Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 23 Ogos 2021

Jangan lupakan perjuangan ulama, agamawan capai kemerdekaan

Posted by epondok di Ogos 23, 2021

KETIKA Tanah Melayu dijajah, golongan ulama dan agamawan dianggap sebagai antara musuh atau ancaman paling berbahaya oleh kolonial Barat.

Keilmuan dan gerakan jihad yang ditiupkan begitu kuat sehingga mereka diangkat sebagai penasihat kepada kesultanan Melayu, sekali gus membantu dalam hal ehwal agama, pentadbiran, politik dan mengatur strategi ketenteraan bagi mempertahankan kedaulatan negara.

Bagaimanapun umpama wira yang tidak didendang, sumbangan besar mereka seakan kurang mendapat perhatian, tidak diwacanakan secara besar-besaran dan dijulang sebagai tokoh kemerdekaan.

Kita sebenarnya amat terhutang budi dan perlu mengambil iktibar daripada perjuangan ulama silam yang sentiasa mendahulukan kepentingan agama tetapi mempunyai sifat cintakan tanah air yang begitu tinggi sehingga sanggup mempertahankannya sehingga ke titisan darah terakhir.

Di Terengganu umpamanya tokoh ulama yang juga dikenali sebagai pejuang tanah air termasuk Haji Abdul Rahman Limbong, Tok Ku Tuan Besar dan Tok Ku Paloh. Di Kelantan pula cukup sinonim dengan ketokohan Tok Kenali, Tok Janggut dan Muhammad Syeikh Muhammad Sa’id, manakala di Pahang, kita mengenali Mat Kilau, Sheikh Utsman Senik dan Tok Gajah.

Pewaris keturunan Rasulullah SAW

Cucu Tok Ku Paloh, Syed Hussin Syed Saqqaf ketika ditemubual Ibrah berkata, datuknya ialah ulama ketika era pemerintahan Sultan Zainal Abidin III.

Beliau yang dilahirkan pada 1817 (1236 Hijrah) ini mempunyai susur galur Rasulullah SAW di sebelah bapanya, hubungan itu sampai kepada Saidina Husain, iaitu anak kepada Fatimah al-Zahrah.

“Ketika hidup, usia Tok Ku Paloh dihabiskan untuk perjuangan menegakkan agama Allah SWT dan melaksanakan pentadbiran dalam pemerintahannya berasaskan undang-undang Islam.

“Beliau berguru dengan ulama mahsyur antaranya Syed Ahmad Zaini Dahlan dan Syed Abdullah Ali al-Zawawi di Makkah lebih 10 tahun dan pengajiannya merangkumi tasawuf, usuluddin, feqh, tafsir, hadis dan ilmu yang berhubung dengan bahasa Arab.

“Kemudiannya Tok Ku Paloh pulang semula ke Terengganu dan memulakan usaha penyebaran dakwah Islam kepada masyarakat di sini,” katanya.

PENDAKWAH perlu memainkan peranan supaya masyarakat memahami erti kemerdekaan

Tentang pencerobohan British

Syed Hussin berkata, pengaruh dan daya kepimpinannya yang sangat tinggi membuatkan beliau diberi kepercayaan oleh Sultan Terengganu, Sultan Zainal Abidin III mentadbir dan mendampingi Raja bagi memelihara kerajaan Terengganu daripada dijajah British.

“Peranan Tok Ku Paloh dalam menentang pencerobohan British ke atas negeri Terengganu antaranya melalui pengutusan sepucuk surat kepada Sultan bagi menasihati Baginda mengenai pentadbiran negeri dan memelihara keutuhan agama Islam yang lama bertapak di Terengganu.

“Katanya dalam surat itu, maka wajiblah daripada sekarang ini Paduka Anakanda berkuat kepada menzahirkan agama dan membetulkan segala mungkar, jangan sekali-kali tidak hirau.

“Tok Ku Paloh juga menyarankan Sultan mengamalkan dasar yang ditetapkan dalam agama, mempertahankan agama Islam seperti ditunjukkan Rasulullah SAW dan mengingatkan Sultan akan tanggungjawab menegakkan ajaran Islam.

“Sultan Zainal Abidin III akhirnya berjaya mengelak buat beberapa ketika supaya Terengganu tidak jatuh ke tangan British sehingga mendorong Baginda membekukan Perjanjian 1910,” katanya.

SYED Hussin Syed Saqaf

Bantu pahlawan Pahang

Menurut Syed Hussin lagi, pada Mei 1894, Tok Ku Paloh turut membantu Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau bagi menentang penjajah British yang masuk ke Pahang.

“Tok Ku Paloh bukan saja memberi perlindungan, bahkan mengajar dan melatih mereka ilmu menentang musuh.

“Orientalis Barat, Hugh Clifford menyifatkan kekuatan Tok Ku Paloh sebagai luar biasa kerana membantu pahlawan negeri Pahang menyusun kekuatan menyerang British.

“Tok Ku Paloh menyusun kekuatan untuk menyerang British, akhirnya mereka mengalami kegagalan untuk mengekang kemaraan pahlawan Pahang,” katanya.

Disebabkan itu juga, kerajaan Terengganu menjadi antara kerajaan terakhir yang dijajah British di Nusantara. Pada ketika itu, kerajaan Kelantan, Kedah, Johor, Pahang dan Negeri Sembilan sudah ditakluki penjajah.

Bagaimanapun Syed Hussin berkata, apabila Sultan Zainal Abidin III dan Tok Ku Paloh mangkat, maka British mengambil peluang menguasai kerajaan Terengganu dengan mencampuri sistem pemerintahan sehingga melemahkan kekuasaan Sultan serta pembesar Melayu.

Akhirnya, penjajahan British ke atas kerajaan Terengganu bermula pada pertengahan tahun 1919.

Simbolik perkembangan syiar Islam

Sementara itu, Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Nisar Mohammad Ahmad, berkata agamawan hari ini mempunyai peranan besar dalam memastikan masyarakat menginsafi dan menghayati hakikat kemerdekaan yang dikecapi negara.

“Kemerdekaan negara mempunyai kesan langsung kepada perkembangan syiar agama Islam dalam negara.

“Ia menjadi titik tolak kepada penghayatan dan aplikasi nilai Islam yang dapat dizahirkan tanpa gangguan oleh penjajah dan kuasa luar.

“Tambahan pula, Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan menyebut dengan jelas Islam sebagai agama persekutuan dan agama lain boleh diamalkan secara aman dan damai,” katanya.

Justeru secara tidak langsung katanya, kemerdekaan negara turut menyerlahkan identiti Malaysia sebagai negara yang bercirikan Islam di samping meraikan kepelbagaian agama dan bangsa.

Konsep merdeka berlandaskan agama

Nisar berkata, dalam meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai maksud merdeka yang sebenar, agamawan boleh berperanan memberikan sumbangan pemikiran dalam membentuk pandangan umat Islam ke arah yang lebih baik.

“Kemerdekaan negara perlu dikaitkan dengan keperluan memerdekakan diri daripada belenggu kejahilan dan sikap negatif kerana ia boleh menggugat nikmat kebebasan dan keharmonian hidup bermasyarakat yang dikecapi sejak sejak sekian lama.

“Selain itu, perlu ditekankan keperluan umat Islam bagi membezakan di antara konsep kebebasan berlandaskan agama dan kebebasan berasaskan nafsu manusiawi semata-mata,” katanya.

Tambahnya, dengan meningkatnya usia dan tempoh kemerdekaan negara, pemikiran umat Islam dan rakyat Malaysia seharusnya bergerak seiring dengan kematangan ini.

Ia termasuk mengelakkan perkara seperti perbalahan sesama kaum dan bangsa kerana hakikatnya Islam agama yang datang bersama-sama rahmat serta menghormati kepelbagaian juga mengasihi setiap insan.

Dr Nisar Mohammad Ahmad

Teruskan legasi ulama terdahulu

Bahkan katanya, walaupun keadaan negara hari ini harmoni tanpa berlakunya peperangan sebagaimana perjuangan ketika menuntut kemerdekaan satu masa dulu, pendakwah perlu meneruskan usaha legasi ulama terdahulu sebagai ejen penyatuan umat.

“Ia termasuk menyebarkan kasih sayang dan kata-kata yang baik serta mengelakkan diri daripada mengapi-apikan perbalahan dan konflik dalam masyarakat.

“Berkat penyatuan dan perpaduan ini, kemanisan nikmat kemerdekaan akan lebih dirasai oleh semua yang akhirnya berbangga menjadi sebahagian dari negara yang tercinta ini,” katanya.

Tambah Nisar, usaha golongan agamawan harus dipuji kerana mereka banyak menggerakkan kesedaran dalam pelbagai bentuk termasuk ceramah, seminar dan penulisan khususnya dalam menggugah pemikiran masyarakat bagi menghadapi cabaran mempertahankan kemerdekaan era baharu.

Ia termasuk penularan fahaman songsang seperti liberalism, perjuangan hak oleh golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

“Jika boleh, ingin saya sarankan kepada golongan agamawan dapat menggunakan pendekatan yang lebih seimbang.

“Dalam erti kata lain, tidak terlalu obses kepada menyerang tetapi perlu juga menerangkan. Tidak terlalu fokus kepada menghukum tetapi juga mendidik.

“Isu LGBT contohnya, ramai yang boleh bercakap dan mengkritik mengenainya, tetapi tidak ramai agamawan yang bersedia untuk turun padang menyantuni golongan yang dilihat tersasar ini, termasuk memberikan harapan dan nasihat serta berdialog,” katanya.

Katanya, sikap yang mereka tunjukkan tentunya salah, namun begitu ia masih boleh diperbaiki dan ada potensi bagi mengembalikan kelompok ini kepada fitrah.

“Berdialog dan menyantuni golongan ini bukan bermakna mengiktiraf kemungkaran yang dilakukan, tetapi untuk meneroka ruang yang boleh dimanfaatkan untuk mengelakkan mereka berterusan memilih jalan salah.

“Namun, jika ada pelanggaran undang-undang yang nyata, maka peruntukan undang-undang harus digunakan seperti kes dua wanita di Terengganu baru-baru ini,

sebagai pengajaran kepada masyarakat,” katanya.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »