Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Kem Cuti Sekolah 2023 di Pondok Pasir Tumboh

Posted by epondok di November 21, 2023

Istimewa Cuti Sekolah

16 โ€“ 25/12/2023 (10 hari)

Tarikh tutup pendaftaran bila peserta lelaki sahaja telah mencukupi had iaitu 70 orang.

Tempah dan sahkan pendaftaran melalui telefon/ sms /wtsap

Cara Daftar

Mesej atau watsap  <> Nama peserta <> Umur< >Halaqah 2023

kepada 014-5481907 (Paklong)

Syarat & Yuran Penyertaan

  • Pelajar lelaki berumur 10 โ€“ 20 tahun (terhad 70 orang sahaja)
  • RM 250 sahaja (meliputi bahan kursus, penginapan dan makan minum)

Tarikh & Masa Lapor Diri (setelah tempat terlebih dahulu melalui telefon/ watsap)

16/12/2023 (Sabtu)

jam 2.30 โ€“ 4.00 petang

Tempat Program

Madrasah Diniah Bakriah, Pondok Pasir Tumboh,

16150, Kota Bharu, Kelantan

Pengisian

  • Pengajian kitab pilihan
  • Risalah Masbuk & Muafiq Dalam Solat
  • Kitab Adab Belajar
  • Tazkirah dan ceramah motivasi
  • Kursus jenazah lengkap
  • Wirid dan zikir pilihan serta qiamullail
  • Hafalan surah-surah pilihan
  • Tadarrus al-Quran
  • Latihan amali fardhu โ€˜Ain

Pelajar yang lemah jawi dan al-Quran

  • Diletakkan dalam kelas khusus
  • Tekan Fardhu โ€˜Ain berdasarkan kertas kerja khusus
  • Tekan pembelajaran Iqraโ€™
Keperluan Yang perlu dibawa

Gambar passport sekeping, fotostat kad pengenalan pelajar atau surat beranak

Pakaian harian & pakaian solat dengan banyakkan bawa baju melayu dan kain pelikat (diwajibkan bawa jubah dan serban), bantal , selimut, tilam@toto(peserta Kelantan), alat tulis, pinggan dan gelas plastik, baldi, gayung, payung (jika perlu)

Sila hubungi :

 014-5481907 (Paklong)

facebook : Pondok Pasir Tumboh

Web : albakriah.com

Blog : albakriah.wordpress.com

Posted in Program Terbaru | Leave a Comment »

Bina kekuatan ruhiyyah

Posted by epondok di November 19, 2023

DALAM kesibukan dan cabaran tugasan harian di tempat kerja atau di mana-mana sahaja, kadangkala kita berasa penat dan tercari-cari kekuatan untuk melangkah ke hadapan. Justeru Allah SWT memberikan jawapan bahawa dengan sifat sabar dan mengerjakan solat menjadi kunci kekuatan bagi orang Mukmin sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 45 yang bermaksud: “Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.”

Solat yang dilaksanakan terutamanya ketika qiamullail merupakan amalan ruhiyyah bagi membina sebuah institusi keluarga yang sejahtera serta memperkukuhkan jati diri dan kekuatan kepada sesiapa sahaja bagi melaksanakan tanggungjawab dalam kehidupan. Di dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik puasa setelah puasa Ramadan adalah puasa pada bulan Allah iaitu Muharram dan sebaik-baik solat setelah solat fardu adalah solat pada waktu malam.” (Riwayat Muslim)

Qiamullail adalah ibadah yang menjadi amalan kebiasaan junjungan mulia Nabi Muhammad SAW serta para sahabat baginda, salafus soleh dan orang Mukmin terdahulu hingga kini. Rasulullah SAW menggalakkan umatnya untuk menunaikan ibadah qiamullail dan memberikan khabar gembira kepada sesiapa yang mengerjakannya dengan ganjaran pahala dan anugerah kemuliaan di sisi Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Hendaklah kamu melakukan qiamullail kerana qiamullail adalah kebiasaan orang-orang yang soleh sebelum kamu, kerana qiamullail mendekatkan diri kepada Allah, mencegah daripada dosa, menghapuskan kesalahan-kesalahan dan menghalau penyakit dari tubuh.” (Riwayat al-Tirmizi dan al-Hakim)

Rasulullah SAW menyarankan umatnya untuk bangun mengerjakan ibadah qiamullail dan baginda sendiri menunjukkan kesungguhan dalam melaksanakannya sebagaimana yang digambarkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah RA, Nabi SAW berdiri solat (malam) sehingga pecah kedua kaki Baginda. Lalu beliau bertanya kepada Baginda SAW: “Kenapa engkau lakukan ini, wahai Rasulullah? Bukankah Allah SWT telah mengampunkan dosamu yang telah lalu dan akan datang? Lalu Baginda SAW menjawab: “Wahai Aisyah! Tidakkah engkau menyukai aku menjadi hamba yang bersyukur.” (Riwayat al-Bukhari).

Disyorkan

Qiamullail juga memberikan kekuatan kepada pasukan tentera dalam medan peperangan. Pada malam sebelum meletusnya peperangan Badar, Saidina Ali menyatakan: “Tidak ada di kalangan kami yang menunggang kuda melainkan Miqdad. Pada malam itu, kami melihat semuanya tidur melainkan Rasulullah SAW terus menerus menunaikan solat di bawah sebatang pokok dan menangis sehingga ke Subuh.” (Riwayat ad-Damsyiqi)

Walaupun Rasulullah SAW sahaja yang menunaikan solat pada malam itu, tetapi inilah gambaran penting yang perlu diteladani oleh semua pimpinan Islam hari ini. Program tarbiah Islam ini diteruskan oleh Rasulullah SAW dengan mengajar mereka menunaikan solat, sebagai ibadah pertama dan utama yang ditunaikan oleh para sahabat (al-Mubarakfuri).

Qiamullail merupakan amalan yang sangat dituntut dan tinggi ganjarannya di sisi Allah SWT. Ibadah tersebut boleh dikerjakan secara bersendirian atau bersama ahli keluarga di rumah ataupun secara berjemaah di masjid dan surau. Waktu terbaik untuk menunaikan qiamullail adalah di sepertiga malam sekitar jam 3 pagi. Setelah bangun daripada tidur dan mengambil wuduk, disunatkan untuk terus mengerjakan solat sunat Tahajud diikuti solat sunat yang lain seperti solat sunat Hajat, solat sunat Taubat, solat sunat Tasbih, dan solat sunat Witir. Antara amalan lain yang boleh dilakukan semasa qiamullail termasuklah membaca al-Quran, berwirid, berzikir, beristighfar dan berselawat.

Bagi memudahkan kita untuk bangun malam mengerjakan qiamullail, beberapa amalan digalakkan seperti qailulah iaitu berehat atau tidur sebentar sebelum gelincir matahari sebelum masuknya waktu Zuhur. Di dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kuatkan puasa di siang hari dengan makan sahur dan qailulah untuk bangun malam.” (Riwayat Ibnu Majah)

Azam yang kuat perlu ada dalam diri seorang Mukmin yang mahu bangun malam bagi beribadah. Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Tidaklah seseorang yang terbiasa mengerjakan solat Tahajud, lalu dia tertidur (tidak melaksanakannya), kecuali akan dicatat baginya pahala solat tahajud dan tidur tersebut dianggap sebagai sedekah. (Riwayat Abu Daud)

Sesiapa yang berazam untuk bangun malam juga perlu menjauhi perbuatan maksiat sebelum mendapatkan kemuliaan munajat pada malam tersebut. Menjaga amalan pemakanan juga dapat membantu memberikan kekuatan untuk bangun malam. Rasulullah SAW menasihati para sahabat supaya bersederhana dan tidak berlebihan dalam pemakanan sebagaimana sabda baginda yang bermaksud: “Anak Adam tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk berbanding perutnya. Cukuplah bagi anak Adam beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya (yakni memberikan kekuatan kepadanya). Sekiranya tidak dapat, maka (paling maksimum hendaklah) sepertiga untuk makanan, sepertiga untuk minuman dan sepertiga untuk pernafasan.” (Riwayat al-Tirmizi)

Selain itu, kita juga digalakkan untuk berwuduk sebelum tidur sebagaimana hadis daripada Muaz bin Jabal bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Tidaklah seorang hamba tidur di malam hari dalam keadaan suci (berwuduk), kemudian ia terbangun di tengah malam, lalu ia memohon sesuatu kepada Allah dari perkara dunia atau perkara akhirat, nescaya akan diberikan kepadanya.” (Riwayat Ibu Majah)

Posted in Amalan Pilihan, Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Berlaku adil dalam bisnes

Posted by epondok di November 17, 2023

Datuk Mohd Ajib Ismail

Islam amat menggalakkan masyarakat menceburi bidang perniagaan kerana merupakan salah satu pekerjaan yang terpuji. Rasulullah SAW sendiri terkenal sebagai seorang peniaga sama ada sebelum mahupun setelah baginda dilantik menjadi rasul. Berdasarkan catatan yang direkodkan di dalam kitab-kitab sirah, Nabi Muhammad SAW mengikuti rombongan bapa saudara baginda iaitu Abu Talib ke Syam bagi tujuan berniaga. Selain itu, Rasulullah SAW juga pernah membantu isteri tercinta iaitu Saidatina Khadijah binti Khuwailid dalam perniagaan. Terdapat ramai dalam kalangan para sahabat Rasulullah SAW yang melibatkan diri di dalam kegiatan perniagaan seperti Abu Bakar al-Siddiq, Uthman bin Affan, Abdul Rahman bin Auf, Zubair bin al-Awwam, Sa’ad bin Abi Waqqas, al-Barra’ bin Azib dan pelbagai lagi.

Barang dagangan Rasulullah SAW laris dijual dan mendatangkan banyak keuntungan lantaran sifat ramah dan mesra baginda dalam berniaga. Baginda gemar melemparkan senyuman kepada orang lain dan banyak bersedekah serta menghulurkan bantuan kepada pelanggannya yang benar-benar memerlukan. Keistimewaan yang dimiliki oleh baginda membuatkan setiap perniagaan atau jualannya sentiasa menghasilkan keuntungan besar. Firman Allah dalam al-Quran Surah al-Baqarah ayat 245 yang bermaksud: “Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), Allah jualah Yang menyempit dan Yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan.”

Islam memerintahkan agar umat manusia berlaku adil dalam perniagaan serta memberikan layanan yang baik kepada pelanggan. Rasulullah SAW sentiasa mengamalkan sikap baik hati dan lemah lembut ketika menjalankan perniagaan dan tidak pernah menyakiti hati peniaga yang lain. Amalan tersebut bersesuaian dengan konsep persaudaraan dalam Islam sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Hujurat ayat 10 yang bermaksud: “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”

Sebaliknya Islam menegah dari melakukan perbuatan terkeji dalam perniagaan misalnya melaksanakan jual beli dengan bersumpah dan menyatakan sesuatu yang tidak benar. Dalam hal tersebut Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sumpah itu melariskan barang dagangan akan tetapi menghapuskan keberkatannya” – (Riwayat Al-Bukhari). Selain itu, Islam juga melarang umatnya dari melakukan perbuatan monopoli iaitu penguasaan sepenuhnya terhadap sesuatu barangan ataupun tindakan menyorok barangan (ihtikar) kerana perbuatan tersebut boleh menaikkan harga sesuatu barangan akibat kesukaran mendapatkannya di pasaran. Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Sesiapa yang menyorok (barangan), dia telah melakukan kesalahan” – (Riwayat Abu Daud, at-Tirmizi dan Muslim). Sebarang unsur tipu daya atau helah juga mesti dielakkan oleh peniaga kerana amalan tersebut akan menghilangkan keberkatan di dalam perniagaan. Rasulullah SAW memberikan amaran dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Barangsiapa yang menipu kami, dia bukanlah daripada golongan kami.” (Riwayat Muslim)

Para pelanggan atau pengguna mesti dilindungi daripada ditipu oleh peniaga melalui kadar sukatan dan timbangan. Perkara tersebut ditegaskan oleh Allah SWT di dalam al-Quran Surah al-Isra’ ayat 35 yang bermaksud: “Dan sempurnakanlah sukatan apabila kamu menyukat, dan timbanglah dengan timbangan yang adil. Yang demikian itu baik (kesannya bagi kamu di dunia) dan sebaik baik kesudahan (yang mendatangkan pahala di akhirat kelak).” Allah SWT mencela golongan yang mengurangkan sukatan dan timbangan di dalam jual beli sebagaimana firman-Nya dalam al-Quran Surah al-Mutaffifin ayat 1-3 yang bermaksud: “Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan). Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan (gantang cupak) dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup. Dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi.”

Ajaran Islam menganjurkan akhlak yang terpuji supaya dapat dijadikan amalan oleh para peniaga pada setiap masa. Golongan tersebut seharusnya saling membantu antara satu sama lain, menjauhi pergaduhan dan persengketaan yang merugikan serta dikuasai sifat tamak sehingga tergamak melakukan perbuatan khianat dan sihir untuk menjatuhkan perniagaan orang lain. Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Mukmin dengan Mukmin yang lain umpama sebuah bangunan, sebahagian mengukuhkan sebahagian lain” – (Riwayat Muslim). Jauhilah perasaan hasad dengki yang merosakkan sebaliknya menjadi insan yang turut bergembira dengan rezeki yang diperolehi oleh orang lain. Di dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Takutlah kamu pada sifat dengki (hasad dan iri hati), sesungguhnya dengki itu dapat memakan kebaikan-kebaikanmu sebagaimana api memakan kayu bakar.” (Riwayat Abu Daud)

Ketika negara berada dalam fasa peralihan ke endemik, peniaga kembali melaksanakan pelbagai aktiviti perniagaan untuk mencari rezeki dan merancakkan kembali kegiatan ekonomi. Perniagaan yang dahulunya terpaksa ditutup dan dihentikan akibat pandemik Covid-19 kini bernafas kembali. Dari kedai di pasar raya besar sehingga gerai nasi lemak di tepi jalan. Justeru, setiap peniaga mesti menanamkan niat dalam diri untuk berniaga mengikut contoh teladan ditunjukkan Rasulullah SAW agar sentiasa dipermudahkan urusan perniagaan oleh Allah SWT. Turutilah garis panduan yang ditetapkan ajaran Islam agar setiap perkara dilakukan sentiasa diberkati dan diredai. Perkara tersebut bertepatan dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Peniaga yang jujur dan amanah akan bersama para nabi, orang yang jujur dan orang yang syahid” – (Riwayat al-Tirmizi). Renungilah juga peringatan yang diberikan oleh Rasulullah SAW kepada peniaga dalam sebuah hadis bermaksud: “Sesungguhnya para peniaga ini akan dibangkitkan pada hari Kiamat dalam keadaan yang berdosa melainkan orang yang bertakwa kepada Allah, berbuat kebaikan dan jujur.” (Riwayat al-Tirmizi)

Posted in Amalan Pilihan, Artikel Pilihan, Fokus Isu | Leave a Comment »

Palestin : Medan setiap muslim muhasabah diri

Posted by epondok di November 15, 2023

Datuk Mohd Ajib Ismail

BILANGAN rakyat Palestin yang terkorban dan syahid meningkat saban hari sejak serangan terbaharu rejim Israel ke atas Semenanjung Gaza lebih sebulan lalu. Media melaporkan bilangan syuhada meningkat kepada 8,005 orang termasuk kanak-kanak, wanita dan warga tua, manakala 20,242 orang yang lain cedera dengan pelbagai tahap kecederaan. Sehingga artikel ini ditulis, belum ada tanda-tanda menunjukkan serangan akan dihentikan atau sebarang gencatan senjata akan dilakukan. Kerajaan Malaysia juga berulang kali menegaskan pendirian mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak berperikemanusiaan dan mendesak serangan itu segera dihentikan.

Keprihatinan seluruh rakyat Malaysia dizahirkan tanpa henti melalui pelbagai medium sebagai lambang solidariti. Penghantaran pertama bantuan kemanusiaan dari Malaysia untuk Palestin menerusi Ops Ihsan dilaporkan selamat mendarat di Mesir untuk dibawa masuk ke Gaza melalui lintasan sempadan Rafah. Perhimpunan aman dianjurkan di pelbagai lokasi di seluruh negara saban minggu. Segenap lapisan masyarakat daripada pelbagai kaum dan agama hadir menyertai perhimpunan sebagai tanda sokongan. Khutbah Jumaat di Masjid Negara setiap minggu dalam mukadimahnya menyentuh perkembangan semasa konflik di Palestin agar sifat cakna dan perasaan simpati serta empati tertancap dalam benak hati dan sanubari umat Islam. Kementerian Pendidikan juga menganjurkan Minggu Solidariti Palestin di sekolah mengikut garis panduan yang ditetapkan bagi menyebarkan mesej kedamaian dan keharmonian. Begitulah kesungguhan rakyat Malaysia menunjukkan tanda keprihatinan.

Isu Palestin sewajarnya menjadikan kita menginsafi diri supaya menerapkan sifat ihsan dan kepedulian sesama insan. Perkara berkenaan bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Perumpamaan orang Mukmin dalam berkasih sayang bagaikan satu tubuh, apabila satu anggota badan merintih kesakitan maka seluruh badan akan rasa panas dan demam.” (Riwayat Muslim)

Usaha dan sumbangan yang dihulurkan walaupun kecil dapat membantu meringankan beban golongan yang memerlukan sekalipun sekadar munajat dan doa dititipkan. Rasulullah SAW menjelaskan dalam sebuah hadis bahawa orang yang mengambil berat mengenai perihal saudaranya sendiri pasti mendapat ganjaran besar dan balasan baik daripada Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Siapa yang menyelesaikan masalah seorang Mukmin di dunia maka Allah akan menyelesaikan masalahnya di akhirat. Siapa yang memudahkan orang yang dalam kesulitan maka Allah akan memberikan kemudahan kepadanya di dunia dan akhirat. Siapa yang menutupi aib saudaranya, Allah akan menutupi aibnya di dunia dan akhirat serta Allah sentiasa akan menolong hamba-Nya selama dia menolong saudaranya.” (Riwayat Muslim)

Namun dalam ajaran Islam, bukanlah semua orang disyariatkan untuk pergi berjihad. Boleh jadi kerana halangan dan kewajiban tertentu, tidak semua orang berpeluang bertempur di medan perang. Dalam sebuah hadis dinyatakan perihal seorang lelaki yang dilarang pergi berperang ‘fisabilillah’ kerana mempunyai seorang ibu di bawah jagaannya. Dalam sebuah hadis ada menyebut: “Telah datang seorang lelaki kepada baginda Nabi SAW maka dia meminta izin daripada baginda untuk keluar berjihad. Maka Nabi bersabda: Adakah masih hidup kedua-dua ibu bapamu? Dia menjawab, Ya. Maka baginda bersabda lagi: ‘Maka ke atas mereka berdua, berjihadlah (berbaktilah kepada kedua-dua ibu bapamu terlebih dahulu selama mana mereka masih hidup).” (Riwayat al-Bukhari)

Rasululllah SAW menegaskan bahawa jihad melawan hawa nafsu sebagai jihad yang terbesar. Firman Allah SWT dalam Surah al-Ankabut ayat 6 bermaksud: “Dan sesiapa yang berjuang (menegakkan Islam) sesungguhnya dia hanyalah berjuang untuk kebaikan dirinya sendiri, sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) daripada sekalian makhluk.”

Menurut Ibn Kathir ayat ‘dan sesiapa yang berjihad’ bermaksud ‘sesiapa yang beramal soleh.’ Justeru dalam ajaran Islam pelbagai bentuk amal soleh juga dihitung menyamai pahala berjihad misalnya menuntut ilmu dan menyantuni ibu bapa. Firman Allah SWT dalam Surah at-Taubah ayat 122 yang bermaksud “Dan tidaklah (betul dan elok) orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang) oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja daripada tiap-tiap puak di antara mereka supaya orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (daripada melakukan larangan Allah).”

Rasulullah SAW pula bersabda dalam sebuah hadis bermaksud “Orang yang berusaha (menolong) janda dan orang miskin, (akan mendapatkan pahala) seperti orang berjihad di jalan Allah atau orang yang qiamulail semalam suntuk dan puasa sehari penuh.” (Riwayat al-Bukhari)

Umat Islam pada setiap masa perlu berusaha memperbaiki diri dengan membina kekuatan ruhiyah seperti berazam untuk mendirikan solat berjemaah di masjid dan surau terutama waktu subuh dan isya. Selain itu, setiap Muslim juga perlu berusaha untuk bangun malam bagi menunaikan solat dan berqiamulail yang menjadi kekuatan utama tentera Islam di medan perang sebagaimana perumpamaan masyhur iaitu menjadi ‘ahli ibadah pada malam hari dan singa pada siang hari.’

Usahlah kita menjadikan isu Palestin sebagai pencetus perbalahan sesama Muslim ataupun dengan penganut agama dan kaum berbeza. Begitu juga tindakan boikot yang mendorong perlakuan kasar dan ekstremis. Baru-baru ini Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengeluarkan panduan dan parameter boikot untuk dipertimbangkan oleh umat Islam agar tindakan yang dilaksanakan benar-benar mencapai matlamat, berstrategi, tidak menyimpang daripada objektif digariskan serta tidak menzalimi pihak yang tidak bersalah. Panduan itu menyeru amalan tabayyun agar mendapatkan ilmu dan maklumat yang tepat, bukan bertindak atas dorongan hawa nafsu melulu. Natijahnya hanya mendatangkan kerugian dan memecahbelahkan masyarakat. Sudah tentulah perkara tersebut bercanggah dengan tuntutan Islam bahkan sama sekali tidak diinginkan oleh saudara kita di Palestin.

Malaysia sehingga kini masih menikmati suasana aman dan sejahtera yang bebas daripada sebarang konflik serta peperangan. Seluruh warga terutama umat Islam berpeluang menunaikan ibadah di masjid dan surau dengan tenang serta selesa ketika kemudahan yang serupa hancur lebur dibedil rejim Zionis di Palestin. Amat wajarlah kita sebagai Muslim bermuhasabah diri sama ada sudah menjadi semakin baikkah kita atau semakin rancak bercakaran dan bermusuhan serta saling menuding kesalahan antara satu sama lain?

Posted in Artikel Pilihan, Fokus Isu | Leave a Comment »

Doa senjata ampuh bagi orang tertindas

Posted by epondok di November 13, 2023

Dr Azlan Shaiful Baharum

Islam agama yang memberikan pentingnya kepada doa sebagai alat kuasa dan perlindungan. Orang yang tertindas sering menggunakan doa sebagai senjata untuk mencari pertolongan dan keadilan. Doa dalam Islam adalah satu bentuk komunikasi antara manusia dan Allah. Ia a cara memohon pertolongan, keampunan dan mengungkapkan kebutuhan. Doa juga mencerminkan keimanan dan ketaatan kepada Allah.

Dalam Islam, doa senjata yang kuat dan ampuh terutama bagi orang yang tertindas seperti mana berlaku di Gaza, Palestin sekarang. Orang yang merasa tertindas sering menggunakan doa sebagai cara mencari keadilan dan perlindungan Allah. Mereka yakin hanya Allah SWT Pembela yang Maha Adil, dan memohon pertolongan-Nya secara mutlak.

Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Baqarah, ayat 186: “Dan apabila hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawa Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka itu mematuhi (perintah)-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku agar mereka sentiasa berada dalam kebenaran.”

Rasulullah SAW bersabda “Takutlah kepada doa orang yang tertindas, kerana tidak ada hijab (penghalang) antara doa dan Allah.” (Hadis Riwayat Ahmad). Hadis ini menggariskan bahawa doa orang tertindas amat kuat dan tiada penghalang yang dapat menghalangnya dari mencapai Allah. Allah mendengar doa mereka dengan penuh perhatian.

Situasi di Palestin satu isu rumit dan sudah berlarutan selama beberapa dekad. Palestin kawasan mencakupi wilayah Gaza dan Tebing Barat yang dihuni rakyat Palestin. Ada banyak aspek boleh dianggap isu penindasan dihadapi rakyat Palestin dalam konteks konflik Israel-Palestin yang berterusan. Ini termasuk:Penindasan politik: Palestin menghadapi ketidakstabilan politik kerana tiada pentadbiran kukuh dan stabil di sana. Ini kerana terdapat perbezaan pentadbiran di Gaza dan Tebing Barat. Pembahagian ini mengakibatkan ketidakstabilan politik dan menimbulkan cabaran kepada rakyat Palestin yang mahu melihat penyelesaian konflik.Pemisahan fizikal:

Terdapat tembok pemisah membahagikan Tebing Barat, Gaza dan kawasan haram Israel, yang dikritik pelbagai pihak sebagai satu sumber penindasan. Tembok ini membatasi pergerakan rakyat Palestin, mengakibatkan kesulitan dalam akses kepada pekerjaan, pendidikan, dan perkhidmatan kesihatan. Keluasan Gaza dari utara ke Selatan sekitar 45km tetapi kepadatan penduduk sehingga 2.2 juta orang amat rumit dan amat tidak logik.Penindasan ekonomi: Rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat menghadapi cabaran ekonomi yang besar. Pembatasan pergerakan dan ekonomi yang lemah mengakibatkan kadar pengangguran yang tinggi dan kekurangan asas ekonomi dalam kawasan penguasaan Palestin.Isu penempatan haram: Ada pertikaian berlarutan mengenai penempatan Yahudi Zionis di Tebing Barat terutama di Baitulmaqdis dan Hebron. Penempatan ini sering dikritik sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa dan mengakibatkan penindasan berterusan terhadap rakyat Palestin.Serangan dan pertempuran berterusan: Konflik berlarutan antara Palestin dan Israel sering mengakibatkan serangan dan pertempuran menyebabkan kerosakan, kehilangan nyawa, dan penderitaan kepada rakyat Palestin khususnya kemuncak konflik di Gaza sejak 7 Oktober 2023.Penindasan hak asasi manusia:

Rakyat Palestin menghadapi pelbagai penindasan hak asasi termasuk akses terhadap pendidikan, perkhidmatan kesihatan, dan pergerakan yang terhad. Mereka juga sering terdedah kepada keganasan dan tangkapan tentera Israel tanpa sebab munasabah.

Situasi Palestin dari dulu kompleks dan kedua-dua pihak dalam konflik ini ada pandangan berbeza. Penyelesaian konflik ini adalah subjek yang terus dibincangkan dalam komuniti antarabangsa, dengan banyak usaha diplomasi dan rundingan dijalankan selama bertahun-tahun untuk mencari penyelesaian yang jelas bagi kedua-dua pihak. Situasi ini masih berterusan dan menjadi satu cabaran besar dalam kestabilan politik rantau Asia Barat dan global secara amnya.

Benarlah, Nabi SAW bersabda; “Tidak ada hijab (penghalang) antara doa dan Allah pada tiga situasi: ketika azan berkumandang, ketika hujan turun, dan ketika orang yang ditindas berdoa.” (Hadis Riwayat Ibn Majah) Hadis tentang doa orang yang tertindas satu perkara yang penting dalam Islam dan ada beberapa hadis dari Nabi Muhammad SAW yang menekankan pentingnya doa dan bagaimana doa orang yang tertindas diterima oleh Allah.

Rasululullah SAW menyebut dalam perkara ini: “Tidak ada doa lebih cepat terkabul daripada doa dibuat orang yang tertindas.” (Hadis Riwayat al-Tirmidhi). Hadis ini menekankan bahawa doa orang yang tertindas adalah doa yang diberkati dan cepat untuk diterima oleh Allah. Jika seseorang melihat atau mengalami ketidakadilan atau penindasan, doa cara yang penting untuk mencari pertolongan dan keadilan dari Allah. Allah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui, dan Dia akan mengabulkan doa yang dibuat dengan tulus dan ikhlas oleh orang yang tertindas.

Dengan memahami makna doa dalam Islam dan merujuk kepada dalil daripada al-Quran dan hadis, kita dapat melihat bagaimana doa menjadi senjata yang penting bagi orang yang tertindas dalam mencari keadilan di dunia ini.

Kesimpulannya doa senjata paling berkesan dan perlindungan penting dalam Islam, terutama bagi mereka yang menghadapi penindasan. Dengan keyakinan yang mendalam dan ketulusan hati, doa menjadi jalan untuk mencari pertolongan, keadilan, dan perlindungan dari Allah. Oleh itu, doa adalah senjata yang kuat yang digunakan oleh mereka yang berharap agar keadilan dan kebenaran tercapai dalam dunia ini. Dalam Islam, doa adalah satu bentuk hubungan langsung dengan Pencipta dan ia merupakan alat yang kuat untuk memohon pertolongan dan perlindungan, tidak kira dalam situasi apa pun.

Posted in Amalan Pilihan, Artikel Pilihan, Fokus Isu | Leave a Comment »

Syurga tertinggi buat syuhada Al-Aqsa

Posted by epondok di November 12, 2023

Dr Mohd Asyraf Zaki Yaakob

PERANG Tanah Suci Palestin menjangkau tempoh melebihi sebulan dan penentangan dijenamakan Taufan Al-Aqsa ini semakin meruntun hati dan emosi seluruh masyarakat dunia yang berperikemanusiaan. Serangan nekad pejuang Islam Briged Al-Qassam untuk mengembalikan semula kemuliaan tanah kiblat pertama umat Islam itu wajar disokong dan didukung seluruh umat Islam.

Melewati hari ke-30 perjuangan ini telah mensyahidkan 10,022 warga Gaza, puluhan ribu cedera, dan lebih 700,000 hilang tempat kediaman. Namun tiada rasa kesal di dalam hati mereka akibat kehilangan anggota keluarga lantaran amat memahami erti, risiko dan tuntutan perjuangan iaitu pengorbanan. Bagi mereka hanya ada dua pilihan, hidup mulia atau mati syahid di jalan-Nya.

Berbanding saudara seagama kita di Palestin, kita masih mengecapi nikmat terbesar bagi seorang manusia iaitu nikmat keamanan dan hidup dalam tenteram dan sejahtera.

Pastinya, tidak sedikit darah dan keringat para mujahidin yang tertumpah yang terdiri daripada ulama, guru agama, anggota polis, tentera serta orang perseorangan yang bermati-matian mempertahankan dan membebaskan negara daripada cengkaman kuasa luar. Para ulama juga berperanan besar dalam membangkitkan semangat perjuangan dan kepahlawanan dalam usaha menentang penjajahan.

Harga yang mahal iaitu nyawa merupakan mahar bagi perjuangan di jalan-Nya. Kematian di jalan-Nya bukan sesuatu yang sia-sia malah mendapat kedudukan yang amat tinggi disisi-Nya.

Firman Allah SWT: “Dan jangan sekali-kali engkau menyangka bahawa orang yang terbunuh (yang gugur syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki.” (Surah Ali Imran ayat 169)

Konsep mati syahid dalam ajaran Islam boleh difahami dengan mudah oleh seluruh umatnya.

Justeru, pelaksanaannya dengan mudah direalisasikan selepas dipasakkan asasnya ke dalam diri setiap pejuang yang berperang di jalan-Nya.

Allah SWT mengarahkan orang beriman supaya bersedia membela agama Islam, mempertahan negara dan berjuang dengan ikhlas dan berani. Allah SWT berfirman dalam Surah at-Taubah ayat 14, “Perangilah mereka, nescaya Allah akan menyeksa mereka dengan (perantaraan) tangan kamu dan Allah akan menghinakan mereka serta menolong kamu menewaskan mereka dan Dia akan memuaskan hati orang yang beriman.”

Allah SWT pastinya tidak mensia-siakan mereka yang berjuang kerana-Nya, malah Allah SWT menjanjikan kurniaan pahala berlipat kali ganda sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah An-Nisa’ ayat 95-96, “Tidaklah sama keadaan orang yang duduk (tidak turut berperang) daripada kalangan orang yang beriman – selain daripada orang yang ada keuzuran – dengan orang yang berjihad (berjuang) pada jalan Allah (untuk membela Islam) dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan orang yang berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang kerana uzur) dengan kelebihan satu darjat. Dan tiap-tiap satu (daripada dua golongan itu) Allah menjanjikan dengan balasan yang baik (syurga) dan Allah melebihkan orang-orang yang berjuang atas orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang dan tiada keuzuran) dengan pahala besar iaitu darjat kelebihan daripada-Nya dan keampunan serta rahmat belas kasihan dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Ganjaran mati syahid amat besar dan tidak dapat dihitung oleh manusia. Allah SWT berfirman dalam Surah Muhammad ayat 4-6 yang bermaksud: “Dan orang yang berjuang serta gugur syahid pada jalan Allah (mempertahankan agamanya), maka Allah tidak sekali kali akan mensia-siakan amal-amal mereka. Allah akan memimpin mereka yang berjuang (ke jalan mendapat sebaik-baik balasan) dan menjadikan keadaan mereka baik dan berguna (di dunia dan di akhirat). Serta memasukkan mereka ke dalam syurga dijanjikan dan diterangkan sifatnya kepada mereka.”

Secara asasnya, ulama membahagikan mati syahid kepada tiga iaitu, pertama syahid dunia dan akhirat.

Ia bermaksud orang beriman yang berjuang secara ikhlas di jalan Allah SWT untuk mempertahan agama Islam dengan hanya mengharap keredaan Allah SWT semata-mata, lalu mati di medan perang. Mereka tidak dalam keadaan hayah mustaqirrah (masih hidup) sehingga tamat peperangan dengan kaum musyrikin.

Kematian ini dianggap syahid di akhirat kerana mereka mendapat ganjaran syahid di sisi Allah SWT dan dikatakan syahid di dunia kerana mereka tidak perlu dimandikan, tidak dikafankan, tidak disolatkan jenazah mereka malah dikebumikan terus dengan darah dan pakaian mereka.

Ia berdasarkan hadis daripada Saidina Jabir RA, “Nabi SAW pernah menghimpunkan dua lelaki daripada mereka yang telah dibunuh di (peperangan) Uhud seraya baginda bertanya kepada mereka siapakah antara mereka yang mempelajari lebih banyak al-Qur’an? Dan ketika seorang daripada mereka ditunjuk, baginda mengarahkan diletak di lahad kubur terlebih dahulu. Baginda bersabda, “Saya saksi ke atas mereka.” Maka baginda memerintahkan supaya mereka dikebumikan dengan darah mereka, tidak boleh disolatkan, dan mereka tidak boleh dimandikan.” (Hadis Riwayat Imam al-Bukhari)

Kedua, syahid dunia iaitu sesiapa yang berperang dan mati di jalan Allah SWT tetapi dalam masa yang sama melakukan perkara menghalangnya daripada syahid (mawani’ al-syahadah), antaranya berperang di jalan Allah SWT kerana dia hanya mahukan ghanimah (harta rampasan perang) atau berperang untuk menunjukkan keberanian atau mendapat kedudukan di hadapan manusia atau seumpamanya bagi tujuan kepentingan duniawi. Bagi kategori ini, ia dianggap syahid dunia iaitu tidak disolatkan jenazah, tidak dimandikan dan dikafankan.

Namun pada masa sama tidak dianggap mati syahid di akhirat, kerana tidak mendapat pahala sebagai syahid yang sempurna dan urusan akhiratnya antara dia dengan Allah SWT.

Ketiga, syahid akhirat iaitu mereka yang tidak mati syahid di medan perang, tetapi golongan disebutkan di dalam hadis Nabi SAW dengan istilah syahid. Antaranya orang yang mati kerana sakit perut, taun, ditimpa bangunan yang runtuh, dan lainnya, sebagaimana yang dijelaskan dalam hadis Nabi SAW, “Orang yang mati syahid lima golongan iaitu orang yang mati kerana taun, mati kerana penyakit perut, mati lemas, orang yang ditimpa runtuhan dan syahid di jalan Allah.” (Riwayat Imam al-Bukhari & Muslim)

Manakala hadis diriwayatkan daripada Jabir bin ‘Atik bahawa Nabi SAW bersabda, “Orang yang mati syahid selain terbunuh di jalan Allah ada tujuh iaitu korban wabak taun adalah syahid, mati kerana tenggelam adalah syahid, penderita penyakit radang paru-paru adalah syahid, mati kerana sakit perut adalah syahid, mati ditimpa runtuhan adalah syahid, seorang wanita mati kerana melahirkan anak adalah syahid dan orang yang mati kerana kebakaran adalah syahid.” (Riwayat Imam Malik).

Bagi kematian tergolong dalam syahid di akhirat, mereka mendapat ganjaran dan pahala, tetapi ganjarannya berbeza dengan golongan pertama iaitu syahid dunia dan akhirat. Hukumnya adalah sama dengan adat manusia mati biasa, iaitu dimandikan, dikafankan, dan disolatkan jenazah.

Selautan doa dipanjatkan daripada seluruh umat Islam di seluruh dunia buat saudara segama kita di Palestin. Pengorbanan yang sudah diberikan tiada khilaf padanya melainkan ia syahid yang mulia di tingkatan darjat tertinggi disisi Allah SWT.

Berbahagialah wahai ibu-ibuku, bapa-bapaku, saudara-saudaraku dan anak-anak kecilku di Palestin dengan janji benar syurga yang tertinggi daripada Allah SWT yang Maha Pengasih. Perjuangan dan pengorbanan kalian tidak pernah sia-sia, malah semuanya menjadi asas kepada kebangkitan semula Islam yang akan bermula di Tanah Suci Palestin, dengan izin Allah SWT.

Posted in Amalan Pilihan, Artikel Pilihan, Fokus Isu | Leave a Comment »

Ayuh bantu saudara Islam kita pertahankan tanah mereka!

Posted by epondok di November 11, 2023

Muhammad Saufi Hassan

Kelak akan tiba masanya seisi dunia serta alam ini akan menuju ‘tarikh luput’ dan kita semua akan dibangkitkan, dipersoalkan mengenai masa yang kita bazirkan, masa yang kita semua luangkan adakah untuk kebajikan atau sebaliknya.

Menekuni isu terkini khususnya peperangan yang melanda Palestin dan rejim Israel, sangat menyentuh hati, perasaan kita umpama ‘disiat-siat’ apabila melihat kanak-kanak khususnya, menangis kesakitan, ramai yang terkorban akibat tindakan tidak berprikemanusiaan oleh tentera haram rejim Zionis.

Ramai yang menyatakan bahawa peperangan yang sedang berlaku ini adalah sebahagian daripada tanda-tanda kiamat seperti yang dinyatakan dalam hadis.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tidak akan terjadinya hari kiamat sehingga kalian memerangi orang Yahudi, sehingga akan berkata batu yang dibelakangnya ada orang Yahudi; Hai Muslim, Ini Yahudi dibelakangku, bunuhlah dia.” (Hadis Riwayat Bukhari, No 2709).

Ulama berpandangan bahawa ini adalah hadis umum yang tidak menunjukkan peperangan di Palestin saja yang menentang Yahudi dan kita juga tidak boleh menentukan sama ada peperangan kali ini adalah maksud hadis itu.

Jika menekuni ilmu akhir zaman ini, kita tidak boleh secara muktamad menyatakan bahawa apa yang berlaku di sesuatu tempat itu adalah petanda kiamat kerana kita sendiri tidak pasti, mungkin ada peperangan lain atau peristiwa lain pada masa depan.

Konflik yang melanda di Palestin khususnya penduduk Gaza pada ketika ini bukan isu baharu, malah sudah berdekad lamanya penindasan saudara Islam kita dilakukan rejim Zionis.

Paling menyedihkan apabila ada negara Islam lain yang seolah-olah tidak begitu mempedulikan nasib rakyat Palestin, malah mereka lebih senang melaksanakan normalisasi dengan negara Israel biarpun atas segala maksud perdagangan dan sebagainya.

Tanah Palestin ini menjadi rebutan sejak zaman-berzaman lagi sehingga kepada dunia moden yang memperlihatkan penduduk Palestin tetap mempertahankan tanah mereka daripada penguasaan penuh rejim Zionis.

Seharusnya umat Islam perlu bersatu padu duduk di belakang penduduk Palestin serta menyokong mereka dalam mempertahankan hak yang sentiasa dicabuli rejim Israel.

Penerapan mengenai sejarah Palestin juga perlu diajar di sekolah supaya sejarah yang sebenarnya dapat disampaikan tanpa memberi perspektif yang salah.

Kita sebagai umat Islam seharusnya terus mendoakan kesejahteraan saudara Islam kita di Palestin dan Insya-Allah, kemenangan akan menjadi milik rakyat Palestin kelak.

Konflik yang berlaku di Palestin bukan hanya menjadi dugaan untuk mereka, sebaliknya dugaan besar untuk kita semua mengenai apa yang mampu kita lakukan untuk membantu saudara Islam kita di sana.

Persoalan itu pastinya akan dipertanggungjawabkan apabila semua dihadapkan di Mahsyar kelak. Wallahualam

Posted in Artikel Pilihan, Fokus Isu | Leave a Comment »

Lazimi lidah dengan tahmid

Posted by epondok di Oktober 31, 2023

Dr Zuraimy Ali

Mensyukuri anugerah rezeki yang diberikan Allah SWT kepada kita adalah sifat yang terpuji manakala mengkufuri nikmat rezeki merupakan sifat yang tercela. Renungkanlah betapa kasih dan sayang-Nya Pencipta kepada hamba-Nya. Dikurniakan pelbagai rezeki di atas muka bumi ini sehinggakan setiap makhluk-Nya sentiasa diberikan rezeki mengikut kadar kecukupan yang ditentukan Allah SWT buat hamba-Nya. Jika setiap hamba Allah menyelami akan nikmat Tuhan buat dirinya pasti tidak mampu dihitung banyaknya nikmat tersebut. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”-  (Surah Al-Nahl, ayat 18). Disebabkan kasih sayang Allah SWT, diberikan kepada hamba-Nya limpahan rezeki yang tidak terhitung banyaknya.

Manusia yang tahu erti syukur akan sentiasa melazimi lidahnya dengan bacaan tahmid kepada Tuhan. Tiada ungkapan yang lebih Allah SWT sukai melainkan hamba-Nya yang selalui menyebutkan kalimat Alhamdulillah kerana ungkapan itu menjadikan seorang hamba sedar akan rezeki yang diperolehinya merupakan anugerah Tuhan. Sebutan tahmid itu sebenarnya menjadi punca kepada penambahan dan kurniaan yang lebih besar yang disediakan Tuhan buat hamba-Nya yang beriman sebagaimana Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras.”  (Surah Ibrahim, ayat 7)

Kehidupan dunia ini sememangnya sangat mencabar. Manusia tidak terlepas daripada sifat sombong dan angkuh apabila mendapat habuan yang lebih berbanding dengan orang lain. Hakikatnya golongan ini lupa bahawa mereka ini sebenarnya miskin akhlak dari sisi pandangan Tuhan bahkan boleh terjerumus ke dalam lembah kehinaan di atas perbuatan sombong terhadap kurniaan yang diberikan Tuhan buat mereka. Mempamerkan kekayaan yang mewah bagi tujuan untuk bermegah-megah dengan kekayaan yang diperoleh melambangkan jiwa dikuasai oleh sifat kesombongan. Allah SWT melarang setiap hamba-Nya untuk tidak berlaku sombong
di atas muka bumi-Nya sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang.”  (Surah Al-Israa’, ayat 37).

Untuk itu, dalam usaha membina akhlak yang terpuji sebagaimana yang dikehendaki Allah SWT terhadap hamba-Nya marilah kita semua berusaha menjadi hamba Allah yang sentiasa bersyukur di atas kurniaan yang diberikan. Manusia yang memahami fadhilat bersyukur lebih menyedari dan menginsafi akan kekurangan diri. Segala yang dimiliki hakikatnya adalah milik Tuhan. Segala yang diperolehi sentiasa diingati sebagai satu anugerah Tuhan buat mereka. Golongan ini sedar dan sentiasa merendah diri bahawa rezeki itu sebenarnya datang daripada Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Hal keadaan ini dapat dilihat menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat (dari perkara yang tidak diingini)” (Surah Al-Furqaan, ayat 63). Sifat kesombongan tidak menguasai mereka bahkan dihiasi dengan sikap yang santun serta menginsafi diri sebagai seorang hamba Allah SWT.

Justeru, dianjurkan buat umat Islam untuk sentiasa berdoa kepada Tuhan agar menjadi hamba Allah yang tahu erti syukur yang sebenar. Antara doa yang terbaik boleh diamalkan bagi umat Islam ialah doa yang ma’thur di dalam al-Quran yang berbunyi: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai dan masukkanlah daku – dengan limpah rahmatMu – dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh” (Surah Al-Naml, ayat 19). Bagi mereka yang sudah mencapai usia 4o-an adalah dianjurkan untuk selalu membaca doa ini bagi mengekalkan momentum untuk terus istiqamah dalam menjadi hamba Allah yang bersyukur sepertimana doa yang terdapat di dalam al-Quran yang berbunyi: “Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu).”  (Surah Al-Ahqaaf, ayat 15)

Sebagai kesimpulannya, rezeki adalah kurniaan Allah SWT. Mensyukuri rezeki kurniaan Tuhan mendatangkan banyak kebaikan buat hamba-Nya. Limpahan rezeki Tuhan buat hamba-Nya tidak pernah putus dan sentiasa cukup melainkan golongan yang sombong dan rakus serta tidak tahu untuk bersyukur. Jadilah manusia yang sentiasa bersyukur kepada Tuhan. Semoga Allah SWT sentiasa melimpahkan rezeki kepada kita semua dan memasukkan kita dalam kalangan hamba-Nya yang bersyukur.

Posted in Amalan Pilihan, Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Daurah Kitab Bersama ๐’๐ฒ๐ž๐ข๐ค๐ก ๐Œ๐ฎ๐ก๐š๐ฆ๐ฆ๐š๐ ๐’๐š๐ข๐ ๐๐š๐ค๐š๐ซ Jordan pada 1 November 2023 ini

Posted by epondok di Oktober 30, 2023

๐ƒ๐€๐”๐‘๐€๐‡ ๐Š๐ˆ๐“๐€๐
ุงู„ุฃุฑุจุนูˆู† ุงู„ู…ุชูˆุงุชุฑุฉ
๐€๐ฅ-๐€๐ซ๐›๐š๐ฎ๐ง ๐€๐ฅ-๐Œ๐ฎ๐ญ๐š๐ฐ๐š๐ญ๐ข๐ซ๐จ๐ก ๐›๐š๐ ๐ข ๐’๐ฒ๐ž๐ข๐ค๐ก ๐Œ๐ฎ๐ก๐š๐ฆ๐ฆ๐š๐ ๐’๐š๐ข๐ ๐๐š๐ค๐š๐ซ

๐Ÿ—ฃ๏ธSyeikh Dr. Muhammad Said Bakar, Anggota Kesatuan Ulamaโ€™ Jordan & Palestin
๐Ÿ“ Hari Rabu
๐Ÿ“ 1 November 2023/17 Rabiul Akhir 1445H
๐Ÿ“ŒMasjid Mukim Terusan Limbat, Pondok Pasir Tumboh

Semua muslimin dan muslimat dijemput hadir. Mohon jasa baik muslimin muslimat sebar luaskan kepada orang ramai.

Untuk mengikuti Siri Kembara Ilmu bersama Syeikh Dr. Said Bakar, sila follow page YTK Kelantan: https://www.facebook.com/YTKKelantan

DaurahKitab #YTKKelantan #KembaraIlmu

Posted in Program Terbaru | Leave a Comment »

Nikmat syukur dorong hati bertambah bersih

Posted by epondok di Oktober 29, 2023

Dr Zuraimy Ali

Insan yang sentiasa diberi kurniaan dan kelebihan di atas muka bumi perlu sentiasa bersyukur supaya ia menjadi amalan yang akan menambahkan lagi keberkatan dan limpahan rezeki daripada Allah SWT.

Hakikatnya kurniaan itu sebahagian daripada bentuk kasih sayang dan tanda ingatan-Nya buat hamba-Nya supaya sentiasa melazimi amalan syukur dengan memanjatkan ungkapan tahmid dan doa seperti yang diajarkan Rasulullah SAW yang berbunyi: “Ya Allah, nikmat apa pun yang ada padaku di waktu pagi atau yang ada pada setiap makhluk-Mu, semuanya hanya dari-Mu semata, tiada sekutu bagi-Mu, bagi-Mu segala puji dan bagi-Mu segala syukur.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan Baihaqi)

Ia sangat disukai dalam Islam jika seorang hamba Allah yang diberikan kurniaan mahupun kemenangan baik sentiasa melazimi lidahnya dengan mengucapkan tahmid dan sering berdoa kepada Allah SWT. Ungkapan tahmid adalah sebahagian zikir penting sebaris dengan ungkapan takbir (mengagungkan/membesarkan Allah) dan tasbih (memuji Allah). Ungkapan takbir sering kedengaran ketika imam menyebut dalam solat berjemaah seperti takbiratul ihram dan takbir intiqalat, namun ungkapan tahmid mempunyai keunikan luar biasa sehinggakan Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: “Dan (ingatlah juga) ketika Tuhanmu memaklumkan; Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Aku akan menambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” (Surah Ibrahim, ayat 7)

Untuk itu, bagi menambah keberkatan dan limpahan rahmat Allah SWT, maka insan yang terdidik jiwa dan akhlak yang murni sentiasa sedar bahawa kurniaan dan kelebihan itu hadir dengan sikap sentiasa mensyukuri nikmat Allah SWT, manakala mengkufuri nikmat Allah SWT hanya mengundang kemurkaan dan azab Allah SWT. Malaysia yang dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan seluruh barisan jemaah menteri Kerajaan Perpaduan Malaysia berjaya menambah baik dan membantu meningkatkan keyakinan ramai pelabur luar untuk melabur dalam negara bagi memastikan agenda mengukuhkan ekonomi dan meningkatkan pendapatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan kerajaan. Walaupun masih ada beberapa isu yang masih membelenggu seperti kenaikan kos sara hidup dan gangguan bekalan makanan, namun rakyat Malaysia masih hidup aman damai. Segala kelemahan segera diperbaiki demi memastikan rakyat sentiasa terjamin dan hidup dengan tenang.

Bagi insan yang waras dan sentiasa berfikir pasti mampu melihat secara mendalam bahawa nikmat pemberian Allah SWT menjadikan Malaysia pada hari ini berada pada landasan yang tepat untuk bangkit membina kekuatan ekonomi dan seterusnya melaksanakan dasar yang mampu menyelamatkan negara daripada pelbagai krisis khususnya bebanan hutang negara yang mencecah 1.5 trilion ringgit di samping bertiwikrama (berusaha dengan sedaya upaya) bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara yang kurang memberangsangkan akibat ketidakstabilan politik negara sebelum ini apabila kepimpinan negara sering bertukar.

Anugerah Allah SWT hadir dalam pelbagai bentuk seperti kestabilan negara kukuh dua pertiga majoriti, kepemimpinan yang adil dan amanah, pelaksanaan dasar dan tatakelola yang baik buat rakyat, pelaburan yang meningkat dan berimpak tinggi, peluang pekerjaan yang banyak, rakyat berpendapatan tinggi dan lain-lain lagi. Hal ini sudah pasti adalah kurniaan yang wajar disyukuri dan bukan dikufuri oleh setiap insan yang mengakui keimanannya kepada Allah SWT.

Justeru, Islam mendidik umat sentiasa menjadikan tahmid ungkapan syukur dan pujian kepada Allah SWT sebagai satu bentuk kelaziman bagi menzahirkan rasa syukur terhadap anugerah Allah SWT yang terindah buat manusia. Usaha menzahirkan rasa syukur boleh diucapkan sebagaimana doa yang ada dalam al-Quran yang berbunyi: “Ya Tuhanku, anugerahkanlah aku (ilham dan kemampuan) untuk tetap mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada kedua orang tuaku dan untuk tetap mengerjakan kebajikan yang Engkau redai. (Aku memohon pula) masukkanlah aku dengan rahmat-Mu ke dalam golongan hamba-hamba-Mu yang saleh.” (Surah An- Naml, ayat 19)

Antara doa lain yang wajar dilazimi setiap insan ialah doa mathur yang diajar Nabi SAW yang berbunyi: “Ya Allah, bantulah aku untuk senantiasa mengingat-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan beribadah dengan baik kepada-Mu.” Justeru, sebagai Muslim yang terdidik dengan akhlak terpuji hendaklah sentiasa melafazkan tahmid sebagai tanda syukur bagi tujuan menambah lagi keberkatan dalam hidup.

Akhir kalam, nikmat syukur pasti menjadikan hati nurani bertambah bersih daripada segala kekotoran dan mendatangkan keberkatan dalam kehidupan Muslim. Syukur alhamdulillah atas anugerah terindah yang diberikan Allah SWT buat kita semua moga ia kekal sebagai haruman terindah buat rakyat Malaysia.

Posted in Amalan Pilihan, Artikel Pilihan | Leave a Comment »