Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 21 Ogos 2021

Islam kembalikan martabat wanita

Posted by epondok di Ogos 21, 2021

Fahimi Zakaria

 

SETIAP kali berbicara soal wanita, terbayang di benak fikiran mereka golongan lemah, wajib dilindungi dan orang penting di belakang seorang lelaki.

Pada zaman jahiliah, wanita tiada nilai kemuliaan sedikitpun, bahkan hanya dijadikan pemuas nafsu lelaki yang tiada pedoman.

Lebih dahsyat, bayi perempuan turut ditanam hidup-hidup. Sejarawan Islam menyebut, zaman itu bermula sejak kurun ke-7 sebelum kelahiran Rasulullah SAW iaitu sekitar 250 tahun sebelum Baginda diangkat menjadi Rasul. (Rujuk Mukhtasar fi nasha’h al-lughah al-‘arabiyyah wa lahjatiha wa ‘ulumiha, 2011)

Selain itu, sejarawan Islam turut menceritakan masyarakat Arab pada zaman jahiliah sangat benci wanita, bahkan mereka berasa malu jika isteri melahirkan bayi perempuan.

Justeru, mereka menanam bayi perempuan hidup-hidup dan membunuh hanya kerana rasa malu dan tidak mahu dihina orang lain. (Rujuk Dustur al-usrah fi zilal al-Quran, 1987)

Allah SWT merakamkan keadaan mereka dalam al-Quran yang bermaksud: “Apabila dikhabarkan kepada mereka dengan kelahiran anak perempuan, maka berubahlah wajah mereka menjadi warna hitam kerana menahan kemarahan. Lalu disembunyikan berita itu disebabkan buruknya perkara itu. Justeru, dia berkira-kira sama ada untuk terus menjaganya dengan penuh kehinaan atau menguburkannya sahaja. Alangkah buruknya apa yang dilakukan itu.” (Surah al-Nahl, ayat 58)

Jika tidak menanam bayi dalam keadaan hidup, mereka tetap akan letak bayi itu di tempat yang hina sehingga dia besar dengan dipakaikan pakaian jijik sebelum dihantar ke kawasan pedalaman sebagai pengembala unta.

Bagi isteri kematian suami pula, seluruh harta peninggalan suami akan diambil termasuk pakaian yang dipakainya.

Tiada siapa lagi akan mengahwininya melainkan dia akan beranak-pinak tanpa bersuamikan yang halal.

Jika wanita itu kaya, mereka akan membunuh suaminya dan memaksa berkahwin dengan salah seorang daripada mereka.

Setelah itu, hartanya diambil lalu diceraikan semula secara zihar (menyamakan anggota syahwat isterinya dengan ibunya).

Bagaimanapun, selepas kedatangan Islam, wanita diangkat ke martabat yang mulia di sisi Allah dan Rasul-Nya.

Peranan dan kedudukan wanita lebih jelas ketika Islam memegang tampuk pemerintahan di Madinah.

Mereka bukan lagi pengembala, pembawa sial dan manusia hina, tetapi menjadi sayap kiri perjuangan Islam.

Di posisi perjuangan Islam dibawa Rasulullah SAW, golongan wanita banyak berjasa dan berdiri teguh di belakang tentera Islam.

Dalam peristiwa Hijrah, As-ma’ bin Abu Bakar menghantar makanan kepada Rasulullah dan bapanya, Abu Bakar.

Jika disebut pula wanita bernama Khadijah binti Khuwailid, beliau memberi sumbangan besar terhadap perjuangan Islam.

Islam dipandang oleh masyarakat Arab kerana adanya wajah jutawan takwa seperti beliau.

Bahkan, perkahwinan Baginda SAW dengan isteri-isterinya antara lain bagi menjaga kemuliaan wanita dan agamanya.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Hormati sesama ulama

Posted by epondok di Ogos 21, 2021

Oleh KHAIRUL ANUAR MOHAMAD

PENULIS terpanggil menulis berkaitan isu yang timbul di mana terdapat suara-suara yang keluar secara siaran langsung memperkecil golongan al-Quran.

Perkara itu mendapat perhatian Imam Besar Masjid Negara yang memberi ulasan melalui unit penyiaran masjid itu.

Suka saya membuat sorotan kepada penghormatan antara ulama pada zaman terdahulu. Umum mengetahui hadis-hadis yang berkaitan kelebihan membaca al-Quran seperti hadis riwayat Othman Ibnu Affan ra., Sebaik-baik di kalangan kamu ialah yang belajar al-Quran dan mengajarnya.

Begitu juga hadis yang menerangkan tentang kelebihan ulama yang faham atau faqeh dalam urusan agama seperti hadis riwayat Muawiyah ra., Sesiapa yang Allah SWT hendakkan kepadanya kebaikan difahamkannya urusan agama.

Rasulullah SAW juga pernah bersabda: “Orang yang paling baik bacaan Quran di kalangan kamu ialah Ubai Ibnu Kaab, yang paling alim faraid ialah Zaid ibnu Thabit, yang paling alim berkaitan halal dan haram ialah Muaz Ibnu Jabal dan yang paling arif tentang Qada’ ialah Ali Ibnu Abi Talib.”

Para sahabat ra. hidup dalam suasana harmoni dengan sikap menghormati keilmuan setiap orang yang mereka peroleh daripada Rasulullah SAW. Sikap yang baik ini berterusan pada generasi selepasnya.

Contoh ketinggian akhlak sesama mereka pernah berlaku Zaid Ibnu Thabit ra. yang terkenal dengan kealimannya dan penulis al-Quran menunggang unta dan Abdullah Ibnu Abbas memegang tali tunggangannya itu.

Zaid mengarahkan agar Abdullah melepaskan tali tunggangannya tetapi Abdullah menjawab beginilah ajaran Rasulullah untuk menghormati ulama.

Lalu Zaid mendapatkan Abdullah dan mencium tangannya sambil berkata, beginilah kami diajar menghormati keluarga Rasulullah SAW.

Sejarah membuktikan bagaimana Imam Malik ra. pengasas Mazhab Maliki mempelajari al-Quran dengan gurunya yang terkenal iaitu Imam Nafie’ yang merupakan salah seorang Tujuh Qurra.

Apabila diajukan kepada Imam Malik soalan berkaitan al-Quran dan wajah bacaannya, beliau dengan rendah diri mengarahkan soalan tersebut perlu dirujuk kepada Imam Nafie’ yang arif permasalahan tersebut. Indahnya sifat hormat Imam Malik kepada golongan al-Quran.

Pengasas mazhab feqh pertama Imam Abu Hanifah yang meninggal 150 hijrah, hidup di Kufah sezaman dengan seorang tokoh Qurra yang terkenal iaitu Imam Hamzah.

Imam Hamzah pernah menyatakan tidak aku baca satu huruf al-Quran melainkan berdalilkan kepada athar.

Kealiman Imam Hamzah dalam ilmu Quran dan faraid menarik perhatian Imam Abu Hanifah sehingga beliau menyatakan kepada Imam Hamzah, “Kami tidak sekali-kali mempertikai kamu tentang dua perkara; al-Quran dan faraid.” Satu penghormatan yang tinggi daripada seorang tokoh feqh kepada tokoh Quran.

Pernah berlaku satu peristiwa kepada Syeikh Rif’at legenda Quran di Mesir yang mempunyai daya tarikan bacaan Quran dan boleh mempengaruhi orang ramai dengan seni tarannumnya, di mana pembesar suara diperkenal pada zamannya iaitu zaman 20-an.

Oleh kerana pertama kali melihat alat pembesar suara, beliau tidak mahu membaca al-Quran di hadapan alat tersebut kecuali dengan fatwa daripada Syeikh al-Azhar.

Lalu Syeikh Azhar memberi penerangan tentang fungsi alat tersebut yang tiada kena mengena dengan agama, barulah Syeikh Rif’at membaca al-Quran.

Indahnya penghormatan ulama feqh dan ulama Quran yang telah ditunjukkan oleh golongan salaf.

Justeru, tidak perlu mencari kekurangan seseorang kerana manusia dicipta dengan banyak kekurangan. Begitu juga, jangan mencari kesalahan atau memperlekeh seseorang.

Imam Besar Masjid Negara mengulas isu ini dengan menyebut hadis Rasulullah SAW: “Barangsiapa dikurniakan al-Quran kemudian melihat yang lain lebih utama, sesungguhnya dia telah memperkecilkan apa yang diagungkan Allah.”

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »