Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for the ‘Fokus Isu’ Category

LGBT berbeza dengan kes khunsa

Posted by epondok di Februari 7, 2020

PERJUANGAN menuntut hak kesaksamaan dan mengistilahkannya sebagai memperjuangkan hak asasi manusia seolah-olah sudah menjadi zikir harian masyarakat di Malaysia. Di dalam Islam jelas mengatakan hak asasi manusia tetap dijamin bahkan Islam lah yang memperjuangkan jaminan hak asasi manusia namun ianya diikat dengan syarat tidak melanggar hukum-hakam syarak yang merupakan hak-hak Allah. Hak-hak Allah ini wajib dipatuhi terlebih dahulu kerana asalnya Allah lah yang mengurniakan hak kepada manusia untuk hidup di atas muka bumi ini.

Antara perjuangan golongan ini ialah memujuk masyarakat Islam di negara ini untuk menerima kewujudan LGBT iaitu satu akronim merujuk secara kelompok kepada golongan Lesbian, Gay, Biseksual, dan Transeksual. Hukum Islam secara jelas mengharamkan semua perbuatan ini berdasarkan al Quran dan hadith-hadith Rasulullah S.A.W.

Ahli psikologi dan pakar perubatan psikiatri mengklasifikasikan golongan ini sebagai mereka yang menghidapi ‘gender identity disoder’ dan yang lebih ekstrem adalah ‘transvestite fetishism’. Golongan ini mempunyai keinginan yang tinggi dan berterusan untuk menjadi seorang yang bertentangan dengan jantina sebenarnya dan menganggap dirinya mempunyai jantina yang bertentangan. Golongan seumpama ini merujuk kepada golongan mak nyah, pondan, tomboi dan sebagainya. Mereka adalah dianggap mempunyai masalah berkaitan kesihatan mental. Pemeriksaan dan penyiasatan lanjut seperti ujian darah , ‘scan’ dan sebagainya tidak menunjukkan individu ini mempunyai masalah kesihatan lain. Di dalam Islam, golongan ini dikenali sebagai mukhannith. Menurut statistik pada tahun 1998, seramai 10,000 orang termasuk dalam golongan ini di Malaysia dan 70 peratus – 80 peratus adalah berbangsa Melayu.

Berkaitan dengan golongan di atas, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ugama Islam Malaysia kali ke 25 yang bersidang pada 13 Disember 1989 telah mengambil maklum laporan urus setia bahawa Malis Raja-raja dalam mesyuaratnya kali ke 126 pada 24 Februari 1983 dan telah mempersetujui fatwa yang dikeluarkan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia seperti berikut:

“Pertukaran jantina dari lelaki kepada perempuan atau sebaliknya melalui pembedahan adalah haram di sisi syarak. Seseorang yang dilahirkan lelaki hukumnya tetap lelaki walaupun berjaya ditukarkan jantinanya melalui pembedahan. Seseorang yang dilahirkan perempuan hukumnya tetap perempuan walaupun berjaya ditukarkan jantinanya melalui pembedahan.”

Perlu ditegaskan bahawa golongan ini berbeza dengan golongan khuntha di dalam Islam. Islam mengiktiraf kewujudan golongan yang dipanggil sebagai khuntha (hermaephrodites) iaitu orang yang mempunyai dua alat kelamin lelaki dan perempuan atau lubang khusus yang terdapat pada tempat kemaluan seperti membuang air kecil.

Golongan ini dibahagikan oleh ulamak fiqh kepada dua jenis iaitu khuntha wadhih dan khuntha musykil. Kategori khuntha wadhih ialah khuntha yang nyata memiliki tanda-tanda kelelakian atau keperempuanan dan dapat dibezakan sama ada lelaki atau perempuan semasa bayi oleh warisnya melalui pemerhatian sifat dan ciri alat kelamin tersebut atau berdasarkan dari alat mana satu keluar air kencing terlebih dahulu. Jantina dapat dikenalpasti dengan jelas berdasarkan alat yang mana lebih dominan berbanding dengan satu lagi yang kurang berfungsi.

Khuntha musykil pula adalah individu yang mempunyai dua alat kelamin dan air kencing keluar serentak dari kedua-dua alat berkenaan dan identiti jantinanya sukar dibezakan atau hanya dapat dibezakan setelah baligh.

Musykil ini hilang apabila dapat ditentukan dari mana tempat mula keluar air kencing atau kuantiti yang paling banyak atau dikira yang paling akhir berhenti. Jantina mereka juga boleh ditentukan setelah baligh dengan tanda-tanda yang dikenal pasti sama ada memiliki ciri-ciri kewanitaan (seperti datang haid) atau kelelakian seperti tumbuh janggut dan misai.

Dalam kes ketidaktentuan jantina seperti ini, syarak memberi pengecualian kepada golongan khuntha musykil untuk menentukan jantina melalui pembedahan dengan syarat disokong oleh keterangan pakar di bidang tersebut. Kelonggaran adalah khusus sebagai ‘maslahah’ atau demi kebaikan bagi membolehkan individu itu menjalani kehidupan dengan baik dan melaksanakan tanggungjawab sebagai muslim dengan lebih sempurna.

Ulamak pada umumnya berpandangan bahawa membuat pembedahan jantina bagi khuntha musykil adalah dibenarkan. Adapun pembedahan untuk menukar jantina daripada lelaki kepada wanita atau sebaliknya adalah jelas haram hukumnya.

Ketua Lujnah Fatwa al Azhar, Syeikh Atiyyah Saqr menyatakan bahawa ‘… bagi seseorang lelaki ada beberapa organ yang dianggap paling penting iaitu zakar, testis dan yang berkaitan dengan kelelakian seperti saluran mani dan prostate serta menunjukkan kelelakian apabila baligh begitu juga dengan perempuan. Beliau membenarkan penukaran jantina bagi khuntha sebaliknya mengharamkan pertukaran jantina bagi mereka yang dilahirkan asalnya sebagai lelaki atau wanita tulen. Ini dinyatakan di dalam Majma’ al Fiqh al Islamiy, Rabitah al Alamiy- Fatwa 26 Februari 1989.

Jelas dari perbincangan di atas, pergerakan LGBT tidak termasuk di dalam perbahasan ulamak kerana ia sangat jelas bertentangan dengan syarak. Masyarakat perlu faham untuk membezakan antara perbezaan perjuangan LGBT yang jelas ditolak dengan keadilan Islam dalam menyelesaikan masalah khuntha musykil yang berlaku di dalam masyarakat.

Islam yang mengamalkan prinsip keadilan, memperuntukkan hak yang sewajarnya kepada golongan khuntha sama ada dari aspek sosial, ekonomi dan pendidikan. Bagaimanapun, untuk menjalani kehidupan yang lebih sempurna, penentuan jantina sama ada lelaki atau perempuan amat penting. Firman Allah S.W.T:

“Dan bahawasanya Dialah yang menciptakan pasangan – lelaki dan perempuan.”

SS DATO’ HJ ZAMRI HASHIM
Timbalan Mufti Perak

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Etika Pencegahan Wabak Dalam Islam

Posted by epondok di Januari 26, 2020

Khairul Azhar bin Idris

 

Wabak Influenza pada waktu ini yang merupakan penyakit yang disebabkan oleh virus influenza yang menjangkiti salur pernafasan kini merupakan satu ancaman baru  terhadap kesihatan dan nyawa manusia yang semakin hari semakin mencemaskan. Insiden jangkitan penyakit berkaitan pernafasan ini menunjukkan ada peningkatan di kebanyakan tempat tertentu di dunia ini, lantas turut meningkatkan suasana panik dan gelisah orang ramai, ditambah pula tiada sebarang vaksin dan ubatan khusus untuk mengubati penyakit misteri ini.

Serangan wabak ini oleh virus influenza  boleh dikawal melalui beberapa langkah pencegahan dan pengawalan yang tertentu dan didapati turut berkesan dalam membendung jangkitan yang lebih teruk dalam masyarakat. Dalam suasana di mana tiada sebarang ubat atau vaksin yang mampu mencegah atau mengubati penyakit, kaedah yang lebih berkesan adalah langkah-langkah pencegahan terutamanya yang mendorong kepada pengamalan cara hidup yang sihat dan melakukan aktiviti-aktiviti yang mengurangi risiko yang mengancam nyawa atau kesejahteraan diri dalam kehidupan. Dan kaedah inilah yang paling berkesan bagi mengatasi wabak influenza setakat ini.

Tamadun manusia telah menyaksikan bahawa sebelum kedatangan Islam ke Tanah Arab, keadaan kesihatan awam pada ketika itu amat daif. Penyakit berjangkit seperti cirit-birit, batuk kering, taun dan lain-lain amat mudah berlaku, bahkan secara berleluasa. Hanya dengan kedatangan Islam yang diturunkan oleh Allah menerusi Rasul-Nya, Muhammad s.a.w. penekanan terhadap kesihatan dan penjagaan kesihatan yang sempurna mula mendapat perhatian masyarakat.

Walaupun Rasulullah diutuskan bagi menyampaikan hukum-hukum Allah yang Maha Suci, tetapi ajaran dalam Islam amatlah menyeluruh sifatnya. Malah ajaran Islam juga amat menitikberatkan aspek penjagaan kesihatan yang sempurna supaya individu itu mempunyai kekuatan yang diperlukan bagi menjalankan ibadat kepada Tuhan.

Begitu juga, bagi menjadikan amalan ibadat dan doanya itu diterima Allah, individu Muslim itu mestilah sentiasa memelihara kesihatan diri terutamanya dalam memastikan kebersihan dan halal haram makanan yang diambil di samping menggunakan hanya pakaian yang bersih, tidak dikotori najis dan sebagainya.

Semua perkara ini terkandung dalam ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah sehingga muncul sebuah karya agung khusus berkaitan kaedah perubatan dan penjagaan kesihatan cara Rasulullah yang dikenali At Tibb an Nabawi yang dikarang oleh seorang perawi hadis dan ahli sejarah terkenal Abu Abdullah Muhammad al Dhahabi yang meninggal pada tahun 1348 Masihi.

Dalam ajaran agama Islam yang dibawa oleh Rasulullah, pencegahan menjadi asas utama penjagaan kesihatan yang baik di samping melakukan aktiviti kehidupan secara bersederhana dan tidak berlebih-lebihan yang sentiasa dianjurkan oleh Islam kepada umatnya. Manakala bidang perubatan dan kesihatan moden yang berasaskan kaedah saintifik kini turut memberi penekanan terhadap pencegahan dan rawatan dalam menghadapi sesuatu jangkitan dan penyakit yang menjadi asas disiplin kesihatan awam.

Sememangnya sudah menjadi tugas setiap individu dan masyarakat Islam, wajib mencegah sebarang perilaku dan aktiviti yang mengundang kepada kemudaratan dan kehinaan.

Pendekatan yang berasaskan perubatan `mencegah’ dalam menangani wabak dan jangkitan penyakit sebenarnya telah diajar oleh Baginda Rasul dalam banyak situasi.

Dalam sebuah hadis, Baginda bersabda bermaksud: Apabila kamu mendengar penyakit taun berjangkit di sesuatu negeri, maka janganlah kamu memasuki negeri itu, demikian juga jika berjangkit di negeri tempat kamu tinggal, maka janganlah kamu keluar dari negerimu kerana melarikan diri dari penyakit itu.

Dan kekhuatiran ini berkisar apabila kita berkemungkinan sebagai kumpulan pembawa yang terlibat menjangkitkan pula penyakit berkenaan kepada orang lain. Ajaran dalam al-Quran, kita juga ditegah daripada terlibat dengan sebarang aktiviti yang menjerumus kepada kesengsaraan, kemudaratan dan kemusnahan.

Wabak influenza yang melanda dunia ketika ini dilihat bukan sahaja mengancam kesihatan dan nyawa manusia, malah turut memberi kesan yang kurang baik terhadap sumber ekonomi dan pendapatan sesebuah negara terutama bagi negara-negara di mana aktiviti pelancongan adalah di antara beberapa sumber pendapatan negara.

Keadaan ini beraku di samping sebagai kesan dari kebimbangan dan panik masyarakat yang enggan melawat negara yang berkenaan kerana takut dijangkiti, adalah juga berpunca dari langkah-langkah pencegahan dan larangan seperti kuarantin yang dikenakan oleh sesebuah negara.

Bagaimanapun, tindakan yang elok ini telah dianggap sebagai satu tindakan yang kurang baik, malah disalah tafsir pula akan mempunyai unsur sabotaj ke atas ekonomi negara lain.

Mungkin ini juga sebagai kesan tidak langsung globalisasi di mana negara-negara amat bergantung kepada negara lain bagi mengukuhkan ekonomi negara sendiri.

Walau apa pun tindakan yang diambil, faktor kesihatan dan keuntungan ekonomi adalah sama pentingnya.

Namun hakikatnya, Islam lebih mengutamakan kesejahteraan nyawa manusia dan ia perlu dipelihara pada setiap masa agar terhindar daripada sebarang perkara yang boleh mengancamnya.

Aspek ekonomi yang kukuh, di samping pemakanan yang baik dan sihat serta persekitaran yang bersih dan selamat amat berkait rapat dan turut membantu meningkatkan kesejahteraan nyawa manusia.

Namun ada pada ketika yang tertentu, seseorang itu perlu mengehadkan aktiviti sosioekonominya jika ia didapati akan mengancam kesejahteraan nyawanya.

Menurut prinsip Islam, sesuatu tindakan yang baik itu adalah yang mendatangkan manfaat kepada seluruh umat manusia.

Bagaimanapun, jika terdapat kemudaratan atau keburukan yang akan menimpa mereka, maka menghindari keburukan itu adalah lebih penting dan diutamakan daripada mencari kemanfaatan. Manakala jika terdapat pelbagai kepayahan dalam menangani sesuatu isu yang sukar seperti ketika wabak ini, maka Islam menyarankan agar menerima kepayahan yang mendatangkan dengan mengawal kesan buruk yang paling minimum kepada masyarakat.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Bersungguh timba ilmu

Posted by epondok di Disember 23, 2019

Mohd Rizal Azman Rifin

 

SATU ketika dahulu, umat Islam menjadi pendahulu zaman dan berjaya merintis pelbagai ilmu pengetahuan.

Resipi kejayaan dan kecemerlangan umat Islam silam mudah untuk dikesan.

Tiada sebarang rahsia seandainya kita benar-benar mengkaji dan memperhalusi keadaan kehidupan umat Islam terdahulu.

Antaranya, ia disebabkan keperkasaan jati diri sebagai seorang Muslim yang utuh dalam jiwa. Apa yang pasti mereka menyerlahkan akhlak Islam sebagai ‘pakaian diri.’

Bukan sahaja patuh kepada setiap perkara dalam ajaran Islam, tetapi indah dan murninya akhlak peribadi yang berpaksikan nilai akhlak Islam sebenar.

Di samping itu, umat Islam terdahulu berusaha gigih mentadabbur setiap ayat yang terkandung dalam al-Quran. Mereka bukan setakat ‘rapat’ dengan al-Quran dengan membiasakan amalan membacanya, tetapi mereka juga rajin dan komited menggali setiap yang tersirat sebagaimana dikemukakan dalam ayat-ayat Allah itu.

Tidak hairanlah ketika itu, umat Islam seakan-akan ‘tamakkan’ ilmu pengetahuan.

Apa sahaja yang boleh memberikan manfaat kepada diri dan masyarakat umum, mereka tidak melepaskan peluang meraihnya.

Rangka kerja mereka dimulakan dengan niat kerana Allah SWT serta demi kemaslahatan ummah.

Umat Islam masa itu berasa malu jika tidak meninggalkan khazanah berharga untuk kesejahteraan ummah.

Maka, wujudlah ‘perlumbaan’ mencari ilmu yang sangat dikagumi. Kejayaan dunia Barat juga mustahil dicapai sebagaimana kita saksikan pada hari ini sekiranya tidak menceduk apa yang terhasil di bumi umat Is-lam.

Dunia Barat mahupun Timur sangat ‘terhutang budi’ dengan sumbangan umat Islam yang boleh dilihat hingga ke hari ini.

Cukupkah kita menumpang bangga dengan apa yang mereka capai dahulu?

Jiwa umat Islam khususnya generasi anak muda mudah hanyut dalam dunia hiburan lagha yang membanggakan diri kononnya mahu menjadi manusia moden yang mengikut arus zaman.

Anak muda bergelar insan terpelajar di menara gading juga tidak terlepas kerana mereka mudah dihanyutkan serta belajar setakat mahu lulus semata-mata.

Sebab itulah pelbagai gejala negatif muncul seperti isu plagiat. Mahu lulus dalam peperiksaan dan menjadi seorang bergelar graduan.

Ratusan graduan berjaya dihasilkan setiap tahun dan apakah statistik sedemikian cukup untuk kita banggakan, lantas mendabik dada bahawa rakyat kita sudah hebat dalam dunia ilmu pengetahuan?

Kejayaan tidak dilihat kepada kualiti graduan sahaja, sebaliknya perlu menghasilkan graduan berkualiti tinggi yang jiwa mereka patuh kepada ajaran dan unggul jati diri sebagai umat Islam.

Kita juga diwar-warkan dengan usaha kerajaan untuk memperkasakan bidang Teknikal dan Vokasional (TVET).

Pelbagai langkah dan penyediaan dana peruntukan sudah dan sedang disediakan.

Hal demikian tidak lain kerana mahukan generasi yang berjaya memiliki ilmu dan kemahiran, seterusnya mereka berupaya menjadi pekerja industri berkemahiran tinggi yang diidamkan pihak industri.

Generasi muda perlu merebut peluang yang terhidang dan bangkit menjadi seorang yang berjaya dalam sebarang kerjaya.

Khalifah Umar al-Khattab pernah mengingatkan kita bahawa umat ini akan ditinggikan dan dimuliakan Allah seandainya kita patuh dan taat pada-Nya.

Umat Islam tidak boleh bertangguh lagi. Semangat ingin majukan diri dan ummah perlu tersemat dalam jiwa.

Bangkit perbaiki diri untuk bangun memperoleh ilmu di samping menyerlahkan diri dengan akhlak Islam sejati perlu dijadikan agenda merangka kehidupan.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Tidak bijak tuntut mansuh kesalahan jenayah syariah

Posted by epondok di Disember 22, 2019

Oleh Hafizah Iszahanid

 

JENAYAH syariah tidak boleh dihakimi berdasarkan undang-undang sivil, malah tuntutan untuk memansuhkannya atas alasan ia tidak sesuai dengan perkembangan semasa adalah kurang bijak.

Ini disebabkan meskipun jenayah syariah dilihat sebagai perbuatan separa jenayah, ia membabitkan persoalan urusan umat Islam selari dengan tuntutan Allah SWT.

Di negara ini, sejarah perundangan Islam sudah berlaku sejak sekian lama, manakala pada zaman penjajahan, ia berada di bawah bidang kuasa sultan.

Justeru, ia peraturan untuk orang Islam dengan sebahagian kesalahan jenayah syariah disebut dalam al-Quran dan hadis.

Antaranya hadis yang diriwayatkan Abu Hurairah RA dan Ibnu Umar RA, bahawa kedua-keduanya mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Ketika Baginda membaca khutbah Jumaat di atas mimbar, mudah-mudahan orang ramai tidak terus menerus suka meninggalkan sembahyang Jumaat tanpa uzur, nescaya Allah akan menutup ke atas hati mereka daripada menerima kebenaran dan kebaikan yang di kehendaki oleh agama. Maka jadilah mereka golongan orang yang lalai. (HR Muslim)

Timbalan Pengarah Penyelidikan & Pembangunan, Akademi Pengajian Islam (API), Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Siti Zubaidah Ismail, berkata jenayah syariah ialah kelompok kesalahan yang tidak diperuntukkan oleh kuasa persekutuan.

Ia berkaitan dengan isu agama Islam sahaja dan dihukum oleh mahkamah syariah negeri.

“Kesalahan ini membabitkan pelanggaran terhadap rukun agama yang dilakukan oleh orang Islam.

“Ia meliputi kesalahan akidah, ajaran sesat misalnya, kesalahan berkaitan moral atau tatasusila antaranya berzina serta berkhalwat, yang tidak ada peruntukan mahkamah Persekutuan,” katanya.

Tambah Siti Zubaidah, jenayah syariah tidak terhad kepada kesalahan seperti khalwat atau makan di khalayak ramai pada Ramadan.

Antaranya berkaitan dengan akidah, iaitu kesalahan pemujaan, membuat dakwaan palsu, mengembangkan doktrin agama selain Islam dan menyebar doktrin palsu.

Selain itu, ia turut membabitkan kesalahan tatasusila seperti khalwat, bersekedudukan, pelacuran, hamil luar nikah, liwat juga lelaki berlagak perempuan.

Termasuk dalam definisi jenayah syariah juga, adalah hal membabitkan pencemaran kesucian Islam dan institusinya seperti menghina agama, mempersendakan ayat al-Quran atau hadis, tidak menghormati Ramadan, tidak bayar zakat, tidak solat jumaat juga berjudi.

Satu lagi kategori dilihat sebagai kesalahan pelbagai, iaitu perlakuan mengkafirkan orang, mencemarkan masjid, menggalakkan maksiat, memungut zakat fitrah tanpa kuasa tauliah, juga kesalahan keluarga seperti tidak membayar nafkah.

Tegas Siti Zubaidah, sehingga kini kesalahan jenayah syariah yang paling banyak di negara ini adalah khalwat.

Bagaimanapun, kesalahan begini hanya akan dapat dikesan berdasarkan keprihatinan masyarakat yang tampil membuat aduan.

“Kes khalwat selalunya berlaku pada waktu malam, jarang ada kes berlaku siang. Jadi penguat kuasa akan bertindak ikut aduan dan biasanya aduan itu malam.

“Hal ini sebenarnya cabaran kerana jika aduan itu didapati sah, penguat kuasa perlu bertindak tidak kira jam tiga atau dua pagi.

“Ini menyebabkan orang ramai melihatnya sebagai mengganggu ketenteraman awam dalam erti kata ketuk pintu rumah orang tengah malam, tetapi tidak bermakna penguat kuasa melakukannya sampai roboh.

“Selalunya mereka akan tunggu sampai pintu dibuka, ada kala ambil masa sampai 30 minit,” katanya.

Keadaan ini katanya perlu difahami, kerana penguatkuasaan berlaku atas aduan yang sah. Tidak timbul persoalan pihak penguat kuasa membuat intipan atau mengendap rumah persendirian berasaskan syak wasangka.

Tegas Siti Zubaidah, tindakan yang diambil oleh pihak penguat kuasa adalah berasaskan tatacara pengendalian piawai (SOP).

Satu hal yang menarik, meskipun kesalahan jenayah syariah itu terpakai kepada orang Islam, aduan yang datang dari orang bukan Islam turut diambil kira.

Siti Zubaidah berkata, kesalahan jenayah syariah di negara ini, mengalami pelbagai cabaran dan tafsiran sejak 40 tahun kewujudan dalam enakmennya tersendiri.

Bagaimanapun sebagai pensyarah Jabatan Syariah dan Undang Undang di API UM, beliau mengakui belum ada sebuah buku khas yang membincangkan mengenai jenayah syariah.

Hal ini menyebabkan beliau dan Penerbit Universiti Malaya tampil dengan naskhah Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah di Malaysia, yang pertama kali diterbitkan dua tahun lalu.

Naskhah itu turut memenangi Hadiah Karya Ilmiah kategori Seni, Sains Sosial dan Kemanusiaan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 2018.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Hubungan songsang undang bala, dosa

Posted by epondok di Disember 21, 2019

Oleh Latifah Arifin

 

ANTARA punca utama transmisi jangkitan Human Immunodeficiency Virus (HIV) adalah melalui melalui hubungan seksual melampaui batas agama khususnya membabitkan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Menurut laporan Kementerian Kesihatan bermula 1986 hingga Disember lalu, seramai 12,737 penghidap AIDS di dalam negara.

Jangkitan kuman HIV pada 2018 mencatatkan peningkatan tertinggi, iaitu 48 peratus dalam kalangan belia dan remaja yang berusia 20 hingga 39 tahun.

Maka, perbuatan segelintir masyarakat yang memperjuangkan hak golongan LGBT khususnya dalam perilaku seks songsang perlu diperbetulkan kerana ia bukan sahaja bercanggah dengan hukum syarak, bahkan demi kesejahteraan ummah yang boleh dijangkiti wabak berbahaya berkenaan.

Firman Allah SWT: “Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia, (timbulnya yang demikian kerana Allah hendak berasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan buruk yang mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Al-Rum: 41)

Golongan ini jelas melanggar konsep penciptaan jantina, iaitu lelaki dan perempuan seperti termaktub dalam al-Quran, maka kecelaruan dalam pemikiran antaranya mempersoalkan ketentuan Tuhan kononnya tidak dikurniakan bentuk tubuh yang selari dengan ‘naluri’ tidak wajar dijadikan asas atau sandaran.

Ibnu Kathir dalam kitabnya Qasas al-Anbiya’ menerangkan sikap ingkar kaum Nabi Lut AS. Mereka bertindak mengusir Baginda dan anak perempuannya, lantas membinasakan umatnya dalam keadaan hina.

Bahkan, kebanyakan ulama turut membahaskan kisah umat Nabi Lut AS sebagai pendedahan kepada penyelewengan fitrah insan yang abnormal.

Jelas, keinginan seks yang melawan arus dan menyimpang jauh daripada ajaran Allah SWT ini tindakan yang bertentangan dengan akidah Islam dan sistem hidup yang diatur-Nya.

Antara jalan terbaik untuk menangani penularan wabak penyakit berjangkit yang boleh membawa kepada risiko kematian ini adalah dengan kembali kepada asas agama.

Agama satu-satunya penyuluh hidup, melaluinya terdapat nilai rahmah kepada seluruh manusia dan sekalian alam.

Melalui ajaran Islam yang lengkap ini, ia membantu setiap umat menjalani hidup dalam keadaan terpelihara dan mengelakkan daripada terjerumus ke dalam lembah kebinasaan.

Terdapat banyak peringatan yang Allah SWT berikan bagi mengingatkan umat Islam supaya memilih cara hidup bersih, sebagai langkah pencegahan melindungi diri dan masyarakat sekeliling daripada dijangkiti penyakit berbahaya.

Firman Allah SWT: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (membawa kerosakan).” (Al-Isra’: 32)

Justeru, lambakan ‘transgender Muslim’ hari ini yang begitu lantang menafikan dosa dan kesalahan seksual dilakukan mereka dengan membawa pemikiran bebas perlu dibanteras habis-habisan.

Pada masa sama, setiap Muslim perlu memainkan peranan untuk membantu supaya mereka dapat kembali kepada fitrah yang asal dan mengambil langkah perubahan yang sewajarnya.

Proses perkembangan seorang manusia itu daripada bayi, kanak-kanak, remaja dan dewasa melalui fasa yang berbeza dan berkemungkinan ada yang dipengaruhi faktor seperti keluarga dan persekitaran sehingga mengubah orientasi seksualnya.

Sesama Muslim perlu menasihati dengan pendekatan yang tidak bersifat menghukum semata-mata, bahkan usah sekali-kali menyerang keperibadian atau menyentuh aib si pelaku kononnya untuk tujuan menegur.

Ibnu ‘Umar RA meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: “Seorang Muslim adalah saudara kepada Muslim (lainnya), dia tidak menzaliminya dan tidak membiarkannya untuk disakiti. Siapa yang membantu menunaikan hajat saudaranya, Allah akan tunaikan hajatnya. Siapa yang hilangkan satu kesusahan seseorang Muslim, maka Allah akan hilangkan satu kesusahannya daripada kesusahan-kesusahan pada Hari Kiamat. Siapa yang menutup aib seorang Muslim, Allah akan tutup aibnya pada Hari Kiamat.” (HR Bukhari)

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Perbuatan fasad rosakkan alam sekitar

Posted by epondok di Disember 18, 2019

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof

 

KELESTARIAN alam sekitar ada disebut dalam al-Quran antaranya seperti yang boleh dibaca dalam surah Hud ayat ke-61, sekali gus membuktikan Islam menitikberatkan mengenainya.

Justeru, ia seharusnya diamalkan umat Islam bermula dengan menyingkirkan perkataan ‘fasad’ dalam kamus kehidupan bagi memastikan kelestarian alam terus dinikmati generasi akan datang.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, berkata fasad bererti perbuatan manusia mencemari, merosakkan dan melumpuhkan alam sekitar hingga sistem sedia ada musnah.

“Perkataan fasad ada disebutkan dalam al-Quran seperti firman Allah SWT: “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka bertanya: Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu? Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.” (Al-Baqarah: 30)

“Fasad ini disebut lagi dalam firman Allah SWT: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang dilakukan tangan manusia; kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian balasan perbuatan buruk yang mereka lakukan, supaya mereka kembali.” (Ar-Rum: 41),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama Peranan Agama Memperoleh Kelestarian Ekologi Dalam Negara Islam pada Seminar Antarabangsa Mengenai Islam dan Kelestarian Ekologi 2019 anjuran Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS).

Zulkifli berkata, situasi hari ini sangat menyedihkan misalnya sumber air bagaikan tidak lagi dilihat penting sedangkan hal sedemikian tidak terjadi antara 40 hingga 50 tahun lalu hingga air sungai boleh diminum terus daripada sumbernya.

“Hari ini, saya yakin tidak ramai berani minum air sungai atau air belum diproses bimbang akan mati yang kerosakan itu adalah kerana kesilapan yang kita lakukan,” katanya.

Sambil mengambil tragedi pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, sebagai contoh, Zulkifli berkata, akibat kerakusan manusia, negara terpaksa mengeluarkan kos sangat tinggi untuk merawatnya, sedangkan kos memulihara mungkin tidak begitu tinggi.

“Kalimah fasad patut dihapuskan daripada manusia dan kita perlu memiliki kesedaran supaya tidak melakukannya kerana ia akan mempercepatkan lagi kerosakan alam.

“Rasulullah SAW sejak awal lagi sudah mengingatkan manusia mengenai kelestarian dan penjagaan alam sekitar yang sekiranya kita mengamalkannya insya-Allah kita berjaya,” katanya.

Tambah Zulkifli, Rasulullah SAW juga bersabda: Jika terjadi hari kiamat sementara di tangan salah seorang daripada kamu ada sebiji benih tanaman, maka jika dia mampu sebelum terjadi hari kiamat untuk menanamnya maka tanamlah. (HR Ahmad dan Bukhari)

Hadis itu katanya, menjelaskan Rasulullah SAW menekankan kepentingan menanam pokok.

“Apabila Rasulullah SAW berada di Madinah, Baginda menjaga kota itu terutama bukit-bukau yang disebutkan sebagai bukit yang menandakan Madinah. Ertinya pengekalan alam semula jadi ciptaan Allah amat digalakkan,” katanya.

Zulkifli berkata, apa yang difahami umat Islam adalah Rasulullah SAW menekankan kehidupan di dunia ini adalah bersyarikat, iaitu semuanya ada pemilikan bersama seperti sabda Baginda: Muslim berkongsi dalam tiga perkara, iaitu air, padang ragut dan api. (HR Abu Daud dan Ibnu Majah)

“Melestarikan alam sekitar perlukan usaha bersama. Kita bukan mahukan akta atau perundangan kerana yang paling mustahak ialah kesedaran dalaman.

“Kita mahu negara ini terkenal dengan alam sekitar yang indah dan sebagai negara Islam kita harus menzahirkannya,” katanya.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Waspada golongan Ruwaibidhah

Posted by epondok di Disember 3, 2019

Oleh Hafizah Iszahanid

 

Fenomena akhir zaman banyak sekali disebut dalam al-Quran dan hadis. Hal ini menjelaskan banyaknya cabaran terhadap keimanan kita yang melalui kehidupan semakin jauh daripada Rasulullah SAW.

Antara yang paling kerap ditemukan kebelakangan ini adalah kemunculan golongan Ruwaibidhah. Ruwaibidhah ialah kalimah bahasa Arab, iaitu rabhidah yang merujuk kepada individu lemah dan tenggelam dengan hal keduniaan.

Golongan Ruwaibidhah kerap disebut dalam hadis, malah Rasulullah SAW mengaitkan ruwaibidhah dengan zaman paling ditakuti.

Abu Hurairah RA meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: “Akan tiba pada manusia tahun penuh kebohongan. Saat itu, orang bohong dianggap jujur. Orang jujur dianggap bohong. Pengkhianat dianggap amanah. Orang amanah dianggap pengkhianat. Ketika itu, orang Ruwaibidhah berbicara.” Ada orang bertanya: “Siapa Ruwaibidhah itu?” Nabi menjawab, “Orang bodoh yang menguruskan urusan umum.” (HR Ibnu Majah)

Pensyarah Kanan, Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam (API), Universiti Malaya (UM), Dr Mohd Khairul Naim Che Nordin, berkata hadis itu menerangkan dua aspek, iaitu keadaan ketika berlaku dan individu yang berada dalam waktu berkenaan.

“Pada aspek ‘keadaan’, Nabi Muhammad SAW menyebut pada masa akan datang dunia penuh dengan penipuan dan tipu daya.

“Ini berlaku apabila orang yang berdusta lebih dipercayai, manakala mereka yang berkata benar ditolak dan didustakan.

“Ia zaman tipu daya apabila amanah dan tanggungjawab diserahkan kepada pengkhianat sebaliknya mereka yang amanah pula dikhianati,” katanya.

Mohd Khairul Naim mengingatkan Imam Ibnu Majah meletakkan hadis itu dalam Kitab al-Fitan (Fitnah) dan mewujudkan bab khusus, iaitu Zaman yang Dahsyat (Syiddah al-Zaman).

Jika ditelusuri hadis lain seumpama dengannya, kewujudan golongan Ruwaibidhah dikaitkan dengan tanda akhir zaman.

Sebagai contoh, Rasulullah SAW bersabda: “Apabila amanah disia-siakan, maka tunggu datangnya kiamat.” Lalu ada bertanya, “Bagaimana amanah itu disia-siakan?” Maka, Baginda menjawab: “Apabila suatu urusan diserahkan kepada bukan ahlinya, maka tunggulah kiamat.” (HR Bukhari)

Tambah Mohd Khairul Naim, hadis itu menyentuh aspek amanah dikhianati dan urusan dijalankan orang yang bukan ahlinya.

Siapakah mereka yang termasuk definisi golongan Ruwaibidhah?

Mohd Khairul Naim berkata, walaupun hadis tidak menyebut secara langsung kaitan amanah dengan pemimpin, lafaz hadis terakhir, iaitu ‘amr al-‘ammah’ merujuk kepada urusan umum atau besar. Kebiasaannya orang yang terbabit urusan sedemikian adalah dalam kalangan orang politik.

“Apatah lagi lafaz hadis lebih awal berkait amanah, maka antara ‘amanah’ paling besar ialah kemaslahatan umum.

“Namun, ia tidak menafikan keperluan kita memilih pemimpin betul pada setiap peringkat untuk setiap bidang supaya amanah dipegang dilaksanakan baik,” katanya.

Dalam hal ini Islam mempunyai kriteria menentukan dan memilih pemimpin. Misalnya perkataan ulil amr dalam surah al-Nisa’ ayat 29: “Wahai orang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul-Nya dan uli al-amri di antara kamu,” yang ditafsirkan ulama sebagai pemimpin tertinggi dalam sesebuah negara.

Oleh kerana ia dinyatakan Allah SWT dengan arahan kewajipan untuk patuh, maka pemimpin dilantik perlu memenuhi kriteria sesuai jawatan dipegang.

“Perbahasan ini sudah pasti perlu disyarahkan panjang lebar dalam wacana fiqh. Namun secara umumnya pemilihan pemimpin perlu dilihat dalam konteks kesesuaian organisasi yang mahu dipimpinnya.

“Pemilihan tidak boleh didasarkan atas sentimen, emosi dan khabar angin sebaliknya berasaskan fakta sebenar.

“Oleh sebab maslahah dipegang besar, maka perlu dipilih pemimpin beramanah, berakhlak dan bertatasusila luhur, selain memiliki visi dan matlamat jelas serta utuh dengan prinsip perjuangan,” katanya.

Mohd Khairul Naim berkata, hadis ini umumnya mengingatkan manusia untuk berhati-hati dalam memilih pemimpin.

Orang yang tidak beramanah dan tidak mahir, tetapi tetap mahu menggalas amanah itu pasti mempunyai niat serta keinginan tertentu.

Apatah lagi, kehidupan manusia pada zaman ini semakin mencabar. Misalnya, perkembangan teknologi, khususnya media sosial turut mampu mempengaruhi persepsi manusia.

Penilaian atau perspektif manusia dibuat cukup dengan satu gambar atau beberapa minit video lalu ‘hukuman’ dijatuhkan.

“Zaman ini maklumat beredar pantas dan hampir semua orang mahu membincangkan setiap isu walaupun mereka tiada keahlian.

“Akhirnya ramai menjadi ‘pakar segera’ atau instant scholar. Apabila datang sesuatu isu, maka mereka beramai-ramai meluahkan pelbagai pandangan di media sosial meskipun ia lebih bersifat sentimen dan emosi serta bukan atas dasar ilmu,” katanya.

Imam al-Ghazali mengkategorikan manusia kepada empat kumpulan. Kumpulan pertama, golongan yang sedar mereka tahu, kumpulan ini wajar dipuji kerana keilmuannya.

Kumpulan kedua tidak menyedari mereka tahu hingga perlu disedarkan dengan keilmuan mereka. Kumpulan ketiga, golongan maklum mereka tidak tahu, sekali gus mempunyai kesedaran untuk menuntut ilmu.

Bagaimanapun, kumpulan keempat tidak sedar yang mereka tidak tahu. Kelompok itu boleh dikatakan ramai pada masa kini, iaitu mereka bukan sekadar tidak tahu dengan kejahilan sendiri, tetapi berbangga dengan kejahilan.

Mohd Khairul Naim berkata, istilah bodoh sombong sesuai dinamakan untuk kumpulan ini. Justeru, ramai mahu mengurus urusan umum tanpa sedar mereka tiada keahlian dalam urusan berkenaan. Istilah inilah disebut Nabi SAW sebagai Ruwaibidhah.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Bendung jualan arak untuk lindungi masyarakat

Posted by epondok di November 26, 2019

Mohamad Muhaimin bin Mohamad Zaki

 

CADANGAN baharu Kabinet Taiwan meluluskan satu draf pindaan terhadap Kanun Keseksaan yang akan menjadikan kesalahan menyebabkan kematian ketika memandu dalam keadaan mabuk sebagai kesalahan bunuh menunjukkan betapa seriusnya bahaya arak kepada manusia.

Walaupun cadangan itu memerlukan kelulusan di peringkat parlimen, namun ia menjadi usul yang menggemparkan susulan terdapat banyak kes kematian berprofil tinggi yang mencetuskan kemarahan meluas masyarakat setempat.

Begitu juga dengan di negara kita, kes kemalangan membabitkan pemandu mabuk semakin membimbangkan. Mengapakah perkara sedemikian terjadi?

Adakah penguatkuasaan undang-undang yang lemah atau terlalu mudah minuman keras didapati di pasaran sehingga jumlah kematian saban tahun meningkat angkara minuman yang diharamkan agama Islam itu?

Menurut kacamata Islam, arak adalah perkara yang memabukkan.

Semua benda yang memabukkan walau apa pun namanya, hukum meminumnya adalah sama dengan hukum arak iaitu haram yang membawa mudarat kepada kehidupan manusia.

Menurut ijmak  ulama, pengharaman arak kerana ia memabukkan.

Oleh itu, pengharaman itu mestilah sama terhadap semua minuman yang memabukkan tanpa perbezaan walau apa jua asalnya.

Ini berdasarkan satu hadis riwayat Bukhari dan Muslim yang bermaksud, semua yang memabukkan adalah haram.

Selain itu, terdapat satu hadis riwayat Abu Dawud dan Ibn Majah daripada Abu Malik bin al-Asy’ari RA, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Demi sesungguhnya manusia dalam kalangan umatku akan minum arak yang mereka menamakannya dengan nama yang lain.”

Tidak hairanlah kita melihat lambakan arak di pasaran dijual secara terbuka terutama di premis 24 jam.

Ia  boleh membawa kesan serius kepada masyarakat jika tidak dibendung.

Ketika seseorang berada dalam keadaan mabuk, pemikiran akan menjadi terlalu kacau sehingga menghalang fungsi akal.

Al-Quran menukilkan dalam Surah al-Maidah, ayat ke-91, yang bermaksud: “Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu, dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?”

Disebutkan juga dalam satu hadis balasan bagi mereka yang meminum arak ketika hidup di dunia.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menjanjikan azab kepada peminum arak dengan minuman lumpur kebinasaan. Sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah lumpur kebinasaan itu?” Baginda menjawab: “Peluh penghuni neraka atau perahan ahli neraka.” (Hadis riwayat Muslim)

Arak adalah kunci segala kejahatan. Bahana arak boleh menyebabkan keluarga bahagia menjadi porak-peranda  dan pekerja yang berdedikasi menjadi seorang yang bermasalah.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Akhlak Nabi teladan umat Islam, dikagumi Barat

Posted by epondok di November 25, 2019

Oleh Latifah Arifin

 

PADA ambang akhir zaman ini menyaksikan serangan terhadap Islam jelas lebih berani dan ekstrim, ditambah keruntuhan akhlak dan keperibadian umat Islam yang berjaya dimanipulasi musuh agama ini.

Lebih menyedihkan, Nabi Muhammad SAW yang sewajarnya dijadikan suri teladan setiap Muslim difitnah dan ditohmah dengan pelbagai dakwaan yang turut berpunca kegagalan kita mencontohi kemuliaan akhlak Baginda.

Sabda Rasulullah SAW: Aku tidak diutuskan (oleh Allah) kecuali hanyalah untuk menyempurnakan akhlak mulia. (HR Ahmad)

Sejauh manakah kita sedar pentingnya untuk tidak sekadar mengagumi keperibadian dan akhlak mulia Rasulullah SAW dengan lisan semata-mata, sebaliknya menterjemahkannya dalam kehidupan seharian.

Penulis dan pendakwah, Hadi Fayyadh, berkata kehidupan tidak dipandu akhlak murni menyebabkan masyarakat akan sentiasa dibelenggu perasaan takut, bimbang serta tidak aman.

“Jenayah akan meningkat dan nilai kemanusiaan tidak lagi dipandang bahkan nyawa seolah-olah tiada lagi harga dan nilainya.

“Pemimpin pula tidak lagi dipercayai kerana skandal dan salah laku hingga rakyat tidak lagi boleh meletakkan kredibiliti dan harapan sebagai pelindung dan penyelamat,” katanya.

Justeru, Hadi Fayyadh berkata, berbekalkan akhlak mulia seperti ditunjukkan Rasulullah SAW, segala masalah hidup dapat diselesaikan dengan baik.

Beliau berkata, alasan segelintir masyarakat yang menyifatkan mustahil untuk mengikuti jejak langkah Rasulullah SAW jelas tidak boleh diterima.

Ini kerana sunnah dan kehidupan Rasulullah SAW bersesuaian pada setiap masa hatta dalam gaya hidup moden kerana asasnya ia mengajak kita mengamalkan kesederhanaan dalam apa sahaja situasi.

“Ia tidak sesukar yang disangka tetapi mungkin kita tidak memiliki ilmu dan pendedahan sebenar terhadap Rasulullah SAW hingga ada yang keliru dan tidak faham konsep sebenar akhlak Baginda.

“Cuba kita belajar dan fahami dengan menjadikan Rasulullah SAW sebagai ikutan, maka sifat serta akhlak Baginda akan mudah diikuti dan mampu diteladani,” katanya.

Antara sifat yang perlu diteladani, kata Hadi Fayyadh, ialah pemurah hingga setiap hari, Baginda akan memastikan harta dimilikinya didermakan kepada fakir miskin.

Rasulullah SAW bersabda: Orang pemurah itu dekat dengan Allah, dekat dengan manusia dan jauh dari api neraka.

Orang kedekut itu jauh dari Allah, jauh dari manusia dan dekat dengan neraka. Sesungguhnya orang bodoh tetapi pemurah itu lebih disayangi Allah daripada abid yang bakhil. (HR Tirmizi)

Mengulas tutur bicara Rasulullah SAW, Hadi Fayyadh menyarankan ada banyak yang mampu kita lakukan kerana kesungguhan untuk menyempurnakannya berkait dengan keikhlasan hati masing-masing.

“Ketika berbicara, Baginda menggunakan ayat ringkas, padat, lengkap dan mudah difahami pendengar.

“Baginda tidak akan bercakap melainkan perkara penting dan terdapat keperluan serta tidak akan meninggikan suara melainkan untuk menyatakan hal benar dan apabila berkait hak Allah SWT,” katanya.

Hadi Fayyadh berkata, akhlak Rasulullah SAW amat luar biasa kerana ia antara perkara paling banyak dibicarakan hatta dalam kalangan musuh Islam.

“Akhlak Rasulullah SAW ialah al-Quran, terpancar sepanjang zaman walaupun sudah lama wafat tetapi masih ramai tertarik dengan Islam kerana terpesona dengan akhlak Baginda.

“Rasulullah SAW sangat mengasihi anak yatim, berlemah-lembut dengan golongan tua, sangat menyintai jiran tetangga dan golongan fakir hingga sanggup berlapar demi berkongsi sebiji kurma walaupun hanya itu yang Baginda miliki,” katanya.

Beliau menambah, pengarang Barat seperti Michael H Hart menobatkan Rasulullah SAW sebagai figura di tempat pertama daripada 100 tokoh manusia paling berpengaruh di dunia.

“George Bernard Shaw menyatakan Rasulullah SAW memiliki peribadi sangat agung dan penyelamat kemanusiaan.

“Beliau sangat meyakini andai Rasulullah SAW masih hidup dan menjadi pemimpin di dunia moden ini, maka Baginda mampu mengatasi segala permasalahan serta membawa kedamaian serta kebahagiaan yang diperlukan dunia,” katanya.

Menurut Hadi Fayyadh, terlalu banyak sirah Rasulullah SAW yang mempamerkan keindahan akhlak Baginda yang tiada tolok-bandingnya.

“Seorang Arab Badwi pernah menarik kain rida’ yang dipakai Nabi SAW buatan Najran yang kainnya kesat dengan kasar hingga berbekas leher Baginda.

“Namun, Rasulullah SAW tidak marah, sebaliknya menghadiahkan jubah itu kepadanya,” katanya.

Ada juga seorang wanita tua selalu menyakiti Rasulullah SAW dengan meletakkan halangan seperti duri dan najis di jalan yang selalu dilalui Baginda tetapi tidak pernah bertindak balas.

Malah, ketika wanita itu sakit, Rasulullah SAW menziarahi dan menunjukkan kasih sayang terhadapnya.

“Wanita itu terharu dengan kebaikan Rasulullah SAW, lantas memeluk Islam di tangan Baginda,” katanya.

Beliau berkata, jika dihayati setiap kebaikan daripada akhlak Rasulullah SAW, ia wajar menjadi acuan kepada umat hari ini untuk menunjukkan pendekatan dakwah terbaik.

“Kita banyak bercakap daripada bertindak dan gemar menghukum daripada mendidik sedangkan dakwah itu kasih sayang.

“Rasulullah SAW mengajarkan ada ketika perlu berlemah-lembut dan pada waktu tertentu mesti bertegas yang bergantung kepada keadaan,” katanya.

Hadi Fayyadh berkata, akhlak ialah nadi utama dalam pembangunan manusia dan penting kerana mencorak tingkah laku manusia, mencerminkan keimanan dan menentukan kejayaan hakiki sesebuah tamadun.

“Pertimbangan dalam soal pembangunan material tidak mencukupi kerana sudah terbukti banyak tamadun runtuh kerana kerosakan daripada sudut akhlak,” katanya

Posted in Artikel Pilihan, Fokus Isu | Leave a Comment »

Islam kembalikan martabat wanita

Posted by epondok di November 19, 2019

Fahimi Zakaria

 

SETIAP kali berbicara soal wanita, terbayang di benak fikiran mereka golongan lemah, wajib dilindungi dan orang penting di belakang seorang lelaki.

Pada zaman jahiliah, wanita tiada nilai kemuliaan sedikitpun, bahkan hanya dijadikan pemuas nafsu lelaki yang tiada pedoman.

Lebih dahsyat, bayi perempuan turut ditanam hidup-hidup. Sejarawan Islam menyebut, zaman itu bermula sejak kurun ke-7 sebelum kelahiran Rasulullah SAW iaitu sekitar 250 tahun sebelum Baginda diangkat menjadi Rasul. (Rujuk Mukhtasar fi nasha’h al-lughah al-‘arabiyyah wa lahjatiha wa ‘ulumiha, 2011)

Selain itu, sejarawan Islam turut menceritakan masyarakat Arab pada zaman jahiliah sangat benci wanita, bahkan mereka berasa malu jika isteri melahirkan bayi perempuan.

Justeru, mereka menanam bayi perempuan hidup-hidup dan membunuh hanya kerana rasa malu dan tidak mahu dihina orang lain. (Rujuk Dustur al-usrah fi zilal al-Quran, 1987)

Allah SWT merakamkan keadaan mereka dalam al-Quran yang bermaksud: “Apabila dikhabarkan kepada mereka dengan kelahiran anak perempuan, maka berubahlah wajah mereka menjadi warna hitam kerana menahan kemarahan. Lalu disembunyikan berita itu disebabkan buruknya perkara itu. Justeru, dia berkira-kira sama ada untuk terus menjaganya dengan penuh kehinaan atau menguburkannya sahaja. Alangkah buruknya apa yang dilakukan itu.” (Surah al-Nahl, ayat 58)

Jika tidak menanam bayi dalam keadaan hidup, mereka tetap akan letak bayi itu di tempat yang hina sehingga dia besar dengan dipakaikan pakaian jijik sebelum dihantar ke kawasan pedalaman sebagai pengembala unta.

Bagi isteri kematian suami pula, seluruh harta peninggalan suami akan diambil termasuk pakaian yang dipakainya.

Tiada siapa lagi akan mengahwininya melainkan dia akan beranak-pinak tanpa bersuamikan yang halal.

Jika wanita itu kaya, mereka akan membunuh suaminya dan memaksa berkahwin dengan salah seorang daripada mereka.

Setelah itu, hartanya diambil lalu diceraikan semula secara zihar (menyamakan anggota syahwat isterinya dengan ibunya).

Bagaimanapun, selepas kedatangan Islam, wanita diangkat ke martabat yang mulia di sisi Allah dan Rasul-Nya.

Peranan dan kedudukan wanita lebih jelas ketika Islam memegang tampuk pemerintahan di Madinah.

Mereka bukan lagi pengembala, pembawa sial dan manusia hina, tetapi menjadi sayap kiri perjuangan Islam.

Di posisi perjuangan Islam dibawa Rasulullah SAW, golongan wanita banyak berjasa dan berdiri teguh di belakang tentera Islam.

Dalam peristiwa Hijrah, As-ma’ bin Abu Bakar menghantar makanan kepada Rasulullah dan bapanya, Abu Bakar.

Jika disebut pula wanita bernama Khadijah binti Khuwailid, beliau memberi sumbangan besar terhadap perjuangan Islam.

Islam dipandang oleh masyarakat Arab kerana adanya wajah jutawan takwa seperti beliau.

Bahkan, perkahwinan Baginda SAW dengan isteri-isterinya antara lain bagi menjaga kemuliaan wanita dan agamanya.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »