Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Tunaikan amanah kepimpinan penuh ikhlas

Posted by epondok di November 21, 2022


Oleh Nik salida Suhaila Nik Saleh

Setiap Muslim mesti laksana amanah sebagai khalifah untuk makmurkan agama, negara

PELBAGAI bentuk penindasan dihadapi umat dan negara Islam tetapi kita di Malaysia masih dianugerahkan nikmat dan rahmat-Nya. Pemimpin dan rakyat saling merancang keperluan negara untuk membina serta memastikan kesejagatan sentiasa memihak kepada kebajikan golongan tidak bernasib baik.

Tanggungjawab memakmurkan negara bukan terletak dibahu pemimpin semata-mata, sebaliknya setiap rakyat terutama umat Islam perlu sentiasa mengambil berat soal kesejahteraan, keamanan, keharmonian, diplomasi, kesepakatan dan ikhlas berjuang menyatupadukan hati setiap warga negara.

Apabila melantik pemimpin, ia tidak bermakna orang yang dipimpin menyerahkan tanggungjawab seluruhnya kepada ketua, sehingga beban seberat zarah tidak ingin dipikul kerana mengharapkan bantuan orang yang lebih berkuasa.

Alangkah indah andainya kita mengambil berat soal kebajikan saudara seagama sehingga setiap rakyat turut memainkan peranan sebagai pemimpin kepada ahli masyarakat lainnya.

Allah berfirman bermaksud: “Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu mudah digunakan, maka berjalanlah di merata ceruk rantau serta makanlah daripada rezeki yang dikurniakan Allah dan ingatlah kepada Allah jugalah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan semula (maka hargailah nikmat-Nya dan takutilah kemurkaan-Nya).” (Surah Al-Mulk, ayat 15)

Al-Quran dan hadis tersedia sebagai panduan bagaimana memakmurkan negara menurut wahyu. Manusia dilantik sebagai khalifah di muka bumi untuk mengurus tadbir dunia dengan sempurna, bukan memusnahkannya.

Malah, jika berlaku sebarang pencerobohan ke atas hak setiap makhluk Allah SWT yang dilakukan tanpa keizinan yang diredai Allah SWT, wajiblah kita bertaubat dan kembali kepada Allah SWT dengan memohon keampunan.

Tugas memakmurkan muka bumi wajib ke atas setiap umat Islam untuk mengimbangi keperluan hidup di dunia dan akhirat. Justeru, peranan merancang pelan strategik negara demi faedah setiap individu, keluarga, masyarakat, bangsa, negara dan agama.

Ketangkasan berfikir untuk menyelesaikan pelbagai masalah membabitkan perselisihan antara umat Islam, mengelakkan masalah akhlak, menjauhi skandal dan tidak bersekutu dengan pihak menolak wahyu dan tradisi Rasulullah SAW, melambangkan keperibadian khalifah dilantik Allah.

Permusuhan sebenarnya hanya membawa misi kegagalan bahkan memalukan umat Islam sendiri.

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” (Surah Al-Ra’du, ayat 11)

Kita seharusnya sedar setiap dilakukan di dunia untuk mendapatkan keredaan Allah. Setiap komitmen memajukan diri serta membangunkan modal insan mestilah berpaksikan hukum, supaya tidak tersilap mengatur langkah, walaupun tiada niat menyesatkan orang lain.

Setiap individu mesti menanam tekad membawa diri selurus-lurusnya mengikut landasan dibina Rasulullah SAW dan para khulafa’ sesudahnya dengan susah payah.

Mendekatkan jurang peribadi setiap Muslim, umat Islam mestilah mengisi dada dan hiasi personaliti dengan ilmu dan nilai murni kerana itulah yang akan mengangkat darjah ummah untuk menjadi lebih baik daripada sebelumnya.

Memakmurkan negara bukan tanggungjawab enteng melainkan mulai hari ini, setiap individu Muslim memantapkan siasah kerana hanya orang berilmu dan berpegangan agama boleh merealisasikan wawasan agama serta negara.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: