ALHAMDULILLAH, kita mulai menyambut Ramadan hari ini. Bagi orang beriman, Ramadan ditunggu-tunggu kedatangannya kerana ia bulan yang mulia dan mengandungi pelbagai keistimewaan. Kefarduan puasa adalah sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas umat yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.” (al-Baqarah: 183).
Salah satu keistimewaan Ramadan adalah solat sunat tarawih dan witir. Ia dimeriahkan dengan moreh dan juga tadarus al-Quran pada setiap malam. Rukun puasa pula adalah niat mulai selepas maghrib hinggalah sebelum terbit fajar. Yang kedua, menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa mulai terbit fajar hingga terbenam matahari.
Satu lagi kelebihan Ramadan adalah amalan sunat diberi ganjaran pahala ibadat fardu, yang fardu diberi ganjaran 70 kali ganda. Ini persis bonus oleh majikan kepada pekerjanya yang rajin, produktif dan istiqamah menjalankan tugas. Namun, Ramadan menjanjikan ganjaran yang lebih hebat sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barang siapa yang berpuasa kerana iman dan semata-mata mengharapkan reda Allah, maka sungguh diampuni dosa-dosanya yang terdahulu.” (Muttafaqun Alaih)
Apabila diampunkan dosa, tiada lagi halangan untuk kita memasuki syurga Allah yang penuh dengan kenikmatan, yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Namun, masih ada yang perlu kita beri perhatian dan perbetulkan agar Ramadan kali ini lebih baik (jika tidak yang terbaik) berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Antara kesilapan itu adalah:
* Tidak solat ketika berpuasa. Ini satu kesilapan yang maha besar. Memang benar, solat bukanlah syarat sah puasa. Tetapi ia adalah rukun Islam yang menjadi tonggak kepada keislaman seseorang. Justeru, ‘ponteng’ solat dengan sengaja akan menyebabkan pahala puasa seseorang itu jadi ‘kurus kering’. Didik juga anak-anak yang masih kecil untuk mengutamakan solat. Jangan sebab letih puasa kita biarkan mereka tinggalkan solat.
* Tidak mengutamakan solat subuh berjemaah sebagaimana tarawih. Ini jelas suatu kelompongan yang ada dalam masyarakat tatkala berpuasa. Ramai yang lupa dan tidak mengetahui kelebihan besar semua solat fardu berbanding solat sunat. Lebih-lebih lagi solat subuh berjemaah yang disebutkan oleh Nabi SAW bagi orang yang mendirikannya secara berjemaah, maka beroleh pahala menghidupkan seluruh malam.
* Menganggap waktu imsak adalah ‘lampu merah’ bagi sahur. Waktu imsak sebenarnya hanyalah ‘lampu amaran kuning’ yang dicadangkan oleh beberapa ulama demi mengingatkan bahawa waktu sahur sudah hampir tamat. Ia bukanlah waktu tamat untuk makan sahur. Justeru, janganlah ada yang memberi alasan lewat bangun dan sudah masuk imsak lalu tidak dapat berpuasa pada hari itu. Waktu yang disepakati ulama sebagai waktu penamat sahur adalah sejurus masuk fajar sadiq (subuh).
* Wanita datang bertarawih beramai-ramai di masjid tanpa menjaga aurat. Ini nyata apabila ramai antara wanita walaupun siap bertelekung ke masjid, malangnya kaki dan aurat mereka kerap terdedah ketika berjalan dan naik tangga masjid di hadapan jemaah lelaki. Tatkala itu, fadilat mereka solat di rumah adalah lebih tinggi daripada mendatangkan fitnah kepada lelaki ketika di masjid.
* Banyak berbual kosong berbanding memperbanyakkan doa ketika puasa dan berbuka. Ini satu lagi jenis kerugian yang kerap dilakukan oleh umat Islam. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Tiga golongan yang tidak ditolak doa mereka, pemimpin yang adil, orang yang berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang dizalimi.” (riwayat Tirmizi)
Bagi kita yang masih diberi kesempatan berada dalam Ramadan, jangan dipersia-siakan bulan yang penuh barakah ini. Lihatlah sekeliling betapa ramai ahli saudara dan rakan-rakan kita yang tidak sempat sampai ke bulan pesta ibadah ini apabila mereka kembali ke rahmat Allah.
Justeru, marilah sama-sama kita berpuasa dengan ikhlas agar mencapai sekurang-kurangnya ke tahap puasa khusus. Jangan hanya berpuasa, kerana ikut orang lain berpuasa atau kerana bapa kita puasa, maka kita juga puasa. Semoga puasa menjadikan kita insan bertakwa