Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Ziarah Syawal ikut sunnah nabi s.a.w

Posted by epondok di April 22, 2023


Oleh Norhayati Paradi

MUSTAHIL untuk kembali ke 1400 tahun lampau dan hidup bersama Rasulullah SAW tetapi tidak mustahil membawa Baginda ke dalam kehidupan di abad ke-21 ini dengan meneladani setiap sunahnya. Ini termasuklah meneladani cara meraikan Aidilfitri serta tatacara ziarah menziarahi.

Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah memuliakan tetamu dengan memberi layanan kepadanya. Sahabat bertanya: Apakah layanan itu wahai Rasulullah? Rasulullah SAW menjawab: Layanan istimewa selama sehari semalam, dan tempoh layanan sebagai tetamu hendaklah dalam masa tiga hari, layanan yang diberikan selepas tempoh itu dikira sebagai sedekah.” (Muttafaqun ‘Alaihi)

Pendakwah dari Jakarta, Ustazah Halimah Alaydrus, menerusi program khas sempena Aidilfitri di IKIMfm berkata, hendaklah kita pasangkan niat yang baik serta mengharapkan pahala saat menerima kunjungan tetamu dengan memberi sambutan serta hidangan yang baik. Dengan demikian katanya, kedua-dua belah pihak akan mendapat pahala daripada amalan ziarah-menziarahi dan saling berkunjung itu.

Selaku tuan rumah, terima tetamu dengan hormat serta memuliakannya. Tampilkan perasaan berlapang dada dan mengalu-alukan kehadiran tetamu dengan senyuman di wajah yang ceria kerana kehadiran tetamu adalah suatu rahmat daripada Allah SWT. Pilih waktu sesuai Abu Hurairah berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Wahai sekalian manusia, janganlah kalian membenci tamu kerana sesungguhnya jika ada tamu yang datang, maka dia akan datang dengan membawa rezekinya. Dan jika dia pulang, maka dia akan pulang dengan membawa dosa pemilik rumah.”

Lazimnya, Aidilfitri menjadi asbab pintu rumah dibuka untuk menerima tetamu pada bila-bila masa sahaja. Namun, sebagai tetamu pilihlah waktu yang tepat untuk berziarah dan sebaiknya memaklumkan terlebih dahulu kepada tuan rumah supaya mereka dapat bersedia dengan lebih sempurna. Penting untuk tetamu menjaga adab beristi’dzan (meminta izin) supaya terhindar daripada hal bertentangan akhlak Islami. Etika dan adab ini bertepatan dengan firman-Nya yang bermaksud: “Hai orang yang beriman, janganlah kamu memasuki rumah yang bukan rumahmu sebelum meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya. Yang demikian itu lebih baik bagimu, supaya kamu (selalu) ingat.” (Surah an-Nur, ayat 27)

Antara adab perlu dipelihara termasuk mengetuk pintu sebanyak tiga kali. Jika tidak ada jawapan, maka hendaknya ia pergi seperti mana firman Allah SWT yang bermaksud: “Jika kamu tidak menemui seorangpun di dalamnya, maka janganlah kamu masuk sebelum kamu mendapat izin. Dan jika dikatakan kepadamu kembali (sajalah), maka hendaklah kamu kembali. Itu lebih bersih bagimu dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah an-Nur, ayat 28)

Iringi tamu pulang Ketukan pula tidak terlalu kuat yang boleh membuatkan tuan rumah terkejut, seterusnya memperkenalkan diri dan elakkan daripada memandang tepat ke pintu. Ucapkan salam sebelum masuk dan jaga pandangan semasa di dalam rumah. Bak kata orang tua-tua, layanlah tetamu umpama raja dan hidangkan apa yang ada semampunya.

Sediakan jamuan mengikut kemampuan dan elakkan pembaziran. Nabi SAW berpesan, hendaklah makan bersama tetamu kerana di situ terdapat keberkatan dan mengelakkan tetamu segan makan bersendirian.

Akhir sekali, hantar tetamu yang ingin pulang sehingga ke muka pintu sebagai tanda memuliakan dan mengormatinya. Seeloknya, tunggu seketika di ambang pintu rumah sehingga tetamu berlalu pergi atau kenderaannya sudah bergerak. Abu ‘Ubaid pernah mengunjungi Imam Ahmad di rumahnya. Dia bercerita: “Ketika aku bangkit ingin pulang, Imam Ahmad juga bangun bersamaku. Aku berkata: Jangan susah wahai Abu Abdillah. Beliau mengatakan: Termasuk kesempurnaan memuliakan tetamu ialah tuan rumah berjalan bersama tetamu hingga ke pintu rumah dan sehingga mereka menaiki kenderaannya.”

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: