Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

PETUNJUK DAN ILMU

Posted by epondok di September 27, 2021


 Kelahiran Rasullah s.a.w merupakan rembulan penerang kepada kegelapan jahiliah yang pekat. Baginda ibarat mentari yang datang bersama terangnya kebenaran bagi menggantikan kepekatan malam kesesatan.Dalam memastikan umat yang datang selepas kewafatannya maka baginda tidak mewarisi harta kemewahan tetapi sebaliknya membekalkan bekalan penting iaitu petunjuk jalan kebenaran dan ilmu bermanfaat bagi memastikan umatnya tidak sesat dan lemas dalam gelora ombak jahiliah yang mengganas.

MAKSUD HADIS

        Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : Sesungguhnya perumpaan sesuatu yang aku diutuskan oleh Allah daripada petunjuk dan ilmu pengetahuan itu adalah seperti hujan yang lebat menyirami bumi. Maka di antara bumi itu ada setompok yang bagus yang menerima air dan menumbuhkan rumput dan tumbuhan yang banyak. Dan ada di antara bumi itu yang kering gersang tetapi ia memegang dan menahan air lalu Allah memberi manfaat dengan sebabnya kepada manusia, mereka boleh minum daripadanya serta memberi minum kepada binatang ternakannya dan bercucuk tanam dengannya. Dan hujan itu juga mengenai setompok bumi yang lain pula, ia adalah bumi yang licin, tidak memegang air dan tidak menumbuhkan tumbuhan. Maka demikian itulah perumpamaan orang-orang yang faham dan mengerti mengenai hukum-hakam agama Allah iaitu Islam yang Allah memberi manfaat kepadanya akan hidayat dan ilmu maka ia mengetahui ilmu dan mengajarkannya pula kepada orang lain. Dan demikian pula perumpamaan orang yang tidak mengangkat kepalanya (dalam erti kata tidak beramal dengan ilmu) dan juga orang yang tidak menerima hidayat Allah yang aku diutuskan bersamanya.

( Riwayat muttafaqqun ‘alaihi)

TIGA GOLONGAN DALAM MENERIMA HIDAYAT DAN ILMU

        Setelah meneliti hadis tersebut maka kita dapat membuat rumusan bahawa ilmu yang dibawa datang oleh Rasulullah s.a.w ibarat hujan yang banyak berfaedah kepada manusia manakala umatnya diibaratkan seumpama bumi yang terbahagi kepada 3 jenis yang berbeza antara satu sama lain.

Golongan Pertama : Bumi yang sebelum ini merupakan bumi mati kini setelah disirami air hujan maka ia dapat faedah daripadanya lalu menjadi bumi yang hidup dan subur di mana ia boleh menumbuhkan tumbuhan sehingga diambil manfaat oleh manusia dan tanaman. Demikianlah ibarat sikap manusia di mana ada antara mereka yang menerima dan belajar ilmu Allah yang disampaikan melalui rasulNya dan beramal dengannya serta menyebarkan ilmu tersebut kepada orang lain.

Golongan Kedua  : Bumi yang hanya menerima dan menahan air tidak menumbuhkan tumbuhan untuk dirinya tetapi dimanfaati oleh manusia dan binatang dengan meminumnya serta menyiram tanaman. Ini diibaratkan seperti manusia yang belajar ilmu Allah dan mengajarnya tetapi dirinya tidak beramal dengan ilmu tersebut dan tidak taat kepada Allah.

Golongan  Ketiga : Bumi yang kering kontang lagi licin dan sama rata di mana ia tidak dapat mengambil manfaat dengan air hujan, tidak mampu memegang dan menahannya. Maka air pun tidak lekat dan tumbuhan pula tidak ada. Ini diibaratkan seperti manusia yang tidak belajar atau tidak menggunakan akal dan hati untuk menerima dan memahami ilmu Allah. Maka mereka tidak boleh mengambil faedah dari hidayat Allah dan ilmunya disamping itu mereka tidak boleh dimanfaati oleh manusia yang lain.

KESIMPULAN

        Melalui pembahagian mereka yang memperolehi ilmu dan cara mereka memanfaatkannya maka kita mesti menghisabkan diri sendiri tentang keadaan diri kita. Di manakah terletaknya kita di antara golongan yang tersebut agar diri kita dapat menggapai martabat golongan yang pertama serta dihindari daripada golongan yang kedua dan ketiga. Kita juga mesti menanamkan tekad dan azam berserta pelaksanaan yang berterusan dalam menambah ilmu yang bermanfaat kerana ilmu merupakan satu-satunya harta pusaka yang berharga yang telah diwariskan oleh para nabi dan rasul. Generasi masa kini dan akan datang dapat diselamatkan daripada kehinaan dan kesesatan dengan ilmu bukannya dengan limpahan kemewahan harta. Pastikan wasiat yang terakhir kepada generasi mendatang ialah apakah yang kamu akan sembah selepas kematian kami bukannya pertanyaan tentang apakah yang kamu akan makan selepas pemergian kami. Islam berjaya berada disinggahsana dengan ilmu manakala kekufuran dinobat kerana kejahilan.

Rujukan
1. Khutbah as-Sabil, Edison Press

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: