Takwa dalam bahasa mudah dihubungkan sebagai takutkan Allah. Dalam bahasa syaraknya adalah kegentaran terhadap balasan Allah yang amat pedih. Di hari pembalasan nanti seluruh apa yang dilakukan dalam hidup ini akan dihisab. Orang berjiwa muttaqeen semasa hidupnya akan sentiasa mendukung sesuatu yang makruf dan menjauhkan diri daripada kemungkaran .
Siyam adalah latihan rohaniah supaya kawalan diri sentiasa dijadikan pedoman. Berlapar dan dahaga di samping dapat mengawal hawa nafsu, hikmahnya adalah mencetuskan keinsafan mengenai hakikat lapar dan miskin. Lalu pengalaman siyam menjadikan ahli ibadah orang yang sedar bahawa sifat pemurah dan tidak bakhil menyebabkan rasa peduli terhadap yang lain dirasai sama.
Siyam juga melatih diri supaya sabar dengan ujian dan kerenah nafsu. Mengawal dan menjinakkan nafsu supaya menjadi nafsul mutmainnah atau nafsu berjiwa tenang adalah amat penting kerana ia adalah bawaan diri yang fitrah.
Sekiranya ini terjadi jalan hidup yang dituju hasil siyam dan ibadah lain adalah kembali kepada fitrah. Memang asal jadinya manusia adalah dalam keadaan fitrah. Siyam dan ibadah yang lain diibaratkan sebagai melakukan penyucian dan pembersihan jiwa supaya jiwa yang kotor, hasad dan dengki, bengis dan berprasangka buruk kembali semula kepada diri secara fitrah.
Inilah yang menjadi maksud sebenar mengapa siyam diwajibkan kepada orang beriman supaya jalur muttaqeen menjadi sumber ikutan terbaik. Beza orang yang muttaqeen dengan orang yang tidak muttaqeen amat nyata. Yang satu patuh, akur, taat dan tunduk kepada suruhan Allah dan yang satu lagi sentiasa dalam keingkaran dengan memiliki sifat-sifat mazmumah iaitu perangai-perangai yang terkeji.
Mengembalikan diri kepada fitrah adalah maksud utama untuk menjadi insan soleh dan solehah. Sebab itu, Aidilfitri yang dirayakan membayangkan tamatnya proses madrasah rohhiyyah selama sebulan. Ia adalah hari kemenangan yang merintis transformasi diri insan supaya kembali ke fitrah.
Darinya kita lakukan ziarah sesama keluarga mohon maaf yang tersilap dan terlanjur. Kita temui teman dan kawan, sahabat dan taulan mengenai perbuatan masa lalu yang melukakan hati mereka. Diziarahi anak yatim, golongan daif dan miskin, kelompok yang terbiar dan mereka yang tidak bernasib supaya makna Aidilfitri itu dirasakan sama.
Bayangkan golongan seperti ini yang sudah kehilangan suami atau isteri, yang sudah tiada kedua ibu bapanya, yang tua dan uzur akan merasakan sesuatu yang bernilai sekiranya diziarahi. Inilah asas ukhuwah yang dituntut oleh agama kerana ianya adalah tuntutan yang fitrah.
Kembalinya insan kepada fitrah memang amat dituntut oleh Islam. Perubahan ini amat besar ertinya dalam Islam. Al-Quran dalam Surah al Asr – Illallazi na’amanu waamilussalihat – orang yang beriman itu melakukan amal soleh adalah gambaran terbaik bagaimana keindahan Islam itu terlihat pada amalan dan perbuatan.
Justeru warga Madrasah Ramadan seharusnya menamatkan pembangunan dirinya supaya tidak saja perubahan dalaman berlaku tetapi juga perubahan pemikiran terjadi. Tarbiyyah Ramadan harus banyak membawa diri insan merenung ke dalam diri tentang betapa pentingnya kita kembali kepada kehidupan yang fitrah.
Jiwa muttaqeen yang dibina memberi erti seolah-olah kita ini dilahirkan semula. Kalau pada masa lalu banyak kesilapan dilakukan, mengabaikan solat dan amalan-amalan yang fardu, serakahnya perangai terhadap pasangan dan anak-anak, sombongnya pada jiran dan kerabat, bongkaknya terhadap pangkat dan kedudukan, merasakan dunia ini segala-gala, Aidilfitri memberikan kita sempadan melakukan perubahan. Membangun jiwa muttaqeen menjadi prasyarat untuk kita menyambut hari kemenangan yang mana sebulan berpuasa memberi makna yang amat bererti kepada kita dan hari depan yang bakal dilalui.
DATUK DR. SIDEK BABA
Tinggalkan Jawapan