Namun, keajaiban puasa lebih daripada itu. Tuhan Yang Maha Bijaksana amat maklum dengan keperluan tubuh badan manusia yang diciptakan-Nya. Dan kini, masanya hampir tiba di mana, semua umat manusia di minta oleh Penciptanya untuk berpuasa.
Dalam bahasa ringkas, puasa adalah menahan diri daripada makan dan minum dari terbit fajar hingga terbenam matahari. Dan seperti biasa, kita akan berpuasa selama sebulan. Dalam jangka masa tersebut, sistem pencernaan akan berehat pada siang hari dan memberi peluang untuk lapisan perut atau gastrik pulih semula daripada segala ulser atau inflamasi.
Pengambilan gula dan lemak yang rendah pada bulan Ramadan ini didapati berkesan untuk mengawal paras gula dan kolesterol di samping mengimbangkan kembali kandungan lemak baik (lipoprotein tepu tinggi) dengan lemak bermudarat (lipoprotein tepu rendah). Ini terbukti mengurangkan risiko arteriosklerosis atau penebalan dinding salur arteri yang berkait rapat dengan penyakit serangan jantung, angin ahmar, dan kegagalan ginjal. Kolesterol yang rendah mengurangkan risiko arteriosklerosis dan insulin rentan, lantas memperbaiki paras glukos darah.
Kini bidang perubatan terutama dari aspek toksikologi telah menemukan keajaiban berpuasa pada fisiologi tubuh badan manusia. Kesan ajaib itu terkesan terutamanya pada sistem otak dan imun manusia. Beberapa enzim atau sebatian ditemui terhasil akibat berpuasa dan kesemuanya adalah amat berguna terutama dalam merawat sistem dalaman tubuh dan untuk kesihatan.
Keton dihasilkan oleh sistem hepar atau hati apabila badan seseorang di dalam keadaan berpuasa. Berbanding glukos, keton disifatkan sebagai bahan bakar terbaik untuk tubuh badan dan sistem otak. Keton menghasilkan lebih banyak tenaga berbanding glukos. Bahan ini juga didapati mengurangkan proses apoptosis, proses kematian sel secara automatik selepas terkena bahan toksik.
Yang menariknya, keton didapati menyebabkan jentera tenaga sel tubuh iaitu mitokondria terhasil dalam jumlah lebih banyak dan tenaga baharu yang segar dikeluarkan. Ini menyebabkan badan lebih segar dengan tenaga dalaman yang baharu. Pendek kata, orang yang berpuasa pada masa yang betul, akan mengalami proses penggunaan tenaga keton, suatu sumber tenaga berprestasi tinggi yang mampu menyegarkan sel-sel badan terutamanya sel otak dan tubuh badan dan melindungi mereka dari kesan toksik luar. Hasil pembakaran keton menghasilkan bahan metabolit seperti asiton dan beta-hidroksubutirat.
Beta-hidroksubutirat ini juga terbukti melindungi dan memperkayakan sel otak dan saraf. Bahan metabolit ini didapati melindungi sel otak dari kerosakan yang boleh menyebabkan penyakit seperti Alzheimer dan Parkinson. Di samping boleh mengurangkan atau merawat kes-kes sawan, bahan ini sangat baik untuk memperbaiki ingatan dan memudahkan pembelajaran, dan menghilangkan sakit kepala. Pada tubuh badan, beta-hidroksubutirat memperlahankan proses penuaan.
Brain derived neurotrophic factor (BDNF) adalah enzim yang dihasilkan di dalam sistem otak apabila seseorang itu berpuasa. Ia banyak terkumpul pada sel otak dan sinap penyambung antara neuron. Puasa didapati menyebabkan seseorang itu mudah untuk belajar dan mampu untuk ingat pada jangka masa panjang hasil dari kesan bahan BDNF ini pada setiap sel otak. Enzim ini adalah salah satu bahan yang mengawal berat badan seseorang. Tanpa enzim ini, seseorang itu akan mengalami obesiti. BDNF juga mengawal pusat makan dan minum kita, tanpanya akan berlaku masalah pemakanan seperti bulimia atau anxiety nervosa.
Nrf2 adalah bahan yang dikenali sebagai penjaga sepanjang usia bagi tubuh badan manusia. Merupakan bahan anti oksida badan yang sangat utama dalam mengatasi sebarang proses oxidatif akibat dedahan kepada bahan toksik luar. Keajaiban bahan ini adalah sebagai pengawal kepada pelbagai penyakit, proses penuaan, dan sebarang kepincangan fungsi sel atau organ badan. Sangat penting dalam menghalang proses atherosklerosis pembuluh darah dan apoptosis, lantas boleh mencegah berlakunya angin ahmar, serangan jantung, asma, Alzheimer dan Parkinson, serta kanser. Nrf2 dapat menjalankan fungsinya setelah enzim Keap1 dirangsang dengan berpuasa. Dalam keadaan tidak berpuasa, Keap1 merencatkan fungsi Nrf2.
Testoteron adalah hormon seksual yang turut meningkat kandungannya di dalam darah semasa berpuasa. Kajian banyak mendapati paras testosteron meningkat mengikut berapa jam lamanya jangka masa berpuasa itu. Ini amat baik kepada lelaki baik perempuan. Bagi lelaki, hormon ini mengurangkan risiko kencing manis, darah tinggi, penyakit kardiovaskular, kemurungan, osteoporosis dan masalah batin. Tetapi bagi wanita, sebaliknya berlaku kerana ia menghalang fungsi hormon perempuan iaitu estrogen. Namun ada baiknya juga di mana dengan kurangnya hormon estrogen, wanita tersebut lebih kurang berisiko untuk kanser payu dara dan pangkal rahim.
Secara keseluruhannya, puasa mempunyai keajaibannya yang tersendiri dari segi perubatan moden dan toksikologi. Badan dapat berehat dan menjadi lebih segar. Kebanyakan yang dirasai oleh orang Islam di kala mula berpuasa hanyalah psikologi sahaja. Perasaan rasa penat, tidak bermaya, lesu, hilang tumpuan dan sebagainya, sebenarnya adalah sebaliknya. Apa yang berlaku adalah ramai antara kita yang berbuka keterlaluan, lantas menyebabkan sistem badan tidak dapat menampung lalu penat kekenyangan.
Puasa adalah latihan fizikal dan rohani. Baik untuk masa kini mahupun sebagai bekalan di akhirat kelak. Berpuasa dan berbuka dengan betul adalah penting agar dalam masa sebulan ini, tubuh terutamanya organ penting seperti otak, perut, hati dan sistem imun dapat diperbaiki untuk menempuh 11 bulan yang akan datang. Berpuasa dengan betul mendapat keredaan-Nya dan kesejahteraan serta kesihatan tubuh badan yang baik.
PROFESOR MADYA DR. MOHD. HASNI JAAFAR
Tinggalkan Jawapan