Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Kewajipan mempertahankan Rasulullah SAW

Posted by epondok di Jun 12, 2022


MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan, hidup kita sentiasa dipayungi rahmat Allah SWT di dunia dan di akhirat.

Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah bertajuk: “Kewajipan Mempertahankan Rasulullah SAW”.

Pengutusan Rasulullah SAW ke seluruh alam adalah khabar gembira dan menjadi bukti rahmat Allah SWT terutama kepada manusia. Kehidupan mereka yang dahulunya berada dalam kegelapan jahiliah berubah kepada cahaya hidayah sehingga dapat dirasai oleh kita sehingga hari ini. Sesungguhnya mengikuti dan menuruti ajaran yang telah dibawa oleh Rasulullah SAW merupakan lambang kecintaan seseorang hamba kepada Allah SWT dan Baginda SAW. Firman Allah SWT dalam surah Ali ‘Imran, ayat 31 dan 32 yang dibacakan tadi, bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Katakanlah (wahai Muhammad): Taatlah kamu kepada Allah dan rasulNya. Oleh itu, jika kamu berpaling (menderhaka), maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir.”

Advertisementhttps://cdn.bannersnack.com/banners/bxk8yhzgs/embed/index.html?t=1654994897&userId=43386868&responsive=true

Demikianlah rahmat dalam pengutusan Baginda SAW sebagai penutup para nabi dan rasul. Apa jua yang datang dari sisi Baginda SAW sama ada dari sudut akidah, syariat dan akhlak adalah berasaskan bimbingan wahyu ilahi yang wajib kita patuhi dan teladani. Firman Allah SWT menerusi surah al-Hadid, ayat 28 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan tetaplah beriman kepada RasulNya (Muhammad), supaya Allah memberi kepada kamu dua bahagian dari rahmatNya, dan menjadikan bagi kamu cahaya untuk kamu berjalan dengannya (pada hari kiamat kelak), serta diampunkannya dosa kamu, dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”

Dalam menempuhi kehidupan di zaman yang penuh cabaran dan pancaroba ini, marilah kita berazam untuk terus mengikuti setiap ajaran Rasulullah SAW sebagai bukti betapa tingginya kecintaan kita kepada Baginda SAW. Laksanakanlah tuntutan syariat dengan mematuhi setiap hukum hakam agama supaya kita dapat melakukan ibadah wajib mahu pun sunat dengan sempurna. Jadilah seorang muslim yang berakhlak mulia dengan mencontohi akhlak Rasulullah SAW di samping memelihara perhubungan baik sesama manusia.

Di samping itu, marilah kita mengikuti segala sunnah Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian supaya kita dapat menguatkan lagi kecintaan dan kasih kepadanya. Didiklah isteri dan anak-anak supaya mencintai Rasulullah SAW sepenuh hati dan mengamalkan cara hidup sebagai muslim. Bukankah mengasihi Baginda SAW melebihi segala-galanya adalah tanda keimanan yang sempurna? Renungkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, daripada Anas bin Malik Radhiyallahu ‘anhu, bahawa Nabi SAW telah bersabda yang bermaksud: “Tidak (sempurna) iman salah seorang daripada kamu sehinggalah aku lebih dikasihinya berbanding bapanya, anaknya dan orang- orang lain keseluruhannya.”

Sesungguhnya kita sangat mengasihi dan menyayangi Rasulullah SAW. Bukti betapa kuatnya kasih kita kepada Baginda SAW ialah dengan mengamalkan secara bersungguh-sungguh syariat Islam dan mengikuti sunnah Rasulullah SAW dalam menjalani kehidupan. Pastinya, apa jua bentuk penghinaan yang ditujukan kepada Baginda SAW akan menimbulkan kemarahan yang tinggi oleh setiap umat Islam. Justeru, kita wajib mempertahankan Rasulullah SAW.

Dalam isu ini, kita mengutuk sekeras-kerasnya penghinaan yang telah dilakukan dan meminta individu yang terlibat untuk menarik balik kenyataan serta menyatakan permohonan maaf kepada umat Islam atas insiden tersebut. Di samping itu, umat Islam di Malaysia diminta untuk kekal bertenang dan bertindak balas secara intelektual menerusi perbincangan dan wacana bagi mengelak ketegangan agama semakin memuncak. Janganlah bertindak balas dengan melakukan penghinaan kepada penyembahan agama lain. Islam tidak membenarkan kita menghina penganut agama lain dan kita harapkan supaya agama lain juga jangan menghina Islam.

Contohilah Rasulullah SAW yang tidak pernah mencerca, mengutuk, menghina dan melaknat golongan yang bukan Islam dalam dakwah Baginda SAW. Imam Muslim telah meriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu, beliau menceritakan yang berbermaksud: “Rasulullah SAW diminta: Wahai Rasulullah, doakan kebinasaan ke atas kaum musyrikin. Lantas Baginda SAW menjawab: Sesungguhnya aku diutus bukan sebagai pelaknat, tetapi sebagai pembawa rahmat.”

Mengakhiri khutbah, hayati beberapa kesimpulan sebagai renungan kita bersama:

Pertama: Ikutilah ajaran yang telah dibawa oleh Rasulullah SAW sebagai lambang kecintaan kita kepada Allah SWT dan Baginda SAW.

Kedua: Ikuti segala sunnah Rasullah SAW dalam kehidupan seharian, didiklah isteri dan anak-anak supaya mencintai Rasulullah SAW sepenuh hati dan mengamalkan cara hidup sebagai muslim.

Ketiga: Janganlah melakukan penghinaan kepada penyembahan agama lain. Contohilah Rasulullah SAW yang tidak pernah mencerca, mengutuk, menghina dan melaknat golongan yang bukan Islam dalam dakwah Baginda.

Marilah sama-sama kita hayati firman Allah SWT dalam surah al-Anbiya’, ayat 107 yang bermaksud: “Dan tiadalah kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: