itu ubat pengekang nafsunya.” (Muttafaq ‘alaih)

Apabila seseorang menikahi seorang wanita pilihan hatinya, dia bukan sahaja berkongsi kehidupan bersama wanita itu sahaja. Sebenarnya dia turut menjalinkan hubungan manusiawi dengan ahli keluarganya termasuk kedua ibu bapa wanita tersebut. Inilah antara hikmah besar di sebalik pensyariatan perkahwinan dalam Islam kerana setiap suami dan isteri akan memiliki dua orang tua tambahan yang dikenali sebagai mentua.

Perkara ini jika dilihat dari sudut yang positif, memberi ruang kepada kedua-dua suami dan isteri untuk melakukan kebaikan selain daripada mentaati dan menyantuni ibu bapa kandung masing-masing. Dengan kata lain, setiap menantu tidak kira lelaki atau perempuan menambah tanggungjawab masing-masing untuk mentaati dan menyayangi kedua orang mentua dan inilah antara kebaikan perkahwinan.

Peluang untuk melakukan kebaikan sebagai seorang menantu kepada mentua adalah sama sepertimana peluang untuk berbakti kepada ibu bapa sendiri. Apa sahaja perbuatan baik yang dilakukan oleh seorang lelaki dan perempuan daripada kalangan orang Islam pasti akan dikurniakan kebaikan oleh Allah SWT dan ini adalah janji-Nya sepertimana termaktub dalam al-Quran.

“Sesiapa yang beramal soleh, daripada lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka dengan memberikan pahala yang lebih daripada apa yang mereka telah kerjakan.” (Surah an-Nahl, ayat 97)

Maka dengan adanya ikatan perkahwinan, Islam telah membuka ruang tambahan yang luas untuk sesiapa sahaja daripada kalangan insan bergelar menantu untuk berbakti kepada mentua masing-masing. Asalnya tiada ikatan yang menjadi sebab kedua-dua pihak melakukan kebaikan, namun dengan sebab perkahwinan maka menantu boleh mendapat pahala kerana menyantuni mentuanya, manakala mentua juga boleh mendapat pahala kerana menyayangi menantunya.

Keakraban hubungan menantu dengan mentua dijelaskan apabila Islam menetapkan bahawa tidak boleh seseorang bekas menantu mengahwini sama ada ibu atau bapa mentuanya. Menurut Ibn Kathir, ibu kepada isteri (ibu mentua) menjadi mahram (golongan yang diharamkan berkahwin) sebaik berlangsungnya akad nikah ke atas anak perempuannya. Hukum menjadi mahram ini terpakai sama ada setelah berlakunya hubungan badan antara pasangan suami isteri ataupun belum. Selain itu, status mahram tersebut bersifat kekal atau disebut mahram mu’abbad. Ini bermakna seorang menantu tidak boleh berkahwin dengan mentua selama-lamanya.

Justeru, dapat difahami bahawa tidak ada istilah ‘bekas menantu’ atau ‘bekas mentua’ kerana mereka selama-lamanya tetap dalam status menantu dan mentua. Maka berdasarkan ketetapan ini, jelas menunjukkan Islam adalah agama yang amat mementingkan hubungan kekeluargaan sesama manusia. Meskipun sesebuah rumah tangga itu ditakdirkan tidak bertahan lama, namun hubungan kekeluargaan yang diserlahkan menerusi hukum mahram mu’abbad tersebut membuktikan ikatan perkahwinan merapatkan hubungan manusiawi dan perceraian tidak boleh dijadikan sebab terputusnya silaturahim.

Menyedari ketetapan baik yang digariskan oleh Islam ini, maka setiap menantu dan mentua perlu berusaha untuk menjaga hubungan mereka kerana ia satu tuntutan syarak. Biasanya hubungan menantu dan mentua ini dimomokkan dengan keretakan sehingga ada yang dijadikan punca berlakunya masalah dalam rumah tangga.

Islam telah membuat ketetapan yang sangat ideal bagi memastikan umat Islam sentiasa hidup dalam keadaan harmoni dan bahagia. Dalam usaha melakukan kebaikan, Islam mengingatkan umatnya agar melakukan kebaikan pada semua manusia apatah lagi mereka yang mempunyai pertalian kekeluargaan. Ikatan perkahwinan adalah salah satu punca wujudnya hubungan kekeluargaan yang asalnya tidak mempunyai pertalian darah.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran tentang kewajipan melakukan kebaikan kepada semua orang dengan mendahulukan pihak yang berkaitan dengan keluarga. “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong takbur dan membangga- banggakan diri.” (Surah an-Nisa’, ayat 36)

Perihal menyayangi pasangan masing-masing dalam rumah tangga adalah satu perkara yang mewajarkan menantu turut menyayangi mentua masing-masing. Jadikanlah ketetapan Islam dalam hal berkaitan menantu dan mentua sebagai peluang untuk masing-masing melakukan kebaikan. Islam adalah agama yang membuka seluas-luasnya pintu kebaikan untuk setiap Muslim berusaha meraih ganjaran pahala daripada-Nya.

Sepertimana yang dinyatakan oleh Allah SWT bahawa orang yang baik adalah untuk orang yang baik juga, maka tiada alasan lagi bagi setiap insan bergelar menantu untuk melakukan kebaikan kepada pasangan masing-masing dengan turut menyantuni golongan mentua. Seseorang itu akan dikurniakan pahala dengan melakukan kebaikan kepada orang lain, maka sudah pasti melakukan kebaikan kepada mentua dikurniakan ganjaran yang lebih menguntungkan.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang maksudnya: “…Dan (sebaliknya) perempuan yang baik untuk lelaki yang baik, dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih daripada (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (daripada Allah) dan pengurniaan yang mulia.” (Surah an-Nur, ayat 26)

Posted in Amalan Pilihan, Artikel Pilihan, Fokus Isu | Leave a Comment »

Hal ehwal rumah tangga bukan tatapan umum

Posted by epondok di April 28, 2024

Prof Madya Dr Azlan Shaiful Baharum

Umpama satu trend ketika ini apabila terdapat segelintir anggota masyarakat yang lebih gemar menceritakan pekung rumah tangga sendiri di media sosial berbanding mendapatkan khidmat kaunseling secara tertutup.

Dalam Islam, terdapat penekanan yang kuat terhadap pemeliharaan keharmonian dalam rumah tangga. Menceritakan hal rumah tangga secara terbuka kepada khalayak umum mungkin boleh menimbulkan masalah seperti fitnah, mengaibkan pasangan masing-masing dan gangguan privasi kedua-dua pihak. Allah SWT dan Rasulullah SAW menekankan pentingnya menjaga rahsia keluarga dan menjauhi perbuatan yang boleh merosakkan reputasi serta hubungan antara suami isteri.

Bagi sesiapa yang mempunyai isu atau masalah dalam rumah tangga, disarankan untuk mencari penyelesaian dengan cara bersifat rahsia dan bimbingan daripada keluarga, ahli agama atau kaunselor.

Islam menggalakkan penyelesaian konflik melalui perbincangan, sabar dan menggunakan kebijaksanaan bukannya dengan menyebarkan cerita yang boleh merosakkan hubungan terutama di media sosial walaupun kita pempengaruh sekalipun.

Dosa yang sedia ada tidak tertanggung, ditambah dosa mengaibkan rumah tangga sendiri.

Ikatan suci perkahwinan

Allah SWT menciptakan semua makhluk berpasang-pasangan tanpa terkecuali, sekecil mana pun ciptaan Allah SWT pasti ada pasangannya termasuk manusia. Sebagai makhluk Allah SWT yang paling sempurna dan sebagai khalifah di muka bumi, manusia mempunyai tanggungjawab untuk mentaati ketentuan Allah SWT baik melalui firman-Nya atau sabda Rasul-Nya. Salah satu ketentuan-Nya ialah tentang perkahwinan dan tanggungjawab yang timbul akibat perkahwinan itu. Allah berfirman dalam Surah ar-Rum ayat 21 : “Dan di antara tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai lelaki), isteri daripada jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya serta dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang yang berfikir.”

Setiap manusia pastinya mempunyai keinginan untuk berkahwin dan membina rumah tangga yang harmoni kerana perkahwinan adalah sunnatullah. Namun begitu, banyak rumah tangga yang tidak sempurna kerana kekurangan pengetahuan tentang cara membentuk rumah tangga yang sakinah, mawadah dan rahmah mengikut petunjuk al-Quran.

Perkahwinan bukan sahaja bertujuan mewariskan zuriat, tetapi perkahwinan perlu menjadi ikatan yang sah antara dua orang yang berbeza, dua watak berbeza, dua pemikiran berbeza dan dua sifat berbeza yang kemudian disatukan dalam rumah tangga sebagai suami isteri.

Penyatuan ini tentunya akan memunculkan hak dan kewajipan, sehingga Allah SWT sebagai Pencipta yang Maha Esa memberikan aturan bagi manusia agar manusia sedar akan hak dan kewajipannya sebagai suami isteri. Ini supaya akhirnya mereka dapat mewujudkan suasana yang harmoni dalam rumah tangga sebagaimana nilai yang terkandung dalam al-Quran.

Kewajipan suami terhadap isteri menurut al-Quran

Akad nikah dalam hukum syarak tidak sama dengan akad hak milik. Akad nikah disimpulkan dengan mengambil kira kewajipan antara kedua-duanya. Dalam hal ini, suami berkewajipan yang lebih berat daripada isteri berdasarkan firman-Nya: “…tetapi suami mempunyai satu taraf kelebihan terhadap isterinya”. Perkataan satu tingkatan kelebihan boleh diertikan sebagai berkata: “Lelaki adalah pemimpin bagi wanita…” (Surah an-Nisa ayat 34)

Pada asasnya, kewajipan suami juga hak isteri, jadi jika bercakap kewajipan suami terhadap isteri, boleh juga bermakna hak isteri ke atas suaminya. Kewajipan ialah segala-galanya yang mesti dilakukan setiap individu, manakala hak ialah segala-galanya yang mesti diterima setiap individu.

Justeru, kewajipan dan tanggungawab adalah segala perbuatan yang perlu dilakukan oleh individu atau kelompok sesuai dengan ketentuan yang ditetapkan.

Nafkah dan keperluan

Fuqaha bersepakat bahawa nafkah kepada isteri adalah wajib bagi seorang suami yang berdikari dan menggantikannya. Mengenai suami yang bermusafir jauh, jumhur fuqaha tetap mewajibkan suami memberi nafkah kepada isterinya. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 233: “Ibu hendaklah menyusukan anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan. Dan menjadi kewajipan ayah memberi makan serta pakaian kepada ibu secara makruf. Seseorang tidak dibebani tetapi mengikut tahap kemampuan.”

Oleh yang demikian, menyediakan tempat tinggal yang sesuai juga kewajipan seorang suami terhadap isterinya sebagaimana firman Allah SWT bermaksud: “Tempatkanlah mereka (isteri-isteri) di mana kamu (suami) tinggal menurut kemampuan kamu…” (Surah at-Talaq ayat 6)

Menggauli isteri dengan baik dan adil adalah satu kewajipan suami terhadap isterinya. Sebagaimana firman Allah dalam Surah an-Nisa ayat 19 yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mengahwini wanita dengan jalan paksa dan janganlah kamu menyusahkan mereka kerana hendak mengambil kembali sebahagian daripada apa yang kamu berikan kepada mereka kecuali jika mereka melakukan pekerjaan keji. Dan bergaul dengan mereka dengan sewajarnya. Kemudian jika kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) kerana boleh jadi kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah telah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.”

Maksudnya ia ditujukan kepada suami supaya bercakap baik dengan isteri dan berkelakuan baik dalam perbuatan serta penampilan. Oleh kerana suami juga menyukai perkara ini daripada isteri mereka, mereka juga mesti melakukan perkara yang sama. Sebagaimana dalam hadis riwayat Aisyah RA, bahawa Rasulullah saw. bersabda maksudnya: “Sebaik-baik kamu adalah orang yang paling baik kepada keluarganya dan aku adalah orang paling baik kepada keluargaku.”

Antara akhlak Nabi Muhammad adalah melayan keluarganya dengan baik, sentiasa seronok bermain dengan keluarganya, berwajah manis, berlemah lembut, memberi kelapangan daripada segi kehidupan dan berseronok dengan semua isterinya.

Lindungi isteri daripada dosa

Menjadi kewajipan ketua rumah tangga memberi didikan agama kepada isteri dan anak supaya mereka taat kepada Allah serta Rasul-Nya. Dengan ilmu agama, seseorang itu dapat membezakan antara tingkah laku yang baik dan buruk serta dapat melindungi diri daripada melakukan maksiat. Selain ilmu agama, seseorang suami juga wajib memberi nasihat atau teguran apabila isteri melakukan kesalahan atau lupa atau meninggalkan kewajipannya dengan kata-kata hikmah yang tidak melukakan hatinya, seperti firman Allah SWT dalam Surah at-Tahrim ayat 6 bermaksud: “Wahai orang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya manusia serta batu, penjaganya ialah malaikat yang kasar, keras dan tidak menderhakai Allah terhadap apa diperintahkan-Nya kepada mereka serta selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.”

Taat pada suami

Mentaati suami adalah perintah Allah SWT selagi tidak menyuruh melakukan perkara munkar. Sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah an-Nisa ayat 34 sebagai berikut: “Lelaki itu adalah pemimpin bagi wanita oleh kerana Allah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) menafkahkan sebahagian daripada harta mereka. Oleh itu, wanita yang solehah ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada kerana Allah memelihara (mereka). Wanita yang kamu khuatirkan nusyuznya maka nasihatilah mereka dan pisahkan mereka di tempat tidur mereka serta pukullah mereka. Kemudian jika mereka mentaatimu, janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar.”

Justeru perlulah diingatkan sekali lagi, suami dan isteri perlu menyimpan erat rahsia rumah tangga walaupun sepopular mana pun kita di laman sosial.

Jika perlu penyelesaian masalah jangan diselesaikan di mahkamah netizen atau media, tetapi diuruskan sebaik mungkin melaui penasihat bertauliah di mahkamah syariah atau keluarga. Keaiban didedahkan bukan membaiki hubungan malah menambah teruk situasi yang sudah sedia parah.

Posted in Amalan Pilihan, Artikel Pilihan, Fokus Isu | Leave a Comment »

Keharmonian keluarga melahirkan sakinah

Posted by epondok di April 26, 2024

Dr Izham Hakimi Redzan

Isu suami curang di belakang isteri, meskipun memiliki keluarga bahagia, isteri cantik sedang hangat diperkatakan. Meskipun diberi peluang banyak kali, namun masih ada segelintir lelaki yang masih tidak serik untuk berlaku curang. Dari segi pandangan agama Allah SWT menjadikan tujuan daripada perkahwinan adalah untuk mendapat sakinah (ketenangan) daripada dua belah pihak yakni suami dan isteri. Allah SWT berfirman di dalam surah Ar-Rum, ayat 21: ” (Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmat-Nya, bahawa Kami menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir).

Maka jika kehidupan suami isteri tidak ada rasa cinta bagaimana pula akan lahirnya sakinah (ketenangan) yang disebutkan di dalam ayat di atas. Bagi lelaki yang dikurniakan isteri solehah perlu bersyukur kepada Allah SWT kerana itulah sebaik-baik peneman hidup dunia mahupun akhirat.

Oleh yang demikian, diwajibkan ke atas seorang suami untuk menjaga hubungan keharmonian dan sakinah yang dipertanggungjawab ke atasnya. Antara sebab berlakunya hubungan terkutuk (zina), penghkianatan pasangan dan curang dibelakang isteri adalah suami tidak menjaga penglihatan mata dan menjaga kehormatan diri daripada perkara haram kerana ia boleh membawa kepada lembah yang membinasakan. Allah SWT berfirman di dalam surah An-Nur, ayat 30: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka.”

Sudah menjadi kebiasaan sebahagian lelaki dan isteri yang menyertai kumpulan sembang di laman sosial dan join beberapa group untuk bersembang perihal sendiri dengan memburukkkan pasangan masing-masing. Maka melakukan perkara ini adalah haram. Nabi SAW bersabda di dalam hadith diriwayatkan oleh Imam Bukhari: “Janganlah seorang isteri menyifatkan seorang perempuan lain pada suaminya sepertimana suaminya melihat jelas perempuan tersebut.”

Tujuan diharamkan isteri untuk menyebutkan pada suaminya sifat perempuan ajnabiah (luar) adalah kerana jika apa yang disebutkan merupakan satu perkara buruk dan suatu keaiban maka perkataan tersebut akan menjadi ghibah (mengumpat). Adapun mengumpat itu adalah perkara yang diharamkan. Allah SWT berfirman di dalam surah Al-Hujurat, ayat 11: “Dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain).”

Manakala seorang isteri jika menyifatkan pada suaminya sifat-sifat kecantikan seseorang perempuan maka perkara tersebut ditakuti membawa kepada yang perkara yang haram ke atas suaminya. Allah SWT berfirman di dalam surat Al-Isra’, ayat 32: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan.”

Walaupun hadis ini jelas menyebutkan pengharaman ke atas perempuan untuk menceritakan kepada suaminya perihal seorangan perempuan yang lain, difahami juga daripada mafhum (pemahaman) hadis ini diharamkan juga ke atas seorang isteri untuk menceritakan perihal seorang lelaki yang lain (suami orang lain) kepada suaminya. Adapun suami menceritakan perihal seorang perempuan lain maka ia sudah lagi tidak boleh kerana boleh membawa cemburu isteri yang membawa kepada perpecahan rumah tangga.

Begitu juga kita boleh mengambil teladan daripada suatu hadis yang dikenali sebagai ‘Hadis Umm Zar’in’ yang diriwayatkan oleh Sayyidatuna Aishah RA menceritakan bahawa ada sebelas wanita (dari Yaman) berkumpul, lalu mereka membuat perjanjian dan ikatan antara satu sama lain agar masing-masing menceritakan keadaan para suami mereka. Antara sebelas wanita tersebut lima daripadanya mencela suami-suami mereka, sedangkan enam daripadanya memuji suami-suami mereka termaksuklah Umm Zar’in. Maka apabila Sayyidatuna Aishah RA menceritakan kisah ini kepada Rasullullah SAW, baginda berkata: “Aku bagimu – wahai Aishah- umpama Abi Zar’in bagi Umm Zar’in yang hanya menceritakan perihal suaminya yang baik-baik sahaja.” (HR Tirmizi di dalam As-Shamāil)

Ada pula di kalangan isteri orang mempunyai hubungan dengan suami orang tanpa pengetahuan suaminya, maka hukumnya haram dan dicela. Ini sebahagian daripada makna curang dan pengkianatan ke atas suami. Di antara sifat isteri yang baik dan diredai Allah SWT adalah isteri yang tidak curang kerana isteri yang mempunyai hubungan dengan suami orang tanpa pengetahuan suaminya menunjukkkan kepada perkara yang terkeji. Hal ini kerana isteri tersebut tidak menjaga syarat yang dipersetujui ketika mana perkahwinan dengan manjaga keharmonian rumah tangga. Ini berdasarkan satu hadis yang diriwayatkan oleh Nabi SAW, baginda bersabda: “Orang Muslim berpegang dengan syarat mereka (yang telah dipersetujui) kecuali syarat yang mengharamkan perkara yang halal dan syarat yang menghalalkan perkara yang haram.”

Antara sifat perempuan  (isteri) yang mulia adalah perempuan yang tidak menghampiri perkara yang terkutuk ini dengan tidak berzina  dan tidak pula menipu khususnya pada suaminya. Ini berdasarkan firman Allah SWT di dalam surah Al-Mumtaḥanah, ayat 12: “Wahai Nabi! Apabila orang-orang perempuan yang beriman datang kepadamu untuk memberi pengakuan taat setia, bahawa mereka tidak akan melakukan syirik kepada Allah dengan sesuatu pun dan mereka tidak akan mencuri dan mereka tidak akan berzina dan mereka tidak akan membunuh anak-anaknya dan mereka tidak akan melakukan sesuatu perkara dusta yang mereka ada-adakan dari kemahuan hati mereka dan mereka tidak akan menderhaka kepadamu dalam sesuatu perkara yang baik, maka terimalah pengakuan taat setia mereka dan pohonkanlah kepada Allah mengampuni dosa mereka; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Sebahagian daripada golongan menganggap curang itu pilihan. Ini adalah seanih-anih perkara yang dapat didengari. Hal ini kerana curang adalah salah satu pengkhianatan. Pengkhianatan adalah perkara yang haram di dalam agama Islam sama ada hubungan di antara suami dan isteri ataupun hubungan sesama makhluk. Hubungan suami isteri terbina di atas akad (janji) perkahwinan. Perkahwinan itu adalah amanah dan tanggungjawab. Ke atas orang Islam untuk menjaga amanah yang diamanahkan ke atas mereka dengan sebaiknya. Allah SWT berfirman di dalam surah Al-Anfal, ayat 27: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).”

Apa yang boleh dinasihatkan kepada baik suami ataupun isteri yang curang meskipun memiliki pasangan yang taat, keluarga bahagia adalah menjadikan pendekatan agama dan penghayatannya dalam kehidupan suami isteri untuk mengendalikan bahtera kehidupan  mereka yang mana syariat islam itu sendiri menitik beratkan aspek ḥusnu al-‘ishrah (kebahagian keluarga). Allah SWT berfirman di dalam surah An-Nisa’, ayat 12: “Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.”

Sebahagian ahli tafsir mengatakan antara perkara yang dimaksudkan dengan bergaul dengan isteri dengan cara yang baik adalah bercakap baik dengan isteri dan berkelakuan baik dengan golongan isteri sehinggalah menzahirkan raut muka yang baik dan berpakaian pakaian yang baik termasuk daripada apa yang dimaksudkan dalam ayat ini. Maka setiap perkara yang disukai oleh isteri maka lakukanlah kamu untuk kebahagiaan dirinya. Perkara ini sepertimana yang disebutkan dalam sabda Nabi SAW: “Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap ahli keluarganya dan aku adalah orang yang paling baik terhadap ahli keluargaku.” (HR Tirmizi)

Posted in Amalan Pilihan, Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Rasa malu hindar perlakuan maksiat

Posted by epondok di April 24, 2024

Bersama Dr Amani Nawi

Malu lambang kepada akhlak yang mulia. Sifat malu dalam kerangka agama Islam merupakan ‘benchmark’ kepada kualiti iman seseorang muslim. Sekiranya kita merujuk kepada kamus dewan bahasa Melayu, perkataan malu bermaksud perasaan aib, hina, rendah diri kerana melakukan sesuatu yang salah atau tidak sopan.

Manakala daripada sudut pandangan Islam, Ibnu Hajar dalam kitab karangannya Fath al-Bari menjelaskan malu iaitu al-haya’ adalah satu sifat yang mendorong pemiliknya melakukan perkara yang terpuji dan mencegahnya daripada perbuatan yang keji. Ulama yang lain mentakrifkan malu adalah sifat yang menahan seorang manusia itu daripada melakukan sesuatu perkara yang akan menyebabkan dirinya dihina, sama ada perkara buruk itu besar atau remeh.

Rasulullah SAW pernah ditanya para sahabat tentang sifat malu ini. Baginda menjawab, malu yang sewajarnya adalah malu kepada Allah dan baginda menyuruh supaya sahabat bersungguh-sungguh dalam memupuk sifat malu kepada Allah. Para sahabat bertanya: “Apa yang dimaksudkan dengan malu kepada Allah yang sebenar-benarnya?.” Baginda SAW menjawab: “Dengan memelihara kepala iaitu apa yang di dalam fikiran, menjaga perut dan apa yang menjadi keinginannya, mengingati mati dan mengutamakan akhirat daripada kesenangan dunia, maka sesiapa yang telah melakukan perkara ini sesungguhnya dia telah benar-benar malu kepada Allah” (Riwayat Imam Ahmad dan Termizi)

Sehubungan dengan itu, malu dianggap sebahagian daripada iman. Sifat malu hakikatnya adalah buah yang terhasil daripada pokok yang bernama iman. Seperti mana sabda Nabi SAW: “Malu dan iman seperti satu ikatan, sekiranya salah satu daripadanya dileraikan, maka terlerailah juga yang kedua.” (Riwayat Abu Hakim dan al-Baihaqi)

Manakala dalam sebuah hadis lain, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya setiap agama memiliki akhlak, dan akhlak Islam adalah malu.” (Riwayat Ibnu Majah)

Malu dianggap sebagai pakaian takwa yang menyerlahkan kemuliaan dan kehormatan orang islam. Pepatah Arab ada menyebut “Sesiapa yang menjadikan malu sebagai pakaiannya, orang tidak akan dapat melihat keaiban dirinya.”

Sifat malu bukan sahaja cantik dipakai oleh lelaki, malah ia lebih cantik sekiranya dipakai oleh perempuan. Sifat malu akan menjadikan seseorang yang hodoh kelihatan cantik, manakala orang yang cantik akan kelihatan hodoh apabila hilang perasaan malu.

Oleh yang demikian, malu antara sifat yang sangat dititikberatkan oleh sahabat dan salafussoleh. Hal ini adalah kerana sifat malu merupakan di antara kunci utama yang menarik kebaikan dan ketenangan dalam diri. Abu Hatim menjelaskan dalam kitabnya Raudhah al-Uqala Wa Nuzhah al-Fudhala: “Seseorang yang memiliki sifat malu menandakan dirinya telah mendapat kebaikan, manakala orang yang kurang sifat malu akan selalu melakukan perkara yang tidak sopan kerana kebaikan dirinya telah hilang”. Menurut Abu Hatim lagi, malu merupakan benteng yang memisahkan seseorang itu dengan segala perkara yang mengaibkan, semakin seseorang itu berasa malu, semakin jauh dia daripada perkara yang terkutuk, sebaliknya semakin hilang perasaan malu, semakin dekat lah dia dengan perlakuan buruk tersebut.

Sesungguhnya malu sangat besar peranannya dalam mencorakkan kehidupan orang Islam. Seseorang yang hilang sifat malu, akan berani melakukan maksiat kepada Allah secara sembunyi mahupun terang-terangan. Nabi SAW bersabda: “Sekiranya kamu tidak malu, maka buatlah sesuka hati mu.”

Jelaslah di sini sifat malu boleh menghindarkan diri kita daripada melakukan maksiat kepada Allah dan mendekatkan kita kepada kebaikan yang banyak. Namun pada hari ini, kita melihat sifat malu ini seolah-olah semakin pudar malah kian pupus dalam masyarakat Islam.

Wanita mahupun lelaki tanpa segan silu memuat naik gambar-gambar dan video yang tidak mengikut syariat untuk dipertontonkan oleh orang ramai. Hal-hal yang sepatutnya disembunyikan daripada pandangan umum kini tidak lagi menjadi rahsia. Godaan media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter dan Tik Tok yang semakin mendapat sambutan pada masa kini seakan berjaya meruntuhkan tembok malu dalam diri umat Islam.

Fenomena seperti menari di khalayak ramai, melakukan maksiat secara terang-terangan dan memperlihatkan aurat untuk tontonan umum sudah menjadi norma dalam masyarakat hari ini. Sifat malu yang dikatakan menjadi fitrah seorang wanita juga sudah kian terhakis daripada keperibadian mereka. Normalisasi ini sekiranya tidak diambil tindakan sama ada secara lisan (teguran) atau tangan (kuasa), maka ia akan terus merebak dalam masyarakat, seterusnya memberi kesan kepada generasi umat Islam di masa hadapan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “….maka berpesan-pesanlah kamu dengan kebenaran serta berpesan-pesanlah dengan sabar” (Surah al-Asr, ayat 3)

Posted in Amalan Pilihan, Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Madrasah Ramadan berakhir, apa seterusnya?

Posted by epondok di April 22, 2024

Oleh DR AHMAD BAZLI AHMAD HILMI

RAMADAN telah berlalu pergi. Walaupun ia adalah kemuncak kepada ibadat, tetapi ini tidak bermakna segala ibadat yang dilakukan sepanjang Ramadan terus ditinggalkan.

Antara sedar atau tidak, Ramadan bukan sahaja berperanan untuk menetapkan semula pola pemakanan, malah tempoh sebulan latihan tersebut sebenarnya adalah suatu tempoh yang cukup untuk menetapkan kembali jadual kehidupan seharian.

Menghidupkan waktu malam

Jika sebelum ini kita menunggu Maghrib untuk berbuka sama ada di rumah atau di masjid, jadikan ia amalan dengan menunggu waktu di sejadah untuk segera bersolat.

Makan malam boleh diselesaikan sebelum masuk waktu Maghrib. Waktu antara Maghrib dan Isyak pula boleh difokuskan kepada ibadah membaca al-Quran dan mendalami ilmu agama.

Begitu juga peruntukan waktu untuk solat tarawih sebelum ini diisi dengan ibadah.

Tidak dilupakan solat sunat witir, ia boleh dilakukan sebelum atau selepas bangun daripada tidur sebanyak tiga rakaat.

Sebelum ini kita bangun pagi sebelum Subuh untuk bersahur, waktu yang sama jugalah kita akan bangun Pasca-Ramadan untuk qiamullail dengan solat tahajud, baca al-Quran, beristighfar dan lain-lain.

AMBIL masa seketika untuk berfikir dan melakukan perancangan agar hidup lebih tersusun. Foto Pexels

AMBIL masa seketika untuk berfikir dan melakukan perancangan agar hidup lebih tersusun. Foto Pexels

ALLAH SWT menyebutkan dalam al-Quran ciri-ciri orang bertakwa ialah mereka yang tidur sedikit pada waktu malam dan beristighfar pada waktu sahur (sebelum Subuh). Firman ALLAH dalam ayat ke-16 dan ke-17 Surah az-Zariyat:

“Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja masa dari waktu malam untuk mereka tidur

“Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada ALLAH (memohon ampun).”

Dalam ayat yang lain, ALLAH menyatakan orang yang bertahajud akan dibangkitkan dan ditempatkan pada kedudukan yang terpuji:

”Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah ‘solat tahajud’ padanya, sebagai solat tambahan bagimu. Semoga Tuhan kamu membangkit dan menempatkan kamu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.” (Surah al-Israk: 79)

Solat berjemaah

Begitu juga dengan solat Subuh berjemaah di masjid selepas sahur dan solat Isyak berjemaah sebelum solat tarawih sepatutnya diteruskan seperti sebelumnya.

Az-Zarqani menyebutkan dalam syarah kitab Muwatta’ al-Imam Malik bahawa Abu Darda’ ketika sakit hendak meninggal dunia menyebutkan:

“Dengarkan dan sampaikanlah, peliharalah dua solat jemaah ini iaitu Isyak dan Subuh.

“Kalaulah kamu mengetahui pahala yang terdapat pada kedua-duanya nescaya kamu akan mendatanginya walaupun dalam keadaan merangkak di atas siku-siku dan lutut-lutut kamu.”

Namun, ini bukan bermakna solat berjemaah pada waktu selain Isyak dan Subuh tidak dituntut untuk dilaksanakan. Cabaran untuk berjemaah pada dua solat ini lebih tinggi berbanding yang lain.

Melazimi puasa sunat

Puasa sunat enam hari di bulan Syawal diperumpamakan seperti puasa setahun oleh Rasulullah SAW.

Puasa enam Syawal ini ialah kesinambungan kepada momentum Ramadan dan kita seharusnya merebut peluang ini.

Puasa sunat juga boleh dilazimi pada setiap hari Isnin, Khamis dan Hari-hari Putih iaitu pada 13, 14 dan 15 hari bulan setiap bulan.

AMBIL masa seketika untuk berfikir dan melakukan perancangan agar hidup lebih tersusun. Foto Canva

AMBIL masa seketika untuk berfikir dan melakukan perancangan agar hidup lebih tersusun. Foto Canva

Bacaan al-Quran

Tidak lupa dengan pembacaan al-Quran perlu diteruskan paling kurang jika membaca dua halaman sehari, kita akan mampu khatam sekali setahun.

Jika dibaca lima halaman sehari, kita akan khatam dalam masa empat bulan sekali.

Solat sunat rawatib

Sunat rawatib muakkad sebanyak 12 rakaat sehari semalam (dua rakaat sebelum Subuh, empat rakaat sebelum dan dua rakaat selepas Zohor, dua rakaat selepas Maghrib dan Isyak) juga diteruskan kerana itulah sunnah Rasulullah SAW, selain peranannya menyempurnakan solat fardu yang ditunaikan yang mungkin terdapat kekurangan.

TERUSKAN bacaan al-Quran secara konsisten walaupun Ramadan sudah berakhir. Foto Pexels

TERUSKAN bacaan al-Quran secara konsisten walaupun Ramadan sudah berakhir. Foto Pexels

Qailulah

Pada waktu rehat bekerja semasa Ramadan kita manfaat waktu untuk tidur sebentar (qailulah), teruskan amalan tersebut kerana waktu rehat selain bulan Ramadan adalah lebih panjang.

Bahagikan masa untuk qailulah selama 15 minit, solat, zikir dan baca Quran kira-kira 20 minit dan selebihnya untuk kendiri.

Sebagai penutup, peruntukan masa untuk perkara yang melalaikan sepanjang Ramadan secara automatik telah berkurang dan ia wajar diteruskan dengan melakukan perkara yang bermanfaat.

Roh Ramadan seharusnya terus subur dalam diri seseorang individu dan masyarakat. Ini kerana amalan yang dicintai oleh ALLAH SWT ialah sesuatu yang berterusan walaupun sedikit.

Posted in Amalan Pilihan, Artikel Pilihan | Leave a Comment »