Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 2 Jun 2024

Usaha menarik orang lain kepada Islam, mentauhidkan Allah

Posted by epondok di Jun 2, 2024

Dr Azri Bhari

Dakwah adalah istilah yang khusus dalam Islam kerana ia adalah satu kewajipan yang dipertanggungjawabkan ke atas setiap Muslim yang mempunyai kemampuan dan peluang.

Ada pelbagai perintah Allah SWT ditujukan kepada Nabi SAW supaya melaksanakan tugas itu secara berterusan. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan serulah kepada Tuhan engkau, sesungguhnya engkau di atas petunjuk yang lurus.” (Surah al-Haj: 67)

Walaupun ada pelbagai ayat dalam al-Quran memerintahkan Nabi SAW supaya berdakwah, tetapi ayat itu juga ditujukan kepada seluruh masyarakat Islam dan hanya dikecualikan kepada golongan tertentu sahaja yang dibenarkan oleh syarak.

Dakwah adalah pelaksanaan terhadap perintah Allah SWT untuk menyeru dan mengajak manusia ke arah ajaran Islam meliputi akidah, syariah, akhlak dalam kehidupan seharian.

Seterusnya, dakwah usaha mengajar kebenaran kepada golongan lalai, membawa berita baik tentang nikmat dunia dan nikmat syurga, memberi amaran tentang balasan neraka di akhirat dan azab.

Melaksanakan tugas dakwah adalah puncak kebaikan dan kebahagiaan berdasarkan  firman Allah SWT yang bermaksud: “Siapakah yang lebih baik pertuturannya daripada mereka yang menggunakannya untuk menyeru manusia ke jalan Allah.” (Surah Fussilat: 33)

Menurut bahasa, dakwah ialah satu teknik menarik manusia kepada ajarannya sama ada secara teoritikal atau praktikal. Perkataan dakwah berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud mengajak, menyeru, menjemput, memanggil kepada sesuatu perkara.

Jelas bahawa secara bahasa, dakwah perkara yang memerlukan usaha atau kesungguhan sama ada secara amali atau teori bagi mencapai objektif digariskan, seterusnya terdapat juga tuntutan jihad dan amal di dalamnya.

Sementara menurut istilah pula, Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi menjelaskan dakwah ialah usaha menarik orang lain kepada agama Islam dan mengikut petunjuk dari-Nya serta menegakkan syariat-Nya di muka bumi ini. Begitu juga menyeru masyarakat agar mentauhidkan Allah SWT dengan ibadat dan amal ketaatan serta melepaskan diri daripada kongkongan selain daripada Allah SWT semata-mata. Memberikan hak kepada orang ditentukan hak oleh Allah, menafikan hak orang yang dinafikan hak oleh Allah. Menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran serta berjihad di jalan-Nya.

Sementara, Syeikh Muhammad al-Ghazali pula menerangkan dakwah ialah satu program yang lengkap. Setiap peringkatnya mengandungi semua ilmu pengetahuan yang diperlukan oleh manusia bagi menjelaskan tujuan dan matlamat yang sebenar.

Seterusnya, Abu A’la al-Mawdudi menjelaskan dakwah adalah panggilan Ilahi dan Rasul mengajak manusia memiliki nilai-nilai suci dan agung. Dakwah menghidupkan manusia iaitu menghidupkan pancaindera, daya pemerhatian, daya rasa, daya ciptanya, menghidupkan hati nurani dan pandangan hati. Menghidupkan manusia yang seimbang dari segi ilmu, iman dan amal. Ibadah, ikhtiar dan doa.

Matlamat dakwah menurut Syaikh Sa’id Hawwa ialah dakwah ke jalan Allah adalah satu matlamat dan pada masa sama wasilah untuk mencapai matlamat lain seperti tazkiyyah al-nafs, pembentukan individu dan keluarga Muslim, masyarakat dan negara Islam. Pencapaian matlamat ini bergantung kepada dakwah. Semakin banyak usaha dakwah dijalankan maka matlamat umum diamanahkan Allah SWT akan tercapai. Oleh itu, keutamaan perlu diberi kepada dakwah lebih daripada yang lain.

Dakwah adalah kewajipan diamanahkan kepada seluruh masyarakat Islam tanpa terkecuali mengikut kemampuan dan keupayaan masing-masing.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).” (Surah Ali Imran: 110)

Ayat di atas menjelaskan tentang kebaikan umat Islam (khaira ummah) yang terletak kepada tugas digalas untuk menyuruh dan mengajak manusia berbuat kebaikan dan mencegah dari kemungkaran.

Menurut Imam al-Qurtubi, Allah SWT menjadikan ‘amar makruf nahi mungkar’ sebagai garis pemisah antara orang beriman dengan orang munafik kerana ciri orang beriman yang paling istimewa yang akan membezakan dengan golongan munafik. Apabila umat Islam melalaikan tanggungjawab berdakwah, maka Allah SWT akan haramkan kedudukannya sebagai ‘khaira ummah’ (sebaik-baik umat) kerana Allah SWT hanya memberi status umat mulia ke atas umat Islam yang melaksanakan berdakwah.

Tanggungjawab berdakwah diletak ke atas setiap individu Islam sama ada lelaki atau perempuan, baligh, berakal, sama ada ulama atau tidak namun peranan ulama lebih ditekankan dalam memperincikan ajaran agama kerana memiliki pengetahuan yang luas.

Dakwah boleh dilaksana sama ada secara perseorangan seperti maksud hadis Nabi SAW: “Maka hendaklah yang telah menyaksikan antara kaum menyampaikan ilmu kepada orang yang tidak hadir.” (Riwayat al-Bukhari)

Seterusnya, dakwah boleh dilaksana secara berorganisasi terutama aspek kerja dakwah yang tidak dapat dilakukan secara individu seperti maksud firman Allah SWT: “Hendaklah ada di antara kamu umat yang menyeru kepada kebaikan dan menyuruh membuat kebaikan dan mencegah dari kemungkaran, mereka itulah orang-orang yang mendapat kemenangan.” (Surah Ali Imran: 104)

Namun, ada pendapat yang menyatakan wajib ke atas setiap umat Islam berdakwah, tetapi menjadi fardu kifayah iaitu tanggungjawab tertanggung kepada orang tertentu yang mempunyai syarat keahlian dalam sesuatu bidang tertentu yang memerlukan syarat tersebut dan tidak ada pihak lain menyempurnakannya.

Hukum fardu kifayah ini tidak bermaksud umat Islam yang lain harus berpeluk tubuh sekiranya kemungkaran terus berlaku dalam masyarakat. Fardu kifayah bermaksud sekiranya masyarakat itu sudah meninggalkan kemungkaran dan melakukan kebaikan, tetapi jika masyarakat masih melakukan kemungkaran, maka setiap Muslim wajib memikul tanggungjawab tersebut atau memberi sokongan kepada pendakwah.

Setiap orang wajib menambah kekuatan dan memberi sokongan kepada pendakwah, meramaikan bilangan sehingga menjadi kuat, hebat, dan mempunyai pengaruh yang cukup untuk mencegah kemaksiatan.

Demikianlah konsep dan keperluan dakwah yang perlu difahami dan diaplikasi dalam kehidupan untuk membina masyarakat sejahtera dan mencapai kebahagiaan di dunia serta akhirat.

Posted in Amalan Pilihan, Artikel Pilihan | Leave a Comment »