Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Ogos 2022

Jangan lupakan perjuangan ulama, agamawan capai kemerdekaan

Posted by epondok di Ogos 30, 2022

KETIKA Tanah Melayu dijajah, golongan ulama dan agamawan dianggap sebagai antara musuh atau ancaman paling berbahaya oleh kolonial Barat.

Keilmuan dan gerakan jihad yang ditiupkan begitu kuat sehingga mereka diangkat sebagai penasihat kepada kesultanan Melayu, sekali gus membantu dalam hal ehwal agama, pentadbiran, politik dan mengatur strategi ketenteraan bagi mempertahankan kedaulatan negara.

Bagaimanapun umpama wira yang tidak didendang, sumbangan besar mereka seakan kurang mendapat perhatian, tidak diwacanakan secara besar-besaran dan dijulang sebagai tokoh kemerdekaan.

Kita sebenarnya amat terhutang budi dan perlu mengambil iktibar daripada perjuangan ulama silam yang sentiasa mendahulukan kepentingan agama tetapi mempunyai sifat cintakan tanah air yang begitu tinggi sehingga sanggup mempertahankannya sehingga ke titisan darah terakhir.

Di Terengganu umpamanya tokoh ulama yang juga dikenali sebagai pejuang tanah air termasuk Haji Abdul Rahman Limbong, Tok Ku Tuan Besar dan Tok Ku Paloh. Di Kelantan pula cukup sinonim dengan ketokohan Tok Kenali, Tok Janggut dan Muhammad Syeikh Muhammad Sa’id, manakala di Pahang, kita mengenali Mat Kilau, Sheikh Utsman Senik dan Tok Gajah.

Pewaris keturunan Rasulullah SAW

Cucu Tok Ku Paloh, Syed Hussin Syed Saqqaf ketika ditemubual Ibrah berkata, datuknya ialah ulama ketika era pemerintahan Sultan Zainal Abidin III.

Beliau yang dilahirkan pada 1817 (1236 Hijrah) ini mempunyai susur galur Rasulullah SAW di sebelah bapanya, hubungan itu sampai kepada Saidina Husain, iaitu anak kepada Fatimah al-Zahrah.

“Ketika hidup, usia Tok Ku Paloh dihabiskan untuk perjuangan menegakkan agama Allah SWT dan melaksanakan pentadbiran dalam pemerintahannya berasaskan undang-undang Islam.

“Beliau berguru dengan ulama mahsyur antaranya Syed Ahmad Zaini Dahlan dan Syed Abdullah Ali al-Zawawi di Makkah lebih 10 tahun dan pengajiannya merangkumi tasawuf, usuluddin, feqh, tafsir, hadis dan ilmu yang berhubung dengan bahasa Arab.

“Kemudiannya Tok Ku Paloh pulang semula ke Terengganu dan memulakan usaha penyebaran dakwah Islam kepada masyarakat di sini,” katanya.

PENDAKWAH perlu memainkan peranan supaya masyarakat memahami erti kemerdekaan

Tentang pencerobohan British

Syed Hussin berkata, pengaruh dan daya kepimpinannya yang sangat tinggi membuatkan beliau diberi kepercayaan oleh Sultan Terengganu, Sultan Zainal Abidin III mentadbir dan mendampingi Raja bagi memelihara kerajaan Terengganu daripada dijajah British.

“Peranan Tok Ku Paloh dalam menentang pencerobohan British ke atas negeri Terengganu antaranya melalui pengutusan sepucuk surat kepada Sultan bagi menasihati Baginda mengenai pentadbiran negeri dan memelihara keutuhan agama Islam yang lama bertapak di Terengganu.

“Katanya dalam surat itu, maka wajiblah daripada sekarang ini Paduka Anakanda berkuat kepada menzahirkan agama dan membetulkan segala mungkar, jangan sekali-kali tidak hirau.

“Tok Ku Paloh juga menyarankan Sultan mengamalkan dasar yang ditetapkan dalam agama, mempertahankan agama Islam seperti ditunjukkan Rasulullah SAW dan mengingatkan Sultan akan tanggungjawab menegakkan ajaran Islam.

“Sultan Zainal Abidin III akhirnya berjaya mengelak buat beberapa ketika supaya Terengganu tidak jatuh ke tangan British sehingga mendorong Baginda membekukan Perjanjian 1910,” katanya.

SYED Hussin Syed Saqaf

Bantu pahlawan Pahang

Menurut Syed Hussin lagi, pada Mei 1894, Tok Ku Paloh turut membantu Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau bagi menentang penjajah British yang masuk ke Pahang.

“Tok Ku Paloh bukan saja memberi perlindungan, bahkan mengajar dan melatih mereka ilmu menentang musuh.

“Orientalis Barat, Hugh Clifford menyifatkan kekuatan Tok Ku Paloh sebagai luar biasa kerana membantu pahlawan negeri Pahang menyusun kekuatan menyerang British.

“Tok Ku Paloh menyusun kekuatan untuk menyerang British, akhirnya mereka mengalami kegagalan untuk mengekang kemaraan pahlawan Pahang,” katanya.

Disebabkan itu juga, kerajaan Terengganu menjadi antara kerajaan terakhir yang dijajah British di Nusantara. Pada ketika itu, kerajaan Kelantan, Kedah, Johor, Pahang dan Negeri Sembilan sudah ditakluki penjajah.

Bagaimanapun Syed Hussin berkata, apabila Sultan Zainal Abidin III dan Tok Ku Paloh mangkat, maka British mengambil peluang menguasai kerajaan Terengganu dengan mencampuri sistem pemerintahan sehingga melemahkan kekuasaan Sultan serta pembesar Melayu.

Akhirnya, penjajahan British ke atas kerajaan Terengganu bermula pada pertengahan tahun 1919.

Simbolik perkembangan syiar Islam

Sementara itu, Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Nisar Mohammad Ahmad, berkata agamawan hari ini mempunyai peranan besar dalam memastikan masyarakat menginsafi dan menghayati hakikat kemerdekaan yang dikecapi negara.

“Kemerdekaan negara mempunyai kesan langsung kepada perkembangan syiar agama Islam dalam negara.

“Ia menjadi titik tolak kepada penghayatan dan aplikasi nilai Islam yang dapat dizahirkan tanpa gangguan oleh penjajah dan kuasa luar.

“Tambahan pula, Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan menyebut dengan jelas Islam sebagai agama persekutuan dan agama lain boleh diamalkan secara aman dan damai,” katanya.

Justeru secara tidak langsung katanya, kemerdekaan negara turut menyerlahkan identiti Malaysia sebagai negara yang bercirikan Islam di samping meraikan kepelbagaian agama dan bangsa.

Konsep merdeka berlandaskan agama

Nisar berkata, dalam meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai maksud merdeka yang sebenar, agamawan boleh berperanan memberikan sumbangan pemikiran dalam membentuk pandangan umat Islam ke arah yang lebih baik.

“Kemerdekaan negara perlu dikaitkan dengan keperluan memerdekakan diri daripada belenggu kejahilan dan sikap negatif kerana ia boleh menggugat nikmat kebebasan dan keharmonian hidup bermasyarakat yang dikecapi sejak sejak sekian lama.

“Selain itu, perlu ditekankan keperluan umat Islam bagi membezakan di antara konsep kebebasan berlandaskan agama dan kebebasan berasaskan nafsu manusiawi semata-mata,” katanya.

Tambahnya, dengan meningkatnya usia dan tempoh kemerdekaan negara, pemikiran umat Islam dan rakyat Malaysia seharusnya bergerak seiring dengan kematangan ini.

Ia termasuk mengelakkan perkara seperti perbalahan sesama kaum dan bangsa kerana hakikatnya Islam agama yang datang bersama-sama rahmat serta menghormati kepelbagaian juga mengasihi setiap insan.

Dr Nisar Mohammad Ahmad

Teruskan legasi ulama terdahulu

Bahkan katanya, walaupun keadaan negara hari ini harmoni tanpa berlakunya peperangan sebagaimana perjuangan ketika menuntut kemerdekaan satu masa dulu, pendakwah perlu meneruskan usaha legasi ulama terdahulu sebagai ejen penyatuan umat.

“Ia termasuk menyebarkan kasih sayang dan kata-kata yang baik serta mengelakkan diri daripada mengapi-apikan perbalahan dan konflik dalam masyarakat.

“Berkat penyatuan dan perpaduan ini, kemanisan nikmat kemerdekaan akan lebih dirasai oleh semua yang akhirnya berbangga menjadi sebahagian dari negara yang tercinta ini,” katanya.

Tambah Nisar, usaha golongan agamawan harus dipuji kerana mereka banyak menggerakkan kesedaran dalam pelbagai bentuk termasuk ceramah, seminar dan penulisan khususnya dalam menggugah pemikiran masyarakat bagi menghadapi cabaran mempertahankan kemerdekaan era baharu.

Ia termasuk penularan fahaman songsang seperti liberalism, perjuangan hak oleh golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

“Jika boleh, ingin saya sarankan kepada golongan agamawan dapat menggunakan pendekatan yang lebih seimbang.

“Dalam erti kata lain, tidak terlalu obses kepada menyerang tetapi perlu juga menerangkan. Tidak terlalu fokus kepada menghukum tetapi juga mendidik.

“Isu LGBT contohnya, ramai yang boleh bercakap dan mengkritik mengenainya, tetapi tidak ramai agamawan yang bersedia untuk turun padang menyantuni golongan yang dilihat tersasar ini, termasuk memberikan harapan dan nasihat serta berdialog,” katanya.

Katanya, sikap yang mereka tunjukkan tentunya salah, namun begitu ia masih boleh diperbaiki dan ada potensi bagi mengembalikan kelompok ini kepada fitrah.

“Berdialog dan menyantuni golongan ini bukan bermakna mengiktiraf kemungkaran yang dilakukan, tetapi untuk meneroka ruang yang boleh dimanfaatkan untuk mengelakkan mereka berterusan memilih jalan salah.

“Namun, jika ada pelanggaran undang-undang yang nyata, maka peruntukan undang-undang harus digunakan seperti kes dua wanita di Terengganu baru-baru ini,

sebagai pengajaran kepada masyarakat,” katanya.

Posted in Fokus Isu | 1 Comment »

Kemerdekaan Menurut Perspektif Islam

Posted by epondok di Ogos 28, 2022

Walaupun sudah 64 tahun negara mengecapi dan menikmati kemerdekaan, namun masih ada segelintir masyarakat di negara ini terutama generasi muda yang masih belum memahami dan memenuhi erti kemerdekaan sebenar menurut Islam. Secara umumnya, pembebasan daripada belenggu penjajah dianggap sebagai suatu kejayaan besar dan mutlak bagi melambangkan erti kemerdekaan sesebuah negara. Pengertian seperti ini sangat tidak tepat kerana makna kemerdekaan sebenarnya sangat luas dan tidak hanya terikat kepada pembebasan sesebuah negara dari cengkaman kuasa asing semata-mata.

Kemerdekaan yang sebenar menurut Islam boleh difahami daripada kata-kata Rub’ie bin A’mir ketika bertemu panglima tentera Rom yang bernama Rustum bahawa : “Allah mengutuskan kami (orang-orang Islam), untuk kami merdekakan manusia, dari mengabdikan diri sesama manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah, daripa kezaliman agama kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat”.

Rub’ie bin A’mir menyimpulkan bahawa penjajahan bukan sahaja boleh berlaku melalui penguasaan bangsa asing terhadap sesuatu kaum, tetapi ia juga boleh berlaku melalui penguasaan bangsa sendiri. Kemerdekaan sebenar adalah kemerdekaan jiwa dan minda. Tanpa kemerdekaan jiwa dan minda serta fizikal tidak akan berguna.

Perjuangan jiwa merdeka bermula dari penolakan terhadap ketidakseimbangan dan ketidaksejahteraan kehidupan masyarakat sekeliling. Apabila Nabi Muhammad SAW diangkat menjadi rasul, wahyu Allah telah diturunkan kepada Baginda dan telah membebaskan pemikiran manusia daripada belenggu kejahilan yang pelbagai bentuknya terutama kejahilan akidah.

Sebelum kedatangan agama Islam, manusia masih terbelenggu dengan penjajahan akal dan hawa nafsu. Orang yang kuat atau kaya akan menindas orang yang lemah atau miskin. Agama Islam diturunkan antaranya dengan tujuan membebaskan manusia daripada penjajahan-penjajahan ini.

Inti pati kemerdekaan di sisi Islam sebenarnya ialah maqasid al-Syariah bagi setiap individu manusia kerana ukuran kesejahteraan manusia dilihat dengan kebebasan manusia untuk menikmati kepercayaannya, nyawanya dilindungi selain akal yang sejahtera untuk berfikir.

Sementara itu seorang lagi cendekiawan Islam tersohor yang turut memberi pandangan yang positif terhadap patriotisme ialah Muhammad Iqbal, ucapnya: “Patriotisme merupakan satu kebajikan yang benar-benar selaras dengan fitrah manusia, dan mempunyai tempat di dalam kehidupan moral manusia. Namun yang merupakan kepentingan sebenarnya adalah keyakinan manusia, kebudayaannya, dan tradisinya. Inilah hal-hal yang merupakan erti yang seharusnya dibawa hidup dan dibawa mati, bukan sejengkal tanah di mana jiwa manusia dihubungkan untuk sementara waktu.”

Sesungguhnya mencintai tanahair adalah suatu yang baik dan Islamik, tetapi rasa cinta ini mestilah dijelmakan sebagai cinta kepada hakikat sebenar atau cinta rohaniah yang ada kaitan dengan kecintaan kepada Allah SWT. Oleh itu seorang Muslim yang mencintai tanahairnya ialah seorang yang dapat memahami cintanya kepada Allah SWT dan pengabdi kepada yang mencipta tanahair itu, dan bukannya pengabdi kepada tanahair.

Kemerdekaan bukan sekadar dari segi pendudukan tentera dengan berjaya menghalau keluar penjajah dari bumi tercinta, tetapi juga kemerdekaan dari segi politik, ekonomi, pendidikan, budaya, teknologi dan lebih penting dari itu semua ialah kemerdekaan insan itu sendiri. Kemerdekaan insan adalah muqaddimah kepada segala bentuk kemerdekaan yang lain. Tanpa insan yang merdeka, kemerdekaan sebenar tidak akan tercapai dan perjuangan kemerdekaan hanya akan terhenti separuh jalan.

Perjuangan kemerdekaan memerlukan jiwa kental yang hanya dapat dibekalkan oleh Islam, iaitu jiwa yang memiliki pandangan dan memahami dimensi perjuangan dan bebanan yang harus dipikul. Mereka yang memahaminya dalam konteks ‘ubudiah dan kewajiban menegakkan Islam secara sempurna sahaja yang sanggup berkorban untuk satu perjuangan yang panjang.

Perjuangan untuk kemerdekaan kemanusiaan seluruhnya bukan sekadar perjuangan untuk mendapat sebidang tanah atau kepuasan membalas dendam kepada penjajah. Perjuangan ini juga adalah perjuangan mengekang hawa nafsu dari melakukan perkara yang bertentangan dengan syariat Islam.

Kembali menghayati al-Quran dan sunnah RasulNya adalah ramuan yang paling mujarab untuk mengisi kemerdekaan ini agar ummat Islam di negara kita menjadi ummah terbilang dan terunggul. Allah SWT telah mengutuskan Rasul dan al Quran sebagai kitab hidayah untuk dijadikan panduan hidup kita supaya segala apa jua tindakan kita adalah tidak tersasar dari jalanNya. Apa pun keadaan kita pada hari ini, jiwa merdeka perlu sentiasa tersemat di dalam dada.

Asas kepada jiwa merdeka ialah akidah yang kukuh. Berpaksikan kepada nur tauhid, manusia bukan sahaja akan sentiasa membebaskan dirinya daripada belenggu penjajahan secara zahiriah, tetapi akan sentiasa memastikan dirinya sebagai manusia atau umat yang memiliki maruah dan ada harga diri.

Apalah erti kemerdekaan yang ada ini, jika tidak diringi dengan semangat juang berterusan untuk membebaskan manusia seluruhnya dari pengabdian sesama makhluk kepada pengabdian sepenuhnya kepada Allah SWT.

Dengan memahami erti kemerdekaan yang sebenar dari aspek yang menyeluruh dapat melahirkan sebuah masyarakat yang bertamadun dengan tamadun al Quran dan negara yang diredhai Allah s.w.t. seperti kehendak al-Quran:

بلدة طيبة ورب غفور

Maksudnya: “(Negeri mu) adalah negeri yang baik dan (Tuhan mu) adalah Tuhan Yang Maha Pengampun”. (Saba’:15)

Wallahua’lam

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Siapa Tok Ku Tuan Besar?

Posted by epondok di Ogos 26, 2022

Oleh SYED ABI GHUFRAN SYED AHMAD AL-IDRUS

MASJID Tok Ku Tuan Besar yang terletak di Cabang Tiga, Kuala Terengganu.

GOLONGAN Syed al-Idrus yang berada di Terengganu adalah berasal dari Hadramaut melalui zuriat Syed Muhammad bin Ahmad al-Idrus atau lebih dikenali dengan nama Tok Makam Lama. Keturunannya sangat dihormati oleh masyarakat setempat kerana ilmu agamanya yang tinggi, kepandaian menyelesaikan masalah, memiliki adab dan akhlak terpuji serta rapat dengan pihak istana melalui perkahwinan.

Tok Makam Lama telah menetap dan mengajar agama Islam di negeri Terengganu dan meninggal dunia pada 1209 Hijrah. Kedatangan Tok Makam Lama ke Terengganu ketika masih bujang dan kemudian berkahwin dengan wanita tempatan, Wan Selamah yang merupakan cicit kepada Wan Ismail, seorang berpangkat datuk di Terengganu (Dato’ Bukit Datu) ketika pemerintahan Sultan Zainal Abidin 1 (1725M-1733M).

Salah seorang anak Tok Makam Lama yang bernama Sharifah Aishah (Tuan Hitam) telah berkahwin dengan Syed Zainal Abidin bin Syed Hussein al-Idrus.

Daripada zuriat Syed Zainal Abidin inilah lahirnya seorang tokoh agama yang terkenal di Terengganu iaitu Syed Muhammad yang turut terkenal dengan gelaran Tok Ku Tuan Besar, sekali gus merupakan keturunan Syed al-Idrus yang mula-mula sekali muncul sebagai guru agama yang masyhur di Terengganu.

Ketika berumur sembilan bulan dalam kandungan, bapanya telah berangkat ke Jawa. Syed Zainal Abidin tidak pernah melihat wajah anaknya (Tok Ku Tuan Besar). Khabarnya, Syed Zainal Abidin telah meninggal dunia di Kendal iaitu suatu wilayah yang terletak di Semarang, Jawa, Indonesia. Tok Ku Tuan Besar dilahirkan sehari selepas kematian bapanya iaitu pada 1211H/1794M.

Semenjak itu, ibunya memberi didikan agama kepada Tok Ku Tuan Besar dan dibantu bapa saudaranya, Tok Ku Tuan Pahang, Syed Ahmad (Tok Ku Melaka), Tok Ku Tuan Darat serta turut diambil sebagai anak angkat oleh seorang pembesar daerah di Cabang Tiga bernama Raja Tepok.

Pada usianya tujuh tahun, Raja Tepok telah menghantar Tok Ku Tuan Besar ke Mekah dan pulang ke tanah air ketika berusia antara 18-20 tahun. Raja Tepok mentadbir dari Cabang Tiga hingga ke Ulu Telemong dan Tanjung Aur. Ketika Raja Tepok meninggal dunia, beliau telah mewakafkan semua tanah miliknya di Kampung Cabang Tiga kepada Tok Ku Tuan Besar dan istana Raja Tepok dihadiahkan untuk dijadikan surau (sekarang dikenali, Masjid Tok Ku Tuan Besar).

Beliau bersama sahabatnya, Wan Abdullah (Tok Sheikh Duyung) telah belajar dengan seorang guru agama terkenal bernama, Wan Abdul Kadir (Tok Sheikh Abdul Kadir) di Bukit Bayas. Beliau merupakan seorang pelajar yang tekun dan sanggup berulang alik dari Cabang Tiga ke Bukit Bayas dengan berjalan kaki melalui bendang padi dan hutan belukar. Beliau selalu menggunakan daun keladi betawi untuk melindungi dirinya ketika hujan dan panas.

Di samping mempunyai ingatan yang baik, beliau juga mampu membaca al-Quran dengan beberapa qiraat dengan lagu yang merdu. Ketika berumur 20 tahun, Tok Ku Tuan Besar telah melanjutkan pelajaran agama di Mekah dan berguru dengan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fatani, Sheikh Abdul Hamid Syurwani dan Imam al-Sheikh Nawawi.

Sekembalinya dari Mekah pada 1263H/1846M, beliau telah mengajar di suraunya yang terletak di Cabang Tiga (sekarang dikenali sebagai Masjid Tok Ku Tuan Besar). Murid-muridnya bukan sahaja dari Terengganu tetapi juga dari luar negeri.

Masjid ini masih wujud hingga ke hari ini. Di masjid inilah beliau menerapkan semangat kasihkan agama, mengajar syariat dan hukum agama sehingga mampu diterjemahkan dalam kehidupan masyarakat di situ.

Inilah yang menyebabkan beliau menjadi terkenal dan ulama yang termasyhur di seluruh pelosok negeri serta mempunyai kedudukan tertinggi dalam urusan hal ehwal Islam Terengganu. Beliau disemadikan di belakang masjid ini serta beberapa tokoh lain.

Tok Ku Tuan Besar amat disegani, sama ada kawan dan lawan kerana jasanya kepada agama, keidealan perwatakan serta percakapannya. Beliau dianggap oleh masyarakat setempat sebagai pemimpin yang ikhlas dan bijak dalam menangani masalah yang diajukan kepadanya, bahkan sultan juga memohon buah fikirannya jika mempunyai masalah dalam hal ehwal pentadbiran negeri.

Beliau juga mendapat gelaran Tok Ku Hadis kerana berjaya membentuk kepercayaan dalam kalangan masyarakat melalui pengajaran dan tingkah laku mulia.

Beliau juga hidup sezaman dengan beberapa orang Sultan Terengganu tetapi sangat rapat dengan Sultan Umar. Selain menjadi ulama pada zaman pemerintahan Sultan Umar (1839M-1875M), Tok Ku Tuan Besar turut menjadi ulama pada zaman pemerintahan Sultan Zainal Abidin III (1881M-1918M).

Sebagai seorang ulama yang sangat dihormati dan salah seorang pembesar negeri, beliau telah dianugerahkan gelaran “Tuan Besar Paduka Indera” (Paduka Raja Indera) daripada Sultan Umar.

Di samping menjadi Sheikhul Ulama, beliau juga dianggap sebagai ketua kepada ulama-ulama dan masyarakat Arab di Terengganu. Pada masa hayatnya, hukum Islam telah diamalkan secara meluas dalam sistem pentadbiran negeri Terengganu dan disebabkan keadilan pemerintahan Baginda Umar berlandaskan Undang-Undang Islam maka negeri i ini terkenal dengan keamanannya.

Sultan Umar telah menubuhkan beberapa jabatan penting antaranya Dewan Ulama yang diketuai oleh Tok Ku Tuan Besar. Ia merupakan badan tertinggi dalam kerajaan dan berfungsi sebagai tempat rujukan dalam semua bidang serta menyelesaikan masalah negeri.

Mufti

Tok Ku Tuan Besar pernah menjadi Mufti Terengganu ke-2 dari 1860 hingga 1878. Malah beliau telah diberi kuasa autonomi untuk menguruskan daerah Cabang Tiga oleh Sultan Umar.

Beliau telah menjadikan masjid sebagai pejabatnya, membina sebuah rumah pasung bagi menahan pesalah dan sebatang tiang untuk mengikat orang-orang yang dikenakan ta’zir kerana tidak berpuasa dan solat Jumaat.

Penyerahan daerah Cabang Tiga dan kawasan sekitarnya merupakan satu pengiktirafan serta kepercayaan kepada seorang ulama untuk mentadbir sebahagian daripada negeri Terengganu.

Tok Ku Tuan Besar meninggal dunia pada 17 Muharam 1295H bersamaan 21 Januari 1878 ketika berusia 84 tahun akibat daripada demam yang berlarutan hingga mukanya pucat, matanya cengkung dan lemah badan.

Posted in Tokoh Ulama' | Leave a Comment »

Kebahagiaan tercerna daripada ketenangan jiwa

Posted by epondok di Ogos 24, 2022

Oleh Zawawi Yusoh

ALANGKAH bahagianya jika kita memiliki jiwa yang penuh dengan ketenangan. Sebaliknya, amat gelisah sekali buat seseorang yang jiwanya mengalami kebingungan serta kegoncangan.

Dalam kehidupan ini pasti kita bertemu dengan dua jenis manusia, iaitu manusia yang jiwanya tenang dan manusia yang jiwanya sering merasa gelisah.

Remaja tentu pernah mengalami saat diri terasa bingung dengan masalah menyebabkan jiwa menjadi gelisah dan tidak menentu.

Ketika itu, terasa tiada tempat untuk mengadu, hampir putus asa dalam keadaan terkapai-kapai bersendirian. Saat itu, kita amat memerlukan sesuatu yang dapat membersihkan jiwa dan fikiran.

Jika penyakit kencing manis akibat gula berlebihan, kolesterol tinggi kerana banyak lemak, stress kerana tekanan, maka jiwa yang tidak tenteram pun ada sebabnya.

Sebab utamanya adalah dosa. Dosa adalah racun yang meracuni hati dan perasaan. Berbanding dengan racun biasa yang memudaratkan anggota badan.

Maka kita mesti menjauhi segala kejahatan yang ditimbulkan anggota badan. Tujuh anggota badan yang paling berpengaruh dalam melakukan dosa adalah mata, telinga, lidah, perut, kemaluan, tangan dan kaki sehingga ada ulama yang mengatakan Allah menciptakan tujuh neraka itu sebagai tempat menyeksa anggota yang melakukan dosa

ata perlu digunakan bagi tujuan melihat perkara yang baik dan indah.
Bukannya perkara haram dan lucah. Telinga adalah untuk mendengar yang baik-baik, bukannya mendengar sesuatu yang mengandungi nilai maksiat dan haram seperti mendengar umpatan dan fitnah. Perut pula mesti diisi dengan yang halal.

Yang buat kita tidak tenang juga adalah disebabkan oleh hati yang kotor. Bukan saja dengan dosa tetapi juga akhlak tercela.

Rasulullah bersabda maksudnya: “Sesungguhnya malaikat tidak masuk rumah yang ada anjing.” Dimaksudkan dengan malaikat adalah ketenangan yang dibawa, yang dimaksudkan dengan rumah adalah hati, yang dimaksudkan dengan anjing adalah sifat dan akhlak tercela.

Maknanya kalau kita ada akhlak dan sifat tercela, hati yang bertindak sebagai rumah sudah menjadi kotor dan ketenangan tidak akan menjenguk.

Malaikat rahmat tidak akan berada di tempat tinggalnya dan menetap syaitan sebab perangai buruk ditaja syaitan.

Sifat tercela yang membuat kita risau dan sasau ialah hasad dengki iaitu tidak senang lihat orang senang, takbur, ego serta sombong dan inilah stress pertama dialami syaitan ketika kejadian Adam a.s kerana bimbang Adam menandinginya.

Begitu juga ujub dan riak. Mereka berasa dialah yang sempurna sedangkan orang lain rendah. Selain itu mereka mengharapkan pujian dan sanjungan. Apa lagi jika seseorang itu bersifat bakhil dan kedekut pasti tidak akan pernah tenang hatinya kerana sentiasa terikat dengan harta, cinta harta.

Apa lagi cintakan kemasyhuran yang langsung tiada perasaan rendah diri sudah pasti hati akan berasa gelisah. Sifat pemarah membuat orang menjadi pendendam, hanya rasa takut kepada Allah saja boleh menghilangkan rasa marah itu.

Posted in Amalan Pilihan | 1 Comment »

Berusaha dahulu sebelum tawakkal

Posted by epondok di Ogos 24, 2022

SETIAP orang beriman diperintahkan agar bertawakal kepada Allah SWT secara benar seperti diperintahkan agama. Jika tersalah memahami konsep tawakal, maka tentu saja akan membawa kepada kesesatan serta mengundang kemurkaan Allah SWT. Allah SWT menyuruh hamba-Nya bertawakal dapat kita melalui ayat berikut yang bermaksud:

“Kepada Allah hendaklah kamu bertawakal jika kamu benar-benar beriman” (Al-Ma-idah: 23)”. Ayat ini memberi penjelasan bahawa orang yang bertawakal itu sifat yang mesti ada pada setiap orang yang beriman. Tawakal yang dikehendaki dalam Islam bukanlah menyerah bulat-bulat kepada Allah SWT. Tawakal yang sebenarnya mestilah terlebih dulu berikhtiar dan usaha yang bersungguh-sungguh serta berterusan sehingga berjaya.

Walaupun begitu, masih ada segelintir manusia dalam masyarakat kita yang tersalah memahaminya, sehingga ada yang sanggup mengatakan manusia tidak perlu penat bekerja dan berusaha, serahkan saja pada Allah SWT, kerana semuanya ditentukan oleh-Nya sejak azali lagi. Tawakal begini adalah salah sama sekali dan menyeleweng daripada pengertian sebenar.

Pengertian yang sebenar tawakal menurut A.Z Abidin dalam bukunya Sunnah Allah dan Ikhtiar Manusia memberi penjelasan sebagai berikut: “…mengusahakan sesuatu dengan mempergunakan sebab-sebab yang lazim (sunnah Allah) serta mengharap pertolongan Allah SWT. Sebagai contoh, seorang yang sedang sakit, kalau ia mahu sembuh pergi berjumpa doktor (seorang ahli) untuk meminta nasihat (pertolongannya) dan menyerah dalam segala usahanya itu kepada Allah. Inilah tawakal.”

Untuk lebih jelas lagi mengenai pengertian tawakal, Rasulullah SAW didatangi orang Badawi dan berkata, “Bolehkah saya melepaskan unta saya, lalu saya bertawakal kepada Allah, wahai Rasulullah? Nabi menjawab: Tambatlah unta itu, lalu engkau bertawakal kepada Allah” (Al-Hadis).

Daripada penjelasan di atas maka bolehlah kita mengambil satu rumusan bahawa segala bentuk urusan atau pekerjaan yang dihadapi hendaklah berusaha terlebih dulu sebelum bertawakal kepada Allah SWT.

Sebagai manusia yang inginkan kejayaan dan kesejahteraan hidup, haruslah berusaha dan bekerja dengan tekun. Lantaran kesempurnaan hidup (di dunia dan di akhirat) tidak akan tercapai apabila ada sikap malas. Islam sama sekali tidak menghendaki umat-Nya menganggur dan berpeluk tubuh, hanya berserah buta kepada Allah SWT.

Posted in Amalan Pilihan, Klinik Agama | 1 Comment »

Tuan Guru Haji Ali Pakar Ilmu Nahu dan Soraf

Posted by epondok di Ogos 20, 2022


Almarhum Tuan Guru Haji Ali
Negeri Sembilan tidak ketandusan melahirkan ulama berkaliber yang namanya terkenal diseluruh Alam Melayu. Salah seorang darinya ialah almarhum Tuan Guru Haji Ali. Beliau mengasaskan sebuah pondok yang terletak di Siliau[1] kira-kira 5 km dari pekan Rantau. Nama lengkap ulama besar ini ialah Haji Ahmad @ Ali Bin Haji Musa. Beliau dilahirkan dalam tahun 1926[2] dan merupakan anak jati Siliau. Bondanya bernama Jumah Binti Pawang Jali. Tuan Guru Haji Ali pernah berkahwin sebanyak tiga kali. Isteri pertamanya orang tempatan, kedua dari Seremban dan terakhir dengan gadis Kelantan. Beliau memperolehi ramai anak hasil perkahwinan dengan isteri-isterinya itu.
Dalam usia yang masih muda, Tuan Guru Haji Ali mula menimba ilmu kepada Tuan Syeikh Ahmad Said yang memegang jawatan Mufti Negeri Sembilan di Pondok Rasah, Seremban lebih kurang 5 tahun dalam tahun 1930-an. Dari gurunya itulah beliau mewarisi amalan tariqat Ahmadiah. Selepas itu beliau diriwayatkan memondok pula di Padang Rengas, Perak dan terakhir di Pendang, Kedah. Tuan Guru Haji Ali dikatakan pernah mengajar di Pondok Tanah Merah, Pendang iaitu berdekatan dengan Pekan Pendang sekarang selama 5 tahun sebelum pulang ke kampung halamannya. Diriwayatkan bahawa sebab-musabab beliau berhenti mengajar ialah kerana beliau tidak mahu menerima gaji dan sebelum itu guru-guru pondok hanya menerima infak dari kutipan zakat sahaja. Beliau amat berhati-hati dalam menerima pemberian atau mencari rezeki.
Beliau membuka pondok di kampung halamannya sendiri iaitu di Siliau. Pondok ini diberi nama Madrasah ad-Dhuafa’ wal-Masakin. Pondok ini dipercayai dibuka pada awal tahun 1970-an. Kealiman beliau dalam bidang agama segera dihidu oleh para penuntut yang dahagakan ilmu. Dalam masa yang singkat, penuntut-penuntut dari seluruh pelusuk negeri termasuklah Sabah, Sarawak dan Indonesia datang membanjiri pondoknya. Ramai kalangan anak muridnya berjaya melanjutkan pelajaran di pusat pengajian dalam dan luar negara seperti di Aceh, Mesir, Madinah, Yaman dan Jordan. Keahlian beliau dalam bidang sorof nahu bahasa Arab menyebabkan namanya dikenali sehingga ke universiti-universiti di Tumur Tengah ini. Bahkan ada pensyarah yang menyarankan penuntut-penuntut Melayu yang lemah menguasai Bahasa Arab supaya balik belajar dengan Tuan Guru ini.
Tuan Guru Haji Ali mengajar dengan ikhlas dan gigih dalam usaha menyebarkan ilmu agama. Beliau mengajar bersendirian dari pagi hingga ke malam sehingga dikatakan dalam keadaan sakit dan berbaring pun beliau masih berkeinginan untuk terus mengajar. Penuntut yang datang berguru dengannya bukan sahaja dari kalangan penuntut pengajian agama tetapi juga penuntut yang tidak mempunyai latar belakang dalam jurusan pengajian agama. Kesemua penuntut yang datang ke pondoknya diasuh dengan tangannya sendiri sehingga mereka benar-benar dapat menguasai ilmu dengan baik.
Selain mengajar di pondok, beliau juga mengawasi gerak-geri anak murid agar tidak melanggar peraturan. Tujuannya adalah untuk memastikan anak muridnya benar-benar menghayati tuntutan agama dan faham bahawa agama itu merangkumi seluruh kehidupan bukannya setakat ilmu yang dipelajari didalam kelas sahaja. Beliau akan mendenda sesiapa yang dijumpai merokok di kawasan pondok. Jika terserempak, alamatnya mereka akan dipaksa memikul puntung rokok tersebut. Kegigihannya dalam mengajar agama ini dikagumi ramai orang. Manakan tidak, beliau mengajar secara bersendirian dan pada masa yang sama perlu mengawasi anak-anak muridnya menjalani kehidupan harian di pondok. Ketika ditanya tentang rahsia atau petua bagaimana beliau boleh menegendalikan pondoknya itu, Tuan Guru yang warak ini hanya mengulang perkataan “ senang” beberapa kali dan diakhir dengan “..sabar..”. Itulah jawapan yang ringkas dan bersahaja keluar dari mulutnya. Mungkin dengan berkat kesabaran itulah, beliau berjaya mengendalikan pondok tanpa berhadapan dengan banyak masalah.
Melalui perkhabaran mereka yang pernah berguru dengan beliau, mereka mengatakan bahawa Tuan Guru Haji Ali seolah-olah dapat membaca persoalan yang bermain dalam fikiran anak muridnya dan beliau akan menjawab atau menghuraikan permasalahan tersebut dengan jelas. Beliau mampu mengajar tanpa buku atau nota di tangan dan berupaya mengawasi penuntutnya seramai 98 orang dalam suatu masa. Tuan Guru Haji Ali lazimnya akan menentukan tempat pengajian lanjutan untuk anak-anak muridnya. Jika beliau merasakan mereka berkebolehan untuk membuka pondok maka diarahkannya pergi menuntut di Makkah. Sebaliknya jika terfikir untuk makan gaji maka disuruhnya ke Mesir dan lain-lain tempat. Murid-murid yang berangkat ke Makkah akan menadah kitab dengan ulama tertentu disana. Pengajian dijalankan secara terbuka dan ada kalangan ulama tersebut seolah-olah telah diberitahu oleh Tuan Guru Haji Ali tentang kedatangan anak murid beliau. Antara guru yang mengajar di Mekah ini ialah Syeikh Abdullah Mas’ud yang berasal dari Petani. Beliau menetap di Makkah sejak umurnya 8 tahun setelah mengikut datuknya. Guru berikutnya ialah Syeikh Muhamad Sedawa al-Fathani dan Syeikh Abdul Hamid Naimul Azmi dari Indonesia. Kesemua guru yang disebut ini adalah pengamal tariqat Ahmadiah yang sejalan amalan dengan Tuan Guru Haji Ali. Tuan Guru Haji Ali dikurniakan beberapa karamah. Antara karamah beliau,
1. Ramai orang kampung dan anak muridnya yang menunaikan fardhu haji terserempak dengan beliau di tanah suci sedangkan beliau tidak termasuk kalangan jamaah haji musim tersebut. Allahyarham juga dikatakan boleh hadir di suatu tempat yang jauh tanpa menaiki kenderaan
2. Sebelum hari kematiannya, beliau ada memberitahu murid-muridnya bahawa ada tetamu telah datang menjemputnya. Salah seorang muridnya berada di sisinya ketika beliau sedang di ambang sarakatul maut. Murid-muridnya dapat melihat dengan jelas lidah Haji Ali bagai kaca yang berkilau. Ratib zikirullah dapat didengari keluar dari lehernya.
3. Malam hari kematiannya, hujan turun dengan lebat. Banyak kawasan yang tidak pernah banjir telah dinaiki air. Beberapa orang muridnya telah menyaksikan pokok-pokok kayu rebah ke bumi ketika mereka memandu kereta untuk membuat laporan kematian di Balai Polis Rantau, tetapi anehnya apabila dalam perjalanan pulang tiada pula pokok-pokok yang tumbang. Terdapat juga dakwaan melihat buaya-buaya Sungai Linggi naik ke tebing sungai. Pendek kata terdapat perkara-perkara pelik tapi benar telah berlaku di hari kematian Tuan Guru yang warak ini.
Tuan Guru Haji Ahmad @ Ali bin Haji Musa berpulang ke rahmatullah pada tanggal 1 April 1998 dalam usia 74 tahun. Ketika hayatnya, Tuan Guru Haji Ali dikatakan ada menghasilkan beberapa kitab antaranya ialah kitab terjemahan/ tafsir Al Quran berkenaan dengan Surah al-Waqiah, kitab tentang kaedah nahu Bahasa Arab (dalam tulisan jawi) dan kitab berkaitan tasawuf. KItab-kitab tersebut dipercayai tidak dicetak sebaliknya ditulis tangan. Kitab-kitab ini kemudiannya dipinjam atau berpindah tangan di kalangan anak-anak muridnya. Pondok tuan guru kini ditadbir oleh anaknya iaitu Ustaz Mohshin bin Haji Ali. Beliau pernah menimba ilmu di India dan Mesir. Pondok tersebut yang kini dikenali dengan nama Yayasan Pengajian Tinggi Bahasa Arab Dan Agama Islam Haji Ali Riaadud Duafaai Wal Masakin (YPTHA) kini menawarkan program Diploma dan lulusan dari institusi ini berpeluang melanjutkan pengajian ke Timur Tengah.
Rujukan utama
1. http://lebaikampung.blogspot.com/2007/02/haji-ali-bin-haji-musa-1926-1998.html. Dicapai pada 19 November 2009
2. http://pondokhajiali.blogspot.com/. Dicapai pada 19 November 2009

[1] Kampung Siliau terletak dalam Mukim Rantau dan kedudukannya adalah berhampiran dengan Linggi yang banyak melahirkan ulama terbilang.
[2] Catatan Jabatan Muzium Negeri Sembilan menyebut bahawa beliau dilahirkan pada tahun 1923. Wallahualam. Boleh rujuk di http://www.ns.gov.my/jabatan/muzium/index.php?option=com_content&task=view&id=33&Itemid=37. Dicapai pada 19 November 2009

Posted in Tokoh Ulama' | 2 Comments »

Taati Allah ubat gelisah

Posted by epondok di Ogos 18, 2022

Oleh Mohd Fadly Samsudin

KEHIDUPAN pasti ada cabaran, suka dan duka. Tidak bernama kehidupan tanpa cabaran, ia ibarat warna-warni yang menghias diri.

INGAT ALLAH...amalan membaca al-Quran dapat melahirkan individu  yang bersih jiwanya.
INGAT ALLAH…amalan membaca al-Quran dapat melahirkan individu yang bersih jiwanya.

TENANG...hati akan tenteram jika setiap masa berzikir memuji nama  serta kebesaran Allah.
TENANG…hati akan tenteram jika setiap masa berzikir memuji nama serta kebesaran Allah.

Namun, seberat mana masalah yang menimpa, jangan mudah berputus asa. Rahmat dan nikmat Allah sentiasa meliputi kita. Sebenarnya tujuan Allah menyakitkan adalah bagi menyembuhkan, begitu juga Allah menyempitkan adalah untuk meluaskan. Hebatnya perancangan Allah bagi menguji hamba-Nya.

Ketandusan hati adalah penyakit yang amat ketara dalam masyarakat kita hari ini. Ramai susah hati, gelisah, gundah-gulana walaupun memiliki segala-galanya, harta dan kuasa.

Hakikatnya, kebahagiaan dan ketenangan bukan terletak kepada kemewahan, harta benda atau kuasa kerana manusia yang kaya-raya hidup tidak senang, takut, runsing dan tidak tenteram. Mengapa?

Apabila hati dikuasai iman dan takwa, akan lahirlah kebaikan. Namun, apabila hati dikuasai nafsu, amal yang muncul adalah keburukan.

Tidak hairanlah apabila seseorang itu mengalami kegelisahan akan melakukan apa saja di luar batasan akal manusia. Ia berlaku kerana gagal mengawal perasaan serta tidak melihat Allah sebagai Yang Maha Kuasa dan Maha Esa.

Demikian juga halnya dengan penyakit seperti dengki, dendam dan iri hati yang semuanya berpunca daripada kegelisahan dan tiada ketenangan dalam hati mereka.

Pelbagai usaha yang dilakukan dalam mencari ketenangan jiwa. Ada antara mereka yang mencari ketenangan jiwa itu dengan melancong, bersukan, yoga atau melukis.

Ada juga memilih jalan ‘songsang’ seperti berhibur di kelab malam, minum arak atau mengambil dadah.

Apabila manusia berasakan Allah begitu dekat dengannya walaupun dibebani dengan masalah, mereka akan segera mendapatkan ketenangan dengan membaca al-Quran, berzikir, bersolat dan melihat keindahan alam ciptaan Allah. Inilah ubat ketenangan.

Allah berfirman yang bermaksud: “(Iaitu) orang yang beriman dan tenteram hatinya dengan mengingati Allah dengan mengingati Allah. Ingatlah (bahawa) dengan mengingati Allah itu, tenteramlah segala hati. (Surah al-Ra’d ayat 28).

Hati orang yang beriman itu akan sentiasa tenang dan tenteram kerana mereka mengingati Allah. Tidak kira walau mereka ditimpa malapetaka, mereka segera insaf dan melihat kembali kesilapan yang dilakukan agar ia dapat diubah.

Kesenangan hati itu adalah kebahagiaan yang sebenarnya. Dengan itu, Islam amat menitikberatkan tanggungjawab menunaikan solat lima waktu lima kali sehari semalam kerana dengan bersembahyang manusia dapat membersihkan hati dan jiwa.

Nabi Muhammad s.a.w. bersabda, sembahyang itu tempat ketenangan jiwa dan kesenangan hatinya. Jadi, orang yang mengerjakan sembahyang lima kali sehari semalam seolah-olah mereka mengingati Allah siang, malam, pagi dan petang.

Dengan bersembahyang, hati terasa sedang mengadu serta merintih kepada Allah. Hal berkenaan dijelaskan Rasulullah, bahawa dengan sembahyang, hati orang beriman dan bertakwa sudah terhibur.

Baginda bersabda yang maksudnya: “Di antara kesenangan dunia yang aku sukai ialah wanita, wangi-wangian dan penenang hatiku adalah sembahyang”. (Hadis riwayat Al-Nasa’ei).

Itulah bezanya orang yang bersembahyang dengan orang yang meninggalkannya. Maka jangan sesekali kita rasa berat mengerjakan solat kerana ia ternyata memberikan banyak manfaat.

Dalam mencari ketenangan, seseorang perlu berpandukan syarak supaya ia tidak jauh tersasar. Ketenangan yang dicari dengan berseronok hanyalah bersifat sementara.

Orang yang berada dalam keadaan tidak tenang akan sentiasa bersedih, muram serta susah hatinya. Maka, kita perlu mengingati Allah pada setiap masa dan memohon taubat kepadanya.

Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya, Allah menyukai orang yang bertaubat dan mengasihi orang yang bersuci” (Surah al-Baqarah ayat 222).

Walau bagaimana berat sekalipun ujian, Allah sentiasa membantu. Firman Allah yang bermaksud: “Dia yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang yang beriman supaya bertambah keimanan mereka bersama keimanannya. Kepunyaan Allah tentera langit dan bumi dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana” (Surah al-Fathu ayat 4).

Jadi, kita tidak boleh merungut, berasa beban atau tertekan dengan ujian hidup. Rasulullah sendiri menempuh pelbagai ujian sehingga Baginda diangkat darjat Ulul Azmi iaitu mereka yang paling gigih, sabar dan berani menanggung ujian.

Firman Allah yang bermaksud: “Adakah kamu menyangka, kamu akan masuk syurga sahaja dan tidak akan datang (malapetaka) kepadamu seperti yang telah datang kepada orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa kemiskinan dan kemelaratan yang amat sangat dan mereka gementar (ketakutan) sehingga berkata rasul dan orang yang beriman bersamanya: Bilakah tibanya pertolongan Allah? Ingatlah, bahawasanya pertolongan Allah itu hampir tiba.” (Surah al-Baqarah ayat 214).

Bagi orang beriman, ujian bukanlah dianggap sesuatu perkara yang malang kerana Allah mempunyai perancangan di sebaliknya.

Dalam keadaan berdosa sekalipun, ujian ditimpa sebagai satu pengampunan. Manakala dalam keadaan taat pula, Allah menurunkan ujian bagi meningkatkan darjat seseorang.

Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (Ilim), Zamihan Mat Zain, berkata tiada cara lain ‘mengubati’ penyakit gelisah melainkan mentaati segala perintah Allah.

“Walaupun kita diuji dengan penyakit, derita atau miskin kita perlu kembali semula kepada Allah s.w.t yang pasti mempunyai perancangan buat manusia.

“Bagaimana boleh dapat merasai ketenangan jika manusia tidak pernah melawan hawa nafsu yang sentiasa menjuruskan mereka ke lembah kehinaan,” katanya.

Zamihan berkata, manusia perlu ‘sibuk’ berurusan dengan Allah kerana Dia memberikan segala-galanya termasuk kesenangan.

“Dengan mengingati nama Allah, hukum serta qada dan qadar mampu menjadikan jiwa manusia lebih kuat dan tenang.

“Insya-Allah, dengan zikrullah hati akan sentiasa lapang. Jika Allah uji dengan kematian insan tersayang misalnya mereka perlu bersedia dan menerima takdir itu dengan hati terbuka. Daripada situ akan timbul sifat reda menerima ketentuan yang Allah janjikan,” katanya.

Beliau berkata, bagi mereka yang berada dalam kekusutan perlu meleraikan dahulu masalah yang dihadapi dan tidak membiarkan kegelisahan itu menguasai fikiran.

“Reda dan pasrah terhadap ketetapan dan ketentuan Allah akan mententeramkan hati manusia daripada segala macam kegelisahan jiwa yang timbul.

“Benar, kesedihan tidak mungkin dapat ditolak. Mengapakah kita memberi ruang serta membiarkan diri kita tenggelam dalam kesengsaraan?” katanya.

Selain itu, Zamihan berkata orang beriman pasti tenang apabila dapat melihat alam ciptaan Allah s.w.t dan sebab itu manusia digalakkan berbuat demikian sebagai tanda memuji kebesaran Allah.

“Mereka pasti rasa bahagia apabila dapat melihat ciptaan Allah di muka bumi ini seperti lautan, bukit bukau, haiwan, langit dan gunung ganang yang semuanya mempunyai peranan masing-masing.

“Muhasabah diri itu penting bagi menilai kesilapan kita. Jika kita berasakan diri ini teruk dilanda masalah, kita perlu fikir masih terdapat individu lain yang lebih hebat diuji Allah,” katanya.

Beliau berkata bebanan masalah tidak boleh disimpan dan ia perlu dibawa berbincang dengan mereka yang boleh menyelesaikannya.

“Kadangkala kesusahan hati seseorang tidak digambarkan melalui riak wajahnya kerana mereka dilihat bersahaja. Sebab itu mereka lebih selesa memendam perasaan. Namun, itu bukan cara terbaik bagi menyelesaikan masalah kerana dibimbangi ia akan memudaratkan diri sendiri.

“Elok rasanya kita meminta pandangan orang yang boleh dipercayai kemudian berbincang bagaimana masalah itu boleh diselesaikan,” katanya.

Posted in Amalan Pilihan | 1 Comment »

Wanita mempunyai hak menentukan calon suami

Posted by epondok di Ogos 16, 2022

Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

ISLAM sangat memandang berat aspek pemilihan jodoh sehingga banyak keterangan Rasulullah SAW yang memperkatakan isu ini. Kesejahteraan dalam rumah tangga akan terpancar melalui kerukunan hidup bersama sepasang suami isteri apatah lagi apabila dikurniakan anak-anak.

Atas faktor itulah maka sejak dulu lagi, ibu bapa begitu berhati-hati dalam usaha mencari jodoh untuk anak gadis dengan seseorang lelaki. Walaupun begitu, Islam mempersiapkan garis panduan jelas dalam aspek perkahwinan buat anak-anak.
Tambahan pula dalam dunia moden hari ini, anak-anak termasuklah anak gadis kita mempunyai pilihan mereka sendiri dan mereka mempunyai cita rasa yang mungkin tidak disenangi ibu bapa. Maka tidak sunyi kita mendengar peristiwa anak-anak gadis lari dari rumah mengikut lelaki pilihan hatinya lantaran pinangan ditolak oleh ibu bapa.
Kita harus melihat aspek ini dari sudut yang tepat sebagaimana ditetapkan agama. Jangan bertindak terburu-buru dan di luar batasan yang dibenarkan. Sesungguhnya Islam menetapkan hak seorang wanita dalam perkara memilih calon suami.

Ini jelas sepertimana ingatan Rasulullah SAW yang bermaksud: “Seorang janda lebih berhak terhadap dirinya dari walinya. Seorang gadis harus diminta izinnya oleh ayahnya mengenai dirinya. Adapun izin gadis itu diketahui menerusi sikap diamnya.” (Hadis riwayat Muslim)

Ulama bersependapat dalam masalah hak wanita dalam aspek pemilihan calon suami. Ini diakui sendiri oleh Imam Syafie, Ibnu Lailah, Imam Ahmad, Ishak dan ramai lagi yang mengatakan bahawa meminta izin daripada seorang gadis untuk mengahwinkannya adalah satu perintah agama.

Imam Abu Hanifah pula mengatakan, “Si wali diwajibkan meminta izin terlebih dulu daripada si gadis yang mencapai usia baligh. Adapun sabda Baginda SAW, “Adapun tanda izinnya adalah diamnya.”
Menurut pandangan umum memang karakter lumrah seorang gadis akan diam jika dia bersetuju akan dikahwinkan dengan lelaki yang ditawarkan kepadanya, akan tetapi kalau dia tidak setuju, maka dia akan menyatakan tidak bersetuju.

Banyak kes lari dari rumah akibat peminangan ditolak berlaku kerana ibu bapa terlalu memaksa anak gadisnya menyetujui pilihan mereka sedangkan dalam masa yang sama anak gadisnya sudah mempunyai pilihan hati sendiri.

Maka timbullah konflik jiwa mendalam terhadap anak gadis sehingga mengambil tindakan nekad melarikan diri untuk mengikuti lelaki pilihannya.

Jika situasi ini berlaku, maka sudah pasti ibu bapa juga akan menerima padah dan menanggung malu atas perbuatan anak gadisnya. Malah, tidak kurang juga terjadi insiden yang lebih parah apabila anak gadisnya melakukan perbuatan zina. Justeru, ibu bapa juga yang akan terpalit dosa.

Ibu bapa sebaiknya harus berunding dengan penuh hemah apabila hendak menetapkan sesuatu perkahwinan terhadap anak gadisnya. Berilah nasihat berguna kepada mereka agar memilih calon suami yang terbaik.

Anak-anak yang didedahkan dengan panduan memilih jodoh yang terbaik pasti tidak akan tersasar jauh dari memilih calon suami yang mempunyai kriteria dikehendaki agama.

Sebagai ibu bapa pula, mereka seharusnya mengikut petunjuk diajar Rasulullah SAW agar anak kita dapat mengharungi alam rumah tangga dalam keadaan rukun dan damai sekali gus mengangkat mereka menjadi seorang isteri solehah dan diredai Allah.

Posted in Klinik Agama | Leave a Comment »

Manusia sentiasa berhajat kepada Allah

Posted by epondok di Ogos 13, 2022

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN DSOFA, NEGERI SEMBILAN

Walau apa pun status kita di muka bumi ini kita sentiasa berharap kepada pertolongan Allah.

SEBAGAI seorang Muslim, kita mengakui bahawa kewujudan kita di alam ini didahului oleh tiada kepada ada. Kita hadir ke dunia ini dalam keadaan yang serba lemah dan tidak mengerti apa-apa, melalui proses kelahiran dari perut seorang ibu yang dicampakkan oleh Allah SWT perasaan sayang dan belas kepada anak yang dilahirkan.

Berbeza dengan Allah SWT yang tidak ada permulaan dan pengakhiran pada kejadian-Nya. Sesungguhnya Dialah yang Maha Awal dan Maha Akhir, Maha Kaya dan Maha Penyayang.

Kejadian diri kita yang memerlukan sepenuhnya kepada Pencipta, mengingatkan kepada keperluan wajib diri kita kepada kurniaan dan pertolongan Allah SWT pada setiap waktu. Kebergantungan kita kepada Allah adalah hakikat diri kita yang semestinya diakui penuh sedar dan insaf oleh semua yang bernama makhluk.

Sheikh Ibnu Atoillah r.a mengungkapkan dalam kalam hikmahnya: “Keperluan kamu adalah hakikat semulajadi bagi kejadian dirimu, sedangkan kemunculan pelbagai sebab mengingatkan kamu kepada sesuatu yang tersembunyi tentang hakikat tersebut, dan keperluan yang semulajadi itu tidak dapat diangkat oleh perkara-perkara yang mendatang”.

Lumrah manusia sering lupa dan alpa terhadap keperluan dan hakikat dirinya apabila dia sentiasa berada dalam keadaan sihat dan dapat memiliki segala keinginannya. Jauh sekali untuk mengakui kesilapan dan kelemahannya.

Oleh itu, Allah dengan sifat kelembutan dan pengasih-Nya menarik hamba-hamba-Nya kepada-Nya dengan rantai ujian dan pelbagai sebab seperti kefakiran dan kesakitan untuk mengingatkan mereka tentang keperluan hakikat dirinya yang tersembunyi itu kepada-Nya.

Sejarah membuktikan, bahawa inilah antara sebab yang menjadikan Firaun lupa terhadap keperluan dan hakikat dirinya, lalu mengaku dirinya adalah Tuhan. Sepanjang 400 tahun usianya, Firaun tidak pernah mengalami sakit kepala atau demam dan tidak pernah ditimpa penyakit-penyakit yang lain.

Sekiranya Firaun diberikan sedikit cubaan atau sakit kepala dalam satu-satu masa, atau demam panas sehari, sudah tentu dia tidak akan mendakwa dirinya sebagai tuhan.

Segala hal yang mendatang, seperti nikmat kesihatan dan kekayaan tidak akan dapat mengangkat keperluan hakikat diri seseorang hamba. Maka harus bagi Allah menghapuskan nikmat-nikmat tersebut dan menggantikannya denganujian dan cubaan kepada hamba-Nya.

Keperluan-keperluan ini tidak boleh terpisah dari seseorang hamba sama ada semasa di dunia atau akhirat, walaupun setelah memasuki syurga kerana hamba itu sentiasa berhajat dan bergantung kepada Allah selama-lamanya.

Apabila hamba itu diperingatkan dengan hal tersebut, maka dia akan kembali berdiri di atas landasannya dan melaksanakan pengabdian kepada Tuhannya.

Allah mencaci kaum-kaum yang merayu kepada-Nya ketika didatangi sebab-sebab yang menjadikan mereka begitu berkehendak kepada-Nya, tetapi apabila sebab-sebab itu tiada maka hilanglah rayuannya, sebagaimana firman-Nya: Dan apabila seseorang manusia ditimpa kesusahan, merayulah dia kepada Kami (dalam segala keadaan), sama ada ketika sedang berbaring atau duduk ataupun berdiri. Dan manakala Kami hapuskan kesusahan itu daripadanya, dia terus membawa cara lamanya seolah-olah dia tidak pernah merayu kepada Kami memohon dihapuskan sebarang kesusahan yang menimpanya. (Yunus: 12)

Allah juga menjelaskannya dalam firman-Nya yang lain: Maka apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, dia segera berdoa kepada Kami. Kemudian apabila Kami memberikannya sesuatu nikmat (sebagai kurnia) daripada kami, dia berkata (dengan sombongnya): “Aku diberikan nikmat ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku”. (Tidaklah benar apa yang dikatakannya itu) bahkan pemberian nikmat tersebut adalah ujian, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat itu). (al Zumar: 49)

Oleh kerana akal orang awam tidak sampai untuk memahami tentang hakikat kewujudan mereka, maka Allah mendatangkan kepada mereka sebab-sebab yang membangkitkan keperluan mereka kepada Allah untuk memperkenalkan kepada mereka tentang keperkasaan rububiah-Nya dan keagungan ketuhanan-Nya.

Justeru, hendaklah kita sentiasa mengetahui tentang hakikat dan keperluan diri kita kepada-Nya yang setiap masa dan ketika.

Ketahuilah, saat seseorang hamba dapat melihat dan merasakan keperluannya kepada Allah merupakan sebaik-baik waktu baginya. Ini kerana pada waktu itu, terlaksananya hak ubudiah dan kamu dapat merasakan keagungan Allah Yang Maha Hebat.

Ia juga merupakan waktu seseorang hamba menjadi sempurna kerana sekadar mana terlaksananya ubudiah seorang hamba pada zahirnya, maka sebesar itulah penyaksian rububiah pada batinnya.

Serendah mana kehinaan diri yang dirasakan oleh hamba tersebut pada zahirnya pada waktu itu, setinggi itulah kemuliaannya pada batinnya.

Lihatlah kepada semulia-mulia makhluk Allah para Nabi a.s. Dengan apakah Allah berbicara tentang mereka atau namakan mereka jika tidak dengan ubudiah?

Allah berfirman dalam surah al-Israk ayat 1: Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari.

Dalam surah Sod ayat 45, Allah berfirman: Dan (ingatkanlah peristiwa) hamba-hamba kami Nabi Ibrahim dan Nabi Ishak serta Nabi Ya’qub.

Manakala dalam ayat yang lain Allah berfirman: Dan ingatlah akan hamba Kami Nabi Daud, yang mempunyai kekuatan (dalam pegangan agamanya). (Sod: 17)

Nabi SAW, ketika disuruh memilih sama ada menjadi nabi seumpama raja atau nabi seumpama hamba, maka Baginda SAW memilih untuk menjadi nabi seumpama hamba. Ini menunjukkan bahawa semulia-mulia sifat manusia ialah perhambaan.

Dari hadis Ibnu Umar, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya telah turun kepadaku malaikat dari langit yang tidak pernah turun kepada seorang nabi pun sebelumku atau selepasku. Dia ialah Israfil AS. Israfil AS berkata: “Aku adalah utusan Tuhanmu yang memerintahkan aku supaya memberitahumu, “Adakah kamu ingin menjadi nabi yang bersifat hamba atau nabi seperti raja?” Aku melihat Jibril AS, dia menunjukkan isyarat supaya aku merendah diri. Maka sekiranya aku berkata, “Aku ingin menjadi nabi seperti raja, nescaya akan berjalan gunung-ganang pergi bersamaku menjadi emas”. (riwayat al Tabrani)

Dalam kepapaan atau saat kita memerlukan kepada Allah, akan menambahkan lagi nikmat dan kurniaan Allah SWT kepada kita. Justeru, sekiranya kamu mahu dihamparkan ke atasmu kurniaan-kurniaan Allah, hendaklah kamu benar-benar menyempurnakan kefakiran dan keperluan kamu kepada-Nya.

Allah menyertakan pertolongan-Nya dan kemenangan kepada hamba-Nya ketika hamba tersebut benar-benar memerlukan-Nya, merasakan dirinya hina, lemah dan serba kekurangan.

Perang Badar

Kemenangan yang diraih dalam perang Badar dan kekalahan perang Hunain telah membuktikannya. Allah berfirman: Dan ingatlah semasa kamu dahulu sedikit bilangannya, lalu Allah menjadikan kamu ramai. (al-A’raf: 86)

Allah meletakkan kehinaan, kekecewaan, kekalahan dan tidak diberikan pertolongan ketika kamu merasa megah, merdeka dan kuat. Allah SWT telah berfirman: Dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri. (al Taubah: 25)

Sebaik-baik waktu kamu juga ialah ketika kamu merasakan kehinaan diri kamu di hadapan-Nya kerana ia sebab kamu mendapat kemuliaan dan pertolongan daripada-Nya.

Setiap sesuatu itu tersembunyi dalam lawannya seperti kemuliaan tersembunyi dalam kehinaan, kekayaan tersembunyi dalam kefakiran, kekuatan tersembunyi dalam kedaifan dan sebagainya.

Ingatlah sabda Rasulullah SAW kepada Ibnu Abbas r.a: “Ketahuilah, bahawa berkemenangan itu beserta dengan kesabaran, pelepasan itu beserta kesulitan dan di samping kesusahan itu ada kesenangan”.

Posted in Amalan Pilihan, Artikel Pilihan | 1 Comment »

Tuan Guru Ahmad al-Kalantani pengarang kitab Darul Hasan

Posted by epondok di Ogos 12, 2022

Koleksi tulisan Allahyarham Wan Mohd. Shaghir Abdullah

 

Ulama Nusantara
SEJAK artikel mengenai ulama dikeluarkan dalam Utusan Malaysia mulai tahun 2004 hingga kini telah ramai ulama negeri Kelantan yang penulis perkenalkan. Di antara mereka ada yang terkenal di peringkat alam Melayu bahkan antarabangsa seperti Sheikh Wan Ali Kutan Al-Kalantani yang terkenal dengan kitab karangannya, Al-Jauharul Mauhub wa Munabbihatul Qulub (Mengenai Hadis) juga mengajar di Masjidil Haram Mekah.

Yang terkenal hanya di peringkat negeri alam Melayu/Nusantara sahaja seperti Sheikh Abdus Shamad (Tuan Tabal) yang mana beliau merupakan penyebar Tarekat Ahmadiyah yang pertama di Nusantara.

Ulama yang diperkenalkan pada kali ini ialah sahabat kepada Sheikh Wan Ali Kutan Al-Kalantani yang sama-sama belajar, baik di Kelantan mahupun di Mekah namun peranan dan pengaruhnya hanya sekitar negeri Kelantan sahaja.

Ulama yang diriwayatkan ini ialah Tuan Guru Haji Ahmad bin Haji Muhammad Yusuf bin Sheikh Abdul Halim Al-Kalantani.

Asal-usulnyaDiriwayatkan bahawa datuk kepada tokoh ulama yang akan dibicarakan di atas iaitu, Sheikh Abdul Halim tersebut adalah anak angkat kepada Long Yunus (Sultan Kelantan). Long Yunus memperoleh anak angkat tersebut daripada salah seorang sahabatnya seorang peniaga Cina sebagai hadiah dan tanda persahabatan dengan sultan.

Long Yunus menghantar Abdul Halim bersama-sama putera baginda belajar ke Mekah. Ada yang menceritakan kejadian tersebut semasa dengan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani belajar di Mekah.

Tetapi ada yang meriwayatkan bahawa Abdul Halim dan putera Long Yunus menjadi murid kepada Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Setelah mendapat gelaran ulama, Sheikh Abdul Halim pulang ke Kelantan. Beliau adalah orang pertama mengajar menggunakan sistem pondok dengan kaedah Patani di Kelantan.

Beliau mempunyai dua anak iaitu Haji Muhammad Yusuf dan Haji Yaaqob. Haji Muhammad Yusuf ialah ahli dalam bidang seni bina dan seni suara manakala Haji Yaaqob pula adalah seorang ulama yang mengajar sebagai pengganti ayahnya. Haji Muhammad Yusuf memperoleh anak bernama Tuan Guru Haji Ahmad atau tokoh yang akan dibicarakan ini.

PendidikannyaTuan Guru Haji Ahmad dilahirkan di Kelantan, namun tempat dan tarikh lahirnya yang tepat tidak dapat dipastikan. Pun begitu, pada masa kehidupan beliau terdapat catatan yang mengatakan ia adalah sezaman dengan Sheikh Wan Ali Kutan (lahir 1253 H/1837 M atau 1235 H/1820 M). Pendidikan asasnya diperoleh daripada bapa saudaranya sendiri, iaitu Haji Yaaqob bin Sheikh Abdul Halim al-Kalantani.

Diriwayatkan pula pengetahuan yang diperoleh daripada bapa saudaranya itu bukan sahaja ilmu pengetahuan yang bersifat asas, tetapi hingga beliau diakui sebagai seorang ulama di Kelantan, dan ilmu-ilmunya tersebut diperoleh dari Haji Yaaqob sendiri. Walaupun beliau telah diakui sebagai seorang ulama di Kelantan, namun beliau masih juga meneruskan pelajarannya ke Mekah sebagai pengesahan daripada ulama-ulama Mekah pada zamannya.

Sebagaimana yang dapat dicatat, teman-teman beliau ketika kecil yang sama-sama belajar kepada Tuan Guru Haji Yaaqob adalah seperti berikut; saudara beliau sendiri iaitu Haji Uthman bin Haji Muhammad Yusuf, Sheikh Wan Ali bin Abdul Rahman Kutan, Sheikh Abdul Mutalib Kuta, Haji Wan Abdul Rahman bin Wan Sulaiman dan lain-lain. Semua sahabat beliau yang tersebut adalah ulama-ulama besar Kelantan yang sangat berperanan dan berpengaruh di zaman mereka.

Adapun ilmu-ilmu yang telah dikaji, yang dapat diketahui adalah ilmu tauhid, fikah, tasauf, nahu, saraf, bayan, ma’ani, badi’, arut, qawafi, mantiq, tafsir, tajwid dan lain-lain. Ilmu-ilmu tersebut telah dikuasai sejak di Kelantan lagi. Belajar di Mekah hanya untuk mendalami lagi pengetahuan beliau terhadap ilmu-ilmu tersebut.

Para guru Tuan Guru Haji Ahmad Kelantan di Mekah yang dapat dicatat antara lain ialah, Sheikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki. Adapun guru beliau selain yang tersebut tidak dapat diketahui dengan pasti. Ada kemungkinan semua guru kepada Sheikh Wan Ali Kutan adalah juga guru kepada Tuan Haji Ahmad Kelantan ini.

Karya-karyanyaKarya penulisan Tuan Guru Haji Ahmad Kelantan yang diketahui hanya dua sahaja. Karya yang merupakan manuskrip asli tulisan tangan beliau itu tersimpan di Pusat Islam Malaysia di Bahagian Balai Pameran. Judul kitab tersebut adalah Darul Hasan.

Kitab Darul Hasan yang ditulis oleh Tuan Guru Haji Ahmad tersebut adalah atas permintaan Raja Kelantan. Tahun yang tercatat adalah pada 30 Ramadan 1282 H (1865 M). Manuskrip yang tersimpan di Pusat Islam Malaysia tersebut diberi nombor kelas iaitu MI 725. Belum diketahui apakah kitab Darul Hasan tersebut pernah diterbitkan oleh mana-mana penerbit di Timur Tengah mahupun di Asia Tenggara.

Namun jelas bahawa kitab Darul Hasan tidak pernah ditemui di mana-mana kedai buku di seluruh Asia Tenggara. Adapun yang berupa manuskrip berkemungkinan hanya sebuah itu sahaja naskhah mengenainya yang ditulis dengan huruf yang sangat indah. Terdiri dari tulisan hitam dan merah yang memancar terang. Keadaan manuskrip masih baik, di samping halaman dari awal hingga akhir juga dalam keadaan lengkap.

Kandungan ringkas kitab Darul Hasan adalah sebagai berikut: Tuan Guru Haji Ahmad Kelantan memulakan karangan beliau dengan puji-pujian dan selawat sebagaimana karangan-karangan tradisi Islam lainnya. Setelah itu menyebut dengan kalimat bahasa Arab bahawa ‘Sultan Kelantan’ meminta beliau menulis kitab ini. Tetapi pada terjemahan bahasa Melayu dari lafaz bahasa Arab itu tidak menyebut ‘Sultan Kelantan’ melainkan ‘Raja Kelantan’. Tentang nama kitab pula terjadi salah titik sama ada lafaz Arab mahupun lafaz Melayu iaitu tertulis Darul Hasaat dengan huruf ta sebenarnya adalah Darul Hasan iaitu dengan huruf nun. Hal ini tertulis di halaman terakhir.

Sesudah itu dimulai dengan menceritakan pohon kayu yang bernama ‘Syajaratul Yaqin’ yang mempunyai empat cabang. Dari cerita itu diteruskan dengan kejadian ‘Nur Muhammad’ sehingga dijadikan sekalian kejadian sesudahnya. Kejadian sekelian manusia pula diceritakan berdasarkan kepada mereka yang pertama memandang kepada Nur Muhammad. Maka ada yang menjadi Sultan, menjadi alim, yang mati syahid dan lain-lain.

Kemudian diceritakan pula asal tanah kejadian Nabi Adam a.s yang diambil dari beberapa negeri di dunia, seperti kepala Nabi Adam a.s berasal dari Baitul Maqdis, muka Nabi Adam a.s berasal dari syurga, kaki Nabi Adam a.s berasal dari tanah Kalkauthar dan lain-lain.

Selanjutnya menceritakan tentang kejadian ketua-ketua para malaikat, iaitu kejadian dan keadaan malaikat Jibril, Mikail, Israfil, Izrail, dan dicantumkan beberapa hikayat malaikat Maut mencabut nyawa makhluk terutama manusia.

Cerita dilanjutkan dengan peristiwa yang menakutkan dan menakjubkan di alam kubur, di padang Mahsyar sekalian manusia memerlukan pertolongan dan syafaat yang dimulai dari menemui Saiyidul Basyar Nabi Adam a.s hingga ditutup dengan menemui Nabi Muhammad SAW. Seterusnya pula disambung dengan cerita neraka, syurga dan lain-lain.

Penutup sekali pengarangnya, Tuan Haji Ahmad Kelantan menyebut: “Telah selesai faqir ilallah Taala yang amat jahil al-Haji Ahmad bin al-Haji Yusuf bin Abdul Halim Kelantan menterjemahkan kitab Darul Hasan daripada bangsa Arab kepada bangsa Jawi supaya manfaat dengan dia sekelian mereka yang tiada tahu dengan bahasa Arab…..”.

Bahasa yang digunakan oleh Tuan Guru Haji Ahmad Kelantan dalam kitab tersebut agak banyak dalam bahasa negeri Kelantan. Beliau tidak terikat untuk mengikut tatacara bahasa kitab yang digunakan tradisi zamannya. Seperti kalimat ‘bangsa’ dalam kalimat dalam penutupnya, kitab-kitab lain selain kitab beliau pasti akan menggunakan istilah ‘bahasa’ pada tempat tersebut, bukan ‘bangsa’ seperti yang beliau tulis itu. Walau bagaimanapun kitab Darul Hasan dapat diklasifikasikan sebagai sastera Sufi Islam Melayu Klasik.

Pada hari penulis selesai menulis riwayat hidup beliau di bilik Balai Pameran Islam Malaysia, penulis menyerahkan kepada pihak majalah DAKWAH, dan seterusnya ke Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia (PNM). Tiba-tiba di atas meja Siti Mariani (seorang kakitangan di PNM) terletak dua manuskrip.

Satu di antaranya adalah karya Tuan Guru Haji Ahmad Kelantan. Dengan terdapatnya perkara baru tersebut, maka penulis tambah saja makalah yang telah selesai tadi dengan sedikit kalimat yang menerangkan perkara ini. Tuan Guru Haji Ahmad Kelantan menulis di akhir hayatnya pada manuskrip milik Pusat Manuskrip Melayu yang diberi nombor kelas dengan MS 780 itu, katanya: “Telah selesai Haji Ahmad ibnu Haji Yusuf menterjemahkan daripada bahasa Arab kepada bahasa Melayu dengan tolong Tuhan Rabbul Izzah bijahi Saiyidina Muhammad pada 10hb Safar pada hijrah al-Nubuah 1287 H (1870 M)”.

Kandungan isi kitab nombor MS 780 Pusat Manuskrip Melayu tersebut ialah mengenai fikah. Tuan Guru Haji Ahmad Kelantan memulakan perbicaraannya tentang kitab thaharah (bersuci) dan disudahi dengan kitab solat. Ditulis atas kertas warna biru muda, memakai dakwat warna hitam pada sebahagian besar isinya dan di beberapa tempat ditulis dengan warna merah. Semua huruf dalam keadaan jelas dan berwarna agak memancar.

Susunan bahasanya agak berbeza dengan karyanya yang pertama. Nampaknya pada MS 780 ini bahasanya sudah disesuaikan dengan bahasa-bahasa kitab jawi yang ditulis di zamannya. Sebagaimana karya yang pertama (Darul Hasan), maka kitab yang kedua ini juga tidak pernah diterbitkan. Selain itu judul kitab ini juga tidak dijelaskan oleh pengarangnya.

PengaruhnyaPengaruh beliau sangat besar di kalangan masyarakat luas di Kelantan. Melalui karangannya iaitu kitab Darul Hasan tersebut atas permintaan Sultan Kelantan adalah satu bukti bahawa Tuan Haji Ahmad ini mempunyai pengaruh yang besar dalam lingkungan istana kerajaan Kelantan.

Beliau ialah sebagai generasi penerus, yang menyambung pekerjaan datuknya, Sheikh Abdul Halim dan bapa saudaranya Haji Yaaqob bin Abdul Halim dalam mengajar ilmu-ilmu yang diperlukan oleh masyarakat Islam di Kelantan. Ilmu-ilmu yang wajib dipelajari ialah usuluddin, fikah dan tasauf.

Tiga ilmu tersebut berkembang di kalangan masyarakat dan diteruskan pula oleh murid-murid beliau yang boleh dikatakan sangat ramai. Antaranya Tok Kenali, diriwayatkan bahawa sebelum beliau melanjutkan pelajarannya ke Mekah, beliau pernah belajar dengan Tuan Guru Haji Ahmad ini. Pada zamannya, Tuan Guru Haji Ahmad dalam membina umat Islam kearah berilmu pengetahuan dan amal saling bekerjasama dengan sahabatnya Haji Wan Abdur Rahman bin Wan Sulaiman, yang menjadi Perdana Menteri Kelantan (Menteri Besar menurut istilah sekarang) pada ketika itu.

Dari keterangan tersebut, kedua ulama Kelantan tersebut telah berhasil menyatupadukan kerjasama yang serasi antara umara (golongan pemerintah) dan ulama (golongan ahli ilmu pengetahuan dalam Islam).

Demikianlah riwayat ringkas Tuan Guru Haji Ahmad bin Haji Yusuf Kelantan. Sejarah asal-usulnya, pendidikannya, karyanya dan pengaruhnya di kalangan lingkungan istana dan masyarakat Kelantan. Namun sebagaimana tarikh lahirnya, tahun wafatnya juga masih belum diketahui dengan pasti, yang masih memerlukan penyelidikan lebih mendalam untuk melengkapkan sejarah ulama ini

Posted in Tokoh Ulama' | 2 Comments »