Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for the ‘Pondok Sungai Durian’ Category

Madrasah Muhammadiah, Pondok Sungai Durian
Tel. 09-9667071

Rayuan Derma Asrama Pondok Sungai Durian

Posted by epondok di April 24, 2010


PROPOSAL

PEMBINAAN ASRAMA PELAJAR (Lelaki)


Madrasah Muhammadiah

Pondok Sungai Durian 

18000 Kuala Krai 

Kelantan Darul Naim

e-mail: mmpsd@yahoo.com Alamat email ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan Javascript enabled untuk melihatnya

 

مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّئَةُ حَبَّةٍ وَاللّهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاءُ وَاللّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

261. Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh bulir, pada tiap-tiap bulir: seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui. (QS. 2:261)

The likeness of those who spend their wealth in Allah’s way is as the likeness of a grain growing seven ears with a hundred grains in every ear; and Allah multiplies for whom He pleases; and Allah is All-Embracing, All- Knowing.

 

“ Apabila mati seorang anak Adam, maka terputuslah pahala amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaat dengannya atau anak yang soleh yang sentiasa mendoakannya.” (riwayat Muslim).

   

 PENGENALAN PONDOK SUNGAI DURIAN

Pondok Sungai Durian atau nama lengkapnya Madrasah Muhammadiah, Pondok Sungai Durian juga dikenali dengan Pondok Haji Abdul Rahman oleh penduduk setempat. Ia diasaskan oleh Almarhum Tuan Guru Haji Abdul Rahman Bin Sulaiman (1923M-1988M) secara rasminya pada 4 Jun 1958 di Kg. Sungai Durian, Kuala Krai, Kelantan.

Pada asalnya pondok ini mula beroperasi di Bukit Enggong, Guchil, Kuala Krai, pada tahun 1957. Tetapi pada 1958 ianya terpaksa dipindahkan kerana lokasi tersebut tidak sesuai, lebih-lebih lagi dengan bertambahnya bilangan pelajar. Ianya dibina di atas sebidang tanah seluas 4 ekar kepunyaan Tuan Guru Haji Abdul Rahman di Kampung Sungai Durian, Kuala Krai dengan jarak kira-kira 3 kilometer dari bandar Kuala Krai dan 66 kilometer dari bandar Kota Bharu.

Kawasan yang dahulunya hanya 4 ekar, kini telah bertambah kepada 12 ekar hasil pembelian dari jiran-jiran sekitar pondok.

Sekembalinya Tuan Guru Haji Abdul Rahman bin Sulaiman ke Rahmatullah, pentadbiran dan pengurusan pondok diteruskan oleh adiknya Haji Ismail dan isteri Almarhum, Ustazah Hajjah Fatimah binti Sheikh Daud bersama anak-anak Almarhum. Sehingga sekarang terdapat lebih kurang 250 orang pelajar lelaki dan perempuan serta 350 orang dewasa dan warga emas.

SISTEM PENGAJIAN

Pondok Sungai Durian merupakan salah satu pusat pengajian pondok yang menggabungkan di antara dua aliran iaitu secara tradisional dan moden. Kedua-dua aliran ini adalah cetusan pemikiran Almarhum Tuan Guru Haji Abdul Rahman sendiri, walaupun cara ini berbeza dari sistem pondok yang sedia ada. Tujuan Beliau ialah untuk mengatasi masalah pelajar disamping memaju dan memperbaharui pusat pengajian pondok. Sistem pondok trandisional merupakan sistem pengajian kitab-kitab silam oleh para ulama’ terkemuka sama ada dalam bahasa jawi dan arab manakala sistem sekolah (moden) pula menggabungkan sukatan Pondok Sungai Durian sendiri dengan sukatan Yayasan Islam Kelantan.

Secara umumnya, sistem pengajian di Pondok Sungai Durian terbahagi kepada 4 tahap mengikut tahap kemampuan pelajar iaitu:

1)  Kelas Rendah

2)  Kelas Peralihan

3)  Kelas Menengah

4)  Kelas Umum

INFRASTRUKTUR

Di antara kemudahan asas dan infrastruktur PSD ialah:

1.Masjid.

Masjid ini baru sahaja siap pembesaran dan pembinaan semulanya pada tahun 2008. Ia boleh menampung pada satu masa seramai 3,000 orang jemaah. Ia merupakan pusat ilmu dan tempat ibadat di PSD. Masjid tersebut juga menjadi tempat solat Jumaat bagi penduduk Mukim Sungai Durian dan sekitarnya.

2.Bangunan Madrasah (sekolah).

Terdapat dua buah bangunan sekolah tiga tingkat. Salah satunya untuk pelajar lelaki dan satu untuk pelajar perempuan.

3.Bangunan Madrasah lama

Bangunan ini telah dijadikan pejabat, perpustakaan dan dewan makan. Juga terdapat musalla lama sebagai tempat aktiviti pelajar.

4.Penempatan pelajar

Pelajar lelaki tinggal di pondok-pondok kecil dan beberapa buah rumah yang dijadikan asrama. 

Begitu juga pelajar perempuan, mereka ditempatkan di beberapa buah pondok serta beberapa buah rumah yang dijadikan asrama.

Manakala orang-orang tua pula mendiami pondok-pondok secara berkongsi atau sendirian.

KEWANGAN

PSD tidak mempunyai sumber pendapatan atau kewangan yang tetap sebagaimana pusat-pusat pengajian lain. Oleh itu derma ikhlas, bantuan dan sumbangan kewangan dari mana-mana pihak amatlah diperlukan bagi menguruskan pentadbiran pondok dengan lebih tersusun dan cekap lagi.

CADANGAN PROJEK

Membina sebuah asrama tiga tingkat yang melengkapi keperluan semasa dan memberi keselesaan kepada para pelajar. Ini kerana beberapa faktor berikut:

Memandangkan keadaan pondok-pondok yang sedia ada sudah uzur dan tidak teratur serta asrama yang ada pula tidak lengkap dan serba kekurangan.

Bilangan penempatan yang sedia ada tidak dapat menampung bilangan permintaan pelajar pada hari ini.

Kedudukannya yang berteraburan dan tidak tersusun, menyulitkan pihak pentadbiran / disiplin mengadakan kawalan disipilin ke atas pelajar

Kawalan dari sudut keselamatan.

Beberapa aktiviti berkala pada musim cuti untuk pelajar luar juga tidak dapat diadakan disebabkan faktor penempatan.

ANGGARAN KOS

 

Mengikut anggaran kos bagi pembinaan bangunan asrama 3 tingkat sepanjang 105 kaki. Jumlah keluasan keseluruhan ialah 11,133 kaki. (3,711 kaki x 3 tingkat).

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:

Sumbangan dan derma bolehlah disalurkan melalui akaun berikut:

Nama : Madrasah Muhammadiah


No. Akaun : 03-072-01-011983-9.


Bank : Bank Islam Malaysia Berhad (Kuala Krai)

Kerjasama dari semua pihak, kami didahului dengan ucapan terima kasih.

PENASIHAT PROJEK


Ustaz Haji Ahmed Shukri bin Haji Abdul Rahman


H/P: 019-6955960



PENGERUSI PROJEK


Ustaz Dr Haji Abdul Basit bin Haji Abdul Rahman


H/P: 019-9441881


SETIAUSAHA PROJEK


Ustaz Haji Abdul Latiff bin Haji Abdul Rahman


H/P: 019-9565665


BENDAHARI PROJEK


Ustaz Haji Fakhrulrazi bin Haji Abdul Rahman


H/P: 013-9337257

  

LAKARAN PELAN



Posted in Pondok Sungai Durian | Leave a Comment »

Syarat Kemasukan Pondok Sungai Durian

Posted by epondok di September 24, 2009

MURID-MURID DAN SYARAT KEMASUKAN

 

 

 

Bertolak dari situlah jumlah pelajar mula menurun dari 800 ke 400 lebih pada akhir tahun 1989. Pada awal 1990 jumlah pelajar hampir 300, angka ini dapat dipertahankan hingga awal tahun 2000,di mana pada ketika itu bilangan pelajar telah menurun ke angka 250 sehingga tahun 2002. Pada tahun 2002 hingga 2004, bilangan pelajar hanya 200 orang. Dari statistik terbaru, jumlah pelajarnya ialah 270 orang, terdiri dari pelajar lelaki 200 dan pelajar perempuan 70 orang. Selain itu, jumlah kelamin dan warga emas lebih kurang 300 orang

 

Pelajar-pelajar datang dari segenap pelosok negara seperti Terengganu, Kedah, Johor,Selangor, Perak, Kuala Lumpur,Melaka dan negara jiran seperti Thailand. Malah Pondok Sungai Durian juga telah menerima pelajar dari dari negara Singapura dan Kemboja. Kesemua pelajar diwajibkan tinggal di asrama yang telah disediakan oleh pihak pentadbir ataupun pondok-pondok yang  telah didirikan bagi memudahkan bagi mengikuti jadual yang telah disusun.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

  SYARAT KEMASUKAN

 

 

 

Walau bagaimanapun pihak pentadbir telah menetapkan bahawa setiap pelajar yang ingin memasuki Pondok Sungai Durian ini diuji terlebih dahulu sama ada dalam bentuk lisan atau bertulis. Aspek yang ditekankan dalam ujian tersebut ialah kemampuan menguasai al-Quran dan tulisan jawi. Setelah berjaya dalam ujian tersebut, pelajar akan ditempatkan di peringkat yang  sesuai dengan kemampuan yang ditunjukkan.

 

        Hasil penelitian yang dibuat, pelajar yang sedang mengikuti pengajian di sini terbahagi kepada dua katagori utama. Katagori pertama terdiri daripada pelajar-pelajar yang dapat menguasai bahasa Arab dan pernah mendapat pendidikan sekolah agama. Manakala katagori kedua pula ialah pelajar-pelajar yang tidak boleh menguasai bahas Arab dan tidak mempunyai asas mengenainya. Pihak pentadbir telah mengambil inisiatif dengan menwujudkan kelas peralihan  (al-Intiqaliyyah) bagi pelajar yang baru. Setelah itu diadakan ujian pencapaian untuk menentukan tahap kebolehan pelajar berkenaan

 

 

 

 

Kini pihak Madrasah mengadakan syarat-syarat khusus bagi setiap pelajar yang berminat untuk mengikuti pengajian di Pondok Sungai Durian. Kelayakan yang diperlukan untuk mengikuti pengajian di sini ialah sekurang-kuragnya tamat sekolah rendah ataupun sekadar boleh membaca dan menulis dan berumur tidak melebihi 18 tahun ke atas, sekiranya melebihi 18 tahun ke atas akan diterima dengan syarat yang khusus  dan pihak Madrasah akan memantau dalam tempoh dua minggu, sekiranya tidak meragukan pihak Madrasah akan menerimanya sebaagi pelajar rasmi.Apa yang pentingnya ialah kesungguhan pelajar untuk mendalami ilmu dan sanggup mematuhi segala peraturan yang ditetapkan oleh pihak Pondok Sungai Durian.

 

Pondok Sunga Durian mempunyai pelajar yang terdiri dari lelaki dan perempuan. Pada peringkat awal penubuhan hanya seramai 40 orang. Pada tahun 1988 jumlah pelajar menjangkau angka 800 orang, Setelah Tuan Guru meninggal dunia ianya diambil alih oleh adiknya Haji Ismail.Pada ketika itu Pondok Sungai Durian menghadapi beberapa masalah, yang paling ketara pelajar-pelajar mula berhijrah ke tempat lain, sebahagiannya ke Lubuk Tapah Pasir Mas dan sebahagian lagi ke Pondok Pasir Tumbuh  dengan alasan bahawa di sana masih ada Tuan Guru yang berwibawa.

Posted in Pondok Sungai Durian | 28 Comments »

Majlis Perasmian Perletakan Batu Asas Asrama Pondok Sungai Durian

Posted by epondok di Julai 15, 2009

 

 
Majlis Perasmian Perletakan Batu Asas Asrama pondok sungai durian (PSD).
 
Insya’Allah, Akan disempurkan Oleh:
 

 YAB Tuan Guru Dato’ Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Menteri Besar Kelantan.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Pada: Hari Khamis. 23 Rejab 1430H Bersamaan 16 Julai 2009.
Tempat: Pondok Sungai Durian.
Jam: 11 Pagi.Semua dijemput Hadir. 

 

2- Majlis Perjumpaan Ibu Bapa dan Guru PSD

 

 

 

 

 

 

 

 Pada: Hari Khamis. 23 Rejab 1430H.
 Jam: 2.30 Ptg.
 Tempat: Dewan Sekolah PSD.

 

 

 

 

 

Posted in Pondok Sungai Durian | Leave a Comment »

Ceramah Maulidurrasul di Pondok Sungai Durian

Posted by epondok di Mac 7, 2009

Sempena sambutan Maulidurrasul s.a.w 1430H maka pihak Pondok Sungai Durian akan mengadakan suatu majlis ceramah umum bermula lepas solat Maghrib bertempat di Masjid pondok pada 14 Rabil Awwal 1430H bersamaan 11 Mac 2009 iaitu Rabu malam Khamis.Penceramah jemputan pada kali ini ialah Ustaz Hj Saibon bin Ismail pegawai Bahagian Dakwah Jabatan hal Ehwal Agama Islam Kelantan

Semua dijemput hadir dalam menyerikan lagi majlis ini

Posted in Pondok Sungai Durian | Leave a Comment »

Pondok Sungai Durian perkenal pendidikan moden

Posted by epondok di Oktober 18, 2008

Oleh Hasliza Hassan

Sistem tradisional, sukatan persekolahan YIK, teras pembelajaran lahir cendekiawan

SEBUT saja pondok terbayang rumah kecil beratap rumbia macam zaman dulu dengan kemudahan yang terhad. Begitu juga dengan pondok tempat pengajian ilmu agama, persepsi sama diberikan terutama dari segi infrastruktur.

Hakikatnya, pengajian pondok kini sudah melangkah ke fasa baru apabila sistem pendidikan serta kemudahan disediakan walaupun masih di belakang sistem sekolah berasrama penuh lain tetapi usaha dilakukan membolehkan pusat pengajian itu hampir menyamai sekolah asrama.

 

 

Contohnya, Pondok Sungai Durian (PSD) di Kampung Sungai Durian, Kuala Krai yang baru menyambut Jubli Emas penubuhannya 4 Jun lalu. Daripada pondok berkonsepkan tradisional, Pondok Sungai Durian atau nama lengkapnya Madrasah Muhammadiah Pondok Sungai Durian kini bertukar wajah.Penasihat PSD, Dr Abdul Basit Abdul Rahman berkata, selaras perubahan masa dan keperluan pelajar, sudah tiba masanya sistem pondok yang ada sekarang ini diselaraskan dari aspek kurikulum dan sistem pelajaran.

Katanya, sistem lama seperti pengajian kitab dari kulit ke kulit masih perlu diteruskan tetapi menggunakan pendekatan baru dengan memperkenalkan peperiksaan bagi membolehkan pelajar melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

 

 

“Sistem pondok tradisional ialah mengaji kitab lama dari kulit ke kulit tetapi sekarang ini tanpa sijil pelajar tidak boleh menyambung pengajian.

Oleh itu, pengajian kitab lama perlu ada ujian atau peperiksaan untuk mendapatkan sijil.”Sambutan kepada pengajian pondok tidak pernah ketandusan. Maknanya masyarakat memang mengiktiraf sistem pondok dan kerana itu saya sarankan kurikulum dan sistem pendidikan di pondok diselaraskan bagi kepentingan pelajar,” katanya.

Beliau berkata, PSD melaksanakan dua sistem pembelajaran iaitu sistem pondok cara tradisional dan sistem persekolahan mengikut sukatan Yayasan Islam Kelantan (YIK) bermula 8 pagi hingga 1 tengah hari.

Sistem pendidikan tradisional diberi perhatian penting oleh pentadbir PSD kerana sistem itu berkesan untuk melahirkan generasi pelapis yang berwibawa. Sistem itu mengambil kira beberapa faktor antaranya teks pengajian daripada kitab silam dihasilkan ulama di nusantara atau ulama Timur Tengah.

 

 

Kaedah pembelajaran tradisional ialah membaca kitab dari awal hingga akhir pada setiap mata pelajaran dan setiap pelajar diwajibkan menghafal matan serta mesti memperdengarkan kepada guru masing-masing.Pengajian mengikut sistem pondok biasanya diadakan selepas solat lima waktu setiap hari mengikut jadualnya tersendiri sebagaimana sistem persekolahan. Tetapi ia lebih berbentuk umum kerana pengajian diadakan dalam masjid pondok.

Cara pengajiannya, murid-murid akan membentuk halaqat (bulatan) mengikut pelajaran yang diajar dengan bimbingan seorang guru, atau murid akan mengikut pengajian secara umum dengan seorang guru yang mengajar berpandukan kitab tertentu.

Dr Abdul Basit berkata, sistem pendidikan moden yang diperkenalkan PSD berjalan selama lima hari seminggu bermula dari Ahad hingga Khamis. Setiap hari kelas bermula pada jam 8 pagi dan berakhir jam 1 tengah hari.

Katanya, pelajar akan mengikuti tujuh mata pelajaran dalam kelas menggunakan sukatan pelajaran disediakan YIK dan pihak PSD juga membuat sedikit tambahan dalam sukatan berkenaan untuk mengimbanginya dengan sukatan pondok.

Secara keseluruhannya, mata pelajaran yang diajar di sekolah itu dibahagikan kepada tiga kategori umum iaitu Bahasa Arab, bahagian agama dan am.

Pelajar PSD akan menduduki tiga peperiksaan dalam setahun kerana PSD juga mengeluarkan sijil kepada pelajar yang berjaya dalam peperiksaan akhir sesi pengajian (Shahadah Thanawiah). Di samping itu, pelajar tingkatan empat diwajibkan menduduki peperiksaan Sijil Menengah Agama (SMU) yang dikelolakan YIK.

“Cuma untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kita akan minta pelajar mendudukinya secara persendirian. Syukur, kebanyakan pelajar PSD yang mengambil peperiksaan SPM secara persendirian lulus dengan baik,” katanya.

Beliau berkata, sambutan terhadap pelajar pondok tidak pernah ketandusan dan itu adalah bukti jelas menunjukkan orang ramai masih percaya terhadap sistem pendidikan yang dijalankan di pondok di seluruh negara.

Permintaan terhadap graduan lulusan pondok untuk berkhidmat sebagai imam, pendakwah dan guru agama membolehkan pelajar sekolah pondok mengembangkan kerjaya sebaik mereka menamatkan pengajian.

 

 

PSD menerima pelajar berusia 13 tahun hingga 15 tahun yang berhajat menimba ilmu pengetahuan di sana.

Hingga kini, ada 600 pelajar di PSD dan 350 daripadanya adalah pelajar umum.Mengimbau sejarah penubuhan PSD yang diasaskan Allahyarham Abdul Rahman Sulaiman pada 4 Jun 1958, pondok binaan kayu itu awalnya dibina dengan bantuan penduduk kampung serta kakitangan Jabatan Perhutanan tanpa sebarang bayaran.

Asalnya pondok itu mula beroperasi di Bukit Enggong, Guchil, Kuala Krai tetapi kemudian terpaksa dipindahkan ke Kampung Sungai Durian kerana lokasi itu tidak sesuai dengan sistem pengajian pondok, lebih-lebih lagi dengan bilangan pelajar semakin bertambah.

Pada peringkat awalnya, PSD hanya terdiri daripada sebuah bangunan dua tingkat dengan kemudahan asas dua ruang pejabat dan perpustakaan serta lapan bilik darjah dan kantin. Kini, PSD dilengkapi kemudahan asas yang boleh menampung keperluan pelajar dan penghuninya.

Kawasan yang dahulunya hanya empat ekar, kini bertambah 12 ekar hasil pembelian tanah daripada jiran sekitar pondok. Sekembalinya Abdul Rahman Sulaiman ke rahmatullah, pentadbiran PSD diteruskan oleh generasi kedua (adik serta anak-menantu Allahyarham).

Selepas 50 tahun beroperasi, PSD melangkah maju ke depan dan mampu berdiri sebagai salah satu pusat pengajian tradisional yang masih bertahan sehingga sekarang. PSD turut menjalinkan hubungan dengan institusi pendidikan lain antaranya Kolej Sultan Ismail Petra, Kolej Darul Ulum di Kedah dan Universiti Al-Madinah Antarabangsa (Mediu) di Shah Alam.

Dr Abdul Basit berkata, sistem pendidikan pondok sekarang ini melengkapi kekurangan yang ada terutama bagi mereka yang ingin belajar kitab dan mendalami ilmu agama dalam suasana lebih sistematik serta selesa.

Justeru katanya, PSD sentiasa berusaha menyediakan kemudahan infrastruktur seperti menyediakan kemudahan asas bagi pelajar setanding sekolah berasrama lain yang mendapat bantuan kerajaan.

“Masih ada yang menggunakan pondok lama kerana asrama masih tidak mencukupi. Bagaimanapun, PSD baru melancarkan dana untuk menambah bangunan memandangkan pondok lama memang tidak sesuai,” katanya.

 

 

 

“petikan Berita Harian bertarikh : Isnin, 06 Oktober 2008/6 Syawal 1429”

Posted in Pondok Sungai Durian | 1 Comment »

Peraturan Pondok Sungai Durian

Posted by epondok di Oktober 10, 2008

DISIPLIN DAN PERATURAN

 

Bagi memastikan keadaan pelajar yang ramai terkawal dan pembelajaran berjalan lancar, beberapa peraturan telah diadakan. Semua pelajar mestilah mematuhi peraturan tersebut. Setiap kesalahan yang dilakukan dengan sengaja akan dikenakan tindakan yang telah ditetapkan oleh pihak pentadbir.

 

Peraturan ini meliputi bidang ibadat, di mana setiap penghuni Pondok ini sama ada tua, muda, lelaki atau perempuan diwajibkan hadir sembahyang berjemaah lima waktu di masjid. Begitu juga cara berpakaian, disiplin dalam pergaulan dan perhubungan dengan masyarakat luar. Kesemua disiplin-disiplin ini adalah berlandaskan ajaran Islam seperti berpakaian menutup aurat,tidak ada percampuran antara lelaki dan permpuan dalam semua aktiviti.

 

 

 

    PAKAIAN SERAGAM

 

 

 

Sesuai dengan keadaan Pondok Sungai Durian sebagai sebuah Pondok / Madrasah Muhammadiah yang ditadbir secara bersendian, semestinya ia mempunyai identiti yang tersendiri dan bercirikan Islam. Ini jelas dalam pakaian pelajar-pelajarnya. Semua pelajar diwajibkan mengenakan pakaian seragam sewaktu sesi persekolahan. Pelajar lelaki diwajibkan memakai jubah dan seluar putih dan berkopiah putih, manakala bagi pelajar perempuan pula hendaklah memakai jubah warna biru muda dan bertudung putih. Kesemua peraturan yang digariskan ini adalah bertepatan dengan ciri-ciri pakaian dan pendidikan yang disarankan oleh Islam

 

Posted in Pondok Sungai Durian | Leave a Comment »

Pengajian Umumi Pondok Sungai Durian

Posted by epondok di Oktober 9, 2008

JADUAL PENGAJIAN UMUM  (MASJID AL RAHMAN, PONDOK SUNGAI DURIAN)

 

HARI

SELEPAS SOLAT SUBUH

SELEPAS SOLAT ASAR

SELEPAS SOLAT MAGHRIB

SELEPAS SOLAT ISYAK

 

SABTU

Tafsir An Nasafi

Al Iqna’ (fiqh)

 

 

Pelita Penuntut

(Ust. Adam)

Sunan Abu Daud

Ihya’

(TG Haji Ismail)

 

 

AHAD

Tafsir An Nasafi

Al Iqna’ (fiqh)

 

Kifayah

Al Mubtadi

Al Kufrawi (Nahu)

Aqidah An Najin

(Ust. Zainudin)

Tafsir

Al Baidhawi

Al Qalyubi (Fiqh)

(TG Haji Ismail)

 

ISNIN

Tafsir An Nasafi

Al Iqna’ (fiqh)

(TG Haji Ismail)

Musolli

Al Makudi (Nahu)

Ad Dur Al Thamin

(Ust. Yahya)

Latihan Syarahan

 

 

SELASA

Zikir pagi dan petang

 

Sofwah At Tafasir

 

Masa’il

Al Muhtadi

 

Al Makudi (Nahu)

Kifayah

Al Mubtadi

(Ust. Abd. Latiff)

 

 

RABU

Zikir pagi dan petang

Sofwah At Tafasir

 

Safinah Al Naja

 

Mukhtasar (nahu)

Hidayah

As Salikin

(Ust.Abdul Basit )

 

Mukhtasar Sahih Al Bukhari

(Ust.Abdul Basit )

 

 

KHAMIS

Zikir pagi dan petang

Sofwah At Tafasir

(Ust.Abdul Basit )

 

Perhatian Pengajian selepas asar oleh TG haji ismail

Baca Al Qur’an

Fiqh Al Sirah

(Al Siba’i)

(Ust Abd Latiff)

 

 

 

 

 

 

JUMAAT

Tafsir Al Quran/

Terjemahan

Al Hikam

(TG Haji Ismail)

 

Al Baidhawi

(melayu)

Sair As Salikin 1

(TG Haji Ismail)

Riadh As Salihin

(Ust.Abdul Basit )

Tafsir Pimpinan

 Ar Rahman

(Ust Abd Latiff)

 

Perhatian

Kuliah di sampaikan secara giliran setiap minggu

 

Posted in Pondok Sungai Durian | Leave a Comment »

Tuan Guru Hj.Ab Rahman Pondok Sungai Durian

Posted by epondok di Julai 16, 2008

Kertas kerja seminar jubli emas ini disedia dan dibentang oleh:

Ustaz Zainuddin Bin Che Seman (Abu Ammar) – M.A. UM

( Menantu Pengasas Pondok Sungai Durian )

Pengulas:

Ustaz Haji Yahya Bin Mohammad Razi 

Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor – KUIS

بسم الله الرحمن الرحيم

 الحمد لله الذي هدانا لخدمة دينه , والتعريف بشريعته , وأفضل الصلاة وأتمّ التسليم على سيدنا محمد وآله وصحبه أجمعين

 

PENDAHULUAN 

 

Kertas ini dikemukakan bertujuan untuk mengenengahkan sejarah dan pengorbanan seorang tokoh yang terbukti berjaya memimpin dan memandu masyarakat ke arah kecemerlangan  kehidupan  mereka dalam aspek keilmuan  dan  penghayatan  ajaran Islam. Tokoh yang dimaksudkan ialah: Tuan Guru Haji Abdul Rahman bin Sulaiman pengasas Pondok Sungai Durian Kuala Krai Kelantan.Tuan Guru adalah seorang tokoh yang dikenali dan sangat disegani oleh sebahagian besar masyarakat di negeri ini. Seorang yang mahir dalam  pelbagai cabang dan bidang ilmu Islam. Bersifat tabah dan sabar mengahadapi pelbagai mehnah dan halangan. Beliau cukup bersemangat menjalankan tugas dan tanggungjawab mengubah pemikiran jumud masyarakat meskipun terpaksa mengharungi pelbagai kesulitan dan kepayahan. Hasilnya, dapat disaksikan bahawa landskap dan bentuk bumi atau perubahan minda masyarakat sekitar khususnya telah berjaya diubah menjadi bersih dan ceria dengan amalan-amalan yang menjurus ke arah kebaikan dan kebajikan.Di samping itu Tuan Guru melalui institusi  pengajian pondok yang diasas dan dipertahankannya maka lahirlah ramai tokoh-tokoh agama dan ilmuan Islam yang berjaya dalam pelbagai bidang tugas dan kerjaya, bukan sahaja  bidang agama, malah politik dan juga perniagaan.

  

 

SEJARAH HIDUP TUAN GURU HAJI ABDUL RAHMAN  

 

1.         KETURUNAN DAN LATAR BELAKANG KELUARGA

 

Nama penuh beliau Tuan Guru Haji Abdul Rahman bin Sulaiman. Beliau lebih dikenali dengan panggilan “Ayah Haji”. Ayahnya Sulaiman Bin Kecik Bin Isa Bin Che Had. Emaknya Che Mek @ Salamah binti Hamat. Perkongsian hidup antara Lebai Sulaiman dengan isterinya, mereka dianugerahkan sembilan orang cahaya mata. Tuan Guru merupakan anak ketiga daripada sembilan adik beradik. Beliau dilahirkan di kampung Kenor, jajahan Kuala Krai, Kelantan pada tahun 1923M. Lebai Sulaiman iaitu ayah kepada Tuan Guru Haji Abdul Rahman berasal dari Kampung Keluat. Ia ter1etak di seberang Sungai Kelantan bersetentangan dengan Tangga Krai yang ada sekarang. Beliau dan keluarganya telah berpindah ke Kampung Guchil Lama, Kuala Krai. Tidak lama selepas itu beliau berpindah ke Kampung Sentul Lima, Machang. Dan kemudiannya beliau bersama keluarganya berpindah pula ke Kampung Dendang, Ketereh. Beliau meninggal dunia dan dikebumikan di sana. Beliau seorang tokoh agama yang berwibawa dan seorang qari yang baik bacaannya yang lebih dikenali dengan pangilan Tok Lebai Pak Da Sulaiman, Beliau pernah mendapat didikan agama secara formal di institusi pondok di Patani. Beliau juga berkebolehan membaca kitab-kitab jawi tetapi tidak boleh menguasai bahasa Arab. Semasa hayatnya setiap kali berpindah dan memulakan kehidupan di tempat baru, beliau mendirikan sebuah balaisah.

 

2.         PERKAHWINAN

 

Tuan Guru Haji Abdul Rahman mengakhiri zaman bujangnya ketika berusia 33 tahun apabila melangsungkan perkahwinan dengan salah seorang daripada anak Tok Guru beliau iaitu Syeikh Daud al-Kalantani pada 11 Syawal 1375 bersamaan 23 Mei 1956. Semasa Beliau sedang menuntut di Mekah.

 

3.         LATAR BELAKANG PENDIDIKAN 

 

Pendidikan masyarakat Kelantan pada dekad-dekad sebelum merdeka lebih tertumpu kepada pengajian Islam secara tradisional. Ukuran kealiman seseorang itu dilihat pada tempoh pengajian, nama guru-gurunya dan kitab-kitab yang dipelajari. Boleh dikatakan kemuncak pengajian Islam pada masa itu adalah di Mekah.

 ü  Pengajian Di Tanah Air            

Pada peringkat awal Tuan Guru belajar mengaji al-Qur’an dengan ayahnya sendiri. Pada tahun 1934 beliau belajar di Sekolah Melayu Sultan Yahya Petra, Kuala Krai hingga tamat Darjah Empat. Dengan pencapaian akademik beliau yang cemerlang, beliau telah terpilih ke Maktab Perguruan Sultan Idris (Sultan Idris Training College) STIC, Tanjung Malim, Perak untuk menjadi guru pelatih, tetapi tawaran itu tidak mendapat restu daripada ayahnya. Pada tanggal 5hb. Julai 1938, Tuan Guru telah dihantar oleh bapanya untuk belajar di Pondok Kampung Awah, Paloh Rawa, Machang. Pondok ini ditadbirkan oleh Tuan Guru Haji Abdul Jalal bin Abdul Raof dan dibantu oleh Haji Hussain bin Abdul Samad. Tuan Guru telah mempelajari dan mendalami disiplin ilmu nahu. Kitab nahu yang beliau pelajari ialah متن الآجروميةمتن القطر , متمة على متن الآجرومية , متن الألفية dan lain-lain lagi. Berkat kesungguhan dan kegigihan, Tuan Guru mampu menguasai pelajaran nahu dengan baik dan boleh berbahasa Arab. Beliau juga mempelajari kitab-kitab Fekah seperti Kitab مطلع البدرين, سبيل المهتدىdan lain-lain lagi. Setelah belajar di Pondok Paloh Rawa, Tuan Guru meneruskan pengajiannya di Pondok Kerawang, Pulau Chondong. Di situ beliau berguru dengan Tuan Guru Haji Ahmad bin Abdul Kadir selama enam bulan sahaja. Selepas itu Tuan Guru menyambungkan pengajiannya ke Pondok Kemuning, Machang. Di situ beliau berguru dengan Tuan Guru Haji Wan Yusuff bin Che’ Tengah selama setahun, kemudian meneruskan pelajaran di Pondok But, Kadok, Kota Bharu. Di sana beliau menerima pendidikan agama dengan Tuan Guru Haji Mohd. Nor bin Abdullah. Pada tahun 1949 pula beliau menyambung pengajiannya di Pondok Manabi‘ul Ulum, di Penanti, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Di sana beliau menerima pendidikan dari seorang ulama terkenal iaitu Tuan Guru Haji Othman bin Jalaludin. Selama dua tahun berada di Pondok Manabi`ul Ulum, Bukit Mertajam, beliau mengambil keputusan untuk menyambung pengajian yang lebih tinggi di Mekah 

 ü  Pengajian Di Tanah Suci ( 1951-1957M) 

Pada tahun 1951M ketika Tuan Guru Haji Abdul Rahman berusia 27 tahun beliau telah pergi ke Mekah dan belajar di Madrasah Dar a1-Ulum al-Diniyyah dan di Masjid al-Haram selama tujuh tahun. Di sana beliau mendalami berbagai bidang ilmu termasuk Syariah, Usuluddin, Tasawwuf, bahasa Arab dan Qira’ah al-Sab‘ah. Semasa belajar di Masjid al-Haram beliau sempat berguru dengan beberapa tokoh ulama terkemuka pada waktu itu. Di antara ilmu dan kitab-kitab yang dipelajarinya di Mekah ialah:

 تفسير ( تفسيرالنسفيتفسيرالخازن, تفسير الجلالين , الصاوي على الجلالين ) حديث (صحيح البخاري, صحيح المسلم , سنن الترمذي , سنن أبي داؤد , سنن النسائي , سنن ابن ماجة)  توحيد ( كفاية العوام  , البيجوري , الدسوقي) فقة  ( حاشيتان للقليوبي وعميرة , بداية الهدايةأذكار النوويإعانة  الطالبين , البجيرمي على الخطيبالباجورى على ابي قاسم )  أصول الفقة  ( التمهيد فى تخريج الفروع على الأصولالمستصفى من علم الأصول , الإحكام في أصول الأحكام ) القواعد الفقهية   ( الفوائد الجنية حاشية المواهب السنية على الفوائد البهية ) منطق ( إيضاح المبهم من معان سلم المنطق , حاشية الباجوري على متن السلمتحرير القواعد المنطقيةالتهذيب شرح على تهذيب المنطق والكلام) بلاغة ( التجريد على مختصر التفتازانيالجوهر المكنون , حاشية الشيخ أحمد بن محمد الصاوي على تحفة الإخوان فى علم البيان ) نحو ( ابن عقيل , الأشمونى ) علم الفلك  ( مختصر المهدن فى معرفة التواريخ الثلاثتصوف ( إحياء علوم الدين , منهاج العابدين ) فرائض ( النفحة الحسنية على التحفة السنية في على الفرائض , شرح حاشية على شرح متن الرحبية )  القراءآت ( المكرر فيما تواتر من القراءآت السبع وتحرر

 

ü  Guru-guru Tuan Guru Semasa Di Mekah 

o    Sheikh Muhammad Daud Bin Sulaiman al-Kalantani

o    Sheikh Muhammad Mukhtar al-Kadiri al-Indonesi

o    Syeikh Abdul Kadir Abdul Mutalib al-Mandili al-Indonesi

o    Sheikh Muhammad Yasin Isa al-Fadani al-Makkio    Sheikh Pak Da ‘eil al-Fatanio    Sheikh Zakaria Bilal 

o    Sheikh Hassan Muhammad al-Masysyat

o    Sheikh Hasan al-Yamanio    Sheikh Sayyid Abbas bin ‘Alawi al-Maliki

o    Sheikh al-‘Arabi al-Idrisi al-Maghribi

o    Sheikh Muhammad Amin al-Kutbi

o    Sheikh Noor Saif al-Bahri 

 

4.             SIFAT PERIBADI DAN KEWIBAWAANNYA

 

ü  Gigih dan tabah 

Tuan Guru adalah seorang ulama dan pendakwah yang berjiwa besar, beliau sanggup memenuhi jemputan masyarakat untuk berceramah di merata pelusuk di negeri Kelantan dan di beberapa tempat di negeri Terengganu terutama di daerah-daerah sempadan. Dengan hanya menunggang sebuah motosikal jenama Honda 90 c.c. sebagai kenderaan utamanya. Sekiranya tempat itu jauh beliau terpaksa bermalam di sana dan kalau berhampiran beliau pulang larut malam. 

ü  Tegas Dengan Pendapat Dan Pendiriannya 

Tuan Guru terkenal dengan sifat tegas dan komited dengan pendapat dan pendiriannya terutama yang bersabit dengan hukum. Beliau tidak bertoleransi dengan pendapat yang bercanggah dengan pendapat beliau. Media eletronik seperti televisyen dan radio adalah ditegah dan dilarang sama sekali ditonton dan didengar para pelajar dan semua komuniti yang berada di pondok beliau. Dan sesiapa yang ingkar arahan peraturan itu akan diambil tindakan yang tegas, seperti diberhentikan persekolahannya bagi pelajar, bagi penghuni pondok pula mereka tidak dibenarkan tinggal di sini lagi. Beliau tegas dalam sesuatu hukum, seperti hukum menghisap rokok bagi beliau adalah haram berdasarkan nas-nas dan analogi di segi risiko kesihatan yang dialami penghisap rokok tersebut, sebagaimana diakui oleh pakar-pakar perubatan. Begitu juga dengan pendidikan anak-anaknya. Semua anak-anak beliau mendapat pendidikan awal bermula dari sekolah rendah hingga ke peringkat thānawi di Madrasah Muhammadiah, dan menyambung pelajaran mereka di Arab Saudi iaitu di Pusat Pendidikan Tinggi di Mekah dan di Madinah. Dengan keyakinan beliau semua anak-anak telah berjaya hingga peringkat Doktor Falsafah, sarjana dan sarjana muda. Beliau percaya dan yakin bahawa sesungguhnya pendidikan Islam sahajalah yang mampu membina tamadun manusia samada duniawi dan ukhrawi. 

ü  Tawaduk dan kuat beribadat 

Kebanyakan orang yang mengenali Tuan Guru begitu juga anak-anak muridnya mengatakan beliau mempunyai sifat yang baik, tawaduk dan lembut ketika bercakap, beliau sering mengunakan kata-kata yang baik. Begitu juga terhadap anak-anak dan isteri. Kewibawaannya menyebabkan orang yang mengenali beliau merasa gerun dan hormat. Beliau tidak pernah menggunakan kata-kata yang kasar terhadap ahli keluarga dan sesiapa, apalagi memukul mereka, kecuali membabitkan undang-undang PSD. Dengan dihiasi sifat-sifat tersebut menyebabkan beliau amat dihormati dan disegani oleh masyarakat.  Sebagai seorang ulama, beliau tidak suka menghabiskan masa dengan begitu saja. Setiap detik dari hidupnya dipenuhi dengan ibadat sama ada bersolat sunat, mentalaah kitab-kitab, berfikir mengenai permasalahan agama. Beliau amat mengambil berat mengenai waktu lapang. Pada waktu malam beliau sering bangun untuk bersolat tahajud, membaca al-Quran dan berwirid. Menjadi kebiasaan beliau bangun lebih awal sebelum subuh. Beliau juga tidak takabbur dengan gelaran yang dimilikinya. Bahkan beliau lebih suka kalau dipanggil “Ayah Haji”. Beliau mempunyai hati yang tabah dalam mengharungi liku-liku hidup. Kesulitan hidup sepanjang menuntut ilmu di pondok dan di tanah suci banyak mengajar beliau untuk meneruskan hidup bersama keluarga. Tuan Guru seorang ulama‘ yang amat mencintai ilmu pengetahuan. Keseluruhan masa mudanya dihabiskan untuk mendalami ilmu pengetahuan dari para ulama‘ di Kelantan dan Mekah. Soal mendapat ganjaran kebendaan dari ilmu tidak pernah difikirkannya. Beliau tidak materialis. Bahkan segala hartanya diwakafkan kepada pondok. Kemuliaan sifat dan ketinggian peribadi Allahyarham menyebabkan beliau dihormati hingga kini walaupun 20 tahun beliau meninggalkan dunia. Beribadat adalah satu-satunya cara sebagai manifestasi ketaatan dan kepatuhan manusia kepada Allah Penciptanya. Kualiti ibadat itu berkait rapat dengan pendidikan dan ilmu agama yang dipelajari dan diamalkan oleh individu dalam kehidupan sehariannya. Di samping ibadat solat dan membaca al-Quran Tuan Guru banyak mengamalkan hizib dan selawat, beliau tidak mengikut mana-mana tariqat, kerana gurunya Sheikh Kadir Abdul al-Mandili memberitahu bahawa tidak ada guru mursyid sekarang. Beliau mengamal hizib yang diterima dari gurunya. 

ü  Pemurah Dan Dermawan            

Sifat murah dan dermawan beliau dapat dirasai dan diakui sendiri oleh sebahagian besar anak muridnya. Sebagai contoh, salah seorang murid tuanya telah menerima sumbangan yang agak besar dari Tuan Guru untuk menjalankan perniagaan sebagai sumber pendapatan bagi menyara hidup keluarga yang sebelum ini mempunyai pendapatan yang tidak seberapa. Begitu juga beliau dengan ringan hati memberi  sumbangan  derma dalam jumlah yang agak besar kepada guru-guru dan kakitangan PSD bagi membuka dan  mengurus sebuah kedai makan, di mana hasil dan keuntungan yang diperolehi dari jualan tersebut akan dibahagi-bahagikan kepada semua ustaz dan tenaga kerja  PSD sekitar pertengahan tahun 80an. 

 

5.         PEKERJAAN 

 

Kerjaya beliau adalah guru dan sekaligus pentadbir Madrasah Muhammadiah sejak sekolah itu dibuka pada tahun 1958. Beliau menumpukan sepenuh perhatian untuk memaju dan membangunkan sekolah Itu. Madrasah itu ditadbir oleh sebuah jawatankuasa dan beliau sendiri mempengerusikannya. Organisasi ini mempunyai jawatankuasa kecil bagi mengemaskinikan jentera pentadbiran. Tuan Guru juga pernah ditawarkan jawatan Kadi dan Mufti Kerajaan Negeri Kelantan, tetapi kedua-dua jawatan itu ditolak kerana ingin menumpukan sepenuh perhatian ke atas tugas murninya terhadap sekolah beliau. 

 

6.         PENGHARGAAN DAN KURNIAAN 

 

Jasa dan bakti Tuan Guru yang dicurahkan sekian lama dalam bidang pendidikan dan dakwah Islamiah telah mendapat penghormatan yang tinggi oleh baginda Sultan Kelantan. Oleh itu beliau telah menerima Pingat Bakti (P.B) dari Sultan Yahya Petra, Sultan Kelantan pada l0 Julai 1968 bersamaan 14hb. Rabiulawal 1388. Semasa hayatnya beliau pernah dilantik menjadi ahli anggota ulama‘ Majlis Ugama Islam Kelantan dan merupakan salah seorang ahli jawatankuasa pengasas penubuhan Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan di Nilam Puri pada tahun 1965. Pada 17 Jamadil Akhir 1422 bersamaan 15 September 2001 dikurniakan anugerah Jasamu Dikenang oleh PAS negeri Kelantan sempena sambutan Jubli Emas peringkat negeri. Kemudian pada 23 Rabiulawal 1428 bersamaan 11 April 2007 pula Allayarham Tuan Guru telah diberi penghormatan oleh Majlis Daerah Kuala Krai (MDKK) dengan mengisytiharkan Jalan  Utama Sungai Durian – Chenulang  dengan nama Jalan Tuan Guru Haji Abdul Rahman. 

 

 

7.         PEMIDATO YANG BERWIBAWA BERKARISMATIK 

 

 

Bakat pidato yang ada pada beliau dititip dan dicanai semenjak di bangku pengajian suatu ketika dahulu digilap dari masa ke semasa. Justeru itu tidak hairanlah Tuan Guru tampil sebagai seorang pemidato yang berwibawa dan berkarismatik mewakili zamannya. Tuan Guru juga menggunakan peluang ini untuk mendidik masyarakat melalui media pidato dan ceramahnya. Para hadirin yang mendengar ceramah yang disampaikan oleh beliau tidak terasa bosan dan jemu walaupun mendengar berjam-jam lamanya. Nada dan gaya yang spontan serta diselitkan dengan sedikit jenaka berjaya memikat hati para penonton. Ceramah beliau banyak berkisar mengenai sirah nabi Muhammad (s.a.w.) sebagai teladan. Di samping itu beliau mengkritik isu-isu semasa yang berlaku dalam masyarakat yang bercanggah dan tidak menepati kehendak Islam. Keadaan sosial, ekonomi dan politik menjadi topik utama dalam ucapan beliau. Beliau bijak memanipulasi isu-isu semasa dan adat tradisi yang masih menjadi amalan masyarakat walaupun ternyata ia bertentangan dengan roh Islam. Meskipun perkara itu menyentuh sensitiviti masyarakat tempatan. Tuan Guru mewujudkan ko-kurikulum di madrasah beliau dan salah satu subjek dalam ko-kurikulum tersebut ialah bidang pidato dan debat. Beliau mendedahkan para pelajar method seni pidato dan debat secara teori dan praktikal.  

 

8.             PENTADBIR YANG CEKAP 

 

Tuan Guru merupakan seorang pentadbir yang hebat dan cemerlang, kreatif dan berwawasan. Beliau bertanggung jawab di atas pentadbiran dan pengurusan madrasah sepenuhnya. Pada awal penubuhan sekolah dahulu hanya terdapat sebuah bangunan dengan dua bilik darjah sahaja dan tenaga pengajarnya cuma dua orang iaitu Tuan Guru sendiri dan saudaranya Haji Ismail. Namun beberapa tahun kemudian kemajuan dan pembangunan sekolah semakin dinamik dan progresif, sebuah masjid yang menjadi mercu tanda sebuah institusi pengajian agama berdiri megah mengisi ruang landskap madrasah itu dan sebuah bangunan sekolah tiga tingkat turut dibina. Beliau berjaya meletakkan imej dan prestasi PSD setanding dengan institusi- institusi pondok lain yang terdapat di negeri Kelantan. Reputasi beliau di segi pentadbiran dan pengurusan adalah hebat dan cemerlang kerana beliau sendiri seorang yang proaktif. Beliau sentiasa memikirkan cara yang terbaik untuk memajukan madrasah baik di segi pembangunan fizikal mahupun di segi spiritual. Maka tidak hairanlah pondok beliau menjadi pilihan ibubapa untuk menghantar anak-anak mereka belajar agama. Para pelajar bukan sahaja dan negeri Kelantan bahkan ada pelajar daripada negeri-negeri lain di Semenanjung termasuk Sabah dan Sarawak. Dan juga pelajar-pelajar daripada negara jiran iaitu Singapura, Thailand dan Kemboja. 

 

9.         BERKEBOLEHAN DALAM BIDANG SENIBINA 

 

 

Beliau mendapat pendidikan formal dalam bidang senibina ketika belajar di Masjid al-Haram Mekah. Kebetulan pada masa itu masjid berkenaan sedang dalam proses pembinaan semula. Dengan berbekalkan kemahiran dalam bidang senibina itulah yang banyak membantu beliau dalam mereka bentuk bangunan masjid dan bangunan Madrasah Muhammadiah yang berdiri tegak masa kini. Bahkan dalam masa proses pembinaan bangunan-bangunan tersebut beliau sendiri turut menyumbangkan tenaga bersama-sama dengan para pekerja lain.Semasa bangunan Masjid ar-Rahman di PSD dalam proses pembinaan dengan tiang-tiang dan rangka besi, seorang pekerja telah memotong rangka besi tersebut kerana pada fikirannya rangka itu terlalu panjang tidak mengikut spesifikasi reka bentuk bangunan itu. Apabila beliau melihat rangka besi itu dipotong, segera beliau memanggil pekerja berkenaan dengan nada yang tegas. Beliau telah menerangkan kepada pekerja itu tentang fungsi rangka yang panjang itu adalah sebagai satu mekanisme untuk menguatkan struktur bangunan itu. Dan terpaksa diganti semula rangka yang telah dipotong itu. Kedudukan landskap bangunan-bangunan di PSD menarik dan cantik, Masjid ar-Rahman menjadi induk bagi bangunan-bangunan lain. Ia dibina di lokasi hadapan sekali dengan pintu masjidnya menghadap bertentangan dengan bangunan-bangunan lain di hadapannya seperti Pejabat Madrasah, bangunan-bangunan sekolah dan rumah Tuan Guru Haji. Manakala pondok-pondok penghuni yang terdiri daripada para pelajar dan orang dewasa terletak di suatu penempatan khusus. Pondok-pondok pelajar lelaki dan perempuan diasingkan, begitu juga mereka yang telah berkeluarga. 

 

 

10.        BERKEBOLEHAN DALAM BIDANG PENULISAN               

 

 

Tuan Guru Haji Abdul Rahman merupakan seorang ilmuan yang berkaliber dan serba boleh. Bukan setakat dapat mengajar sahaja, bahkan beliau juga mempunyai bakat dalam bidang penulisan. Antara hasil tulisan beliau semasa hayat ialah “Lawatan Ke Timur Tengah”, “jadual Dua Kalimah Syahadah” dan “Jadual al-Kalam”. Sekalipun tidaklah sebanyak buku-buku yang dituliskan oleh penulis-penulis masyhur yang lain, namun ianya sudah cukup untuk membuktikan bahawa beliau mempunyai bakat yang terpendam dalam dunia penulisan dan memiliki personaliti yang istimewa. 

 

11.          MENYANJUNGI DAN MENGASIHI GURU 

 

 

Jasa dan pengorbanan guru-guru beliau amat disanjungi oleh Tuan Guru. Beliau menyedari bahawa sesungguhnya peranan dan tugas guru adalah besar dan murni. Islam telah meletakkan darjat dan martabat para guru sebagai pewaris kenabian. Walaupun beliau sibuk dengan tugas rutinnya namun beliau meluangkan sedikit waktu untuk menziarahi guru-guru beliau seperti Tuan Guru Haji Wan Yusuf Kemuning, Tuan Guru Haji Ahmad Kerawang dan Tuan Guru Haji Nor But. Rumah Tuan Guru Haji Nor di pondok But sering diziarahi oleh beliau. Hubungan beliau sekeluarga dengan keluarga Tuan Guru Haji Nor adalah akrab dan intim hingga kini. Sekarang anak-anak Haji Abdul Rahman masih mengunjungi dan mengziarahi keluarga Tuan Guru Haji Nor. 

 

12.        MINAT MENGEMBARA

 

 

Bertolak dari sebuah catatan Tuan Guru Haji Abdul Rahman yang dinukilkan dalam buku hasil karya beliau yang berjudul “Lawatan ke Timur Tengah”. Beliau telah mengungkapkan rasa hati dan impian beliau yang tersemat sekian lama untuk menziarahi tempat-tempat sejarah yang berkaitan dengan nabi-nabi, para pejuang Islam dan tamadun Islam. Beliau telah mencerita secara kronologi tarikh-tarikh lawatan beliau itu dan dengan gambaran yang menarik mengenai lokasi-lokasi tersebut. Di samping itu dilengkapi pula dengan gambar-gambar foto tempat-tempat dan bangunan-bangunan tertentu. 

 

13.        KEMBALI KE RAHMATULLAH

 

 

Kita sebagai insan makhluk ciptaan Tuhan tidak boleh lari dari hakikat dan rasional kematian, begitulah apa yang berlaku ke atas Tuan Guru Haji Abdul Rahman. Pada petang Jumaat 18 Februari 1988 beliau terjatuh di dalam bilik air di rumahnya ketika bersiap untuk solat maghrib, dan beliau telah dikejarkan ke Hospital Kuala Krai pada malam itu juga. Namun Allah lebih menyayanginya, pada hari Ahad tepat pada pukul 8.40 malam 4 Rajab 1408 bersamaan 20 Februari 1988 Tuan Guru telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di hadapan isteri, anak-anak dan keluarganya. Jenazah beliau selamat dikebumikan di tanah perkuburan Pondok Sungai Durian. Semoga Allah merahmati ke atas rohnya dan menempatkannya bersama para syuhada‘ dan salihin. 

 

 

PENGORBANAN  TUAN GURU HAJI ABDUL RAHMAN 

 

 

1              MEMBUKA PONDOK

 

 

 PSD adalah satu-satunya pusat pengajian dan pendidikan Islam yang menggabungkan di antara dua aliran iaitu secara tradisional dan moden. Ini adalah hasil cetusan pemikiran al-Marhum Tuan Guru. Walaupun cara ini berbeza dengan sistem pengajian pondok yang telah sedia ada. Tujuan beliau untuk mengatasi masalah pelajar di samping memaju dan memperbaharui lagi pusat pengajian pondok. Perjuangan Tuan Guru tidak terhenti setakat itu sahaja, bahkan diteruskan oleh generasi kedua iaitu anak-anak al-Marhum. Sistem pondok (tradisional) merupakan sistem pengajian kitab-kitab silam terdiri daripada Ulama’ terkemuka, samaada dalam bahasa melayu (tulisan Jawi) dan Arab, manakala sistem sekolah (moden) pula mengkombinasikan antara sukatan PSD sendiri dan sukatan pelajaran Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) Pondok ini telah ditubuhkan dengan rasminya pada 4 jun 1958M bersamaan 10 Safar 1378H oleh al-Marhum Tuan Guru Haji Abdul Rahman Bin Sulaiman, Hamzah Bin Jusuh dan Haji Muhammad Bin Haji Ahmad. Pendaftaran Pondok ini dibuat di bawah MAIK dan Adat Istiadat Melayu Kelantan dengan nombor 134 (dalam MAIK), 365/68 (kertas MAIK). Sebenarnya Pondok ini telah diasaskan di Bukit Enggong Guchil Kuala Krai pada tahun 1957. Ia dibina dengan pertolongan dan bantuan penduduk kampung serta kakitangan Jabatan Perhutanan dengan binaan daripada kayu tanpa mengenakan sebarang bayaran. Hasilnya pembinaan Pondok itu berjalan dengan lancar walaupun tidak mendapat bantuan kewangan dari kerajaan. Pada tahun 1958 pondok itu terpaksa dipindahkan dari Bukit Enggong di Guchil ke Kampung Sungai Durian Kerana tidak mendapat persetujuan Pegawai Daerah Kuala Krai, Dato’ Che Lah dengan alasan lokasi di situ tidak sesuai. Tetapi mengikut pendapat lain antara faktor utama ialah lokasi itu tidak sesuai dengan sistem pengajian pondok, lebih-lebih lagi bilangan pelajar bertambah. Dulu ianya telah dibina di atas sebidang tanah seluas 4 ekar yang terletak di Kampung Sungai Durian sejauh 3 kilometer dari bandar Kuala Krai atau 66 kilometer dari bandar Kota Bharu. Pada peringkat awal ia hanya mempunyai sebuah bangunan dua tingkat dengan kemudahan asas yang terdiri daripada 2 bilik ruang pejabat, dan satu bilik disediakan untuk ruang perpustakaan serta 8 bilik darjah dan bangunan kantin. Tetapi kini telah dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan asas yang dapat menampung keperluan pelajar-pelajar dan penghuninya. Kawasannya dulu hanya 4 ekar, sekarang telah bertambah keluasannya kepada 12 ekar, hasil dari pembelian dari jiran-jiran sekitar pondok. 

ü  Sebab-Sebab Penubuhan 

a)     Bagi mengatasi kepincangan dan kerosakan akhlak masyarakat dan kehidupan beragama mereka.

b)    Untuk melaksanakan tugas kewajipan Amar Ma’ruf dan Nahi Mungkar di kalangan masyrakat.

c)     Bagi menyediakan ruang kemudahan masyarakat mencari dan menambah ilmu pengetahuan agama. 

ü  Tujuan Penubuhan Pondok 

Falsafah dan matlamat penubuhan Pondok Sungai Durian adalah seperti berikut:           

Untuk melahirkan satu generasi dari umat Islam yang boleh dan mampu untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai hamba kepada Allah SWT dan juga khalifah di muka bumi ini. 

a)     Memberi pendidikan kepada pelajar-pelajarnya ilmu yang boleh membawa mereka mengenali Allah SWT pada tahap yang dikehendaki oleh syariah Islam. Mengenali hakikat alam ini serta hakikat insan.

b)    Untuk mendidik akal dan hati supaya memiliki ciri-cirinya yang sebenar yang diperlukan oleh sebuah masyarakat yang mana merupakan paksi yang kukuh dalam pembentukan peribadi muslim yang hakiki lagi berwibawa.

c)     Untuk melahirkan para ilmuan yang mempunyai keperibabrian yang bersepadu, dengan itu maka mampu mereka menyelesaikan masalah-masalah yang timbul di kalangan masyarakat melalui acuan-acuan Islam yang sebenar. 

 

2.         BERSENDIRIAN MENTADBIR PONDOK

 

 

Pondok Sungai Durian adalah sebuah institiusi pengajian sekolah pondok persendirian yang didaftarkan di bawah Majlis Agama Islam Kelantan. Ianya ditadbir secara bersendirian dan tidak tertakluk kepada mana-mana badan swasta ataupun kerajaan. Ia hanya ditadbir oleh seorang Tuan Guru dan beberapa ahli jawatankuasa yang dilantik oleh beliau sendiri. Walaupun begitu Tuan Guru mempunyai kuasa penuh dalam pentadbiran. Boleh dikatakan inilah cara pentadbiran mana-mana institiusi pengajian sekolah pondok samaada di Kelantan atau tempat-tempat lain.  

ü  Ahli Jawatankuasa Tadbir semasa Tuan Guru 

Bagi memastikan pentadbiran PSD berjalan dengan lancar, pada 8 Januari tahun 1973 satu Jawatankuasa Tadbir telah dilantik oleh pihak PSD secara rasmi dan telah disahkan oleh Majlis Agama dan Adat Isti‘adat Melayu Kelantan. Ahli Jawatankuasa Tadbir dengan keanggotaan seperti berikut: Pengerusi Ibrahim Bin Ya‘cub, Naib Pengerusi Hamzah Bin Jusuh, Setiausaha Tuan Guru sendiri, Pen.Setiausaha Ramli Bin Abu Bakar, Bendahari Ismail Bin Sulaiman, Pemeriksa kira-kira Abdul Rasid Bin Taib dan Yahya Bin Muhammad, dan Ahli Jawatan Kuasa Hj Sukri Bin Hj Yusuf, Abdul Ghani Bin Ahmad, Hj Tahir Bin Yahya, Idris Bin Hj Omar, Syed Nur Bin Hj. Che Ahmad dan Che Husen Bin Muhammad. 

ü  Murid –Murid Dan Syarat Kemasukan            

PSD mengadakan syarat-syarat khusus bagi setiap pelajar yang berminat untuk mengikuti pengajian di PSD. kelayakan yang diperlukan untuk mengikuti pengajian di sini ialah sekurang-kurangnya tamat sekolah rendah ataupun sekadar boleh membaca dan menulis, berumur tidak melebihi 18 tahun, mana-mana pelajar yang berumur 18 tahun ke atas akan diterima dengan syarat khusus. PSD akan memantau dalam tempoh dua minggu, sekiranya tidak meragukan, pihak PSD akan menerimanya sebagai pelajar rasmi. Apa yang pentingnya ialah minat dan kesungguhan pelajar untuk mendalami ilmu dan sanggup mematuhi segala peraturan yang ditetapkan oleh pihak PSD. Walau bagaimanapun pihak pentadbir telah menetapkan setiap pelajar yang ingin memasuki PSD ini terlebih dahulu diuji samada dalam dalam bentuk lisan atau bertulis. Aspek yang ditekan dalam ujian tersebut ialah kemampuan menguasai al-Quran dan tulisan jawi. Setelah berjaya dalam ujian tersebut, pelajar akan ditempatkan di peringkat yang sesuai dengan kemampuan yang ditunjukkan. 

ü  Disiplin dan Peraturan 

Bagi memastikan keadaan pelajar terkawal dan pelajaran berjalan lancar, beberapa peraturan telah diadakan. Semua pelajar mesti mematuhi peraturan tersebut. Setiap kesalahan yang dilakukan dengan sengaja akan dikenakan tindakan yang telah diputuskan oleh pihak pentadbir. Peraturan ini meliputi aspek ibadat, di mana setiap penghuni PSD diwajibkan hadir bersembahyang secara berjama‘ah lima waktu di masjid. Begitu juga cara berpakaian, disiplin dalam pergaulan dan perhubungan dengan masyarakat luar. Kesemua disiplin-disiplin ini adalah berlandaskan ajaran Islam seperti berpakaian yang menutup aurat, tiada percampuran antara lelaki dan perempuan dalam semua aktiviti.  

ü  Pakaian Seragam 

Sesuai dengan keadaan PSD sebagai sebuah pondok madrasah yang ditadbir persendirian, semestinya ia mempunyai indentiti yang tersendiri dan bercirikan Islam. Ini jelas dalam pakaian seragam pelajar PSD. Semua pelajar diwajibkan mengenakan pakaian seragam sewaktu sesi persekolahan. Pelajar lelaki mesti berjubah dan berseluar putih dan berkopiah putih. Manakala pelajar perempuan pula diwajibkan memakai baju labuh (jubah) berwarna biru dan bertudung putih. Kesemua peraturan yang telah digariskan ini adalah bertepatan dengan ciri-ciri pakaian dan pendidikan yang disarankan oleh Islam.  

 

ü  Sistem Pengajaran Dan Pembelajaran 

 

1.  Sistem secara tradisional (cara lama)

Sistem pengajian dalam bentuk ini amat diambil berat oleh pihak pentadbir, kerana ianya dianggap satu sistem yang amat berkesan untuk melahirkan generasi pelapis yang berwibawa. Demi untuk memastikan para pelajar boleh menguasai pengajian itu, sistem ini mengambil kira beberapa faktor utama seperti:

Pertama: Teks pengajian mereka didedahkan dengan mempelajari kitab-kitab silam samaada yang dihasilkan oleh ulama’ di Nusantara atau ulama’ dari Timur Tengah.

Kedua: dari segi masa para pelajar diberi pengisian yang padat dan pengunaan masa amat terhad.

Ketiga: Begitu juga segala aktiviti mereka diawasi dan dipantau dari semasa ke semasa.  

Kaedah pembelajaran tradisional : 

Pertama: Mempelajari kitab-kitab silam. Kitab-kitab itu dibaca dari awal hingga akhirnya. Cara ini dibuat pada setiap matapelajaran.  

Kedua: Setiap pelajar dibebankan supaya menghafal setiap matan dan mesti memperdengarkannya kepada guru masing-masing.

ü  Masa dan Cara Belajar 

Pengajian mengikut sistem pondok biasanya diadakan selepas solat lima waktu. Sistem ini berlangsung setiap hari dalam seminggu dan ia mempunyai jadualnya yang tersendiri sebagaimana sistem persekolahan. Tetapi ia lebih berbentuk umum kerana pengajian ini diadakan di dalam masjid yang terletak di kawasan pondok.Cara pengajian aliran ini yang mana murid-murid akan membentuk halaqat-halaqat (bentuk bulatan) mengikut pelajaran yang diajar dengan bimbingan seorang guru, ataupun murid-murid akan mengikut pengajian secara umum dengan seorang guru yang mengajar berpandukan kitab tertentu 

 

2. Sistem secara moden 

Pengajian secara kelas bermula dari kelas intiqaliyyah selama 6 bulan, 6 tahun ibtida‘iah, 3 tahun thānawiah dan 3 tahun āliah. Pengajian ini mengambil masa selama 13 belas tahun pada peringkat awal penubuhan sehinggalah Tuan Guru meninggal dunia. Sekarang telah diubah kepada 7 tahun sahaja tempoh pengajian,  

ü  Masa dan Cara Belajar 

Persekolahan di PSD berjalan selama lima hari dalam seminggu. Bermula dari hari Ahad hingga hari Khamis. Setiap hari kelas akan bermula pada pukul 8.00 pagi dan berakhir pada pukul 1.00 tengahari dalam jangka masa tersebut.  

 

3.         MENCADANG DAN MENGURUS PEMBINAAN BANGUNAN MARKAZ PAS KUALA KRAI 

 

 

Bagi  memastikan amalan dan  ilmu Islam  yang diajarinya dapat  dipraktikan dalam setiap kehidupan masyarakat termasuk aspek politik yang sememangnya tidak dapat dipisahkan  dengan agama, maka tercetus difikiran Tuan Guru untuk mengada atau membina sebuah bangunan sebagai satu medan, ruang atau platform untuk merealisasikan hasrat itu. Justeru, pada  awal tahun 80 an Al marhum Tuan Guru  Haji Abdul Rahman telah mengambil tanggung jawab menulis satu kertas cadangan mengenai kos pembelian tapak, pembinaan dan kaedah  kelancaran  pembinaan sebuah bangunan  yang dinamakan  Markaz Pas Kawasan Kuala Krai  sehingga siap tanpa  penggunaan  dan bebanan kos yang terlalu tinggi.  

 

KESIMPULAN 1.  

Keikhlasan dan kesungguhan para ulama’ terdahulu  menjadi tunjang kepada kekuatan dan kegemilangan institusi pengajian  pondok,

2.   Keutuhan dan kemantapan akidah dan akhlak ummah akan terkawal  jika institusi pengajian pondok  dipertahankan,

3.   Kesabaran dan ketabahan para pengasas pondok-pondok terdahulu  memperjuang dan mempertahankan Islam sebagai cara hidup melalui institusi pengajian pondok  harus  dijadikan panduan dan teladan,

4.   Kelangsungan fungsi mulia institusi pengajian pondok akan terus terbela, jika pelbagai sektor masyarakat sama-sama membantu, berpadu tenaga  serta berterusan  memberi sokongan  moral dan kebendaan.

5.   Kemampuan Pondok Sungai Durian bertahan dan terus aktif  dengan  fungsi mulianya selaku pentarbiah ummah, pembimbing masyarakat melalui institusi pengajian pondok  harus  diberi  perhatian

Posted in Pondok Sungai Durian, Tokoh Ulama' | Leave a Comment »

Tiada perancangan punca institusi pondok berkubur

Posted by epondok di Jun 30, 2008

Lanjusoh
Mon | Jun 16, 08 | 1:53:22 pm MYT
KUALA KRAI: Ketika berkunjung ke bandar Kuala Krai, Kota Bharu dan Pasir Mas anda boleh melihat budak-budak berjubah putih dan berserban.Hati tentunya tersentuh melihat akhlak Islam terus dipertahankan. Kadang-kadang mereka mengelek kitab jawi. Kalau di Kota Bharu kedai Jaffar Rawas menjadi tumpuan.Inilah fenomena yang masih dapat disaksikan di Kelantan. Namun, institusi pondok yang ada sekarang jauh berkurangan berbanding zaman kegemilangannya.Lebih 300minstitusi pondok terdapat di Kelantan di zaman kegemilangannya. Pondok terawal yang masih kekal iaitu Pondok Sheikh Abdul Samad Pulai Chondong diwujudkan pada 1820.

Di era kemasyuhurannya pelajar-pelajar datang dari seluruh Nusantara termasuk Kempuchea, Sumatera, Patani, Singapura dan Brunei.

Kini setelah zaman bertukar, institusi pondok semakin berkurangan. Sekarang hanya tinggal 14 institusi pondok tradisonal disamping puluhan lagi pondok warga emas dan tahfiz yang masih bertahan di Kelantan.

Antaranya Pondok Pasir Tumbuh, Pondok Lubuk Tapah, Pondok Sungai Durian, Pondok Gelang Mas, Pondok Neting, Pondok Seligi, Pondok Tunjung, Pondok Berangan.

Pondok Beta Hilir, Pondok Lepan Bola, Pondok Bukit Gading, Pondok Tunjung, Pondok Bukit Awang, Pondok Lubok Stol dan Pondok Genting. Pondok paling tua yang kekal sehingga sekarang iaitu Pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas ditubuh pada 1932.

Manakala pondok yang mempunyai bilangan pelajar paling ramai iaitu Pondok Pasir Tumbuh iaitu seramai 500 orang. Bilangan warga tua dan pasangan kelamin pula seramai 800 orang.

Dua lagi pondok yang mempunyai bilangan pelajar ramai iaitu Pondok Sungai Durian, Kuala Krai dan Pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas.

Persoalannya mengapa bilangan pondok merudum begitu banyak sekali. Menjelaskan perkara itu Mudir Pondok Sungai Durian, Dr Abdul Basit Abdul Rahman berkata, antaranya kerana tiada perancangan awal tok-tok guru pondok dalam memastikan generasi pelapis yang bakal meneruskan pengajian pondok samada daripada kalangan ahli keluarga atau pelajar pilihan.

“Tiada persiapan awal oleh tok-tok guru antara punca banyak pondok mati di Kelantan. Selain itu tidak kesatuan khusus di kalangan tok-tok guru pondok,” katanya pada forum sempena sambutan ulangtahun ke-50 Pondok Sungai Durian di sini, baru-baru ini.

Perasmiannya disempurnakan anggota Exco, Ustaz Mohd Amar Abdullah.

Ahli panel lain iaitu Mudir Pondok Lubuk Tapah, Dr Lokman Abdullah dan Pengerusi Jemaah Tadbir Pondok Pasir Tumbuh, Ustaz Abdul Halim Abdul Ghani.

Dr Basit juga menyatakan setiap institusi pondok perlu mengadakan usrah di kalangan tenaga pengajar bagi mencetus idea baru ke arah memperkasakan lagi institusi tersebut.

Selain itu muzakarah di kalangan guru-guru pondok juga penting bagi memastikan institusi pondok terus unggul melewati zaman.

Abdul Halim berkata, bagi memastikan institusi pondok terus unggul, Pondok Pasir Tumbuh menyediakan peluang pelajar-pelajar insitusi pengajian tinggi dan sekolah belajar secara pakej pada musim cuti semester.

“Kaedah pembelajaran itu mendapat sambutan menggalakkan sejak ia diperkenalkan beberapa tahun lalu,” katanya.

Sempena sambutan ulang tahun tersebut diadakan pelbagai program antaranya ekspo, pameran, forum, ceramah dan seminar. Ia mendapat sambutan menggalakkan.

Mohd Amar berkata, institusi pondok menjadi kubu bagi mempertahankan Islam sehingga ramai guru pondok bangkit menentang penjajah, antaranya Tok Janggut, Tok Kenali dan Diponegoro di Indonesia.

Pondok Sungai Durian satu-satunya institusi pondok yang mempunyai dua sistem iaitu pengajian kitab dan sistem sekolah.

Pondok tersebut diasas Tuan Guru Abdul Rahman Sulaiman pada 1958.

Insitusi pondok di Kelantan dimantapkan semula dengan adanya Pusat Pembangunan Pondok Bhd yang ditubuh pada 1995. Peranannya menyelaras institusi pondok yang terdapat di Kelantan.

Dana awal disumbang kerajaan negeri.– tajdid

Posted in Pondok Sungai Durian | Leave a Comment »

Rayuan Derma Pembinaan Asrama

Posted by epondok di Jun 29, 2008

Perasmian penutup sambutan Jubli Emas Pondok Sungai Durian berjalan dengan penuh lancar walau pun YAB Tuan Guru Dato’ Menteri Besar Kelantan terpaksa digantikan oleh Speaker Negeri Kelantan, YB Ustaz Nasarudin Daud pada saat-saat akhir. Ribuan hadirin yang terus memberi sokongan kepada semua aktiviti yang dianjurkan sepanjang majlis yang penuh bersejarah ini telah hadir dalam majlis tersebut. Sempena majlis ini turut dilancarkan kutipan derma bagi mengutip dana untuk membina asrama pelajar dengan anggaran perbelanjaan sebanyak RM 500 ribu. Semua pihak yang cintakan Islam dan pengajian agama bolehlah menghulurkan sumbangan kepada pihak pondok tersebut

Posted in Pondok Sungai Durian, Program Terbaru | Leave a Comment »