Oleh Norhayati Paradi
Berdoa kepada Allah SWT cara terbaik menjayakan penghijrahan diri.
Hijrah adalah untuk menegakkan agama Allah SWT. Penghijrahan sebahagian sahabat ke Habsyah pada tahun kelima selepas nubuwwah (Nabi diutus menjadi Rasul) adalah perintis jalan kepada hijrah lebih besar dan penting dalam sejarah perjuangan Rasulullah SAW. Menelusuri lipatan sejarah, peristiwa itu penting kerana ekoran daripadanya terbentuk sebuah negara Islam di Madinah.
Ustaz Meeftah Anuar menerusi Islam Itu Indah menerangkan rangka hijrah Rasulullah penuh dengan strategi dan melalui proses pemikiran yang benar-benar tuntas. Melalui peristiwa itu terbentuk tiga skop utama iaitu skop insan, negara dan peradaban. Membina skop insan sedikit sebanyak berjaya disemai oleh Baginda di Makkah yang melahirkan insan hebat seperti Saidina Abu Bakar as-Siddik, Saidina Umar al-Khattab, Othman ibn Affan, Saidina Ali bin Abi Talib, Mus’ab bin Umair dan banyak lagi.
Namun, terdapat banyak halangan perlu ditempuh Rasulullah SAW apabila ekonomi diboikot, pengikut Baginda tidak dapat menjual mahupun membeli keperluan harian. Rasulullah SAW serta sahabat juga menerima halangan dari sudut politik. Pembesar Quraisy menindas Rasulullah SAW serta pengikut Baginda menyebabkan usaha membina sebuah daulah Islamiah seakan terbantut di bumi Makkah. Maka, Rasulullah SAW memerlukan bumi subur yang sedia menerima benih pertumbuhan sebuah negara. Justeru, ia membawa kepada perancangan membina negara Islam. Sebelum memilih Yathrib (Madinah) sebagai destinasi tujuan, Rasulullah SAW terlebih dahulu berikhtiar memilih dan merisik beberapa tempat. Sesungguhnya tiada sesuatu yang indah diperoleh dengan mudah seperti mana firman Allah SWT yang bermaksud: “Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.” (Surah al-Insyirah, ayat 5-6)
Tak mudah putus asa Awalnya, Rasulullah SAW mengutus sahabat ke Habsyah tetapi hajat kedatangan Baginda ditolak. Percubaan juga dibuat di Taif yang menyaksikan bukan sekadar tidak diterima malah Rasulullah SAW dihalau dan dibaling dengan batu sehingga berdarah gigi Baginda. Dalam keadaan Rasulullah SAW dihujani ujian itu, Allah SWT menggerakkan hati beberapa penduduk Yathrib untuk datang menemui Baginda. Tepat seperti mana firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah SWT jugalah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya); dan Dialah juga yang lebih mengetahui akan orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam).” (Surah al-Qasas, ayat 56).
Hidayah itu milik Allah SWT maka dengan kuasa-Nya, hati beberapa penduduk Yathrib terbuka untuk mencari Rasulullah SAW. Sheikh Saiful Rahman al-Mubarakfuri dalam kitabnya al-Raheeq al-Makhtum menyatakan, enam orang Yathrib datang bertemu Baginda SAW pada musim haji tahun 11 kenabian. Kemudian kembali ke Yathrib dalam keadaan masih tidak beriman. Sepanjang bersama dengan Nabi mereka banyak memerhati. Namun perancangan Allah SWT itu indah. Mereka datang dan melihat peribadi Rasulullah SAW dan membawa pulang kisah Baginda yang hebat akhlak serta kepemimpinannya menepati ciri tercatat dalam kitab sebelum datangnya al-Quran.
Rentetan daripada itu, pada Julai 621 Masihi, berlaku Bai’ah Aqabah pertama sejurus kedatangan 12 penduduk Yathrib ke Makkah yang kemudian memeluk Islam. Menerusi Bai’ah Aqabah itu secara tidak langsung menjayakan hasrat untuk menubuhkan daulah Islamiah. Isi baiah itu mengandungi enam perkara. Pertama, tidak menyekutukan Allah SWT dengan sesuatu apapun. Tidak boleh mencuri dan mengambil hak orang lain, seterusnya mereka tidak dibenarkan berzina. Mereka ditegah membunuh anak lelaki, tidak boleh mengumpat dan tidak boleh memfitnah. Ikrar sebar Islam Bagi memastikan ikrar itu berjalan lancar, Rasulullah mengutuskan tokoh duta ke sana dalam kalangan orang muda yang paling awal memeluk Islam iaitu Mus’ab bin Umair.
Semasa di Yathrib, Mus’ab bin Umair dengan beberapa sahabat menjalankan amanah bersungguh-sungguh hingga berjaya mengajak masyarakat Yathrib mengenal Islam dan menyebarkan cabang keimanan. Rasulullah SAW menghantar Mus’ab bin Umair sebagai pembuka jalan serta pemudah cara sebelum Rasulullah SAW ke sana sehingga berlakunya Bai’ah Aqabah kedua. Mus’ab bin Umair pulang ke Makkah dengan penuh kerinduan untuk bertemu Baginda SAW. Pada musim haji tahun ke-12 kenabian seramai 75 ahli rombongan dari Yathrib datang menyatakan kesanggupan untuk menerima Baginda SAW sebagai pemimpin mereka. Daripada Jabir: “Wahai Rasulullah, di atas apakah yang akan kami berbai’ah dengan tuan hamba? Jawab Rasulullah: Kamu berbai’ah untuk mendengar dan mematuhi dalam keadaan segar (taat) atau saat malas. Berinfaq ketika susah atau sakit dan senang. Menyuruh kepada makruf dan mencegah kemungkaran. Berjuang kerana Allah tanpa mempedulikan kecaman orang. Menyokong daku setibanya daku dalam kalangan kamu nanti, mempertahankan daku seperti mana kamu pertahankan diri dan anak isteri kamu, sebagai balasan adalah syurga Allah di akhirat nanti.” (Riwayat Imam Ahmad)
Hasil daripada baiah kedua itu, bermulalah perancangan yang membawa kepada penghijrahan Rasulullah SAW ke Madinah. Sahabat mula bergerak dalam keadaan penuh risiko ditambah dengan cabaran cuaca padang pasir yang panas terik. Penghijrahan penuh strategi itu membabitkan seluruh golongan tanpa mengira status, jantina, usia malah golongan musyrik (Abdullah bin Uraiqit) turut bersama dengan tugasan masing-masing yang ditetapkan oleh Rasulullah SAW.
Mengambil semangat hijrah Rasulullah SAW, untuk menjadi lebih baik dan membina kehidupan dekat dengan Allah SWT perlu kepada perancangan. Sesungguhnya kegagalan sebenar adalah tatkala gagal untuk merancang. Usah takut untuk berubah jika yakin perubahan itu membahagiakan. Cari jalan untuk menjadikan setiap individu bisa menyumbang sesuatu dalam penghijrahan diri mahupun organisasi kerana kemenangan Islam perlu kepada pembabitan semua walaupun individu yang belum beragama Islam.
Archive for Julai 2022
Teladani perancangan, semangat hijrah Rasulullah
Posted by epondok di Julai 31, 2022
Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »
Hijrah penting, disebut 28 kali dalam al-Quran
Posted by epondok di Julai 30, 2022
Orang yang mula-mula menetapkan hijrah sebagai permulaan tarikh dalam Islam ialah Saidina Umar al-Khattab pada masa beliau memegang jawatan sebagai khalifah iaitu pada tahun 17 hijrah.
Beberapa cadangan telah dikemukakan kepada beliau, ada yang mencadangkan tarikh kelahiran Rasulullah, ada pula mencadangkan kebangkitannya menjadi Rasul dan ada pula mencadangkan tahun kewafatan Baginda.
Namun, semua cadangan itu tidak dipersetujui Saidina Umar memandangkan hijrah adalah peristiwa terpenting antara peristiwa lain seperti mana katanya: “Kita membuat tarikh dengan hijrah Rasulullah SAW kerana hijrahnya itu adalah perbezaan antara yang benar dengan yang batil. Pendapat itu disokong oleh Saidina Ali.
Seorang Muslim adalah orang yang tidak merugikan Muslim lainnya dengan lidah, mahupun dengan kedua tangannya. Dan seorang Muhajir (orang yang berhijrah) adalah orang yang meninggalkan semua larangan Allah SWT” Riwayat al-Bukhari
Sebenarnya, wujud jalinan antara perkiraan tahun masihi dan hijri (hijrah) kepada umat Islam. Tahun masihi dikira menurut peredaran matahari (tarikh as-Syamsi), sementara perkiraan tahun hijri pula berdasarkan peredaran bulan (tarikh al-Qamari).
Perkiraan tarikh as-Syamsi, al-Qamari
Islam tidak menolak salah satu perkiraan tarikh berkenaan dalam kehidupan manusia. Perkiraan tarikh as-Syamsi adalah untuk menentukan musim atau aktiviti manusia. Daripada tarikh inilah manusia mengenal peredaran musim panas, sejuk, menyemai atau menuai.
Sementara tarikh al-Qamari pula menentukan masa ibadat. Peredaran yang tidak sama antara tarikh as-Syamsi dan al-Qamari menyebabkan umat Islam dapat merasai musim berbeza setiap kali menunaikan ibadat tertentu.
Contohnya musim haji dan puasa. Mungkin pada tahun ini, umat Islam berpuasa atau menunaikan haji dalam musim sejuk, tetapi beberapa tahun kemudian pula dalam musim panas.
Jika dulu hijrah bertujuan mengembangkan Islam dan membina negara Islam, tetapi pengertian hijrah kini lebih menjurus kepada perubahan diri memandangkan umat Islam kini berdepan pelbagai ancaman daripada musuh Islam.
Malah, umat Islam kini juga berdepan permusuhan sesama sendiri apabila masing-masing cuba menegakkan kebenaran dalam perkara yang wujud khilaf sedangkan sewajarnya umat Islam menerima perbezaan pandangan dengan berlapang dada.
Suasana merugikan umat Islam
Sebenarnya, banyak perkara menyebabkan umat Islam kini berada dalam suasana yang hanya merugikan mereka. Peperangan saudara yang berlarutan memberi kepuasan kepada pihak yang takut melihat umat Islam bersatu.
Sedangkan jika umat Islam bersatu, kekuatan mereka mampu mengalahkan musuh. Sudah tiba masanya umat Islam berhijrah daya pemikiran supaya dapat mengikut panduan agama dalam mendepani kehidupan dunia tiada sepadan ini.
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amr, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Seorang Muslim adalah orang yang tidak merugikan Muslim lainnya dengan lidah, mahupun dengan kedua tangannya. Dan seorang Muhajir (orang yang berhijrah) adalah orang yang meninggalkan semua larangan Allah SWT.” (Riwayat al-Bukhari)
Hijrah mengandungi hikmah yang besar sekali peranannya dalam pembangunan ummah. Suatu kumpulan masyarakat tidak akan menjadi baik jika setiap individu yang ada di dalamnya telah rosak kerana kumpulan masyarakat bergantung kepada individu itu.
Oleh itu hijrah amat ditekankan al-Quran dan disebutkan sebanyak lebih 28 kali dalam pelbagai bentuk serta makna. Penghijrahan kepada perkara lebih baik menjadikan hati, perkataan dan perbuatan akan bersih daripada segala maksiat, dosa serta syirik.
Kisah Khalifah Umar bin al-Khattab menarik direnungkan kerana sebelum memeluk Islam beliau dikenali dengan jolokan penghulu pelaku kejahatan. Namun, setelah berhijrah, beliau menjadi pemimpin disegani, tawaduk, suka menolong orang miskin.
Hakikatnya, hijrah sangatlah berat kerana di samping harus memiliki kesabaran, kita juga dituntut memiliki keteguhan akidah serta keyakinan supaya tidak mudah termakan pujuk rayu godaan kenikmatan dunia.
Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »
Iktibar Dari Hijrah Nabi-nabi a.s
Posted by epondok di Julai 29, 2022
Norhayati Paradi
Allah menyediakan peraturan dan wajib bagi manusia mematuhinya mengikut acuan yang Allah tetapkan bukan menerusi akal dan tindakan yang bertentangan fitrah kewujudan sesuatu perkara. Terbukti, jika menyalahi peraturan Allah ini akan membawa padah yang tidak di ingini kerana ia menyalahi fitrah sesuatu perkara itu di jadikan sebagaimana firman Allah SWT mafhumnya, “Lahirlah kerosakan di lautan dan di daratan akibat dari tangan-tangan manusia.” (Surah Ar Rum, ayat 41).
Ustaz Mohd Meeftah Anuar dalam Islam Itu Indah di IKIMfm Rabu lalu menerangkan bahawa pelbagai jenayah dan musibah yang berlaku kebelakangan ini adalah di sebabkan kerakusan manusia yang mengenepikan rasa takut kepada Allah SWT. Justeru pelbagai perkara perlu di titikberatkan bagi memastikan kebiasaan tangan yang membinasakan dapat di bending dari terus bermaharajalela kerana kemusnahan yang dilakukan bukan sekadar memberi impak kepada dirinya semata, tetapi akan mengheret individu lain terjebah mendapat implikasi tidak elok ekoran kesombongan dan kejahilan tersebut. Maka, penghijrahan perlu di lakukan bukan sahaja tertakluk kepada perpindahan tempat malah perubahan pemikiran dan tindakan terhadap sesuatu perkara.
Pelbagai bentuk hijrah telah ditakdirkan Allah berlaku pada bulan Muharam. Antaranya, inisiatif dan usaha Khalifah Umar Al-Khattab mewujudkan kalendar Hijriah dengan menetapkan hari pertama bagi setiap tahun baru Islam melambangkan Islam mula bergerak mencipta identiti sendiri.
Selain itu, bulan Muharam menyaksikan usaha Nabi Allah Adam AS berdoa tanpa henti memohon taubat kepada Allah SWT setelah di turunkan ke dunia. Berulang-ulang doa taubat di lafazkan, “Wahai Tuhan kami, kami telah menzalimi diri kami sendiri, dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, pasti kami termasuk orang-orang yang rugi.” (Surah Al-A’raf, ayat 23). Segalanya bermula tatkala Nabi Adam beserta Hawa melanggar arahan Allah SWT sepertimana firmanNya yang bermaksud, “Dan kami berfirman: “Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu dalam syurga, dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang zalim” (Surah Al-Baqarah, ayat 35).
Kemudian, Allah SWT berfirman lagi bermaksud, “Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepada mereka berdua supaya (dapatlah) ia menampakkan kepada mereka akan aurat mereka yang (sekian lama) tertutup daripada (pandangan) mereka, sambil ia berkata: Tidaklah Tuhan kamu melarang kamu daripada (menghampiri) pokok ini, melainkan (kerana Ia tidak suka) kamu berdua menjadi malaikat atau menjadi daripada orang yang kekal (selama-lamanya di dalam syurga).” (Surah al-A’raf, ayat 20). Maka, atas nama manusia sungguh mudah tertipu dengan bisikan hasutan syaitan malah ia juga berlaku kepada Nabi Adam AS dan Saidatina Hawa yang membawa kepada keluarnya keduanya daripada syurga.
Bermula detik itu, tanpa jerih Nabi Adam memohon taubat kepada Allah SWT sehingga Allah menerima taubatnya, “Kemudian Nabi Adam menerima dari Tuhannya beberapa kalimah (kata-kata pengakuan taubat yang diamalkannya), lalu Allah menerima taubatnya; sesungguhnya Allah, Dia lah yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani.” (Surah Al-Baqarah, ayat 37).
Muharam juga menyaksikan Nabi Allah Nuh AS di selamatkan oleh Allah SWT dalam peristiwa banjir besar. Nabi Nuh AS berdakwah kepada kaumnya saban hari tetapi ketika itu hanya segelintir sahaja yang mengikutnya. Lantaran itu, Nabi Noh AS mengadu kepada Allah SWT. Lalu, diturunkan hujan lebat sehingga banjir. Kemudian Nabi Nuh mengajak pengikutnya untuk menaiki perahu yang disiapkan olehnya sepertimana yang termahtub di dalam al-quran, “Dan (ketika itu) berkatalah Nabi Nuh (kepada pengikut-pengikutnya yang beriman): “Naiklah kamu ke bahtera itu sambil berkata: ‘ Dengan nama Allah bergerak lajunya dan berhentinya ‘. Sesungguhnya Tuhanku adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah Hud, ayat 41).
Di samping itu, Nabi Nuh yang terkenal dengan sifat penyayangnya telah mengajak anaknya untuk naik bersama sepertimana firmanNya, “(Mereka semua naik) dan bahtera itupun bergerak laju membawa mereka dalam ombak yang seperti gunung-ganang, dan (sebelum itu) Nabi Nuh memanggil anaknya, yang sedang berada di tempat yang terpisah daripadanya: “Wahai anakku, naiklah bersama-sama kami, dan janganlah engkau tinggal dengan orang-orang yang kafir”. Anaknya menjawab: “Aku akan pergi berlindung ke sebuah gunung yang dapat menyelamatkan aku daripada ditenggelamkan oleh air”. Nabi Nuh berkata: “Hari ini tidak ada sesuatupun yang akan dapat melindungi dari azab Allah, kecuali orang yang dikasihani olehNya”. Dan dengan serta-merta ombak itu pun memisahkan antara keduanya, lalu menjadilah ia (anak yang derhaka itu) dari orang-orang yang ditenggelamkan oleh taufan.” (Surah Hud, ayat 42-43). Jelaslah perkara yang menyelamatkan manusia bukan pada tali kekeluargaan tetapi ianya bergatung kepada tahap keimanan seseorang.
Sesungguhnya banyak kisah yang Allah nukilkan telah berlaku dalam bulan Muharam. Antaranya juga adalah kisah Nabi Allah Ibrahim AS yang terselamat daripada panas api yang membakar angkara Raj a Namrud. Juga kisah pembebasan Nabi Yusuf daripada penjara serta kesembuhan penglihatan Nabi Yaakub dan penyakit kulit Nabi Ayub. Muharam juga mencatatkan sejarah turunnya kitab Taurat dan berlakunya peristiwa terbelahnya LAut Merah yang menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya dari tentera Firaun.
Demikian beberapa peristiwa bersejarah di Bulan Muharram, yang memuatkan kisah Allah menyelamatkan watak-watak hebat ini. Semoga di bulan Muharram yang dimuliakan Allah ini menjadi titik tolak kepada perubahan yang positif. Sesungguhnya hijrah tidak sekadar berkisar tentang berpindah namun turut mendidik untuk berpindah kepada sesuatu yang lebih baik dan diredhaiNya.
Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »
Meneroka makna hijrah
Posted by epondok di Julai 28, 2022
Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN
SEMPENA meraikan tibanya tahun baru Hijrah 1444, ruangan ini menangguhkan dahulu siri tulisan mengenai persoalan tauhid tiga serangkai yang sudah memasuki siri keempat sebelum ini.
Alhamdulillah, nampaknya perbincangan tajuk tersebut di ruangan ini mendapat perhatian dan turut dipanjangkan di ruang-ruang lain.
Selain ramai yang menghargai kerana jarang-jarang didapati tajuk tersebut dibahaskan secara kritikal begitu, ada juga yang keras menyanggah pandangan dan pendekatan kami.
Kami tidaklah terkejut dengan reaksi sebegini kerana sedia maklum memang ada di kalangan kita, individu dan kelompok yang sudah bertaklid kepada aliran yang penuh komited terhadap pemisahan antara tauhid rububiah dan uluhiah.
Mereka mungkin sukar menerima mana-mana pandangan yang tidak selari dengan aliran atau mazhab yang menjadi tumpuan dan dokongan mereka.
Selain daripada mereka ini mungkin di sana ada juga sebahagian anggota masyarakat yang sudah terbiasa dengan penggunaan istilah tauhid kepada uluhiah, rububiah dan asma wa sifatdalam apa yang telah mereka baca dan dengar.
Mungkin agak janggal bagi mereka mendengar kritikan dan sanggahan terhadap istilah yang sudah terbiasa bagi mereka. Pihak kami maklum dengan realiti ini dan akan cuba membuat jawapan dan penjelasan yang seadil dan secukupnya terhadap pelbagai sudut persoalan tersebut dalam kesempatan-kesempatan mendatang, insya-Allah.
Benar dan salah tidaklah ditentukan oleh yang mana lebih lantang dan agresif. Sering berlaku kegagalan kita bersabar dan bertertib dalam pencarian kebenaran akhirnya menyebabkan kita gagal menemukannya.
Memang menjadi hasrat kami agar persoalan tauhid tiga serangkai ini mendapat perhatian yang lebih dan lebih analitikal dalam masyarakat kita agar kita dapat menjauhi fahaman dan tafsiran yang tidak sesuai dengan faham tauhid yang murni dalam Islam.
Alhamdulillah, kita diizinkan Allah SWT untuk memasuki tahun hijrah yang baru. Umat Islam menyambutnya dengan cara yang berbeza. Ada yang hanya menyedari ketibaannya kerana ia ditentukan sebagai cuti umum.
Ramai juga yang menyambutnya dengan mengatur pelbagai majlis dan acara termasuk berkumpul di masjid dan surau dengan pengisian seperti bacaan doa akhir dan awal tahun, bacaan al-Quran, selawat dan tazkirah.
Semoga Allah SWT menerima niat baik dan doa-doa mereka yang tentunya merangkumi kebajikan dan kesejahteraan negara dan umat Islam seluruhnya dalam tahun baru ini.
Kepekaan terhadap peredaran masa dan zaman memang suatu tuntutan Islam. Penggantian tahun dalam kalendar Islam turut diraikan kerana ia terkait dengan suatu peristiwa besar dalam sirah junjungan kita, Nabi Muhammad SAW iaitu peristiwa Hijrah.
Hijrah memang mengandungi pelbagai makna dan erti. Sudut yang sering mendapat sorotan ramai adalah peralihan fasa risalah Islam daripada dakwah kepada fasa dawlah atau pembinaan negara.
Tanpa menafikan kepentingan dimensi luaran peristiwa ini, adalah perlu diinsafi bahawa hijrah luaran dan fizikal ini tidak akan berhasil dan bermakna tanpa disertai hijrah rohani dalam hati dan jiwa umat.
Hakikat ini ditegaskan dalam sabda Nabi SAW dalam hadis yang masyhur mengenai niat dan amalan, “Sesungguhnya amalan itu ditentukan oleh niat, dan bagi seseorang itu apa yang diniatkannya. Maka sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya adalah kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan sesiapa yang berhijrah kepada dunia yang ingin diperolehinya atau wanita yang ingin dikahwininya maka hijrahnya adalah kepada apa yang menjadi maksud hijrahnya”.
Sangat jelas dalam hadis ini yang merupakan antara induk segala hadis bahawa sebesar mana pun amalan agama seseorang itu, penentunya adalah niat dan maksud dalaman di sebalik amalan tersebut.
Hijrah Nabi SAW adalah episod yang begitu hebat dan sangat menentukan kerana ia adalah suatu projek keagamaan yang dijayakan oleh sekelompok insan agung yang memiliki hati paling suci dan ikhlas di bawah pimpinan penghulu para mukhlisin, Nabi Muhammad SAW.
Menyedari hakikat ini, janganlah dimensi kerohanian ini diabaikan dalam kita menyambut Maal Hijrah. Dimensi Islam, iman dan ihsan dalam agama kita sentiasa utuh dan terkait.
Tidak hairanlah, dalam salah satu karya terbesar dalam dunia kerohanian dan tasauf iaitu kitabAl-Hikam oleh Sheikh Ibnu ‘Atoillah al-Sakandari, hadis ini dan persoalan hijrah dalaman ini ada dinukilkan dan dihuraikan pula oleh para ulama tasauf yang mensyarahkan kata-kata hikmah tersebut.
Sheikh Ibnu ‘Atoillah al-Sakandari menegaskan perlunya berlaku hijrah dalam diri kita keluar daripada keterikatan dengan alam-alam (kawn/ akwan) menuju kepada Sang Pencipta alam (Al-Mukawwin).
Beliau berkata: “Janganlah kamu bergerak dari satu alam hanya ke satu alam yang lain maka jadilah kamu seperti keldai pengisar yang berjalan di sekitar pengisarnya sahaja; tempat tujuan perjalanannya sama dengan tempat asal perjalanannya.
“Tetapi hendaklah kamu bergerak (berpindah) dari semua alam kepada Sang Pencipta alam. Sesungguhnya kepada Tuhanmulah puncak segala tujuan”.
Perhatikanlah sabda Rasulullah SAW, “Dan sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya …(hingga akhir hadis)”
Inti kepada peringatan Sheikh Ibnu ‘Atoillah al-Sakandari ini adalah agar kita membulatkan keikhlasan kita kepada Allah SWT dalam segala amalan kebaikan kita.
Tumpuan hati kita dalam beribadat adalah keredaan Allah SWT semata-mata. Hendaklah dielakkan ingatan kepada yang selain Dia hatta terhadap soal perhatian dan pandangan mulia oleh makhluk, karamah, ganjaran pahala, mahligai atau bidadari syurga walaupun ini adalah sunnah Ilahi bagi mereka yang bertakwa.
Kesemua perkara ini hakikatnya masih merupakan alam dan makhluk. Kita masih belum berhijrah menuju Allah SWT dengan sebenar-benarnya jika masih terikat tumpuan kepada alam dan makhluk.
Dalam ilmu tasauf, kalimah al-aghyar yang berakarkan kata ghayr yang bermakna ‘selain’ sering digunakan kepada segala sesuatu yang selain daripada Allah SWT untuk menjelaskan maksud prinsip ini.
Harus diingat bahawa sesungguhnya Allah SWT itu amat cemburu. Dia tidak suka dan reda jika seseorang yang menuntut-Nya turut mencari sesuatu yang selain Dia di samping-Nya.
Oleh itu, tidak akan sampai kepada-Nya seseorang yang masih terdapat di hatinya keinginan hawa nafsunya.
Salah seorang ulama yang terkenal dengan syarahnya terhadap Hikam Ibnu ‘Atoillah, Sheikh Ibnu ‘Ajibah ada menyebut bahawa seseorang yang berjalan dari satu alam ke satu alam yang lain ialah orang yang berjalan dari selain Allah kepada selain Allah juga.
Seseorang yang zuhud di dunia tetapi menuntut kerehatan badan dan perhatian dunia kepadanya masih termasuk dalam golongan ini
Hijrah dalam erti kata ini juga bolehlah dirumuskan sebagai berpindah dari tiga negeri kepada tiga negeri iaitu:
lDari negeri maksiat ke negeri taat.
lDari negeri kelalaian ke negeri kesedaran.
lDari alam asybah (jasad) ke alam arwah (roh).
Sheikh Ibnu ‘Ajibah juga meriwayatkan pesanan gurunya bahawa jika kita hendak menilai sama ada kita sedang benar-benar berpindah dari alam dunia menuju alam malakut atau tidak, kita hendaklah membentangkan segala keinginan dan kecenderungan kita satu persatu.
Jika kita mendapati bahawa kita telah meninggalkannya dan perasaan kasih terhadap kesemuanya telah keluar daripada hati kita maka barulah kita boleh bergembira.
Mengeluarkan kecintaan dan keinginan terhadap selain Allah SWT bukanlah suatu yang mudah dan akan terjadi dengan sendiri. Ia menuntut keazaman, kesungguhan, perancangan, panduan dan bimbingan.
Satu perkara yang tidak harus luput daripada perhatian kita dalam merenungi hijrah adalah bagaimana peristiwa tersebut menagih perancangan, keperitan dan pengorbanan yang tinggi daripada Rasulullah SAW dan generasi awal Islam yang merupakan generasi para kekasih Allah.
Jika mereka yang paling dikasihi Allah ini pun terpaksa bersusah payah merancang dan berkorban demi mendaulatkan Islam, maka sudah tentu kita hari ini perlu bersedia untuk berkorban dan berjerit-payah jika kita benar-benar serius dengan agama kita.
l(Rujukan utama: kitab Cahaya yang Lurus: Syarah Hikam Sheikh Ibnu ‘Atoillah al-Sakandari oleh Sheikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki (Kuala Lumpur, Sofa Production, 2007)
Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »
Merebut kelebihan Bulan Muharram
Posted by epondok di Julai 27, 2022
SUNGGUH tidak terasa masa berjalan dengan begitu cepat, kini kita telah meninggalkan bulan Zulhijjah iaitu bulan terakhir bagi tahun 1443Hijrah dan telah memasuki bulan Muharram bagi tahun 1444 Hijrah. Bulan Muharram ialah bulan pertama dalam kalender Islam atau Taqwim Hijrah. Allah Subhanahu Wata’ala telah menjadikan bulan Muharram sebagai salah satu dari empat bulan haram atau bulan yang dimuliakan dan diagungkan oleh Allah. Pada bulan ini, manusia dilarang keras melakukan pembunuhan, kemungkaran dan maksiat. Allah Subhanahu Wata’ala telah perintahkan supaya menghormati bulan-bulan haram tersebut dan meninggalkan segala perbuatan maksiat dan larangan-Nya. Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah At-Taubah ayat 36 yang tafsir-Nya :
”Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan (qamariah) dalam kitab (ketetapan) Allah ketika Dia menciptakan langit dan bumi, antaranya empat bulan yang dihormati. Yang demikian itulah (ketetapan) agama yang lurus. Maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya).”
Empat bulan yang dihormati (bulan Haram) itu ialah Muharram, Rejab, Zulkaedah dan Zulhijjah sebagaimana dihuraikan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud daripada Abu Bakrah bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya :
”Sesungguhnya zaman itu berputar semenjak mula-mula Allah menciptakan langit dan bumi, setahun mengandungi dua belas bulan, daripadanya empat bulan haram, tiga daripadanya bulan itu berturut-turut iaitu Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram dan satu bulan berasingan, iaitu Rejab di antara Jamadilakhir dan Syaa’ban.”
Muharram ertinya diharamkan. Pada bulan ini, umat Islam digalakkan untuk melakukan berbagai macam ketaatan kepada Allah Subhanahu Wata’ala dan menjauhi segala larangan-Nya. Sesungguhnya ganjaran pahala bagi mereka yang beramal ibadat di bulan ini adalah sangat besar sebaliknya jika melakukan maksiat di bulan ini akan mendatangkan dosa yang besar.
Dalam bulan Muharram ini umat Islam juga sangat dianjurkan untuk memperbanyakkan berpuasa. Puasa paling utama di bulan ini ialah puasa pada hari ‘Asyura, iaitu puasa pada hari kesepuluh Muharram. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sendiri berpuasa pada hari tersebut sebagaimana dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim daripada Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhuma beliau telah berkata :
”Ketika Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam tiba di Madinah, baginda melihat kaum Yahudi melakukan puasa Asyura. Lalu Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bertanya kepada mereka : ”Mengapa kamu melakukan puasa pada hari itu?” Mereka menjawab : Ini adalah hari baik, yang mana pada hari ini Allah Subhanahu Wata’ala menyelamatkan Nabi Musa ‘alaihissalam dan Bani Israil daripada musuh mereka, oleh kerana itu Nabi Musa ‘alaihissalam melakukan puasa pada hari ini.” Lalu Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : ”Sesungguhnya kami lebih berhak terhadap Nabi Musa ‘alaihissalam dibandingkan kalian.” Maka Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam memerintahkan kaum Muslimin untuk berpuasa pada hari itu.
Galakan berpuasa pada hari ‘Asyura ini juga berdasarkan hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim bahawa Ibn Abbas Radhiallahu ‘anhuma beliau telah berkata :
”Aku tidak melihat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam mengutamakan hari puasa yang dilebihkan atas hari lain kecuali hari ini, iaitu hari ‘Asyura dan bulan Ramadan.”
Dalam hadis lain diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha ia berkata :
”Kaum Quraish pada masa Jahiliyah berpuasa pada hari ‘Asyura dan Rasulullah Sallallahu AlaihiWasallam juga berpuasa pada hari itu. Maka ketika Baginda telah tiba di Madinah maka Baginda tetap mengerjakannya dan memerintahkan umatnya untuk berpuasa. Apabila puasa Ramadan telah diwajibkan Baginda pun meninggalkan (kewajiban) puasa ‘Asyura, lalu bersabda, ”Sesiapa yang mahu, maka dia boleh berpuasa (pada hari ‘Asyura), dan sesiapa yang tidak mahu berpuasa, maka dia boleh tinggalkannya.”
Hal ini juga disebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abdullah bin Umar Radhiallahu ‘anhuma ia berkata :
”Bahawa kaum Jahiliyah dulu berpuasa ‘Asyura dan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam serta kaum Muslimin juga berpuasa sebelum diwajibkan puasa Ramadan, Baginda bersabda : ”Sesungguhnya hari ‘Asyura termasuk hari-hari Allah, barangsiapa ingin maka berpuasalah dan siapa yang ingin meninggalkan maka boleh.”
Daripada hadis-hadis di atas dapat difahami bahawa hukum berpuasa pada hari ‘Asyura adalah disunatkan bukannya satu kewajipan. Ini kerana puasa pada hari ‘Asyura merupakan suatu perkara yang wajib sebelum difardukan puasa Ramadan. Apabila difardukan puasa Ramadan pada tahun ke-2 Hijrah, maka kewajipan ini telah gugur. Namun puasa pada hari ‘Asyura tetap digalakkan dan merupakan salah satu daripada sunnah yang sangat dituntut.
Berpuasa pada bulan ini pada dasarnya dijanjikan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dengan pahala yang besar sebagaimana diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi daripada Abu Qatadah berkata yang maksudnya :
”Berpuasa pada hari ‘Asyura akan termasuk dalam hitungan Allah bahawa puasa itu akan menutup dosa setahun sebelumnya.”
Amatlah rugi kepada sesiapa yang tidak mengambil peluang berpuasa pada hari tersebut kerana kelebihannya sangat besar. Maka itu manfaatkanlah kelebihan yang disediakan oleh Allah Subhanahu Wata’ala ini. Jangan jadikan pelbagai alasan untuk mengabaikannya.
Selain daripada berpuasa pada hari ‘Asyura ini, kita juga digalakkan untuk berpuasa pada hari sebelumnya, iaitu pada 9 Muharram atau sehari selepasnya, iaitu pada 11 Muharram bagi membezakan antara puasa kaum Muslimin dengan kaum Yahudi yang berpuasa pada hari ‘Asyura tersebut. Ini berdasarkan beberapa hadis sahih, antaranya ialah sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhuma ia berkata :
”Ketika Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam memerintahkan untuk puasa pada hari ‘Asyura para sahabat berkata : ”Itu adalah hari yang diagungkan oleh orang-orang Yahudi dan Nasrani, lalu RasulullahSallallahu Alaihi Wasallam bersabda : ”Jika datang tahun depan insyaaAllah kita akan berpuasa hari kesembilan akan tetapi Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam meninggal pada tahun tersebut.”
Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhuma, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda :
”Puasalah pada hari ‘Asyura, dan berbezalah dengan Yahudi dalam masalah ini, berpuasalah sehari sebelumnya atau sehari sesudahnya.”
Secara umum, berpuasa pada bulan Muharram dapat dilakukan dengan beberapa pilihan. Pertama, berpuasa tiga hari, pada hari ‘Asyura diikuti sehari sebelum dan sesudahnya, iaitu puasa pada 9, 10 dan 11 Muharram. Kedua, berpuasa pada hari ‘Asyura dan sehari sesudah atau sebelumnya, iaitu puasa pada 9 dan 10, atau 10 dan 11. Ketiga, puasa pada 10 atau pada hari ‘Asyura sahaja.
Berpuasa di bulan Muharram tidak hanya disunatkan berpuasa pada 10 Muharram sahaja tetapi berpuasa penuh di sepanjang bulan Muharram adalah juga sangat digalakkan kerana ianya adalah sebaik-baik ibadah puasa setelah puasa bulan Ramadan sebagaimana dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya :
”Sebaik-baik puasa setelah bulan Ramadan adalah puasa di bulan Allah, iaitu bulan Muharram. Dan sembahyang yang paling utama setelah sembahyang wajib adalah sembahyang malam.”
Oleh itu, marilah kita merebut peluang kelebihan yang ada di bulan yang mulia ini untuk menambahkan amalan kita dengan berpuasa sunat khususnya pada pada hari ke-10 Muharram agar segala dosa-dosa kita akan dihapuskan. Sesiapa yang berpuasa pada bulan Muharram ini khususnya pada hari Asyura’ maka dia telah menyempurnakan satu sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, iaitu berpuasa pada bulan haram.
Bulan Muharram merupakan bulan kebaikan, maka isilah bulan ini dengan amalan-amalan soleh dengan melakukan ketaatan kepada Allah Subhanahu Wata’ala supaya kita menjadi hamba-hamba-Nya yang mendapatkan keredaan-Nya. Semoga Allah merahmati dan memberi petunjuk kepada kita agar dapat berpuasa pada hari ‘Asyura serta membimbing kita ke jalan yang diredai-Nya.
Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »
Hijrah: Menegarakan Islam, Mengislamkan Negara
Posted by epondok di Julai 3, 2022
Muqaddimah
‘Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasul, maka hijrahnya itu kepada Allah dan Rasul..’
Ketika Khalifah Saidina Umar al-Khattab mengira-ngira untuk membuat satu tanda jelas bagi orang Islam tentang kalendar, banyak peristiwa penting yang boleh dijadikan batutanda itu. Peristiwa kelahiran Nabi SAW, Isra’ Mikraj, Hijrah, pelbagai peperangan yang berlaku sepanjang sejarah semuanya penting. Namun dari semua peristiwa penting itu, akhirnya Umar al-Khattab memilih peristiwa hijrah. Mengapa hijrah? Tentunya ada perkara istimewa dan kelainan berbanding dengan peristiwa-peristiwa lain.
Sebelum hijrah, Nabi SAW adalah Nabi. Demikian juga selepas hijrah. Tetapi selepas hijrah, Nabi bukan sahaja kekal sebagai Nabi, pangkat yang diberi oleh Allah tetapi juga menjadi ketua sebuah negara. Walaupun Madinah kecil sahaja di waktu itu-kecil dari segi geografi, kecil dari segi bilangan penduduk dan kecil dari segi kuasa berbanding kuasa-kuasa besar yang sudah sedia ada ketika itu-Parsi dan Rom, namun Madinah menepati ciri-ciri sebuah negara menurut sains politiknya. Ada tanah dan bumi, ada pemimpin, ada rakyat, ada perlembagaan dan ciri-ciri lain.
Hijrah menjadi batas sempadan di antara tempoh Mekah dan tempoh Madinah. Ayat-ayat al-Quran berbeza dari segi uslub dan perintah-perintahnya. Justru, peristiwa hijrah ini sangat penting untuk dihayati oleh umat Islam agar maksud sebenar dari hijrah ini tercapai.
Latar belakang Hijrah
Nabi menyeru kepada Islam
Semenjak berada di Mekah. wahyu sudah mulai turun. Muhammad telah diangkat dan dilantik menjadi Nabi dan Rasul. Bermula dari seorang diri, Baginda mula menyebarkan Islam di kalangan keluarganya yang hampir, sahabat yang rapat dengannya agar mudah diterima. Ia berkembang sedikit demi sedikit. Begitu juga dari segi uslub dakwah, dari sembunyi hinggalah terang-terangan.
2.Para Sahabat ditindas, dizalimi hanya kerana menyatakan ‘Kami beriman kepada Allah’
Dengan sebab dakwah yang mula diterima dari kalangan penduduk Mekah, respon yang diberi oleh pembesar Quraisy adalah sangat keras. Para Sahabat ditindas, disiksa, ditekan dan diperlakukan pelbagai kezaliman. Contoh-contohnya cukup banyak. Cukup bagi kita melihat seperti Bilal bin Rabah yang disiksa begitu rupa dengan sebab hanya beriman kepada Allah, begitu juga Ammar bin Yasir dan lain-lain.
Diizin berhijrah ke Habsyah
Kezaliman dan penindasan yang dahsyat menyebabkan para Sahabat dibenarkan berhijrah ke Habsyah buat sementara waktu, sehingga tempoh untuk kembali ke Mekah selepas suasana yang sedikit mengizinkan. Bumi Habsyah hanya transit sementara, untuk perlindungan, bukan bumi sebenar menegakkan Islam dalam bentuk negara. Suasana dakwah di Mekah berlangsung sedemikian rupa selama 13 tahun. Yang didengar oleh telinga para Sahabat hanyalah ‘sabar, sabar’ hingga Allah menentukan masa dan ketika yang sesuai untuk ditegakkan Islam itu dalam bentuk pemerintahan negara.
Pemimpin Quraisy bersidang dan ambil keputusan di Darul Nadwah
Sampai waktunya Nabi memberi khabar gembira kepada para Sahabat:. Nabi bersabda, maksudnya: ‘Aku diberitahu tempat hijrah kamu iaitu Yathrib. Sesiapa yang mahu keluar, maka keluarlah ke sana.’ Para Sahabat mula mengatur langkah menuju Yathrib. Ia berlaku selepas Baiah Aqabah 1 dan 2 di antara Nabi SAW dan penduduk Yathrib yang datang mengerjakan haji. Nabi SAW menawarkan Islam kepada mereka sehingga kemudiannya berlaku Baiah Aqabah 1dan 2 itu dalam musim-musim haji. Melihat kepada perkembangan Islam yang sudah berlaku outreach di Yathrib, iaitu pengaruh yang sudah berkembang hingga ke luar Mekah, maka para pemimpin Quraisy bermesyuarat di Darul Nadwah mahu mengambil keputusan apa yang sepatutnya dibuat terhadap Nabi SAW. Dari cadangan-cadangan yang diberi, akhirnya keputusan yang dicapai ialah Nabi Muhammad SAW, Al-Amin itu mesti dibunuh. Inilah kemuncak kepada sebuah perjuangan hingga melibatkan risiko nyawa melayang.
Dengan demikian, Nabi SAW berhijrah bersama Saidina Abu Bakar as-Siddiq ra sehingga akhirnya tiba ke Yathrib di awal bulan Rabi al-Awwal Tahun pertama Hijrah.
Dalam hijrah ini pelbagai pengajaran yang kita boleh petik. Saya rumuskan melalui 5P seperti berikut:
Iktibar (5P)
Penuh strategi
Nabi SAW membuat persediaan mencari tapak sesuai sebelum berhijrah. Yathrib bukan sahaja tapaknya sesuai bahkan penduduknya juga sudah bersedia menerima dan mempertahankan Baginda SAW. sebagai tapak tegaknya Islam. Untuk itu Baiah Aqabah 1dan Baiah Aqabah 2 menjadi tahap penting dalam dakwah Nabi. Bagi merealisasikan Baiah Aqabah supaya berjaya dan tidak bocor, penduduk Yathrib mengerjakan haji seperti orang lain di musim haji, tetapi bangun di tengah malam di Mina ketika semua yang lain masih tidur untuk berbaiah dengan Baginda SAW.
Selepas Nabi mendapat tahu tentang perancangan Quraisy mahu membunuhnya, Baginda SAW pergi ke rumah Abu Bakar di waktu tengahari dan selepas menerima perintah Allah untuk berhijrah. Waktu tengahari dipilih kerana ketika itu masing-masing sedang berihat di rumah agar perancangan Baginda tidak disedari.
Begitu juga perancangan yang dibuat oleh Saidina Abu Bakar selepas Nabi menyampaikan berita untuk berhijrah itu. Dikaderkan anak-anaknya untuk Islam. Asma menyediakan makanan, Abdullah ditugaskan mendengar khabar di pasar lalu membawa khabar berita itu kepada Nabi di Gua Thur nanti, Amir bin Fuhairah ditugaskan membawa kambing ke Gua Thur untuk didapatkan susunya dan dihilangkan kesan tapak kaki.
Sebagai usaha melambat-lambatkan dan mengelirukan pemuda Quraisy, Nabi SAW meminta Saidina Ali menggantikan Baginda di tempat tidur.
Nabi sendiri tinggal di Gua Thur selama 3 hari bersama Abu Bakar bagi memastikan misi ke Yathrib selamat. Nabi juga melalui jalan yang tidak biasa dilalui ke Yathrib agar perjalanan tidak dikesan musuh.
Semua ini menggambarkan kepada kita betapa strategi dalam menegakkan Islam itu mesti diberikan keutamaan. Bahkan secara umum, ia memberi panduan kepada semua bentuk pengurusan agar perancangan berstrategi itu diambil perhatian. Buatlah Plan A atau Plan B, usaha dan ikhtiar dari manusia, namun tawakkal dan pergantungan mesti tekad kepada Allah.
Pengorbanan
Apa yang diberi oleh para Sahabat selama di Mekah hingga bersedia berhijrah ke Yathrib ialah kerana mereka mengutamakan Islam, kehendak Allah yang mendahului kehendak diri dan peribadi. Pengorbanan para Sahabat sepanjang tempoh dakwah di Mekah bukan calang-calang. Dalam persitiwa hijrah, para sahabat bersedia meninggalkan rumahtangga, kampung halaman, harta benda kerana semata-mata menyelamatkan Islam. Kalau Islam selamat, yang lain selamat. Kalau yang lain selamat, belum tentu Islam selamat.
Pengorbanan dari Abu Bakar sepanjang peristiwa hijrah juga menjadi contoh hebat. Memasuki Gua Thur terlebih dahulu bagi memastikan keadaan selamat buat Nabi SAW, sanggup kakinya ditahan kesakitan akibat bisa binatang kerana tidak mahu mengganggu Nabi yang baring diribanya. Begitu juga Ali bin Abi Talib yang mengambil risiko besar menggantikan Nabi SAW di tempat tidur. Nyawa menjadi pertaruhan untuk sebuah perjuangan.
Persaudaraan
Bagi menegakkan pemerintahan Islam, faktor-faktor yang membantu ke arah perkara itu mesti dilakukan. Tidak mungkin Islam boleh ditegakkan jika mereka yang menegakkan Islam itu bersengketa. Tindakan Nabi SAW mempersaudarakan Aus dan Khazraj menjadi golongan Ansar adalah tindakan bijak seorang pemimpin. Aus dan Khazraj yang berperang sesama sendiri begitu lama akhirnya menjadi seperti saudara karib. Bukan mudah menyatukan mereka yang sudah berperang begitu lama. Tali persaudaraan bukannya atas dasar Arab tetapi islam. Nasionalisme sempit tiada dalam kamus Islam. Bentuk persaudaran diluaskan hingga Muhajirin dan Ansar juga dipersaudarakan. Bentuk persaudaraan ini diakui Islam sehingga di peringkat awalnya masing-masing boleh mewarisi dari saudara seislamnya yang lain hingga dibatalkan hukum itu.
Positif dan pro-aktif
Sikap umat Islam mesti positif dan pro-aktif. Ia ditunjuk oleh Nabi SAW dalam persitiwa hijrah ini. Apabila mengetahui orang Musyrikin mahu membunuhnya, terus Baginda bertindak menemui Abu Bakar dan menyiapkan perkara yang sepatutnya.
Nabi SAW sentiasa memandang masa depan Islam yang cemerlang. Dalam apa suasana sekalipun, Baginda tetap optimis dan positif terhadap Islam. Inilah sifat seorang pemimpin yang mesti diikuti oleh pengikutnya. Dalam persitiwa hijrah, ketika hanya Nabi dan Abu Bakar berada di dalam Gua Thur-tiada PBB, tiada OIC, tiada negara dan bala tentera islam yang boleh membantu, Nabi SAW bersabda kepada Abu Bakar ‘Apa sangkaan kamu dengan 2 orang, Allah yang ketiga’, suatu tarbiyyah, keyakinan dan keimanan yang jitu diletakkan dalam dada Abu Bakar. Ketika Suraqah yang mengejar Nabi dari belakang mulai takut dengan kaki kudanya yang sentiasa tenggelam dalam pasir itu meminta keamanan dari Nabi SAW, Baginda berjanji kepada Suraqah untuk diberikan gelang Raja Kisra. Satu janji yang melihat masadepan yang gemilang buat Islam walaupun negara Islam itu belum kelihatan di depan mata.
Perpindahan
Hijrah wajib di awal Islam. Namun ia berubah selepas itu: ‘Tiada hijrah selepas pembukaan Mekah tetapi jihad dan niat (yang benar)’ , ‘Jihad berterusan hingga ke hari Qiamat’
Perpindahan yang mesti berlaku di kalangan orang Islam ialah berhijrah dari perkara yang dilarang Allah ‘Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan perkara yang dilarang Allah’. Bagi seorang mukmin, falsafah hidupnya ialah hari ini lebih baik dari semalam, esok lebih baik dari hari ini dan hari-hario muka lebih baik dari hari sebelumnya.
Berpindahnya Nabi SAW dari Mekah ke Madinah ialah bagi menegakkan Islam dalam bentuk syumul-peribadi, keluarga, masyarakat dan negara. Ia bukan hijrah dari satu tempat ke satu tempat sahaja. Hijrah membawa misi dan visi yang sangat hebat.
Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »
Remaja dan hijrah sikap
Posted by epondok di Julai 2, 2022
SIKAP hidup adalah sesuatu yang utama membentuk tingkah laku remaja. Ia terbina hasil adanya persepsi terhadap sesuatu dan sedikit pengalaman yang ditempuh. Kadangkala ia tidak terbina hasil daripada ilmu dan kefahaman yang baik.
Sikap hidup remaja lazimnya belum teruji lagi. Ia baru separuh matang dan memerlukan pengukuhan. Oleh itu perlu berlaku proses hijrah di kalangan remaja membina sikap hidup yang lebih sempurna.
Pendedahan dalam hidup yang dilalui oleh remaja adalah pelbagai. Naluri ingin tahu, keinginan mencuba rasa ingin bergaya, suka terpengaruh dengan rakan sebaya banyak mengambil tempat dalam membentuk sikap remaja.
Remaja yang matang memerlukan ilmu, pengalaman dicampur dengan rasa kedewasaan dalam menanggapi atau membuat persepsi terhadap sesuatu.
Ada sikap yang bertanggungjawab di kalangan remaja yang sentiasa merasakan sesuatu sikap yang diambil dalam hidupnya belum sempurna lalu ia terdorong bertanya mendapat penjelasan, membanding-bandingkan, dan membuat analisis yang kritis supaya terdapat keserasian antara sikap yang dibina dan persepsi yang dilakukan.
Hasil proses ini menyebabkan sikap hidup yang dibina menuju ke arah kematangan dan kedewasaan. Sering berlaku tanggapan terhadap sesuatu berasaskan cakap dengar semata-mata.
Tidak wujud ketelitian terhadap fakta kajian terhadap maklumat dan penelitian terhadap perkhabaran. Akhirnya ramai remaja terjebak di blog-blog, forum atau rangkaian Internet yang menyebabkan elemen propaganda dan sangka buruk menjadi subur.
Semangat Hijrah
Sempena peristiwa hijrah yang bakal berlangsung dan peristiwa pengorbanan serta haji, para remaja harus menginsafi perlu wujudnya perganjakan minda daripada sikap berprasangka melulu ke arah sikap yang rasional dan objektif.
Orang yang berdaya maju dalam pemikiran dan tindakan terdiri di kalangan mereka yang melakukan sesuatu berasaskan hujah ilmu dan pemikiran kritis.
Dalam Islam, al-Quran dan Sunnah dijadikan sumber rujukan menentukan salah benarnya sesuatu perkara.
Dengan bahasa yang mudah, sesuatu perkhabaran yang tersebar atau diterima harus diperiksa dari mana datangnya supaya kesahihan ditemui.
Proses ini menuntut kejujuran dan keikhlasan remaja kerana mengutip maklumat yang tidak sahih boleh membawa kepada salah faham keliru.
Jika kaedah ini dijadikan pegangan dan sikap hidup para remaja, ia bakal mengelakkan remaja daripada terus melakukan kesilapan yang serupa.
Hijrah sikap hidup di sini bermakna para remaja harus bersikap peka dan prihatin terhadap sesuatu yang dibaca, ditonton, didengar atau disebarkan lalu ia mendorong remaja untuk mencari dan meneliti hujah-hujah ilmu dan rasional supaya ia menjadi lebih objektif.
Maksud objektif di sini adalah tidak berlaku cetusan sentimen negatif dan propaganda yang cuba mencorakkan sikap hidup remaja. Remaja Islam adalah kelompok manusia yang berpotensi dipengaruhi dan mempengaruhi.
Oleh itu, amat penting proses pemikiran remaja berasaskan ilmu yang bermanfaat dan latihan berfikir yang baik. Kesukaan remaja kepada ilmu yang bermanfaat bakal menjadikan para remaja berfikir secara objektif.
Pemikiran yang objektif mampu membina sikap yang bertanggungjawab. Proses ini akan menjadikan para remaja yang mengamalkan budaya ilmu yang tinggi dan jalur berfikir yang berkualiti.
Apa lagi peristiwa hijrah memberi anjakan antara sistem berakidah dengan kejahilan. Sistem berakidah membentuk sikap hidup dan watak remaja supaya sentiasa menghubungkan remaja dengan Pencipta.
Rasa ketuhanan yang tinggi mampu memberi pedoman kepada remaja mengambil jalan berfikir dan sikap hidup yang Allah redai.
Sekiranya para remaja menerima jalur berfikir yang membimbing ke arah kebaikan, natijah akhirnya kehidupan remaja adalah ke arah kebaikan jua. Demikian sebaliknya.
Melihat gelagat dan kecenderungan di kalangan sesetengah remaja hari ini, ada kebimbangan bahawa ketidakmatangan dalam sikap hidup dan kecelaruan remaja dalam pemikiran boleh menyebabkan zaman dewasanya menjadi kacau-bilau.
Keengganan merujuk sumber ilmu khasnya al-Quran dan hadis menyebabkan remaja hilang petunjuk dan terjebak dalam kejahilan dan kefasadan.
Yang tertampil adalah ego yang tinggi, merasakan diri sudah sempurna, tidak perlu dinasihati. Akhirnya tidak mampu menyumbang ke arah pembangunan diri dan umat di zaman dewasanya.
Sebaliknya remaja yang menginsafi bahawa hidup ini adalah proses bertatih, jatuh dan bangun, proses kehidupan itu menjadi guru yang terbaik untuk sumber teladan dan ikutan walaupun citarasa remaja selalunya meluap-luap dan remaja dapat mengimbangi antara cita-cita yang ideal dengan realiti yang serba mencabar. Daripada situ para remaja mampu bertitik tolak dengan idealisme yang tinggi untuk dijadikan pedoman secara strategik supaya sesuatu yang dilakukan bertitik tolak daripada jiwa yang matang dan dewasa.
Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »