Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 16 Januari 2023

Rahsia dosa ciri taubat

Posted by epondok di Januari 16, 2023

SEPERTI diketahui, Rasulullah SAW pernah menyatakan, setiap dosa kecil dilakukan seseorang akan terhapus apabila dia melakukan solat fardu dan solat Jumaat, berzikir, beristighfar atau amalan lain yang diredai serta diberkati.

Ini sebagaimana sabda baginda: “Akan gugur setiap dosa kecil yang dilakukan umat Islam seperti daun berguguran apabila dia melakukan solat fardu dan amalan lain yang diredai Allah SWT.”

Secara dasarnya, sebagai dipersetujui ulama, ‘iman’ dalam diri setiap individu itu boleh menaik atau menurun berdasarkan apa yang pernah dilakukannya.

Dosa kecil yang kita anggap boleh dihapus dengan amalan berkenaan sebenarnya mampu ‘bercambah’ dengan mudah tanpa kawalan melebihi amalan baik yang pernah dilakukan.

Jadi, persoalannya, bilakah pula setiap dosa kecil itu bercambah melebihi amalan yang kita lakukan?

Hal ini dapat dilihat paling mudah apabila seseorang memperlihat serta mendedahkan perbuatan buruknya secara tidak disedari dengan cara bercerita atau memberi ulasan mengenai perkara tertentu.

Paling mudah, menerusi laman sosial paling popular masa kini iaitu Facebook dengan meletak atau memuat-turun pelbagai bentuk filem yang diminati, drama televisyen yang disukai, muzik yang dikagumi atau sebagainya.

Pernahkah anda selidiki penulisan atau aplikasi berbentuk muzik atau paparan visual itu mempunyai unsur negatif, yakni yang salah dan bertentangan dengan norma agama Islam.

Mungkin ramai tertanya, namun perlu anda tahu jika paparan video, muzik atau pendapat serta komen yang dikongsi bersama rakan itu mempunyai unsur ‘mungkar’ seperti pendedahan aurat serta penghinaan, ia sebenarnya sama seperti tindakan kita mempromosikannya.

Dosa kecil ini mampu berganda apabila ada individu lain membacanya, berkongsi minat mengenainya, malah dengan memberi komen negatif mengenai sesuatu perkara yang jelas seperti menghina orang lain.

Antara dosa kecil yang paling tidak kita sedari adalah apabila ada antara kita mendedahkan dosanya menerusi gambar peribadi sebagai contoh gambar yang mendedahkan aurat, ketika menghadiri parti maksiat, berpelukan dengan bukan muhrim atau gambar yang bersentuhan dengan bukan mahram.

Pertama kali anda melakukan perkara itu, satu calitan dosa terpalit untuk diri anda dan satu lagi calitan dosa apabila anda memuat turun dan berkongsi gambar yang mendedahkan keburukan anda itu dengan orang lain dan seterusnya.

Dosa kecil ini bercambah apabila ada individu lain melihatnya yakni individu yang berkongsi itu tergolong dalam kategori ‘Penyebar Dosa’. Mengapa pula menjadi sedemikian?

Hal ini jelas dalam ingatan Rasulullah SAW yang menyatakan: “Setiap umatku (boleh) diampunkan kecuali mereka yang mendedahkan (dosanya), ada di kalangan yang mendedahkan ini, melakukan suatu dosa di waktu malam, berpagi-pagi sedang Allah menutup keaiban dosa itu, namun tiba-tiba dia mendedahkan kepada orang lain seraya berkata, Wahai fulan, semalam aku lakukan itu dan ini… maka terhapus tutupan Tuhannya dan jadilah ia membuka (Rahmat) Allah yang (sebelum ini) menutup keaibannya. (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Sembunyikan dan taubat

Justeru, jadikan dosa peribadi disebabkan menonton filem bercampur maksiat, atau menyukai muzik berunsur hedonisme, atau melakukan maksiat secara fizikal kerana zina, curi, tidak solat dan sebagainya, sama ada kecil atau besar yang dilakukan secara tersembunyi itu hanya diketahui oleh anda dan Allah SWT saja supaya beroleh rahmat Allah dan diberi hidayah untuk bertaubat sebelum maut.

Ini kerana apabila seseorang berkongsi perbuatan dosanya, ia sama seperti dia berbangga hal berkenaan, sekali gus boleh menimbulkan perasaan riak.

Justeru, jalan terbaik atas apa juga bentuk dosa yang pernah dilakukan adalah SENYAP DAN SEMBUNYIKAN.

Ia bukan hipokrit, tetapi dituntut oleh Allah dan Rasul-Nya dan usahakan bertaubat.

Hiprokrit adalah bagi mereka yang berpura-pura baik, tetapi dalam hal ini si pelaku dosa hanya menyembunyikan dosanya. Tidak timbul persoalan dia cuba mengabui mata orang ramai dan berpura-pura baik.

Ini jelas sebagaimana dinyatakan dalam hadis Al-Hakim dalam sabda Rasulullah SAW: “Jauhilah perkara-perkara keji (maksiat) yang dilarang oleh Allah, sesiapa yang melakukannya, hendaklah dia menyembunyikannya dengan tutupan (yang diberikan) Allah dan bertaubat kepada Allah SWT. Jika sesiapa menampakkan perkara keji (yang dilakukannya) kepada kami, kami akan menjatuhkan hukuman yang diperintahkan oleh Allah ‘Azzawa Jalla.”

Allah SWT itu maha pengampun dan sentiasa menginginkan kita bertaubat dan beristighfar, maka antara ciri taubat yang mudah diterima adalah apabila dosa tidak didedahkan.

Dalam sebuah lagi hadis sahih, disebutkan Rasulullah SAW bersabda: “(Di akhirat kelak) Allah akan menghampiri seorang hambanya yang mukmin lalu melindunginya lalu berkata, Adakah kamu tahu dosa kamu ini. Adakah kamu sedar dosa ini. Lalu jawab lelaki itu, Ya Wahai Tuhan dan sehingga dia mengakui dosanya dan merasakan dia akan binasa (dihukum), maka Allah berkata, Aku menutupinya di dunia dulu (daripada pengetahuan manusia), dan hari ini aku akan mengampunkannya.”

Jelas hadis di atas menyatakan dosa yang dilakukan dan tidak didedahkan berpeluang mendapat belas kasihan Allah di akhirat untuk diampuni.

Bagi mereka yang lebih dulu berbangga bercerita, mengiklan, promosi dan sebagainya sejak di dunia lagi, dibimbangi tidak cukup layak mendapat belas kasihan dan rahmat Allah SWT serta pengampunannya.

Kesimpulan

Segera padam paparan minat dan pembabitan terhadap apa juga aktiviti, tayangan, muzik, bacaan selain untuk Allah, Rasul dan apa yang mendekatkan diri kepada keredaan Allah.

Walau sebanyak, sedalam manapun minat serta sejauh manapun pembabitan anda, sembunyikan ia… bukan bertujuan untuk menipu manusia lain, tetapi supaya anda tidak tergolong dalam kalangan berbangga dengan dosanya, mempromosi, membuka aib sendiri dan mengiklan kejahatan kepada orang lain.

Semaklah Facebook anda, blog, website, forum dan forum sosial harian yang anda lawati supaya tidak tersalah, sekali gus menggandakan lagi dosa anda.

Posted in Amalan Pilihan, Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Nafsu perlu diurus dengan sempurna

Posted by epondok di Januari 16, 2023

Oleh Mohd Fadly Samsudin

NAFSU buas dan nafsu binatang adalah sebahagian ungkapan yang kerap digunakan bagi menggambarkan betapa nafsu itu apabila gagal dikawal dengan iman maka ia pasti akan memburukkan keadaan.

MUDAH DIDAPATI...elak menonton bahan lucah kerana ia menggelapkan  hati serta menyebabkan ketagihan.
MUDAH DIDAPATI…elak menonton bahan lucah kerana ia menggelapkan hati serta menyebabkan ketagihan.

sebelum  –  selepas
GEJALA SOSIAL...elak terbabit dalam aktiviti tidak sihat. GODAAN...berjalan berpimpinan tangan boleh menimbulkan perasaan  berahi.

GEJALA SOSIAL…elak terbabit dalam aktiviti tidak sihat.

Ungkapan terbabit juga mempunyai kaitan rapat dengan perilaku seks. Benar, terlalu banyak kes seperti suami yang ‘makan luar’, isteri gemarkan ‘pucuk muda’, ustaz menodai pelajar, pensyarah paksa pelajar buat oral seks dan remaja belasan tahun ditangkap ketika asyik memadu kasih.
Amat luar biasa perkembangan itu kerana kegilaan nafsu seks semakin hebat melanda kebanyakan orang di sekeliling kita.
Demikianlah nafsu jahat, apabila berada di tahap tinggi, ia tidak lagi mengenal sesiapa di hadapannya. Apa yang pasti dia dapat melunaskan hajat jahatnya.
Nafsu yang gagal dikawal sentiasa mendesak untuk melakukan perkara yang luar biasa. Bahan lucah pula sekarang berlambak-lambak dan amat mudah didapati. Masalah suka melihat gambar dan video lucah juga antara penyumbang terbesar kepada gejolak nafsu sehingga berlakunya zina di sana sini. Pernahkah kita terfikir kenapa ramai kanak-kanak perempuan dirogol? Ini kerana golongan berkenaan amat mudah diperdaya selain membuktikan perogol berada pada tahap tidak mampu lagi melawan nafsu sehingga tergamak menodai kanak-kanak sebaya dengan adik atau anak mereka sendiri. Jelas membuktikan tahap bahaya zina sekarang sangat meruncing sehingga virus itu mampu membunuh iman. Zina, seperti perkara lain yang boleh membangkitkan syahwat seksual adalah sama dengan dadah atau kegilaan orang ramai mengejar harta benda. Ia boleh membawa seseorang menjadi lupa segala-galanya. Sebagaimana hadis Rasulullah yang bermaksud: “Sekiranya anak Adam itu mempunyai dua lembah dipenuhi emas, nescaya sudah tentu mereka akan inginkan yang ketiga, dan tidak disumbatkan ke dalam perutnya kecuali tanah (mati)”. (Riwayat al-Bukhari). Dorongan ingin hidup berpasangan sememangnya naluri semula jadi yang dianugerahkan Allah kepada seluruh manusia. Namun, cara dan tindak tanduk yang tidak diiringi dengan akal dan iman boleh melunturkan pegangan apabila berdepan dengan ujian terbabit. Individu lain pula tidak boleh mendabik dada jika mereka tidak pernah diuji sedemikian rupa. Jadi berhati-hatilah dengan percakapan serta tindak tanduk kita kerana tidak mustahil Allah akan memberikan pula dugaan itu kepada kita pada bila-bila masa. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan orang yang menjaga kemaluannya kecuali terhadap isteri mereka atau hamba sahaya yang mereka miliki; maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada tercela; barang siapa mencari yang di balik itu maka mereka itulah orang yang melampaui batas. (Surah al-Mukminun ayat 5 hingga 7). Ada sesetengah mereka menerima hubungan seksual sebelum kahwin itu sebagai satu perkara biasa dalam kehidupan. Maka amat beruntung dan bertuah sekali buat remaja yang tidak pernah terjebak atau jauh sekali mendekati zina. Semua tahu berzina adalah satu dosa besar yang boleh meruntuhkan institusi kekeluargaan kelak. Mereka yang kini menjadi tunangan orang sekalipun bukan tiket bagi memadu kasih kerana syaitan sentiasa akan ‘menyerang’ mereka sehingga tertewas. Kejahatan yang pernah dilakukan walaupun dengan ‘ringan-ringan’ ketika bercinta akan memberi kesan buruk selepas mereka mendirikan rumah tangga serta kepada zuriat yang bakal mereka lahirkan.
Tidak hairanlah ia berpotensi melahirkan suami curang, isteri berzina dengan lelaki di tempat kerja dan anak yang berzina.

Persoalan mengenai remaja yang berdepan dengan dilema selepas terjebak dengan kegiatan hina ini menjadi antara topik utama yang sering diterima menerusi ruangan soal jawab agama di sisipan ini. Bahana itu menjadi tamparan hebat buat semua, tetapi fokus kepada pendidikan perlu dibuat daripada awal. Memang benar syaitan cukup bergembira dapat menewaskan manusia. Tiada jaminan khas meskipun orang itu bergelar ustaz, sudah beristeri, belajar dalam bidang agama sekalipun jika mereka gagal tewas dengan godaan yang satu itu. Bagi mencapai taubat yang sebenar, setiap individu perlu mempunyai kesedaran yang bukannya didesak dari luar kerana keinsafan itu terbit daripada ilmu dan iman. Seseorang perlu bertaubat nasuha supaya tidak mati dalam keadaan yang sangat hina dan keji. Malah pada zaman Rasulullah, datang seorang lelaki dan berbicara dengan baginda mengenai perihal keinginannya untuk berzina.
Sahabat lain ingin membunuhnya kerana sangat marah lantaran sikap kurang ajar yang dipamerkan lelaki berkenaan kepada baginda. Namun, Rasulullah tetap tenang dan bertanya kepada pemuda itu: “Sukakah kamu jika orang berzina dengan ibumu? Sukakah kamu jika orang berzina dengan adikmu? Sukakah kamu jika orang berzina dengan isterimu? Sukakah kamu jika orang berzina dengan anakmu? Pemuda itu marah dan menjawab tidak suka sama sekali. Rasulullah berkata yang bermaksud: “Begitu jugalah orang yang kamu ingin berzina itu, dia adalah seorang anak, seorang ibu, seorang adik, seorang isteri lalu Nabi letakkan tangannya yang mulia di dada lalu berdoa untuk hamba Allah berkenaan. Pemuda itu sangat terharu dengan nasihat yang diberikan Rasulullah. Sebelum itu dia sangat mahu berzina, tetapi sekarang tiada yang lebih yang dibencinya selain daripada perkara terkutuk itu. Cerita zina yang berlaku pada akhir zaman ini dianggap biasa bagi mereka yang hilang pedoman. Umat Islam sama ada lelaki atau wanita memang sedang dilanda lemah kawalan nafsu syahwat.
Dengan menyedari setiap dosa yang dilakukan nescaya hati pasti terdetik mahu bertaubat. Allah pasti membantu mereka yang membulatkan tekadnya untuk berubah. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya taubat di sisi Allah hanyalah taubat bagi orang yang mengerjakan kejahatan lantaran kejahilannya yang kemudian mereka bertaubat dengan segera, maka mereka itulah yang diterima Allah taubatnya ( Surah an-Nisa ayat 17). Kita perlu sentiasa benar-benar berharap Allah akan pasti mengampunkan dosa yang pernah dilakukan. Firman Allah yang bermaksud: “Hai hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah az-Zumar ayat 53).
Dengan kata lain, setiap pasangan yang masih segar dalam percintaan perlu menghindarkan diri daripada apa saja keadaan yang boleh membawa kepada zina. Segera lenyapkan apa juga cara yang boleh membangkitkan perasaan berahi termasuk ingin dibelai manja, berjalan berpimpin tangan serta berpelukan. Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (Ilim), Zamihan Mat Zain, berkata nafsu perlu diurus tadbir dengan sempurna dalam memenuhi keperluan serta kehendak manusia.
“Hawa nafsu hadir dalam dua bentuk iaitu sederhana dan memuncak. Jika ia dalam keadaan memuncak, ia tidak lagi berpaksi kepada kawalan akal, hati dan roh sebenar.

“Sebab itu, manusia tidak boleh sesekali memandang remeh terhadap pelaksanaan ibadat. Ia perlu dilakukan dengan sempurna supaya dapat menghalang daripada melakukan maksiat,” katanya.
Mengulas mengenai keadaan orang melakukan ibadat namun masih melakukan maksiat, Zamihan berkata ibadat yang mereka lakukan itu tidak ubah seperti lakonan kerana ia dilakukan dengan sambil lewa.
“Solat bertujuan mencegah manusia daripada melakukan perkara mungkar, jika mereka masih ‘tegar’ melakukan maksiat bermakna ibadat itu tidak dihayati sepenuhnya.
“Orang yang beramal dengan sempurna sudah pasti mendapat keberkatan dan terhindar daripada melakukan maksiat. Solat itu barangkali dilakukan hanya buat tatapan orang ramai saja,” katanya.
Beliau berkata, Allah memberi jaminan jika manusia mengawal selia kualiti solat dengan baik ia akan memberi kekuatan dalaman. “Jadi, setiap manusia yang pernah tersilap langkah mereka perlu kembali bertaubat dan berazam tidak mengulangi kesilapan lalu,” katanya.
Zamihan berkata, manusia perlu menunjukkan tahap kesabaran tinggi jika diuji hebat untuk melakukan maksiat. “Penting kepada kita untuk menjaga kehormatan diri kerana dosa silam tidak akan padam dan sentiasa berlegar-legar di ruang minda kita.
“Tiada gunanya mengecapi ‘kemanisan’ maksiat kerana ia hanya bersifat sementara, tetapi kesan dosa membuatkan seluruh hidup manusia dibelenggu perasaan bersalah walaupun sudah taubat,” katanya

Posted in Amalan Pilihan, Fokus Isu | Leave a Comment »