Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for the ‘Uncategorized’ Category

Zikir penyelamat

Posted by epondok di Mac 26, 2020

Fatimah Syarha Mohd Noordin

Setiap kali selesai menunaikan solat, tunggu seketika. Jika tiada urusan penting, luangkan sedikit masa untuk berzikir kerana amalan itu bakal menyelamatkan kita daripada api neraka.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Ahzab, ayat 41 yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, berzikirlah dengan menyebut nama Allah, zikir yang banyak dan bertasbihlah pada waktu pagi dan petang. Dialah yang memberi rahmat kepada kamu dan malaikat-Nya (yang memohon keampunan untukmu) agar Dia mengeluarkan kamu daripada kegelapan kepada cahaya. Dia Maha Penyayang kepada orang yang beriman.”

Dalam ayat itu, ada perkataan ‘asila’ yang bermaksud waktu selepas Asar hingga Maghrib. Selain itu, satu lagi perkataan ialah ‘bukratan’ bermaksud awal waktu Subuh sebelum naik matahari.

Maka, waktu untuk berzikir mengingati Allah yang dimaksudkan dalam ayat itu ialah selepas mendirikan solat Asar dan selepas solat Subuh.

Zikir itu hanya mengandungi tiga rangkap dan mengambil masa sekitar lima hingga 10 saat untuk membacanya sebanyak tujuh kali.

Daripada al-Harits bin Muslim al-Tamimi berkata, Nabi SAW bersabda bermaksud: “Apabila kamu selesai solat Subuh maka ucapkanlah sebelum berbicara, Ya Allah lindungilah aku daripada api neraka (Allahumma ajjirni minannar)” sebanyak tujuh kali kerana jika kamu meninggal dunia pada hari itu, nescaya Allah menulis bagimu perlindungan daripada api neraka dan apabila kamu selesai solat Maghrib, maka ucapkanlah sebelum berbicara, “Ya Allah lindungilah aku daripada api neraka (Allahumma ajjirni minannar) sebanyak tujuh kali kerana sesungguhnya jika kamu meninggal dunia pada malamnya itu, nescaya Allah menulis bagimu perlindungan daripada api neraka.” (Hadis Riwayat Abu Daud, Ahmad, Ibnu Hibbaan, At-Thabraani dan Al-Baihaqi di dalam Ad-Da’a-waat Al-Kabirnya)

Doanya cukup pendek, ringkas dan mudah dihafal. Sesiapa saja mampu membacanya dengan lancar lalu doa itu terus memanah tepat kepada objektif dan sasarannya.

Paling penting adalah usaha kita untuk kekal istiqamah mengamalkan doa itu. Doa itu menuntut kita untuk membacanya setiap pagi dan malam kerana mati itu datangnya cukup misteri.

Maka, setiap hari kita perlu sentiasa mempersiapkan diri dengan seberapa banyak bekalan. Jika terlalu sibuk atau mempunyai urusan, kita masih boleh mengamalkannya sambil bergegas berjalan untuk melaksanakan tanggungjawab itu.

Selain itu, amalan lain yang tidak sepatutnya ditinggalkan adalah membaca ayat Kursi. Daripada Abu Umamah al-Bahiliy, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang membaca ayat Kursi selepas solat fardu, maka tiada apa yang penghalangnya daripada syurga kecuali kematian.” (Syeikh al-Al-bani mensahihkannya dalam al-Silsilah al-Sahihah – 972)

Kata Imam al-San’ani yang bermaksud: “Kelebihan ayat Kursi ini adalah disebabkan padanya terhimpun segala usul nama dan sifat Allah seperti Wahdaniyyah (Maha Esa), al-Hayah (Maha Hidup), al-Qayyumiyyah (Maha Kekal), al-‘Ilm (Maha Mengetahui), al-Mulk (Maha Menguasai), al-Qudrah (Maha Berkuasa) dan juga al-Iradah (Maha Berkehendak).” (Lihat: Subul al-Salam, 297/1)

Seterusnya, amalan sunat lain yang tidak patut ditinggalkan adalah solat sunat rawatib. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Barang siapa yang melakukan solat sunat (sunat rawatib) sebanyak dua belas rakaat dalam sehari semalam, akan dibangunkan untuknya sebuah rumah di syurga, empat rakaat sebelum Zuhur dan dua rakaat sesudahnya, dua rakaat selepas Maghrib, dua rakaat selepas Isyak dan dua rakaat sebelum Subuh.” (Riwayat al-Tirmidzi, al-Nasa’I, Ibnu Majah dan Imam Ahmad)

Saat ini kita mungkin sedang berusaha keras membayar ansuran bulanan rumah yang dibeli. Banyak waktu dihabiskan untuk melakukan kerja lebih masa bagi mengelakkan rumah dilelong oleh pihak bank.

Namun, Allah SWT akan memberi ganjaran untuk amal yang sedikit iaitu sebuah mahligai serba mewah di syurga kelak.

Terdapat juga solat sunat rawatib yang disebut sebagai solat sunat ghairu muakkadah (solat sunat yang tidak dituntut). Salah satunya adalah dua rakaat lagi tambahan sesudah melaksanakan dua rakaat solat sunat selepas Zuhur.

Ummu Habibah iaitu isteri Nabi SAW berkata, “Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa menjaga empat rakaat sebelum Zuhur dan empat rakaat sesudahnya, haram atasnya neraka.” (Riwayat Abu Dawud, al-Nasai, dan Imam Ahmad)

Ada pendapat ulama seperti Imam al-Nasa’i, apabila seseorang hendak menambah dua rakaat selepas Zuhur (muakkad) dengan dua rakaat ghairu muakkad, hendaklah dikerjakan empat rakaat dengan tahiyat awal dan sekali salam (seperti pelaksanaan solat Zuhur).

Bagaimanapun, itu isu khilaf dan lakukanlah mengikut kemampuan masing-masing. Zuhur adalah waktu yang sangat singkat terutamanya bagi mereka yang bekerja.

Waktu rehat rata-ratanya dari jam 1 hingga 2 petang saja. Mungkin pada saat itu kita mahu tidur seketika (qailulah), makan, urusan bank dan melakukan urusan lain.

Apabila kita mula meletakkan solat sunat sebagai satu keutamaan, pasti kita mampu menyediakan masa untuk melaksanakannya.

Posted in Uncategorized | Leave a Comment »

Orang banyak makan malas bangun solat malam

Posted by epondok di Mac 24, 2020

Orang yang banyak tidur memperlihatkan sifat kerohaniannya masih rendah.

Salah satu penyebab seseorang banyak tidur kerana terlalu banyak makan.

Kesan banyak makan bukan saja menyebabkan ibadat tidak dapat dilaksanakan dengan khusyuk, malah dari sudut kesihatan ia menyebabkan kegemukan terhadap tubuh badan seseorang, seterusnya mudah diserang penyakit berbahaya.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada satu pun tempat yang lebih buruk jika diisi dengan penuh oleh anak Adam daripada perut. Sebenarnya, untuk anak Adam, cukuplah beberapa suap untuk menegakkan tulang belakangnya. Kalau pun tidak ada cara lain (mesti melebihi beberapa suap), hendaklah dia membahagikannya kepada sepertiga, sepertiga untuk makan, sepertiga untuk minum dan sepertiga (ruang kosong untuk pernafasannya.” (Riwayat at-Tirmizi)

Dalam konteks spiritual, umat Islam perlu mengamalkan amalan bangun malam seperti dilakukan Nabi Muhammad SAW.

Baginda diingatkan supaya bangun malam menerusi firman Allah SWT dalam Surah al-Muzammil, ayat 1 hingga 4 yang bermaksud: “Wahai orang yang berselimut! Bangun (solat tahajud) pada waktu malam, selain daripada sedikit masa (untuk berehat). Iaitu separuh daripada waktu malam, ataupun kurangkan sedikit daripada separuh itu ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya dan baca al-Quran dengan tartil.”

Berdasarkan ayat itu, bangun malam iaitu pada sepertiga malam terakhir bagi melaksanakan solat sunat tahajud, witir, hajat, istikharah dan membaca al-Quran adalah cara untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Syaitan sentiasa berusaha supaya manusia terus tidur sehingga menjadikan manusia lalai, akhirnya mengabaikan tanggungjawab mereka melaksanakan ibadat malam serta solat Subuh pada awal paginya.

Secara khusus, Allah SWT memerintahkan hamba-hamba-Nya menunaikan solat tahajud sebagai ibadat tambahan dan Allah akan menyediakan tempat terpuji di sisi-Nya.

Nabi SAW juga pernah ditanya, pada waktu bila doa manusia lebih didengar oleh Allah? Lalu Baginda menjawab, “Pada waktu tengah malam dan pada waktu akhir setiap solat fardu (sebelum salam).”

Sehubungan itu, bagi memudahkan kita bangun beribadat, Rasulullah SAW menganjurkan supaya berwuduk sebelum tidur.

Abu Hurairah meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Syaitan mengikat bahu kamu ketika tidur dengan tiga ikatan. Setiap ikatan itu diperkuatkan dengan ungkapan (syaitan), ‘Malam masih panjang, tidurlah.’

Jika dia bangun lalu mengingati Allah, satu ikatan akan terlerai, Jika dia berwuduk, maka satu ikatan lain akan terlerai. Jika dia mengerjakan solat, semua ikatan akan terlerai. Akhirnya, dia menjadi segar dan jiwa yang bersih. Jika tidak, dia akan bangun dengan jiwa kotor yang diliputirasa malas.” (Riwayat Bukhari)

Posted in Uncategorized | Leave a Comment »

Kelonggaran situasi mudarat

Posted by epondok di Mac 21, 2020

Oleh Dr Ahmad Sanusi Azmi

SEBAHAGIAN negara Arab mula melaungkan lafaz azan yang sedikit ganjil yang tidak pernah didengari sebahagian besar daripada kita.

Video yang tular di media sosial merekodkan laungan azan dari negara Arab yang ditukar beberapa lafaznya. Pada kebiasaannya, kita biasa mendengar bilal melaungkan ungkapan Hayya ‘Ala Solah (marilah menunaikan solat) dilaungkan. Namun ketika musim wabak ini berlaku, lafaz terbabit ditukar kepada Sollu fi Buyutikum (solatlah di rumah kamu).

Pada hakikatnya, apa yang dilakukan sebahagian masjid
di tanah Arab ini mempunyai sandarannya daripada hadis Nabi. Menurut riwayat al-Bukhari dan Muslim, sahabat pernah mengalami musim sejuk yang luar biasa. Lalu Saidina Abdullah bin Umar bangun melaungkan azan dan di sini perubahan lafaz berlaku. Abdullah menukar lafaz Hayya ‘Ala Solah kepada lafaz Sollu fi Rihalikum (solatlah di rumah atau kenderaan kamu). Beliau lalu menjelaskan kepada yang lain bahawa Rasulullah pernah memberikan arahan supaya ungkapan terbabit diubah. Ini bagi membolehkan solat di rumah masing-masing dalam situasi yang boleh memberikan mudarat kepada manusia.

Dalam hadis yang lain pula Abdullah bin Abbas memberikan petunjuk sama. Cuma lafaz yang digunakan Abdullah bin Abbas sedikit berbeza dengan ungkapan yang dilaungkan Abdullah bin Umar. Andai sekiranya Abdullah bin Umar melaungkan perkataan Sollu Fi Rihalikum, Abdullah bin Abbas pula menggunakan lafaz Sollu Fi Buyutikum (solatlah di rumah kamu). Seperti biasa, tindakan atau cadangan Abdullah bin Abbas ini dipandang aneh oleh sebahagian manusia pada zamannya. Malah, ada yang mempersoalkan perkara ini. Mereka berasa hairan bagaimana lafaz azan ini boleh diubah-ubah? Bagi menjernihkan kekeliruan, Abdullah menjelaskan kepada mereka.

Kata beliau: “Sesungguhnya perkara ini dilakukan oleh seorang yang lebih baik dari diriku (iaitu Rasulullah).”

Jelas di sini bahawa perubahan lafaz azan ketika berlaku sesuatu yang dibimbangi boleh mendatangkan mudarat kepada manusia adalah sesuatu yang pernah dilakukan Rasulullah.

Pergerakan ke masjid dikawal

Bukan sahaja azan, malah beberapa urusan ibadah umat Islam lain turut diberi kelonggaran sekiranya berlaku perkara yang boleh membinasakan umat manusia. Perhimpunan manusia di masjid juga dikawal bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan kaum Muslimin. Solat Jumaat sebagai contohnya adalah satu kewajipan yang tidak boleh ditinggalkan. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Abu Daud, Rasulullah pernah menegaskan bahawa: “Solat Jumaat adalah hak yang wajib ditunaikan oleh umat manusia. Hanya empat golongan yang dikecualikan dari kewajipan ini iaitu golongan hamba, wanita, kanak-kanak dan mereka yang sakit.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Namun, dalam situasi yang mendatangkan kemudaratan kepada manusia, Islam memberikan kelonggaran. Ini kerana memelihara nyawa itu adalah perkara yang sangat utama. Dalam perihal solat Jumaat, al-Imam Ibn Qudamah menegaskan bahawa mereka yang bimbang akan keselamatan diri mereka diberikan keuzuran untuk tidak hadir masjid untuk menunaikan solat Jumaat. Pandangan sama diungkapkan al-Imam al-Mawardi yang menyebutkan bahawa: “Dan di antara perkara yang layak untuk mendapat keuzuran daripada menunaikan solat Jumaat adalah seseorang yang takut akan kemudaratan yang menimpa kehidupannya atau kemudaratan kepada harta yang dijaganya.”

Langkah kawalan dari ke masjid

Perhatikan bagaimana prihatinnya Rasulullah dalam mengawal penularan wabak sehingga Muslim dinasihatkan supaya menunaikan solat di rumah sahaja. Malah, lebih drastik lagi, lafaz azan turut dikemas kini sesuai dengan situasi semasa yang melanda umat Islam. Solat Jumaat yang berstatus wajib juga diberikan kelonggaran dalam situasi tertentu. Langkah kawalan untuk ke masjid ini membuktikan bahawa Islam adalah agama yang sangat praktikal.

Bagi mengawal penyebaran penyakit berjangkit juga, Rasulullah turut pernah menasihati sahabat supaya jangan memasuki kawasan yang dilanda wabak. Mereka yang berada dalam kawasan penularan terbabit dinasihatkan supaya jangan meninggalkan wilayah terbabit. Hal ini bagi memastikan penularan wabak terbabit boleh dikawal. Dalam hadis lain pula, Rasulullah turut menasihatkan supaya binatang ternakan juga dikawal dengan baik. Jangan dicampurkan binatang yang terkena penyakit dengan haiwan yang masih sihat. Sabda Rasulullah: “Janganlah kamu mencampur-adukkan binatang yang sedang menderita ditimpa penyakit dengan haiwan yang masih sihat.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Posted in Uncategorized | Leave a Comment »