Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for the ‘Artikel Ramadhan’ Category

Penerusan ibadat selepas Ramadhan

Posted by epondok di Mei 23, 2020

BATAS agama dalam melaksanakan jamuan rumah terbuka mestilah dijaga dengan menjauhi pembaziran kerana ia bercanggah dengan kehendak agama.

Anugerah akal fikiran adalah penghormatan Allah SWT kepada manusia bagi membezakan mereka dengan makhluk lain. Sudah semestinya ia digunakan pada perkara paling utama iaitu mencari keredaan Allah SWT. Keredaan Allah SWT adalah matlamat semua ibadah yang dilakukan termasuklah puasa yang sudah dan bakal kita lakukan seterusnya. Matlamat takwa daripada ibadah puasa yang dimaksudkan al-Quran dalam ayat 183, Surah al-Baqarah membawa natijah kepada kemuncak kejayaan ibadah itu iaitu keredaan yang Maha Esa. Firman Allah SWT bermaksud: “Dan sesungguhnya kepada Tuhanmu kesudahan setiap sesuatu”. (Surah an-Najm, ayat 42).

Kejahilan manusia dalam menentukan matlamat mereka adalah faktor utama yang mengundang kepada kesesatan umat. Terkadang mereka lebih menumpukan kepada keredaan manusia sehingga membawa kepada musibah syirik terhadap Allah SWT. Hakikat sebenar, menuntut keredaan semua manusia adalah satu matlamat yang tidak akan tercapai. Maka, keredaan Allah SWT adalah matlamat sebenar kehidupan manusia sehingga bertemu Allah SWT. Untuk mencapai matlamat sebenar ibadah puasa ialah melalui panduan wahyu daripada insan yang maksum iaitu Baginda Nabi SAW.

Kelazatan ibadah

Al-Quran yang diturunkan pada Ramadan yang baharu berlalu dan masih terasa bahang kelazatan ibadah pada bulan yang penuh keberkatan. Maka, selepas selesai ibadah puasa Ramadan yang lalu, diharap dapat menjana banyak tenaga dalam proses meneruskan ibadah kita pada bulan seterusnya. Berbahagialah mereka yang mendapat kemanisan ibadah dengan rukuk, sujud, bersedekah, berzikir dan membaca al-Quran. Hadis Qudsi menyebut bahawa: “Wahai hamba-Ku, sesungguhnya itulah amalan kamu yang akan Aku hitung dan akan Aku memberi ganjaran untuknya. Sesiapa yang mendapat kebaikan daripadanya, hendaklah dia memuji syukur kepada-Ku. Jika sebaliknya, janganlah dia menyalahkan orang lain selain dirinya sendiri”. (Riwayat Muslim dari Abu Zarr).

Dalam dunia yang penuh dengan cabaran ini, petunjuk daripada Allah SWT amatlah diperlukan kerana pengaruh keduniaan amatlah tebal ketika manusia berada pada akhir zaman. Baginda SAW pernah berkata kepada Syaddad bin Aus bermaksud: “Wahai Syaddad, jika kamu melihat manusia berlumba-lumba mengumpulkan emas dan perak, maka pada ketika itu, janganlah kamu lupa menyebut, Ya Allah, aku memohon agar ditetapkan dalam ketaatan, bersungguh-sungguh dalam mencari kebenaran. Aku memohon rahmat dan keampunan daripada-Mu, sentiasa bersyukur terhadap nikmat-Mu serta kesempurnaan ibadah terhadap-Mu. Aku memohon kesejahteraan hati, kebenaran lidah yang tidak bertulang, aku memohon kebaikan dan berlindung daripada sebarang keburukan yang Engkau lebih mengetahui kerana Engkau adalah Tuhan yang mengetahui segala yang ghaib’. (Riwayat Ahmad dan Tabrani).

Manusia mestilah sentiasa berada dalam ketaatan walau di mana mereka berada, sama ada Ramadan atau sebaliknya dan sentiasa berdoa agar ditetapkan hati mereka untuk meneruskan kebaikan. Saidatina A’isyah pernah ditanya bagaimana keadaan Baginda SAW. Adakah Baginda mengkhususkan suatu hari untuk beribadah atau bagaimana? Maka jawab A’isyah: “Tidak, Baginda SAW tidak pernah menjadikan ibadah sebagai bermusim, malah Baginda SAW sentiasa dalam keadaan beribadah. Adakah kamu mampu berbuat demikian?” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Justeru, kesinambungan puasa dapat diteruskan dengan puasa enam hari pada Syawal kerana ia adalah sunah yang kekal sehingga hari kiamat. Ini dijelaskan oleh hadis daripada Abu Ayub al-Ansari bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan dan diikuti dengan enam hari pada bulan Syawal, seolah ia berpuasa sepanjang tahun”. (Riwayat Muslim).

Ditafsirkan oleh hadis daripada Tsauban dengan menyebut Baginda SAW bersabda bermaksud: “Sesiapa melakukan satu kebaikan akan dikurniakan ganjaran dengan sepuluh pahala”. (Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah).

Bagaimanapun menyambut hari raya selepas berpuasa enam hari tiada dalam syariat Islam. Ini dijelaskan dengan peristiwa Baginda SAW memasuki kota Madinah ketika itu penduduk Madinah memiliki dua hari kebesaran yang diraikan. Rasulullah SAW bertanya : “Hari apakah ini? Mereka menjawab, ia adalah dua hari yang kami suka bermain-main padanya pada zaman jahiliah. Maka Rasulullah SAW bersabda: “Sungguh Allah telah menggantikan kalian dengan yang lebih baik daripadanya, iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.” (Riwayat Ahmad, Abu Dawud dan Al-Hakim)
Program jamuan pada Syawal adalah menjadi kebiasaan warga kota selain memenuhi tuntutan agama dalam mengeratkan silaturahim seperti dianjurkan Islam. Firman Allah SWT bermaksud: “Dan hendaklah kamu beribadah kepada Allah dan jangan kamu sekutukan Dia dengan sesuatu pun juga dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak yatim dan orang miskin dan jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh dan rakan sejawat dan orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri”. (Surah an-Nisa’, ayat 36).

Sabda Baginda SAW bermaksud: “Mahukah aku memberitahu kamu suatu perkara yang dengannya, Allah akan memuliakan binaan (kedudukan seseorang) dan mengangkatnya kepada beberapa darjat ketinggian. Mereka menjawab: Ya wahai Rasulullah. Baginda bersabda: “Berlemah-lembutlah kamu terhadap orang jahil, maafkanlah orang yang menzalimi kamu, hulurkanlah pemberian kepada orang yang menahan pemberiannya kepadamu dan menyambung ikatan silaturahim terhadap orang yang memutuskannya terhadap kamu.” Baginda SAW bersabda maksudnya: “Sesungguhnya seorang Mukmin kepada Mukmin yang lain bagaikan satu bangunan yang saling mengukuhkan antara satu sama lain”. (Riwayat Bukhari).

Namun batas agama dalam melaksanakan jamuan rumah terbuka mestilah dijaga dengan menjauhi pembaziran kerana ia bercanggah dengan kehendak agama. Kesimpulannya, Ramadan yang ditinggalkan mestilah memberi kesan dalam jiwa orang yang beriman sehingga mereka dapat meneruskan momentum ibadah sehingga Ramadan akan datang. Jika perniagaan yang mendapat pulangan sehingga tahun hadapan, maka perniagaan itu dianggap berjaya. Kejayaan ini mesti diiringi dengan doa dan harapan agar dipertemukan dengan Ramadan yang akan datang. Kita hendaklah memastikan ibadah puasa dilakukan mencapai matlamat takwa sebenarnya

Posted in Amalan Pilihan, Artikel Ramadhan | Leave a Comment »

Kelebihan Qiamullail

Posted by epondok di Mei 20, 2020

1.      Daripada Abu Hurairah : Aku bertanya : Wahai Rasulullah! Beritahulah kepadaku tentang suatu amalan yang membolehkan aku masuk Syurga lalu nabi s.a.w bersabda yang bermaksud : Sebarkanlah salam, jamukanlah makan, dirikanlah solat sedangkan manusia lain sedang tidur nescaya engkau akan masuk Syurga dengan selamat – Dikeluarkan oleh Imam Ahmad, Hakim dan Ibnu Habban dengan sanad sohih

2. Daripada Abdullah bin Salam katanya bahawa nabi s.a.w bersabda yang bermaksud : Wahai sekalian manusia! Sebarkanlah salam, jamukanlah makan, jalinkanlah silaturrahim dan bangunlah untuk dirikanlah solat sedangkan manusia lain sedang tidur nescaya kamu akan masuk Syurga dengan selamat – Dikeluarkan oleh Tarmizi, Ahmad, Hakim, Darimi, Ibnu Majah dan Ibnu Saad dengan sanad sohih

3. Daripada Abu Hurairah katanya bahawa nabi s.a.w bersabda yang bermaksud : Puasa yang paling afdhal selepas puasa Ramadhan ialah puasa pada bulan Allah Muharram dan sembahyang sunat yang paling afdhal selepas solat fardhu ialah solat pada waktu malam – Dikeluarkan oleh Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasaie, Ibnu Khuzaimah, Ahmad, Darimi, dan Baihaqi dengan sanad sohih

4. Daripada Abdullah ibnu Umar katanya bahawa nabi s.a.w bersabda yang bermaksud : Wahai Abdullah ibnu Umar! Janganlah engkau menjadi seperti si Pulan di mana dia bangun pada waktu malam tetapi dia tidak melakukan ibadat qiamullail – Dikeluarkan oleh Imam Bukhari, Muslim, Ibnu Majah dan Ahmad  dengan sanad sohih


Rujukan :

1. Abi Abdullah Muhammad bin Nasir al-Mirwazi, Mukhtasor Qiamullail, diringkaskan oleh Ahmad bin Ali al-Maqrizi, Maktabah al-Manar, cet. pertama 1993

Posted in Amalan Pilihan, Artikel Ramadhan | Leave a Comment »

Perbanyak doa bertemu Lailatulqadar

Posted by epondok di Mei 15, 2020

Ramadan adalah bulan yang sangat tinggi darjat dan besar martabatnya di sisi Allah SWT serta Rasul-Nya. Pada bulan itu terdapat satu malam istimewa yang lebih baik dan lebih utama daripada seribu bulan iaitu malam Lailatulqadar.

Malam Lailatulqadar adalah bonus dan anugerah Allah SWT untuk umat Nabi Muhammad SAW yang hanya berlaku pada setiap Ramadan.

Malam istimewa

Lailatulqadar adalah satu malam yang teristimewa mengandungi peristiwa penting bagi kemuliaan insan, malam penuh kelebihan dan keutamaan yang mana siapa beribadah pada malam itu, maka dilipatgandakan pahalanya lebih daripada beribadah seribu bulan.

Pada malam itu juga Nabi Muhammad SAW bersungguh-sungguh beribadah melebihi malam Ramadan yang lain. Disebutkan dalam hadis: Adalah Nabi SAW, beribadah dengan (lebih) bersungguh dan kuat 10 malam terakhir Ramadan, tidak seperti Baginda beribadah pada malam yang lain. (Riwayat Muslim)

Ringkasnya, Lailatulqadar adalah malam berkat yang diturunkan padanya al-Quran (secara sepenuhnya dari Lawh Mahfuz ke Baytil Izzah di langit dunia sebelum diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW secara berperingkat).

Pada malam Lailatulqadar Rasulullah SAW menganjurkan umat Islam supaya bersedia menyambut dan menghayati malam yang berkat itu dengan pelbagai amalan dan ibadah.
Malam Lailatulqadar berlaku tidak dapat diketahui kedudukannya yang tepat bilakah ia akan terjadi, tetapi kita sebagai umat Islam digalakkan meningkatkan amalan ibadah pada setiap malam pada bulan Ramadan supaya dapat diketemukan dengan malam itu dan tidak hanya beribadah pada malam tertentu saja.

Sebahagian ulama berpendapat malam Lailatulqadar berlaku pada sepuluh malam terakhir Ramadan yang mana besar kemungkinan pada malam ganjil iaitu malam 21, 23, 25, 27 atau malam ke 29.

Lailatulqadar 10 malam terakhir Ramadan

Hadis riwayat Imam al-Bukhari daripada Aisyah, Rasulullah SAW bersabda:

Carilah Lailatulqadar pada malam-malam yang ganjil pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadan.

Walaupun tidak dijelaskan bilakah tepatnya berlaku malam Lailatulqadar, kebanyakan ulama sepakat mengatakan ia berlaku pada 10 malam terakhir Ramadan. Rasulullah SAW diceritakan lebih tekun beribadah pada 10 malam terakhir Ramadan.

Umat Islam yang ditakdirkan bertemu malam Lailatulqadar digalakkan memperbanyakkan doa memohon keampunan kepada Allah SWT daripada segala dosa yang dilakukan seperti dianjurkan Rasulullah SAW.

Ada beberapa kelebihan malam Lailatulqadar yang telah dianugerahkan Allah SWT kepada hamba-Nya iaitu dengan memberi balasan dan ganjaran istimewa bagi hamba-Nya yang taat serta ikhlas melaksanakan ibadah sepanjang bulan Ramadan.

Posted in Amalan Pilihan, Artikel Ramadhan | Leave a Comment »

Tanda Lailatul Qadar

Posted by epondok di Mei 14, 2020

Lailatul Qadar merupakan satu malam yang mempunyai kelebihan lebih seribu bulan yang lain. Ini dapat kita lihat daripada apa yang telah dinukilkan oleh Allah di dalam al-Quran dalam surah al-Qadar. Begitu juga dengan apa yang telah diberitahu oleh Rasulullah S.A.W dalam beberapa hadis yang sohih. Kita digalakkan untuk menghidup malam lailatul qadar dan tidak membiarkannya berlalu begitu sahaja. Rasulullah S.A.W telah bersabda dalam hadis muttafaq ‘alaih daripada Abu Hurairah yang bermaksud : Sesiapa yang menghidupkan malam lailatul qadar penuh keimanan dan keikhlasan akan diampun baginya dosa yang telah lalu.

Menurut imam Fakhrurrazi bahawa Allah menyembunyikan malam lailatul qadar daripada pengetahuan kita sebagaimana Dia menyembunyikan segala sesuatu yang lain. Dia menyembunyikan keredhaanNya pada setiap ketaatan sehingga timbul dalam diri kita keinginan untuk melakukan semua ketaatan atau ibadat itu. Begitu juga Dia menyembunyikan kemurkaanNya pada setiap perkara maksiat agar kita berhati-hati dan menjauhi segala maksiat dan tidak memilih antara dosa besar dan kecil untuk melakukannya kerana dosa kecil jika terus dilakukan secara berterusan akan menjadi dosa besar jika kita tidak bertaubat dan berusaha meninggalkannya. Dia menyembunyikan wali-waliNya agar manusia tidak terlalu bergantung kepada mereka dalam berdoa sebaliknya berusaha sendiri dengan penuh keikhlasan dalam berdoa untuk mendapatkan sesuatu daripadaNya kerana Allah menerima segala doa orang yang bersungguh-sungguh dan tidak mudah berputus asa. Dia menyembunyikan masa mustajab doa pada hari Jumaat supaya kita berusaha sepanjang harinya. Begitulah juga Allah menyembunyikan penerimaan taubat dan amalan yang telah dilakukan supaya kita sentiasa istiqamah dan ikhlas dalam beramal dan sentiasa bersegera dalam bertaubat. Demikianlah juga dengan penyembunyian malam lailatul qadar agar kita membesarkan dan menghidupkan keseluruhan malam Ramadhan dalam mendekatkan diri kepadaNya bukan hanya sekadar menunggu malam lailatu qadar sahaja untuk beribadat dan berdoa. Tetapi inilah penyakit besar yang menimpa umat Islam yang menyebabkan malam-malam Ramadhan lesu kerana mereka hanya menanti malam yang dianggap malam lailatul qadar sahaja untuk beribadat. Kerana mengejar kelebihan lailatul qadar yang mana kita tidak mengetahui masanya yang tertentu menyebabkan kita terlepas dengan kelebihan Ramadhan itu sendiri yang hanya datang setahun sekali.

Antara tanda-tanda dalam mengetahui malam lailatul qadar adalah berdasarkan beberapa hadis di bawah :

1. Abi Ibnu Ka’ab telah meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda mengenai lailatul qadar yang bermaksud : Sesungguhnya matahari yang keluar pada hari itu tidak begitu bercahaya (suram). – Hadis riwayat imam Muslim dalam kitab puasa –

2. Telah diriwayatkan daripada Nabi S.A.W bahawa baginda telah bersabda yang bermaksud : Sesungguhnya tanda-tanda lailatul qadar, bahawa malamnya bersih suci seolah-olah padanya bulan yang bersinar, tenang sunyi, tidak sejuk padanya dan tidak panas, tiada ruang bagi bintang untuk timbul sehingga subuh, dan sesungguhnya tanda-tandanya matahari pada paginya terbit sama tiada baginya cahaya seperti bulan malam purnama tidak membenarkan untuk syaitan keluar bersamanya pada hari itu. – Hadis riwayat imam Ahmad dengan isnad jayyid daripada Ibadah bin As-Somit –

3. Dalam Mu’jam At-Tobarani Al-Kabir daripada Waailah bin Al-Asqa’ daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Malam lailatul qadar bersih, tidak sejuk, tidak panas, tidak berawan padanya, tidak hujan, tidak ada angin, tidak bersinar bintang dan daripada alamat siangnya terbit matahari dan tiada cahaya padanya(suram).

4. Telah meriwayat Al-Barraz dalam musnadnya daripada Ibn Abbas bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Malam lailatul Qadar bersih tidak panas dan tidak pula sejuk.

Qadhi ‘Iyad telah mengatakan ada dua pendapat mengenai matahari yang terbit tanpa cahaya iaitu:

1) Ia merupakan tanda penciptaan Allah SWT.
2) Menunjukkan bahawa kerana terlalu banyak para malaikat yang berzikir kepada Allah pada malamnya dan mereka turun ke bumi yang menyebabkan sayap-sayap dan tubuh  mereka yang halus  menutupi dan menghalangi matahari dan cahayanya.
Daripada hadis-hadis di atas bolehlah kita buat kesimpulan bahawa antara tanda-tanda lailatul qadar ialah :

a. Pada malamnya keadaan bersih dengan cuaca tidak sejuk dan tidak pula panas.

b. Malamnya tenang yang mana terang dan angin tidak bertiup sebagaimana biasa dan awan agak nipis.

c. Malamnya tidak turun hujan dan bintang pula tidak bercahaya seolah-olah tidak timbul.

d. Pada siangnya pula matahari terbit dalam keadaan suram.

Posted in Amalan Pilihan, Artikel Ramadhan | 1 Comment »

Pengertian Sebenar Lailatul Qadar

Posted by epondok di Mei 11, 2020

Mohd. Shauki Abd. Majid

 

Salah satu masa dan ketika yang ditunggu-tunggu oleh orang-orang beriman dalam  bulan Ramadan adalah  Laylat Al-Qadr (secara popular dilafazkan “lailatulqadar”). Malam itu disebut dengan lailatulqadar, suatu malam yang dinilai oleh al-Quran sebagai malam yang penuh barakah dan malam yang lebih baik daripada seribu bulan.

Secara harfiah Laylat Al-Qadr bermaksud “Malam Penentuan” atau “Malam Kepastian” – jika kata-kata  qadr difahami sebagai suatu asal dengan kata-kata taqdir. Tetapi ada juga yang menberi makna Laylat Al-Qadr dengan “Malam Kemahakuasaan”, iaitu jika kata-kata qadr difahami  sebagai suatu asal dengan kata-kata al-Qadir yang bermaksud “Yang Maha Kuasa” iaitu salah satu sifat Tuhan.

Lailatulqadar sangat dimuliakan oleh umat Islam kerana pada malam tersebut turun rahmat dan kebaikan daripada Allah SWT kepada umat-Nya. Pengalaman mendapatkan lailatulqadar merupakan pengalaman spiritual dan individual. Tidak semua orang mampu mendapatkan malam seribu malam ini. Ia tidak boleh dicapai begitu sahaja dengan hanya kehadiran kita pada malam-malam ganjil di sepuluh malam terakhir bulan Ramadan, kerana perjumpaan dengan lailatulqadar merupakan puncak prestasi kerohanian setelah melakukan banyak kegiatan rohani pada bulan Ramadan.

Dikatakan bahawa malam tersebut para malaikat turun, begitu juga ruh (yang dalam hal ini ialah ruh kudus atau malaikat Jibril pembawa wahyu Tuhan).Mereka turun dengan membawa ketentuan tentang segala perkara bagi seluruh alam khususnya umat manusia. Malam itu adalah malam kedamaian hingga terbit fajar.

Kalau kita berbicara tentang Nuzul Quran, sangat wajarlah bagi kita sebagai hamba Allah SWT secara khusyuk dan rendah hati menghayati suasana malam diturunkannya al-Quran sebagaimana yang tersebut dalam surah al-Qadr ayat 1 hingga 5 yang bermaksud;

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran ini pada malam Lailatulqadar, dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatulqadar? Malam Lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut; Sejahteralah malam yang berkat itu hingga terbit fajar!”
Meskipun kata-kata ‘malam’ disebut dalam al-Quran sebanyak 92 kali, namun khusus untuk malam Qadr ini diberikan kehormatan yang amat tinggi sekali. Ia dinamakan ‘malam’ yang diberi berkat kerana turunnya al-Quran pada malam itu bersama seluruh malaikat di bawah pimpinan malaikat Jibril.

Penghormatan ini berlangsung satu malam suntuk dengan tenang dan aman damai sehingga terbitnya fajar pagi. Sengaja digambarkan oleh Allah SWT dengan kata ‘salam’ akan ketenangan malam yang semalaman itu sebagai kiasan daripada mesej dan isi yang dibawa oleh kitab suci iaitu perdamaian.

Inilah satu penghormatan yang begitu besar pernah terjadi dalam coretan seluruh sejarah kemanusiaan. Justeru Lailatulqadar sentiasa segar dan hidup setiap tahun sepanjang perjalanan sejarah manusia untuk memperingati peristiwa turunnya wahyu Allah SWT.

Di dalam Surah al-Qadr juga disebut malam Lailatulqadar melebihi seribu bulan. Ini bermakna amal yang dilakukan pada semalaman Lailatulqadar melebihi pahalanya daripada amal seribu bulan. Banyak ulama menjelaskan seribu bulan itu bukanlah memperhitungkan angka yang tepat, tetapi dimaksudkan kemuliaan Lailatulqadar berbanding dengan segala hari dan malam yang lainnya, iaitu suatu saat yang tidak terhingga ketinggian nilainya.

Apakah hikmat Allah tidak menyebut mana satu hari akan berlakunya Lailatulqadar. Berdasarkan pada hadis Nabi, Lailatulqadar akan jatuh pada tarikh ganjil di akhir bulan Ramadan iaitu 21, 23, 25, 27, dan 29. Ia terjadi pada salah satu malam itu dan hanya Allah sahaja yang mengetahui waktunya yang tepat.

Panduan inilah yang sering digunakan oleh umat Islam untuk mengisi hari-hari itu dengan meningkatkan amal-amal yang soleh. Mereka optimis dan mempunyai harapan yang tinggi dan mengharapkan amal yang dilakukan bertepatan dengan Lailatulqadar yang nilai pahalanya ribuan bulan.


Metafora 

Sebenarnya Rasulullah SAW sendiri tidak pernah menjelaskan apa yang dimaksudkan Lailatulqadar dan bila ia berlaku. Suatu ketika Rasulullah SAW bersabda kepada orang ramai yang berkumpul di masjid menunggu Lailatulqadar, katanya: apa yang kamu tunggu-tunggu malam ini akan datang kerana aku telah melihat dalam visi (rukyah) bahawa akan berlaku hujan lebat kemudian aku berlumuran dan basah kuyup oleh air. Pada malam itu memang terjadi hujan lebat.

Justeru bangunan masjid di zaman Nabi SAW diperbuat dari daun kurma maka air hujan mudah menitis masuk ke dalam lantai masjid yang bertanah. Umat Islam yang ada pada saat kejadian tersebut melihat apa yang dikatakan Nabi SAW. Rasullullah SAW dengan mukanya yang basah kuyup dan badannya yang berlumuran tanah liat lalu mengatakan itulah yang kau tunggu-tunggu. Justeru Lailatulqadar adalah persoalan rohani, maka tidak ada kata-kata yang mapan untuk menjelaskan. Ia hanya boleh diungkap melalui simbol atau metafora.

Di sinilah timbul masalah tafsir dan takwil di mana Nabi SAW dengan lumpur dan basah dengan air sebenarnya adalah suatu peringatan kepada kita bahawa tingkat paling tinggi daripada pengalaman rohani itu adalah kalau kita sudah kembali ke asal. Dari mana kita berasal kalau tidak dari tanah dan air. Jadi yang diambil Nabi SAW satu perlambangan bahawa kita pun akan kembali ke tanah dan menjadi air. Kita harus menyedari siapa kita di sisi Allah dan harus menjadi manusia berhati rendah dan janganlah menjadi manusia takbur yang membuat pintu syurga tertutup rapat dan tidak dapat masuk ke dalamnya.

Tidak ada kebahagiaan yang ingin dicapai melainkan kebahagiaan hakiki di sisi Allah SWT. Inilah yang kita cari dalam tahap rohani puasa – yang kita alami melalui satu simbolisasi dari Lailatulqadar. Tetapi semuanya memang harus dimulai dengan tanah dan air atau perkataan lainnya, kesedaran tentang diri kita yang sebenarnya. Jika orang yang ikhlas ada tandanya, maka demikian juga orang yang mendapat Lailatulqadar pasti ada tandanya jua. Pertama, apakah kita sudah semakin memahami maksud-maksud suci Allah ketika membaca al-Quran?

Kedua, apakah ibadat kita sudah lebih banyak, lebih baik, dan nikmatnya? Ketiga, apakah kita melihat manusia sebagai satu kesatuan tanpa dipilih oleh mana- mana mahzab? Keempat, apakah kita sudah berasa jijik melakukan dosa dan maksiat? Kelima, apakah kita bersedia berlapang dada memaafkan musuh kita? Keenam, jika kita berada dalam kesibukan tetapi banyak melakukan amal ibadah dan zikir dengan tidak mempunyai apa-apa yang harus dibanggakan di hadapan Allah?

Ini semua bererti kemungkinan besar kita berhasil mendapat curahan berkat-Nya melalui Lailatulqadar.

Posted in Amalan Pilihan, Artikel Ramadhan | Leave a Comment »

Kejar pahala dibulan Ramadhan dengan bersungguh

Posted by epondok di Mei 5, 2020

KINI kita telah memasuki bulan suci Ramadan. Salah satu kesalahan yang biasa dilakukan sebahagian umat Islam pada bulan Ramadan ialah kembali tidur selepas bersahur. Mungkin kerana terlalu penat dan mengantuk akibat aktiviti pada malam hari.

Apapun alasannya, kebiasaan ini sangat merugikan. Tidur kembali selepas sahur akan membuat kita terlepas pahala yang sangat banyak. Salah satunya ialah menghadiri solat Subuh berjemaah di masjid ataupun di surau.

Suatu hari Umar bin al-Khattab tidak melihat Sulaiman bin Abi Hathmah dalam barisan solat Subuh. Pagi harinya, apabila Umar pergi ke pasar, beliau berjumpa dengan ibu Sulaiman yang bernama Syifa. Umar bertanya kepadanya: “Mengapa aku tidak melihat Sulaiman pada solat Subuh hari ini?”

Syifa menjawab: “Ia melakukan solat tahajud sepanjang malam. Jadi, apabila hampir masuk waktu Subuh, beliau tertidur.”

Umar berkata: “Menghadiri solat Subuh berjemaah lebih aku sukai berbanding melakukan solat sunat sepanjang malam.” (Muwatta)

Keprihatinan Umar

Kisah ini memperlihatkan keprihatinan Khalifah Umar kepada rakyatnya. Beliau bukan hanya memperhatikan kebajikan makan dan minum mereka, bahkan turut menginginkan kebaikan dalam perkara akhirat mereka.

Tidak luput daripada perhatian beliau ialah para pemuda dan belia. Sulaiman bin Abi Hathmah seorang belia di Madinah pada masa itu. Apabila beliau tidak hadir dalam solat berjemaah, Umar berkeinginan untuk mengambil tahu perkara yang berkaitan dengannya.

Ucapan Khalifah Umar menggambarkan kepentingan solat Subuh berjemaah. Solat ini memang sangat besar nilainya di sisi Allah SWT. Pada masa itu, malaikat malam dan malaikat siang yang bertugas mencatat amalan manusia akan berkumpul untuk menyaksikan pelaksanaan solat ini.

Allah berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya solat fajar disaksikan (oleh para malaikat). (al-Isra’: 78)

Aktiviti ibadah yang kita lakukan pada malam hari tidak dapat menjadi alasan untuk meninggalkan Subuh berjemaah. Apalagi aktiviti bukan ibadah seperti menonton televisyen dan permainan. Pahala solat Subuh berjemaah lebih besar berbanding melakukan ibadah sepanjang malam.

Rasulullah bersabda: Siapa yang melakukan solat Subuh berjemaah, maka ia seolah-olah melakukan solat sepanjang malam. (Muslim)

Justeru, mari teguhkan tekad untuk menghadiri solat Subuh berjemaah dari sekarang. Semoga perkara ini telah menjadi kebiasaan kita apabila masuk bulan suci Ramadan nanti. Wallahu a’lam.

 

Posted in Amalan Pilihan, Artikel Ramadhan | Leave a Comment »

Pintu rahmat terbuka sepanjang Ramadhan

Posted by epondok di Mei 4, 2020

Pejam celik, pejam celik, tanpa kita sedari Ramadan kembali lagi

Namun, menyentuh soal kedatangan Ramadan, perkara utama perlu dilakukan ialah mengenai persiapan diri. Jadi, bagaimana pula persiapan kita untuk melalui bulan penuh kemuliaan ini.

Tidak dinafikan, mungkin ada yang sekadar menunggu kedatangan Ramadan dan ada pula yang sememangnya tidak sabar-sabar menanti ketibaannya dengan mempersiapkan diri lebih awal melalui pelbagai latihan atau ‘warm up’ puasa sunat pada Syaaban.

Bagi yang dipilih Allah SWT untuk ‘menikmati’ kelebihan yang ada dalam bulan ini, sesungguhnya ia rahmat yang teramat besar.

Ini kerana, seandainya seseorang itu meninggal dunia hari ini, sudah pasti dia terlepas peluang meraih kenikmatan yang ada dalam bulan yang dimuliakan ini.

Maka sebaik-baiknya, hendaklah kita sentiasa memohon kepada-Nya supaya diberi tubuh badan yang sihat serta kekuatan untuk mengharungi perjuangan Ramadan.

Namun, bagi memulakan bicara mengenai Ramadan, terlebih dulu saya ingin menyentuh mengenai asal usul perkataan Ramadan.

Ramadan sebenarnya berasal daripada perkataan Arab ‘Ramida’ bermaksud ‘panas terik atau bahang panas kering’.

Daripada maksud itu, secara ringkasnya kita boleh rumuskan Ramadan adalah waktu atau keadaan di mana orang berpuasa merasa panas, mulut terasa kering dan tekak terasa haus.

Sementara itu, puasa dalam bahasa Arab pula disebut ‘Siyam’ atau ‘Soum’ yang membawa maksud menahan diri daripada sesuatu.

Daripada istilah syarak pula, pengertian puasa merujuk kepada perbuatan menahan diri daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa (menahan nafsu syahwat, makan, minum) bermula daripada fajar sehingga terbenam matahari.

Menerusi penjelasan maksud di atas, saya mengakui perjuangan sebulan menjalani ibadah puasa bukan perkara mudah.

Ini kerana dengan perut berkeroncong, rasa dahaga, pening kepala, gastrik dan seribu macam perkara yang mungkin boleh disenaraikan, ia menjadi sebahagian alasan kepada segelintir individu tidak berpuasa.

Perlu diketahui, matlamat Ramadan sebenarnya untuk melahirkan insan yang bertakwa kepada Allah SWT selain boleh dianggap sebagai akademi latihan terbaik bagi membentuk diri secara zahir mahupun batin.

Pada Ramadan, perkara paling nyata yang kelihatan adalah fizikal kita diuji dengan rasa lapar dan dahaga.

Secara saintifik, memang tidak dinafikan berpuasa sebenarnya terapi semula jadi terbaik untuk kesihatan manusia.

Di segi batiniah pula, orang yang berpuasa dikehendaki sentiasa menjaga atau ‘menutup’ mata, telinga, hidung dan mulut sepanjang hari kerana inilah pintu utama laluan tipu daya iblis serta syaitan yang meresap bagi meracun jiwa, seterusnya mempengaruhi fikiran dan tindakan manusia.

Allah SWT, menerusi surah Al-Baqarah, ayat 183 berfirman bahawasanya: “Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” Perkataan bertakwa atau ‘tattaquun’ dalam ayat ini di segi bahasanya dinyatakan dalam bentuk ‘fi il mudhari’ yang dirujuk kepada keadaan masa ini dan akan datang.

Justeru, dengan berpuasa, seseorang itu diharapkan mampu menanam sifat takwa di dalam dirinya dan terus mengabdikan diri kepada Allah bukan hanya pada Ramadan tetapi juga bulan seterusnya.

Kewujudan Ramadan juga sebenarnya bukti Allah SWT Maha Pemurah. Ini kerana, sebagai motivasi bagi hamba-Nya, Allah menganugerahkan malam Lailatul Qadar iaitu satu malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan.

Anugerah Allah ini hanya diberi kepada umat Nabi Muhammad SAW dan tidak pernah ada pada zaman umat nabi sebelum baginda.

Dalam al-Quran, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Ka- mi menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.

“Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!” (Al-Qadr, ayat 1-5) Sebagaimana diketahui, amalan pada malam itu dijanjikan oleh Allah dengan ganjaran pahala seperti beramal selama 1,000 bulan atau 83 tahun.

Alangkah beruntungnya mereka yang dapat mengejar dan menghidupkan setiap malam Ramadan dengan amalan memohon rahmat dan pengampunan Allah.

Cuba kita renungkan sejenak angka umur kita sekarang? Jika dipanjangkan Allah umur kita selama 83 tahun pun, adakah sepanjang umur itu kita boleh penuhkan dengan amal dan ibadat? Sudah tentu mustahil kerana fasa perkembangan manusia bermula daripada bayi, kanak-kanak, remaja, dewasa dan tua memerlukan setiap kita belajar sedikit demi sedikit.

Maka, layaklah malam Lailatul-Qadar diumpamakan sebagai ‘kupon diskaun’ hebat daripada Allah SWT khusus untuk umat Nabi Muhammad SAW.

Namun, sedih juga kerana ramai sanggup menolak ‘tawaran’ Allah SWT ini walaupun diketahui ibadah dilakukan pada malam itu seumpama beribadat seluruh hayat manusia.

Saya suka berpesan kepada diri saya dan juga pembaca lain, matlamat sebenar kehidupan kita di dunia ini bukan semata-mata untuk ‘hidup’ di dunia tetapi ‘hidup’ di akhirat.

Pada Ramadan ini juga, Allah bukakan kepada kita pintu rahmat-Nya dengan seluas-luasnya.

Perhatikan di sekeliling kita. Pada bulan ini rezeki peniaga bertambah. Bazar Ramadan tumbuh bagai cendawan selepas hujan dan pada masa inilah orang berlumba-lumba untuk berniaga. Kata mereka, inilah masa terbaik untuk kutip duit selain ada juga yang berniaga hanya setahun sekali.

Bayangkan, orang yang tidak pandai memasak pun boleh habis jualan masakan mereka pada Ramadan. Saya juga pernah berjumpa seorang peniaga yang pernah bankrap tetapi berjaya mengumpul modal perniagaannya semula hanya dengan menjual barangan mainan murah di tepi Jalan Tuanku Abdul Rahman sepanjang Ramadan.

Terlanjur berbincang mengenai amalan puasa Ramadan, saya tertarik untuk berkongsi senario biasa yang wujud dalam masyarakat kita. Soal puasa orang kita memang ‘tip top’ kerana sejak kecil lagi rata-rata kita dilatih untuk berpuasa.

Bagaimanapun, penghayatan dan pengisian Ramadan dengan amalan sewajarnya jarang diterapkan dalam latihan itu. Tidak ramai juga ibu bapa yang memberikan fokus latihan solat lima waktu sehari semalam seperti latihan berpuasa kepada anak mereka .

Akhirnya, apa yang kita lihat hari ini, ramai berpuasa tetapi kosong dengan pengisian ibadah. Ramai yang tegar berpuasa tetapi tidak menunaikan solat. Tidak kurang ramai juga yang berpuasa tetapi tetap melakukan maksiat.

Maka, timbul satu fenomena di mana masjid dan surau hanya penuh pada awal Ramadan dan jumlah jemaah berkurangan sedikit demi sedikit hinggalah ke penghujung Ramadan.

Orang sibuk mengejar malam Lailatul-Qadar, kita pula sibuk membeli-belah pilih kain di pasar raya. Apabila tamat Ramadan, tamatlah aktiviti ke masjid.

Jadi, bagaimanakah kita hendak melahirkan insan bertakwa menerusi latihan sebulan berpuasa jika asas amalnya yang diterap sejak kecil juga tidak lengkap.

Dalam kesempatan yang ada, mari kita sama-sama pasang niat dan berazam merebut tawaran Ramadan kali ini. Masih tidak terlewat untuk kita mempersiapkan diri dan mulakan langkah pertama dengan solat berjemaah di masjid atau surau dan seterusnya solat sunat tarawih.

Jangan lupa juga mengajak anak isteri untuk turut serta. Ini kerana, kerjasama dan sokongan mereka sangat penting bagi kita mengharungi cabaran Ramadan. Mudah-mudahan, kita semua memiliki rahmat dan keampunan daripada Allah SWT.

Posted in Artikel Pilihan, Artikel Ramadhan | Leave a Comment »

Buang tabiat tidak bermanfaat di bulan Ramadhan

Posted by epondok di Mei 2, 2020

KADANG-kala pembaziran berleluasa berlaku sepanjang Ramadan. Keadaan berkenaan telah mencemarkan kesucian penghulu segala bulan tersebut dan akhirnya menyebabkan umat Islam rugi untuk meraih ganjaran pahala.

Pembaziran itu bukan sahaja berlaku dalam bentuk wang ringgit tetapi juga berlaku kepada masa dan tenaga dengan melakukan perkara-perkara tidak berfaedah lalu mengurangkan pahala Ramadan.

Menurut tokoh agama, Fauzi Mustafa, pembaziran benar-benar berlaku sepanjang Ramadan dalam setiap perkara. Hal ini menyebabkan umat Islam rugi untuk memperoleh pahala dan ganjaran yang dilipatgandakan oleh Allah SWT terhadap setiap amalan soleh pada bulan berkenaan.

Fauzi mengambil contoh, membeli pelbagai jenis juadah berbuka puasa di bazar Ramadan sehingga membazir lalu makanan berkenaan terbuang begitu sahaja.

“Apabila kita lapar, nafsu akan mendorong untuk membeli banyak makanan walaupun pertama kali mencubanya. Tetapi apabila sudah berbuka, kita marah penjual kerana tidak sedap.

“Akhirnya puasa hanya menjadi lapar dan dahaga. Seharian beribadat dengan amalan wajib dan sunat tetapi selepas berbuka, kita cerca penjual kerana tidak sedap. Yang salahnya bermula daripada kita sendiri yang terlampau mengikut nafsu,” kata Fauzi.

Selain itu, Fauzi berkata pembaziran dalam Ramadan turut berlaku apabila melakukan perkara-perkara tidak berfaedah seperti banyak tidur, berbual kosong, memaki-hamun dan lain-lain lagi yang dilihat menjejaskan keberkatan bulan mulia berkenaan.

“Bahkan pembaziran masa juga berlaku dengan pada masa hujung minggu dihabiskan menonton televisyen ataupun pergi membeli-belah. Seharusnya masa terluang diisi dengan menghadiri majlis ilmu, membaca al-Quran, berzikir dan sebagainya.

“Jangan kita merugikan masa berlaku begitu sahaja, mungkin tidak dapat bertemu lagi Ramadan pada tahun akan datang. Maka peluang berkenaan harus direbut dengan melakukan amal ibadah,” tegas Fauzi.

Berhubung mengunjungi bazar Ramadan, beliau berkata, tidak salahnya jika orang ramai membeli juadah makanan tetapi perkara itu biarlah berpatutan dan mengikut keperluan dan tidak berlandaskan hawa nafsu.

Malah ujar beliau, adalah lebih baik mereka membeli makanan di bazar dan mendermakannya kepada masjid atau surau, rumah anak yatim dan golongan memerlukannya.

“Sedekah merupakan amalan mulia dalam bulan Ramadan adalah lebih baik kita menghulurkan makanan kepada mereka berbanding membeli makanan banyak, lepas itu sudah kenyang dibuang begitu sahaja ke dalam tong sampah,” kata Fauzi

Posted in Amalan Pilihan, Artikel Ramadhan | Leave a Comment »

Ramadhan Bulan penanda aras peningkatan kualiti diri

Posted by epondok di Mei 1, 2020

1Amran Zakaria
Umat Islam melihat Ramadan sebagai bulan ‘multibarakah’ yang di dalamnya mencernakan pelbagai keistimewaan dan kerana itu Ramadan dikenali dengan pelbagai gelaran antaranya bulan petunjuk (syahrul huda) disebabkan al-Quran diturunkan pada bulan ini. Ia juga dikenali sebagai bulan ibadah (syahrul ibadah) kerana pahala amal kebajikan dilipatgandakan.
Pengisian amal yang baik menuntut kita memperbanyakkan amalan pada bulan ini. Ramadan juga disebut bulan pengampunan (syahrul maghfirah) bagi siapa berpuasa kerana iman, dosanya diampunkan Allah SWT. Umat Islam capai kemenangan Ramadan juga bulan jihad kerana kita berlawan menahan nafsu dan segala perbuatan maksiat lain.
Selain itu, pada Ramadan umat Islam mencapai kemenangan seperti kemenangan Perang Badar, pembukaan Kota Makkah, perang Tabuk serta perang Salib yang memberi kemenangan kepada umat Islam. Justeru, Ramadan ini sewajarnya dihidupkan dengan melaksanakan pelbagai aktiviti keagamaan dengan keikhlasan hati dan peluang menjalinkan ukhuwah. Silaturahim bukan sekadar hubungan dengan kerabat, tetapi menghubungi keluarga dan sanak-saudara sekalipun mereka menjauhi. Sabda Rasulullah SAW: “Bukanlah orang yang menghubungi keluarga itu ialah orang yang menjamin, tetapi dinamakan orang yang menyambung kekeluargaan ialah apabila keluarganya itu memutuskan dia, maka dia tetap menghubunginya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Memutuskan hubungan persaudaraan akan menghalang pengampunan dosa dan rahmat Allah SWT seperti diterangkan Rasulullah SAW: “Pintu-pintu syurga akan dibuka pada hari Isnin dan Khamis, kemudian Allah akan memberi keampunan kepada setiap orang yang tidak menyekutukan Allah sedikitpun kecuali seorang lelaki yang ada berpisah antara dia dan saudaranya. Maka Allah berkata: Tangguhkanlah kedua-dua orang ini sehingga mereka berdamai, tangguhkan kedua-dua nya sehingga mereka berdamai, tangguhkanlah kedua-duanya sehingga mereka berdamai.” (Riwayat Muslim)
Ukhuwah Islamiah ini sudah banyak diperkatakan, namun secara praktisnya sukar dilakukan kerana ketebalan sentimen yang dimiliki oleh seketul hati. Konsep ukhuwah Islamiah ini meliputi hubungan persaudaraan yang tidak dibatasi oleh ruang dan waktu. Antara tanda kecerdasan rohaniah adalah membina hubungan silaturahim, iaitu fitrah manusia tidak dapat hidup sendiri dan mereka memerlukan perhubungan serta kasih sayang dengan makhluk ciptaan-Nya yang lain.
Proses bentuk ukhuwah Islamiah Proses membentuk ukhuwah Islamiah ialah saling mengenali (taaruf), memahami (tafahum), tolong menolong (ta’awun) dan saling menanggung (takaful). Jika hubungan ukhuwah sudah berada pada peringkat saling menanggung bermakna terbinanya kekuatan ummah. Masing-masing tidak mementingkan diri dan prihatin kepentingan orang lain. Rasulullah SAW bersabda: “Tidak sempurna iman seseorang sehingga ia menyintai saudaranya seperti ia mencintai dirinya sendiri.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua-dua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat.” (Surah al-Hujurat, ayat 10)
Peranan pemimpin, ulama, tokoh masyarakat dan cendekiawan dalam menguatkan ukhuwah Islamiah penting. Mereka perlu ada kesatuan visi dan misi dalam tiga perkara iaitu wawasan keagamaan, kemasyarakatan dan kesejagatan. Kesatuan wawasan keagamaan adalah kesatuan terhadap pemahaman nilai agama sejagat yang mengajar mengenai perdamaian, persaudaraan dan keadilan dan lain sebagainya. Kesatuan wawasan kemasyarakatan lebih pada pengakuan Islam terhadap kelompok masyarakat bagi menjalin persaudaraan. Ummatan wahidah Kesatuan wawasan kesejagatan adalah kesedaran meskipun berbeza wilayah dan daerah, namun umat Islam tetap bersaudara menjadi umat yang satu iaitu ummatan wahidah.
Sumbangan besar terhasil apabila tiga perkara dapat dilaksanakan yang menjadi tonggak kekuatan ukhuwah Islamiah. Ramadan bukan hanya diisi dengan puasa dan beribadah semata-mata. Bulan ini menjadi aras kepada peningkatan kualiti diri dan keupayaan pencapaian indeks memperbaiki hubungan kemasyarakatan ke arah yang lebih baik. Kemanisan semangat persaudaraan adalah dengan menghulurkan salam bukan menanti untuk menjawab salam. Ukhuwah adalah natijah daripada keimanan bagi yang beriman dan meyakini janji Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW: “Perumpamaan orang Mukmin dalam cinta mencintai, kasih mengasihi dan sayang menyayangi adalah laksana satu tubuh. Jika salah satu anggotanya sakit, maka seluruh tubuhnya akan merasakan sakit dan berjaga malam.” (Riwayat Bukhari)

Posted in Amalan Pilihan, Artikel Ramadhan | 2 Comments »

Ramadan didik diri merasa diawasi

Posted by epondok di April 29, 2020

RAMADAN adalah bulan bagi mendidik kita merasa diri sentiasa diawasi oleh Allah SWT atau apa yang disebut sebagai muraqabah. Kita berpeluang untuk makan dan minum apabila bersendirian tanpa diketahui orang lain, tetapi tidak kita lakukan. Kalau kita makan dan minum pun tiada siapa yang tahu, dan berpura-pura lapar dan kononnya masih berpuasa. Tetapi kita tidak lakukan dan kerana itulah orang yang berpuasa itu adalah orang yang ikhlas dengan Allah SWT dan Allah SWT sendiri yang ingin membalas ganjaran keikhlasan mereka seperti mana hadis Nabi SAW: “Setiap amalan anak Adam itu diberi ganjaran 10 hingga 700 kali ganda kecuali puasa, ia adalah kerana-Ku dan Aku sendiri yang akan membalasnya.” (Riwayat Muslim)

Ibadah puasa tidak seperti ibadah-ibadah lain dalam Islam. Ibadah lain sifatnya ialah melakukan sesuatu tetapi ibadah puasa ini menahan daripada melakukan beberapa perkara yang membatalkan puasa. Jika kita lihat ibadah solat misalnya, orang boleh nampak kita solat dan kita boleh menunjuk-nunjuk kepada orang bahawa kita solat. Begitu juga zakat, haji, sedekah dan amalan-amalan lain semuanya kita boleh tunjukkan kepada orang kita ­melakukan ibadah tersebut. Tetapi puasa, tiada siapa yang tahu dan nampak kita berpuasa.

Kita boleh sahaja mendakwa berpuasa tetapi hakikatnya telah makan ketika bersendirian tanpa diketahui orang lain. Jadi bagi orang yang benar-benar berpuasa memang sepatutnya Allah SWT sendiri yang memberikan ganjaran pahala kerana dia berpuasa ikhlas semata-mata mengharapkan keredaan Allah SWT tanpa mengharapkan pujian manusia.

Dalam kehidupan masyarakat hari ini, kita sudah terbiasa dengan pengawasan kamera litar tertutup (CCTV) di banyak tempat, seperti di bank dan bangunan-bangunan lain. Tujuan CCTV itu antara lain untuk menjadi bukti dan menangkap mereka melakukan kesalahan di premis berkenaan. Ramadan adalah bulan melatih bahawa Allah SWT itu Maha Melihat, Allah SWT itu memiliki CCTV yang memantau setiap perlakuan kita sama ada ketika bersendirian atau ramai. Walau ketika bersendirian pun kita tidak melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa kerana menyedari Allah SWT sedang memerhati kita. Justeru kenapa selepas Ramadan perasaan diawasi itu tidak diteruskan?

Allah SWT bukan wujud hanya di bulan Ramadan tetapi sepanjang masa dan memerhati setiap ketika. Sepatutnya, bagi mereka yang menjalani ibadah Ramadan dan lulus madrasah Ramadan ini mereka akan memiliki satu sifat iaitu ‘merasa sentiasa diawasi oleh Allah’ sepanjang masa dan ketika. Inilah sifat orang bertakwa seperti mana ditunjukkan oleh para Salafussoleh.

Kisah yang sering kita dengar berhubung seorang ibu yang berbincang dengan anak gadisnya tentang susu kambing yang sedikit mereka peroleh hari itu kerana suasana kemarau lalu si ibu mencadangkan dicampur dengan air. Namun dibantah oleh anak gadisnya kerana itu menipu dan Khalifah Umar ibn al-Khattab telah mengarahkan jangan menipu. Lalu ibu menjawab tidak mengapa kerana tiada yang melihat dan Khalifah Umar juga tiada. Namun jawab anak gadis tersebut yang tinggi sifat merasa diawasi atau muraqabah menyebut: “Benar wahai ibuku, Umar tidak melihat tetapi Tuhan Umar Maha Melihat!”. Perbualan tersebut didengari oleh Khalifah Umar yang kebetulan meronda setiap malam seperti kelaziman beliau, lalu kagum dengan anak gadis tersebut dan keesokan harinya mencadangkan kepada anak lelakinya agar mengambil gadis tersebut sebagai isterinya.

Begitu juga kita pernah men­dengar kisah bagaimana Umar ibn Abdul Aziz memadamkan pelita hak milik negara dan menyalakan pelitanya sendiri apabila berbicara tentang perihal keluarganya dan hal persendirian kerana tidak mahu berdosa menggunakan pe­lita negara yang bukan hak milikinya. Kisah ini masyhur tetapi sekadar kisah dalam lipatan sejarah, tidak diteladani dan dicontohi oleh kita umat Islam hari ini. Harta-harta bukan miliki kita, milik syarikat atau milik pejabat kita rakus menggunakannya seolah-olah harta tersebut milik diri sendiri dan lupa bahawa nanti akan dipersoalkan oleh Allah SWT.

Banyak lagi kisah para solihin yang menunjukkan bagaimana sepatutnya sikap orang yang bertakwa yang sentiasa merasakan dirinya diawasi oleh Allah SWT. Jika kita mampu membawa perasaan diawasi oleh Allah SWT ini keluar dari bulan Ramadan hingga ke bulan-bulan lain, nescaya kita akan berjaya menjadi hamba bertakwa seperti mana yang dikehendaki melalui matlamat berpuasa ini. Jika tidak, kita hanyalah menjadi orang yang ‘soleh’ di bulan Ramadan, tetapi tidak di bulan-bulan lain. Jika itulah sikap dan akhlak kita, maka kita belum mencapai matlamat Ramadan yang sebenar iaitu melahirkan insan-insan yang bertakwa kepada Allah SWT.

Kesimpulannya, Ramadan ini melatih kita berasa dekat dengan Allah, sentiasa diperhatikan oleh Allah SWT lalu kita perlu menjadi sebaik-baik manusia kerana diperhatikan oleh Tuhan Pencipta Sekalian Alam. Kalau CCTV yang perhati pun, sudah begitu beradab apatah lagi Tuhan yang memerhati kita.

Lalu ia menjadikan kita sebagai insan yang terbaik dalam semua keadaan, sebagai pekerja terbaik, sebagai ibu bapa terbaik, sebagai pelajar terbaik dan sebagai apa sahaja kita lakukan terbaik kerana dengan itu sahajalah diterima Allah seperti mana hadis Nabi SAW: “Allah itu terbaik dan tidak me­nerima melainkan yang terbaik.”

DR. NIK ROSKIMAN ABDUL SAMAD

Posted in Amalan Pilihan, Artikel Ramadhan | Leave a Comment »