Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 29 Julai 2022

Iktibar Dari Hijrah Nabi-nabi a.s

Posted by epondok di Julai 29, 2022

Norhayati Paradi

 

Allah menyediakan peraturan dan wajib bagi manusia mematuhinya mengikut acuan yang Allah tetapkan bukan menerusi akal dan tindakan yang bertentangan fitrah kewujudan sesuatu perkara. Terbukti, jika menyalahi peraturan Allah ini akan membawa padah yang tidak di ingini kerana ia menyalahi fitrah sesuatu perkara itu di jadikan sebagaimana firman Allah SWT mafhumnya, “Lahirlah kerosakan di lautan dan di daratan akibat dari tangan-tangan manusia.” (Surah Ar Rum, ayat 41).

Ustaz Mohd Meeftah Anuar dalam Islam Itu Indah di IKIMfm Rabu lalu menerangkan bahawa pelbagai jenayah dan musibah yang berlaku kebelakangan ini adalah di sebabkan kerakusan manusia yang mengenepikan rasa takut kepada Allah SWT. Justeru pelbagai perkara perlu di titikberatkan bagi memastikan kebiasaan tangan yang membinasakan dapat di bending dari terus bermaharajalela kerana kemusnahan yang dilakukan bukan sekadar memberi impak kepada dirinya semata, tetapi akan mengheret individu lain terjebah mendapat implikasi tidak elok ekoran kesombongan dan kejahilan tersebut. Maka, penghijrahan perlu di lakukan bukan sahaja tertakluk kepada perpindahan tempat malah perubahan pemikiran dan tindakan terhadap sesuatu perkara.

Pelbagai bentuk hijrah telah ditakdirkan Allah berlaku pada bulan Muharam. Antaranya, inisiatif dan usaha Khalifah Umar Al-Khattab mewujudkan  kalendar Hijriah dengan menetapkan hari pertama bagi setiap tahun baru Islam melambangkan Islam mula bergerak mencipta identiti sendiri.

Selain itu, bulan Muharam menyaksikan usaha Nabi Allah Adam AS berdoa tanpa henti memohon taubat kepada Allah SWT setelah di turunkan ke dunia. Berulang-ulang doa taubat di lafazkan, “Wahai Tuhan kami, kami telah menzalimi diri kami sendiri, dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, pasti kami termasuk orang-orang yang rugi.” (Surah Al-A’raf, ayat 23).  Segalanya bermula tatkala Nabi Adam beserta Hawa melanggar arahan Allah SWT sepertimana firmanNya yang bermaksud, “Dan kami berfirman: “Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu dalam syurga, dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang zalim” (Surah Al-Baqarah, ayat 35).

Kemudian, Allah SWT berfirman lagi bermaksud, “Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepada mereka berdua supaya (dapatlah) ia menampakkan kepada mereka akan aurat mereka yang (sekian lama) tertutup daripada (pandangan) mereka, sambil ia berkata: Tidaklah Tuhan kamu melarang kamu daripada (menghampiri) pokok ini, melainkan (kerana Ia tidak suka) kamu berdua menjadi malaikat atau menjadi daripada orang yang kekal (selama-lamanya di dalam syurga).” (Surah al-A’raf, ayat 20). Maka, atas nama manusia sungguh mudah tertipu dengan bisikan hasutan syaitan malah ia juga berlaku kepada Nabi Adam AS dan Saidatina Hawa yang membawa kepada keluarnya keduanya daripada syurga.

Bermula detik itu, tanpa jerih Nabi Adam memohon taubat kepada Allah SWT sehingga Allah menerima taubatnya, “Kemudian Nabi Adam menerima dari Tuhannya beberapa kalimah (kata-kata pengakuan taubat yang diamalkannya), lalu Allah menerima taubatnya; sesungguhnya Allah, Dia lah yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani.” (Surah Al-Baqarah, ayat 37).

Muharam juga menyaksikan Nabi Allah Nuh AS di selamatkan oleh Allah SWT dalam peristiwa banjir besar. Nabi Nuh AS berdakwah kepada kaumnya saban hari tetapi ketika itu hanya segelintir sahaja yang mengikutnya. Lantaran itu, Nabi Noh AS mengadu kepada Allah SWT. Lalu, diturunkan hujan lebat sehingga banjir. Kemudian Nabi Nuh mengajak pengikutnya untuk menaiki perahu yang disiapkan olehnya sepertimana yang termahtub di dalam al-quran, “Dan (ketika itu) berkatalah Nabi Nuh (kepada pengikut-pengikutnya yang beriman): “Naiklah kamu ke bahtera itu sambil berkata: ‘ Dengan nama Allah bergerak lajunya dan berhentinya ‘. Sesungguhnya Tuhanku adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah Hud, ayat 41).

Di samping itu, Nabi Nuh yang terkenal dengan sifat penyayangnya telah mengajak anaknya untuk naik bersama sepertimana firmanNya, “(Mereka semua naik) dan bahtera itupun bergerak laju membawa mereka dalam ombak yang seperti gunung-ganang, dan (sebelum itu) Nabi Nuh memanggil anaknya, yang sedang berada di tempat yang terpisah daripadanya: “Wahai anakku, naiklah bersama-sama kami, dan janganlah engkau tinggal dengan orang-orang yang kafir”. Anaknya menjawab: “Aku akan pergi berlindung ke sebuah gunung yang dapat menyelamatkan aku daripada ditenggelamkan oleh air”. Nabi Nuh berkata: “Hari ini tidak ada sesuatupun yang akan dapat melindungi dari azab Allah, kecuali orang yang dikasihani olehNya”. Dan dengan serta-merta ombak itu pun memisahkan antara keduanya, lalu menjadilah ia (anak yang derhaka itu) dari orang-orang yang ditenggelamkan oleh taufan.” (Surah Hud, ayat 42-43). Jelaslah perkara yang menyelamatkan manusia bukan pada tali kekeluargaan tetapi ianya bergatung kepada tahap keimanan seseorang.

Sesungguhnya banyak kisah yang Allah nukilkan telah berlaku dalam bulan Muharam. Antaranya juga adalah kisah Nabi Allah Ibrahim AS yang terselamat daripada panas api yang membakar angkara Raj a Namrud. Juga kisah pembebasan Nabi Yusuf daripada penjara serta kesembuhan penglihatan Nabi Yaakub dan penyakit kulit Nabi Ayub. Muharam juga mencatatkan sejarah turunnya kitab Taurat dan berlakunya peristiwa terbelahnya LAut Merah yang menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya dari tentera Firaun.

Demikian beberapa peristiwa bersejarah di Bulan Muharram, yang memuatkan kisah Allah menyelamatkan watak-watak hebat ini.  Semoga di bulan Muharram yang dimuliakan Allah  ini menjadi titik tolak kepada perubahan yang positif. Sesungguhnya hijrah tidak sekadar berkisar tentang berpindah namun turut mendidik untuk berpindah kepada sesuatu yang lebih baik dan diredhaiNya.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »