Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 15 September 2021

Nabi palsu sesatkan umat

Posted by epondok di September 15, 2021

Oleh Muhd Hilmi Ismail

MUNCULNYA orang yang mengaku sebagai nabi adalah salah satu tanda kiamat kecil sebagaimana peringatan sabda Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah, “Kiamat belum terjadi sehingga muncul golongan dajjal kecil (penipu kecil) hampir jumlahnya tiga puluh orang, setiap mereka mengaku bahawa dialah utusan Allah.”

Golongan itu cukup berbahaya dek kepakaran memutar belit fakta di samping membawa perkhabaran aneh yang belum pernah didengar ketika wahyu masih diturunkan kepada Rasulullah SAW.

Nabi-nabi palsu ini bukan setakat muncul di kalangan lelaki, bahkan ada juga di kalangan wanita.

Kemunculan mereka mengundang perpecahan besar umat Islam khususnya dari segi akidah apabila sebahagian besar mereka mendusta kebenaran risalah Nabi Muhammad SAW.

Sejarah Islam menyaksikan berlaku beberapa siri peperangan untuk membendung ancaman golongan dajal ini.

Contohnya, pada zaman Khalifah Abu Bakar al-Siddiq, beliau mengutus tentera di bawah pimpinan Khalid al-Walid menentang pemberontakan Musailamah al-Kazzab yang mendakwa dirinya sebagai nabi utusan Allah Taala dalam Perang Yamamah. Akhirnya Musailamah mati di tangan Wahsyi ra lalu panji Tauhid kembali seperti sedia kala.

Salah satu ciri utama golongan ini ialah sikap mereka yang suka menyeleweng fakta selain mendustakan risalah wahyu sewenang-wenangnya.

Tindakan sebegitu dilakukan demi memenuhi tuntutan kehendak hawa nafsu bahkan kebanyakan karakter nabi palsu ini sebenarnya membenci Islam dengan menyembunyikan niat jahat pada zaman baginda SAW.

Aksi licik mereka sukar dikesan seperti menukar penampilan umpama haiwan sesumpah, selain bijak menyesuaikan diri bersama komuniti Islam sejak awal lagi.

Kebatilan mereka mula terserlah hanya selepas melantik diri sendiri menjadi nabi atas tauliah logik akal serta menurut hawa nafsu yang dipengaruhi syaitan.

Tanpa melalui prosedur biasa lantikan Nabi dan Rasul oleh Allah Taala menerusi perantaraan malaikat Jibril atau secara terus, tauliah golongan ini cuma bersandar logik akal serta hawa nafsu.

Demi mengejar harta dunia, mereka tidak mengendahkan autoriti milik Allah Taala yang melantik insan terpilih sebagai utusannya.

Contoh jelas apabila Musailamah al-Kazzab menyamatarafkan dirinya dengan Rasulullah SAW selain menuntut kuasa atas sebahagian sempadan Makkah. Ibn Athir dalam kitabnya, al-Kamil fi al-Tarikh, menyebut isi kandungan surat Musailamah al-Kazzab kepada Baginda SAW antaranya ditulis:

“Dari Musailamah, utusan Allah kepada Muhammad utusan Allah, sesungguhnya aku berkongsi dengan engkau dalam perkara sama (iaitu sebagai Nabi Allah), kemudian setiap seorang daripada kita dikurniakan sebahagian tanah (sempadan), begitu juga sebahagian (sempadan) tanah untuk kaum Quraisy, akan tetapi mereka, iaitu kaum Quraisy telah melampaui batas.” (Ibn Athir, al-Kamil fi al-Tarikh, 1/350).

Munculnya seorang nabi palsu di tanah air mengetengahkan misi serupa nabi-nabi palsu sebelumnya iaitu menolak kerasulan Nabi Muhamad SAW. Sebelum ditangkap, Kahar Ahmad yang mendakwa sebagai Rasul Melayu sempat mengecapi kesenangan dan mengumpul ramai pengikut ketika masih dalam buruan pihak berkuasa. Sejarah baru tanah air mencatatkan nama Kahar Ahmad, seorang lagi nabi palsu sebagai bahan tatapan generasi akan datang sampai bila-bila.

Kes serupa berlaku pada 1985, apabila kerajaan Sudan membanteras kegiatan nabi palsu, Mahmud Muhamad Taha al-Sudani, yang banyak menyesatkan orang awam menerusi penulisannya. Kerajaan Sudan bertindak menangkap sekali gus menghukumnya disebabkan kufur dan kemurtadannya.

Umat Islam akan sentiasa terdedah dengan fitnah nabi palsu sehingga dajal sebenar muncul apabila semakin menghampiri waktu kiamat besar. Bicara mereka dipenuhi kepelikan, karut dan miraj khayalan lebih-lebih dalam bab memutar belit fakta. Matlamat mereka cuma satu, iaitu dapat menyesatkan umat Islam supaya berpecah-belah akhirnya.

Karakter mereka mudah dikenali berdasar keterangan dari hadis riwayat Abu Hurairah, bahawa Nabi SAW bersabda: “Akan muncul menjelang akhir zaman, dajal-dajal kecil (pendusta kecil) membawa kepada kalian khabar-khabar yang tidak pernah didengari bapa-bapa kalian, maka berhati-hatilah kalian terhadap mereka, jangan sampai menyesatkan kalian atau menimbul fitnah (besar) ke atas kalian”. (Sahih Muslim, 14/142, no: 5205)

Selama mana umat Islam berpegang teguh pesanan Nabi Muhamad SAW dan sunnahnya, selagi itu mereka akan dapat menangkis ancaman fitnah yang cuba mengganggu gugat kesatuan umat Islam.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Amalan sedekah bawa keberkatan

Posted by epondok di September 15, 2021

Oleh Mohd Fadly Samsudin

 

GOLONGAN ASNAF...tiada yang lebih menggembirakan apabila dapat membantu golongan kurang bernasib baik.
GOLONGAN ASNAF…tiada yang lebih menggembirakan apabila dapat membantu golongan kurang bernasib baik.

SETIAP manusia sudah dijamin rezekinya oleh Allah. Ia tidak hanya dikatakan sebagai wang ringgit tetapi pengertiannya amat luas sekali merangkumi kesihatan yang baik, ketenteraman jiwa, keturunan, isteri dan anak yang baik.

Ada yang runsing dan sering mempertikaikan masalah rezeki yang dimiliki. Mereka merungut kerana sudah bertungkus-lumus mencari rezeki namun kehidupan masih tidak berubah.

Sebagai hamba Allah yang beriman, anggaplah semua itu dugaan serta cabaran untuk menjadikan diri lebih kuat dan cekal berusaha.

Teruskan berusaha kerana setiap kejayaan pastinya memerlukan kerja keras tanpa berputus asa melaksanakannya.

Bersikap reda dan bertawakal supaya Allah memberkati segala yang kita lakukan. Sesungguhnya Allah Maha Pemberi dan Pemurah atas rezeki untuk hamba-Nya.

Semua yang berlaku atas izin-Nya. Ketika seorang hamba berprasangka buruk kepada Allah, maka keburukanlah yang diterima.

Jika mereka bertawakal kepada Allah maka Allah pasti mencukupkan keperluannya. Allah berfirman yang bermaksud:

“Barang siapa yang me nyerahkan diri kepada Allah, maka Allah akan mencukupkannya (memelihara). Sesung guhnya Allah menyampaikan urusan-Nya. Sesungguhnya Allah mengadakan qadar (takdir) bagi setiap sesuatu.” (Surah at-Taalaq ayat 3).

Namun tahukah kita sikap memberi atau bersedekah mempunyai kelebihan dalam urusan pencarian harta. Malah ia membuka pintu rezeki lebih luas kepada mereka yang melakukannya.

Amalan bersedekah penyubur kebaikan serta melipat gandakan rezeki sese orang hamba. Allah berfirman yang bermaksud:

“Perumpamaan orang-orang yang menafkahkan hartanya pada jalan Allah, seperti sebutir benih yang tumbuh menjadi tujuh tangkai, pada tiap tangkai ada seratus biji, dan Allah melipat gandakan bagi siapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (kurniaan-Nya) lagi Maha Mengetahui.” (Surah Al-Baqarah ayat 261).

Tidakkah kita merasa tertarik dengan janji Allah berikan itu? Tidak dinafikan, semua orang mahu hidup senang; mempu nyai rumah yang luas dan selesa, berkereta mewah, memakai pakaian cantik dan bercuti ke luar negara .

Namun dalam erti kata sebenar, kehidupan kita tidak berstatus kerana ada kalanya kita berada di atas dan begitulah sebaliknya. Tujuan kita hidup bukan untuk memenuhi nafsu tetapi kita perlu melihat kekurangan dan kesengsaraan orang lain.

Jika Allah ‘memberi’ pinjaman kekayaan kepada kita maka gunakan kesempatan itu untuk melihat segala yang berlaku di sekeliling. Sebenarnya masih ada lagi yang memerlukan perhatian dan bantuan.

Justeru jalankan amanah kekayaan yang Allah kurniakan itu bagi membantu golongan memerlukan. Dalam rezeki Allah itu terdapat hak orang lain yang perlu dimanfaatkan.

Bersifat individualistik melambangkan seorang itu tidak berhati perut, sukar didekati dan orang ramai tidak menghormatinya. Walaupun memberi dalam kuantiti sedikit tetapi sedikit itulah keberkatannya.

Alangkah baik jika pendekatan mencari rezeki sambil menyumbang diterapkan dalam diri kita. Sabda Rasulullah:

“Tidaklah harta itu berkurang disebabkan oleh sedekah.” (Riwayat Muslim).

Beri setakat mana termampu dulu kerana sumbangan sekecil itu menjadi pembersih harta kita. Sedekah orang yang kurang hartanya lebih besar ganjarannya.

Rasulullah bersabda:

“Sedekah yang paling utama adalah menggembirakan fakir dan dikeluarkan dalam keadaan sedikit harta. (Riwayat Ahmad).

Allah berfirman:

“Orang-orang yang menaf kahkan hartanya di jalan Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang dinafkahkannya itu dengan menyebut pemberiannya dan dengan tidak me nyakiti (perasaan si penerima), mereka memperoleh pahala di sisi Tuhan mereka. Tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.” (Surah al-Baqarah ayat 262).

Apabila bersedekah, kita mesti iringi dengan perasaan gembira dan tidak boleh menyesal. Jika tidak mampu menyumbang harta, setidak-tidaknya berusaha menyumbang tenaga dan fikiran bagi mengajak orang sekeliling melakukan kebaikan.

Rasulullah berbual dengan sahabat, maksudnya:

“Pada setiap Muslim tuntutan untuk bersedekah”, sahabat berkata: Bagaimana jika tidak mampu? Nabi menjawab: “Berusahalah dengan kedua tanganmu untuk hasilkan perkara bermanfaat dan bersedekahlah.

Sahabat bertanya: Bagaimana jika masih tidak mampu? Nabi menjawab: “Carilah orang yang sangat memerlukan bantuan (dan bantulah sama ada dengan tenaga atau ditunjukkan kepada yang mampu).

Sahabat bertanya: Bagaimana jika masih tidak mampu? Nabi menjawab: “Ajaklah orang lakukan perkara kebaikan dan larang mereka dari kemungkaran.

Sahabat bertanya lagi: Bagaimana jika masih tidak mampu? Nabi menjawab: “Janganlah kamu lakukan perbuatan buruk, ia juga satu sedekah (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Seelok-eloknya, galakkan diri bersedekah kepada ahli keluarga yang miskin dan memerlukan sebelum melaksanakannya kepada orang lain.

Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“Sedekah kepada orang miskin mendapat satu pahala, namun apabila diberi kepada yang punyai pertalian (kerabat), dua pahala iaitu satu sedekah dan satu lagi adalah merapatkan hubungan.” (Riwayat At-Tirmidzi).

Bersedekah boleh meringan kan bebanan orang lain dan menyelamatkan kita daripada api neraka. Rasulullah bersabda:

“Sedekah itu menghapuskan kesalahan seperti air memadamkan api.” (Hadis Riwayat At Tirmidzi).

Justeru, beberapa perkara perlu diambil perhatian demi kesempurnaan amalan sedekah antaranya barang yang disedekahkan mestilah baik. Tidak wajar sama sekali barang yang disedekahkan itu kita sendiri tidak tergamak menggunakannya.

Allah melarang bersedekah dengan benda yang tidak baik kerana bersedekah adalah ibadat dan tanda mensyukuri nikmat Allah.

Kemudian sesuatu yang disedekahkan mesti halal.

Sunat jika bersedekah dengan benda atau barang yang disukai dan disayangi tidak kira ia banyak atau sedikit. Allah berfirman yang bermaksud:

“Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai hakikat kebajikan dan kebaktian yang sempurna sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi. Dan apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahuinya.” (Surah Ali-Imran ayat 92).

Jangan sesekali bersedekah kemudian mengungkit, merungut dan menyakiti hati orang yang menerima kerana perbuatan itu haram serta merosakkan amalan sedekah.

Pegawai Pengurusan Dakwah Munirah Care, Muhammad Khusairi Abdullah, berkata galakan kepada umat Islam bersedekah perlu supaya umat Islam terbela.

“Sedekah yang diberikan secara sembunyi lebih afdal. Perbuatan ini lebih dekat kepada keikhlasan kerana menjauhkan diri daripada riak hingga merosakkan amalan.

“Penumpuan perlu diberikan kepada lapan golongan asnaf yang layak menerima zakat. Mereka terdiri daripada golongan fakir, miskin, amil, muallaf, riqab (hamba yang menebus dirinya secara ansuran), al-gharimin (orang yang menanggung hutang dan tidak mampu menyelesaikannya), fisabilillah (berjuang di jalan Allah) serta ibnu sabil (musafir yang terputus bekalannya di perantauan).

“Setiap kali bersedekah pastikan niat kita ikhlas kerana Allah. Jika kita menderma hanya sekadar untuk mendapat pujian, nama atau pangkat ia tidak memberi sebarang makna,” katanya.

Beliau berkata, sedekah membuatkan seorang Muslim mendapat pelbagai nikmat dan kesan kehebatan sedekah itu dapat dirasai ketika berada di dunia lagi.

“Orang yang istiqamah bersedekah atau berinfak hartanya mudah menerima ilmu Allah, terhindar daripada penyakit, jiwa sentiasa tenteram dan menghapuskan sifat bakhil yang bersarang dalam diri.

“Tidak kira siapa kita sama ada kaya atau kurang hartanya mesti berusaha dan bersedia untuk bersedekah. Umpamanya jika kita mempunyai wang RM10 tidak mengapa jika bersedekah sebanyak RM1 kerana yang penting keikhlasan itu mendapat nilaian istimewa daripada Allah,” katanya.

Beliau berkata ganjaran kepada mereka yang bersedekah cukup besar kerana apa saja yang mereka infak itu pahala terus diterima secara berkekalan.

“Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Apabila mati anak Adam maka terputuslah amalannya kecuali tiga, sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakannya untuknya.”

“Dari hadis berkenaan membuka peluang untuk kita mendapatkan bekalan sebelum mata tutup buat selamanya. Jika kita sedekahkan al-Quran atau sejadah untuk kegunaan jemaah di masjid, selagi mana ia digunakan maka pahala tetap sampai kepada kita. Begitu juga apabila memberi makan, minum dan pakaian kepada anak yatim maka sudah tentu ganjarannya cukup besar,” katanya.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »