Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Jun 2022

Gandakan amalan 10 awal Zulhijjah

Posted by epondok di Jun 30, 2022

MOHD. RADZI MOHD. ZIN

 

Telah beberapa hari kita mula masuk ke bulan Zulhijjah yang juga dikenal sebagai bulan haji. Untuk itu, kita doakan agar semua dhuyufurrahman (tetamu Allah) diberi kesihatan yang baik seterusnya dapat melaksanakan rukun Islam kelima dengan sempurna. Seterusnya beroleh haji mabrur.

Bagi kita yang berada di tanah air, marilah merebut beberapa peluang yang disediakan untuk mendapat keredaan Allah dan pahala amalan dalam 10 hari pertama Zulhijjah. Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sebaik-baik hari di dunia adalah sepuluh hari itu”. (Riwayat al-Bazzar)

Antara amalan yang amat digalakkan sepanjang 10 awal Zulhijjah adalah berzikir (Subhanallah, Alhamdulillah, La ilaha illallah dan Allahu Akbar). Ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu. (al-Hajj: 28)

Ibn Abbas r.a mentafsirkan erti ‘hari-hari tertentu’ sebagai 10 hari awal Zulhijjah dan inilah pendapat majoriti ulama. Amalan yang kedua adalah puasa. Umat Islam yang tidak menunaikan fardu haji amat digalakkan berpuasa pada satu hingga sembilan Zulhijjah. Tarikh 9 Zulhijjah iaitu Hari Arafah pula adalah hari terbaik berpuasa.

Nabi SAW bersabda tentang kelebihan hari Arafah: “Tiada hari yang lebih banyak Allah membebaskan hambanya lebih dari hari Arafah.” (Riwayat Muslim) Nabi SAW juga bila ditanya tentang kelebihan berpuasa pada hari Arafah ini menjawab, ia menghapuskan dosa yang lalu dan tahun kemudiannya.

Ketiga, melakukan lain-lain amalan seperti bersedekah, membaca al-Quran, solat sunat dan sebagainya.

Seterusnya, menjauhi maksiat. Peluang berada dalam 10 hari awal Zulhijjah adalah masa terbaik untuk memulakan taubat bagi sesiapa yang masih menangguhkannya. Amat biadab jika umat Islam bersuka ria dengan me­lampaui batas haram di hari yang amat agung di sisi Allah SWT ini. Bertaubatlah dengan sebenar-benar taubat dan sedarlah bahawa hidup ini hanyalah sementara dan seluruh keseronokan itu adalah tipu daya syaitan semata-mata.

Kelima adalah takbir: Saidina Ali menunjukkan bahawa takbir bermula sejurus selepas solat Subuh hari Arafah sehingga hujung waktu Asar hari ketiga Tasyrik.

Yang terakhir adalah ibadah korban. Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan bagi setiap umat telah Kami syariatkan penyembelihan (korban), agar mereka menyebut nama Allah, rezeki yang dikurniakan Allah kepada mereka berupa haiwan ternak. (al-Hajj: 34)

Menyembelih binatang korban hanya boleh dilak­sanakan seusai solat Hari Raya Aidiladha sehinggalah akhir hari Tasyriq. Oleh itu, penyembelihan haiwan korban boleh dilaksanakan pada 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Bagi menggandakan pahala korban, seseorang yang sudah berniat awal untuk melakukannya digalakkan menahan diri memotong rambut dan kuku bermula 1 Zulhijjah sehingga selesai menjalankan ibadat korban.

Ia berdasarkan hadis nabi SAW yang bermaksud: “Barangsiapa yang ingin menyembelih (korban), dan telah masuk 10 awal Zulhijjah), maka janganlah dia memotong apa-apa rambut atau kukunya sehinggalah sampai korban itu dilaksanakan.” (Riwayat Muslim)

Justeru, majoriti ulama mazhab Maliki, Syafie dan sebahagian Hanbali menyatakan makruh bagi yang me­langgarnya. Bagaimanapun ia tidaklah termasuk dalam kategori haram. Oleh itu, dibenarkan memotong kuku jika ia boleh mengganggu kesempurnaan wuduk dan ibadah-ibadah lain yang wajib.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Kelebihan 10 hari awal Zulhijjah

Posted by epondok di Jun 30, 2022

MOHD. RADZI MOHD. ZIN

Tidak berapa hari lagi kita akan melangkah masuk ke bulan Zulhijjah, insya-Allah. Bulan yang juga dikenali sebagai bulan haji dan sinonim dengan ibadat korban. Bagi jemaah haji, apabila tiba bulan ini semakin hampir mereka dengan kemuncak ibadat itu iaitu wukuf di Arafah.

Bagi kita yang tidak berkesempatan menjadi tetamu Allah kali ini, mari kita rebut peluang 10 hari pertama Zulhijjah dengan melakukan pelbagai ibadat sunat.

Ada beberapa dalil al-Quran dan hadis yang menyebut tentang kelebihannya. Antaranya, firman Allah SWT yang bermaksud: (Demi fajar dan malam yang sepuluh). (al-Fajr: 1-2)

Menurut Ibnu Kathir: Yang dimaksudkan di sini ialah 10 malam yang pertama bulan Zulhijjah. Demikian juga tafsiran Ibnu Abbas, Ibnu Az-Zubair, Mujahid dan lainnya. (Hadis riwayat Bukhari)

Daripada Ibnu Umar r.a, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah SWT dan beramal padanya lebih dikasihi oleh Allah dari hari-hari yang 10 ini. Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil, bertakbir dan bertahmid”. (Riwayat Ahmad)

Sementara itu, menurut al-Hafiz Ibnu Hajar: Yang jelasnya, di antara sebab keistimewaan 10 hari Zulhijjah ialah terhimpun di dalamnya beberapa ibadat yang besar iaitu solat, puasa, sedekah dan haji. Pada waktu lain, ibadat-ibadat ini tidak pernah terhimpun sebegitu.

Oleh itu, marilah kita melipat-gandakan amalan pada bulan ini terutamanya solat. Disunatkan kita keluar awal ke tempat solat fardu (berjemaah) dan memperbanyakkan solat sunat kerana ia sebaik-baik amalan.

Thauban r.a berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Hendaklah kamu memperbanyakkan sujud kepada Allah, kerana setiap kali kamu sujud kepada-Nya, Allah akan angkatkan darjatmu kepada-Nya dan dihapuskan kesalahanmu. (Riwayat Muslim). Ini umum untuk semua waktu.

• Puasa. Daripada Hunaidah bin Khalid, daripada isterinya, daripada sebilangan isteri-isteri Rasulullah SAW berkata: “Rasulullah SAW berpuasa pada hari sembilan Zulhijjah, pada hari Asyura (10 Muharam) dan tiga hari pada setiap bulan”. (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

• Takbir, tahlil dan tahmid. Ini berdasarkan hadis Ibnu Umar di atas yang mengatakan: “Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil (mengucapkan La-ilaha-illallah), bertakbir (mengucapkan Allahu Akbar) dan bertahmid (mengucapkan Alhamdulillah)”.

Kata Imam Bukhari: “Ibnu Umar dan Abu Hurairah r.a menuju ke pasar pada hari-hari 10 dan bertakbir. Orang ramai yang mendengarnya kemudian turut sama bertakbir”.

• Puasa pada hari Arafah. Hendaklah berpuasa bagi sesiapa yang mampu pada hari Arafah (9 Zulhijjah) kerana amalan ini sabit dari Rasulullah SAW. Baginda SAW bersabda yang bermaksud: Aku mengharapkan Allah menghapuskan kesalahan setahun yang lalu dan setahun yang akan datang. (Riwayat Muslim) Bagaimanapun, amalan ini hanya disunatkan untuk orang yang tidak menunaikan haji.

• Kelebihan Hari Raya Aidiladha (Yaum an-Nahr) pada 10 Zulhijjah.

Kebanyakan orang Islam telah lupa akan kelebihan hari ini. Kebesaran dan kelebihan perhimpunan umat Islam yang begitu ramai dari seluruh pelosok dunia.

Sesetengah ulama berpendapat hari ini ialah hari yang paling afdal di dalam setahun sehingga melebihi hari Arafah.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Aturcara Ijtimak Pondok Kelantan Sabtu ini 2 Julai

Posted by epondok di Jun 29, 2022

Posted in Program Terbaru | Leave a Comment »

Amalan pilihan 10 hari Zulhijjah

Posted by epondok di Jun 29, 2022

Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

DALAM bulan Zulhijah yang mulia ini, ada satu hari yang dikatakan antara hari yang paling afdal di sisi Allah SWT, selain daripada Jumaat iaitu pada 9 Zulhijah yang lebih dikenali hari Arafah. Hari Arafah adalah bersempena amalan berwukuf di Padang Arafah, satu daripada rukun fardu bagi umat Islam yang menunaikan ibadat haji.

Pada hari itu, Allah SWT akan membebaskan sesiapa yang menghadiri Padang Arafah dan memuliakan hari itu daripada api neraka. Oleh kerana itu, hari keesokannya ialah Aidiladha, hari kesyukuran dan perayaan bagi umat Islam dengan menzahirkan kegembiraan dan kesyukuran ke hadrat Allah SWT.

Kelebihan Hari Arafah tidak hanya terhad kepada jemaah haji yang berada di Tanah Suci, malah kelebihan itu turut dapat dinikmati umat Islam yang tidak mengerjakan ibadat haji. Sehubungan itu, umat Islam dianjurkan berpuasa pada sembilan hari pertama dalam bulan Zulhijah, terutama pada Hari Arafah. Tidak diragui lagi bahawa puasa adalah amalan yang afdal di sisi Allah SWT berdasarkan sabda Rasulullah, “Berpuasa pada Hari Arafah dinilai di sisi Allah sebagai penghapus dosa bagi setahun yang sebelumnya dan yang selepasnya”. (Hadis Muslim).

Selain berpuasa, umat Islam digalakkan memperbanyakkan amalan salih seperti solat sunat tahajud, bersedekah, membaca al-Quran dan menyeru kepada makruf dan mencegah kemungkaran. Perlu diinsafi bahawa setiap amalan yang dilakukan pada hari-hari berkenaan akan digandakan ganjaran pahalanya oleh Allah SWT. Begitu juga amalan yang paling afdal di sisi Allah SWT seperti berjihad pada jalan Allah SWT tidak akan dapat meraih ganjaran istimewa sepuluh hari Zulhijah itu melainkan apabila seseorang Muslim itu tercedera atau mati syahid atau kudanya mati dalam medan peperangan.

Ibnu Abbas pernah menceritakan bahawa Rasulullah bersabda, “Tiada suatu hari pun amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada sepuluh hari pertama bulan Zulhijah. Sahabat bertanya, “Adakah itu termasuk juga berjihad pada jalan Allah?”. Jawab Baginda, “Tidak termasuk berjihad pada jalan Allah melainkan orang yang keluar dengan seluruh jiwa raganya dan tidak membawa pulang apa-apa pun”. (Hadis Bukhari)

Dalam hadis lain, Rasulullah juga bersabda, ” Tiada suatu hari pun dalam setahun yang amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada sepuluh hari pertama bulan Zulhijah. Oleh itu, hendaklah kamu memperbanyakkan zikir, tahlil, takbir dan tahmid”. (Hadis Ahmad).

Pada hari Arafah, setiap jemaah haji dari seluruh pelusuk dunia akan melaksanakan satu rukun haji iaitu berwukuf di Padang Arafah. Amalan wukuf adalah satu perhimpunan besar manusia padang dengan bahang terik mentari, tiada daya dan upaya melainkan mereka semuanya mengharapkan keredaan Ilahi. Perhimpunan jutaan manusia itu melambangkan perhimpunan besar yang bakal dihadapi setiap manusia untuk dihisab segala amalan diri di Padang Mahsyar kelak.

Oleh itu, setiap insan wajib muhasabah diri dan juga bertaubat terhadap segala dosa sebelum Allah pamerkan segala dosa tersebut di hadapan jutaan manusia di Padang Mahsyar itu.

Dari sudut sejarahnya, ada pendapat yang mengatakan bahawa perkataan Arafah itu berasal dari pertemuan kembali Nabi Allah Adam dan isterinya Siti Hawa yang diturunkan ke bumi secara berasingan dan akhirnya mereka bertemu kembali di lembah yang dikenali sekarang dengan Padang Arafah. Ada juga ulama yang me-nyatakan bahawa ia berasal dari peristiwa pertemuan Nabi Allah Ibrahim dengan isterinya Siti Hajar dan anaknya, Nabi Allah Ismail AS yang lama berpisah.

Sebahagian ulama pula berpendapat perkataan Arafah itu adalah hasil pemahaman Nabi Ibrahim yang menghayati perintah Allah SWT yang tersirat di dalam mimpinya untuk menyembelih puteranya Nabi Ismail. Oleh kerana itulah, hari Wukuf di Arafah juga dikenali sebagai hari Tarwiyah yang bermaksud hari renungan. Dikisahkan, Nabi Ibrahim sentiasa merenung dan mengimbas kembali mimpinya berturut-turut dan akhirnya Baginda faham (Arafa) maksud mimpi dan terus melaksanakan mimpi berkenaan.

Selanjutnya, perhimpunan secara besar-besaran di Padang Arafah menyaksikan suatu jalinan kemas persaudaraan Islam dan juga kesatuan ummah yang utuh agar mereka bersatu teguh dan bersemangat padu dalam meneruskan kesinambungan Islam untuk bertapak di atas bumi Allah ini, bahkan juga meneruskan tradisi kecemerlangan Islam yang telah dirintis oleh generasi Rasulullah dan sahabat-sahabat serta generasi selepasnya.

Tambahan pula, jalinan yang terbina atas paksi ketakwaan ini dengan pakaian ihram yang sama putih, tanpa mengira kedudukan dan pangkat seseorang, umat Islam melupakan segala prejudis perkauman atau kebangsaan, warna kulit, taraf kedudukan, kekeluargaan dan sebagainya.

Semuanya ini adalah untuk menyedarkan umat manusia bahawa mereka semua pada hakikatnya adalah sama rata di sisi Allah dan mereka semuanya pada hakikatnya berasal daripada tanah.

Begitulah antara kelebihan yang terhampar pada sepuluh hari Zulhijjah yang sewajarnya direbut setiap Muslim yang benar-benar bertakwa kepada Allah SWT. Muslim yang beriman akan sentiasa mengintai peluang keemasan yang disediakan Allah SWT pada sepanjang masa dan seterusnya memanfaatkannya demi meraih keredaan-Nya dan kebahagiaan abadi di akhirat kelak. Muslim yang paling bijaksana di sisi Allah SWT ialah seorang Muslim yang sentiasa bermuhasabah diri dan beramal untuk hari kemudian.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Sebarkan pesanan khatib

Posted by epondok di Jun 14, 2022

Datuk Mohd Ajib Ismail

Jumhur ulama menjelaskan bahawa Khutbah Jumaat merupakan syarat sah bagi solat Jumaat. Imam al-Nawawi menegaskan: “Tidak sah solat Jumaat sehingga ia didahului oleh dua khutbah, berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Nabi SAW bahawa Baginda SAW bersabda: “Solatlah kalian sepertimana kalian melihat aku solat.” Tidak boleh didirikan solat Jumaat kecuali didahului dua khutbah, yang mana berdasarkan hadis yang diriwayat daripada Ibn Umar RA, beliau berkata: “Rasulullah SAW sentiasa berkhutbah pada hari Jumaat, Baginda SAW duduk di antara kedua-duanya.” Rasulullah SAW menegah daripada melakukan sebarang perbuatan lain sewaktu khatib menyampaikan khutbah dan dianggap berdosa serta tidak mendapat kelebihan dan ganjaran pahala. Perkara tersebut berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Apabila kamu berkata ‘diam’ kepada sahabat kamu pada hari Jumaat ketika imam membaca khutbah maka sia-sialah Jumaat kamu.” (Riwayat al-Bukhari)

Mengapa Khutbah Jumaat menjadi begitu penting bagi umat Islam? Secara umumnya Khutbah Jumaat mengandungi peringatan dan nasihat keagamaan yang disampaikan setiap minggu meliputi ibadah, akidah, tarbiyah, muamalah, kemasyarakatan dan sebagainya agar jemaah dapat memperteguhkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT. Terdapat dua elemen utama dan saling berkaitan dalam penyampaian khutbah iaitu khatib dan teks khutbah. Kedua-dua elemen ini memainkan peranan besar bagi menghasilkan khutbah yang menarik. Teks khutbah yang baik menjadi tidak menarik apabila disampaikan oleh khatib tanpa menjiwai khutbah tersebut, apatah lagi jika disampaikan tanpa persediaan. Justeru ciri-ciri khutbah yang baik bergantung kepada khatib yang menyampaikan, topik yang dibicarakan, wujud unsur teguran, nasihat atau galakan, gaya penulisan yang menepati kaedah bahasa yang betul, serta wujud unsur tarikan melalui persoalan yang dapat menyentuh hati dan minda pendengar supaya berfikir.

Pelbagai versi penyampaian khutbah dapat dilihat di masjid kariah masing-masing. Sebahagian khatib menyampaikan khutbah dengan cara yang kaku dan baku, sebahagiannya pula begitu bersahaja seperti menyampaikan ceramah biasa, seolah-olah menyapa jemaah dan bercerita dengan pelbagai gaya. Di Wilayah Persekutuan, doa yang diselitkan dalam Khutbah Jumaat agar dijauhkan daripada perbuatan salah guna kuasa dan rasuah, serta kerahmatan bagi mereka yang menunaikan kewajiban berzakat dan berwakaf bagi membantu umat Islam dalam kesulitan adalah antara perkara yang dekat di hati jemaah. Sebahagian khatib berjaya membangkitkan semangat, mendorong niat melakukan perubahan serta mencetuskan perasaan sebak dan keinsafan dalam kalangan jemaah. Begitulah jika Khutbah Jumaat berkesan menyampaikan isu yang benar-benar dekat dengan masyarakat setempat.

Bagi memastikan perhimpunan mingguan umat Islam dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya serta menjadi medium penyampaian ilmu dan maklumat yang berkesan kepada masyarakat, beberapa strategi disusun agar penyampaian khutbah dapat dilaksanakan secara berkesan. Dalam konteks Wilayah Persekutuan, penulis khutbah yang disediakan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) terdiri daripada pakar dan ilmuan daripada pelbagai bidang. Kursus dan latihan juga diberikan kepada khatib dan penulis teks khutbah secara berkala. Teks khutbah disediakan berdasarkan isi dan fakta melalui bengkel penyediaan khutbah serta mengikut beberapa dokumen rujukan seperti Garis Panduan Penulisan Teks Khutbah Jawi dan Manual Panduan Penyediaan Teks Khutbah dan Khutbah  Multimedia. Prosedur penyediaan Teks khutbah Jumaat Jawi menggariskan beberapa  peringkat yang perlu dilalui sebelum sesuatu teks khutbah diterbitkan seperti pemilihan tajuk, bengkel sinopsis khutbah, penulisan oleh panel penulis teks khutbah, menaip dan menjawikan teks khutbah, semakan teks khutbah oleh panel penyemak, pengesahan oleh Bahagian Pengurusan Masjid, kelulusan pejabat Mufti, bacaan pruf dan pengesahan akhir, cetakan dan pembukuan, edaran, sehinggalah bacaan di atas mimbar Jumaat. Arkib serta teks khutbah Jawi setiap minggu juga boleh dimuat turun melalui laman web Jawi.

Bagi memastikan khutbah sentiasa menarik dan terbaik, pendekatan yang digunakan oleh Jawi termasuklah menetapkan agar hanya menggunakan hadis yang sahih sebagai hujah di samping keizinan menggunakan hadis ḍdaif sebagai pendorong mendapatkan kelebihan beramal. Selain itu ketetapan masa dan jumlah halaman teks khutbah turut diambil kira sebagai kawalan agar khutbah tidak terlalu panjang. Khutbah juga ditulis berdasarkan pembahagian teks kepada tiga bahagian utama dengan saranan isi kandungan yang baik untuk dimuatkan di setiap bahagian tersebut. Khatib yang bertugas diberikan kebebasan dalam gaya penyampaian yang lebih fleksibel, namun haruslah berpandukan teks khutbah yang disediakan agar lebih berfokus dan mengutamakan maslahah jemaah.

Bagi golongan yang menepati syarat dan berkewajiban, hadirlah awal ke masjid dengan persediaan untuk mendapatkan ilmu dan mendengar khutbah, bukan sekadar menjadi tempat melepaskan lelah. Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Barangsiapa yang mandi dengan sempurna pada hari Jumaat, pergi awal ke masjid dan tiba awal dan berjalan kaki serta tidak menunggang kenderaan ke masjid, duduk berhampiran imam, mendengar khutbah dan tidak berkata-kata yang sia-sia; maka setiap langkahnya ke masjid akan diberi ganjaran pahala setahun berpuasa dan solat malam.” – (Sunan Tirmizi, Sunan Abi Daud dan Sunan Ibn Majah). Kini Khutbah Jumaat juga boleh diikuti di platform media sosial seperti Facebook selain televisyen dan radio. Justeru peranan dan tanggungjawab jemaah pula ialah menyampaikan mesej khutbah kepada ahli keluarga dan jiran tetangga, sama ada secara bersemuka ataupun melalui perkongsian di media sosial seperti TikTok, Facebook dan Twitter agar dapat diambil manfaat dan diamalkan dalam kehidupan.

Beberapa media arus perdana sesekali kelihatan turut melaporkan isi kandungan khutbah di media. Sebahagian ciapan di Twitter tentang isi kandungan Khutbah Jumaat juga pernah tular dikongsikan oleh jemaah. Sebagai contoh, ketika musim bantuan musibah banjir dahulu, tular ciapan di Twitter tentang Khutbah Jumaat di Masjid Negara yang menitipkan doa buat seorang pemuda yang dikenali sebagai ‘Abang Viva’ kerana usaha dan kegigihannya menghulurkan bantuan dalam misi kemanusiaan, terkesan di hati jemaah. Begitulah peranan yang perlu dimainkan oleh semua pihak jika mahu melihat Khutbah Jumaat benar-benar meninggalkan impak kepada masyarakat. Laksanakanlah kewajiban kita sebagai agen yang menyebar mesej dakwah daripada Khutbah Jumaat sebagaimana sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis riwayat Ibnu Abbas yang bermaksud: “Maka hendaklah yang hadir menyampaikan kepada yang tidak hadir.” (Riwayat Al-Bukhari)

Posted in Artikel Pilihan, Fokus Isu | Leave a Comment »

Hukum orang Islam menyertai perayaan Bon Odori

Posted by epondok di Jun 13, 2022

Mukadimah

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam kepada Nabi Muhammad SAW, utusan akhir zaman. Bayan Linnas kali ini akan mengulas isu yang timbul baru-baru ini berkaitan dengan program Festival Bon Odori yang dikatakan akan diadakan di Kompleks Sukan Negara Shah Alam pada 16 Julai 2022.[1] Isu ini telah mendapat liputan meluas sehingga mendapat perhatian pelbagai pihak yang berpandangan supaya umat Islam di negara ini tidak menyertai Festival Bon Odori kerana dikatakan mempunyai unsur-unsur keagamaan lain.[2] Selain itu ada pihak yang berpandangan bahawa perayaan ini hanyalah program kebudayaan dan harus bagi umat Islam untuk hadir dan bersama-sama merayakannya.

Pengenalan ringkas tentang Bon Odori

Obon atau Bon Odori adalah merupakan suatu perayaan orang Jepun yang beragama Buddha, sebagai simbolik merayakan kedatangan roh nenek moyang yang telah mati. Perayaan ini telah disambut di Jepun selama lebih daripada 500 tahun.[3] Menurut kepercayaan mereka, roh nenek moyang akan datang ke dunia bagi menziarahi saudara mara mereka pada setiap tahun sewaktu perayaan Obon berlangsung.[4] Perayaan ini biasanya berlangsung selama 4 hari, iaitu pada hari ke 13 hingga ke 16 pada setiap bulan Ogos, tetapi ia berbeza mengikut tempat-tempat tertentu di Jepun.[5] Perbezaan ini berlaku kerana wujudnya perbezaan kalendar dalam menentukan bulan yang ketujuh. Berdasarkan kalendar solar, bulan yang ketujuh ialah bulan Julai. Manakala berdasarkan kalendar lunar, bulan yang ketujuh adalah bulan Ogos.[6]

Masyarakat Shinto mempercayai perayaan ini dimaksudkan untuk menyambut para leluhur yang datang dan menghibur serta menenangkan roh-roh yang datang kembali ke rumah mereka. Semasa perayaan ini, ahli keluarga akan berkumpul di rumah untuk meraikan roh-roh nenek moyang yang dikatakan kembali ke dunia ini bagi menziarahi saudara mara. Mereka juga biasanya melawat dan membersihkan kubur sambil berdoa. Sebuah Shoryodana (altar)[7], dibina dengan diisi buah-buahan, kemenyan, dan bunga untuk menyambut nenek moyang. Api juga dinyalakan untuk memandu nenek moyang untuk pulang ke rumah dan pada hari terakhir perayaan, tanglung kertas (coachin paper lantern) digantung bagi membantu nenek moyang pulang ke kubur masing-masing. Ada juga yang menggunakan tanglung terapung (floating lanterns) dan dilepaskan ke laut untuk membantu nenek moyang kembali ke alam mereka.[8]

Advertisementhttps://cdn.bannersnack.com/banners/bxk8yhzgs/embed/index.html?t=1654994897&userId=43386868&responsive=true

Selari dengan peredaran masa, perayaan Bon Odori disambut hanya sebagai tradisi dan kebudayaan Buddha-Confucius dengan aktiviti perkumpulan keluarga pada musim cuti, namun di sesetengah daerah pedalaman sambutan ini masih dianggap sebagai sebahagian daripada ritual keagamaan.[9]

Hukum orang Islam menyertai perayaan Bon Odori

Pada asasnya umat Islam adalah ditegah untuk menyertai apa-apa perayaan agama lain. Para ulama telah bersepakat bahawa hukum menyertai perayaan agama lain, sama ada dengan ucapan atau tindakan pada pakaian, makanan atau minuman yang dikhususkan pada hari perayaan tersebut adalah haram jika bertujuan untuk mengagungkan hari perayaan mereka, bahkan majoriti ulama berpendapat bahawa seorang muslim yang mengagungkan syiar-syiar agama lain boleh jatuh ke lembah kekufuran. Manakala individu muslim yang tidak berniat untuk mengagungkannya adalah berdosa, namun tidak sampai ke tahap kufur.[10] 

Dalam surah al-Furqan, Allah SWT memuji golongan yang tidak menghadiri hari perayaan orang-orang musyrik. Firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ لَا يَشْهَدُونَ الزُّورَ وَإِذَا مَرُّوا بِاللَّغْوِ مَرُّوا كِرَامًا

Maksudnya: “Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang tidak menghadiri tempat-tempat melakukan perkara-perkara yang dilarang, dan apabila mereka bertembung dengan sesuatu yang sia-sia, mereka melaluinya dengan cara membersihkan diri daripadanya”. (Al-Furqan: 72)

Sebahagian ulama salaf seperti Abu al-‘Aliah, Tawus, Muhammad bin Sirin, al-Dahhak, al-Rabi’ bin Anas dan lain-lain menafsirkan kalimah al-zur dalam ayat di atas sebagai hari-hari perayaan orang musyrik.[11] Oleh yang demikian, dapat difahami daripada ayat ini bahawa Allah SWT memuji individu-individu yang tidak menghadiri perayaan orang-orang musyrik.

Dalam surah al-Maidah, Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا الْيَهُودَ وَالنَّصَارَىٰ أَوْلِيَاءَ ۘ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ وَمَن يَتَوَلَّهُم مِّنكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat, kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim. (Al-Maidah: 51)

Menurut para ulama, apa yang dimaksudkan teman rapat disini adalah menyerupai (tashabbuh) mereka dan membesarkan hari-hari perayaan mereka.[12]

Menurut seorang ulama mazhab Shafi’i, Hibatullah bin al-Hasan al-Lalaka’i:

وَلَا يَجُوزُ لِلْمُسْلِمِينَ أَن يَحْضُرُوا أَعْيَادَهُمْ لِأَنَّهُمْ عَلَى مُنْكَرٍ وَزُورٍ, وَإِذَا خَالَطَ أَهْلُ الْمَعْرُوفِ أَهْلَ المًنْكَرِ بِغَيْرِ الْإِنْكَارِ عَلَيْهِمْ كَانُوا كَالرَّاضِينَ بِهِ وَالْمُؤَثِّرِينَ لَهُ، فَنَخْشَى مِنْ نُزُولِ سَخَطِ اللهِ عَلَى جمَاَعَتِهِم فَيَعُمَّ الْجَمِيعَ، نَعُوذُ بِاللهِ مِن سَخَطِهِ

Maksudnya: “Umat Islam tidak dibenarkan untuk menghadiri perayaan-perayaan mereka (golongan bukan Islam) kerana mereka berada dalam kemungkaran dan kebatilan. Apabila golongan yang baik bercampur dengan golongan mungkar (dengan) tanpa mengingkari mereka, maka mereka seperti redha dan terpengaruh dengan ahli mungkar tersebut. Kami bimbang kemurkaan Allah turun ke atas ke atas kelompok mereka, lalu terkena pada semua. Kami memohon kepada Allah daripada kemurkaan-Nya”.[13]

Al-Imam al-Damiri pula menjelaskan tentang hukuman yang selayaknya menurut syarak bagi mana-mana individu Muslim yang menyertai perayaan bukan Islam, kata beliau:

يُعَزِّرُ مَن وَافَقَ الكُفَارَ فِي أَعْيَادِهِم

Maksudnya: Dihukum ta’zir bagi sesiapa yang mengikuti orang-orang kafir dalam perayaan-perayaan mereka.[14]

Selain itu, menurut Abu Hafs al-Kabir, ulama mazhab Hanafi,

لَوْ أَنَّ رَجُلًا عَبَدَ اللَّهَ تَعَالَى خَمْسِينَ سَنَةً ثُمَّ جَاءَ يَوْمُ النَّيْرُوزِ وَأَهْدَى إلَى بَعْضِ الْمُشْرِكِينَ بَيْضَةً يُرِيدُ تَعْظِيمَ ذَلِكَ الْيَوْمِ فَقَدْ كَفَرَ وَحَبَطَ عَمَلُهُ

Maksudnya: Jika seorang lelaki menyembah Allah selama 50 tahun lamanya, kemudian tibanya Hari Nairuz dan dia menghadiahkan sebiji telur kepada sebahagian golongan musyrikin dengan tujuan mengagungkan hari tersebut, maka telah jatuh kafir dan terhapus amalannya.[15]

Ibn al-Haj al-Maliki juga secara ringkasnya turut berpendapat bahawa orang Islam ditegah melakukan apa yang orang bukan Islam lakukan di hari perayaan mereka.[16] Selain itu, Abu al-Qasim berpandangan bahawa tidak harus bagi orang Islam menghadiri perayaan orang bukan Islam kerana ia merupakan suatu kemungkaran.[17]

Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) Kali Ke-68 yang bersidang pada 12 April 2005 telah membincangkan Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam telah memutuskan:

1) Beberapa ketetapan kriteria perayaan orang bukan Islam yang boleh dihadiri oleh orang Islam adalah sebagaimana berikut:

2) Majlis tersebut tidak disertakan dengan upacara-upacara yang bertentangan dengan akidah Islam.

3) Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang bertentangan dengan syarak.

Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang boleh “menyentuh sensitiviti masyarakat Islam”.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pula dalam penjelasan berhubung hukum umat Islam menyambut Tahun Baru Cina sebelum ini turut menggariskan beberapa kriteria sepertimana yang telah diputuskan oleh Muzakarah MKI, dengan tambahan seperti berikut:

1. Majlis tersebut tidak disertakan dengan “perbuatan yang bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam” di negara ini. Maksud “bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan bertentangan dengan nilai dan norma kehidupan masyarakat Islam Negara ini yang berpegang kepada ajaran Islam berdasarkan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

2. Pihak penganjur dan orang ramai diminta mendapatkan pandangan pihak berkuasa agama sebelum menganjur atau menghadiri majlis perayaan orang yang bukan beragama Islam.[19]

Berasaskan huraian ini, umat Islam dinasihatkan agar tidak melibatkan diri dalam apa-apa perayaan golongan bukan Islam apatah lagi mengikuti ritual-ritual mereka yang bercanggah dengan prinsip Islam serta mengagungkan syiar agama mereka agar tidak membawa fitnah kepada agama Islam.

Mengenai perayaan Bon Odori, walaupun dikatakan ia telah berevolusi sebagai hanya semata-mata perayaan yang bersifat kebudayaan dengan aktiviti sosial kekeluargaan, namun umat Islam wajib mematuhi hukum-hakam syarak dalam menghadiri sesuatu majlis atau tempat perayaan. Sekiranya dalam majlis berkenaan ada unsur-unsur yang bertentangan dengan syarak seperti pergaulan bebas, mendedahkan aurat, meminum arak dan sebagainya, maka wajib bagi umat Islam menghindarkan diri dari terlibat dalam aktiviti berkenaan.

Walau bagaimanapun adalah dicadangkan satu kajian lebih lanjut dilaksanakan untuk memastikan kedudukan sebenar perayaan ini dalam realiti pelaksanaannya pada hari ini sama ada ia masih mempunyai hubungan dengan kepercayaan yang bersifat keagamaan atau semata-mata kebudayaan yag telah terputus dari kepercayaannya yang asal. Ini bagi memastikan sikap dan pendirian orang Islam terhadap Bon Odori adalah benar-benar menepati hukum syarak.

Berkaitan dengan isu ini, jika sekiranya ia semata-mata budaya, boleh merujuk kepada penjelasan kami terhadap isu-isu Orang Islam Menggantung Tanglung yang boleh dirujuk di link berikut:

https://muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/5111-al-kafi-1854-hukum-orang-islam-menggantung-tanglung-tahun-baru-cina

[1] Bon Odori, The Japan Club of Kuala Lumpur, https://www.jckl.org.my/en/events/bon_odori, diakses pada 7 Jun 2022.

[2]Jangan hadir Festival Bon Odori, Berita Harian Online, https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/06/849418/umat-islam-dinasihatkan-tidak-sertai-festival-bon-odori, diakses pada 7 Jun 2022.

[3] Bon-Odori (Bon Festival Dance), in hamamatsu.com, https://www.inhamamatsu.com/culture/bon-odori.php, diakses pada 7 Jun 2022.

[4] Japan-guide.com, Obon, https://www.japan-guide.com/e/e2286.html, diakses pada 8 Jun 2022.

[5] Bon-Odori (Bon Festival Dance), in hamamatsu.com, https://www.inhamamatsu.com/culture/bon-odori.php, diakses pada 7 Jun 2022.

[6] Japan RailPasss, guide to the Obon Festival 2021 in Japan, https://www.jrailpass.com/blog/obon-festival-in-japan, diakses pada 7 Jun 2022.

[7] Sejenis tempat sembahan untuk upacara pemujaan dan perjamuan suci.

[8] Bon Festival, New World Encyclopedia, https://www.newworldencyclopedia.org/entry/Bon_Festival, diakses pada 8 Jun 2022.

[9] Geradia Teresya, Bon Odori, (Universitas Sumatera Utara, Medan: 2016), 4.

[10] Ali Wanis, alIhtifal bi A’yad al-Kuffar, hlm, 4

[11] Ibnu Kathir, Ismail bin Umar, Tafsir al-Quran al-‘Azim, (Dar Taiyyibah li al-Nasr wa al-Tauzi’, 1999), 6:130

[12] Al-Zahabi, Tashbih al-Khasis bi Ahl al-Khamis fi Raddi al-Tashabbuh bi al-Mushrikin, (Jordan, Dar Amman, 1988), 34

[13] Ibn al-Qayyim, Muhammad bin Abi Bakr, Ahkam Ahl al-Zimmah, (al-Damam: Ramadi li al-Nashr, 1997), 3:1245

[14] Al-Damiri, Muhammad bin Musa bin  Isa, al-Najm al-Wahhaj fi Syarh al-Minhaj (Dar Minhaj: 2004), 9:244.

[15] Zainuddin bin Ibrahim bin Muhammad, Al-Bahr al-Ra’iq Syarh Kanz al-Daqa’iq (Dar al-Kitab al-Islami: tt), 8/555.

[16] Abu Abdullah Muhammad bin Muhammad al-Abdari, al-Madkhal (Kaherah: Maktabah Dar al-Turath, tt), 2/46-48.

[17] Ibn Qayyim Al-Jauziyyah, Ahkam Ahl al-Zimmah (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiah), 1/162.

[18] Mohd Rus, Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam Menurut Perspektif Islam, hlm, 90-92

[19] Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Bayan Linnas Siri ke 48, Islam dan Tahun Baru Cina, https://muftiwp.gov.my/en/perkhidmatan/artikel-soal-jawab/1829-bayan-linnas-siri-48-hukum-menyambut-tahun-baru-cina, diakses pada 10 Jun 2022

Posted in Fokus Isu, Klinik Agama | Leave a Comment »

Kewajipan mempertahankan Rasulullah SAW

Posted by epondok di Jun 12, 2022

MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan, hidup kita sentiasa dipayungi rahmat Allah SWT di dunia dan di akhirat.

Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah bertajuk: “Kewajipan Mempertahankan Rasulullah SAW”.

Pengutusan Rasulullah SAW ke seluruh alam adalah khabar gembira dan menjadi bukti rahmat Allah SWT terutama kepada manusia. Kehidupan mereka yang dahulunya berada dalam kegelapan jahiliah berubah kepada cahaya hidayah sehingga dapat dirasai oleh kita sehingga hari ini. Sesungguhnya mengikuti dan menuruti ajaran yang telah dibawa oleh Rasulullah SAW merupakan lambang kecintaan seseorang hamba kepada Allah SWT dan Baginda SAW. Firman Allah SWT dalam surah Ali ‘Imran, ayat 31 dan 32 yang dibacakan tadi, bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Katakanlah (wahai Muhammad): Taatlah kamu kepada Allah dan rasulNya. Oleh itu, jika kamu berpaling (menderhaka), maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir.”

Advertisementhttps://cdn.bannersnack.com/banners/bxk8yhzgs/embed/index.html?t=1654994897&userId=43386868&responsive=true

Demikianlah rahmat dalam pengutusan Baginda SAW sebagai penutup para nabi dan rasul. Apa jua yang datang dari sisi Baginda SAW sama ada dari sudut akidah, syariat dan akhlak adalah berasaskan bimbingan wahyu ilahi yang wajib kita patuhi dan teladani. Firman Allah SWT menerusi surah al-Hadid, ayat 28 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan tetaplah beriman kepada RasulNya (Muhammad), supaya Allah memberi kepada kamu dua bahagian dari rahmatNya, dan menjadikan bagi kamu cahaya untuk kamu berjalan dengannya (pada hari kiamat kelak), serta diampunkannya dosa kamu, dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”

Dalam menempuhi kehidupan di zaman yang penuh cabaran dan pancaroba ini, marilah kita berazam untuk terus mengikuti setiap ajaran Rasulullah SAW sebagai bukti betapa tingginya kecintaan kita kepada Baginda SAW. Laksanakanlah tuntutan syariat dengan mematuhi setiap hukum hakam agama supaya kita dapat melakukan ibadah wajib mahu pun sunat dengan sempurna. Jadilah seorang muslim yang berakhlak mulia dengan mencontohi akhlak Rasulullah SAW di samping memelihara perhubungan baik sesama manusia.

Di samping itu, marilah kita mengikuti segala sunnah Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian supaya kita dapat menguatkan lagi kecintaan dan kasih kepadanya. Didiklah isteri dan anak-anak supaya mencintai Rasulullah SAW sepenuh hati dan mengamalkan cara hidup sebagai muslim. Bukankah mengasihi Baginda SAW melebihi segala-galanya adalah tanda keimanan yang sempurna? Renungkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, daripada Anas bin Malik Radhiyallahu ‘anhu, bahawa Nabi SAW telah bersabda yang bermaksud: “Tidak (sempurna) iman salah seorang daripada kamu sehinggalah aku lebih dikasihinya berbanding bapanya, anaknya dan orang- orang lain keseluruhannya.”

Sesungguhnya kita sangat mengasihi dan menyayangi Rasulullah SAW. Bukti betapa kuatnya kasih kita kepada Baginda SAW ialah dengan mengamalkan secara bersungguh-sungguh syariat Islam dan mengikuti sunnah Rasulullah SAW dalam menjalani kehidupan. Pastinya, apa jua bentuk penghinaan yang ditujukan kepada Baginda SAW akan menimbulkan kemarahan yang tinggi oleh setiap umat Islam. Justeru, kita wajib mempertahankan Rasulullah SAW.

Dalam isu ini, kita mengutuk sekeras-kerasnya penghinaan yang telah dilakukan dan meminta individu yang terlibat untuk menarik balik kenyataan serta menyatakan permohonan maaf kepada umat Islam atas insiden tersebut. Di samping itu, umat Islam di Malaysia diminta untuk kekal bertenang dan bertindak balas secara intelektual menerusi perbincangan dan wacana bagi mengelak ketegangan agama semakin memuncak. Janganlah bertindak balas dengan melakukan penghinaan kepada penyembahan agama lain. Islam tidak membenarkan kita menghina penganut agama lain dan kita harapkan supaya agama lain juga jangan menghina Islam.

Contohilah Rasulullah SAW yang tidak pernah mencerca, mengutuk, menghina dan melaknat golongan yang bukan Islam dalam dakwah Baginda SAW. Imam Muslim telah meriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu, beliau menceritakan yang berbermaksud: “Rasulullah SAW diminta: Wahai Rasulullah, doakan kebinasaan ke atas kaum musyrikin. Lantas Baginda SAW menjawab: Sesungguhnya aku diutus bukan sebagai pelaknat, tetapi sebagai pembawa rahmat.”

Mengakhiri khutbah, hayati beberapa kesimpulan sebagai renungan kita bersama:

Pertama: Ikutilah ajaran yang telah dibawa oleh Rasulullah SAW sebagai lambang kecintaan kita kepada Allah SWT dan Baginda SAW.

Kedua: Ikuti segala sunnah Rasullah SAW dalam kehidupan seharian, didiklah isteri dan anak-anak supaya mencintai Rasulullah SAW sepenuh hati dan mengamalkan cara hidup sebagai muslim.

Ketiga: Janganlah melakukan penghinaan kepada penyembahan agama lain. Contohilah Rasulullah SAW yang tidak pernah mencerca, mengutuk, menghina dan melaknat golongan yang bukan Islam dalam dakwah Baginda.

Marilah sama-sama kita hayati firman Allah SWT dalam surah al-Anbiya’, ayat 107 yang bermaksud: “Dan tiadalah kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.

Posted in Artikel Pilihan, Fokus Isu | Leave a Comment »

Tindakan tegas terhadap penghina nabi Muhammad s.a.w

Posted by epondok di Jun 10, 2022

Kewajipan Mempertahankan Rasulullah SAW

Sejarah penghinaan dengan pelbagai cara sentiasa berlanjutan terhadap Baginda SAW. Ini bermula sejak zaman Baginda SAW mula menyebarkan dakwah Islam lagi. Cukuplah ibrah dan sabab nuzul dalam Surah al-Lahab dan Surah al-Kautsar menjadi bukti secara jelas bahawa yang melindungi Rasulullah SAW ialah Allah SWT sendiri.

Mutakhir ini siri serangan kepada Rasulullah SAW mula berkembang melalui medium baru dan sudah pasti tidak menyenangkan hati umat Islam.

Penghinaan kepada batang tubuh Nabi SAW bermakna melanggar lampu merah dan tidak dibolehkan sama sekali. Bahkan ada antara ulama yang berpendapat jika penghinaan itu berkaitan batang tubuh Nabi SAW, seseorang itu boleh terus diambil tindakan tanpa perlu dibawa ke mahkamah.

Justeru, umat Islam sewajarnya bersatu, bangkit mempertahankan Rasulullah SAW dengan menghantar surat bantahan atau apa juga yang difikirkan sesuai oleh ulama dan pemerintah dengan senada.

Dalil Pengharaman Perbuatan Menghina dan Mencerca Nabi SAW

Terdapat banyak dalil pengharaman perbutan menghina dan mencerca Rasulullah SAW. Kami membahagikan dalil-dalilnya kepada dua:

  • Al-Quran
  • Hadis-hadis

 

Dalil al-Quran:

Firman Allah SWT:

وَمِنْهُمُ الَّذِينَ يُؤْذُونَ النَّبِيَّ وَيَقُولُونَ هُوَ أُذُنٌ ۚ قُلْ أُذُنُ خَيْرٍ لَّكُمْ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَيُؤْمِنُ لِلْمُؤْمِنِينَ وَرَحْمَةٌ لِّلَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ ۚ وَالَّذِينَ يُؤْذُونَ رَسُولَ اللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

MaksudnyaDan di antara mereka (yang munafik itu) ada orang-orang yang menyakiti Nabi sambil mereka berkata: “Bahawa dia (Nabi Muhammad) orang yang suka mendengar (dan percaya pada apa yang didengarnya)”. Katakanlah: “Dia mendengar (dan percaya) apa yang baik bagi kamu, ia beriman kepada Allah dan percaya kepada orang mukmin, dan ia pula menjadi rahmat bagi orang-orang yang beriman di antara kamu”. Dan orang-orang yang menyakiti Rasulullah itu, bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

(Surah al-Taubah, 9:61)

Imam Abu Ja’far al-Tabari berkata: “Bagi orang-orang munafik yang memalukan Rasulullah SAW yang dengan perkataan mereka: “Bahawa dia (Nabi Muhammad) orang yang suka mendengar (dan percaya pada apa yang didengarnya)”, dan perumpamaan-perumpamaan mereka untuk mendustai Baginda, dan mereka yang berkata dengan mulut yang celupar dan batil, bagi mereka ini azab yang memedihkan daripada Allah di dalam neraka Jahanam.”

Syeikh al-Maraghi berkata dalam tafsirnya: “Menyakiti Rasulullah SAW selepas kewafatannya, sama seperti menyakitinya semasa hayatnya. Keimanan kepada Baginda akan menghalang orang mukmin daripada melakukan perbuatan yang akan menyakiti Baginda. Ini adalah dosa dan kederhakaan yang paling besar.”

Firman Allah SWT:

إِنَّ الَّذِينَ يُؤْذُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ لَعَنَهُمُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَأَعَدَّ لَهُمْ عَذَابًا مُّهِينًا

MaksudnyaSesungguhnya orang-orang yang melakukan perkara yang tidak diredai Allah dan RasulNya, Allah melaknatkan mereka di dunia dan di akhirat, dan menyediakan untuk mereka azab seksa yang menghina.

(Surah al-Ahzab, 33:57)

Imam Ibn Katsir menyebut dalam tafsir: “Allah menjauhkan mereka daripada Rahmat-Nya di dunia dan di akhirat dan menjanjikan mereka di akhirat nanti azab yang menghinakan dan kekal di dalam azab itu selama-lamanya.”

Syeikh al-Maraghi: “Terdapat sesetengah manusia menyakiti Rasul-Nya seperti orang yang mengatakan Rasulullah SAW itu seorang penyair, ahli nujum, orang gila, dan banyak lagi kata-kata yang menyakitkan Baginda. Sesiapa yang menyakiti Rasul bererti dia menyakiti Allah SWT; dan sesiapa yang mentaati Rasul bererti dia mentaati Allah SWT. Allah SWT menjauhkan mereka daripada rahmat dan nikmat-Nya ketika di dunia lagi. Maksudnya, Allah SWT menjadikan mereka terus berada dalam kesesatan dan menjadikan mereka gembira melakukan kesesatannya itu. Kesesatan ini bakal menyeret mereka ke dalam neraka, sebagai tempat yang amat buruk; kemudian mereka akan dilaknat ketika ketika di akhirat nanti dengan memasukkan mereka ke dalam neraka yang membakar tubuhnya.”

 

Dalil al-Hadis:

Daripada Ibn Abbas RA, dia menceritakan:

أنَّ أَعْمَى كَانَتْ لَهُ أمُّ وَلَدٍ تَشْتُمُ النبيَّ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ وَتَقَعُ فِيهِ فَيَنْهَاهَا فَلَا تَنْتَهِي وَيَزْجُرُهَا فَلَا تَنْزَجِرُ قَالَ فَلَمَّا كَانَتْ ذَاتَ لَيْلَةٍ جَعَلَت تَقَعُ في النَّبيِّ صَلَّى اللّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَتَشْتُمُهُ فَأَخَذَ المِغْولَ سَيْفٌ قَصِيرٌ فَوَضَعَهُ فِي بَطْنِهَا وَاتَّكَأ عَلَيْهَا فَقَتَلَهَا فَوَقَعَ بَيْنَ رِجْلَيْهَا طِفْلٌ فَلَطَّخَتْ مَا هُنَاكَ بِالدَّمِ فَلَمَّا أَصْبَحَ ذُكِرَ ذَلِكَ لِرَسُولِ اللّهِ صَلَّى اللّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَجَمَعَ النَّاسَ فَقَالَ أَنْشُدُ اللّهَ رَجُلًا فَعَل مَا فَعَل لِي عَلَيْه حَقٌّ إِلَّا قَامَ فَقَامَ الأَعْمَى يَتَخَطَّى رقَابَ النَّاسِ وَهُوَ يَتَزَلْزلُ حَتَّى قَعَدَ بَيْنَ يَدَي النبيِّ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ فَقَالَ يَا رَسُوْلَ اللّهِ أَنَا صَاحِبُهَا كَانَتْ تَشْتُمُكَ وَتَقَع فِيْكَ فَأَنْهَاهَا فَلَا تَنْتَهِي وَأَزجرُهَا فَلَا تَنْزَجِرُ وَلي مِنْهَا ابْنَان مثلُ الُّلؤْلُؤَتَينِ وَكَانَت بِي رَفِيْقَة فَلَمَّا كَانَتْ الْبَارِحَةُ جَعَلَت تَشْتُمُكَ وَتَقَعُ فِيْكَ فَأَخَذْتُ المِغْولَ فَوَضَعْتُهُ فِي بَطْنِهَا وَاتَّكأْتُ عَلَيْهَا حَتَّى قَتَلْتُهَا فَقَالَ النبيُّ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ ألا اشهَدوا أنَّ دمَها هَدَرٌ

Maksudnya: “Seorang lelaki buta mempunyai Ummu Walad yang menghina Nabi SAW dan ia benar-benar telah melakukannya (penghinaan). Lelaki tersebut telah melarang dan mengancamnya namun ia tidak berhenti dan lelaki tersebut terus melarangnya namun wanita tersebut tidak mengendahkan larangan tersebut. Ibn Abbas meneruskan lagi: Pada suatu malam, wanita itu kembali mencela Nabi SAW, maka lelaki tersebut mengambil sebilah pisau yang tajam dan meletakkanya di perut wanita tersebut lantas menikamnya. Lelaki tersebut telah membunuhnya sementara antara dua kaki wanita tersebut lahir seorang bayi dalam keadaan wanita tersebut berlumuran darah. Apabila tiba waktu pagi, kejadian tersebut diceritakan kepada Nabi SAW, lalu baginda SAW mengumpul orang ramai dan bersabda: “Aku bersumpah kepada Allah SWT atas seorang lelaki, dia telah melakukan sesuatu perbuatan kerana aku dan dia adalah benar (perbuatannya)”. Kemudian lelaki buta itu melangkah di antara manusia hingga dia duduk di hadapan Rasulullah SAW. Dia berkata: “Wahai Rasulullah, aku adalah suaminya akan tetapi dia (wanita) telah mencela dan menghinamu. Aku telah melarangnya dan mengancamnya tetapi dia tetap tidak berhenti atau mengendahkannya. Daripadanya aku telah dikurniakan dua orang anak yang merupakan permata, isteriku sangat sayang kepadaku. Namun, semalam dia telah mencelamu dan menghinamu, lalu aku mengambil pisau dan aku letakkan di perutnya lantas aku menikamnya sehingga meninggal. Nabi SAW bersabda : “Ketahuilah bahawa darah wanita adalah sia-sia (halal).”

Riwayat Abu Daud (4361), Kitab al-Hudud, Bab Hukum Orang Yang Mencela Rasulullah SAW. Hadis ini adalah Sahih dan perawi-perawinya adalah tsiqah.

 

Terdapat sebuah atsar daripada Abd al-Hamid bin Abd al-Rahman bin Zaid bin al-Khattab, sesungguhnya beliau berada di Kufah mewakili Umar bin Abdul Aziz. Maka beliau telah menulis kepada Umar bin Abdul Aziz: “Aku mendapati seorang lelaki telah mencelamu di Kufah dan telah terbukti bahawa dia benar-benar telah mencelamu, maka aku ingin membunuhnya atau memotong kedua tangannya atau memotong lidahnya atau menyebatnya, akan tetapi aku terfikir untuk merujuk kepadamu terlebih dahulu berkenaan perkara ini.” Maka Umar bin Abdul Aziz menulis kembali kepada beliau: “Salam sejahtera ke atasmu, Demi Allah yang diriku berada di tangan-Nya, jika engkau membunuhnya maka aku akan membunuhmu disebabkan olehnya, jika engkau memotongnya maka aku akan memotongmu disebabkan olehnya, jika engkau menyebatnya maka aku akan menariknya daripada engkau. Apabila engkau menerima perutusanku ini maka keluarlah engkau dengannya ke al-Kunasah (tempat pembuangan sampah) mak engkau celalah dia sebagaimana dia mencelaku atau engkau memaafkannya kerana itu lebih aku suka. Ini kerana, tidak halal membunuh seorang muslim yang mencela salah seorang daripada manusia melainkan seseorang  itu mencela Rasulullah SAW.”

Lihat al-Muhalla  (14/434)

 

Hukum Menghina Rasulullah SAW

Tidak syak lagi bahawa orang yang menghina Nabi SAW wajib dibunuh, seperti yang difatwakan oleh para ulama sejak sekian lama. Antaranya:

  • Ada pendapat yang mengatakan wajib dibunuh tanpa perlu diberi peluang untuk bertaubat. Inilah pendapat Ibn al-Qasim.
  • Al-Auza`ie dan Imam Malik berpendapat bahawa pesalah itu dianggap murtad dan perlu diberikan peluang untuk bertaubat. Lihat Tabsirah al-Hukkaam (2/212) oleh Syeikh Ibn Farhun.
  • Begitu juga haram dan dihukum kufur sesiapa yang menghina mana-mana Nabi atau menjtuhkan darjat dan martabat seperti menuduh kejelikan pada tubuh badannya sebagai pincang, limpuh atau kurang ilmunya serta jahil. Lihat al-Fiqh `ala Madzahib al-Arba`ah (5/372) oleh Syeikh Abdurrahman al-Jaziri.
  • Imam Ibn Mundzir telah menukilkan bahawa secara sepakat ulama barangsiapa yang mencela Nabi Muhammad SAW secara nyata maka wajib dibunuh.
  • Abu Bakar al-Farisi yang merupakan salah seorang ulama bermazhab al-Syafie berkata: “Barangsiapa yang menghina Nabi SAW seperti menuduh beliau secara nyata maka dia dihukum kafir dengan sepakat ulama, sekalipun dia bertaubat tetap tidak akan gugur hukuman bunuh yang telah ditetapkan ke atasnya.” Lihat kitab Fath al-Baari (12/348)oleh Imam Ibn Hajar al-Asqalani.
  • Imam Ahmad bin Hanbal berkata: “Aku mendengar Abu Abdillah berkata: “Barangsiapa yang mencerca Nabi SAW atau menjatuhkan maruah Baginda, sama ada orang Islam atau bukan Islam, maka mereka hendaklah dibunuh. Aku berpendapat bahawa dia perlu dibunuh tanpa perlu disuruh untuk bertaubat.” Lihat al-Sarim al-Maslul `ala Syatim al-Rasul (1/9).
  • Syeikh Taqiuddin al-Subky dalam al-Saif al-Maslul menyebut: “Siapa yang mencerca Nabi SAW tidak perlu diminta bertaubat dan boleh dibunuh terus.”
  • Al-Qadhi Abu Ya`la pula berkata: “Barangsiapa yang mencerca Allah (SWT) dan Rasulullah SAW dia sesungguhnya telah kufur sama ada dia menghalalkan (perbuatan itu) atau dia tidak menghalalkan.”
  • Al-Khattabi berkata: “Aku tidak tahu mana-mana ulama Islam yang khilaf mengenai wajibnya membunuh orang yang mencerca Nabi SAW.”

Berdasarkan kenyataan di atas, jelas menunjukkan betapa beratnya hukuman dan balasan kepada mereka yang menghina, mencaci dan menjatuhkan maruah Rasulullah SAW termasuk Nabi-Nabi yang lain. Oleh itu, amat perlu kita berhati-hati daripada mengeluarkan apa-apa kenyataan dan pendapat yang menunjukkan betapa hinanya Rasulullah SAW kerana itu boleh membawa kepada kekufuran dan kemurkaan Allah SWT.

 

Ibrah Pengajaran

  • Kisah Pertama: Si Murtad yang Dihina Kematiannya

Pada zaman Nabi SAW seorang sahabat yang juga penulis wahyu telah murtad dengan tawaran lumayan dunia yang diperolehi. Lebih teruk daripada itu beliau memperlekehkan Rasulullah SAW dengan pelbagai perkataan yang menyakitkan hati Baginda SAW sehingga Rasulullah SAW berdoa: “Ya Allah! Cukupkanlahnya daripadaku.”

Selepas beberapapa ketika lelaki tersebut pun mati dan dikebumikan oleh rakan-rakannya yang kafir di kota Mekah. Keesokan harinya mayat tersebut berada di atas kubur lalu mereka berkata: “Ini perbuatan Muhammad yang melampau.” Kemudian digali makin dalam seterusnya masih lagi timbul mayat tersebut beberapa kali. Akhirnya mereka hanya membiarkannya. Selepas itu datang burung dan binatang buas mencakar dan menghina mayat tersebut. Dikatakan seekor anjing dari jauh berlari menuju ke mayat tersebut akhirnya kencing dan membuang najis di atas muka mayat itu. Inilah balasan kepada penghina Rasulullah SAW

Semoga makhluk penghina dan konco-konconya ini dijatuhkan hukuman azab yang pedih oleh Allah SWT. Allahu Akbar wa liLlahilhamd!

Ya Rasulullah! Kami umatmu, Kami menyintaimu, selawat dan salam ke atasmu Wahai Kekasih Allah SWT.

  • Kisah Kedua: Mimpi Sultan Yang Adil, Mahmud Zinki

Pernah terjadi satu peristiwa apabila Tanah Haram di Madinah hendak dicerobohi oleh dua orang Kristian yang ingin mencuri jasad Rasulullah SAW di dalam kubur. Mereka tahu jasad Rasulullah tidak hancur dan tidak dimakan tanah. Sesungguhnya orang Yahudi dan Kristian tahu akan hal ini.Peristiwa ini berlaku pada zaman pemerintahan Sultan Nuruddin Mahmud al-Zinki, bapa saudara kepada Sultan Salahuddin al-Ayubi. Pada zaman itu, orang Islam lemah dan pada zaman itu juga orang Kristian berani untuk cuba mencuri jasad Rasulullah SAW. Allah mengurniakan kepada Sultan Mahmud al-Zinki tiga kali mimpi berjumpa Rasulullah SAW, dan Rasulullah SAW berkata kepadanya:

يَا مَحْمُوْد، أَنْقِذْنِي مِنْ هَذَيْن الشَّخْصَيْن

“Wahai Mahmud! Selamatkanlah aku daripada dua orang ini (kerana mahu melakukan kejahatan kepadaku).”

Sultan Nuruddin Mahmud al-Zinki seorang yang alim, tinggi ilmu agama dan banyak membaca tafsiran hadis-hadis Rasulullah SAW serta mengetahui ada hadis yang berbunyi:

مَنْ رَآنِي في المنَامِ فَسَيَرَانِي في اليَقَظَةِ، وَلا يَتَمَثَّلُ الشَّيْطَانُ بي

Sesiapa yang bermimpi bertemu aku di dalam tidur, maka dia betul-betul berjumpaku (di dalam mimpi). Sesungguhnya syaitan tidak boleh menyerupaiku.”

Riwayat al-Bukhari (6993)

Tsabit dalam hadis di atas, sesiapa yang bermimpi berjumpa Rasulullah SAW maka itulah Rasulullah SAW kerana syaitan tidak boleh merupakan dirinya seperti Rasulullah SAW. Sultan Mahmud Zinki terus bersolat tahajjud kerana tidak faham akan maksud mimpinya, kemudian dia memanggil menterinya yang soleh (ada riwayat mengatakan dia adalah Jamal al-Din al-Asfahani, atau al-Muwaffaq al-Qaisarani) dan memberitahu berkenaan mimpi yang diterimanya itu telah berlaku sebanyak tiga kali. Lalu menteri memberi cadangan supaya menyediakan pasukan berkuda secepat mungkin pada malam itu juga dan bertolak ke Madinah. Lalu Sultan Nuruddin Mahmud al-Zinki bersama bala tenteranya menuju ke Madinah dengan memacu kuda secepat mungkin. Setelah tiba di Madinah, dia tidak memberitahu kedatangannya kepada gabenor Madinah. Dia terus duduk di Raudhah. Raudhah ialah salah satu tempat antara kubur dan mimbar Rasulullah SAW. Sabda Rasulullah SAW:

مَا بَيْنَ بَيْتِيْ وَمِنْبَرِيْ رَوْضَةٌ مِنْ رِياَضِ الْجَنَّة

Di antara kuburku dan mimbarku ada salah satu taman dari taman-taman syurga.”

Riwayat al-Bukhari (6588) dan Muslim (1391)

Di situlah Sultan Nuruddin Mahmud al-Zinki duduk beriktikaf tidak tahu hendak buat apa kerana baginda tidak tahu mentakwil mimpi. Akhirnya baginda berbincang dengan menterinya dan menterinya memberi pandangan supaya memanggil gabenor Madinah dan mengarahkan beliau membuat pengisytiharan bahawa Sultan Nuruddin Mahmud al-Zinki telah datang ke Madinah dan baginda mahu memberi hadiah (sedekah) kepada penduduk Madinah. Maka, semua penduduk Madinah datang dan dicatat nama masing-masing. Kedatangan semua penduduk Madinah diperhatikan satu persatu olehnya dan baginda mendapati tiada satu pun orang yang menyerupai orang yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW di dalam mimpinya. Sultan bertanya kepada gabenor sama ada sudahkah semua penduduk Madinah datang:

هَلْ بقي أَحَد لِمْ يَأْخُذْ شَيْئًا مِن الصَّدَقَة؟

Adakah masih ada sesiapa lagi (penduduk Madinah) yang berbaki tidak mengambil langsung sedekah ini?”

Gabenor mengatakan bahawa semua penduduk Madinah telah dikerah. Cuma yang tinggal dua orang yang bukan penduduk Madinah datang dari al-Andalus. Mereka adalah saudagar kaya yang datang menziarah untuk melakukan ibadat. Lalu Sultan Nuruddin Mahmud al-Zinki mengarahkan dua orang ini datang menghadap baginda. Apabila kedua-dua orang ini datang, mereka adalah orang yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, Sultan Nuruddin Mahmud segera mengarahkan kedua-dua orang itu membawa ke tempat penginapan mereka. Baginda masuk ke dalam rumah yang disewa berlantaikan tanah, berhampiran dengan Masjid al-Nabawi. Apabila baginda masuk ke dalam bilik, tiada sebarang petunjuk. Setelah berpusing di dalam bilik, baginda mendapati satu keganjilan iaitu almari tempat meletakkan rak-rak kitab berada di tengah-tengah rumah. Kebiasaannya perkakasan sedemikian diletakkan di tepi dinding.

Lalu diperintahkan almari diangkat dan disisihkan ke tepi dinding. Setelah disisihkan, terdapat hamparan yang meliputi lantai rumah tersebut, dan didapati di tengah-tengah rumah itu ada lubang yang sedang digali menghala ke kubur Rasulullah SAW. Apabila kedua-duanya disoal-siasat mengapa mereka berbuat begitu, mereka memberitahu bahawa mereka mahu mengambil jasad Rasulullah SAW dan dikebumikan di tempat lain supaya orang Islam pergi ke tempat itu. Zahirnya mereka kelihatan melakukan ibadat, tetapi pada masa yang sama mereka menggali lubang untuk melakukan khianat terhadap umat Islam. Tanah yang digali diletakkan di dalam “kirbah”. Kirbah adalah bahagian anggota kambing yang biasanya dibuat tempat mengisi air. Tanah itu dipikul dan dibuang di dalam telaga di luar tempat penginapan mereka sehingga orang ramai menyangka mereka membawa air.

Akhirnya kedua-dua mereka itu dijatuhi hukuman pancung di “Bab al-Salam” mengikut perintah Sultan Nuruddin Mahmud al-Zinki, dan mayat mereka dibakar di luar sempadan Madinah. Kemudian Sultan Nuruddin Mahmud al-Zinki mengarahkan kubur Rasulullah SAW dipagar bukan sahaja di atas tanah bahkan di dalam tanah. Digali di kelilingnya seperti tembok dan diletakkan pagar yang kukuh dan dikawal dengan rapi. Peristiwa ini berlaku pada zaman pemerintahan Sultan Nuruddin Mahmud al-Zinki pada abad 13-M, dan diceritakan oleh Zain al-Maraghi di dalam Tahqiq al-Nusrah, Ibn Qadhi Syahbah di dalam al-Dur al-Thamin fi Sirah Nur al-Din, al-Samhudi di dalam Wafa al-Wafa’, Ibn al-Imad di dalam Syazarat al-Zahb, dan al-Barzanji di dalam Nuzhah al-Nazirin. Peristiwa ini benar-benar berlaku dan menunjukkan bukti Allah menjaga Nabi Muhammad SAW pada masa hidup dan pada masa wafat baginda. Ini merupakan sebahagian tanda kenabian yang wajib kita percaya bahawa Rasulullah SAW adalah Nabi yang diutus Allah demi mengajar Islam kepada seluruh umat manusia.

 

Kecam dan tindakan tegas kepada penghina nabi s.a.w

Sebenarnya menyintai Rasulullah SAW adalah termasuk dalam keimanan dan termasuk dalam kemanisan iman. Benarlah sabda Nabi SAW dalam riwayat Anas bin Malik:

ثَلاَثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلاَوَةَ الإِيمَانِ: أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا، وَأَنْ يُحِبَّ المَرْءَ لاَ يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ، وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ

Maksudnya: “Tiga perkara di mana sesiapa mempunyainya, maka dia akan merasai kemanisan iman: seseorang yang  menjadikan Allah dan Rasul-Nya sebagai yang paling dicintainya, tidak mencintai  seseorang melainkan keranaNya dan membenci untuk kembali kekufuran sepertimana dia tidak suka untuk dicampakkan ke dalam neraka.”

Riwayat Bukhari (16) dan Muslim (43)

Kami menyatakan bahawa Rasulullah SAW adalah insan yang paing mulia dipilih Allah, tidak seperti manusia lain. Rasulullah SAW mempunyai pelbagai keistimewaan yang tidak ada pada orang lain. Allah SWT menjadikan Rasulullah SAW sebagai ikutan dan panduan untuk semua umat. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

قَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

MaksudnyaDemi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).

(Surah al-Ahzab, 33: 21)

Perlu diingat dan difahami bahawa Rasulullah SAW dalam pemeliharaan Allah SWT. Benarlah firman Allah SWT:

وَاللَّهُ يَعْصِمُكَ مِنَ النَّاسِ

MaksudnyaDan Allah jualah akan memeliharamu dari (kejahatan) manusia.

(Surah al-Maidah, 5: 67)

 

Imam Ibn Katsir berkata: Ayat ini bermaksud: “Sampaikanlah (wahai Muhammad) akan risalah-Ku (yakni Allah), sedangkan Aku-lah Penjaga-mu, Penolong-mu, Pendokong-mu menentang musuh-musuh kamu, yang akan mengangkatmu mengatasi musuh-musuh kamu, maka janganlah engkau takut dan jangan engkau bersedih, tidak akan selamanya sampai walau seorang pun daripada musuh-musuh kamu yang boleh mencederakan kamu.” Al-Maraghi berkata: “Yakni melindungimu daripada kejahatan manusia.”

Justeru kita wajib pertahankan Rasulullah SAW, memuliakan Baginda SAW, dan haram sama sekali kita menghinanya. Berat dan buruk natijahnya kita dapat lihat dalam sejarah terhadap penghina Rasulullah SAW. Marilah bersama-sama kita tekuni ayat al-Quran al-Karim seperti mana firman Allah SWT:

إِنَّا كَفَيْنَاكَ الْمُسْتَهْزِئِينَ

MaksudnyaSesungguhnya Kami tetap memelihara dan mengawalmu dari kejahatan orang-orang yang mengejek-ejek dan mempersendakanmu.

(Surah al-Hijr, 15: 95)

Imam Ibn Katsir berkata: (Ayat ini bererti:) “Lakukanlah (wahai Muhammad) apa yang diperintahkan kepada kamu dan jangan takut selain Allah, kerana sesungguhnya Allahlah yang menjaga kamu dan memelihara kamu daripada gangguan mereka sebagaimana Dia melindungi kamu daripada golongan yang mencerca dan menghina.”

Syeikh Al-Maraghi berkata: “(Yakni) sesungguhnya Kami akan memelihara kamu daripada sebarang kejahatan orang yang mempersendakan kamu dan al-Quran yang dilakukan oleh sekelompok orang musyrik yang mempunyai kekuatan, dan seringkali menyakiti serta berbuat jahat kepada Rasulullah SAW tatkala mereka melihat Baginda melewati mereka. Allat SWT telah memusnahkan dan membinasakan mereka serta melenyapkan segala tipu daya mereka.”

Kenyataan menghina Nabi SAW mendapat respon daripada ramai ulama termasuk Syeikh Abu Ishaq al-Huwaini. Semoga Allah SWT tambahkan lagi cinta dan kasih sayang kita kepada Rasulullah SAW. Mari bersama-sama kita pelajari sirah Baginda SAW, ikuti perintah dan suruhannya, meninggalkan larangan dan tegahannya, serta sentiasa berselawat kepada Baginda SAW. Semoga kita diterima menjadikan umatnya yang mendapat syafaat Baginda di Hari Akhirat kelak. Amin.

Wallahua`lam.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Bertabarruk dengan peninggalan nabi, orang soleh

Posted by epondok di Jun 1, 2022

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

JIKA sebelum ini kita membicarakan tentang kedudukan bertabarruk dengan kesan peninggalan nabi, kali ini kita kaji pula tentang bertabarruk dengan kesan-kesan para nabi terdahulu dan orang soleh selain mereka.

Kita akan mendapati bahawa perbuatan mengambil keberkatan dengan kesan-kesan mereka itu juga dibolehkan dan disokong oleh nas-nas dan pendapat para pakar.

Diriwayatkan daripada Nafi’: “Abdullah ibn Umar mengkhabarkan kepada kami bahawa sejumlah sahabat singgah bersama Rasulullah SAW di Hijir di negeri Thamud. Mereka mengambil air daripada perigi-perigi yang terdapat di sana dan mengadun roti dengan menggunakan air itu.”

Rasulullah lalu memerintahkan mereka supaya menumpahkan air yang mereka ambil (dari perigi-perigi itu) dan memberikan roti adunan itu kepada unta. Kemudian nabi memerintahkan mereka mengambil air dari perigi yang sering didatangi unta Nabi Hud. (riwayat Imam Muslim dalam kitab Al-Zuhd).

Imam Nawawi berkata dalam Syarh Muslim: “Dalam hadis ini terkandung faedah bertabarruk dengan bekas peninggalan orang soleh. (Al-Nawawi, Syarh Muslim, 18: 112).”

Bertabarruk dengan Tabut

Allah SWT telah menyebut dalam al-Quran tentang kelebihan Tabut sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Dan Nabi mereka, berkata lagi kepada mereka: “Sesungguhnya tanda kerajaan Talut itu (yang menunjukkan benarnya dari Allah) ialah datangnya kepada kamu peti Tabut yang mengandungi (sesuatu yang memberi) ketenteraman jiwa dari Tuhan kamu, dan (berisi) sebahagian dari apa yang telah ditinggalkan oleh keluarga Nabi Musa dan Harun; peti Tabut itu dibawa oleh malaikat. Sesungguhnya peristiwa kembalinya Tabut itu mengandungi satu tanda keterangan bagi kamu jika betul kamu orang-orang yang beriman“. (al-Baqarah: 248)

Ringkasan kisah ini, bahawa peti Tabut tersebut ada pada Bani Israel. Mereka memohon pertolongan dengan keberkatan Tabut dan bertawassul kepada Allah melalui perantaraan barang-barang peninggalan yang terdapat dalam Tabut tersebut.

Inilah yang dinamakan bertabarruk dengan benda yang kita kehendaki dan maksudkan. Allah SWT telah menjelaskan tentang kandungan Tabut itu sebagaimana yang dinyatakan di dalam firman-Nya yang bermaksud: Dan (berisi) sebahagian daripada apa yang telah ditinggalkan oleh keluarga Nabi Musa dan Harun.

Baki peninggalan itu adalah barang-barang yang ditinggalkan oleh keluarga Nabi Musa dan Harun iaitu tongkat Nabi Musa sebahagian pakaian baginda, pakaian Nabi Harun beserta kedua belah capalnya, Alwaah (batu bertulis) daripada kitab Taurat, dan mangkuk basuh tangan.

Perkara tersebut disebut oleh para ahli tafsir dan pakar sejarah seperti Ibnu Kathir, al-Qurtubi, al-Suyuti, dan al-Tobari. Maka rujuklah kepada (kitab-kitab) mereka dan ternyata ia menunjukkan kepada banyak makna.

Antaranya, bertawassul dengan peninggalan orang soleh. Di antaranya lagi, suruhan memelihara harta peninggalan seperti itu, dan di antaranya juga, menunjukkan perbuatan bertabarruk dengan barang-barang tersebut.

Bertabarruk dengan Masjid al-‘Asysyaar

Diriwayatkan daripada Soleh ibn Dirham, berkata: “Pada suatu hari, kami bertolak untuk menunaikan ibadah haji. Tiba-tiba, seseorang berkata kepada kami: Berhampiran kalian ada sebuah kampung yang dipanggil al-‘Abilah?”

Kami menjawab: “Ya”. Dia berkata: “Siapa di antara kalian yang sanggup menjamin bagiku supaya aku dapat melakukan solat di Masjid al-‘Asysyaar sebanyak dua atau empat rakaat?” Kemudian dia berkata: “(Solat) ini (pahalanya) untuk Abu Hurairah r.a. (Abu Hurairah r.a pernah berkata:) “Aku pernah mendengar kekasihku, Abu al-Qasim (Nabi Muhammad) SAW bersabda: Sesungguhnya Allah SWT akan membangkitkan dari Masjid al-‘Asysyaar pada hari kiamat syuhada; yang tidak bangkit bersama syuhada Badar itu selain mereka.”

Riwayat Abu Daud, dan beliau berkata: “Masjid ini terletak berhampiran sungai. (al-Tibrizi, Mishkat Masabih, 3: 5434).”

Berkata al-Allamah al-Muhaddith al-Kabir Sheikh Khalil Ahmad al-Saharanfuri, di dalam kitabnya, Bazl al-Majhud Syarh Sunan Abi Daud: “Di dalam hadis tersebut menunjukkan bahawa ketaatan yang dilakukan oleh badan seseorang, pahalanya boleh disampaikan kepada orang lain, dan bekas peninggalan orang-orang soleh dan muqarrabin boleh diziarah dan dijadikan alat untuk mengambil berkat. (Al-Saharanfuri, Bazl Al-Majhud, 17: 225).”

Al-Allamah al-Muhaddith Sheikh Abu al-Toyyib, penulis kitab ‘Aun al-Ma’bud, berkata: “Masjid al-‘Asysyaar adalah masjid terkenal yang sering dijadikan tempat solat untuk mengambil berkat.” (Al-‘Azim al-‘Abaadi, ‘Aun al-Ma’bud, 11: 422)

Daripada perbahasan di atas kita telah melihat pelbagai pendapat dan hujah yang mendokong perbuatan bertabarruk dengan kesan peninggalan orang soleh yang datang sebelum kita.

Cuma, kita perlu berhati-hati dengan mempastikan bahawa mereka itu benar-benar diakui kesolehan, tidak melanggar batas syarak dalam bertabarruk dan tidak meyakini bahawa bekas-bekas tersebut mampu memberi kesan dengan sendiri melainkan dengan izin dan kuasa Allah SWT jua. Wallahu a’lam.

Posted in Klinik Agama | Leave a Comment »