Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 21 Julai 2021

Isteri, ibu perlu contohi pengorbanan Hajar

Posted by epondok di Julai 21, 2021

KISAH Nabi Ibrahim AS banyak dicatatkan dalam al-Quran termasuk sirah antara paling mencabar apabila wahyu Allah SWT memerintahkan Baginda mengorbankan puteranya, Nabi Ismail AS.

Di sebalik ibrah atau pengajaran bagaimana Nabi Ibrahim AS menerima dan melaksanakan arahan itu dengan redha, kita juga wajar mengenang dan mencontohi individu penting yang turut berkorban, iaitu Hajar AS yang melaksanakan peranan sebagai isteri dan ibu kepada pesuruh Allah SWT.

Nama Hajar tidak disebut secara harfiah dalam al-Quran, tetapi ayat kisahnya tetap diungkapkan dalam doa Nabi Ibrahim AS: “Wahai Tuhan kami, Sesungguhnya aku menempatkan sebahagian zuriat keturunanku di sebuah lembah (Makkah) yang tiada tanaman padanya, di sisi rumah-Mu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mendirikan solat (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ) dan kurniakan rezeki kepada mereka daripada pelbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur.” (Ibrahim: 37)

Doa itu menjadi sumber kekuatan Hajar apabila ditinggalkan bersama Nabi Ismail AS yang masih kecil. Allah SWT memakbulkannya dan kemunculan air istimewa, iaitu Zamzam yang dikenang sempena perjuangan Hajar yang redha ditinggalkan di bumi gersang Makkah. Malah, larian Hajar berulang-alik dari Safa ke Marwah dan sebaliknya menjadi antara rukun penting dalam ibadat haji.

“Adakah Allah SWT yang memerintahkan tuan melakukannya?” Soalan itu menjadi kemuncak penerimaan Hajar kepada keputusan diambil Nabi Ibrahim AS. Baginda tidak marah, sebaliknya bersikap rasional dengan bersangka baik terhadap suaminya. Tiada isteri sanggup ditinggalkan begitu sahaja, apatah lagi dengan anak masih bayi.

Namun, Hajar meletakkan kebergantungan hidup semata-mata kepada Allah SWT. Baginda percaya, jika ia perintah Allah SWT, maka Tuhan sahaja yang akan mencipta kesenangan di sebalik kesusahan kerana bantuan-Nya akan sentiasa tiba apabila putus segala pengharapan kepada manusia.

Keimanan Hajar diuji lagi apabila Nabi Ibrahim AS mendapat perintah mengorbankan anak tunggal mereka. Namun, Hajar sentiasa percaya suaminya tidak akan membuat suatu keputusan di luar kemahuan sekiranya tiada penggerak lebih agung berbanding wahyu.

Malah, jawapan Nabi Ismail AS memberi kekuatan luar biasa kepada Nabi Ibrahim AS dan Hajar untuk melaksanakan perintah itu. Nabi Ismail AS bersabda dalam firman Allah SWT: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insya-Allah, ayah akan mendapati aku daripada orang sabar.” (Al-Saffat: 102)

Hati ibu pasti bagai dirobek apabila anaknya perlu dikorbankan. Sekali lagi, Hajar meletakkan kebergantungan kepada Allah SWT dan ujian berkenaan akhirnya bertukar menjadi iktibar gembira. Tempat Nabi Ismail AS ditukar kepada kibas, manakala daging kambing itu yang dikorbankan diagihkan kepada penduduk di sekitar Tanah Haram.

Firman Allah SWT menjelaskan perintah itu sebagai ujian nyata dan Dia akan membalas usaha mereka dalam mengerjakan kebaikan serta kesabaran.

Wanita yang bernama Hajar itu meninggalkan impak besar dalam aspek ibadat dan sejarah. Setiap individu tidak kira lelaki mahupun wanita perlu mengambil ibrah kisah itu terhadap kesusahan dilalui dengan ketabahan dan kesabaran yang diamalkan, manakala pengorbanan Baginda tidak boleh dijual-beli.

Hajar berkorban bukan semata-mata status sebagai isteri dan ibu kepada rasul. Ini kerana sirah merakam ada isteri nabi yang tidak beriman dan mengingkari perintah Tuhan serta suami. Sebaliknya, Hajar berkorban kerana Baginda percaya semua kesusahan hanya akan berakhir dengan kesenangan sekiranya mempunyai keimanan tinggi kepada Allah SWT.

Iman bukan sekadar ucapan di bibir, tetapi meyakini dalam hati, mengucapkan dengan lisan dan menterjemahkannya dengan tindakan. Iman akan meningkat dengan ketaatan kepada Tuhan dan setiap ketaatan pasti akan diuji dengan pengorbanan.

Pengorbanan tidak memerlukan status tertentu. Ia bukan hanya dengan berlari di atas padang pasir sahaja, malah berjalan di dalam dewan berhawa dingin tetap memerlukan pengorbanan. Namun, hanya pengorbanan berpanjikan nama Tuhan sahaja akan diberi balasan dan ganjaran. Nilai pengorbanan di sisi Allah SWT sangat besar kerana hanya orang terpilih yang sanggup berkorban tanpa mengharapkan sebarang balasan.

Biarpun Nabi Ismail AS yang dipilih menjadi ‘korban’, berkat ketabahan Hajar menjaga anak sejak kecil dengan penuh kesukaran adalah pengorbanan yang tiada tolak tandingnya. Beruntunglah Hajar kerana tidak mengeluh, malah redha dengan ketetapan dan ujian Tuhan. Beruntunglah Hajar kerana hingga kini namanya dikenang di atas pengorbanan Baginda sebagai isteri dan ibu.

Justeru, berlapang dadalah dengan ujian dan kesukaran. Bertahanlah selagi mampu untuk melakukan pengorbanan untuk kebaikan mendatang. Seseorang dimuliakan bukan disebabkan apa dimilikinya, sebaliknya pengorbanannya untuk memberikan manfaat kepada orang lain.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Ibadat korban antara kaedah umat Islam tebus dosa

Posted by epondok di Julai 21, 2021

Oleh Mohd Shukri Hanapi

Hikmah amalan sembelih haiwan bantu individu kikis sikap bakhil, wujudkan kerjasama

KITA kini melangkah ke bulan terakhir dalam takwim hijrah iaitu Zulhijjah. Pada bulan ini Allah SWT menganugerahkan kepada kita satu lagi hari kebesaran Islam iaitu Hari Raya Korban atau Aidiladha.

Dalam kegembiraan menyambut Hari Raya Korban itu, umat Islam yang berkemampuan dituntut melakukan ibadat korban.

Ibadat korban bermaksud menyembelih binatang tertentu seperti unta, kerbau, lembu atau kambing pada hari ke-10, ke-11, ke-12 atau ke-13 Zulhijjah. Islam mensyariatkan ibadat korban berkenaan sebagai antara ibadat mendekatkan diri (taqarrub) kepada Allah SWT. Di samping itu, ia mengingatkan kita terhadap kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail sebagai satu ujian daripada Allah SWT kepada hamba-Nya yang taat.

Banyak hadis menekankan keutamaan ibadat korban ini. Antaranya ialah hadis diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah ra. bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Tiada sesuatu amalan anak Adam pada Hari Raya Haji yang lebih disukai oleh Allah SWT daripada menumpahkan darah (ibadat korban). Bahawasanya ia (binatang yang dikorbankan itu) datang pada Hari Kiamat dengan tanduk, bulu dan kukunya dan bahawasanya darah (korban itu) mendapat tempat yang mulia di sisi Allah SWT sebelum darah itu tumpah ke bumi. Oleh kerana itu hendaklah kamu berkorban dengan hati yang bersih.” (Riwayat al-Tarmizi)

Melalui hadis ini jelas bahawa korban adalah ibadat atau amalan yang disukai Allah SWT. Maka sudah tentu ia mendapat kemuliaan di sisi Allah SWT pada Hari Kiamat.

Justeru, melakukan ibadat korban menambah lagi amalan kebajikan yang kita lakukan, di samping menjadi penebus dosa kita.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Wahai Fatimah! Berdirilah di sisi korbanmu dan saksikan ia, sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu pengampunan bagimu atas dosamu yang lalu.” (Riwayat al-Bazzar dan Ibn Hibban)

Dipetik daripada Kitab Sabilal Muhtadin Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Perbesarkanlah korban kamu, kerana ia menjadi tungganganmu di atas titian siratulmustakim pada Hari Kiamat nanti.”

Begitulah besarnya ganjaran diberikan kepada orang yang melakukan korban. Allah SWT menjanjikan kebaikan kepada orang yang melakukannya dan ia menjadikan binatang sembelihannya itu sebagai tunggangan untuk meniti al-Sirat pada hari akhirat kelak.

Walaupun pada zahirnya ia cuma mengorbankan binatang sembelihan, jika dikaji dengan teliti, ia adalah ujian Allah SWT dalam melatih kita supaya sentiasa bersedia berkorban jiwa dan tenaga demi menegakkan agama Allah SWT di muka bumi ini.

Selain itu, ia juga ujian bagi melihat sejauh mana kita mensyukuri nikmat kemewahan yang dikurniakan Allah SWT.

Betapa Rasulullah SAW ketika hayat baginda dan juga sahabat sanggup mengorbankan harta, menggadai nyawa semata-mata mendaulatkan agama, inikan pula amalan yang cuma mengorbankan secebis harta demi mensyukuri nikmat yang diterima.

Ingatlah setiap pengorbanan yang kita lakukan hendaklah disertakan dengan niat ikhlas semata-mata kerana Allah SWT. Seandainya ibadat korban yang kita lakukan dicemari dengan sifat riak, takbur, membangga diri dan menunjuk-nunjuk kemampuan, maka tertutuplah rahmat Allah SWT dan nescaya sia-sia ibadat korban itu.

Rasulullah SAW amat menyukai amalan berkorban sehinggakan baginda sentiasa menyarankan sahabat melakukan ibadat korban pada setiap Hari Raya Korban.

Justeru, amalan korban itu bukan saja mempunyai kelebihan yang besar, bahkan dilihat dari sudut kerohanian, ia juga dapat mengikis sifat bakhil untuk membelanjakan harta ke arah kebaikan sekali gus membantu mereka yang kurang bernasib baik dengan memberi kegembiraan dan kesenangan dalam hati orang yang menerima terutama kepada golongan fakir miskin bagi turut merasai keriangan hari raya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Makanlah sebahagiannya dan beri makanlah orang yang rela dengan apa yang ada padanya (yang tidak meminta-minta) dan orang yang meminta. Demikianlah Kami menundukkan unta itu kepada kamu, mudah-mudahan kamu bersyukur.” (Surah al-Hajj ayat 36)

Melalui amalan ibadat korban ini jelas terbukti ia dapat mewujudkan semangat kerjasama serta saling bantu-membantu di antara semua pihak, sama ada pihak yang melakukan korban mahupun pihak yang menerima.

Posted in Amalan Pilihan | 1 Comment »