Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 29 Julai 2021

Ulama tidak boleh bergantung pada pemerintah, tegas menasihati

Posted by epondok di Julai 29, 2021

Oleh Nazmi Yaakub

 

GOLONGAN ulama dan ilmuwan sering mendapat peringatan tegas daripada merapati pemerintah serta penguasa, sekali gus diberikan amaran keras supaya tidak dikuasai kelompok berkenaan.

Ini kerana mereka mempunyai tanggungjawab besar dalam menyambung warisan amanah Rasulullah SAW untuk menegakkan agama dan menjaga kemaslahatan ummah.

Rasulullah SAW bersabda: Ulama ialah kepercayaan rasul dalam menjaga hamba Allah selagi mereka tidak bergaul dengan penguasa. Namun sekiranya mereka bergaul dan berbuat demikian, sesungguhnya mereka berlaku khianat kepada rasul serta hamba Allah, maka takut dan hindarilah mereka. (HR Dailami)

Tugas dan tanggungjawab itu menyebabkan mereka diiktiraf oleh Rasulullah SAW sendiri sebagai pewaris rasul dan nabi yang tidak mewariskan dinar, sebaliknya ilmu yang mengenalkan manusia kepada Allah SWT dan menjamin kebahagiaan hakiki di akhirat kelak.

Dalam kitab Nasa’ihul ‘Ibad karya Sheikh Nawawi al-Bantani, ulama besar alam Melayu itu membawa kisah ahli sufi di Balkh dan Nishapur di Asia Tengah, iaitu Yahya Mu’adz al-Razi yang melihat seorang ulama zahir dalam kalangan ahli fiqh bersenang-lenang menikmati kemewahan dunia.

Lalu, Yahya membandingkan 10 kemewahan yang diterima dan ditonjolkan dengan apa yang pernah dilimpahkan kepada raja kerajaan zaman silam serta pemerintah semasa yang tenggelam dalam kemewahan.

“Wahai pemilik ilmu yang memahami sunnah (Rasulullah SAW), sesungguhnya istanamu melambangkan kaisar Romawi dan rumahmu simbol kepada kediaman kisra Raja Parsi, manakala tempat tinggalmu seperti milik Qarun.

“Pintumu ibarat pintu Thalut; pakaianmu seperti persalinan Jalut dan cara berfikirmu melambangkan pemikiran syaitan.

“Benda yang kau miliki seperti apa yang dipakai Marwan ibnu Hakam (pemerintah Syam dalam kerajaan Umawiyah) dan kekuasaanmu menunjukkan kekuasaan Firaun,” katanya.

Yahya berkata, hakim yang membantu ulama itu sering melakukan pencerobohan, menerima rasuah dan melakukan khianat, manakala pemimpinnya hidup dalam seperti jahiliah, sekali gus mempersoalkan di manakah cara hidup yang diteladani kepada Nabi Muhammad SAW.

Bagaimanapun, peringatan tegas dan amaran keras terhadap ulama itu bukan menghalang mereka daripada berhubung dan bergaul dengan pemerintah secara mutlak.

Maulana Jalaluddin Rumi dalam kitabnya Fihi Ma Fihi, mengulas hadis Nabawi mengenai ulama paling buruk ialah ilmuwan yang mengunjungi raja, manakala sultan paling baik adalah yang menziarahi ulama.

Tokoh sufi agung itu memperbetulkan kefahaman zahir sebahagian orang yang menganggap ulama tidak boleh sekali-kali mengunjungi raja demi mengelak daripada digelar ilmuwan paling buruk.

“Ia bukanlah makna sebenar, sebaliknya ulama paling buruk ialah mereka yang bergantung hidup kepada pemerintah hingga menyebabkan seluruh hidup berlegar dan bertujuan untuk mendapatkan perhatian serta kesenangan.

“Ilmuwan sebegitu menjadikan pendidikannya sebagai batu loncatan untuk penguasa menganugerahkan hadiah, penghormatan dan jawatan tinggi.

“Oleh itu, mereka akan memperbaiki dan mengejar ilmu demi penguasa, sekali gus menjadi ulama yang takut akan pemerintah dan meletakkan diri di bawah penguasaan mereka,” tulisnya.

Oleh itu Maulana Rumi mengingatkan sama ada golongan ulama sebegitu mengunjungi penguasa atau dikunjungi pemerintah, maka hakikatnya mereka ialah tetamu, manakala raja pula menjadi tuan rumah.

Beliau menegaskan sekiranya golongan berilmu tidak menambah keilmuan untuk menarik perhatian penguasa, sebaliknya mengejar ilmu dari awal hingga akhir demi kebenaran, mereka meletakkan diri di bawah penguasaan dan tujuan yang ditetapkan Allah SWT.

“Ulama sebegini diberkati dengan bimbingan daripada rasul, manakala setiap orang yang hidup pada masanya pasti akan tersentuh dan mendapat inspirasi daripada teladan mereka.

“Sekiranya ulama terbabit terpaksa mengunjungi raja atau penguasa, hakikatnya orang berilmu itu yang sebenar dikunjungi, manakala pemerintah tetap menjadi seperti tetamu.

“Ini kerana dalam setiap keadaan, raja atau penguasa itu mengambil sesuatu dan menerima bantuan (keilmuan dan barakah) daripada ulama yang bersifat bebas,” tegasnya.

Maulana Rumi mengumpamakan ulama sebegini seperti matahari menyinari cahaya yang mengubah batu menjadi delima dan akik, menukar gunung kepada lombong tembaga, emas, perak serta besi, selain menyegar dan menghijaukan bumi dan menghangatkan kedinginan.

“Ulama sebegini akan sentiasa memberi dan tidak pernah menerima. Pepatah Arab menyebut ‘kita menambah ilmu dengan tujuan untuk memberi sesuatu, bukannya untuk mengambil sesuatu,” tulisnya.

Tidak hairanlah dalam sejarah tradisi ilmu Islam, kita melihat ramai ulama hebat yang menjauhi atau tidak terpengaruh dengan penguasa tetapi pada masa sama, ada yang menerima tanggungjawab daripada pemerintah.

Bagaimanapun, ulama hakiki bukan sahaja tidak tunduk kepada kehendak mutlak pemerintah, bahkan mereka berani menasihati dan menegur sekiranya apa yang dilakukan tidak bertepatan dengan kehendak syarak serta menjejaskan kepentingan rakyat.

Ia tidak bermakna ulama perlu bermusuhan dengan pemerintah secara mutlak, sebaliknya menjadi penasihat dan pembimbing kepada penguasa dalam mentadbir serta menjalankan amanah pemerintahan yang diberikan oleh Allah SWT.

Hubungan ulama dengan penguasa adalah seperti tuan rumah yang memiliki segala-galanya dan tetamu yang memerlukan banyak perkara seperti disyarahkan Maulana Rumi itu.

Justeru, ulama hakiki akan menempatkan diri mereka seperti tuan rumah yang tidak bergantung kepada mana-mana tetamunya, sebaliknya sentiasa memberikan sesuatu kepada tetamunya hingga pulang ke rumah mereka dengan jiwa yang tenang dan bahagia.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

5 Golongan DiTolak Doanya

Posted by epondok di Julai 29, 2021

SEBAGAI manusia ada saja perkara yang diperlukan, tetapi setiap yang diperlukan itu tidak mungkin boleh didapati dengan mudah. Pada saat dan ketika itulah manusia akan berharap dan mula mengadu nasib.

Bagi mereka yang mengakui dirinya makhluk (yang dicipta) pasti mengadu pada Penciptanya iaitu Allah Yang Maha Berkuasa.
Mereka yang beriman tidak jemu berharap dan berdoa walaupun permintaannya belum berhasil. Doa bagi golongan ini adalah senjata dalam menghadapi sebarang situasi, membuatkan mereka tidak pernah putus harapan.

Sementara golongan yang lemah iman akan patah semangat untuk berdoa. Dalam benaknya, kenapa Allah tidak memakbulkan doanya?

Di sinilah kita harus menilai diri sendiri. Siapa kita sebenarnya? Adakah kita ini termasuk orang yang bersih jiwa? Adakah kita mematuhi perintah Allah atau sebaliknya, sedangkan doa akan dimakbulkan (diterima) daripada hamba-Nya yang benar-benar ikhlas.

Andai kita bekerja di sebuah perusahaan, tetapi kita seorang pemalas, ingkar dan banyak melanggar peraturan di perusahaan itu, apakah ketua perusahaan itu akan menunaikan dengan mudah permintaan kita, seperti kenaikan gaji?

Sebagai ketua tentulah dia akan memberi dengan mudah jika pekerjanya itu seorang yang disayanginya, taat peraturan kerja dan rajin.

Demikian juga kita mengandaikan Allah dan hamba-Nya. Jika manusia itu seorang yang taat segala perintah, malah dalam masa yang sama menjauhi larangan-Nya dan rajin beribadat, insya-Allah mudahlah Allah memakbulkan segala doanya.

Jika kita melakukan banyak dosa, akan terhijablah (terdinding) doa kita. Dengan perkataan lain, sia-sia kita berdoa.

Ada lima perkara yang membuatkan kita terhijab atau ditolak doa oleh Allah s.w.t. iaitu:

  • Dosa kerana mengingkari pemimpin.Pemimpin terbahagi kepada dua iaitu pemimpin atasan dan pemimpin bawahan. Perintah mereka wajib ditaati selagi tidak bercanggah dengan syariat.Pemimpin yang dimaksudkan di sini ialah pemimpin yang adil kepada orang bawahannya, soleh lagi berjiwa tauhid, bukan pemimpin yang fasiq dan berbuat mungkar kepada Allah s.w.t. Jadi ukurlah diri masing-masing sejauh mana ketaatan kepada pemimpin.
  • Dosa kerana tidak taat guru.Guru orang yang bertanggungjawab mendidik dan mengasuh kita. Segala ajarannya perlu diikuti. Jangan sampai guru berasa muak dengan kita, supaya kita tidak ditimpa malapetaka seperti susah menerima ilmu, gelap hati, keras hati, malas beribadat, doa dan amalan tidak terangkat dan tidak dapat memperbaiki akhlak.
  • Dosa kerana menderhaka dengan ibu bapa.Ibu bapa berkorban untuk menjadikan kita insan yang berguna di dunia dan akhirat. Jika kita menderhaka atau menyakiti hati mereka, sedangkan perintahnya bertepatan dengan syariat Islam, Allah pasti murka pada kita.Awas, doa anak derhaka tidak diangkat malaikat ke hadrat Ilahi. Oleh itu, tidak ada perubahan atau peningkatan pada diri kita kerana doa mereka ditolak. Jadilah kita orang yang rugi di dunia dan akhirat.
  • Dosa kerana derhaka kepada suami.Isteri yang menderhakai suaminya tidak layak mencium bau syurga. Allah murka dan melaknat isteri yang membelakangi suaminya.Rasulullah bersabda, maksudnya: “Jika Allah membenarkan manusia sujud kepada manusia selain-Nya, aku akan menyuruh isteri sujud kepada suaminya.”Besarnya kedudukan seorang suami di sisi Allah. Seorang isteri walaupun ibadatnya sehebat ibadat Siti Maryam (ibu Nabi Isa), tiada nilai sedikitpun di sisi Allah jika masih menderhakai suami.
  • Dosa kerana menganiaya atau menzalimi orang.Golongan yang suka menganiaya dan menzalimi orang termasuk juga orang yang gemar menabur fitnah, mengadu domba, buruk sangka sesama manusia, suka menyakiti hati orang lain, sama ada dengan lidah, perbuatan atau tingkah laku.Jika kita melakukan satu daripada lima perkara ditegah di atas, terhijablah doa dan amalan kita. Oleh itu, jika ingin doa kita dimakbulkan Allah, jauhkan diri daripada melakukan perkara yang mengundang kemurkaan Allah itu.
  • Posted in Klinik Agama | Leave a Comment »