Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 18 Ogos 2021

Puasa hari Asyura peluang tingkat taqwa

Posted by epondok di Ogos 18, 2021

Oleh Hasliza Hassan

TARIKH 10 Muharam mencatatkan beberapa peristiwa penting untuk renungan bersama seperti dicatatkan Imam al-Ghazali dalam kitabnya, Mukasyafatul Qulub. Antara peristiwa dikaitkan dengan tarikh itu ialah dicipta Nabi Adam dan dimasukkan Adam ke dalam syurga.

Dicipta arasy, kursi, langit, matahari, bulan, bintang; dilahirkan Nabi Ibrahim; diselamatkan Nabi Ibrahim daripada api Namrud; selamatnya Musa dan pengikutnya; lemasnya Firaun; dilahirkan Nabi Isa dan mendaratnya kapal Nabi Nuh di atas bukit Judy.

Peristiwa lain ialah Nabi Sulaiman diberi kerajaan yang besar; dikeluarkan Nabi Yunus dari perut ikan Nun; Nabi Ya’kub dapat melihat kembali selepas buta; dikeluarkan Nabi Yusuf dari telaga buta; disembuhkan Nabi Ayub daripada penyakitnya dan hujan yang pertama dari langit membasahi bumi.

Peristiwa paling popular dan sering menjadi perbahasan menjelang 10 Muharam ialah terbunuhnya cucu Nabi SAW, Saidina Hussain di Karbala.

Selain memperingati peristiwa itu, kedatangan 10 Muharam turut dirai umat Islam dengan melakukan puasa sunat atau lebih dikenali sebagai hari Asyura. Rasulullah SAW menggalakkan umat Islam berpuasa pada hari itu kerana ia mempunyai kelebihan.

Daripada Aisyah, katanya: “Biasanya orang Quraisy ketika jahiliah berpuasa pada hari Asyura dan Nabi SAW pun berpuasa. Ketika tiba di Madinah, Baginda juga berpuasa pada hari Asyura dan menyuruh orang lain berpuasa juga.” (Hadis riwayat Muslim)

Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas, katanya Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Berpuasalah kamu pada hari Asyura dan buatlah perbezaan padanya (daripada) orang Yahudi (dengan) berpuasa sehari sebelumnya atau sehari selepasnya.” (Hadis riwayat Ahmad) Ulama menyebut, hikmat disunatkan berpuasa pada hari Tasu’a (9 Muharam) untuk membezakan amalan orang Yahudi yang hanya berpuasa pada hari Asyura (10 Muharam).

Digalakkan juga berpuasa pada 9 Muharam sebagai langkah berhati-hati kemungkinan berlaku kesilapan kekurangan dalam pengiraan anak bulan. Dengan itu, hari 9 Muharam dalam pengiraan adalah hari ke-10 Muharam.

Bagi maksud menyambung puasa hari Asyura dengan satu hari puasa lain kerana tegahan Rasulullah SAW iaitu berpuasa satu hari saja seperti berpuasa pada hari Jumaat. Walaupun begitu, tidak menjadi apa-apa jika hanya berpuasa sehari pada hari Asyura.

Imam Syafie menyebutkan dalam Kitab Al-Umm dan Al-Imlak disunatkan berpuasa tiga hari iaitu hari kesembilan (Tasu’a), ke-10 (Asyura) dan ke-11 Muharam.

Abu Qatadah al-Anshari berkata, Rasulullah SAW ditanya mengenai puasa hari Arafah (9 Zulhijjah). Jawab Baginda: “Semoga dapat menghapus dosa tahun lalu dan yang akan datang. Kemudian Nabi ditanya pula puasa hari Asyura (10 Muharam). Jawab Baginda: “Semoga dapat menghapuskan dosa tahun lalu.” (Hadis riwayat Muslim)

Allah memberikan kita nikmat yang tidak terbilang banyaknya termasuk peluang melakukan amal ibadat tertentu dengan pahala berlipat ganda berbanding amalan dilakukan pada waktu biasa. Contohnya, Allah memuliakan bulan Muharam dan menggalakkan kita berpuasa sunat.

Diriwayatkan daripada Mu’awiyah Abu Sufyan, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Ini adalah hari Asyura dan tidak diwajibkan ke atas kamu berpuasa sedangkan aku berpuasa. Maka sesiapa yang hendak berpuasa maka berpuasalah dan sesiapa mahu (tidak berpuasa) maka berbukalah dia (boleh tidak berpuasa).” (Hadis riwayat Bukhari)

Peluang ini mungkin dipandang remeh bagi orang yang tidak mengetahui kelebihannya tetapi hakikat itulah nilai yang menentukan sejauh manakah kepekaan seseorang Muslim mencari keredaan Allah SWT dengan tidak mensia-siakan nikmat sihat dan kelapangan waktu dikurniakan padanya.

Oleh itu, marilah bersama menyahut seruan Rasulullah SAW ini mudah-mudahan ketakwaan kita kepada Allah SWT semakin meningkat.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Puasa Sunat 9 & 10 Muharram

Posted by epondok di Ogos 18, 2021

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Fadhilat Puasa Sunat Asyura’

Posted by epondok di Ogos 18, 2021

Hari ‘Asyura merupakan hari yang kesepuluh daripada bulan Muharram. Rasulullah S.A.W telah menggalakkan umat Islam agar berpuasa pada hari ini kerana ia mempunyai kelebihan yang tersendiri disamping kelebihan bulan Muharram itu sendiri.10 Muharram juga telah mencatatkan beberapa peristiwa penting untuk renungan kita bersama iaitu pada hari inilah nabi Musa dan pengikutnya telah diselamatkan oleh Allah daripada musuh mereka. Pada hari ini juga tercatat peristiwa pahit dalam sejarah Islam iaitu pembunuhan kejam ke atas tubuh yang mulia Sayyidina Husin yang merupakan cucu kesayangan Rasulullah S.A.W di bumi Karbala. Pembunuhan yang kejam ini dilakukan oleh Syiah Kuffah bukannya oleh tentera Yazid bin Mu’awiyah sebagaimana didakwa oleh sesetengah pihak. Walau pun adanya mazhab Syiah yang menyatakan bahawa pada hari ini tidak boleh berpuasa kerana kita semua mesti bersedih dengan pembunuhan Sayyidina Hussin pada 10 Muharram. Kita jawab balik kepada pendapat mereka bahawa kita semua disunatkan berpuasa pada setiap hari Isnin sedangkan pada hari Isnin merupakan hari kewafatan junjungan besar Muhammad S.A.W yang lebih besar kesedihannya tetapi kita semua tetap berpuasa sunat pada hari tersebut. Insya Allah kita akan kupas mengenai peristiwa Karbala ini dalam ruangan khas pada keluaran akan datang.
Disini dibawa beberapa hadis yang sohih mengenai kelebihan berpuasa pada 10 Muharram yang dikenali sebagai hari ‘Asyura.

Daripada Ibnu Abbas telah berkata : Apabila Rasulullah S.A.W tiba di Madinah maka baginda telah melihat orang yahudi berpuasa pada hari kesepuluh (Muharram) maka baginda bertanya yang bermaksud : Apakah ini?. Maka jawab mereka : Ini merupakan hari yang baik yang mana pada hari inilah Allah SWT menyelamatkan bani Israel daripada musuh mereka maka nabi Musa berpuasa pada hari ini. Maka sabda baginda S.A.W : Maka aku lebih layak dengan nabi Musa daripada kamu maka baginda berpuasa pada hari ini. Dan baginda menyuruh untuk berpuasa pada hari ini.
Telah dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim dan Abu Daud

Daripada Abdullah bin Ma’bad az-Zamani daripada Abu Qatadah bahawa nabi s.A.W telah bersabda yang bermaksud : Berpuasa pada hari ‘Asyura (kesepuluh Muharram) sesungguhnya aku mengharapkan atas Allah SWT bahawa Dia akan menghapuskan dosa setahun yang sebelumnya.
Diriwayatkan oleh imam Tarmizi

Daripada Ibnu Shihab daripada Hamid bin Abdul Rahman bahawa dia telah mendengar Mu’awiyah bin Abu Sufian berucap pada hari ‘Asyura tahun haji di atas mimbar : Wahai penduduk Madinah! Dimanakah ulama’ kamu? Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Ini adalah hari ‘Asyura dan Allah tidak mewajibkan ke atas kamu berpuasa. Aku berpuasa (pada hari ini) maka sesiapa yang mahu berpuasa berpuasalah dan sesiapa yang mahu (berbuka) maka berbukalah.
Dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim dan Abu Daud

Hadis ini menjelaskan kepada kita berkenaan dengan kelebihan berpuasa pada hari ‘Asyura. Ulama’ juga berpesan agar kita turut berpuasa pada hari kesembilan Muharram bagi membezakan antara puasa kita dengan yahudi yang berpuasa pada hari kesepuluh Muharram.Yahudi berpuasa pada hari tersebut kerana pada 10 Muharamlah nabi Musa dan pengikutnya diselamatkan daripada Firaun dan tenteranya yang zalim. Hukum berpuasa pada hari ini adalah disunatkan bukannya satu kewajipan. Siapa yang mahu berpuasa maka bolehlah berbuat demikian dan ganjaran yang besar dijanjikan kepada mereka yang berpuasa pada hari ini iaitu diampuni segala dosanya pada tahun-tahun yang lalu.Semoga kita dapat menggunakan segala peluang yang ada untuk menambahkan amalan sebagai bekalan di akhirat nanti.


Bibiografi


1. Al-Minhaj Syarah Sohih Muslim oleh imam Nawawi, semakan Syeikh Khalil Ma’mun Syiha, Darul Makrifah, Beirut.
2. Tuhfah al-Ahwazi bi Syarhi Jami’ at-Tarmizi, Mubarakfuri, Darul Kutub Ilmiah, Beirut.
3. Sunan Abu Daud
4. Al-Lafzu al-Mukram bi Fadhaili ‘Asyura al-Muharram, Ibnu Nasaruddin ad-Dimasyqi, Rimadi lin-Nasyr

Posted in Amalan Pilihan | 3 Comments »