Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for the ‘Pondok Lubuk Tapah’ Category

Madrasah Rahmaniah, Pondok Lubuk Tapah
Tel. 09-7905672

Pengasas Pondok Lubuk Tapah

Posted by epondok di Februari 19, 2022

BIODATA TUAN GURU HAJI  ABDUL RAHMAN

 

Nama                  :        Haji Abdul Rahman B. Che Wan

                                       ( 1905M – 1989M )

                                       Allahyarham merupakan pengasas Pondok Lubuk  

                                       Tapah pada tahun 1931.

 

Tempat Lahir  :        Kampung Lubuk Tapah , Pasir

                                       Mas , Kelantan .

 

Pendidikan       :

 

Pada peringkat awal beliau menerima pendidikan daripada beberapa orang tuan guru di sekitar negeri Kelantan.Diantara guru-guru beliau ialah:

1-     Haji Muhammad Yusuf  Ahmad ( Tok Kenali )

2-     Haji Wan Ahmad (Tuk Padang Jelapang)

3-     Tuk Ajong Sumatera (anak murid Tok Kenali)

4-     Abang Kub Legor

5-     Haji As’ad Kangkong

 

Beliau menyambung pengajian di Mekah selama 4 tahun bermula dari tahun 1927.Diantara guru-guru beliau disana pula ialah :

1-     Syeikh Othman Jalaluddin Al-Kalantani

2-     Tuan Mukhtar Bogor

3-     Tuk Ahyad Bogor

4-     Tuk Shafie Kedah

5-     Pak Da Ail Fatani

6-     Syeikh Said Al-Yamani

7-     Syeikh Ali Al-Maliki

8-     Syeikh Abbas Al-Maliki

9-     Syeikh Muhammad Al-Fatani     

Keluarga :

Hasil perkahwinan dengan isterinya yang pertama, Hajjah Nik Zainab Bt. Haji Nik Mud, beliau telah dikurniakan tujuh orang anak iaitu :   

 
Anak-anak      :  1 – Hajjah Halimah

                          2 – Haji Abdullah

                          3 – Haji Ahmad

                          4 – Hajjah Aminah

                          5 – Hajjah Aisyah

                          6 – Hajjah Aidah

                          7 – Hajjah Aliyah

 

Manakala dengan isterinya yang kedua, Hajjah Zainab Bt. Mamat beliau dikurniakan tiga orang anak pula iaitu :

 

Anak-anak     :   1 – Haji Abdul Rahim

                          2   Haji Adnan

                          3 – Asyirah

 

Anak Murid :

Hasil bimbingan dan didikan dari beliau telah melahirkan pula ramai ulama pelapis yang kemudiannya mengajarkan ilmu agama dan memberi khidmat kepada masyarakat.Selain dari anaknya sendiri,Tuan Guru Haji Abdullah yang akhirnya menjadi pengganti kepada beliau, antara lain bekas anak-anak murid beliau ialah :

 

1- Haji Daud B. Haji Jambul,Bunut Susu – Bekas Ahli Jemaah Ulama Majlis

    Agama Islam Kelantan.

2- Haji Ibrahim B. Haji Mamat – Guru Pondok Kampung Perah,Slow Machang

3- Haji Yusuf B. Ibrahim – Guru Pondok Kampung Jabo

4- Haji Hussin B. Ibrahim – Bekas Wakil Rakyat DUN Bukit Tuku

5- Haji Hasan B. Haji Che Musa – Bekas Imam masjid Pengkalan Chepa

6- Haji Mohd Baki B. Osman – Bekas Pesuruhjaya PAS Pahang. 

 

Karangan :

Beliau sempat mengarang kitab dan risalah kecil yang telah beberapa kali diulang cetak dan dibaca serta dikuliahkan di merata tempat terutama oleh bekas-bekas anak murid beliau sendiri iaitulah :

 

1. Pedoman Sembahyang Berjemaah – kitab kecil yang membicarakan

    tentang kelebihan,kaifiat dan beberapa masalah yang berkaitan  

    dengan sembahyang berjemaah.

 

2. Kemanisan Sembahyang – terjemahan bacaan didalam sembahyang

 

3. Kelabaan Masa – himpunan wirid lepas sembahyang dan beberapa  

    doa- doa harian.

Posted in Pondok Lubuk Tapah, Tokoh Ulama' | Leave a Comment »

Kem Cuti Sekolah 2018 di Pondok Lubuk Tapah

Posted by epondok di Oktober 22, 2018

Posted in Pondok Lubuk Tapah, Program Terbaru | Leave a Comment »

Kem sebulan cuti sekolah 2017 di Pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas

Posted by epondok di November 25, 2017

Posted in Pondok Lubuk Tapah, Program Terbaru | Leave a Comment »

Kem Cuti Sekolah 2016 di Pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas, Kelantan

Posted by epondok di Oktober 10, 2016

l-tapah

Posted in Pondok Lubuk Tapah, Program Terbaru | Leave a Comment »

Ceramah Isra’ Mikraj di Pondok Lubuk Tapah 7 Mei ini

Posted by epondok di Mei 6, 2016

lubuk

Posted in Pondok Lubuk Tapah, Program Terbaru | Leave a Comment »

Maklumat Pondok Lubuk Tapah

Posted by epondok di Disember 29, 2013

Pondok Lubuk Tapah atau nama rasminya Madrasah Al-Rahmaniah Pondok Lubuk Tapah adalah sebuah institusi pengajian islam yang berkonsep tradisional dan merupakan antara pondok yang tertua di Kelantan.

Pondok Lubuk Tapah mula diasaskan oleh AllahyarhamTuan Guru Haji Abdul Rahman Bin Che Wan  pada tahun 1931 setelah kembalinya beliau daripada belajar di Mekah.Bertempat di Kampung Lubuk Tapah,Lemal Pasir Mas, dengan jarak kira-kira 4 km dari Bandar Pasir Mas dan 16 km dari Pusat Bandar Kota Bharu, keluasan kawasan Pondok Lubuk Tapah adalah kira-kira dalam lingkungan 6 ekar.

Pada peringkat awal penubuhannya,kegiatan pondok ini adalah agak terhad   dengan bilangan pelajarnya yang tidak ramai manakala kemudahan-kemudahan asasnya pula tidak lengkap dan kurang memuaskan.Pada masa itu pondok-pondok pelajar terdiri daripada pondok sebuah-sebuah yang dibina sendiri oleh pelajar atau ibu bapa yang menghantar anak-anaknya memondok disini.Pondok-pondok dibina diatas tanah kepunyaan Tuan Guru Haji Abdul Rahman.

Pelajar-pelajar yang datang menuntut di Pondok Lubuk Tapah datang dari seluruh negeri di Malaysia dan ada juga pelajar yang datang dari negara-negara jiran

seperti Thailand,Indonesia,Singapura dan kemboja.

Sehingga kini Pondok Lubuk Tapah telah melahirkan ribuan pelajar dimana ada dikalangan bekas-bekas pelajar pondok ini pulang menyebarkan ilmu dan memberi khidmat kepada masyarakat samada mengajar dengan membuka pondok atau sekolah agama,mengajar di masjid dan madrasah,menjadi imam masjid,bilal dan sebagainya. Bagi menambahkan lagi kefahaman dalam ilmu pengetahuan agama,terdapat juga bekas-bekas pelajar yang melanjutkan pengajian mereka ke negara-negara timur tengah seperti ke Mesir dan Syria.

Pondok Lubuk Tapah mengalami perkembangan dan kemajuan dari masa ke semasa dan perubahan itu semakin ketara apabila Tuan Guru Haji Abdullah pulang dari Mekah pada Disember 1966 setelah berkelana menuntut ilmu di sana selama 14 tahun semenjak tahun 1953.Beliau yang merupakan anak  kedua kepada pasangan Tuan Guru Haji Abdul Rahman dan Hajah Nik Zainab binti Nik Mud membantu ayahnya mengajar dan mentadbir pondok hinggalah akhirnya beliau mengambil tempat ayahnya menjadi mudir  pondok.Dibawah pentadbiran beliau Pondok Lubuk Tapah semakin berkembang pesat dan semakin dikenali bukan sahaja di Kelantan bahkan di seluruh Malaysia.Bilangan pelajarnya semakin bertambah manakala infrastruktur dan kemudahan-kemudahan asasnya juga semakin baik dan lengkap.Sehingga kini terdapat kira-kira 400 orang pelajar yang menghuni di Pondok Lubuk Tapah termasuk dari kalangan warga tua dan mereka yang sudah berkeluarga.

 

 

SISTEM PENGAJIAN

 

 

Sistem pengajian di Pondok Lubuk Tapah masih mengekalkan sistem pengajian pondok tradisional dalam bentuk yang asal berdasarkan metode halakah dan kuliah. Berdasarkan metode ini pelajar akan membuka kitab menghadap kepada guru yang membaca dan membuat huraian bagi setiap kandungan kitab tersebut didalam majlis kuliah yang diadakan.Pengajaran dan huraian secara teliti dan mendalam oleh guru bertujuan untuk memberi kefahaman yang jelas dan luas kepada pelajar.

Mata pelajaran yang dipelajari di sini pula meliputi hampir semua bidang asas pengajian islam seperti al-Quran, Tauhid, Fiqh, Usul Fiqh, Tasawuf, Tafsir, Hadis, Mustalah Hadis, Sirah, Nahu, Saraf, Balaghah dan lain-lain lagi. 

Kitab-kitab yang dipelajari di Pondok ini pula terdiri daripada kitab-kitab turath yang muktabar karangan ulama-ulama mujtahidin dan lain-lainnya dalam bahasa Arab dan Melayu bertulisan jawi.

Tenaga-tenaga pengajarnya pula selain daripada tuan guru sebagai guru utama beliau turut dibantu oleh tenaga-tenaga pengajar yang lain yang terdiri daripada pelajar-pelajar lama.

Secara umumnya sistem pengajian di Pondok Lubuk Tapah terbahagi kepada empat tahap mengikut kepada kemampuan pelajar iaitu kelas rendah bagi pelajar yang baru hendak belajar menulis dan membaca jawi.Tahap dua pula adalah kelas peralihan untuk pelajar yang baru pandai membaca dan menulis jawi dan mereka biasanya mempelajari kitab-kitab jawi yang rendah dan mudah difahami.Tahap tiga pula adalah kelas menengah yang menyediakan kelas-kelas untuk pelajar yang sudah pandai dan lancar membaca jawi. Mereka mengikuti kelas pengajian kitab-kitab jawi yang agak tinggi serta turut diajarkan ilmu nahu  ( tatabahasa arab ) dan sorof.Tahap empat pula adalah untuk pelajar-pelajar yang mengikuti pengajian kitab-kitab arab yang dipanggil kelas tinggi/arab. Kebanyakan kitab-kitab arab diajar oleh tuan guru sendiri.

Kelas-kelas pengajian diadakan hampir tiap-tiap hari dan dibahagikan kepada tiga sesi iaitu sesi pagi,petang ( bermula selepas zohor hingga selepas asar ) dan malam. Walaupun hari jumaat dan sabtu diletakkan sebagai cuti mingguan pondok namun kelas tuan guru bagi sesi malam masih berjalan seperti biasa.Tuan guru juga mengajar di Madrasah Pondok Kubang Bemban ( Pondok ayah mertua beliau;Allahyarham Tuan Guru Haji Ghani ) pada tiap-tiap hari sabtu mulai sebelas pagi hingga zohor.

 

 

 

INFRASTRUKTUR

 

Infrastruktur di Pondok Lubuk Tapah terdiri daripada tiga bangunan utama dengan pecahan di lokasi-lokasi yang tertentu iaitu Masjid,Madrasah dan Asrama pelajar.

 

1. Masjid

Masjid Pondok Lubuk Tapah terletak bertentangan dengan rumah tuan guru dan merupakan pusat bagi aktiviti ilmu dan ibadat dimana sebahagian besar daripada kelas-kelas pengajian diadakan di Masjid ini.Kelas pengajian tuan guru sendiri semuanya diadakan di Masjid ini.

Disamping menjadi tempat perhimpunan pelajar-pelajar pondok dan penduduk mukim Lubuk Tapah mengerjakan solat berjemaah dan jumaat,pelbagai program sambutan hari-hari kebesaran islam seperti Maulidur Rasul dan Isra’ mikraj turut diadakan disini.

 

2. Madrasah

 

Terdapat tiga buah Madrasah yang dijadikan tempat kuliah-kuliah pengajian kitab oleh tenaga-tenaga pengajar.Madrasah Al-Rahmaniah yang merupakan madrasah utama terletak disebelah Masjid berhadapan dengan Rumah Tuan Guru.Tapak Madrasah ini adalah tempat asal mula-mula kegiatan pengajian kitab dan solat berjemaah dibuat sejak dari awal penubuhan Pondok Lubuk Tapah,sebelum  Masjid Lubuk tapah dibina.

Sekarang ini Madrasah Al-Rahmaniah merupakan bangunan kuliah kedua terpenting selepas masjid dengan kebanyakan kelas-kelas pengajian tenaga pengajar pondok diadakan disini.Disamping itu ianya turut dijadikan tempat pelajar-pelajar pondok berkumpul untuk menjalankan aktiviti-aktiviti dalaman dan mengadakan majlis-majlis tertentu seperti majlis meraikan tetamu dari luar dan majlis usrah yang diadakan pada tiap-tiap hari rabu malam khamis.Di tingkat atas madrasah ini dijadikan pejabat untuk urusan pentadbiran pondok.

Madrasah dua dan tiga pula terletak didalam kawasan asrama pelajar lelaki dan turut dijadikan tempat untuk mengadakan kelas-kelas pengajian dan aktivi pondok.

 

3. Asrama Pelajar

 

Asrama pelajar atau lebih sinonim dengan panggilan pondok sahaja terbahagi kepada tiga iaitu asrama pelajar lelaki,asrama pelajar wanita serta warga emas dan asrama serta rumah-rumah bagi pelajar yang sudah berkeluarga (pondok kelamin).

Asrama pelajar lelaki terletak di kawasan hadapan pondok iaitu disebelah jalan masuk ke kawasan pondok.Terdapat 4 blok asrama pelajar lelaki iaitu blok A,B,C dan D.Hanya asrama Blok A sahaja yang dibina satu tingkat manakala blok asrama yang lainnya adalah bangunan 2 tingkat yang mana kesemuanya boleh menempatkan lebih daripada 200 orang pelajar dalam satu-satu masa.Sebuah blok asrama berkembar 3 tingkat masih didalam pembinaan dan sekiranya siap dijangka boleh dihuni lebih 100 orang pelajar.

Asrama pelajar wanita pula terletak bersebelahan dengan rumah tuan guru.Terdiri daripada satu blok asrama  tiga tingkat dengan tingkat pertama dan kedua didiami oleh orang-orang tua wanita (warga emas).

Manakala asrama rumah kelamin juga terdiri daripada satu blok bangunan 3 tingkat dengan 12 belas buah rumah dihuni oleh tenaga-tenaga pengajar pondok yang sudah berkeluarga pada 2 tingkat yang diatas sementara tingkat bawah pula dihuni oleh warga  emas wanita.Selain itu terdapat juga rumah-rumah kayu yang terletak berselerakan di sekitar rumah tuan guru yang didiami oleh pelajar yang sudah berkahwin dan juga warga emas lelaki dan wanita.

 

ORGANISASI 

 

Bagi memastikan segala urusan yang berkaitan dengan pondok berjalan dengan lancar dan terurus maka satu organisasi telah dibentuk yang mana terdiri daripada jawatan kuasa pentadbir yang diketuai oleh Tuan Guru Haji Abdullah dengan dibantu oleh dua orang anak lelakinya.Segala urusan yang berkaitan dengan sistem pentadbiran dan pengajian pondok adalah di bawah arahan atau persetujuan beliau.

Bagi melancarkan lagi urusan pentadbiran dan pengurusan pondok dan pelajar maka Majlis Hal Ehwal Pelajar Pondok Lubuk Tapah ( M.H.E.P.P ) telah ditubuhkan oleh pelajar-pelajar pondok.Ahli majlis ini dianggotai oleh pelajar-pelajar lama dan baru.Beberapa lajnah telah dibentuk di bawah M.H.E.P.P bagi melancarkan lagi perjalanan organisasi iaitu :

 

1. Lajnah Tarbiah dan Dakwah :

   – Menjaga dan memantau displin dan tatatertib pelajar.

   – Mentarbiyah atau melaksanakan tindakan displin keatas pelajar yang bermasalah.

 

2. Lajnah Pelajaran :

   – Menyusun dan mengatur kelas serta sukatan pengajian terutama bagi kelas-kelas 

     rendah,peralihan dan menengah.

   – Memantau dan menilai kemampuan dan peningkatan pelajaran dikalangan pelajar.

 

3. Lajnah Pendaftaran :

   – Menguruskan urusan kemasukan dan pendaftaran pelajar baru.

   – Mengurus dan mengatur penempatan pelajar.

  

 

4. Lajnah Perhubungan :

   – Berperanan dalam urusan hubungan luar pondok seperti menguruskan kehadiran  

     pelawat dan tetamu yang datang membuat lawatan dan menziarahi pondok.

 

5. Lajnah Kebersihan :

   – Menguruskan segala perkara yang berkaitan dengan kebersihan kawasan pondok.

 

6. Lajnah Usrah :

   – Menguruskan program usrah mingguan yang diadakan pada tiap-tiap hari rabu  

     malam khamis.

Posted in Pondok Ahli PPPB, Pondok Lubuk Tapah, Pondok Malaysia | 7 Comments »

Syeikh Nuruddin al-Banjari di Pondok Lubuk Tapah pagi esok

Posted by epondok di November 10, 2010

Pihak Pondok Lubuk Tapah menjemput ulama’ hadis terkenal iaituSyeikh Nuruddin al-Banjari bagi mengisi majlis ilmu yang akan diadakan pada hari esok Khamis 11 November 2010M bertempat di pondok tersebut bermula jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengahari.

Selepas itu majlis ilmu bersama beliau akan diadakan pula di Ma’ahad Tahfiz, Rupek, Pasir Mas selepas solat Zohor

Muslimin dan muslimat para pencinta ilmu dijemput hadir dalam merebut peluang keemasan ini

Posted in Pondok Lubuk Tapah, Program Terbaru | 5 Comments »

MB Kelantan Lawat Kebakaran di Pondok Lubuk Tapah

Posted by epondok di Januari 23, 2010

Posted in Fokus Isu, Pondok Lubuk Tapah | 1 Comment »

Kebakaran di Pondok Lubuk Tapah perlu sumbangan

Posted by epondok di Januari 23, 2010

Oleh KHAIRI MOHAMAD

 

KEADAAN tiga blok Sekolah Pondok Lubuk Tapah yang terbakar di Pasir Mas, Kelantan semalam.

 


 

PASIR MAS – “Masa itu saya baru masuk tidur, tiba-tiba saya dengar bunyi kecoh di luar rumah.
“Saya keluar dan nampak api sudah mula membakar bangunan sekolah pondok.”

Demikian kata seorang saksi Hanipa Zakaria, 59, mengenai tiga blok Sekolah Pondok Lubuk Tapah di sini yang terbakar pada pukul 1.45 pagi semalam.

 

KANAK-KANAK  melihat kitab-kitab dan al-Quran yang dapat diselamatkan selepas Pondok Lubuk Tapah terbakar.

 


 

Rumah banglo Hanipa turut terbakar 70 peratus akibat dijilat api yang bermula di sekolah itu.

Cerita Hanipa, bangunan sekolah itu terletak bersebelahan dengan rumahnya.

“Saya belum lelap kerana baru masuk ke bilik selepas anak tiba dari Terengganu pukul 1.30 pagi,” kata Hanipa di sini semalam.

Melihat api semakin marak, Hanipa mengalihkan dua buah kereta miliknya sebelum mengejutkan empat orang anaknya yang sedang tidur.

“Nasib baik banyak benda dapat diselamatkan namun akibat kejadian itu juga, saya mengalami kerugian dianggarkan lebih RM100,000,” katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Adnan Said berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 1.55 pagi dan tiba di tempat kejadian lima minit kemudian bersama empat jentera dan 19 anggota bomba.

Posted in Fokus Isu, Pondok Lubuk Tapah | 1 Comment »

3 berek pelajar Pondok Lubuk Tapah Terbakar

Posted by epondok di Januari 22, 2010

PASIR MAS 22 Jan – 3 berek pelajar lelaki Pondok Lubuk Tapah musnah terbakar dalam kejadian yang berlaku pada jam 2 pagi tadi. Berita lanjut akan menyusul kemudian kerana pihak kami masih berusaha untuk mendapat maklumat lanjut daripada pihak pentadbiran

Sebarang sumbangan bolehlah hubungi pejabat pondok berkenaan di talian : 09-7905672 atau saudara Azlan 014-5064930

Posted in Fokus Isu, Pondok Lubuk Tapah | 2 Comments »