Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 18 September 2021

Projek Mega Punca Kehancuran – Siri akhir

Posted by epondok di September 18, 2021

 Siri Akhir

FAKTOR WANG ATAU AKTIVITI BERBENTUK MEGA

     Faktor yang kedua yang menyebabkan keruntuhan sesebuah kerajaan ialah masalah wang atau aktiviti mega berbentuk mewah. Sesuatu yang harus diketahui ialah pada awalnya dinasti itu mengekalkan cara hidup badawiyah atau sederhana. Kerajaan itu memiliki kualiti kasih saying terhadap rakyatnya. Segala pembelanjaan sederha dan terencana serta menghormati harta orang lain. Ia menghindarkan cukai yang berat sebelah, mengawasi kelicikan, bijaksana sewaktu mengutip wang dan mengamalkan sikap bertanggungjawab oleh para pegawai. Pada waktu itu tiada perbelanjaan yang boros yang membolehkan kerajaan tidak memerlukan banyak wang. Lama kelamaan timbul penguasaan dan perluasan kuasa di mana kedaulatan semakin menyerlah. Keadaan ini menyebabkan wajarnya kemewahan yang menyebabkan perlunya pertambahan dari segi perbelanjaan. Perbelanjaan raja dan  keluarganya secara umumnya meningkat sehingga kecenderongan ini meluas kepada penduduk kotanya.
 
        Peningkatan taraf hidup itu menyebabkan bertambahnya upah bagi tentera dan gaji pegawai. Perbelanjaan yang berlebihan semakin meningkat sehingga rakyat turut boros mengikuti para pemimpinnya. Ini menyebabkan raja berasa harus mengenakan cukai ke atas barangan dagangan di pasar demi memperbaiki perbendaharaannya. Baginda melihat kemewahan hidup masyarakat bandar sebagai mewajarkannya berbuat demikian. Pentadbiran negara dan para tentera semakin bertambah dan cukai kastam pula tidak lagi mampu menampung perbelanjaannya. Ia menyebabkan dinasti yang telah mencapai mercu kekuasaannya mula memaksa rakyat di bawah pengawasannya. Kekuasaannya telah memungkinnya untuk merampas harta rakyat melalui cukai kastam, urus niaga perdagangan dan kadangkala melalui paksaan terhadap rakyat dengan pelbagai dalih dan sebab tidak munasabah.

         Pada peringkat ini, para pemungut cukai di dalam kerajaan itu telah menjadi kaya raya kerana banyak hasil cukai yang berada ditangannya dan kedudukan mereka menjadi begitu penting oleh sebab ini. Ini menimbulkan perasaan curiga kerana memiliki wang yang banyak di mana masing-masing saling mencela sesama sendiri kerana dengki dan seorang demi seorang mengalami penyitaan dan seksaan. Akhirnya kekayaan lenyap dan mereka mengalami kehancuran. Kerajaan telah kehilangan kemegahan dan kecemerlangan yang telah diperolehi melalui usaha-usaha mereka. 

         Setelah kekayaan mereka dilenyapkan maka kerajaan maju setapak lebih jauh dengan mengambil harta benda rakyatnya yang kaya. Pada peringkat ini, tanda-tanda kelemahan telah kelihatan pada kekuatan (syawkah) yang ada. Ternyata dinasti itu sudah lemah untuk mengekalkan kuasa. Dasar raja pada ketika ini ialah secara bijaksananya berusaha mengurus segala persoalan dengan menggunakan wang. Baginda berpendapat bahawa dengan cara ini lebih baik daripada pedang. Akhirnya keperluannya terhadap wang melampaui keperluannya untuk perbelanjaan dan gaji anggotanya di mana usaha ini tidak mencukupi. Kelemahan yang dialami semakin hari semakin parah yang menyebabkan penduduk daerah lain semakin berabi menentang kedaulatannya. Keadaan ini membuka ruang kepada penakluk untuk merampas kuasa daripada kerajaan sedia ada yang menyebabkan segala kebanggaan yang ada terlepas kepada penakluk .

         Perkara ini dapat dilihat dalam masa kelemahan yang berlaku pada pemerintahan khalifah Bani Uthman di antaranya disebabkan faktor mereka mengutamakan projek mewah dan perkahwinan dengan wanita asing. Kesan pencapaian ekonomi mendorong Khalifah menumpukan kepada projek mega yang berunsurkan kemewahan yang tidak menghasilkan pulangan ekonomi yang menguntungkan. Pada waktu yang sama Khalifah mengutamakan perkahwinan dengan wanita asing yang beragama kristian dan yahudi dari pelbagai bangsa. Wanita inilah yang berperanan untuk kepentingan politik kuasa asing melalui suami mereka yang terdri daripada pemerintah Bani Uthman .

        Berkesinambungan daripada penjelasan kepada faktor keruntuhan sesebuah pemerintahan sebagaimana yang digarapkan oleh Ibnu Khaldun melalui penganalisaannya maka ia wajar menjadi peringatan dan kayu pengukur kepada generasi masa kini. Faktor yang dikemukakan ini dapat dikira sebagai faktor tambahan kepada pelbagai faktor yang lain

————————-

BIBLIOGRAFI
1. Abdul Rahman bin Muhammad bin Khaldun, Mukadimah Ibnu Khaldun, semakan Dr Ali Abdul Wahid Wafi, Dar Al-Nahdah, cetakan ketiga
2. Ibnu Khaldun, Mukadimah, Terjemahan DBP, DBP, cetakan Kedua 1995
3. Dr Hassan Ibrahim Hassan, Sejarah Islam, Terjemahan Ismail  bin Mohd Hassan, Penerbitan YIT, cetaka kedua 1993
4. Dr Ahmad Zaki Ibrahim, Kertas Kerja : Ibnu Khaldun Sebagai Pelopor Falsafah Sejarah dan Asas Falsafah Sejarahnya, APIUM
5. Dr Ahmad Zaki Ibrahim, Kertas Kerja : Pemikiran Politik Ibnu Khaldun: Suatu Tinjauan, APIUM
6. Dr Ahmad Zaki Ibrahim, Kertas Kerja : Kerajaan Othmaniah 1300-1923M, APIUM

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »